May 5th, 2015

Tangani tekanan dengan betul

STRES adalah tekanan perasaan iaitu gangguan emosi kesan tindak balas sesuatu di luar kebiasaan atau kemampuan seseorang atau disebabkan sesuatu beban yang menimpa seseorang.

Apabila berlaku tekanan, badan menghasilkan hormon adrenalin dan cortison yang menyebabkan jantung berdegup lebih laju, pernafasan lebih kencang, dan tekanan darah meningkat.

Hari ini di kala dunia mencapai kemajuan dan kemodenan, tekanan bukan sahaja semakin bertambah, malah boleh wujud di mana-mana jua tanpa mengira siapa.

Mampu menjauhkan anda daripada pelbagai penyakit


(Dari kiri) Dr. Priyadarshini Srinivasan, Dr. Paras Doshi, Dr. Vagif Soultanov dan Swanee Teh pada bengkel Tekanan Kerja Membebankan Usus: Membawa Akibat yang Lebih Buruk Berbanding Sebelumnya, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tekanan boleh berlaku rumah, di tempat kerja dan di jalan raya yang membabitkan , tekanan masalah kesihatan, tekanan perhubungan (keluarga atau rakan) dan macam-macam lagi.

Teori tekanan juga bukan sahaja mengaitkannya dengan ancaman kesihatan, malahan mempercepatkan penuaan dan tindakan penuh emosi.

Malah ada kajian menunjukkan tekanan menjadi penyebab utama penyakit jantung dan kanser serta peningkatan kepada pelbagai masalah kesihatan terutama berkaitan perut.

Mungkin ramai tertanya-tanya bagaimana tekanan boleh dikaitkan dengan kesihatan perut? Sebenarnya emosi manusia berkait rapat dengan perut dan usus, yang merupakan komponen saluran gastrousus (GIT).

Ini semua terjadi apabila emosi marah, risau, sedih, bimbang, dan pelbagai lagi emosi lain, berupaya mencetuskan tindak balas fizikal di dalam usus dan pada masa yang sama saluran gastrousus sememangnya amat sensitif dengan emosi kita.

Dalam beberapa kajian terbaharu, para saintis mendapati keadaan emosi yang negatif boleh membawa kesan buruk kepada sistem gastrousus.

Malangnya, kebanyakan emosi negatif dalam kehidupan moden di bandar adalah berpunca daripada tekanan kerja.



Tekanan perasaan memberi kesan ke atas psikologi dan fisiologi manusia. - Gambar hiasan

Menurut Pengurus Unit Perniagaan Nuvaceuticals, Datin Swanee Teh, persaingan sesama rakan sekerja, bebanan kerja serta waktu kerja yang panjang antara sebab seseorang itu mengalami tekanan kerja di tempat kerja.

Katanya, kira-kira 50 peratus penduduk dewasa di negara ini mengalami sekurang-kurangnya satu gangguan gastrousus manakala 16 peratus pula mengalami refluks asid.

“Tekanan berlaku apabila keperluan kerja tidak sepadan dengan kebolehan diri, sumber, dan juga kehendak, dan secara tidak langsung memberi kesan ke atas psikologi dan fisiologi manusia.

“Seseorang yang tertekan dengan kerja juga akan menunjukkan kemurungan berpanjangan. Situasi ini bukan sahaja menjejaskan prestasi kerja tetapi mendatangkan penyakit berbahaya terutama masalah perut, tekanan darah tinggi, jantung, dan melemahkan sistem pertahanan badan terhadap penyakit,” katanya pada bengkel Tekanan Kerja Membebankan Usus: Membawa Akibat yang Lebih Buruk Berbanding Sebelumnya, di ibu negara, baru-baru ini.

Bengkel tersebut dihadiri panel jemputan antarabangsa termasuk Pakar Perubatan Hospital Kuala Lumpur, Dr. Paras Doshi; Pakar Psikologi Klinikal dan Pensyarah Universiti Sunway, Dr. Pryidarshini Srinivasan; dan Pakar Gastroenterologi dan Pengamal Terapi Semula jadi, Dr. Vagif Soultanov, turut membincangkan banyak perkara termasuk yang berkait rapat dengan tekanan, usus, dan perut.

Masalah gastrousus

Dalam pada itu, ulas Pakar Gastroenterologi dan Pengamal Terapi Semula jadi, Dr. Vagif Soultanov, ramai tidak menyedari mereka pernah atau sedang mengalami masalah gastrousus seperti pedih hulu hati, gastritis, refluks gastroesofagus (GERD) dan sindrom usus rengsa (IBS).

“Apabila anda berasa pedih dan terbakar pada bahagian dada, berasa masam dan pahit pada belakang tekak atau merasa asid perut naik ke atas selepas makan, atau perut kembung, penuh angin dan tidak selesa tanpa sebarang sebab, jelas menunjukkan bahawa anda mengalami masalah gastrousus.

“Simptom-simptom lain seperti batuk yang kering, sukar menelan dan sakit perut yang berulang juga antara masalah gastrousus yang anda alami.

“Bagi mereka yang mengalami GERD pula sudah pasti akan merasa ketidak selesaan perut, ketidakcernaan, kembung perut, angin dan sakit pada bahagian atas perut selain sinus serta asma dan GERD juga merupakan salah satu punca utama batuk kronik dan sekiranya refluks naik sehingga ke atas tekak, ia dikenali sebagai LPRD atau Penyakit Refluks Laringofarinks di mana tekak kita lebih sensitif kepada kesan asid perut dan enzim pencernaan,” terang beliau lanjut.

Sementara itu, Pakar Psikologi Klinikal dan Pensyarah Universiti Sunway, Dr. Pryidarshini Srinivasan menjelaskan, tekanan perasaan berlaku apabila individu gagal memberikan tindak balas sewajarnya terhadap ancaman emosi atau fizikal.

Ini kerana katanya, secara semula jadi tubuh seseorang bertindak untuk mempertahankan diri apabila diancam oleh persekitaran bagi membolehkannya mengekalkan keseimbangan fizikal dan psikologi.

“Tekanan sememangnya tidak dapat kita hindari, namun apa yang kita boleh lakukan ialah membuat persediaan dan melindungi tubuh dan perut kita daripada kesan mudarat akibat tekanan kerja.

“Tekanan bukan sahaja menyebabkan kelesuan, malah juga mencetuskan kerengsaan di dalam perut yang dipanggil gastritis yang merujuk kepada keradangan lapisan perut.

“Sekiranya tidak ditangani, gastritis boleh merebak menjadi ulser,” tambah Dr. Priyadarshini yang menerangkan kira-kira 90 peratus kes gastritis dan ulser kronik berlaku disebabkan jangkitan Helicobacter pylori (H.pylori).

Kewujudan bakteria ini adalah penyebab kanser dan boleh meningkatkan risiko kanser perut sebanyak enam kali ganda dan kekerapan jangkitan H.pylori adalah tinggi yang melibatkan sekurang-kurangnya separuh daripada populasi dunia.

Walau apa pun yang diperkatakan mengenai tekanan, masalah ini tidak seharusnya dipandang remeh dan perlu diatasi segera terutamanya dalam dunia yang semakin mencabar.

Sewajarnya seseorang itu mengamalkan teknik pengurusan tekanan yang berkesan , antaranya sentiasa tersenyum apabila bertemu orang dan bertenang dalam semua keadaan.

“Bertenang adalah satu teknik yang memberi latihan pada tubuh untuk berada dalam keadaan tenang dan apabila ini berlaku keadaan organ terutama perut berada dalam keadaan biasa tanpa pengaliran darah yang deras serta degupan jantung yang kuat,” bicara Dr. Priyadarshini mengakhiri bicara.

Siapa sebenarnya ketua lanun, Kapten Blackbeard?

KAPTEN Edward Teach atau Edward Thatch adalah seorang ketua lanun yang amat terkenal pada abad ke-18.

Digelar sebagai Kapten Blackbeard kerana jambangnya yang panjang dan tebal, Edward merupakan lanun yang menguasai Laut Carribean dan bahagian barat Atlantik pada zaman tersebut.

Mempunyai kapal yang dinamakan sebagai ‘Queen Anne's Revenge’, sesiapa sahaja pasti akan gerun sebaik melihat kelibat kapal yang dilengkapkan dengan 40 buah meriam ini belayar di laut.

Tidak seperti kumpulan lanun yang lain, Kapten Blackbeard ini hanya mengambil masa sehingga dua tahun untuk meraih popularitinya di kalangan pelaut.

Ini kerana visi dan misinya yang berbeza dari kumpulan lanun lain menjadikan sejarahnya terkenal sepanjang zaman.

Berbeza dengan kumpulan lanun lain yang ‘sibuk’ merompak demi harta, Blackbeard dan krewnya pula lebih berminat untuk mencipta sejarah.

Blackbeard merupakan lanun yang bijak dan licik dan keberaniannya  digeruni oleh pelaut dan pemimpin di beberapa negara.

Menurut sumber yang terdapat dalam laman Wikipedia, Blackbeard merupakan seorang lanun yang menolak kekerasan dalam siri rompakannya, sebaliknya beliau mengekalkan imejnya yang bengis untuk menakutkan mangsa yang dirompak.

Bahkan tidak pernah wujud laporan mengatakan Blackbeard mencederakan, apatah lagi membunuh tahanannya atau mangsa rompakan.

Blackbeard mengemudi kapalnya dengan persetujuan yang dibuat bersama krewnya dan tidak pernah membuat keputusan tanpa perbincangan atau persetujuan anak kapalnya.

Blackbeard dikatakan mati dibunuh oleh sekumpulan tentera laut yang diketuai Leftenan Robert Maynard.

Pertempuran tersebut dikatakan terjadi di sebuah teluk kecil di Pulau Ocracoke.

Tentera laut yang berjaya menghunus bilah pedang ke tubuh Blakcbeard pula diberi ganjaran wang yang agak lumayan.