May 7th, 2015

Memahami konsep kedaulatan undang-undang

Apabila memahami tujuan sesuatu undang-undang, maka dalam perbincangan falsafah undang-undang, dijelmakan konsep kedaulatan undang-undang. Ramai antara kita tahu mengenai kewujudan konsep Kedaulatan Undang-Undang atau Rule of Law. Ramai juga yang mungkin telah mendalami maksud rule of law. Bagi negara, kedaulatan undang-undang adalah falsafah negara yang disenaraikan di nombor keempat dalam Rukun Negara. Ini menunjukkan kepentingan prinsip ini dalam negara kita.

Dalam bahasa ringkas, kedaulatan undang-undang bermakna, kerajaan dan rakyat keseluruhannya terikat oleh undang-undang dan wajib mematuhi undang-undang. Definisi ini agak mudah, tetapi inilah prinsip utama dalam konsep kedaulatan undang-undang. Mungkin ada ahli perundangan yang mahu menambah elemen lain dalam definisi ini, tetapi elemen yang saya sebutkan itu menjadi dasar dan tidak ada definisi lain yang lebih rendah maksudnya.

Tiga elemen asas

AV Dicey, seorang ahli falsafah perlembagaan British, memperkenalkan kedaulatan undang-undang dengan tiga elemen asas; ketiadaan kuasa yang dilaksanakan secara sewenang-wenangnya; keluhuran undang-undang dan kuasa budi bicara yang terhad.

Dalam perkembangan terkini, mahkamah, Parlimen dan pakar undang-undang perlembagaan yang lain menghuraikan konsep dan pengertian kedaulatan undang-undang, yang disebut Prinsip Moden Kedaulatan Undang-Undang. Prinsip baharu ini menyatakan bahawa semua undang-undang hendaklah berkesan ke hadapan, iaitu semua undang-undang hendaklah berkuat kuasa bagi penguatkuasaan masa depan dan tidak ada undang-undang retrospektif, di mana undang-undang memberi kesan terkebelakang.

Beberapa lagi prinsip utama di bawah konsep kedaulatan undang-undang ialah, undang-undang hendaklah stabil, tidak mudah dan tidak berubah, badan kehakiman yang bebas, pemakaian prinsip semakan kehakiman dan kebebasan asasi. Di samping itu, prinsip yang lebih terkini dalam konsep kedaulatan undang-undang ialah mahkamah juga harus mudah diakses oleh masyarakat, prosesnya tidak mahal dan terbuka kepada orang ramai

Ringkasnya, kedaulatan undang-undang mengandungi prinsip bahawa semua orang dan institusi tertakluk kepada dan bertanggungjawab kepada undang-undang yang sedang dikuatkuasakan. Ia membawa maksud pentadbiran yang berlandaskan undang-undang; bukan yang dipelopori oleh pemerintah semata-mata.

Oleh itu di bawah konsep kedaulatan undang-undang membawa maksud akauntabiliti kerajaan, akses yang sama ke muka pengadilan, badan kehakiman yang cekap dan undang-undang yang jelas, undang-undang umumnya stabil dan perlindungan hak asasi manusia. Kita mempunyai semua prinsip pengisisan kedaulatan undang-undang ini dalam Perlembagaan walaupun kita tidak mempunyai peruntukan khusus yang menyebut mengenai kedaulatan undang-undang.

Dari segi sejarah Perlembagaan, pada awal penggubalannya, dalam deraf Perlembagaan, prinsip kedaulatan undang-undang ini dinyatakan dengan jelas dalam satu daripada peruntukan Perlembagaan. Namun, selepas perbahasan, peruntukan berkenaan digugurkan daripada deraf terakhir Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, dalam memenuhi konsep kedaulatan undang-undang kita terpaksa melihat kepada keseluruhan peruntukan perlembagaan dengan 'menarik keluar' prinsip yang boleh dikelaskan sebagai prinsip kedaulatan undang-undang. Prinsip kedaulatan undang-undang berkaitan hak asasi ada dalam Bahagian II Perlembagaan, kebebasan kehakiman ada dalam Perkara 125 dan beberapa peruntukan lain.

Prinsip Kebertanggungjawaban kerajaan ada dalam Perkara 43(3) Perlembagaan yang menyatakan bahawa kerajaan bertanggungjawab secara kolektif kepada Parlimen.

Undang-undang yang tidak berkesan ke belakang ada dalam Perkara 7 Perlembagaan sebagai sebahagian kebebasan asasi. Undang-undang yang jelas dan stabil dapat dilihat dalam amalan. Ia tidak dibukukan dalam bentuk peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Garis panduan jelas

Berkaitan konsep kedaulatan undang-undang dan prinsip pentadbiran Islam, kedua-duanya tidak jauh beza. Islam meletakkan garis panduan jelas kepada tanggungjawab pemerintah dan rakyat. Sebagai contoh ketara, Islam mensyariatkan perbincangan dalam konsep syura. Islam meletakkan tanggungjawab pemerintah untuk menghormati yang diperintah dengan meletakkan hak-hak tertentu dan meletakkan juga tanggungjawab pemerintah untuk taat kepada perintah Allah.

Oleh itu, semua prinsip dalam konsep kedaulatan undang-undang itu wujud dalam sistem pentadbiran Islam. Pada umumnya, prinsip pentadbiran Islam tidak jauh beza daripada prinsip kedaulatan undang-undang dimasyhurkan Barat itu. Perbezaan ketara hanya berkisar sekitar sumber konsep berkenaan.

Mungkin ulama atau cendekiawan Islam perlu bekerja dan berfikir lebih kuat untuk berijtihad dan menjelaskan bahawa prinsip kedaulatan undang-undang yang berasaskan wahyu Allah itu lebih baik dalam aplikasinya.
Dr Shamrahayu A Aziz Sinar Harian Kolumnis 6 Mei 2015

IPGM lahir guru berkualiti

Kuala Terengganu: Melahirkan bakal guru yang berkualiti bersesuaian dengan kehendak pendidikan negara serta dunia menjadi tanggungjawab besar yang digalas Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

IPGM yang sebelum ini dikenali sebagai Maktab Harian kemudian Maktab Perguruan, kini ditransformasikan sebagai IPGM bagi menjana kreativiti serta inovasi guru dan bakal guru.

Tiga program utama ditawarkan iaitu Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan, Program Diploma Perguruan Lepasan Ijazah dan Diploma Perguruan Malaysia selain Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP).

Lebih meyakinkan apabila Kurikulum Latihan Guru IPGM yang diguna pakai sekarang dikawal kualitinya oleh ISO dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Malah Kurikulum Guru dimantapkan dengan keperluan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 - 2025.

Ia merangkumi Pengalaman Berasas Sekolah, Pendidikan Inklusif, Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan perkembangan terkini dalam pendidikan guru.

Rektor IPGM Kampus Datuk Razali Ismail, Batu Rakit, Kuala Terengganu Sulaiman Wak berkata, pada peringkat awal IPGM menekankan kepada kemahiran hidup tetapi selepas transformasi ia memberi fokus kepada pengetahuan, kemahiran, nilai, pedagogi dan amali.

“Paling ditekankan ialah Kemahiran Berfikir Aras Tinggi bagi memastikan guru dilahirkan bersedia di lapangan sebenar,” katanya.

Malah mereka diperkukuhkan dengan latihan perguruan meliputi bidang profesional Berasas Sekolah, Pratikum dan Internship.

“Tenaga pengajar atau pensyarah di IPGM juga dipertingkatkan dari sudut kelayakan akademik dengan sekurang-kurangnya mempunyai ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD),” katanya.

Sulaiman berkata, IPGM mempunyai visi sebagai peneraju kecemerlangan pendidikan guru dan pelbagai usaha dijalankan untuk memantapkan Program Pembangunan Insan Guru.

“Kami sangat menitik beratkan kualiti guru yang bakal dilahirkan dan latihan berterusan guru dalam perkhidmatan.

“Standard kemasukan ke program latihan guru ditingkatkan dengan penambahbaikan syarat asas akademik iaitu minimum lima cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Pusat latihan pembelajaran yang memenuhi standard ditetapkan MQA kepada guru dalam perkhidmatan juga disediakan,” katanya.

Menurutnya, selaras dengan PPPM bagi mentransformasi profesion keguruan menjadi profesion pilihan, IPGM mengetatkan syarat kemasukan guru mulai 2014.

“Hanya mereka yang memenuhi syarat asas minimum lima cemerlang dalam SPM dan memenuhi syarat bidang saja dipanggil untuk Ujian Kecerdasan Calon Guru (UKCG).

“Ia bertujuan melahirkan guru berkualiti tinggi yang bukan saja berakademik tinggi malah kemahiran berkomunikasi dan kelebihan lain,” katanya.

Berhubung sambutan hari guru yang bakal disambut pada 16 Mei ini bertemakan ‘Guru: Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak’, Sulaiman berkata, guru memang seharusnya diraikan dan dihargai.

Menurutnya, tanpa kehadiran guru, sebuah negara yang maju tidak akan berjaya dibangunkan justeru menjadi tanggungjawab bersama untuk menghargai dan memberi sokongan kepada seorang insan yang bergelar guru.

Kebahagiaan guru pengaruhi kecemerlangan pelajar

Tema Hari Guru tahun 2015 ini ialah 'Guru: Membina Ilmu, Menyempurnakan Akhlak'. Bagi saya, satu elemen yang cukup penting dalam pembinaan ilmu dan penyempurnaan akhlak adalah kebahagiaan.

Kebahagiaan adalah kesejahteraan dari segi mental atau emosi yang dicirikan oleh emosi positif. Emosi positif termasuklah kepuasan dan rasa kegembiraan yang mendalam. Seorang penulis, Sonia Lyubomirsky dalam buku beliau The Power of Happiness menyatakan bahawa 10 peratus daripada rasa kegembiraan adalah dipengaruhi oleh situasi kehidupan dan keadaan dan baki 40 peratus daripada kebahagiaan adalah sebenarnya tertakluk kepada kawalan diri sendiri.

Tegas beliau dalam buku berkenaan, kebahagiaan adalah sebenarnya suatu pilihan. Penulisan beliau amat bermakna, di mana saya belajar dua perkara penting mengenai menjadi gembira dalam kehidupan.

Pertama, kebahagiaan adalah satu pilihan dan komitmen untuk kekal dengan pilihan bahagia berkenaan adalah tanggungjawab kita. Kita boleh memilih untuk menjadi bahagia atau kita boleh memilih untuk menjadi sedih, marah atau putus asa dan pilihan kita itulah bakal membina semangat atau mengalahkan semangat kita.

Nasihat saya adalah untuk tidak membenarkan sesiapa atau apa-apa saja untuk mencuri kebahagiaan kita kerana ia aset terbesar kita.

Kebahagiaan boleh dipelajari, dicari

Jadi, bagaimanakah kebahagiaan boleh dicapai dan dikekalkan dengan lebih berkesan? Secara peribadi, saya percaya usaha untuk mencapai kebahagiaan boleh dipelajari atau dicari. Antara usaha yang positif yang diamalkan untuk kekal bahagia walaupun menghadapi cabaran harian adalah termasuk:

Berbuat baik kepada semua orang walaupun kepada mereka yang tidak layak.

Sentiasa tersenyum dan menerima cabaran kerana ada hadiah yang tersembunyi dari Tuhan di sebalik cabaran tersebut.

Terima setiap perubahan kerana selagi kita menentangnya, selagi itu ia akan membawa kekecewaan.

Sentiasa mengambil tanggungjawab kerana apabila kita menyalahkan orang lain, kita memberi kuasa kepada orang lain untuk menentukan kebahagiaan kita.

Percaya yang kita boleh mencipta kebahagiaan kita kerana jika kita tidak, tidak ada orang lain yang akan boleh.

Jadilah sebahagian daripada penyelesaian bukan masalah.

Sentiasa meminta nasihat daripada orang yang mempunyai pengalaman, pengetahuan dan kepakaran. Ia akan mempercepatkan lagi perjalanan kita menuju kejayaan.

Sentiasa berpegang pada janji dan kata-kata kita.

Sentiasa memaafkan dan melupakan kesalahan orang lain. Ini akan membebaskan tenaga yang amat positif seperti kegembiraan, kelegaan dan kreativiti.

Agama berkait rapat dengan kebahagiaan, justeru orang yang lebih alim kelihatan lebih bahagia.

Sentiasa merendah diri kerana kerendahan hati adalah satu sifat yang mulia

Sentiasa meluangkan masa untuk bersyukur dan mengingati setiap detik kesyukuran.

Menghargai setiap pengalaman positif.

Guru mempunyai peluang yang luar biasa untuk mempengaruhi suasana pembelajaran pelajar melalui kebahagiaan yang mereka bawakan dalam diri mereka sendiri.

Berdasarkan pengalaman saya selaku seorang pengetua sekolah, saya menyaksikan sendiri bahawa seorang guru yang bahagia akan mengendalikan acara sekolah dan situasi harian dengan cara yang dapat mengekalkan kebahagiaan mereka.

Sebaliknya, saya juga melihat seorang guru yang tidak berpuas hati akan sentiasa menafsirkan pengalaman dengan cara yang seolah-olah mengukuhkan lagi rasa tidak puas hati mereka.

Inspirasi kepada pelajar

Jika kegembiraan dalam pembelajaran dapat diwujudkan untuk pelajar, maka peluang untuk pelajar mencapai matlamat akan dapat dipertingkatkan.

Bukti daripada pengalaman mengajar saya sendiri menunjukkan bahawa pencapaian sebarang matlamat pendidikan akan menjadi lebih mudah jika pelajar mengalami emosi positif seperti kegembiraan.

Ia dapat memberi inspirasi kepada pelajar dan seterusnya menjadikan pembelajaran lebih menarik, bermanfaat dan seperti yang diharapkan. Ini akan membawa kepada hasil yang lebih baik, dapat meningkatkan keyakinan serta harga diri murid.

Dalam erti kata lain, memberi keutamaan kepada kegembiraan dalam bilik darjah juga membawa manfaat yang besar kepada pelajar - baik dari segi akademik, sosial dan emosi yang tentunya sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Sehubungan itu, aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) berhubung pencapaian pelajar adalah dimensi yang paling penting dalam pembelajaran di mana kegembiraan boleh diutamakan.

Kaedah wujud suasana positif

Persoalannya ialah bagaimana guru dapat mewujudkan rasa kegembiraan dan meningkatkan suasana positif dalam bilik darjah? Sharp (2012) atau lebih dikenali sebagai Dr Happy mencadangkan cara untuk guru dapat laksanakan di dalam kelas. Antaranya ialah:

Membina hubungan yang lebih positif dengan pelajar tanpa perasaan prejudis terhadap tingkah laku pelajar (pada masa lampau atau sekarang).

Membabitkan pelajar dengan program, alat bantu mengajar serta apa saja yang relevan, menarik dan dapat menambat minat pelajar.

Menarik perhatian kepada pengalaman lebih positif dalam kehidupan pelajar, masa kini dan masa lalu.

Sentiasa berusaha ke arah membantu pelajar untuk mengenal pasti kekuatan masing-masing.

Secara spesifik, cari kekuatan pelajar ini daripada pengalaman lepas dan membincangkan cara terbaik untuk menggunakan kelebihan ini pada masa depan.

Membina hubungan pelajar-guru yang positif dengan mengenal pasti dan berkongsi minat yang sama dengan melakukan aktiviti faedah pada masa lapang.

Sentiasa mencari jalan untuk pelajar rasa seronok belajar dan diselang selikan dengan penggunaan humor yang sewajarnya (pendidikan adalah terlalu penting untuk dipandang terlalu serius!)

Sentiasa membuat pelajar merasa istimewa dan melakukan apa yang anda boleh untuk membuat mereka percaya bahawa proses pengajaran adalah dan akan menjadi salah satu perkara yang positif;

Menyediakan maklum balas tepat, khusus dan terperinci kepada pelajar mengenai tugasan yang dipertanggungjawabkan kepada mereka, pendekatan mereka untuk melaksanakan tugas itu, dan tahap keyakinan serta kekuatan mereka.

Elakkan memberikan pujian kosong berdasarkan tanggapan sahaja- seperti menggunakan ayat klise seperti - 'anda bijak' atau 'anda bagus.'

Menyediakan banyak pengukuhan positif setiap kali pelajar anda mencapai sesuatu yang penting, tanpa mengira sebesar atau sekecil mana pencapaian berkenaan, atau walaupun pengalaman positif dari masa lalu yang diulang atau disebut semula.

Memupuk harapan dan keyakinan pada setiap kesempatan dengan mengingatkan pelajar mengenai kejayaan dan pencapaian terdahulu.

Dengan memperkukuhkan ingatan mengenai pengalaman ini agar ia boleh digunakan untuk membina lebih banyak perasaan positif pada masa akan datang.

Justeru, guru yang dikasihi sekalian, nikmatilah berkat kebahagiaan yang dianugerahkan atas profesion yang mulia ini.


Pada masa sama, kerajaan akan sentiasa berusaha untuk membantu guru mencapai kebahagiaan dan mengurangkan beban dalam profesion dan kehidupan harian.

Oleh itu, pilihlah untuk menjadi seorang guru yang reda, gembira dan bahagia.

Terima kasih kepada semua guru atas usaha, pengorbanan dan profesionalisme yang ditunjukkan. Selamat menyambut Hari Guru 2015.
Mary Yap Kain Ching Berita Harian Kolumnis 7 Mei 2015