May 8th, 2015

Macam-macam boleh di Malaysia

MALAM kelmarin, di sebuah restoran di Dataran Otomobil, Shah Alam, saya memesan murtabak. Pelayan yang saya percaya warga India itu mengangguk. Dalam beberapa saat kemudian, saya terperasan ada sesuatu yang tidak kena sedang berlaku.

Mana tidaknya. Pelayan itu menuju ke arah dapur tomyam sedangkan tempat murtabak di arah sebelah kanan. Sah, dia tidak faham bahasa rupanya.

Seorang pelayan lain yang berdiri tidak jauh dari saya juga perasan apa yang berlaku kepada rakannya itu, lantas dia memanggil dan beritahu, tukang masak tomyam tidak tahu buat murtabak dan dia harus ke meja tukang murtabak di sebelah kanan.

Pelayan yang kedua itu kemudian bertanya, "minum abang sudah mintak?" "Belum, bagi saya dragon fruit juice ..." Dia membalas tetapi sebutannya agak kurang jelas.

Dia seperti mahu mengajuk sebutan saya tetapi yang kedengaran 'tiger fruit juice'. Katanya, "tiger fruit juice tidak ada." Saya langsung tunjuk menu sambil dalam hati berbisik, "kau pun 2x5 juga!"

Dia kemudian  bertanya seseorang tentang minuman yang saya minta. Orang Indonesia rupanya pelayan yang kedua itu. Mulanya saya sangka dia orang tempatan.

Tidak lama kemudian, murtabak siap. Saya tanya kepada si tukang hantar, mana bawang besar dalam cuka bersirap yang biasa dihidang dengan murtabak.

Sekali lagi pelayan itu kebingungan hingga terpaksa panggil tukang buat murtabak sendiri datang ke meja saya.

Saya ulang tanya soalan yang sama kepada tukang buat murtabak. Terkejutnya saya apabila dia sebaliknya bertanya, "itu bawang mau taruk kicap ka?"

Saya kata, "bukan kicap tapi cuka, vinegar!"

"Oh! Saya tak tau ooo...," katanya mengaku. Pada suatu pagi, di sebuah restoran di Kota Damansara, saya ditanya pelayan warga India apa yang saya mahu untuk makan dan minum. Saya beritahu, roti canai dan teh. Kemudian dia bertanya lagi, "makan?"

Saya tanya dia semula, "itu roti canai bukan untuk makankah?" Ternyata dia tidak tahu apa yang dia cakap dengan saya dan apa yang saya cakap dengan dia melainkan setiap patah perkataan dihafalnya sahaja.

Apabila dia 'kehilangan', dia tidak teragak-agak untuk bertanya semula tanpa masalah dan tanpa rasa bersalah. Mujur seorang lelaki India yang sedang makan di sebelah meja saya terangkan semula kepada pelayan itu dalam bahasa Tamil.

Kalau tidak mungkin dia akan terus bertanya saya makan, minum, makan, minum entah berapa kali! Dua tiga tahun lalu, ada sebuah restoran mamak di Shah Alam yang saya kunjungi hampir setiap hari.

Kadang kala dalam sehari sampai dua atau tiga kali. Makanannya sedap, harga pun berpatutan tetapi selepas satu peristiwa, pijak kaki lima kedai itu pun saya tidak pernah, sampai sekarang.

Alkisahnya, pada satu malam, saya minta nasi goreng sardin. Si pelayan warga Bangladesh bertanya saya semula, "roti sardin?" Saya jawab, "bukan, saya mahu nasi goreng sardin!"

Dengan tidak semena-mena, dia ketawakan saya. Bersungguh-sungguh pula ketawanya. Dengan nada mengejek dia berkata, "nasi goreng sardin mana ada! Roti sardin ada la...." sambil menunjuk ke arah menu di dinding. Darah menyerbu naik ke muka. Malunya saya. Terasa sangat diperbodohkan oleh orang asing itu.

Kemudian dengan suara yang kuat juga, saya kata: "Ini negara saya, saya tahu apa yang ada, apa yang tidak ada di negara saya. Awak tu datang tumpang cari makan, jangan nak berlagak! Kalau tak ada (makanan yang saya minta) di kedai ini, cakap saja tak ada. Mengapa nak ketawakan saya?"

Terus masam manis, masam manis mukanya. Saya suruh dia pergi dan panggil pelayan lain datang ambil pesanan saya. Yang datang itu, lebih senior agaknya berkali-kali minta maaf sambil mengutuk kebiadaban rakannya itu.

Semasa bayar, saya beritahu pengurus kedai itu mengenai sikap kurang ajar stafnya. Apa yang buat saya bertambah sakit hati ialah dia bukan minta maaf malah berkali-kali membela anak buahnya itu atas alasan "dia tidak faham bahasa Melayu."

Saya kata, tidak faham bukan masalah tetapi yang saya tidak puas hati kerana dia ketawakan saya seolah-olah saya orang bodoh yang tidak tahu apa-apa, di hadapan orang ramai pula.

Inilah kehidupan kita di tanah air tercinta ini. Warga asing yang tidak faham sepatah pun bahasa kita, masih boleh datang dan bekerja, di barisan hadapan pula.

Saya bukan anti warga asing tetapi terfikir, kalau kitalah...jika hanya tahu berbahasa Melayu, sanggupkah berusaha sebegitu rupa, merantau ke negara orang untuk cari makan?

Rasanya, ini tidak akan berlaku kepada orang kita, juga tidak berlaku di negara lain melainkan hanya di Malaysia. Muhamad Mat Yakim Sinar Harian Analisis Berita 8 Mei 2015

Anak bukan hak ibu bapa

ANAK anugerah Yang Esa. Ia adalah amanah ALLAH SWT kepada kita yang perlu dijaga dan dibentuk dengan sebaiknya.  Anak perlu dididik atas alasan amanah kepada pencipta bukannya atas alasan anugerah. Anak bukan hak kita tetapi hak Yang Maha Kuasa.

Anak lahir ibarat kain putih bersih yang sempurna tanpa sebarang cacat dan cela.  Ibu bapa perlu mencorakkan dan mewarnakannya dengan corak dan warna sepatutnya. Cantik corak dan warna di kain tersebut maka besarlah anak itu dengan akhlak yang baik.

Sebaliknya jika buruk corak dan warna di kain putih itu maka lahirlah anak-anak yang bakal menghadapi pelbagai masalah menyebabkan mereka lupa akan penciptanya.

Fitrah ialah suci iaitu lawan kepada kufur dan ingkar kepada ALLAH.  Selepas dilahirkan barulah kedua ibu bapa mewarnakan anak itu dan menjadikannya apa yang sepatutnya.

Sejak kebelakangan ini, banyak cerita remaja yang kurang enak didengari terpampang di dada akhbar dan media massa. Pelbagai aktiviti yang tidak sihat dilakukan mereka dan pelbagai akhlak yang tidak baik dipertontonkan mereka. Mereka dihukum masyarakat dengan pelbagai tohmahan tetapi jika difikirkan kembali adakah mereka yang perlu dipersalahkan? Sedangkan yang mewarnakan mereka ialah kedua ibu bapanya.

Seorang anak remaja bercerita, semasa kecil dia menunggang motosikal bersama bapanya. Ketika itu bapanya menghisap rokok dan dia berada di belakang bapanya.  Asap rokok tersebut terkena pada mukanya dan sejak peristiwa itu, terdetik di hatinya ingin merokok.

Ketika berusia 12 tahun remaja itu mula berjinak-jinak dengan rokok.

Berdasarkan cerita ini, bukankah si bapa yang sepatutnya menjadi contoh kepada anak ini untuk tidak merokok? Itu baru rokok, bagaimana pula jika si bapa itu penagih dadah?  Ada kemungkinan si anak boleh terlibat dengan penyalahgunaan dadah.  Hal ini memang terjadi dalam masyarakat kita.  Si bapa menghisap dadah di rumah menyebabkan anak itu ingin mencuba.  Lalu diambilnya dadah tersebut tanpa pengetahuan bapanya dan dicubanya.  Salah siapa? Si anak yang masih mentah atau si bapa yang bermasalah?  Hal ini dikatakan
bapa 'membunuh' atau pun  'derhaka kepada anak'.

Diheretnya sekali si anak ke dalam kancah masalahnya.  Di'bunuhnya' si anak dengan menonjolkan akhlak tidak sepatutnya.

Apa yang kita lihat dewasa ini dengan masalah kegawatan ekonomi, ibu bapa terutamanya daripada golongan pertengahan dan ke bawah begitu sibuk bekerja untuk menampung kehidupan keluarga.   Keduanya bekerja.  Keluar awal pagi dan pulang lewat malam.  Anak di rumah membawa haluan masing-masing kerana tiada pemantauan.  Mereka bosan berada di rumah lalu keluar berpelesiran bersama rakannya.

Daripada situ bermulalah segala kegiatan yang tidak sihat seperti merokok, merempit, melepak, mencuri, meragut, menonton video lucah, seks bebas dan pelbagai perbuatan yang tidak bermoral. Mereka tidak betah duduk di rumah walaupun waktu malam yang sepatutnya dimanfaatkan untuk menelaah pelajaran, sebaliknya digunakan untuk berpelesiran dengan teman.

Ada juga kalangan ibu bapa tidak ambil peduli sikap anak remaja ini.  Tidak dipeduli anak itu ke mana, dengan siapa dia keluar dan pukul berapa dia pulang.  Anak diberi kebebasan sepenuhnya.   Sesibuk mana pun mencari rezeki, anak perlu diutamakan.  Walaupun anak-anak ini boleh mengurus diri sendiri namun mereka tetap perlu dipantau, ditanya khabar, dididik, ditunjuk ajar dan yang paling penting sekali ialah disayangi.

Memang tidak dapat disangkalkan lagi, pendidikan agama dapat membendung remaja daripada terjerumus ke aktiviti yang tidak sihat.  Memang betul di sekolah terdapat subjek pendidikan agama Islam dan pendidikan moral tetapi tidak adil jika pendidikan agama anak-anak kita dilepaskan kepada ustaz, ustazah dan guru di sekolah.

Bukankah kita sebagai ibu bapa perlu mencorakkan anak dan juga memegang amanah daripada Yang Esa dalam mendidik anak-anak? Perkara ini menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan anak mendapat pendidikan agama sepatutnya.  Akibat kealpaan sesetengah ibu bapa, ramai remaja kita tidak tahu ibadat solat dengan betul.

Pernah ada beberapa remaja mengadu mereka tidak tahu membaca bacaan dalam solat.  Hal ini kerana ibu bapa mereka langsung tidak menghiraukan perihal ibadat solat anak.   Jika amalan solat tidak diamalkan, jiwa seseorang itu kosong dan menggamit si anak ke kancah tidak bermoral.

Dalam mendidik anak, Rasulullah SAW ialah insan sepatutnya menjadi ikutan ibu bapa. Mendidik anak memerlukan ilmu pengetahuan yang cukup dan suri teladan untuk diteladani.

Terdapat empat peringkat mendidik anak mengikut sunnah Rasulullah SAW:

Peringkat pertama iaitu ketika anak-anak berusia 0-6 tahun. Pada masa ini, Rasulullah SAW menyuruh kita untuk memanjakan, mengasihi dan menyayangi anak dengan kasih sayang tidak berbatas.

Peringkat kedua iaitu ketika anak berusia 7-14 tahun.  Kita mula menanamkan nilai disiplin dan tanggungjawab kepada anak.

Peringkat ketiga, ketika anak berusia 15-21 tahun. Inilah fasa remaja yang penuh sikap memberontak. Pada tahap ini, ibu bapa seeloknya mendekati anak dengan menjadi kawan. Banyakkan berborak dengan mereka mengenai perkara yang mereka hadapi. Sekiranya tidak
bersetuju dengan sebarang tindakan mereka, elakkan mengherdik atau memarahi mereka terutama di hadapan adik-beradik yang lain.

Peringkat keempat iaitu ketika anak berusia 21 tahun dan ke atas. Inilah masa ibu bapa untuk memberikan sepenuh kepercayaan kepada anak dengan membuat keputusan mereka sendiri.

Remaja memerlukan ibu bapa dalam setiap aspek kehidupan.  Ketika masih kecil, ibulah yang akan menjadi tempat anak bermanja-manjaan dan mengadu cerita tetapi di kala anak memasuki alam remaja, bapa yang sepatutnya menjadi insan yang rapat kepada anak-anak ini terutamanya anak lelaki yang memerlukan bapa sebagai teladan.

Baik bapa, baiklah anak, bak kata pepatah 'bapa borek, anak rintik.'  Oleh itu wahai bapa, tepuk dada, tanya iman, anak macam mana yang mereka inginkan.  Jika inginkan anak berakhlak mulia, maka bapa perlulah berakhlak mulia.

Norul Aini Sulaiman ,  (Penulis adalah penuntut sarjana kaunseling dari Open University Malaysia Sinar Harian Rencana Analisis Berita 8 Mei 2015