May 12th, 2015

UMNO harapan orang Melayu

HARI INI parti induk orang Melayu yang ditubuhkan pada 11 Mei 1946 me­nyam­but ulang tahun ke-69. Sementara seribu kesyukuran perlu dilafazkan kerana Allah SWT masih mengizinkan UMNO terus bernafas dalam arena politik negara, namun pelbagai usaha dan langkah harus dilakukan segera bagi mengukuhkan kembali kedudukan parti itu.

Mahu tidak mahu, suka atau tidak, semua pihak perlu mengakui UMNO menyambut ulang tahunnya ketika ‘tubuhnya’ sedang dibelenggu dengan pelbagai isu. Dalam masa yang sama, krisis keyakinan semakin menghantui parti yang menjadi harapan orang Melayu itu.

UMNO tidak ada masa lagi untuk beretorik atau bersikap hipokrit. Langkah segera perlu dilakukan untuk mengembalikan keyakinan orang Melayu kepada parti keramat tersebut. Sekarang bukan lagi masa untuk bernostalgia dengan kejayaan silam, apatah lagi melihat kejayaan kecil sebagai pegangan bahawa UMNO masih kukuh di hati rakyat.

Sebaliknya, sekarang adalah masa untuk UMNO bermuhasabah dalam erti kata sebenar. Bermuhasabah bagi mencari jalan mengembalikan keyakinan orang Melayu terhadap parti itu termasuklah dalam kalangan orang UMNO itu sendiri.

Sejarah politik negara sudah membuktikan UMNO sememangnya parti yang amat berjasa kepada orang Melayu, tidak ada seorang pun anak Melayu yang boleh mengatakan mereka tidak termakan budi dengan UMNO tetapi apakah UMNO selama-lamanya mahu berpegang kepada jasa-jasa silam semata-mata?

Perlu difahami walaupun bernama Melayu tetapi masih ramai orang Melayu yang mahu melihat UMNO tidak lagi memegang tampuk kekuasaan. Mungkin kerana benci dan dendam, mungkin kerana muak dan bosan maka mereka bersikap demikian. Bukan salah UMNO, parti tidak bersalah tetapi yang bersalah segelintir pemimpin yang berada dalam parti itu, yang masih belum mahu insaf untuk melihat realiti sebenar.

Kita perlu akui sehebat manapun parti yang dianggotai oleh orang Me­layu sama ada di dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahupun Pas, mereka tidak akan mampu menandingi keupayaan UMNO membela nasib orang Melayu. Kedua-dua parti itu tidak ada kemampuan dan ke­upayaan untuk melawan kehendak DAP yang dilihat jauh lebih berkuasa.

Fakta ini semua orang tahu, fakta ini semua orang fahami tetapi apakah ini bermakna UMNO boleh berasa selesa dengan keadaan itu? Sedarlah! Pemikiran orang Melayu sudah jauh berubah. Keputusan pilihan raya telah membuktikan bagaimana dari semasa ke semasa sokongan orang Melayu semakin berkurangan bukan kerana mereka tidak memahami jasa UMNO kepada negara tetapi mereka merasakan terlalu banyak masalah yang menyebabkan mereka marah kepada UMNO.

Oleh itu sekarang bukanlah lagi masa untuk UMNO bersenang-lenang dengan dibuai mimpi indah bahawa majoriti orang Melayu masih bersama parti itu. Kita akui sedikit sebanyak ia ada kebenarannya se­perti mana keputusan dua pilihan raya kecil baru-baru ini iaitu di Permatang Pauh dan Rompin. Pengundi-­pengundi Melayu masih setia dengan UMNO manakala pengundi-pengundi bukan Melayu yang selama ini dilayan segala kehendak mereka oleh kerajaan terus menjauhkan diri daripada UMNO dan BN.

Bagaimanapun kita juga perlu mengakui bahawa dalam kalangan ahli-ahli UMNO sendiri ada yang tidak mengundi parti itu dalam kedua-dua pilihan raya tersebut. Mereka dikatakan marah dengan pelbagai isu melibatkan kerajaan yang UMNO menjadi tonggaknya. Kenapa itu berlaku?

Segalanya kerana kelemahan yang cukup ketara dari segi pene­rangan. Jangan marah apabila ada pihak dalam UMNO sendiri menyifatkan parti itu berada dalam ‘zaman penerangan paling lemah’ dalam sejarahnya. Keadaan itu berlaku bukan kerana salah UMNO tetapi salah mereka yang diberi tanggungjawab untuk melaksanakan tugas tersebut. Sehingga ke hari ini, penulis diberitahu, UMNO masih teraba-raba mencari jalan bagaimana hendak menentang kebiadaban Red Bean Army - yang menjadi ancaman besar kepada BN dalam pilihan raya umum.

UMNO perlu mengkaji perkara ini secara mendalam dan mengatasi segera masalah tersebut kerana parti itu mempunyai tempoh dua tahun setengah lagi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14. Langkah segera perlu dilakukan untuk memperkukuhkan jentera penerangan termasuklah dari segi ‘peperangan dalam alam maya’.

Ketika ditanya apakah usaha yang harus dilakukan oleh UMNO bagi mengembalikan keyakinan orang Melayu kepada UMNO, Naib Ketua UMNO Bahagian Rasah, Datuk Abdul Karim Mustafa berkata, cara terbaik ialah turun berkhidmat dan beri penerangan kepada rakyat di peringkat akar umbi.

Tegas beliau, sekarang bukanlah lagi masa untuk UMNO berada dalam sindrom penafian sebaliknya mempertingkatkan usaha turun ke akar umbi bagi bertemu rakyat secara bersemuka supaya mereka merasakan UMNO dekat dengan mereka dan bagi membolehkan sesuatu isu yang diputar belitkan dalam media sosial diberi penjelasan.

“Kalau kita gagal menjelaskan isu dengan ‘terkoordinasi’ orang akan menerima apa yang lebih dipercayai kerana akhirnya penipuan yang terancang adalah lebih diterima daripada kebenaran yang tidak tersusun,” katanya dihubungi.

Abdul Karim adalah generasi muda dalam UMNO, beliau antara ju­taan pengundi muda yang bakal membuat penentuan siapa parti yang mereka mahu meneruskan kesinambungan pemerintahan negara. Ramai anak muda seperti Abdul Karim yang masih tetap percaya dan yakin bahawa UMNO tetap menjadi sandaran dan harapan orang Melayu.

Tetapi soalnya bagaimanakah UMNO khususnya melalui sayap Pe­­muda dan Puteri memainkan pe­ranan bagi meraihkan sokongan orang muda kepada parti tersebut? Apakah mencukupi program-­program yang diadakan atau ia sekadar program ‘syok sendiri’?

Namun begitu sama ada UMNO akan terus kukuh atau tidak, berjaya atau tidak, mampu menarik sokongan rakyat atau tidak, ia bergantung sejauh manakah pemimpin dan ahli UMNO bekerja dalam satu pasukan di bawah kepemimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Memang benar sekarang terlalu banyak isu yang perlu dihadapi tetapi inilah dunia politik. Sesebuah parti tidak akan sepi daripada kon­flik, krisis mahupun isu tetapi soalnya bagaimana ia ditangani? Apakah dengan cara mengubah pemimpin? Apakah dengan cara mendiamkan diri? Atau apakah dengan membiarkan rakyat faham dengan sendiri?

Terserahlah kepada UMNO bagai­mana untuk membuat pendirian. Te­­tapi apa yang pasti, UMNO tetap menjadi harapan orang Melayu untuk mempertahankan hak dan memperjuangkan nasib mereka. Tidak ada parti lain yang layak atau berkemampuan berbuat demikian, apatah lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu yang tidak mempunyai kuasa politik. Inilah hakikatnya!

Oleh itu, pendekatan UMNO perlu berubah, kembalilah kepada rakyat, utamakan rakyat, dekatilah rakyat kerana seperti mana kata Abdul Karim, UMNO perlu ‘meluaskan padangnya’ dengan berkhidmat kepada rakyat sepenuhnya dan bukan hanya kepada ahli parti itu.

Justeru sempena ulang tahun ke-69, pemimpin-pemimpin UMNO khususnya, perlu benar-benar ber­muhasabah untuk menangani se­ga­la permasalahan yang berlaku. Carilah pendekatan terbaik bagi memastikan UMNO kembali mengukuhkan kedudukan di hati rakyat, terutamanya orang Melayu, bukannya pendekatan yang akhirnya ibarat ‘lesung sama lesung bergaduh, ayam di bawah kekenyangan’.

Perjuangan UMNO tidak terhenti

SETELAH genap 69 tahun kelahiran UMNO semalam, setiap orang Melayu seharusnya menghargai jasa parti berkenaan yang telah terbukti berjaya menjadi tulang belakang pemerintahan negara ini sejak sekian lama.

Melalui pemerintahan yang diterajui UMNO dan rakan-rakan dalam Barisan Nasional (BN), Malaysia berjaya muncul sebagai sebuah negara bermaruah dan disanjung tinggi di dunia. Malah kemajuan Malaysia terlaksana dan terbina secara konsisten sejak merdeka sehingga kini.

Sejarah membuktikan UMNO adalah parti praktikal, yang mana segala program dan dasar digubal mengambil kira pendekatan yang menyeluruh, demi kepentingan bangsa, rakyat semua kaum dan negara, bukan sekadar untuk jangka pendek tetapi untuk jangka panjang.

Kenyataannya, kesepaduan, ke­sepakatan UMNO dan sahabat dalam BN adalah semakin matang serta utuh. Satu suasana yang gagal ditiru oleh pakatan pembangkang.

Walau bagaimanapun, terdapat percubaan yang tidak pernah terhenti oleh pihak-pihak yang ingin menggugat perjuangan UMNO. Semua agenda dan program kerajaan disanggah dan dicari mana-mana sudut yang kononnya dianggap lemah serta silap. Gambaran yang cuba dibawa seolah-olah kerajaan yang ada hari ini tidak berwibawa, tidak telus, malah tidak lagi relevan.

UMNO antara parti politik tertua di dunia itu sering dituduh hanya mementingkan kaum Melayu dan meminggirkan kepentingan kaum lain. Betulkah?

Bagi yang rasional dan melihat suasana di Malaysia dengan ‘mata hati’ tentu menerima hakikat bahawa semua kaum di negara ini mempunyai peluang saksama dalam memajukan diri dan kaum masing-masing.

Setiap warga Malaysia hanya boleh menanyakan, “Apa yang sebenarnya menyekat aku dan bangsaku membina kemajuan?”. Jawapannya tentulah, “Siapa yang rajin berusaha, dia akan berjaya!”. Malah, berjuta rakyat asing kini turut menikmati kemakmuran Malaysia. Mereka berlumba-lumba datang ke Malaysia.

Golongan atau individu yang sering melemparkan bermacam tuduhan buruk terhadap UMNO seolah-olah berada dalam kelompok parti yang kuat kedudukannya. Mereka ‘yang pandai bercakap’ atau yang ‘bercakap berdegar-degar’ ini seolah-olah sudah dapat membuktikan kepada umum bahawa mereka baik secara individu mahupun parti yang mereka wakili, benar-benar berjaya membela nasib rakyat.

Maju sangatkah Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang sejak di bawah pembangkang? Terengganu di bawah Pas satu penggal dulu macam mana? Tertunaikah segala janji pada pilihan raya umum (PRU) lalu? Berapa banyak peluang pekerjaan baharu yang telah disediakan?

Pertanyaan seumpama ini sepatutnya diajukan kepada tokoh-tokoh yang ‘berselera besar’ me­nuding jari menyalahkan kerajaan. Jangan biarkan mereka menggunakan kekuatan ‘kuasa pengucapan umum’ yang mempesonakan rakyat sehingga langsung tidak terfikir betapa apa yang disebutkan itu sarat dengan fitnah dan nista semata-mata.

Pada hal, di sesetengah kawasan di Kelantan umpamanya, ada wakil rakyat pembangkang hanya menjenguk kawasan lima tahun sekali (musim PRU). Keadaan ini berlaku ekoran sikap taksub rakyat terhadap perjuangan parti yang berlabel Islam, sehingga tidak pernah persoalkan tahap kemajuan yang dibawa untuk mereka.

Bagi UMNO, perjuangannya tiada istilah terhenti di mana-mana. Perjuangannya mengisi dan menepati tuntutan semasa. Harapan besar kerajaan yang didokong oleh UMNO dan rakan-rakan dalam komponen BN adalah untuk menjadikan Malaysia tanah air yang kondusif untuk didiami selain tinggi maruahnya di mata dunia.

Antara persoalan sekarang adalah sama ada ‘pasaran produk kerajaan’ tidak dilaksanakan de­ngan berkesan atau mungkin rakyat sudah tidak gemar lagi mendengar tentang program dan dasar kerajaan untuk kesejahteraan rakyat.

Apa yang dibimbangkan kini terdapat suatu kecenderungan untuk mempercayai bulat-bulat apa yang disebarkan oleh pembangkang sehingga rakyat jadi keliru dan terhakis keyakinan terhadap kerajaan.

Cabaran yang mengekori UMNO juga datangnya dari dalaman parti. Sebahagian puncanya mungkin dengan kehadiran ahli-ahli baharu. Mungkin mereka hanya mahu menjadi ahli parti tetapi tidak tahu atau tidak ambil tahu perjuangan sebenar parti.

Ekoran daripada keadaan itu, anutan terhadap perjuangan parti dibimbangkan menjadi rapuh dan mungkin mudah terikut-ikut de­ngan rentak pembangkang. Dikaitkan pula dengan pengaruh media sosial yang terdedah dengan pelbagai sumber sama ada sahih atau fitnah. Jika tidak hati-hati akan berlaku kekeliruan dan kecelaruan minda. Akibat daripada itu, kepatuhan dan keyakinan kepada parti menjadi goyah.

Lebih malang jika ada yang meng­anggotai UMNO dengan niat sekadar untuk senang mencari makan. Golongan ini cenderung untuk merebut peluang secara mudah dengan menggunakan platform parti lalu wujudlah golongan apa yang dilihat ‘cepat kaya’. Ekoran itu akan wujud pula kem-kem ter­tentu untuk mendominasi peringkat cawangan dan bahagian.

Suasana begini ditonton umum. Sedikit demi sedikit rakyat membuat persepsi sendiri. Akan timbullah pelbagai tohmahan dan prejudis. Benar, bukan semua pihak dalam UMNO bertindak begitu. Tetapi harus faham, suasana kehidupan kini ibarat ‘tinggal di rumah kaca’. Segala gerak geri diperhati umum. Akhirnya mereka membuat penilaian dan kesimpulan tersendiri.

Justeru langkah Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak menerapkan transformasi dalam parti dianggap bijak dan tepat. Antaranya penerapan konsep ‘peremajaan’. Pendekatan yang membuka laluan kepada kemasukan ahli-ahli baharu daripada kalangan orang muda serta meremajakan pemikiran seluruh ahli sedia ada.

Diharapkan lebih ramai golo­ngan muda termasuk golongan profesional dan akademik me­nyertai serta sedia berjuang bersama UMNO. Giatkan pendaftaran ahli dan pengundi baharu. Masa depan parti terletak pada ahli-ahli muda yang ada sekarang.

Selain itu, adalah penting, ter­utama di saat-saat menyambut ­ulang tahun kelahiran begini, semua ahli perlu jujur bermuhasabah dan membuktikan kepada umum bahawa UMNO tetap relevan. Semua ahli juga perlu benar-benar menghayati slogan ‘sayangkan parti’. Kekuatan parti mesti dipertahan, keutuhan parti perlu dijaga dan maruah parti perlu dipelihara. Selamat terus berjuang UMNO! -  Sayuti Mukhtar Utusan Malaysia Rencana 12 Mei 2015

Melayu Bersatu

Salam sejahtera, salam Satu Malaysia. Yang Amat Berhormat, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri. Yang Berhormat Naib-Naib Presiden, Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri, Ahli-Ahli Majlis Tertinggi, Wanita, Pemuda, Puteri dan Exco masing-masing.

Presiden dan wakil parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) yang hadir, saya ucap terima kasih. Sahabat kita dari Indonesia, Bapak Surya Dharma Paloh, Ketua Umum Parti Nasdem (Nasional Demokrat) dan yang kita raikan semua ahli-ahli UMNO yang berhimpun dalam dewan dan juga luar dewan.

Alhamdulillah, pada malam ini sekali lagi kita dapat berkumpul untuk meraikan suatu peristiwa, suatu detik yang cukup bermakna lagi bersejarah, tarikh kelahiran parti keramat kita, parti UMNO. Hari ini, hari yang ditanda dengan tinta sejarah. Hari ini, hari yang menjadi simbolik pembelaan untung nasib orang Melayu dan negara pada ke­seluruhan.

Justeru pada hari yang cukup bermakna ini, bila kita berkumpul sudah tentu kita ingin mengha­yati sesuatu mesej, sesuatu isyarat mengapa kita berkumpul, mengapa kita bersama-sama di dalam Dewan Merdeka ini. Jika kita menoleh ke belakang walaupun dalam perju­angan yang kita utamakan ialah untuk melihat ke hadapan, namun sejarah merupakan guru bagi kita, guru yang terbaik bagi kita, kerana kalau kita tidak belajar daripada sejarah, maka bak kata orang tua-tua, kita akan dihukum oleh sejarah.

Sejarah kegemilangan bangsa Melayu, sejarah wujudnya dan mulanya bangsa yang bermaruah, bangsa yang merdeka, bangsa yang berdaulat ialah kerana apabila kita mengetepikan segala perasaan, se­gala pemikiran yang terkongkong dengan sebarang emosi dengan pemikiran kenegerian dan kesukuan.

Bila kita kata bahawa bangsa Melayu akan jadi bangsa kuat sekiranya kita menjadi bangsa yang percaya pada perjuangan, perjuangan yang lebih besar, sebab itu kita kata parti kita parti kebangsaan, parti nasional, parti yang mewakili semua orang atas nama Melayu dan Bumiputera.

Jadi pada tahun 1946, kita tahu di Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru, ramai persatuan anak-anak Melayu berkumpul atas nama anak negeri, atas nama anak-anak Boyan, barangkali anak-anak Jawa dan lain-lain lagi, tapi dengan satu tujuan sahaja bahawa kalau kita berpecah dalam kumpulan kecil kita tak mungkin jadi mangsa yang bermaruah.

Akhirnya di tangga Istana Besar Johor Bahru, 69 tahun yang lalu, maka pengasas-pengasas kita telah berjaya mewujudkan UMNO yang kita kenali sampai hari ini. Semua­nya itu menjadi kenyataan, kerana apa? Kerana Melayu bersatu, sebab itu pada malam ini kita pilih Melayu Bersatu sebagai tema hari lahirnya UMNO.

Puisi yang telah dibaca nukilan Datuk Seri Zahid (Dr. Ahmad Zahid Hamidi) pun temanya Melayu Bersatu, ucapan Datuk Seri Diraja Datuk Rosli (bekas Menteri Besar Perak, Tajol Rosli Ghazali) mewakili veteran UMNO temanya juga bersatu, berdirinya saya di sini sebagai Presiden UMNO! tema saya juga Melayu Bersatu.

Saya percaya inilah mesej yang ternilai bila kita berhimpun pada malam ini, mungkin kita sebut bersatu itu mudah tetapi nak mengamalkannya, nak menghayatinya mungkin lebih sukar, tetapi boleh menjadi kenyataan kalau niat di hati kita tidak lain dan tidak bukan, kita bukan penting, we are not important but UMNO is more important.

Kalau kita percaya bahawa parti kita itulah harapan kita, pemimpin boleh pergi pemimpin boleh datang, tetapi kalau parti masih kuat, perjuangan boleh diteruskan, saya kata kuat bererti kita mesti ada kuasa, kalau kita wujud sebagai sebuah parti tanpa kuasa tiada erti sama sekali.

Justeru sebagai sebuah parti yang sudah lahir selama 69 tahun lamanya, dan hari ini di Dewan Parlimen, kita adalah parti terbesar dalam Dewan Parlimen, 88 kerusi daripada 222 kerusi adalah milik parti UMNO kita.

Dengan kekuatan yang ada pada kita, kita mesti pertahankan kekuatan itu dalam apa jua keadaan, UMNO telah melalui pelbagai ujian dan dugaan dalam sejarah. Sekali lagi dalam lipatan sejarah, daripada peristiwa pengasas UMNO me­ninggalkan UMNO, daripada Biro UMNO menubuhkan Pas, daripada peristiwa UMNO diharamkan dan terpaksa disusun semula, daripada pelbagai-bagai peristiwa lain termasuk pertandingan pada tahun 1987 dan lain-lain lagi ujian getir yang telah dilalui oleh UMNO.

Tetapi semuanya itu, telah dapat kita tempuh dengan jayanya, bukan kerana kebijaksanaan pemimpin UMNO sahaja, tetapi lebih daripada itu, kerana bila pemimpin mempunyai penyokong-penyokong yang setia dan kuat, pada masa itu, pe­mimpin boleh percaya, saya yakin dan percaya bahawa keadaan se­perti ini, formula seperti ini, masih relevan sampailah pada hari ini.

Yang berubah cumalah perseki­taran yang lebih mencabar, persekitaran lebih menguji kaedah-kaedah kita umpamanya penyebaran maklumat termasuk fitnah yang dahsyat melalui media sosial dan online memperlihatkan persekitaran yang baru. Persepsi lebih pen­ting daripada realiti, itu merupakan perubahan paradigma walau apa juga perubahan persekitaran UMNO mesti mampu menyesuaikan dirinya menjadi parti yang re­levan pada masa kini dan pada masa akan datang.

Saya percaya UMNO berjaya ke­rana apa? Kerana kita memen­tingkan bukan sahaja ahli kita dalam dewan ini, tetapi ahli UMNO dan rakyat jelata yang ada di luar dewan ini yang akan menilai setiap gerak geri dan tindakan serta keputusan kita.

Ingatlah bahawa sebagai sebuah parti yang mengamalkan sistem demokrasi pada akhirnya rakyatlah yang akan menentukannya. Sebab itulah saya ingin mengajak kita semua menyanjung tinggi ikrar sokongan, lafaz sokongan, tetapi saya sedar dengan segala rendah diri bahawa saya perlu memimpin sebuah parti yang mendapat sokongan yang kuat dalam kalangan rakyat Malaysia.

Sebab itulah saya, mengajak tuan-tuan dan puan-puan sekalian, dan mengingatkan pada diri saya, bahawa bila saya ambil alih kepimpinan negara, saya memilih cogan kata Satu Malaysia Rakyat Didahulukan. Saya mesti meng­ingatkan pada diri saya bahawa rakyat mesti kita dahulukan.

Apabila rakyat berasa senang pada parti kita dan kerajaan, apabila program kita sampai kepada rakyat, apabila saya mementingkan sesuatu bersama-sama dengan tuan-tuan dan puan-puan, umpamanya bila ditanya di mana kemahuan untuk berjuang walaupun dalam apa jua keadaan saya jawab, perjuangan saya adalah untuk mereka yang impikan Malaysia yang maju dan adil. Perjuangan saya adalah bagi mereka yang ingin membeli rumah yang mampu dimiliki oleh mereka. Perjuangan saya adalah untuk membantu ibu bapa yang memberi tanggungjawab besar menghantar anak-anak ke sekolah.

Perjuangan saya adalah untuk mereka yang ingin memulakan perniagaan tetapi susah untuk mendapat kredit. Perjuangan saya adalah untuk graduan yang ingin mendapat pekerjaan. Perjuangan saya adalah untuk merapatkan jurang pendapatan rakyat terutama di luar bandar. Perjuangan saya adalah untuk mereka yang susah kerana kos sara hidup dan perjuangan saya adalah untuk membantu semua rakyat yang memerlukan pertolo­ngan dari kita.

Inilah yang boleh saya ungkapkan daripada ayat-ayat tersebut merangkumi manifestasi apa sebenarnya yang mendorong saya selama 40 tahun untuk meng­abdikan diri saya dalam politik, berjuang dari bawah sampai ke puncak semata-mata kerana saya ingin ber­khidmat untuk rakyat dan negara Malaysia yang tercinta.

Sebab itulah kita akan teruskan dengan dasar-dasar kita. Kadang-kadang tidak popular, tetapi dalam jangka panjang saya yakin akan menunjukkan ketepatan dan kebenaran dasar-dasar. Hari ini tuan-tuan puan-puan kita sambut tarikh lahirnya UMNO. Kita telah adakan mesyuarat Majlis Tertinggi petang tadi.

Mesyuarat Majlis Tertinggi antara yang terbaik yang pernah kita adakan selama ini. Mengapa saya kata begitu, di luar macam-macam cerita, macam-macam rekaan oleh pihak-pihak yang ingin melihat kita berpecah, melihat kita mengadu-domba antara kita sesama kita, meracuni fikiran pemimpin-pe­mimpin menyebabkan kita gelisah.

Mereka semua itu bukanlah orang yang sayang dan cinta parti UMNO. Hari ini saya lihat kematangan ahli-ahli Majlis Tertinggi kerana seia sekata dengan kata-kata yang bulat, Majlis Tertinggi kata bahawa mereka ingin melihat pucuk pimpinan UMNO khususnya Presiden UMNO dan Timbalan Presiden seiring dalam mentadbir parti UMNO. Dan saya ingin nyatakan ini jugalah harapan saya, semoga dalam kita mempunyai barisan pemimpin-pemimpin yang serasi dan saling percayai antara satu sama lain, maka sudah tentu ini akan menjadi isyarat yang jelas bahawa kalau di atas kukuh, sudah tentu di bawah pun akan turut padu dan bersama-sama dalam semangat dan ikatan yang sempurna. Oleh itu, tuan-tuan dan puan-puan sekalian, itulah mesej hari lahir UMNO yang ke-69. Marilah kita berdoa, semoga tahun-tahun mendatang kita akan sambut lagi ulang tahun UMNO dan kita sambut kerana apa? Kerana kita masih parti yang kuat, gagah perkasa dan mendapat sokongan yang padu daripada rakyat.

Saya yakin anda percaya kita mampu melakukan perkara ini, kita mesti terarah dalam kerja-kerja kita. Buatlah segala-gala yang patut untuk menguatkan parti kita.

Janganlah buat yang tak patut, buatlah yang patut. Mudah-mudahan dengan ini kita akan berjaya dalam perjuangan kita.

Hidup UMNO! Hidup UMNO! Hidup UMNO!   - Utusan Malaysia Rencana 12 Mei 2015

Hayati prinsip kedua Rukun Negara

MALAYSIA merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan di mana Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara. Selaras dengan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai raja mengikut Perlembagaan, sistem beraja juga diamalkan di setiap negeri dan Yang di-Pertuan Negeri ialah pemimpin bagi negeri-negeri yang tiada raja.

Pada Rukun Negara Malaysia yang kedua iaitu Kesetiaan Pada Raja dan Negara bermaksud setiap warganegara hendaklah menumpukan sepenuhnya taat, setia, jujur dan ikhlas kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara, Raja-raja sebagai ketua negeri-negeri dan Yang di-Pertuan Negeri sebagai ketua bagi negeri-negeri yang tidak beraja di tempat yang mereka bermastautin tanpa mengurangkan taat setia kepada baginda.

Namun, pada masa ini terdapat beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab telah mencalarkan prinsip Rukun Negara yang kedua. Puak-puak penghasut ini telah menggoyahkan kesetiaan rakyat pada Yang di-Pertuan Agong, raja-raja serta Perlembagaan negara di mana mereka mempromosikan sebuah negara yang bersifat Republik, iaitu sebuah negara yang diperintah oleh ketua negara yang dipilih oleh rakyat dan bukannya bersifat monarki, iaitu beraja.

Raja-raja dan Sultan-sultan sebagai ‘Tuan Tanah’ pada negara ini. Namun sentimen Republik itu bukan sahaja telah disuntik ke dalam hati dan jiwa rakyat kita sahaja, ada juga rakyat-rakyat dari negara lain yang telah diracun pemikiran mereka sehingga akan mempertikaikan perihal kuasa Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu.

Jika di zaman kerajaan Melayu lama, mereka ini akan dikhususkan sebagai pengkhianat negara dan raja. Hukuman bagi pengkhianat sebegini ialah mati. Pada zaman kini pun, masih banyak negara-negara lain yang menjatuhkan hukuman bunuh pada mereka yang telah khianat pada negara.

Sebagai contoh di negara China, Vietnam dan Korea Utara, para pengkhianat akan ditembak mati di kepala mereka oleh pihak berkuasa. Lain pula di negara-negara Barat seperti England, Perancis, Sepanyol dan lain-lain. Mereka mengenakan hukuman penjara seumur hidup pada pengkhianat negara.

Pengkhianat negara

Perbuatan khianat juga memercikkan implikasi kepada dua dimensi kehidupan iaitu dimensi kerohanian (spiritual) dan dimensi sosial. Perbuatan khianat dalam dimensi kerohanian menyerlahkan sikap melanggar dan menentang ketentuan Allah SWT dan Rasul-Nya. Orang yang berbuat khianat, sama ertinya dengan mengkhianati Allah dan Rasul. Hal ini ditegaskan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati amanat yang dipercayakan kepadamu, sedangkan kamu mengetahui. (al-Anfal: 27)

Di dalam ayat tersebut pun telah jelas menyatakan tentang larangan khianat walaupun kepada amanat yang telah diberikan. Begitu pun, setiap masyarakat patut mempunyai nilai kesedaran yang tinggi terhadap pentingnya antara kita semua untuk memberikan sokongan penuh kepada ketua negara yakni menunjukkan kesetiaan kepadanya ialah apabila negara kita telah diancam daripada pelbagai faktor terutama sekali bencana alam.

Ketika negara ditimpa bencana, raja-raja akan bersama-sama dengan rakyat bagi membantu mereka yang menjadi mangsa bencana itu. Dari situ, institusi raja-raja dapat menitahkan kepada pihak yang berwajib agar segera memberikan pertolongan serta bantuan kepada mangsa-mangsa.

Sebagai contoh lain juga, jika seseorang rakyat Malaysia yang berada di luar negara menghadapi kesusahan, maka kedutaan negara kita sebagai wakil Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab untuk membantunya. Di sini kita boleh lihat sebuah rangkaian daripada rakyat yang setia kepada raja dan negara kepada raja-raja yang menjalankan amanah mereka iaitu memberikan perlindungan kepada rakyat negara yang setia itu.

Walau bagaimanapun, kesetiaan kepada raja dan negara ini juga ada batasannya. Tiada gunanya jika kita memberikan kesetiaan kepada raja yang zalim kepada rakyatnya. Bak kata pepatah Melayu yang bermaksud “Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah.”

Sebab itu sejak Zaman Kesultanan Melayu lagi raja yang zalim pasti akan ditentang oleh rakyat. Sebagai contoh, Sultan Mahmud Shah iaitu yang telah mangkat akibat dibunuh oleh rakyat negerinya sendiri.

Raja Mahmud mangkat dijulang

Menurut kitab Hikayat Tuhfat al-Nafis, kisah ini berlaku apabila Laksamana Bentan, iaitu Megat Seri Rama telah berperang untuk menumpaskan lanun di perairan Johor. Pada suatu hari, isterinya iaitu Dang Anum yang sedang mengandung telah bertemu dengan penghulu kebun yang sedang membawa buah nangka untuk dipersembahkan kepada sultan.

Dang Anum telah meminta seulas nangka itu kerana ia telah mengidam akan keenakan rasa nangka yang sedap itu. Ketika Sultan Mahmud sedang menyantap nangka itu, kemudian baginda menyedari bahawa nangka yang hendak disantapnya itu ada kesan telah diusik orang.

Baginda begitu murka dan memerintahkan siasatan dijalankan dan telah mendapati bahawa yang memakan seulas nangka itu ialah Dang Anum. Beliau telah ditangkap dan telah dibelah perutnya sehingga menyebabkan kematian.

Beberapa hari kemudian, Laksamana telah kembali ke kampung halaman untuk bertemu isteri tercinta yang sedang mengandung anaknya itu setelah pulang daripada peperangan. Setelah mendengar akan khabar berita daripada Tun Aman berkaitan kematian isterinya itu, Megat Seri Rama telah berasa marah yang teramat sangat.

Pada suatu hari, ketika sultan berangkat ke masjid bagi menunaikan Solat Jumaat menaiki tandu diraja, Laksamana Bentan telah menghalang kumpulan itu dan menjerit akan kata-kata keramat yang telah dipegang hingga kini iaitu raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah.

Lalu Laksamana telah menikam sultan dan suasana di masjid menjadi kecoh apabila melihat darah sultan yang berdaulat telah mengalir di tanah.

Ketika itu juga sultan sempat menikam balas laksamana itu menggunakan keris kecilnya dan telah menyumpah akan keturunan laksamana: “Tujuh keturunan Laksamana tidak boleh menjejakkan kaki ke Kota Tinggi.”

Daripada kisah tersebut, kita dapat membezakan baik dan buruk raja-raja mengikut sejarah yang telah diceritakan sejak berzaman lamanya. Walau bagaimanapun, sebagai seorang rakyat, kita wajib mentaati pemerintah dan memberikan kesetiaan sepenuhnya pada negara yang kita bermastautin.

Tanpa pemerintah, siapalah kita dan ke manalah arah tuju kita di dalam negara ini. Segala anasir yang menggugat kuasa raja-raja dan keamanan negara wajiblah kita sama-sama membendungnya, sebelum ia menjadi lebih parah.

- Iskandar Mohamad Ali Utusan Malaysia Rencana 12 Mei 2015