May 14th, 2015

Perkasa masyarakat berintegriti tinggi

TANGGAL 23 April lalu, maka genaplah 11 tahun usia pelancaran Pelan Integriti Nasional (PIN) dan penubuhan Institut Integriti Malaysia (IIM) sebagai badan pemantau pelaksanaan pelan tersebut. Ironinya, negara kita sering menjadi tumpuan masyarakat dunia yang ingin mempelajari pengalaman Malaysia tentang cara-cara kita melaksanakan agenda integriti nasional.

Dalam tempoh terdekat ini sahaja kita telah menerima lawatan dari negara-negara seperti Bhutan, India, Filipina dan rombongan Pegawai-Pegawai Kanan Agensi Pencegahan Rasuah Thailand serta Republik Rakyat Maldives.

Dalam keghairahan dan kekaguman yang dizahirkan oleh negara-negara berkenaan, umumnya kita masih belum boleh berbangga de­ngan tahap integriti masyarakat Malaysia.

Penglibatan hampir 100 golo­ngan ekstremis dalam aktiviti ‘jihad’ di Iraq dan Syria serta penangkapan sekumpulan suspek dalam kegiatan yang mengancam keselamatan negara di Hulu Langat, Selangor baru-baru ini memberikan petunjuk bahawa tahap integriti masyarakat masih memerlukan penelitian yang serius. Sehari dua ini kita digemparkan pula dengan aktiviti lumba haram yang akhirnya menyebabkan dua kanak-kanak perempuan comel menjadi yatim piatu dalam sekelip mata.

Daripada segi budi bahasa pula, kita masih ingat bahawa dalam tahun 2006, kajian yang dijalankan oleh Readers Digest melabelkan Kuala Lumpur sebagai bandar raya ketiga paling biadab penduduknya di dunia selepas bandar raya Bucharest di Romania dan bandar raya Mumbai di India. Enam tahun selepas itu, apabila kajian serupa diadakan semula, Kuala Lumpur tetap kekal di tangga ketiga.

Tahap integriti anak-anak muda khususnya belia juga menunjukkan tanda-tanda yang membimbangkan terutama dari segi indeks jenayah melibatkan golongan muda yang menunjukkan peningkatan.

Justeru itu, Fasa Ketiga PIN (2015-2019) akan memberikan tumpuan kepada golongan muda yang merupakan lebih 13 juta atau hampir 43 peratus daripada keseluruhan penduduk negara ini. Program-program pengukuhan integriti akan terus difokuskan terhadap kepada golongan muda yang merupakan pewaris kepada kepemimpinan negara pada masa depan.

Kata Imam Al Ghazali (1058-1011): “Kalau hendak melihat pemimpin di masa depan, lihatlah pemuda pada hari ini”. Kata-kata ini turut dikongsi oleh pemimpin komunis China iaitu Mao Tze Tung yang mengatakan bahawa: “Berikan aku 100 pemuda, akan ku bina sebuah empayar”.

Petikan kata-kata pujangga dari dua pemimpin agung itu jelas menunjukkan bahawa membentuk akhlak golongan muda merupakan satu usa­ha yang perlu dimantapkan secara inklusif dan berterusan.

Bila bercakap soal integriti, masyarakat sering mengaitkannya dengan soal rasuah. Meskipun kita berbangga bahawa tahap pencapaian Indeks Persepsi Rasuah Antarabangsa (CPI) yang dikeluarkan oleh badan bebas antarabangsa berpangkalan di Jerman kian menunjukkan peningkatan positif iaitu pada tangga 50/175 pada tahun 2014 berban­ding tangga 52/177 pada tahun 2013, namun ia masih jauh dari sasaran yang ditetapkan di dalam PIN iaitu di tangga ke-30 dunia.

Antara negara Asia yang menunjukkan peningkatan signifikan ialah India di mana negara ini telah mencatatkan penurunan 10 anak tangga dari tangga 94/177 pada tahun 2013 ke tangga 85/175 pada tahun 2014.

Kemenangan parti AAP iaitu parti anti-rasuah pimpinan Arvind Kejriwal dalam pilihan raya negeri New Delhi awal tahun ini telah memantapkan kesedaran masyarakat India terhadap buruknya amalan rasuah dan salah guna kuasa.

Komitmen dan iltizam kuat telah dipaparkan oleh kerajaan parti BJP apabila mengambil tindakan kurang popular iaitu memenjarakan bekas Ketua Menteri Tamil Nadu, Jayalalitha selama empat tahun setelah disabitkan kesalahan mengumpul kekayaan luar biasa melibatkan lebih Rs65 juta Crore (1 Crore - lebih kurang RM600,000), sepanjang empat tahun menjadi Ketua Menteri Tamil Nadu.

Meskipun pemenjaraan Jayalalitha telah mengundang kemarahan majoriti 70 juta rakyat Tamil Nadu yang memanggil Jayalalitha dengan panggilan keramat ‘Amma’ (Ibu), namun kerajaan Narendra Modi tetap bertegas dalam iltizam politiknya untuk memerangi rasuah meskipun parti Jayalalitha me­nyumbang 30 kerusi daripada keseluruhan 382 kerusi yang dimenangi oleh parti BJP dan sekutunya.

Senario di India ini menunjukkan bahawa untuk memerangi ra­suah perlu ada iltizam politik yang kuat dalam kalangan kepemimpinan negara. Kata Aristotle, ahli falsafah Yunani yang terkenal: “Seorang pemimpin hendaklah lebih putih daripada putih”.

Maksudnya seorang pemimpin itu bukan sahaja perlu bersih, tetapi juga perlu dilihat sebagai bersih seperti mana kata Tun Seri Lanang dalam bidalannya:

“Elok kain, elok coraknya,

Elok pemimpin, eloklah negerinya,

Seandainya jernih air di hulu,

Sehingga ke kuala airnya jernih,

Bila pemimpin akhlaknya buruk,

Aib terburai umat bergasak”.

Justeru, dalam hendak memperkasakan integriti masyarakat, perkara yang paling penting ialah kepemimpinan melalui teladan. Para pemimpin hendaklah mempamerkan jati diri dan sifat-sifat terpuji agar mereka sentiasa menjadi idola dan sumber inspirasi masyarakat serta rakyat keseluruhannya.

Kajian terhadap keberkesanan program-program anjuran IIM sentiasa dijalankan secara berkala. Sebagai contoh, untuk keberkesanan Fasa Pertama (2004-2008) kajian telah dibuat oleh pihak Universiti Pendidikan Sultan Idris sementara bagi fasa kedua (2009-2014) oleh Universiti Teknologi Malaysia.

Di samping itu, kajian Indeks Persepsi Integriti Nasional (IPIN) dijalankan setiap tahun mulai tahun 2007 hingga tahun 2014 bagi dijadikan pengukur terhadap tahap integriti masyarakat Malaysia pada setiap tahun, seterusnya memudahkan usaha mengenal pasti kelemahan-kelemahan ketara bagi merangka program-program pe­ngukuhan integriti bersesuaian.

Semoga dengan adanya usaha berterusan dan sokongan padu da­ripada pihak kerajaan, maka aspi­rasi untuk melahirkan sebuah ma­syarakat yang baik akhlaknya, kukuh ciri-ciri moral dan kuat pegangannya seperti mana yang dicita-citakan di dalam Cabaran Keempat Wawasan 2020 bakal menjadi realiti, sekali gus menjadikan negara ini sebuah negara yang disebut “Baldaton, Thayyibaton, Warrabun Ghafur”. - Anuar Ahmad Utusan Malaysia Rencana 14 Mei 2015

Kuasa autonomi tingkat daya saing

Naib Canselor NC Universiti Tek­nologi Mara (UiTM), Tan Sri Prof. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar mengakui dirinya tidak boleh menjadi ‘Super NC’ untuk mengawal lebih 200,000 pelajar, pensyarah dan kakitangan sokongan universiti itu di seluruh negara.

Oleh sebab itu, beliau menyambut baik penganugerahan status autonomi kepada setiap kampus UiTM di seluruh negara yang akan dijaga dan diuruskan oleh seorang rektor bermula tahun ini, merangkumi empat bidang iaitu pentadbiran institusi; kewangan dan penjanaan pendapatan; pengurusan sumber manusia dan pengurusan akademik serta pelajar.

“Sebagai Naib Canselor, tugas untuk mengawal 200,000 pelajar, 10,000 pensyarah dan 10,000 kakitangan sokongan amat sukar, jika dibandingkan dengan universiti lain yang cuma ada sekitar 20,000 pelajar tetapi UiTM ada 200,000 pelajar, 10 kali ganda berbanding universiti lain. Saya tidak mampu untuk kawal dan urus semua.

“Saya sebagai NC tidak boleh jadi Super NC, saya mengaku, ia satu ego yang salah jika saya tidak mengakuinya,’’ katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kampus Induk UiTM Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Autonomi universiti bermaksud penurunan kuasa membuat keputusan daripada agensi pusat dan kementerian kepada pihak universiti selain merupakan prasyarat penting untuk mewujudkan persekitaran kampus yang dinamik melalui pengurusan institusi pengajian tinggi awam berdaya saing.

Pelaksanaan autonomi ini ber­teraskan integriti dan akauntabiliti yang tinggi serta perlu dipatuhi oleh pentadbiran universiti selain keputusan kemasukan pelajar diuruskan oleh universiti berkenaan, tidak lagi menerusi Unit Pengambilan Universiti.

UiTM telah menjalani audit kesediaan autonomi pada Mac tahun lalu oleh Kementerian Pendidikan dan Pusat Produktiviti. Laporan audit berpandukan Code of University Good Governance dan University Good Governance Index menunjukkan prestasi UiTM cemerlang terutama dalam bidang akademik.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Sahol Hamid berkata, bilangan pelajar UiTM kian meningkat setiap tahun dengan hanya 140,000 pelajar pada tahun 2000 tetapi kini meningkat kepada 190,000 orang dan komposisi itu perlu sei­ring dengan kualiti serta kebolehpasaran kerja melalui program pengajian yang ditawarkan.

“Kita mahu buka akses kepada semua pelajar tetapi pada masa sama kita harus menjaga kualiti dan bagi menjaga kualiti, kita mengurangkan program pengajian sama ada kita tutup atau gabungkan program demi memastikannya mampu menampung kebolehpasaran graduan UiTM.

“Namun UiTM semakin ramai pelajar dan popular, jadi untuk mengawal dan mengurus semuanya di kampus induknya di Shah Alam memang payah.

“Saya mengaku bukan senang nak jaga, jadi satu caranya adalah mewujudkan 13 kampus dan setiap daripadanya diberikan autonomi. Setiap kampus dijaga dan diuruskan oleh seorang rektor, sebagai contoh Kampus UiTM Perlis ada 12,000 pelajar, Perak 17,000 orang dan Melaka mempunyai 15,000 orang,’’ katanya.

Jelas Sahol Hamid, melalui pemindahan kuasa autonomi itu kepada rektor di setiap kampus membolehkan beliau sebagai Presiden mengawal secara keseluruhan pentadbiran dengan lancar dan lebih memfokuskan kepada pengurusan kewangan.

“Rektor akan lapor kepada saya (Presiden), saya akan lebih fokus terhadap kawalan kualiti pentadbiran yang lancar, pengurusan kewangan lebih mantap dan sekarang tidak akan ada banyak isu birokrasi, kita kurangkan isu ini habis-habisan, tidak perlu protokol terlalu banyak, maka kerja akan lebih lancar.

“Kita akan pantau dari segi kua­liti dan tatacara sama ada rektor jalankan tugas mengikut prosedur operasi standard (SOP), bertugas dengan integriti, tiada penyelewe­ngan atau salah guna kuasa,’’ katanya sambil menambah kuasa autonomi kepada kampus universiti sudah lama dipraktikkan di United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Tegas Sahol Hamid, rektor yang dilantik perlu menjalankan tugas dengan penuh integriti dan me­lakukan yang terbaik demi membawa nama UiTM ke peta dunia, menjaga kualiti dengan ketat di samping memastikan pelajar yang tamat pengajian mendapat pekerjaan yang baik.

“Perbincangan mengenai per­kara ini masih berjalan dengan pihak Kementerian Pendidikan termasuk memperhalusi beberapa perkara, bagi tahun pertama, kita kena pantau rektor yang mungkin terlepas pandang sesuatu atau terlalu ghairah hingga tidak ikut SOP, saya sebagai Presiden, perlu melihat perkembangan ini dengan te­liti bagi memastikan tiada masalah yang berlaku,’’ kata beliau. - Norizan Abdul Muhid Utusan Malaysia Rencana 14 Mei 2015

Isu Akhbar Cina ~ Bangsa Malaysia dan Mesej PRK

MEMBENTUK BANGSA MALAYSIA

AKHBAR Nanyang Siang Pau bertarikh 11 Mei 2015 menyiarkan artikel yang mengulas soal selidik dibuat akhbar The Star baru-baru ini. Artikel bertajuk ‘Status orang Cina Malaysia’ yang ditulis oleh Cheah See Kian itu disiarkan dalam ruangan Pendapat Yuan Lun halaman B6.

Dalam tinjauan rambang itu, daripada setiap 10 orang yang ditanya, tujuh daripada mereka lebih mengutamakan untuk dikenali sebagai rakyat Malaysia dan bukan berasaskan kepada kaum atau agama masing-masing.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup yang mengulas soal selidik akhbar berbahasa Inggeris ber­kenaan menyifatkan perkembangan tersebut sebagai amat memberangsangkan.

Beliau berkata, hasil tinjauan itu menunjukkan majoriti rakyat lebih mengutamakan status diri mereka sebagai orang Malaysia dan perkara itu boleh menyumbang ke arah perpa­duan dan mengurangkan ketegangan hubungan antara kaum.

Walaupun ramai orang berbangga untuk dikenali sebagai rakyat Malaysia, soal selidik itu juga mendedahkan 70 peratus yang ditanya melahirkan kerisauan terhadap hubungan antara kaum di Malaysia yang dilihat kurang baik apabila ada pihak yang secara terbuka menghina etnik lain.

Jika dianalisis soal selidik berkenaan, kita mengakui ia adalah berdasarkan kepada realiti yang ada sekarang apabila generasi muda kita berbangga untuk memperkenalkan diri mereka sebagai rakyat Malaysia.

Perasaan itu merupakan sesuatu yang semula jadi kerana semua generasi muda terbabit telah dilahirkan di Malaysia walaupun nenek moyang mereka bera­sal dari China ataupun negara asing lain.

Generasi muda berkenaan sudah pasti akan berasa tidak berpuas hati sekiranya mereka masih dianggap sebagai orang asing. Bagaimanapun, yang sangat menyedihkan adalah walaupun kita telah mencapai kemerdekaan selama 58 tahun, isu perkauman masih terus membelenggu kita dan tidak habis-habis.

Kadang-kadang kedengaran ada orang menyatakan kaum Cina ialah pendatang asing yang hanya tinggal di sini dan jika tidak suka dengan suasana di Malaysia mereka boleh balik ke China.

Bagi mengelak perkara ini berterusan, mungkin sudah sampai masanya beberapa perkataan yang menyebabkan kaum tertentu merasa terpisah digantikan dengan perkataan lain. Antara perkataan itu ialah bumiputera, bukan bumiputera, beragama Islam dan bukan beragama Islam.

Kita juga masih ingat kata-kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini iaitu apabila Malaysia mencapai status negara maju pada 2020, akan terbentuk satu bangsa Malaysia yang tidak dipisahkan oleh warna kulit dan agama.

Malangnya, usaha itu sukar dicapai kerana negara ini mempunyai banyak parti politik yang berasaskan kepada kaum tertentu. Politikus juga sering memainkan sentimen sensitif yang menggugat perpaduan antara kaum di negara ini.

Nampaknya usaha menyatukan pelbagai kaum di negara ini akan mengambil masa panjang yang tiada seorang pun tahu bila ia akan berhasil.

MESEJ PRK ROMPIN

AKHBAR Sin Chew Daily bertarikh 7 Mei 2015 menyiarkan artikel yang mengulas keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin pada 5 Mei lalu.

Dalam PRK itu, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Hasan Ari­fin menang dengan majoriti 8,895 undi, lebih rendah berban­ding yang diperoleh Allahyarham Tan Sri Dr. Jamaludin Jarjis sebanyak 15,114 undi dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Artikel yang ditulis oleh Lim Ming Fah bertajuk ‘Apa mesej yang diperoleh di PRK Rompin?’ disiarkan dalam ruangan Sudut Pendapat halaman 31.

PRK Parlimen Rompin memang tidak perlu dirisaukan. Keputusan itu akhirnya menepati apa yang telah dijangkakan sebelum ini iaitu dimenangi oleh calon BN. Persoalannya berapakah majoriti yang diperoleh? Pergerakan undi Melayu dan Cina menuju ke mana? Adakah isu hukum hudud dan cukai barang dan perkhidmatan (GST) memberi kesan kepada trend pengundian?

Majoriti yang diperoleh BN menunjukkan penurunan sebanyak 6,219 undi. Ini merupakan kemerosotan yang banyak, apakah punca sebenarnya? Kita boleh membuat banyak huraian. Antaranya, bilangan yang keluar mengundi telah merosot daripada 85.9 peratus pada PRU-13 menurun kepada 74 peratus. Pengundi yang keluar mengundi daripada 49,966 orang menurun kepada 38,697 pengundi.

Jika dibandingkan dengan keputusan PRU-13, undi calon BN telah merosot sebanyak 5.3 peratus, bermakna daripada 66.8 peratus turun kepada 61.5 peratus. Sebaliknya undi yang diperoleh calon Pas meningkat kepada 5.3 peratus, daripada 33.2 peratus pada PRU-13 meningkat kepada 38.5 peratus.

Dalam 38 kawasan peti undi, Pas telah menang lima kawasan, bermakna bertambah satu kawasan lagi berbanding PRU-13. Ini satu perkembangan yang baik kepada Pas. Jumlah undi yang diperoleh calon Pas bagi saluran tiga dan empat yang mewakili golongan muda juga bertambah.

Satu lagi, isu hukum hudud kelihatannya tidak mempengaruhi peti undi kawasan Melayu sebaliknya isu GST yang menyebabkan kaum itu beralih menyokong calon Pas. Semua sedia maklum, kawasan kampung dan Felda adalah sumber undi BN yang paling kukuh. Walaupun PRK kali ini UMNO dapat mengekalkan sokongan dari kawasan itu, namun jumlah undi telah merosot.

Adakah selain isu GST, ada isu-isu lain yang menyebabkan undi kawasan kampung dan Felda kepada BN merosot? Fenomena terbaharu ini perlu dikaji secara mendalam. Kita juga mendapati, jumlah undi kaum Cina kepada calon BN telah meningkat dipercayai sebagai protes kepada Pas yang ingin melaksanakan hukum hudud.

Walau bagaimanapun, MCA dan Gerakan tidak boleh bergembira dengan perkembangan ini kerana yang beralih menyokong BN adalah golongan tua manakala pengundi muda kaum Cina tetap menyokong calon Pas. - Utusan Malaysia Rencana 14 Mei 2015

Kemelut Najib-Dr. M: Yang untung siapa?

MUKADIMAH PENASIHAT Sosio Budaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim, 73, mengakui bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, 90, seorang yang berpengaruh. Katakata Dr. Mahathir diikuti banyak orang.

“Cuma, kita mesti kembali kepada budaya Melayu dan Islam. Dalam mendesak seseorang Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak, 62,) berundur, tidak boleh dilakukan dengan cara menjatuhkan air muka di khalayak ramai. Ia salah di sisi budaya dan agama.

“Tanpa gesaan Dr. Mahathir, keadaan tidak menjadi seperti sekarang.

“Saya harap Dr. Mahathir tidak kecil hati, kita akan sentiasa menilai beliau. Oleh kerana beliau berterus-terang, kita juga perlu berterus-terang,” kata Rais kepada wartawan Utusan Malaysia ZULKIFLI JALIL di Kuala Lumpur semalam. Rais yang berpengalaman luas dalam parti dan kerajaan, pernah bekerja dengan semua Perdana Menteri.

UTUSAN: Sebagai orang lama UMNO, bagaimana Tan Sri melihat kemelut antara Dr. Mahathir dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika ini.

DR. RAIS YATIM: Saya lihat masalah dan kemelut yang dihadapi oleh Perdana Menteri kita dicetuskan oleh orang dalam sistem kita sendiri. Ertinya, kritikan itu muncul daripada lingkungan pemimpin UMNO kebanyakannya. Dan diketuai oleh Tun Dr. Mahathir (Mohamad).

Masalah tentang 1MDB dan juga membelanjakan duit Tabung Haji sudah dijawab oleh beliau dan setakat beliau sebagai Perdana Menteri, ia memadai setakat ini. Tinggal lagi, beliau dituntut untuk meletak jawatan atau berundur sebagai Perdana Menteri. Ini tidak boleh dipersetujui UMNO dan UMNO sebulat suara menyokong beliau. Cuma di belakang falsafah ini harus ditebalkan di dalam pemikiran orang Melayu amnya dan pemimpin UMNO khasnya, iaitu bukanlah suatu pendekatan Melayu untuk menjatuhkan air muka seseorang pemimpin dengan menyuruh dia berhenti di khalayak ramai dan ‘digongkan’.

Dari segi budaya ini tak betul. Ia harus lebih mirip kepada budaya ‘menarik rambut dalam tepung, rambut dapat ditarik, tepung tidak tersebar’.

Jadi, kalau ada desakan supaya PM letak jawatan, itu harus ditolak?

RAIS: Ya, itu mesti kita tolak sebab lunasnya seseorang Perdana Menteri jika hendak berundur mesti mengikut fasal dalam Perlembagaan. Beliau dilantik di bawah perkara 43 dan mesti ada undi tidak percaya di Parlimen jika hendak menurunkannya. Begitupun UMNO juga memainkan peranan. Oleh kerana UMNO tidak ada membuat gesaan seperti itu dan Parlimen tidak ada juga gesaan serupa, maka apa yang digesa oleh Dr. Mahathir out of order. Jadi, di situ barangkali sahabat lama yang baharu terasa. Haji Hadi (Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang) punya komen (mempertahankan Najib, minta beliau tidak letak jawatan) itu pun relevan. Kita harus berterima kasih kepada Haji Hadi kerana mengeluarkan pandangan yang ala Islam ala Melayu. Ikut mana pun kalaulah kata Datuk Seri Najib terasa kecil hati dan letak jawatan, parah juga akibatnya pada sistem dan orang Melayu ini. Orang Melayu susah juga sebab tidak pernah dalam sejarah hal itu berlaku.

Jadi, dulu saya faham Dr. Mahathir menyuruh Tunku Abdul Rahman letak jawatan melalui surat terbuka. Beliau kemudian suruh Pak Lah (Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi) berhenti, kemudian Najib (diminta) berhenti. Trend ini saya fikir cukuplah. Kalau tak betul mana-mana, kita kritik. Ini bukan bermakna kita tak kasih pada Tun ya, kita sayang pada dia, tetapi kita lebih menghargai keutuhan politik Melayu itu. Ia dalam satu arena yang sudah dibina secara konvensyen dan dalam sejarah UMNO pun tidak pernah seseorang bekas Perdana Menteri menyuruh Perdana Menteri lain turun takhta. Di England pun sama tidak pernah berlaku hal ini.

Kalau gesaan ini dilayan, apa yang boleh terjadi?

RAIS: Kalau dilayan gesaan seperti ini (Najib diminta letak jawatan), maka dunia yang dibina sendiri oleh Dr. Mahathir juga akan runtuh sebab setiap pemimpin itu ada kelemahannya, ada kelebihannya. Jadi, kalau hal-hal ini berbangkit, maka warna kepimpinan dalam dunia Melayu nampak pudar, nampak jatuh sedangkan tidak semestinya begitu.

‘Dunia yang dibina Dr. Mahathir boleh runtuh’, apa maksudnya?

RAIS: Sebabnya dunia yang beliau bina selama 22 tahun (sebagai Perdana Menteri) bukan tanpa keretakan, bukan tanpa masalah. Dunia terhadap Raja Melayu, kepentingan bahasa Melayu, dunia tentang budaya Melayu, dunia tentang hal-hal berhubung dengan Perwaja, ini orang pun akan sudip, dan sebanyak sedikit akan melemparkan suatu gambaran bahawa masa beliau juga, bumi ini dihujani dan gading itu ada retak. Tetapi mungkin tidak seperti sekarang, tapi cara yang lain. Dan harus lihat juga tentang sudut BMF pada masa itu, banyak lagi isu yang mungkin pihak-pihak akan terasa nak lihat balik. Tetapi ini bukan masanya mengaibkan pemimpin begitu rupa sekarang. Yang untung ialah Facebook. Masa dulu Dr. Mahathir tak ada Facebook dan Twitter. Tidak ada hal-hal yang cepat merebak. Tetapi hari ini sudah berbeza. Kalau ada Facebook semasa era Tun, mungkin keadaan lebih teruk lagi.

Ada tanggapan bahawa senario hari ini sama seperti pada era Pak Lah?

RAIS: Lebih kurang sama dan masa zaman Pak Lah, Pak Lah ‘disengat’ dengan kata-kata kesat dan disuruh berundur juga. Sekarang berlaku balik, jadi, trend ini semenjak celaan Tun terhadap Tunku Abdul Rahman lagi. Saya lihat pada era Tun Razak, beliau tidak kenakan, mungkin itu keadaan politik. Saya memang kasih pada Dr. Mahathir. Banyak saya terhutang budi pada dia, tetapi prinsip konvensyen dan undang-undang mesti kita hormat.

Siapa yang akan dapat untung daripada kemelut ini?

RAIS: Yang akan untung adalah musuh kita yang tidak suka akan kepimpinan Islam dan Melayu. Dan kemudian muncul sebagai juara di negara ini. Tetapi setakat ini ‘mereka’ ini tidaklah seghairah orang Melayu sendiri atau seghairah Tun. Cuma peliknya, saya tidak pernah dengar pula Lim Kit Siang (Penasihat DAP) beria-ia nak menurunkan Datuk Seri Najib. Ataupun ini menjadi tanda tanya kepada saya bahawa ini tidak boleh dilakukan.

Jadi, Dr. Mahathir perlu dibawa balik bersama?

RAIS: Ya, bawa balik, bawa Dr. Mahathir dan ajak beliau minum kopi pahit.

Cuma, saya bercakap hal ini dalam konteks pembudayaan di luar. Saya menjangka kalau cerita (temu bual) ini keluar (disiarkan), Dr. Mahathir tidak akan kecil hati. Beliau barangkali akan rasa bahawa kita mesti menyumbang kepada kepimpinan negara menerusi kaca mata orang Melayu dan masyarakat majmuk.

Apa harapan Tan Sri kepada Perdana Menteri?

RAIS: Selepas ini, mungkin kita juga kena fikir cara-cara Perdana Menteri bertindak itu. Mungkin minta beliau tunjukkan bahawa kita mahu berjimat cermat. Kita perbetulkan balik kesilapan 1MDB dan menerusi alasan-alasan laporan atau menerusi lunas undang-undang. Ketiga, tentang Tabung Haji, dengarlah suara pendeposit apa yang harus kita dengar.

Seterusnya, mungkin juga Perdana Menteri hendak fikirkan tentang orang rapat di sekeliling beliau yang menasihat beliau secara diam-diam, tetapi mempunyai beberapa kepentingan lain. Ini saya nak berterus terang. Sebagai Penasihat Sosio Budaya tidak ada guna kalau kita buat kerja, tidak sebut benda ini. Mesti tahu hak itu, saya percaya Datuk Seri Perdana Menteri akan buat pembaharuan ini, termasuklah apa-apa sebutan yang melibatkan keperibadian beliau dan lain-lain. - Utusan Malaysia Rencana 14 Mei 2015

Sila jaga 'tepi kain' anak anda

PADA masa ini, senario pelajar sekolah rendah dan menengah ralit membelek dan menekan telefon pintar meskipun semasa keluar bersama keluarga merupakan pandangan biasa. Secara tersurat, seperti positif ke­rana menggambarkan mereka celik teknologi. Namun pernahkah ibu bapa sesekali membuat ‘spot check’ terhadap gajet yang amat disayangi oleh anak masing-masing itu?

Apa kandungan laman web yang dilayari, chatting dengan siapa dalam WhatsApp dan sebagainya. Yang paling ditakuti ialah benda tersirat negatif kerana impaknya tidak diketahui, sedar-sedar nasi sudah menjadi bubur. Ini ke­rana kelompok yang lahir selepas tahun 2000 dan dikenali sebagai generasi Z inilah yang bakal mengisi ruang kepemimpinan negara maju 2020, tidak sampai lima tahun lagi.

Kebimbangan ini dirasakan ada asasnya berdasarkan kepada statistik terkini bahawa pengedar dadah kini mula meracuni generasi Z dan antara akses yang cepat dan efisien bagi penjenayah itu mendekati kumpulan sasaran ialah melalui kemudahan Internet yang tidak bersempadan serta beroperasi 24 jam sehari.

Baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan bahawa masalah ketagihan dadah kini bukan sahaja melibatkan golongan dewasa tetapi juga kanak-kanak termasuk yang berusia tujuh tahun. Katanya, pengedar dadah juga semakin hebat dengan memperluaskan empayar mereka untuk meracuni generasi Z berkenaan.

Sedikit maklumat untuk dihadamkan bersama, pada masa ini sebanyak 1.4 juta penduduk di negara ini terlibat dalam penyalahgunaan dadah termasuk 21,227 penagih yang berdaftar dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan pada tahun lalu.

Kira-kira 46 peratus atau 23,460 daripada 51,000 banduan dalam penjara di seluruh negara terdiri daripada mereka yang melakukan kesalahan dadah termasuk mengedar, memproses dan menggunakan dadah. Tauke dadah juga dipercayai menjadikan kumpulan berusia 18 hingga 39 tahun sebagai sasaran mereka. Pada masa ini terdapat seramai 3,276 banduan disabitkan bersalah oleh mahkamah sedang menunggu hukuman mati atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah.

Dalam pada itu, lazimnya sindiket pengedaran dadah yang didalangi rakyat Afrika menjadikan wanita tempatan sebagai keldai dadah tetapi amat mengejutkan apabila sindiket dadah tempatan di Kelantan menggunakan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun sebagai keldai yang bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa.

Sepanjang 2013, menurut statistik polis, seramai 20 kanak-kanak berusia bawah 13 tahun ditangkap kerana mengedar dadah, manakala 310 remaja berusia antara 14 hingga 18 tahun turut ditangkap atas kesalahan sama.

Selain kesalahan mengedar, seramai 180 kanak-kanak berusia bawah 13 tahun ditangkap kerana memiliki dadah dan 330 orang lagi positif mengambil bahan larangan itu. Turut ditangkap ialah 1,058 remaja berusia 14 hingga 18 tahun kerana kesalahan memiliki dadah dan 5,466 orang positif dadah.

Ini cerita dua tahun lalu, sama ada statistik menggerunkan ini semakin menurun atau sebaliknya bukan isu utama tetapi apa yang penting ialah ibu bapa tidak boleh memandang enteng dengan menyerahkan segala-galanya kepada pihak berkuasa atau lebih tepat lagi mengharapkan polis menjaga anak-anak kita.

Terbaharu, terdapat satu page dalam Facebook yang mempromosikan marijuana atau ganja sebagai herba perubatan, sekali gus dikhuatiri mampu memesongkan pemikiran kumpulan yang tidak kuat ‘imannya’.

Antara intipati maklumatnya, marijuana bukannya sejenis dadah berbahaya tetapi mempunyai nilai-nilai perubatan tinggi. Usaha ini jelas bertentangan dengan dasar dadah negara kerana marijuana atau ganja termaktub dalam Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pihak berautoriti amat perlu melakukan sesuatu yang konkrit. Jangan biarkan nasi yang bakal menjadi bubur itu hangit. Jika menjadi bubur, sekurang-kurangnya masih lagi boleh dimakan tetapi jika dibiarkan hangit, langsung tidak lagi boleh dijamah oleh sesiapa pun.

Jadi kepada ibu bapa, silalah jaga tepi kain anak-anak anda. - Tarmizi Abdul Rahim Utusan Malaysia Rencana 14 Mei 2015

Akhlak masyarakat maju

Tema Hari Guru 2015, ‘Guru: Membina Ilmu, Menyempurnakan Akhlak’ mengingatkan saya tentang sebuah karya bertajuk Intelektual Masyarakat Membangun yang dikarang oleh Allahyarham Profesor Dr. Syed Hussein Alatas. Beliau menekankan betapa pentingnya kelompok atau kepemimpinan intelektual dalam mengubah masyarakat.

Kepemimpinan intelektual yang ditekankan dengan kepentingan akhlak akan memandu masyarakat ke arah kesejahteraan. Dengan kata lain, kepemimpinan intelektual yang juga berakhlak tinggi akan menjadikan masyarakat lebih sejahtera. Inilah acuan ideal yang sentiasa didambakan oleh mana-mana masyarakat di dunia.

Malangnya, sejak kebelakangan ini terlalu banyak kisah kerosakan akhlak dalam kalangan masyarakat. Dalam kita menuju ke arah negara maju berpendapatan tinggi adakah kita mahukan masyarakat Malaysia berakhlak rendah. Rempit, hooligan, dadah, bunuh, rogol, rasuah dan penyelewengan bukan sekadar jenayah tetapi juga penyakit yang boleh membarah masyarakat Malaysia.

Ini belum termasuk kerosakan akhlak yang berpaksikan ‘watak tertawan’ sebagaimana yang di­sebut oleh Syed Hussein. Umat Islam mesti bijak agar tidak mudah terpedaya dengan watak tertawan yang disebarkan oleh Barat. Tidak sesekali menyalahkan orang lain hanya kerana ingin menutup kelemahan diri sendiri. Masyarakat yang hanya menerima sahaja pemikiran Barat bakal mengundang bencana besar terhadap negara. Misalnya, Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) boleh dilihat dalam skop pemikiran Barat yang terlalu mendewakan hak asasi dan individu sehingga mem­belakangkan ajaran agama Islam itu sendiri.

Natijahnya, sudah ada kelompok yang seperti menegakkan benang basah kerana terlalu tertawan de­ngan watak-watak Barat yang ko­nonnya itulah kemegahan kemajuan. Walhal, apa yang ditegakkan hanyalah hak asasi individu dan kesamarataan yang bertunjangkan nafsu serakah, jauh terkeluar daripada ajaran agama Islam. Yang terbaharu, masalah akhlak ‘money boy’, hanya kerana bertunjangkan wang ringgit sanggup melakukan perkara yang terang-terangan dilarang oleh agama Islam. Dalam kita terlalu mengejar kejayaan kebendaan dan wang ringgit, kita terlupa asas kekuatan sesebuah negara bergantung pada akhlak tinggi masyarakatnya.

Tidakkah kita patut bimbang akan kesannya terhadap generasi muda sekarang dan akan datang? Itu belum termasuk perbuatan memfitnah, menghasut, mengadu domba dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap orang lain sama ada secara terang-terangan atau melalui alam maya kononnya sebagai ‘keyboard warrior’ yang sebenarnya merosakkan keharmonian masyarakat. Inikah tanda kemajuan masyarakat kita?

Kebebasan bersuara bukan bermaksud melanggar ajaran Islam dengan mengeluarkan kata-kata kesat dan menyakitkan hati orang lain. Ya, memang benar negara memerlukan kritikan dan pandangan, namun kedua-duanya ini mestilah berteraskan keikhlasan untuk pembinaan bangsa, menegakkan agama Islam dan negara. Bukannya dalam bentuk kritikan yang memudaratkan negara. Lebih teruk lagi, fitnah dilemparkan untuk menghancurkan sesama Islam.

Maka, tidak menghairankan apabila anasir-anasir luar dan dalam mudah memasukkan jarum agar menerima idealisme mereka yang terpesong daripada ajaran Islam dan pada masa yang sama memecahbelahkan umat Islam. Malah, memperhebatkan serangan dengan cara menghina institusi-institusi Islam supaya menjadi semakin lemah. Dengan ini, lebih mudah bagi elemen itu menghancurkan umat Islam Malaysia. Malangnya, kita tidak nampak atau buat-buat tidak nampak gelombang tipu muslihat mereka ini.

Kejadian kerosakan harta benda awam dan kecederaan ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh baru-baru ini menggambarkan seperti ada yang tidak kena dengan masyarakat kita. Hanya kerana politik sempit telah menghancurkan kesatuan umat Islam yang amat ditekankan dalam agama Islam. Apa faedahnya bergaduh sesama Islam ha­nya kerana politik sempit kepartian?

Di manakah pemimpin-pe­mim­pin politik yang sepatutnya bertindak secara intelektual dan berakhlak tinggi agar tidak berlaku perkara sebegini? Bukannya bertingkah laku ‘jadong’, iaitu jahat, bodoh dan sombong (meminjam istilah Syed Hussein). Sebaliknya, mereka inilah yang bertanggungjawab menyatupadukan umat Islam dan menjadi contoh kepada pengikut serta orang yang dipimpin. Jauh sekali membuat kerosakan di muka bumi Allah ini.

Usah terlalu taksub berebut kuasa dan pangkat kerana itu hanyalah pinjaman sementara daripada Allah SWT. Setiap daripada kita akhirnya akan kehilangan juga kemegahan duniawi tersebut kerana yang tinggal hanyalah amalan baik untuk dibawa bersama-sama selepas meninggalkan dunia fana ini.

Generasi muda memerlukan kepemimpinan intelektual yang berakhlak mulia dan berani memandu mereka ke jalan yang benar. Bukannya pemimpin yang dengan mudahnya mengeluarkan kata-kata kesat dan penghinaan serta memaki hamun orang lain. Tunjukkan keindahan akhlak Islam agar dapat dimasyarakatkan oleh semua lapisan rakyat Malaysia. Begitu juga dengan golongan dewasa, mereka perlu menonjolkan akhlak baik di hadapan generasi muda dan bukannya bergaduh sesama sendiri. Malangnya pelbagai aksi demonstrasi yang diadakan bertukar menjadi ganas sehingga menyusahkan orang lain yang ingin menjalani kehidupan aman dan damai. Aksi ganas ini bertentangan sama sekali dengan Rukun Negara yang mementingkan kesopanan dan kesusilaan.

Tidakkah majoriti masyarakat Malaysia juga berhak menjalani kehidupan aman tanpa sebarang gangguan? Menghormati hak orang lain berteraskan agama Islam menggambarkan akhlak mulia yang diajar oleh ibu bapa dan guru kepada kita sejak kecil lagi. Akhlak pula berkait rapat dengan reputasi, imej, kredibiliti dan integriti serta keperibadian seseorang. Kemajuan dan kemampanan ekonomi tidak akan lengkap tanpa akhlak yang mulia dalam kalangan masyarakat. Inilah cabaran terbesar yang dihadapi oleh guru dalam membentuk masyarakat serba maju dan moden serta tinggi ketamadunannya. Jus­teru, raikan sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan yang bakal diadakan di Dewan Wawasan, Jitra, Kedah, Sabtu ini dengan penuh keinsafan bagi merealisasikan kemajuan sebenar masyarakat Malaysia. Selamat Hari Guru buat semua guru-guru di seluruh Malaysia! - Rohami Shafie Utusan Malaysia Rencana 14 Mei 2015