May 16th, 2015

Kisah rumah mayat

KISAH seram, pengalaman menakutkan dan cerita mengerikan pasti menjadi perkara yang bermain dalam fikiran apabila memandang orang yang bekerja di rumah mayat.

Jabatan Perubatan Forensik adalah organisasi bertanggungjawab mengurus dan mengendalikan jenazah di rumah mayat. Setiap orang yang bekerja pasti mempunyai pengalaman tersendiri sepanjang berkhidmat di jabatan tersebut.

Tanggungjawab menguruskan jenazah di bahagian forensik mencari punca kematian dan melakukan pengecaman mayat bukanlah kerja yang mudah. Amanah yang dipikul memerlukan seseorang itu bersemangat kuat dan mempunyai ketahanan mental yang mantap untuk berhadapan dengan mayat dalam pelbagai keadaan.

Sumbangan Jabatan Perubatan Forensik memang tidak dapat dinafikan lagi dalam pembangunan bidang perubatan sama ada di Malaysia mahupun di serata dunia.

Selain mencari punca kematian, penemuan-penemuan dalam bedah siasat begitu penting dan menjadi rujukan untuk mencari kaedah rawatan bagi pesakit yang masih hidup. Di samping itu, ia turut mencari keadilan bagi si mati yang teraniaya.

Kepakaran dan kehebatan Jabatan Perubatan Forensik di Malaysia telah diiktiraf oleh kerajaan apabila sebuah Institut Perubatan Forensik Negara ditubuhkan pada April 2002.

Selain itu, kepakaran anak tempatan dalam bidang tersebut turut diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila diterima menjadi sebahagian daripada kumpulan penyiasat dan pengecaman mayat nahas pesawat MH17 di The Hague, Belanda pada Julai 2014.

Ikuti Wartawan S2, Mohamad Athir Ismail dan jurufoto, Ghazali Basri serta Djohan Shahrin Shah Sabli yang berpeluang melawat Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh dan Hospital Kuala Lumpur untuk melihat sendiri cabaran bekerja di rumah mayat.

Mayat Bergerak Sendiri

BERBICARA tentang kematian, rumah mayat dan seumpamanya pasti terdapat kisah-kisah ‘selingan’ yang bersangkut-paut seperti cerita misteri, gangguan makhluk halus dan sebagainya.

Begitulah pengalaman yang dialami oleh para petugas di rumah mayat atau lebih dikenali sebagai Jabatan Perubatan Forensik. Lebih lama berkhidmat lebih banyak pengalaman yang diperoleh.

Mayat, sering dikaitkan dengan pelbagai cerita misteri. Ia bukan sahaja menjadi bualan masyarakat kita, malah turut dipercayai oleh masyarakat di negara-negara lain.

Siapa yang tidak terkejut kalau melihat sekujur badan tidak bernyawa tiba-tiba bergerak, apatah lagi melihat matanya terbuka sendiri. Pasti orang yang sedang menguruskan jenazah akan bertempiaran lari.

Walau bagaimanapun, mayat bergerak sendiri bukanlah sesuatu yang luar biasa bagi pekerja-pekerja dalam bidang forensik. Hal ini pernah dialami sendiri oleh seorang Penolong Pegawai Perubatan, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh, Kamaluddin Kamis.

“Seingat saya dalam dua atau tiga tahun yang lalu, saya bersama seorang doktor dalam bilik autopsi sedang bersiap-siap untuk menjalankan bedah siasat. Kisah ini berlaku pada waktu malam..., pukul berapa saya tidak ingat.

“Sekujur mayat sudah siap diletakkan di atas katil. Kami pula sedang bersiap-sedia untuk menjalankan bedah siasat. Kemudian, saya hendak mengubah ketinggian katil supaya selesa kami menjalankan tugas.

“Waktu tengah tunduk untuk ‘adjust’ katil tersebut, elok sahaja mayat itu menoleh ke arah saya dan matanya terbuka secara tiba-tiba.Terkejut bukan kepalang, tetapi autopsi tetap diteruskan untuk memudahkan perjalanan kes,” katanya kepada S2.

Jelas beliau insiden tersebut bukanlah sesuatu yang misteri baginya kerana itu adalah perubahan biasa yang berlaku pada mayat seperti otot-otot mengecut, refleksi dan sebagainya.

“Selepas insiden tersebut, baharu saya teringat bahawa mungkin mayat tersebut mengalami kejang atau pengecutan otot ataupun refleksi saraf.

“Namun ada juga kisah-kisah misteri yang pernah saya alami seperti badi yang sering disebut masyarakat kita apabila berdampingan dengan mayat. Selepas kerja, saya terus pulang ke 
rumah.


MOHAMAD Hamba li menunjukkan mayat bayi yang tidak terkecuali daripada proses bedah siasat untuk mencari punca kematian.

“Tiba di rumah, saya terus menyarung jaket tanpa menukar baju kerja untuk keluar rumah. Waktu itu, saya pelik melihat anak saya main sergah-sergah di belakang pintu sendirian.

“Kemudian, baru teringat yang saya belum mandi dan menukar pakaian lagi. Terus saya pergi mandi, lepas itu anak saya tidak lagi main seorang diri,” ujarnya.

Menceritakan kisah yang lebih menarik di rumah mayat, Pembantu Perubatan Kesihatan, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh, Mohamad Hambali Md Kusaini turut berkongsi pengalaman bekerja di sana.

“Kata orang rumah mayat mesti banyak cerita-cerita mistik dan menyeramkan. Pada pandangan saya, di mana-mana pun boleh wujud perasaan takut dan seriau.

“Cuma di sini, saya pernah mengalami kisah yang orang panggil sebagai kelibat. Ada suatu hari itu, saya ternampak kelibat kawan sekerja berjalan di sekitar kawasan jabatan ini. Saya tidak kejar, cuma telefon dia dan tanya nak pergi ke mana. Terkejut saya bila dia cakap dia ada di rumah.

“Selain itu, saya pernah dengar bunyi bising dalam peti simpanan mayat. Saya terus periksa, tengok kalau ada ‘mayat’ yang mungkin masih hidup. Tetapi tidak ada, semuanya okey, mungkin bunyi bising mesin penyejuk peti agaknya,” katanya.

Tambah beliau lagi, kisah-kisah misteri ini kadang-kadang hanyalah mainan perasaan. Paling penting kita hormat orang yang sudah meninggal dan jangan sesekali menuduh bukan-bukan

“Sama ada jenazah itu meninggal akibat kemalangan, jangan sesekali kita cakap dia merempit, minum arak, hisap dadah dan sebagainya. Itu urusan dia dengan yang Maha Pencipta. Kita cuma perlu ingat tanggungjawab yang diamanahkan sahaja untuk mengurus mayat tersebut,” ujarnya.

Tidak ambil organ mayat, Gangguan emosi, psikologi

Gangguan emosi, psikologi

Lazimnya, kalau tidak kerana minat pasti seseorang tidak akan melakukan pekerjaannya dan setiap orang pasti mempunyai kecenderungan yang berbeza dalam kerjaya.

Justeru, kerjaya berurusan dengan mayat bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi jika jenazah itu berada dalam keadaan tidak sempurna sama ada hilang rupa ataupun terputus anggota badannya.

Menurut Pegawai Perubatan Forensik, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Nurhidayah Mohd Yatim, minat terhadap perubatan dan penyiasatan menjadi motivasi pada dirinya untuk berkhidmat sebagai doktor perubatan forensik.


DR. HAZLI Zakaria memberitahu terdapat perubahan fizikal dalam otak apabila mengalami gangguan emosi tetapi ia terlalu kecil dan sukar dikesan melalui mesin pengimbas.

“Gemar menonton cerita-cerita penyiasatan seperti siri Crime Science Investigation (CSI) dan sebagainya menjadikan saya teruja untuk menyertai bidang forensik.

“Sebenarnya minat yang membuatkan saya tiada masalah untuk berhadapan dengan pesakit atau mayat. Justeru, daripada situ saya bersedia mental dan fizikal untuk bekerja setiap hari. Tambah pula, autopsi bukanlah sesuatu yang boleh dijangka.

“Tentang cerita mistik, setakat ini saya bersyukur sebab tidak pernah mengalami gangguan sedemikian semasa bekerja. Cuma rasa sedih, memang ada.

“Ketika itu, saya ditugaskan untuk menjalankan autopsi ke atas mayat kanak-kanak dalam lingkungan umur lima tahun. Masa itu, memang sedih namun saya tahan hingga selesai. Sampai di rumah baharulah saya lepaskan rasa sedih itu,” katanya.

Gangguan psikologi atau emosi dalam kerjaya memang wujud, lebih-lebih lagi bekerja sebagai doktor forensik yang sering berurusan dengan mayat.

Pakar Perunding Psikiatri dari Persatuan Psikologi Malaysia, Dr. Hazli Zakaria (gambar) berkata, seseorang doktor itu sedia maklum tentang pesakit atau mayat yang akan ditemuinya menjadikan dia sentiasa bersedia.

“Biasanya minat dalam kerjaya forensik menjadikan seseorang itu tidak berasa takut ataupun gemuruh melihat mayat sama ada sempurna ataupun tidak.

“Lazimnya, para doktor tahu tentang kerjaya dan cabaran yang akan dihadapinya selain membiasakan diri dengan mayat sewaktu belajar di universiti yang sedikit sebanyak memberi motivasi pada diri mereka.

“Tetapi, tidak dinafikan memang ada rasa gemuruh atau gangguan emosi dialami oleh doktor forensik sama ada rasa fobia, sedih dan sebagainya,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, rasa fobia itu wujud akibat daripada pengalaman lampau seseorang pernah berhadapan dengan situasi yang memberi kesan dalam kehidupan.

“Kalau seseorang itu takut dengan mayat, pasti dia akan menolak untuk menghampirinya, apatah lagi hendak melakukan sesuatu terhadap jenazah seperti autopsi.

“Terdapat sejenis fobia yang dipanggil fobia spesifik dan tergolong dalam masalah gangguan kecemasan atau anxiety disorder. Jika seseorang mengalami fobia yang teruk, dia akan berasa stres dan boleh membawa kepada histeria.

“Terdapat pelbagai cara untuk merawat masalah fobia seperti terapi psikologi, sokongan moral daripada majikan tempat bekerja, keluarga dan rakan-rakan,” jelasnya.


Tidak ambil organ mayat
Tidak dinafikan terdapat sebilangan besar masyarakat kita beranggapan bahawa pihak hospital akan mengambil organ-organ dalam badan mayat ketika bedah siasat untuk diberikan kepada pesakit yang memerlukan.


PENDERMAAN organ perlu mendapat kebenaran daripada ahli keluarga si mati dan ia hanya dilakukan oleh pakar bedah.

Tanggapan bahawa doktor akan mengambil organ-organ seperti jantung, hati, buah pinggang dan sebagainya adalah tidak benar.

Menurut Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh, Dr. Shahidan Md Noor, adalah mustahil untuk menggunakan semula organ-organ orang yang telah meninggal dunia.

“Terus terang saya katakan, memang tidak ada sebarang organ pun akan diambil semasa bedah siasat kecuali ia akan dikeluarkan dari badan untuk diperiksa.

“Orang yang telah meninggal dunia, seluruh organ dalam tubuhnya akan turut mati dan tidak lagi berfungsi. Menjadi suatu kerja yang sia-sia jika doktor keluarkan organ dan masukkan ke dalam badan pesakit lain.

“Sebagai contoh, jantung orang yang telah meninggal dunia akan berhenti berdegup. Itu bermakna jantungnya tidak lagi boleh berfungsi untuk mengepam darah dan tidak boleh digunakan oleh orang lain,” jelasnya kepada S2 dalam temuramah di Hospital Sungai Buloh, Selangor.

Tambahnya, pengambilan organ-organ dalam badan hanya akan dilakukan oleh penderma yang telah berikrar menderma organ dan mendapat persetujuan waris.

“Untuk mengambil organ dalam badan dan digunakan pesakit lain bukanlah tugas yang mudah. Organ hanya boleh diambil daripada pesakit yang telah mati otak.

“Maksud mati otak ialah pesakit yang tiada harapan untuk sedar akibat otaknya tidak lagi berfungsi. Mati otak akan disahkan oleh pakar perubatan.

“Organ boleh diambil ketika ia masih berfungsi walaupun dengan bantuan mesin dan ubat-ubatan lain,” ujarnya.

Bukan sekadar rumah mayat, cabaran di bilik autopsi

Cabaran di bilik autopsi

Banyak cerita menarik dapat didengari daripada orang yang bekerja dalam bidang perubatan forensik sama ada kisah misteri, cabaran ataupun lucu.

Asam garam dalam bilik mayat pasti sudah menjadi perkara biasa bagi mereka yang telah lama berkhidmat dalam bidang perubatan forensik. Namun, bagi mereka yang baharu, ia pasti menjadi pengalaman tidak boleh dilupakan.



PELBAGAI alat digunakan untuk menjalankan bedah siasat yang akan mengambil masa antara dua hingga lima jam.

Selain menerima mayat dari wad pesakit, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh turut menerima jenazah dari luar sama ada mati akibat kemalangan ataupun yang dirujuk untuk bedah siasat.

Menceritakan pengalaman menguruskan jenazah. Pegawai Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh, Dr. Amirul Azim Halim berkata, cabaran berkhidmat di unit forensik adalah keadaan mayat itu sendiri.

“Contoh cabaran yang perlu saya tempuhi adalah masalah bau, mayat tidak sempurna dan sebagainya. Semuanya bergantung atas arahan iaitu ‘on-call’. Kita tidak akan tahu bagaimana keadaan mayat yang akan dibedah siasat.

“Di hospital ini, terdapat sebuah bilik khas dikhususkan untuk membedah mayat berbau. Punca berbau sama ada mayat telah lama meninggal ataupun pengambilan alkohol ketika masih hidup.

“Sebagai persediaan, daripada segi mental memang sentiasa bersedia. Daripada sudut fizikal pula, saya akan mengenakan pakaian khas berbanding ketika menguruskan mayat biasa,” katanya ketika ditemuramah S2.

Tambah beliau lagi, meskipun mayat tersebut datang dalam keadaan rupa yang tidak sempurna atau bau, petugas perlu menghormati jenazah dan menjalankan tugas dengan baik.

Dalam pada itu, seorang Pegawai Perubatan di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Nurhidayah Mohd Yatim turut berkongsi pengalaman dalam bidang tersebut.

“Saya baru setahun dalam bidang ini dan memang berminat dengan dunia forensik terutamanya bedah siasat mayat untuk mencari punca kematian dan membuat pengecaman.

“Setakat ini, cabaran yang pernah ditempuhi adalah mengendalikan mayat yang tidak sempurna dan mula mereput, selain mangsa kemalangan.

“Rasa tidak selesa memang ada selepas melihat keadaan mayat tersebut. Jadi, saya terus fokus pada tugas untuk mengatasi cabaran tersebut. Kalau tidak..., pasti proses autopsi memakan masa yang lama,” ujarnya.

Sementara itu, Dr. Asharaf Ibrahim yang berkhidmat di Jabatan Perubatan Forensik HKL turut memberitahu rupa dan bau adalah cabaran untuk membuat pengecaman.

“Fungsi perubatan forensik, selain mencari punca kematian, kami perlu membuat pengecaman mayat untuk mengetahui identitinya melalui cap jari, gigi atau asid deoksiribonukleik (DNA).

“Baru-baru ini, saya mengendalikan kes jenazah kemalangan helikopter dan ia merupakan kes unik kerana melibatkan mangsa berprofil tinggi. Cabaran mengendalikan kes tersebut ialah keadaan mayat kurang sempurna seperti terbakar dan sebagainya.

“Justeru, terdapat sedikit cabaran dalam proses pengecaman untuk mengenal pasti mayat termasuklah mengambil sedikit masa bagi mengetahui identitinya,” katanya.


Bukan sekadar rumah mayat
Bukan kelaziman bagi orang bekerja selain dalam bidang perubatan berhadapan dengan mayat, pasti wujud perasaan gelisah dan tidak selesa apabila berhadapan dengan orang yang telah meninggal dunia.

Penulis sendiri merasai debaran, rasa takut dan gemuruh apabila pertama kali menjejakkan kaki ke rumah mayat di Hospital Sungai Buloh, Selangor.


DR. SHAHIDAN menunjukkan sebahagian kelengkapan di bilik autopsi untuk mempercepat proses bedah siasat di Hospital Sungai Buloh.

Melihat peti-peti simpanan mayat, tertera papan tanda di pintu masuk bilik mayat “Mayat Islam” dan “Mayat bukan Islam”. Mungkin itulah perasaan yang dialami oleh pekerja-pekerja di bahagian perubatan forensik apabila pertama kali berkhidmat dalam unit tersebut.

Pengalaman dalam bidang perubatan forensik, mungkin tidak sama dengan doktor-doktor biasa. Berurusan dengan tubuh tidak bernyawa bukanlah mudah, apatah lagi berhadapan dengan mayat yang tidak sempurna.

Hal itu diceritakan sendiri oleh Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh, Dr. Shahidan Md Noor yang memberitahu minat dalam bidang perubatan menjadi motivasi untuk menghilangkan rasa gemuruh dan sebagainya.

“Saya berkecimpung dalam bidang perubatan forensik sejak 1987. Pada waktu itu, saya memang tidak mengalami rasa gemuruh, takut dan sebagainya sebab apabila bercita-cita menjadi seorang doktor, itu adalah sebahagian daripada cabarannya.

“Tetapi, waktu mula-mula menjadi doktor memang ada rasa gugup, takut dan sebagainya. Jadi, pada saya itu biasa dan sesiapa pun yang baharu mula bekerja pasti ada rasa gemuruh, takut dan kurang yakin.

“Tentang perkara-perkara mistik yang berlaku apabila bekerja di bilik mayat, setakat ini saya bersyukur sebab tidak pernah mengalaminya. Cuma, pernah dengar cerita daripada kawan-kawan sahaja,” katanya ketika ditemubual S2 baru-baru ini.

Menghangatkan lagi perbualan, beliau turut memberitahu persediaan daripada sudut mental dan fizikal perlu dilakukan untuk berhadapan dengan mayat bagi tujuan bedah siasat.

“Autopsi memang tugas kami, tetapi bukan tanggungjawab pihak hospital atau jabatan forensik untuk memutuskan bedah siasat perlu dibuat ke atas mayat kerana ia ditetapkan oleh polis ataupun mahkamah.

“Kita tidak tahu bila orang meninggal, justeru pihak jabatan forensik pun tidak dapat pastikan waktu dan hari bedah siasat akan dijalankan. Jadi, tugasan tersebut bergantung kepada ‘on-call’. Bila ada kes, barulah autopsi akan dibuat.

“Oleh yang demikian, sebagai seorang doktor atau petugas perubatan, kita kena sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang dugaan atau cabaran dalam bertugas.

“Kadang-kadang mayat yang kami terima, mungkin tidak sempurna akibat kemalangan ataupun mayat sudah lama meninggal dan baru ditemui. Bila berhadapan mayat sedemikian, ada juga rasa takut, cuma saya cakaplah ‘maaf ya.. kena buat bedah siasat’,” selorohnya.

Dalam pada itu, Shahidan turut menjelaskan bahawa bahagian perubatan forensik mempunyai peranan yang sangat penting, selain menjalankan bedah siasat ke atas mayat.

“Ingat lagi dahulu, ketika saya baru berkhidmat di bahagian forensik. Boleh dikatakan unit ini tidak popular, pekerjanya tidak ramai cuma ada beberapa orang pegawai perubatan dan pembantu.

“Tidak tahulah kalau pada waktu itu tidak ramai sanggup membuat kerja-kerja bedah siasat, apatah lagi hendak melihat mayat yang tidak sempurna.

“Namun, setiap tahun sehingga kini semakin ramai orang mula berminat dengan unit forensik. Kalau dahulu tidak ada doktor perempuan, sekarang sudah ramai,” katanya.

Tambah beliau lagi, banyak cabaran yang perlu dihadapi oleh pengamal-pengamal perubatan forensik dan yang paling menguji ialah keadaan mayat itu sendiri.

“Cerita-cerita misteri tentang rumah mayat cuma sebahagian kecil sahaja. Ada kisah lain lebih menarik dan wajar dikongsikan seperti mayat berbau, mayat hancur, bertukar jantina dan juga umur.

“Rasa sayu dan sedih datang apabila melihat mayat kanak-kanak yang meninggal akibat didera sama ada oleh ibu bapa atau pengasuh. Baru-baru ini ada kes budak berusia lima tahun, tidak sampai hati kami hendak bedah tetapi kerana tanggungjawab ia tetap dilakukan.

“Lagi satu kes yang menarik ialah pertukaran jantina terutama bagi mayat beragama Islam. Apabila bedah siasat, kita kena keluarkan silikon serta alat-alat digunakan sewaktu pembedahan plastik perlu dikeluarkan dan jantinanya ditukar kepada asal,” jelasnya.

Ujar Shahidan lagi, pentingnya perubatan forensik adalah untuk mencari punca kematian dan memberi keadilan kepada jenazah terutama yang melibatkan kes jenayah.

Selain itu penemuan-penemuan melalui bedah siasat mayat juga boleh menjadi rujukan bagi mengubati penyakit-penyakit lain.