May 21st, 2015

Harapan terhadap Rancangan Malaysia Ke 11

RANCANGAN Malaysia Ke-11 (RMK-11) (2016-2020) adalah rancangan pembangunan sosioekonomi lima tahun yang terakhir dalam usaha Malaysia mencapai matlamat Wawasan 2020. Saya percaya ramai rakyat Malaysia menung­gu dengan penuh minat pembentangan Perdana Menteri hari ini untuk mengetahui apakah intisari baru dan inovatif dalam RMK-11 ini.

Saya menduga RMK-11 akan mempunyai matlamat dan pendekatan yang konsisten dengan dasar dan program sosioekonomi lain yang dibentuk di bawah kerangka Wawasan 2020 seperti Model Baru Ekonomi (NEM), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP). Saya percaya RMK-11 akan memberi penekanan terhadap pelaksanaan program dan strategi-strategi ke arah mencapai matlamat negara berpendapatan tinggi; ekonomi yang berorientasi pasaran, berdaya saing dan inklusif; memastikan keadilan sosio­ekonomi bagi segenap lapisan rak­yatnya; dan memelihara kelestarian alam sekitar.


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak membentangkan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) yang akan
menjadi landasan hala tuju pembangunan lima tahun negara, di Dewan Rakyat, pagi ini. - Foto Yazit Razali

Saya ingin berkongsi dengan pembaca beberapa pemikiran saya tentang intisari dasar dan strategi baru yang saya ingin diberi perhatian dalam RMK-11.

Pertama, berkait dengan pertumbuhan dan pembangunan ekonomi lestari. Sering diungkapkan oleh banyak pihak pentingnya ekonomi negara untuk tumbuh secara lestari atau mapan. NEM yang dilancarkan pada 2010, seiring dengan bermulanya RMK-10, telah menyerlahkan konsep dan kepentingan pertumbuhan ekonomi secara lestari. Namun Malaysia sehingga kini belum memiliki kayu ukur atau petunjuk makro yang boleh memperlihatkan sama ada ekonomi negara tumbuh atau berkembang secara lestari. Prestasi ekonomi secara lazimnya dilihat berdasarkan ukuran Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) atau GNI. Namun ukuran ini hanya mengira nilai tambah daripada pengeluaran barangan dan perkhidmatan yang dikeluarkan negara, tanpa mengambil kira nilai penyusutan atau perubahan stok sumber-sumber asli dan faktor-faktor pengeluaran yang diguna untuk mengeluarkan output tersebut.

Justeru, ukuran ini tidak dapat memberi gambaran sebenar apakah ekonomi negara sedang tumbuh secara lestari atau mempunyai daya tahan (resilient). Begitu juga kesan pencemaran alam sekitar akibat proses-proses ekonomi tidak direfleksi dalam pengukuran GDP atau GNI secara konvensional.

Saya mengharapkan di bawah RMK-11, Malaysia akan berusaha membangun dan melaksanakan pengukuran prestasi ekonomi makro yang melangkau ukuran GDP. Antara petunjuk prestasi ekonomi alternatif yang boleh diperkenal di Malaysia ialah Genuine Progress Indicator (GPI) dan Genuine Savings (GS). Indikator-indikator ini telah diguna pakai di beberapa negara lain bagi memberi petunjuk sama ada ekonomi negara tumbuh secara lestari atau sebaliknya.

Satu aspek kelestarian yang pen­ting ialah kesan perubahan iklim dan kebergantungan terhadap tenaga fosil. Diharapkan RMK-11 akan memaparkan dasar dan strategi yang praktikal ke arah penyesuaian dan mitigasi terhadap kesan perubahan iklim terutama dalam sektor utama seperti tenaga, janakuasa, pengangkutan, dan perubahan guna tanah khususnya dalam sektor perladangan. Sumber tenaga hijau dan terbaharu seperti solar, sisa biomas, biodisel, dan sebagainya harus diperluaskan dengan menawarkan pelbagai insentif ekonomi.

Saya menyarankan Malaysia meneroka kemungkinan membangunkan tenaga nuklear sebagai satu opsyen tenaga hijau, tentunya dengan mengambil kira pengalaman dari negara-negara tertentu.

Dewasa ini banyak sumber tenaga terbaharu dibiayai oleh dana da­ri­pada program ‘Feed in Tariff’ (FiT). Saya menganggap ini belum mencukupi kerana perkembangannya sangat perlahan. Saya berpendapat Petronas wajar memperuntukkan sebahagian hasil ‘sewa sumber’ daripada ekstraksi minyak dan gas kepada dana tenaga terbaharu bagi mempergiat lagi perkembangan industri tenaga terbaharu di Malaysia khususnya dalam sektor janakuasa.

Sistem percukaian alam sekitar seperti cukai karbon bagi sektor atau industri tertentu bagi menangani isu perubahan iklim juga wajar diperkenal di dalam tempoh RMK-11.

Kedua, saya merasakan sudah sampai masanya Malaysia mengkaji semula peranan dan pencapaian institusi akar umbi yang berkait dengan pembangunan petani dan pertanian. Secara spesifik, saya ingin merujuk kepada institusi peladang atau gerakan Pertubuhan Peladang yang merangkumi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) - kesemuanya di bawah naungan Lembaga Pertubuhan Peladang.

Sejak ditubuhkan pada 1973, di era RMK-2, sehingga kini tidak diketahui secara objektif sejauhmanakah keberkesanannya dalam meningkatkan sosioekonomi ma­sya­rakat luar bandar khususnya petani-petani kecil dan apakah kerangka pengoperasiannya masih relevan di era masa kini yang dico­rak oleh ledakan teknologi komunikasi dan informasi serta struktur ekonomi kompetitif dan terbuka.

Saya beranggapan reformasi struktur dan kerangka pengoperasian gerakan pertubuhan peladang perlu dilakukan agar benar-benar menjadi gerakan milik petani dan peladang yang berdaya maju, berorientasi pasaran, dan kurang bergantung kepada bantuan kerajaan.

Ketiga, era RMK-11 akan menyak­sikan suasana keterbukaan dan integrasi ekonomi yang lebih luas. Ini ekoran liberalisasi pelbagai halang­an perdagangan melalui pelbagai perjanjian perdagangan bebas bila­teral dan multilateral yang dimeterai Malaysia.

Kita boleh menjangka lebih ba­nyak aliran perdagangan serantau yang lebih bebas termasuk mobi­liti modal dan sumber manusia di bawah kerangka Komuniti Ekonomi Asean (AEC) yang akan dilancarkan pada tahun ini. Kita mungkin juga boleh menyaksikan pelaksanaan perdagangan bebas yang lebih luas dalam AEC sebelum berakhirnya tempoh RMK-11 ini. Antaranya kerangka perdagangan bebas Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP) yang sedang dirundingkan. Kesemua ini menuntut entiti perniagaan dalam negara, termasuk syarikat berkait dengan kerajaan untuk lebih berdisiplin, berdaya saing, berorientasi inovatif dan pasaran, serta mengurangkan kebergantungan terhadap sokong­an kerajaan.

Saya menaruh harapan RMK-11 mempunyai dasar dan strategi ke arah mempersiap negara menghadapi suasana keterbukaan ekonomi global ini.

Keempat, Dasar Ekonomi Baru (DEB) dikatakan telah berjaya melahirkan golongan profesional Bumiputera dalam hampir semua lapangan. Misalnya dominasi Bumiputera dalam sektor awam, pendidikan dan beberapa sektor lain boleh dikaitkan dengan kejayaan DEB. Namun pemilikan ekuiti atau kekayaan masyarakat Bumiputera masih di tahap yang menggusarkan. Ini banyak dikaitkan dengan hakikat bahawa ekonomi Bumiputera masih belum bercorak keusahawanan. Banyak usa­ha dilakukan kerajaan untuk membina masyarakat usahawan Bumiputera, misalnya melalui program Komuniti Komersial dan Industri Bumiputera (BCIC) yang diperkenalkan di bawah Dasar Pembangunan Baru (NDP).

Saya harap di bawah RMK-11 lebih banyak strategi inovatif akan diperkenal bagi membentuk budaya dan set minda keusahawanan dalam kalangan masyarakat Bumiputera. Sekolah teknik/vokasional, institusi kemahiran seperti IKM, ILP, Giat MARA dan sebagainya perlu diberi daya untuk melahirkan graduan yang berjiwa keusahawanan. Begitu juga subjek keusahawanan wajar diwajibkan kepada semua pelajar di institusi pengajian tinggi untuk menyediakan mereka tentang keusahawanan dan menjadi pencipta pekerjaan. Pendekatan baharu seperti kerangka wakaf dan infak juga wajar diteroka ke arah membina masyarakat usahawan dan menambah milikan kekayaan Bumiputera.

Kelima, keperluan para akademik dan penyelidik untuk mendapat akses terhadap data sosioekonomi yang terkini untuk menjayakan aktiviti penyelidikan dan perancangan pembangunan tidak dapat dinafikan. Namun kalangan akademik dan penyelidik masih berhadapan dengan ketidakcekapan agensi-agensi ter­tentu dalam menyediakan data yang diperlukan. Misalnya Jadual Input-Output terkini yang sangat diperlukan dalam analisis dan pemodelan ekonomi hanya setakat 2010 dan disediakan lima tahun sekali. Para akademik dan penyelidik juga wajar diberi lebih akses terhadap data-data mentah yang diperoleh daripada pelbagai proses kaji selidik oleh Jabatan Perangkaan.

Saya berpendapat di bawah RMK-11, jabatan itu perlu diperuntukkan sumber dan pemberdayaan yang cukup agar mampu menyediakan dan menyelaras pelbagai data sosioekonomi makro secara komprehensif dan terkini. Pemberdayaan ini harus juga merangkumi agensi lain yang perlu menyediakan data-data tertentu dari semasa ke semasa.

Saya menjangkakan kerajaan di bawah RMK-11 akan mencadangkan langkah-langkah baru dan inovatif untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pendapatan Petronas dan memastikan kelestarian fiskal negara. Ini termasuklah menambah baik pelaksanaan sistem GST, reformasi sistem percukaian langsung, dan memperkenal mekanisme percukaian baharu seperti cukai ke atas keuntungan modal dan juga cukai ke atas pendapatan luar pesisir.

Prof Dr Jamal Othman ialah Timbalan Ketua Kluster Ekonomi dan Pengurusan, Majlis Profesor Negara. Utusan Malaysia Rencana 21 Mei 2015

Inti pati utama RMK11

KUALA LUMPUR: Berikut inti pati Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) 2016-2020 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Dewan Rakyat hari ini.

1. Tema RMK11: Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat
* Rakyat merupakan tonggak negara
* Menyiapsiagakan rakyat untuk masa hadapan
* Semua lapisan rakyat menikmati kemajuan negara



2. RMK11 akan mengukuhkan daya tahan ekonomi makro untuk meningkatkan pertumbuhan
* Meningkatkan penggunaan dan pelaburan swasta
* Menjana pertumbuhan baharu melalui peningkatan produktiviti dan pengetahuan
* Mengurus kewangan awam secara berhemat

3. RMK11 mempunyai enam teras strategi
* Memperkukuh inklusiviti ke arah masyarakat yang saksama
* Meningkatkan kesejahteraan rakyat
* Meningkatkan pembangunan modal insan untuk negara maju
* Menuju ke arah pertumbuhan hijau bagi meningkatkan kemampanan dan daya saing
* Memperkukuh infrastruktur bagi menyokong pertumbuhan ekonomi
* Memperkasa pertumbuhan ekonomi untuk peningkatan kemakmuran

4. RMK11 akan mentransformasi perkhidmatan awam untuk produktiviti
* Bertumpukan rakyat
* Produktiviti dan kecekapan
* Kerajaan digital

5. Semua pihak perlu melaksanakan usaha secara bersama mencapai aspirasi negara
- Dalam tempoh RMK11, kerjasama erat, ketekunan dan kesungguhan serta komitmen yang tinggi semua pihak berkepentingan amat perlu

6. Membina Malaysia Pasca 2020.
* Malaysia akan menjadi negara maju, progresif dan inklusif dari segi ekonomi
* Menjiwai alam sekitar, menghargai, melindungi, memelihara dan berbangga dengan keunikan flora dan fauna negara ini.
* Rakyat bersatu dalam kepelbagaian, memiliki identiti kebangsaan yang utuh
* Prihatin terhadap golongan yang kurang berkemampuan
* Sistem pendidikan holistik didorong oleh semangat dahagakan ilmu

7. RMK11 berbeza dengan RMK lima tahun sebelum ini
* RMK11 mengutamakan tindakan
* Berpaksikan rakyat
* Mengambil kira perspektif jangka panjang

8. Rakyat Malaysia akan lebih produktif
* Produktiviti sektor swasta
* Produktiviti sektor awam

9. Membina negara maju
* Menjana kekayaan melalui inovasi
* Mengupayakan TVET (technical vocational education and training) yang diterajui industri
* Membina bandar yang mampu bersaing pada peringkat global

10. Membangun secara mampan
* Gaya hidup hijau
* Reduce, reuse and recyle (3R)
* Pembelajaran hijau

11. Komited dalam mewujudkan sebuah masyarakat inklusif
* Kualiti hidup yang selesa untuk semua
* Seorang graduan bagi setiap isi rumah
* Komuniti usahawan produktif

- BERNAMA Berita Harian Rencana 21 Mei 2015

Pencapaian utama RMK10

BERIKUT antara pencapaian utama Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) 2011-2015 yang dinyatakan dalam dokumen RMK11 2016-2020 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat hari ini.

* kadar kemiskinan telah berkurang kepada 0.6 peratus

* kadar penyertaan wanita dalam pasaran kerja meningkat kepada 55 peratus

* liputan jalan luar bandar meningkat kepada 51,262 km

* liputan bekalan elektrik luar bandar 98 peratus

* liputan bekalan air luar bandar 94 peratus

* 5,737 kampung dihubungkan melalui Program Kampung Tanpa Wayar

* RM175 bilion pelaburan di lima koridor ekonomi, 427,100 peluang pekerjaan diwujudkan

* anggaran jangka hayat rakyat meningkat kepada 74.8 tahun

* 102,200 unit rumah mampu milik siap dibina

* kadar pengangguran 2.9 peratus

* 1.8 juta pekerjaan baharu diwujudkan

* 1.9 juta pekerja mendapat manfaat pelaksanaan gaji minima

* 90.7 peratus enrolmen prasekolah dicapai

* 36.5 peratus purata staf akademik berkelulusan PhD di universiti awam

* kadar kitar semula isi rumah mencapai 15 peratus

* liputan hutan mencapai 61 peratus

* 23,264 hektar hutan diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal

* 93,100 km jalan baharu dibina

* jumlah penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) meningkat 64 peratus

* klia2 dibuka dan landasan ketiga KLIA mula beroperasi

* penumpang rel bandar meningkat 32 peratus

* kadar penembusan jalur lebar mencapai 70 peratus

* 14 kawasan seluruh negara mendapat akses kepada perkhidmatan Televisyen Terestrial

* 95 peratus penduduk mendapat bekalan air bersih

* sektor perkhidmatan menyumbang RM2,550 bilion kepada KDNK

* sektor pembuatan menyumbang RM1,111 bilion kepada KDNK

* sektor pertanian menyumbang RM455 bilion kepada KDNK

* sektor pembinaan menyumbang RM194 bilion kepada KDNK negara

* perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menyumbang RM1,606 bilion kepada KDNK

* Malaysia mencapai kedudukan ke-18 daripada 189 negara dalam laporan 'Doing Business 2015' Bank Dunia

* Malaysia mencapai kedudukan ke-33 daripada 143 negara dalam Global Innovation Index 2014

Mengimbas pencapaian dalam tempoh lima dekad yang lalu pula, Malaysia berjaya menjadi antara negara yang terbaik di Asia dalam pertumbuhan ekonomi walaupun menghadapi pelbagai cabaran dan kejutan ekonomi.

Laporan RMK11 itu menyebut, pertumbuhan KDNK benar adalah stabil pada kadar purata 6.2 peratus setahun sejak 1970 dan Malaysia berjaya mentransformasi struktur ekonomi daripada berasaskan pertanian pada dekad 1970-an kepada pembuatan pada 1980-an dan seterusnya kepada perkhidmatan pada 1990-an.

Pendapatan perkapita nasional meningkat lebih 25 kali ganda iaitu daripada US$402 pada 1970 kepada US$10,796 pada 2014 dan pencapaian ini menunjukkan Malaysia berada pada landasan yang betul untuk melepasi paras pendapatan minimum ekonomi berpendapatan tinggi, iaitu US$15,000 menjelang 2020.

Kejayaan ini dicapai hasil daripada falsafah pembangunan Malaysia yang menjadikan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat sebagai matlamat utama pertumbuhan ekonomi.

Komitmen ini dapat dilihat dalam pelaksanaan dasar pembangunan bermula dengan Dasar Ekonomi Baru 1971-1990, Dasar Pembangunan Nasional 1991-2000, Dasar Wawasan Negara 2001-2010 dan Dasar Transformasi Negara 2011-2020. - Bernama Sinar Harian Rencana 21 Mei 2015