May 27th, 2015

Di sana cari kerja, di sini ‘makan gaji buta’

SEORANG ibu tunggal yang saya kenali, dia hanya menerima gaji sebanyak RM15 sehari dengan menolong menjual makanan di hadapan salah sebuah sekolah di Shah Alam. Selain kerja itu, dia mengambil upah mengemas rumah apabila ada permintaan. Dia bekerja keras untuk menyara enam orang anaknya yang masih kecil dan bersekolah.

Dalam pada itu, telah diviralkan dalam media sosial, seorang bapa membuat kerja sampingan menjual kek mufin di hadapan sebuah bank di Petaling Jaya, untuk membiayai kos rawatan anak perempuannya yang berusia 8 tahun yang lumpuh seluruh badan.

Ada juga yang menjadi runner menghantar barang-barang yang dipesan pelanggan dengan kenderaan sendiri, kereta atau motor. Apa saja barang, tidak kira barang dapur, makanan ataupun penghantaran hadiah ulang tahun kelahiran ke mana-mana saja kawasan yang diminta dengan upah seikhlas hati.

Ini adalah antara cerita-cerita benar survival masing-ma­sing dalam kehidupan. Memang nasib kita tidak sama, ada yang dapat menikmati kehidupan yang mewah, sederhana dan ada yang susah dan terus tersepit tetapi tetap kuat untuk keluarga.

Maka, bagi yang gigih bekerja demi kelangsungan hidup ini, istilah `makan gaji buta’ tentulah tidak ada langsung dalam kamus hidup mereka. Yang pasti, kalau tidak bekerja tidak ada duitlah. Mahu makan apa? Lagi pula, kalau ada ba­nyak tanggungan, kenalah juga cari duit yang penatnya selalunya tidak setimpal dengan upah.

Jadi, agak menghairankan apabila ada orang yang sudah diberi peluang bekerja di sektor yang mendapat banyak kemudahan, insentif dan duduk selesa di pejabat mempersia-siakan pekerjaan tersebut, sedangkan itulah rezeki yang telah diberikan Tuhan untuk menyara anak isteri mereka.

Pendedahan terdapat kira-kira 5,000 kakitangan awam berjawatan tetap yang makan gaji buta berada dalam radar Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) baru-baru ini untuk ditamatkan perkhidmatannya jika tidak berubah selepas diberi tempoh enam bulan, menunjukkan betapa ramainya yang mengambil mudah dengan kerja dan peluang yang diberikan kepada mereka.

Dengan pelbagai masalah disiplin antaranya ponteng kerja selama 200 hari dalam setahun, datang lewat ke pejabat, terlibat dengan perniagaan serta hilang fokus sehingga penilaian prestasi mereka berada di bawah 60 peratus, mana-mana sektor pun majikannya pasti pening kepala jika mendapat pekerja yang berperangai seperti ini.

Ada pula yang berkata, apalah yang hendak dikecohkan sangat dengan angka 5,000 orang itu, bukannya ramai berbanding keseluruhan jumlah kakitangan awam di negara ini iaitu seramai 1.61 juta orang. Itu sektor awam, sektor swasta tentu lebih ramai daripada itu, cuma tiada statistik lagi.

Pada saya, walau di dalam sektor awam atau swasta, tentu tidak seorang pun daripada kita akan berasa selesa atau suka bekerja dengan orang yang hanya makan gaji buta, walaupun dia seorang saja dalam pejabat yang ada perangai itu pasti akan menjejaskan kelancaran kerja dalam sesebuah jabatan atau organisasi dan pada sama boleh mengganggu kerja orang lain. Inikan pula 5,000 orang!

Sedangkan ramai di luar sana yang mahu dan amat memerlukan pekerjaan. Ada yang mempunyai kelulusan tinggi tetapi tidak mendapat pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan mereka, sudahnya kerjalah apa saja, asalkan ada kerja.

Di sini saya tidak mahu menyentuh mengenai mutu kerja sektor awam. Sudah banyak pun diperkatakan tentang itu. Cukuplah sekadar mengingatkan bahawa ramai yang sedang bergelut dengan kesukaran untuk mendapatkan kerja, tersepit dengan kos sara hidup yang meningkat dengan banyak tanggungan, pada masa sama ada di antara kita yang suka-suka hati mahu datang kerja atau tidak dan dapat gaji yang sama dengan orang yang bekerja setiap hujung bulan!

Tentunya, tindakan menamatkan perkhidmatan mana-mana pekerja yang makan gaji buta adalah langkah terbaik. Ramai lagi yang punya kelulusan sama yang memerlukan jawatan atau kerja itu. Lagi pula, adalah membazir membayar gaji kepada pekerja yang tidak buat kerja. Lebih baik wang itu diserapkan kepada perkara-perkara yang perlu dalam organi­sasi itu atau paling tidak pun wang itu digunakan untuk menaikkan gaji pekerja yang rajin.

Dalam pada itu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) perlulah melihat isu ini de­ngan lebih dekat. Janganlah asyik dilihat meminta kenaikan gaji, bonus dan macam-macam kemudahan lain. Yang makan gaji buta pun, tolonglah lihat sama.

- Fauziah Arof Utusan Malaysia Rencana 27 Mei 2015

Jaringan alumni manfaatkan semua

BARU-BARU ini, saya berkesempatan bertemu dengan rakan-rakan seperjuangan semasa di bangku sekolah menengah di sebuah restoran di ibu negara. Pelbagai topik yang dibicarakan, maklumlah ada dalam kalangan kami yang hampir 10 tahun tidak berjumpa. Topik yang paling hangat dibualkan mengenai pertemuan semula bekas pelajar seangkatan kami semasa di sekolah menengah pada penghujung bulan Julai ini.

Penganjur majlis tersebut pula ialah rakan karib saya yang sekarang ini bekerja di luar negara. Meskipun bekerja di luar negara, namun, rakan karib saya ini tetap memberikan komitmen yang tinggi bagi menjayakan pertemuan semula kami.

Dibantu oleh rakan-rakan lain di Malaysia, setakat ini sudah ramai dalam kalangan kami yang bersetuju untuk menghadiri majlis pertemuan semula ini. Malah, ada yang sanggup mengambil cuti meskipun bekerja di luar negara seperti negara-negara Eropah dan Asia Barat. Itu penangan pertemuan semula alumni sekolah yang mana setiap daripada kita pastinya memiliki kenangan manis semasa waktu persekolahan dahulu.

Rupa-rupanya bukan setakat kami sahaja yang berbual mengenai pertemuan semula rakan-rakan seangkatan sekolah menengah di restoran tersebut. Saya difahamkan oleh rakan-rakan lain, terdapat satu kumpulan bekas pelajar sekolah elit di Perak juga sedang mengadakan perbincangan mengenai pertemuan semula mereka. Malah, minggu lalu, bekas pelajar sebuah sekolah perempuan berstatus sekolah premier di selatan Semenanjung Malaysia juga telah mengadakan pertemuan semula ini.

Apa yang ingin saya nyatakan bukan setakat mengenai majlis pertemuan semula yang selalu diadakan oleh bekas-bekas pelajar sesebuah sekolah sebagaimana terbukti melalui ruangan alumni sekolah, Utusan Malaysia juga mempunyai ruang aktiviti-aktiviti alumni sekolah. Apa yang ingin saya tekankan ialah pertemuan semula ini sebenarnya salah satu cara bagaimana alumni sekolah boleh membina jaringan dalam membangunkan diri sendiri, sekolah dan masyarakat hatta negara sekalipun.

Misalnya, pembangunan diri sendiri akan dapat dibentuk apabila jaringan alumni cukup kukuh. Terdapat situasi yang mana alumni sesebuah sekolah menguasai pengurusan tertinggi dalam sektor korporat. Ini menggambarkan bahawa pengurusan tertinggi lebih yakin dan percaya dengan alumni mereka, maka peluang lebih cerah untuk alumni sekolah berganding bahu bersama-sama dengan senior mereka yang terlebih dahulu sudah berada pada tahap yang lebih tinggi. Pengurusan tertinggi sektor korporat ini lebih gemar mengambil junior-junior mereka dalam membentuk jaringan yang lebih kukuh dalam sektor korporat.

Selain itu, kekuatan alumni sekolah ini juga meliputi program-program kemasyarakatan dalam membantu rakan-rakan mereka yang kurang bernasib baik. Ada juga yang sanggup menyumbang bakti membantu sekolah dalam apa jua bentuk bantuan. Misalnya, membantu pelajar sekolah mencapai kecemerlangan dalam bidang sukan dan kokurikulum meskipun sibuk dengan kerjaya masing-masing.

Mereka ini sanggup turun ke padang melatih junior mereka dalam bidang sukan. Tujuannya tidak lain tidak bukan untuk memastikan legasi kecemerlangan sekolah tetap diteruskan meskipun para pelajarnya bersilih ganti.

Tidak kurang juga, ada alumni sekolah yang tidak keberatan membantu sekolah dengan menyumbang kepakaran masing-masing bagi memotivasikan junior mereka yang masih di bangku sekolah. Sumbangan dan bantuan mereka diberikan secara percuma, bahkan ada di antara mereka jugalah yang sanggup menyumbang wang ringgit membantu sebarang bentuk program dan aktiviti sekolah.

Terdapat banyak keadaan yang mana gabungan bekas-bekas pelajar menjalin hubungan yang baik dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam melahirkan pelajar-pelajar yang berwibawa dan berkualiti pada masa akan datang.

Mengambil iktibar kekuatan alumni sekolah melalui persatuan bekas-bekas pelajar, kerajaan sewajarnya mengambil tindakan proaktif menggalakkan penglibatan mereka menyumbang bakti dalam pembangunan sistem pendidikan negara. Bayangkan terdapat sekolah yang memiliki ramai tokoh berwibawa dalam bidang korporat dan sektor awam, mereka ini sudah tentu mampu menjadi penyumbang terbesar dalam membangunkan kesejahteraan rakyat Malaysia melalui sistem pendidikan negara.

Dalam hal ini, kita boleh mengambil contoh alumni universiti-universiti terkemuka di dunia yang sering kali bersedia menghulurkan bantuan kepada bekas universiti mereka. Ini kerana mereka telah berjaya dalam lapangan yang diceburi termasuklah menjadi ketua-ketua negara, maka kejayaan ini dikongsi bersama sebagai penghargaan terhadap pihak universiti.

Malah, terdapat sebuah negara yang mana boleh dikatakan ramai pemimpinnya terdiri daripada bekas pelajar sebuah universiti. Ini memberi gambaran seolah-olah universiti tersebut menjadi lubuk utama melahirkan pemimpin-pemimpin negara tersebut.

Di Malaysia juga tidak terkecuali, terdapat bekas pelajar sebuah sekolah elit yang sentiasa melahirkan pemimpin tidak kira peringkat negara, negeri mahupun sektor swasta. Boleh dikatakan sekolah-sekolah elit ini yang juga merupakan sekolah premier berorientasikan satu jantina tidak kira lelaki mahupun perempuan sudah lama memiliki reputasi yang tinggi dalam kalangan masyarakat. Tidak keterlaluan dikatakan sokongan alumni sekolah-sekolah berkenaan berjaya membina dan mengekalkan reputasi tinggi tersebut.

Malah, sejak kebelakangan ini, sudah ada persatuan-persatuan alumni sekolah yang berkemampuan memiliki bangunan mereka sendiri bagi membolehkan operasi dan aktiviti mereka berjalan lancar. Yang jelas kelihatan, alumni-alumni sekolah ini tidak pernah berhenti membantu sekolah dan bekas pelajar dalam menghadapi sebarang cabaran.

Mereka ini juga ialah wira yang tidak didendang tetapi telah banyak membantu secara langsung dan tidak langsung membina Malaysia ke arah yang lebih baik. Justeru, sudah sampai masanya persatuan-persatuan alumni ini diangkat pada tahap yang lebih baik sejajar dengan peranan mereka yang semakin penting di negara kita. - Rohami Shafie Utusan Malaysia Rencana 27 Mei 2015

Sabut kelapa inovasi baharu bagi industri pembuatan perabot

MARANG: Kelapa dikatakan sebagai pokok 1,001 kegunaan dengan setiap bahagian daripada pokok berkenaan mempunyai kegunaan dan boleh dihasilkan produk.

Jika dahulu sabut kelapa hanya dibuang dan dibakar, kini ia menjadi inovasi baharu dalam industri pembuatan perabot, tilam dan tempat duduk kereta.

Pengarah Pusat Penyelidikan dan Kejuruteraan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr Mohd Salleh Punan, berkata sabut yang diproses boleh menghasilkan cocopeat (habuk sabut) dan coir (fiber panjang).

Bahan itu digunakan dalam industri seperti pembuatan perabot, permaidani, tilam serta tempat duduk kereta, selain fertigasi pertanian moden bagi menggantikan tanaman di atas tanah.

Dalam wawancara dengan Bernama baru-baru ini, beliau berkata untuk menghasilkan cocopeat dan coir, sabut kelapa akan direndam di dalam kolam takungan selama sebulan, kemudian sabut yang diawet itu ditoskan sebelum dipukul bagi memecah, melembut dan kemudian diasingkan untuk menghasilkan cocopeat serta coir.

"Sejak lima tahun lalu, pihak MARDI menghasilkan mesin pengasing sabut kelapa bagi memudahkan usahawan yang mahu menceburi bidang ini dan setiap mesin dijual dengan harga RM25,000.

Bagaimanapun, kami sedia beri pinjam kepada usahawan buat sementara selama sembilan bulan," katanya. Mohd Salleh berkata, namun begitu sehingga kini penggunaan mesin pengasing sabut kelapa ini masih belum digunakan secara meluas.

"Setakat ini hanya empat negeri sahaja yang ada usahawan menggunakan mesin ini iaitu di Perak, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Bagaimanapun, hasil cocopeat dan coir ini sangat mendapat permintaan tinggi bagi pasaran dalam industri pembuatan negara," katanya.

Seorang daripada pengusaha cocopeat dan coir dari Kampung Bukit Kolam, di sini Mamat Osman, 61, berkata dia yang asalnya berniaga santan selama enam tahun kini memperoleh hasil lumayan setelah menceburi bidang ini tiga tahun lalu.

"Mula-mula memang saya fikir juga, nak buat apa dengan sabut kelapa ni sebab kerja saya jual santan. Kelapa saya guna, tetapi tempurung dan sabut tu tak tahu nak buang ke mana. Kebetulan saya terbaca mengenai mesin ini di surat khabar, saya terus menghubungi pihak MARDI.


"Saya pergi ke MARDI Serdang, untuk lihat sendiri mesin yang dihasilkan pihak Mardi, kemudian saya pinjam sementara mesin berkenaan selama enam bulan untuk percubaan.

Bila dah dapat permintaan tinggi, barulah saya beli dua buah mesin ini dengan harga RM25,000 setiap satu," katanya. Mamat, yang juga pesara kerajaan, berkata pendapatannya menjual santan selepas pencen hanya sekitar RM50 hingga RM60 sehari, tetapi kini pendapatannya meningkat tiga kali ganda hasil permintaan cocopeat yang tinggi.

"Cocopeat ini boleh digunakan sebagai media untuk penanaman fertigasi dan permintaan terhadap cocopeat ini sangat tinggi dan saya hanya menjualnya RM4.50 seguni.

Dulu pengusaha fertigasi ambil dari luar negeri, tapi kini mereka ambil dengan saya sebab saya jual dengan lebih murah.

"Untuk coir pula, ia digunakan dalam industri penghasilan perabot, karpet, tilam serta tempat duduk kereta yang mana coir ini tahan lama dan tak mudah rosak serta tidak panas dan sangat sesuai dengan pembuatan ini," katanya.

Mamat berkata, coir dijual dengan harga RM900 bagi satu treler. "Sabut kelapa saya peroleh daripada orang kampung dengan harga RM60 selori, tetapi kini saya menghadapi sedikit kesukaran untuk mengeluarkan lebih produk kerana pengeluaran kelapa di negeri ini semakin berkurangan," katanya yang turut merancang untuk membuka sebuah kilang tahun ini. - BERNAMA

SABUT kelapa mempunyai mempunyai 1,001 kegunaan. - Gambar hiasan