May 30th, 2015

Budayakan perpaduan, rai kepelbagaian

Semenanjung Malaysia mula menjadi negara majmuk pada awal tahun 1920-an. Ini berlaku dengan kemasukan pekerja dengan ramainya dari Selatan China dan India.

Pada akhir tahun 1930-an, ia sudah menjadi negara majmuk sepenuhnya, dengan kaum Melayu 45 peratus daripada jumlah penduduk. Manakala kadar kaum Cina, 39 peratus. Kadar kaum India pula 14 peratus.

Sebagai negara majmuk, kaum bukan asal diberi kebebasan untuk terus menutur bahasa ibundanya, menganuti sistem kepercayaannya dan mengamalkan warisan budayanya. Ini boleh terus memisahkan kita semua.

Oleh itu dalam keadaan majmuk ini, Malaysia perlu memastikan sepakat antara kaum sentiasa dipupuk dan dipelihara. Kini kesepakatan ini hanya wujud pada tahap yang dipanggil paduan sosial. Ia tahap bersatu secara permukaan saja. Ia tidak pun seerat yang boleh dipanggil perpaduan.

Sudah tentu keadaan ini perlu dipertingkat sehingga menjadi perpaduan, iaitu keadaan yang antaranya memperlihatkan wujudnya kemesraan rapat sifatnya sesama kaum.

Walau apapun tahapnya, selain berusaha bersungguh-sungguh memperbaikinya, kita perlu pada setiap masa mengiktiraf peri pentingnya. Selain mengiktiraf, kita juga perlu menghormatinya.

Satu perkara lain, ialah pemahaman didapati lebih utama daripada pengiktirafan dan penghormatan.

Etnisiti satukan masyarakat

Melalui pemahaman ini, kita perlu tahu skop etnisiti yang membezakan kita. Etnisiti adalah unsur terpenting dalam hubungan etnik. Ia boleh menyatukan atau memecah-belahkan masyarakat majmuk.

Sehubungan skopnya, dua kelompok, iaitu majoriti dan minoriti perlu dihemati dari dimensi kedudukan. Di Malaysia, kaum Melayu adalah kelompok majoriti.

Dengan ini, kaum Melayu menduduki tempat tinggi bukan saja dalam hierarki etnik di negara ini, mereka juga menikmati kedudukan dominan dalam sistem politik negara.

Dengan ini, sistem nilai dan norma kaum Melayu banyak diserapkan dalam skema kebangsaan, untuk dijadikan cara dan tindakan rasmi negara dalam kehidupan nasional semua rakyat.

Sehubungan ini, bahasa dan budaya Melayu adalah dua perkara penting dalam kehidupan nasional itu. Sebenarnya kedua-dua ini adalah wahana kebangsaan utama untuk perpaduan.

Untuk ini, sistem pendidikan negara menggunakan bahasa Melayu yang menjadi bahasa negara kita sebagai bahasa pengantar utama. Walaupun begitu, bahasa kaum lain, misalnya Cina dan India, dibenarkan menjadi bahasa pengantar bersama.

Kebudayaan Kebangsaan yang digubal untuk mengungkapkan jati diri negara, dengan bertunjangkan budaya Melayu, ikut menerima budaya kaum lain. Ini dibenarkan asalkan ia tidak bercanggah dengan ajaran Islam yang menjadi agama negara.

Dengan penerimaan bahasa dan budaya kaum lain, ini bermakna sistem pendidikan negara dan Kebudayaan Kebangsaan ikut mengiktiraf tradisi kaum lain dalam skema negara.

Dengan kata lain, warisan budaya kaum lain bukan saja ikut diterima, malah diiktiraf secara perundangan dalam sebilangan akta negara.

Kebebasan amal cara hidup asal

Kesemua ini tentu berupa peraian terhadap kepelbagaian, iaitu prinsip kehadiran setiap kaum dalam pelan strategik negara. Ini antaranya untuk mengangkat, sekali gus mendukung aspirasi bersatu yang menjadi teras induk negara.

Melalui kepelbagaian ini, terdapat kebebasan bagi kaum lain mengamalkan cara hidup asal mereka. Inilah sifat paling demokratik pada sistem pemerintahan di negara ini.

Dengan ini, kaum lain walaupun menjadi kelompok minoriti, tidak sesekali memiliki status rendah. Kaum Cina sebagai contoh boleh mengamal dan mewariskan budaya mereka dalam bentuk asal, selain boleh ikut terbabit secara aktif dalam semua institusi negara, sama ada politik, ekonomi mahupun pendidikan.

Ini sudah tentu dibolehkan dasar kepelbagaian yang walaupun menegaskan pembahagian majoriti-minoriti, tetap memastikan kaum lain ikut dirangkum dalam proses pembangunan negara.

Sempena Mei sebagai bulan untuk negara menyambut Minggu Perpaduan, marilah kita membudayakan perpaduan dan meraikan kepelbagaian.

Dengan ini, jadikanlah muafakat sebagai cara hidup kita yang utama saban hari, dengan bukan saja terus menjalinkan persahabatan baharu, tetapi juga mempererat silaturahim sesama kaum yang sedia ada.

Pada masa sama, kita semua hendaklah menganggap kita yang beraneka ini anugerah istimewa yang bukan sahaja perlu kita lindungi, tetapi juga perlu kita wariskan kepada generasi mendatang dalam bentuk utuh.
Teo Kok Seong Berita Harian Kolumnis 28 Mei 2015

Penjawat awam culas bantut slogan rakyat didahulukan

Kenyataan terbuka Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa mengenai sikap tidak berdisiplin 5,000 kakitangan awam pada Sabtu lalu, dianggap pendedahan berani walaupun terpaksa mengkritik sistem perkhidmatan awam yang dipimpinnya.

Ini dilakukan walaupun sedar ia akan menyebabkan beliau tidak popular dalam kalangan pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam.

Walaupun bilangan mereka ini kecil berbanding lebih sejuta kakitangan perkhidmatan awam, kesannya sangat besar jika tindakan sewajarnya tidak diambil.

Namun, atas dasar ingin melakukan transformasi terhadap perkhidmatan awam, beliau terpaksa menyuarakannya walaupun ia boleh menjejaskan reputasinya.

Untuk melakukan transformasi perkhidmatan awam, ia tidak boleh dibuat mengikut panduan naluri, cita rasa dan kata hati semata-mata. Ia memerlukan maklumat, fakta dan angka bagi membolehkan sebarang tindakan, tidak dipersoalkan.

Sebarang tuduhan terhadap pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam tidak boleh dibuat tanpa sandaran fakta dan bukti. Jika sebelum ini ada kakitangan perkhidmatan awam dikatakan lewat atau tidak datang bekerja, ia mestilah disertakan bukti.

Rekod kehadiran setiap individu sangat penting bagi membuktikan dakwaan itu. Tanpa rekod, ia dianggap tuduhan melulu.

Jika terbukti kesalahan itu benar-benar dilakukan, mereka yang berkenaan perlu menilai semula perbuatan mereka.

Mereka sepatutnya memikirkan tanggungjawab yang diamanah supaya berkhidmat kepada masyarakat dan negara berlandaskan slogan bersih, cekap dan amanah.

Sikap tak bertanggungjawab

Mereka juga perlu memiliki sikap bertanggungjawab kepada rakan setugas yang terpaksa menanggung tugas yang sepatutnya mereka lakukan.

Jika tidak hadir kerja sehingga 200 hari, lebih separuh daripada jumlah hari dalam setahun, ia adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab.

Kegagalan hadir bekerja begitu lama itu mestilah disertakan dengan rekod dan bukti. Gaji diterima setiap bulan juga tidak berkat, tambahan pula jika ia digunakan untuk perbelanjaan makan minum keluarga.

Persoalannya, siapakah mereka? Adakah mereka bekerja di kementerian atau jabatan kritikal atau di pejabat yang sering berurusan dengan rakyat.

Jika berkhidmat di pejabat yang membabitkan kepentingan orang ramai, mereka sebenarnya menganiaya rakyat. Rakyat meletakkan harapan tinggi kepada mereka untuk memudahkan urusan.

Akibat tindakan buruk segelintir kakitangan ini, seluruh perkhidmatan awam menerima tempiasnya, malah kerajaan dipersalahkan. Apakah kategori mereka?

Jika kumpulan pegawai yang membuat keputusan, perbuatan mereka akan menyebabkan banyak keputusan tergendala. Disebabkan mereka sering tiada di pejabat, banyak keputusan tidak dapat dibuat dan dilaksanakan.

Jika mereka pekerja pada peringkat bawahan, banyak kerja tidak dapat diselesaikan akibat kekurangan kakitangan. Ia melewatkan urusan rakyat yang memerlukan bantuan dan perkhidmatan yang sepatutnya.

Jika selama ini kerajaan mahu setiap urusan diselesaikan dalam tempoh yang paling singkat, ia sekadar kata-kata janji semata-mata.

Jika kerajaan meletakkan matlamat dengan memberi keutamaan mendahulukan rakyat, kakitangan seperti ini membantutkan urusan dan matlamat berkenaan.

Jika rakyat merungut akibat layanan yang tidak memuaskan, merekalah yang menjadi punca kepada masalah itu. Agak menghairankan bagaimana kesalahan disiplin seperti itu dibiarkan berlaku sekian lama.

Sepatutnya, kesalahan mereka dapat dikesan lebih awal. Apabila mereka didapati melakukan kesalahan pada peringkat awal, ketua jabatan perlu menasihat seterusnya memberi amaran.

Membiarkan perbuatan itu berterusan, ia seolah-olah menggambarkan ketua jabatan dan kakitangan lain bersubahat dengan perbuatan itu.

Ketua jabatan kena tegas

Mengikut Peraturan Am kerajaan, ketua jabatan boleh mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar disiplin dengan mengikut syarat ditetapkan.

Disebabkan amalan itu sudah berlarutan sekian lama dan bilangan mereka juga dianggap agak membimbangkan, langkah memperbaiki keadaan perlu dijalankan dengan sistematik.

Setiap mereka perlu diberikan khidmat nasihat dan motivasi baharu supaya memperbaiki diri untuk menjalankan kerja dengan ikhlas, gigih dan bertanggungjawab.

Jika mereka memilih berhenti kerja, tindakan sewajarnya boleh dilakukan. Selama ini pun ada antara mereka yang bekerja pada waktu pejabat dan berniaga pada waktu luar pejabat.

Realitinya, ia bukanlah ganjil di negara ini, malah digalakkan. Ramai kakitangan perkhidmatan awam yang terpaksa melakukan lebih daripada satu kerja untuk menampung kos sara hidup yang kian meningkat.

Tidak salah bekerja kuat untuk menampung perbelanjaan keluarga secara halal tetapi usahlah mengabaikan tugas hakiki di jabatan kerajaan.

Bagi pegawai dan kakitangan yang prestasi mereka sudah dinilai dan mendapat markah skor pencapaian di bawah 60 peratus, tidak bermakna mereka dianggap penumpang.

Sebaiknya, mereka perlu menjadikannya cabaran untuk memperbaiki diri. Mereka tidak boleh menyalahkan majikan mengadakan sistem untuk menilai prestasi kakitangan kerana setiap perkhidmatan mesti ada ukurannya.

Tanpa penilai terhadap kakitangan dan pegawai bermakna ia diibaratkan kapal belayar tanpa haluan. Hanya dengan cara penilaian seperti ini kelemahan dapat dikesan dan diperbaiki.
Mior Kamarul Shahid Berita Harian Kolumnis 29 Mei 2015

Jangan cepat melatah, emosional tangani isu viral

Viral adalah satu perkataan yang besar dan semakin mendapat tempat dalam kehidupan tamadun komunikasi moden masa kini. Perkataan itu sendiri berasal dari perkataan virus.

Kalau disebut virus, sudah tentu dalam minda manusia terfikir akan bahaya yang boleh merebak kepada manusia lain dengan pantas. Sama seperti viral dalam aspek dunia komunikasi media yang semakin tidak terjangkau ini, pelbagai implikasi mula terkesan terhadap kehidupan harian sosial, ekonomi dan negara.

Malahan, ledakan viral itu memperlihatkan satu kuasa aliran komunikasi elektronik yang disebarkan secara pantas dan meluas secara interpersonal.

Yang menjadi cabaran sekarang ialah isu yang viral itu ada kalanya bermula dengan niat yang murni, tetapi pelaksanaan itu mungkin salah.

Ada juga isu yang viral itu membongkarkan sesuatu perkara yang tidak baik bagi satu tindakan segera daripada pihak berwajib, tetapi disalahtafsirkan atau timbul persepsi yang kepelbagaian.

Malahan, ada isu yang viral itu menaikkan identiti, imej dan reputasi.

Untung, rugi viral komunikasi

Boleh dikatakan viral komunikasi ini ada yang menguntungkan dan ada yang merugikan, sama seperti virus.

Kalau dilihat virus yang positif, ia bertukar menjadi vaksin iaitu patogen yang dilemahkan sehingga tidak berbahaya jika menyerang manusia lalu menghasilkan antibodi kepada tubuh.

Di samping itu, virus yang positif itu juga berperanan sebagai antitoksin yang menguntungkan gen manusia itu. Berbeza virus negatif yang dapat menyebabkan beberapa penyakit pada tubuh manusia.

Serangan virus ini dapat merugikan manusia seperti influenza, cacar, polio, herpes, rabies, ebola, hepatitis dan demam berdarah.

Kisah virus ini boleh kita lihat dalam komunikasi media sosial baharu. Antaranya, kes kehilangan pesawat MH370, tragedi MH17, banjir di Pantai Timur akhir tahun 2014, isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pembelian tanah oleh pengurusan tertinggi Tabung Haji, seorang wanita mengamuk selepas kereta Peugeot miliknya bergesel dengan sebuah Toyota Corolla dipandu seorang lelaki warga emas dalam kejadian di parkir Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuantan, 14 Julai 2014 lalu, isu pasangan gay, isu kenderaan MyVi berlumba di lebuh raya serta isu kaum dan agama yang dimanipulasikan.

Masyarakat semakin maju dan lebih terpelajar, lebih-lebih lagi pada hari ini bersikap lebih skeptikal dalam sesuatu perkara. Oleh itu, organisasi tidak boleh mengharapkan masyarakat bersetuju dengan setiap tindakan.

Krisis tidak boleh dielakkan, namun kesannya boleh dikurangkan, apatah lagi dalam menghadapi isu viral. Kekuatan dalam personaliti dan organisasi perhubungan awam mempunyai peranan yang penting dalam pengurusan isu atau krisis.

Bijak kawal situasi

Bagi menangani isu viral ini, penulis ingin mengesyorkan individu atau organisasi yang menghadapinya supaya bijak mengawal situasi, termasuk mengawal kawalan diri.

Hendaklah kita mendefinisikan masalah sebenar dan menetapkan strategi komunikasi dalam usaha menyampaikan makumat yang cepat dan tepat kepada masyarakat atau khalayak.

Di samping itu, perlu mengumpul maklumat sebanyak mungkin sebagai bukti dan benteng dalam memperjelaskan sesuatu isu. Jangan emosional atau cepat melatah.

Seterusnya, perlu menubuhkan pasukan pengurusan krisis yang berada dalam keadaan siapsiaga walaupun individu.

Yang penting ialah satu tindakan proaktif dan bermatlamat untuk menyediakan platform yang sesuai supaya semua pihak dapat memahami dan mengatasi masalah secara bersama.

Dalam menghadapi cabaran viral, berkomunikasi dengan pantas adalah ciri penting sebagai penentu untuk mematikan sesuatu isu viral berkenaan.

Individu yang mengurus krisis perlulah menyatakan apa yang ingin diperkatakan secepat mungkin terutama isu yang berkaitan dengannya, apatah lagi membabitkan sebuah organisasi besar.

Justeru, mengadakan sidang akhbar dan kenyataan akhbar secara pantas dan harian dengan menggunakan segala akses media massa terutama media sosial baharu masa kini, adalah cara terbaik sebagai usaha memberi kemudahan kepada pihak media mengakses maklumat.

Pihak yang mengurus krisis perlu sentiasa berkomunikasi dengan orang sekeliling dan organisasi berkait. Ini termasuk perancangan untuk mengelakkan krisis lain, talian hotline, bekerjasama dengan media dan manfaatkan penggunaan aplikasi media sosial baharu secara holistik.
Ahmad Fauzi Mustafa Berita Harian Kolumnis 30 Mei 2015

Dialog legenda Jenin dan Luncai

ADA dua legenda fantasi Melayu yang digemari awal 1950-an. Ia menjadi bahan bacaan murid-murid darjah dua dalam era Sekolah Melayu sebagai sekolah rendah - tanpa sekolah menengah Melayu. Legenda itu ialah Mat Jenin dan Si Luncai.

Mereka menjadi perlambangan minda Melayu: menjadi kaya melalui angan-angan; bijak memainkan kata-kata sebagai kebijaksanaan mutlak. Kita ikuti dialog mereka. Jenin di pokok. Luncai mendongak.

Jenin: Luncai, apa nak jadi. Dr M desak Tok Najib berhenti jadi PM.
Luncai: Kenapa nak berhenti? Tiba pilihan raya nanti, tahulah apa yang nak kita buat. Kita pangkah yang kita tak suka.

Jenin: Bukan begitu, Luncai. Kita pangkah yang kita suka.
Luncai: Tak kiralah tu. Asalkan kita pilih yang kita suka. Tapi aku dengar Dr M bimbang Umno akan kalah. Jika Umno kalah, alamatnya BN turut kalahlah juga. Katanya, selagi Tok Najib jadi PM, Umno dan BN akan kalah.
Jenin: Manalah Dr M tahu. Tok Najib popular. Tengok orang Umno dari Bahagian dan orang veteran semuanya sokong Tok Najib sebulat suara.
Luncai: Hi Jenin. Kau mesti ingat; yang bulat itu bukan saja suara. Sipar pun bulat. Ada main wayang. Ada bersilat.

Jenin: Orang politik faham itu semua. Itu sebabnya Dr M senyum saja. Dia dah masak dengan gara-gara begitu.
Luncai: Ha, ya tak ya juga. Dulu Tok Najib sendiri mengaku. Ramai orang main wayang dan bersilat apabila beliau hampir kalah pilihan raya tahun 1999. Dia menang 200 undi saja. Khabarnya undi itu daripada Orang Asli. Sebelumnya, dia diberitahu akan mendapat sokongan bulat…

Jenin: Lagi-lagi bulat. Betullah tu. Jangan percaya dengan acah-acah bulat. Telur tembelang yang bulat sangat berbahaya. Terhantuk sikit ia pecah. Baunya busuk nak mampus.
Luncai: Aku serius. Dr M bimbang Umno tak dapat menjadi kerajaan lagi. Tak pernah berlaku. Sekali ranap, amat susah tegak semula.

Jenin: Betullah tu. Dulu Pak Lah tak silu-silu meletak jawatan PM setelah kena acah daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tok Najib.
Luncai: Aku masih ingat. MY kata, Pak Lah patut tentukan bila dia nak berhenti. Ini supaya ada masa yang cukup bagi penggantinya menyiapkan diri menghadapi pilihan raya.

Jenin: Pak Lah orang baik. Dengan senyum dia berhenti. Dia sedar prestasinya buruk dalam pilihan raya 2004.
Luncai: Tapi Tok Najib tidak begitu. Dia tak mahu berhenti biar apa jadi. Dia tak mahu ikut Tun Hussein Onn dan Pak Lah.

Jenin: Hebat! Bagaimana kalau jadi bubur nanti? Persetankan saja!
Luncai: Engkau ni, mana pernah dikatakan ‘persetan’.

Jenin: Itu ibaratnya, cerdik. Aku tabik Dr M. Usia 90, tapi otaknya aktif. Aku meremang mendengar kata-katanya tentang MDB dan cicit-cuit Genghis Khan
Luncai: Waduh! Lagi banyak MDB dijelaskan, lagi kusut bunyinya. Kata orang tua-tua, jika kita benar, orang tahu kita benar walau kusut bunyinya. Jika tidak, walaupun bunyi betul, orang tetap tahu ia tak benar. Siapa pula cicit Genghis Khan tu??

Jenin: Altantuyalah. Dr M kata, pembunuhan mesti ada motif. Makna motif ialah: Apa yang menggerakkan seseorang bertindak. Itu kata Kamus Oxford. Soalnya, siapa penggerak pembunuhan itu? 
Selepas itu Jenin jatuh dari pokok kelapa. Cedera ringan saja. Luncai pula terjun dengan labu-labu dengan iringan ‘biarkan, biarkan’ daripada mereka yang hendak menghumbankannya.

30 Mei 2015