June 4th, 2015

Ikutlah pemimpin yang ada kredibiliti

TOPIK berkenaan kepemimpinan dan pemimpin telah menjadi subjek yang suka ditulis oleh pengarang, ahli akademik, penyelidik, ahli politik dan lain-lain.

Ramai di antara mereka bersetuju bahawa ciri utama seorang pemimpin ialah kelakuan yang baik. Kebolehan untuk memimpin adalah di tempat kedua.  

Mengikut Mark Sanborn di dalam bukunya, You Don’t Need A Title To Be A Leader ada berkata, manusia itu tidak dilahirkan untuk menjadi seorang pemimpin. Malahan, insan itu kenalah belajar untuk menjadi seorang pemimpin sama ada ia mempunyai gelaran atau pun tidak.

Mengikut definisi di dalam kamus Oxford Advanced Learner’s Dictionary pula, pemimpin ialah seseorang yang mengetuai sekumpulan orang, khususnya ketua bagi sesebuah negara atau organisasi.

Pemimpin yang sesuai untuk diikuti ialah apabila seseorang itu mempamerkan sifat atau ciri yang elok, di antaranya ialah kredibiliti.

Kredibiliti bermaksud seseorang itu mempunyai sifat yang boleh dipercayai atau diyakini. Ia boleh juga ditafsirkan sebagai kebolehpercayaan para pengikut kepadanya.

Contoh yang paling cemerlang dari segi kredibiliti ini ialah Nabi Muhammad SAW. Semasa hayatnya, baginda Rasulullah diberikan gelaran sebagai “al-Amin”, yang bermaksud orang yang dipercayai.

Apabila seseorang pemimpin hidup dengan amalan kredibiliti, ia adalah seorang yang berjaya. Beliau mempunyai sifat yang terbuka dan jujur. Dengan itu, kehidupan hariannya tidaklah berserabut, malahan beliau kurang mengalami perasaan tekanan.

Dalam tahun 2006, Mori of United Kingdom dan Business Ethics Institute of Malaysia (BEIM) telah berganding bahu membuat satu soal selidik tentang 15 jenis pekerjaan.

Responden di United Kingdom dan Malaysia mempercayai profesional berikut: Pertama ialah doktor; kedua guru dan ketiga profesor. Ahli politik diletakkan di paras bawah sekali, iaitu di tempat kelima belas.

Jika seseorang pemimpin itu menghayati sifat kredibiliti, dia mempunyai kebebasan untuk membuat sesuatu keputusan dengan bebas. Ia tidak perlu untuk memihak kepada sesuatu kumpulan. Pertimbangan hanya dibuat untuk kebaikan syarikat atau organisasi yang dipimpinnya.

Seseorang pemimpin akan diikuti di sebabkan para pengikut mempunyai rasa hormat serta percaya kepadanya, bukan sekadar di atas kebolehan memimpin yang dimilikinya.

Ujian sebenar seseorang pemimpin ialah untuknya menoleh ke belakang. Ini bertujuan untuk melihat sama ada masih adakah lagi para penyokong yang mengikutnya.

Merakyatkan semangat Perlembagaan

Perlembagaan Persekutuan sentiasa menjadi tajuk perbincangan dan perbahasan. Pernyataan dan pengucapan tentang Perlembagaan sentiasa menarik perhatian banyak pihak.

Saya percaya ini berlaku kerana kesedaran dan kefahaman masyarakat tentang peri penting Perlembagaan. Isi kandungan Perlembagaan Persekutuan mula difahami.

Tidak kira siapa, ramai yang sudah berani dan yakin dalam menyuarakan pandangan masing-masing. Ini perkembangan positif kerana Perlembagaan itu milik semua, milik setiap warga negara, tidak kira bangsa, kaum atau etnik.

Namun begitu, seperti juga bidang-bidang lain, Perlembagaan mempunyai peraturan-peraturan dalam pengajiannya dan juga pentafsirannya. Oleh itu, dalam menyuarakan pendapat dan tafsiran kepada Perlembagaan, terdapat prasyarat yang perlu diambil perhatian.

Antara prasyarat yang paling teratas ialah, Perlembagaan itu hendaklah difaham secara menyeluruh; secara holistik.

Holistik dalam erti kata, kita tidak boleh mengambil atau menggunakan sesetengah peruntukan Perlembagaan dengan mendiamkan peruntukan yang lain.

Kita tidak boleh berhujah dengan peruntukan Perlembagaan yang difikirkan memberi manfaat kepada isu atau perkara yang kita hujahkan dan pada masa sama menyembunyikan peruntukan yang tidak menyokong hujah kita.

Difahami atas kehendak peruntukan

Semua peruntukan Perlembagaan hendaklah diberi pemberatan yang sama dan serupa.

Semuanya hendaklah difahami atas kehendak peruntukan itu sendiri.

Sekiranya didapati ada perbezaan dalam mana-mana peruntukan ia hendaklah dibaca dengan formula konstruksi harmoni (harmonious construction).

Sebagai contoh, ketika menyuarakan pendapat tentang kuota-kuota untuk Melayu di bawah Perkara 153, kita juga hendaklah meletakkan kepentingan sah kepada masyarakat lain dalam perbahasan yang serupa.

Kedua-dua perkara ini ada dalam perkara 153.

Dalam mengetengahkan kuota-kuota untuk orang Melayu dan juga anak negeri Sabah dan Sarawak, kepentingan sah kaum lain hendaklah juga diambil kita.

Begitu juga ketika kita mengambil kira kepentingan sah kaum lain, kuota-kuota yang disediakan kepada orang Melayu dan Anak Negeri juga hendaklah diberi perhatian sepenuhnya.

Begitu juga dalam mentafsir hal-hal berkaitan kebebasan asasi. Semua pengecualian dan syarat-syarat berkaitan kebebasan asasi hendaklah diambil kira.

Pemberatan kepada keduanya, kebebasan dan pengecualiannya juga hendaklah serupa.

Keduanya, mentafsir Perlembagaan secara holistik juga membawa maksud perlembagaan itu perlu dibaca dengan semangatnya.

Semangat Perlembagaan itu dimaksudkan sebagai perkara yang tidak bertulis dalam Perlembagaan. Peruntukan yang tertulis atau yang tersurat itu boleh dibaca dan ditafsir secara literal atau harfiah.

Tetapi, ada kalanya pendekatan literal itu tidak mencapai maksud kesaksamaan dan keadilan, maka semangat, atau yang tersirat dalam peruntukan itu juga hendaklah diambil perhatian.

Dalam peraturan tafsiran, terdapat 'purposive rule' dan 'golden rule' untuk mencapai tujuan atau maksud sesuatu peruntukan undang-undang secara umum.

Peraturan ini juga dipakai dalam mentafsir Perlembagaan Persekutuan.

Kembali kepada niat Perlembagaan

Kepayahan juga akan berlaku di sini. Apakah pula yang dikatakan tujuan kepada sesuatu peruntukan itu.

Dalam mencari maksud atau tujuan peruntukan itu, seringkali kita mendengar ungkapan 'kembali kepada niat Perlembagaan.'

Sering kali juga kita diajak untuk kembali kepada waktu Perlembagaan itu dilahirkan. Menentukan niat Perlembagaan semasa digubal bukan perkara mudah.

Mudah untuk diungkap tentang 'niat' tetapi payah untuk dibuktikan niat itu. Lihat sahaja perbahasan tentang Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama bagi negara.

Pelbagai tafsiran tentang niat Perkara 3 berkenaan. Ada yang mentafsir bahawa Perkara 3 untuk mempunyai niat atau tujuan maksud 'Islam' dari segi istilah agama itu sendiri; iaitu satu cara hidup.

Tafsiran ini seterusnya mencadangkan bahawa ajaran agama tersebut hendaklah menjadi prinsip asas dalam membentuk dasar dan pentadbiran negara.

Tetapi, ada juga yang mentafsir Perkara 3 itu dengan menyatakan ia hanya pernyataan yang tidak memberi kesan. Keduanya memberikan hujah masing-masing tentang 'niat' peruntukan terbabit.

Sebagai cadangan, dalam menentukan niat atau semangat peruntukan Perlembagaan-dokumen sejarah Perlembagaan 1957 dan juga dokumen berkaitan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 juga perlu dikaji dan diteliti dengan sempurna dalam menentukan niat.

Kita perlu 'merakyatkan' dokumen berkaitan sejarah pengisian Perlembagaan, bukan hanya 'merakyatkan' Perlembagaan yang sedia ada dalam bentuk semasa.

Semangat dan niat Perlembagaan boleh difahami dengan terang sekiranya sejarah juga di faham dengan jelas.


Dr Shamrahayu A Aziz Berita Harian Kolumnis 3 Jun 2015

Hindari sekam api perkauman demi keharmonian

Perbahasan mengenai sama ada rakyat Malaysia perlu mengidentifikasikan diri pertama-tamanya mengikut nasionaliti negara ataupun etnisiti ras, khususnya ketika dalam negara, bukan sahaja menarik. Ia ikut memperlihatkan manisfestasi dalam beberapa hal.

Sehubungan ini, ada pihak yang melihat bahawa kesediaan sesetengah rakyat untuk menganggap diri pertama-tamanya sebagai orang/rakyat Malaysia, adalah perkembangan baik dalam proses pembentukan negara bangsa.

Ia memperlihat bahawa kita sudah meletakkan negara sebagai tempat utama untuk berpaut sebagai satu entiti, walaupun di dalam Malaysia.

Kita mengetahui bahawa kita akan lebih cepat dan mudah mengakui diri kita sebagai orang//rakyat Malaysia, apabila berada di luar negara.

Ini dapat difahami kerana nasionaliti kita itu adalah maklumat lebih penting di luar negara, berbanding maklumat mengenai etnisiti kita.

Kesediaan ini, antaranya dapat dikaitkan dengan idea keadilan sosial saksama yang dianjurkan dalam Gagasan 1Malaysia.

Bagi sebilangan rakyat, keadilan ini boleh bermula dengan semua kaum menganggap diri mereka sebagai sama melalui label orang/rakyat Malaysia.

Bagaimanapun, masih ada rakyat yang tidak mahu dikelompokkan sebagai satu entiti umum, walaupun sebagai orang/bangsa Malaysia, khususnya untuk situasi dalam negara.

Sehubungan ini, mereka mahu terus dikenali sebagai orang/kaum Melayu misalnya. Sebenarnya kehendak kelompok ini bukan sahaja wajar, tetapi juga munasabah.

Dalam pengurusan masyarakat majmuk, setiap kaum di dalamnya dibenarkan terus menuturkan bahasa ibunda, menganuti sistem kepercayaan dan mengamalkan budaya masing-masing.

Etnisiti bukan masalah

Tiga ciri etnik inilah yang akan terus membezakan kita. Dengan ini, kita akan terus-terusan berlainan dari segi etnisiti.

Oleh itu, etnisiti sepatutnya tidak menjadi masalah langsung. Ia juga didapati bukan faktor penting dalam penyatuan atau keadaan sebaliknya.

Oleh itu, kita boleh terus tertakluk kepada ras yang berbeza kerana itulah hakikat masyarakat majmuk. Dengan ini, kita juga akan terus bersifat pelbagai ras, yakni kita mengaitkan diri sendiri dan dikaitkan oleh pihak lain dengan satu daripada ras yang wujud.

Kita adalah masyarakat majmuk dan itulah sifat, iaitu kita tetap beras. Sifat ini, iaitu dalam bentuk kemajmukan etnik dan kepelbagaian budaya bukan sahaja asas pembentukan negara Malaysia, ia juga ciri pengenalan kita yang sebenarnya.

Dalam keadaan kita beras-ras ini, dua perkara perlu kita hindarkan. Pertama ialah ideologi rasisme, kedua ialah sikap rasis.

Rasisme merujuk kepada fahaman bahawa sesuatu ras itu ataupun beberapa ras tertentu adalah jauh lebih hebat daripada yang lain.

Oleh itu, mereka yang berasal daripada ras tertentu itu hendaklah dilayan dengan lebih baik. Sikap rasis adalah perasaan kehebatan ras tertentu.

Perasaan ini sering kali mencetuskan resmi angkuh yang kemudiannya membawa pula kepada bermacam-macam tindakan tidak wajar terhadap ras lain.

Ideologi rasisme dan sikap rasis ini tidak hanya berlaku dalam bentuk kelompok majoriti kepada kelompok minoriti, iaitu yang majoriti menindas yang minoriti.

Ia boleh dan sering juga berlaku dalam bentuk sebaliknya, iaitu kelompok minoriti menghina kelompok majoriti dan mempunyai persepsi negatif terhadap mereka.

Jika rakyat Malaysia dapat menjauhkan diri daripada dua perkara ini, label atau identifikasi pertama-tamanya sebagai orang/bangsa Malaysia tidak penting.

Kita boleh terus wujud sebagai orang/kaum Melayu, Cina, India, Dayak, Kadazandusun dan bermacam-macam lagi.

Tak perlu identifikasikan diri

Sesungguhnya kewujudan begini selari dengan masyarakat Malaysia yang majmuk sifatnya.

Oleh itu, tidak menjadi keperluan utama bahawa kita hendaklah pertama-tamanya mengidentifikasikan diri dengan negara ini, kemudian barulah dengan ras keturunan kita, lebih-lebih lagi ketika dalam negara.

Ini berbeza dengan masyarakat yang mengamalkan asimilasi sebagai asas pembentukan negara.

Walaupun selalu dikenali dengan nasionaliti negara, setiap kaum di dalamnya juga didapati masih mahu terus mengekalkan dan dikaitkan dengan ras keturunan masing-masing. Ini sudah fitrah alam.

Oleh itu, jangan kita sesekali berasa gundah apabila terdapat rakyat yang enggan dikenali pertama-tamanya dari segi nasionaliti negara ini, khususnya untuk situasi dalam negara.

Walaupun sebagai orang/kaum Cina pertama-tamanya, mereka hendaklah sentiasa mendukung aspirasi nasional, khususnya yang bersifat watan Melayu.
Teo Kok Seong Berita Harian Kolumnis 4 Jun 2015