June 7th, 2015

Cabaran untuk golongan ulama

PADA 2013, golongan ulama hanya memerhatikan sahaja apabila kejayaan golongan profesional dianggap terbentuknya pasukan pilihan raya. Golongan ulama menerima semua keadaan itu dengan reda. Sudah menjadi dasar perjuangan dalam Pas menggabungkan kekuatan antara golongan ulama dengan profesional.

Malah golongan ulama juga pada asalnya tidak berkata apa-apa apabila ada segelintir pemimpin Pas terlalu taksub dengan tahaluf siyasi sehingga kata-kata kepemimpinan sendiri pun disanggah. Namun dari semasa ke semasa keadaan sudah tidak lagi mengizinkan golongan ulama untuk berdiam diri, sebaliknya perlu melakukan sesuatu bagi memastikan dasar Pas tidak terus hanyut dibawa arus tahaluf siyasi.

Justeru gerakan diatur secara berhemah bagi memberikan penerangan kepada ahli-ahli di peringkat akar umbi betapa pentingnya dasar perjuangan Islam dipertahankan manakala kepemimpinan Pas kembali diperkasakan. Seperti mana tema Muktamar Tahunan Kali Ke-61 "Istiqamah hingga kemenangan", usaha yang dilakukan ternyata berhasil. Gelombang ulama melanda pemilihan Pas.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mempertahankan kerusi Presiden "mengetuai" kumpulan ulama "menyapu bersih" jawatan strategik dalam parti itu yang menjadi platform utama bagi memastikan dasar perjuangan Islam Pas tidak tersasar.



Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang (lima dari kanan) bersama saf kepimpinan tertinggi bergambar selepas menyampaikan ucapan
penangguhan pada hari terakhir  Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-61 di Stadium Tertutup Kuala Selangor.

Kejayaan golongan ulama bukan sahaja diraikan dalam kalangan ahli dan penyokong Pas tetapi juga mereka yang berada di luar parti tersebut. Ini memandangkan banyak orang Melayu berkongsi sentimen kemarahan terhadap DAP yang menghina Abdul Hadi.

Apa pun cerita usaha dan kejayaan golongan ulama sudah menjadi satu memori, sebaliknya apa yang menjadi cabaran kepada golongan ulama ialah memastikan kepercayaan yang diberikan oleh ahli-ahli Pas tidak disia-siakan.

Golongan ulama meraih kemenangan ketika mereka berhadapan dengan tohmahan dan momokan bukannya oleh orang luar tetapi dalam kalangan pemimpin dan ahli Pas sendiri bahawa ulama tidak mampu membawa kejayaan kepada parti itu pada pilihan raya.

Malah ketika perbahasan usul pun ada dalam kalangan perwakilan yang sinis terhadap keupayaan golongan ulama berhujah isu-isu lain selain berkaitan agama.

Walaupun hujah itu kemudiannya disanggah oleh perwakilan lain namun ia membuktikan masih ada dalam kalangan ahli Pas sendiri yang masih diselubungi kesangsian berhubung kewibawaan golongan ulama memimpin parti itu.

Namun sama ada pasukan Abdul Hadi berjaya atau tidak, ia bergantung kepada sejauh mana strategi yang disusun bagi memastikan golongan ulama tidak dianggap lebih teruk daripada golongan profesional.

Kebiadaban

Cabaran terbesar golongan ulama ialah bagaimana mahu menangani kebiadaban DAP yang berterusan menunjukkan perasaan tidak hormat kepada kepemimpinan Pas.

Persoalan itu ditimbulkan memandangkan dalam Pas masih ada pihak yang begitu tegar mahu mempertahankan tahaluf siyasi dengan parti yang menghina Abdul Hadi.

Biarpun Dewan Ulama Pas sudah menunjukkan ketegasan yang meminta Majlis Syura mengkaji Pas memutuskan kerjasama dengan DAP namun ada pemimpin dan ahli parti itu tidak bersetuju.

Mereka masih tetap mahu Pas "istiqamah hingga kemenangan" melalui kerjasama dalam pakatan pembangkang.

Ketika Pas masih menanti pendirian Majlis Syura, DAP bertindak mengeluarkan kenyataan menerima perletakan jawatan ahli Pas yang mempunyai jawatan dalam kerajaan negeri Pulau Pinang jika ingin meletakkan jawatan.

DAP menganggap pendirian Pas untuk memutuskan hubungan dengan parti itu tetapi masih kekal dalam pakatan pembangkang sebagai bercanggah.

Soalnya, bagaimana pula dengan tindakan DAP yang memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi tetapi tetap kekal bekerjasama dengan Pas?

Inilah sikap hipokrit DAP yang menjadi cabaran kepada golongan ulama Pas. DAP akan terus bersikap demikian selagi Pas mengamalkan sikap bersabar dalam bertahaluf.

Kini "bahtera" Pas berada dalam genggaman golongan ulama dengan bersandarkan kepada "layar" perjuangan Islam.

Tetapi apa pun "destinasi" yang hendak dituju, mereka perlu memastikan Pas terus menjadi parti yang bermaruah, bukannya membiarkan maruah diinjak-injak apatah lagi menggadaikan maruah demi menuju Putrajaya.

Budaya 'memelayukan' bahasa Inggeris

KALAU silap baca atau tersalah tafsir, tajuk di atas boleh mem­bawa maksud perbuatan menjadikan bahasa Ing­ge­ris itu ‘layu.’ Bukan itu yang dimaksudkan. Te­tapi tumpuan saya ialah amalan yang sekian lama dan sebati dalam budaya masyarakat Melayu sendiri yang gemar menyerap perkataan Inggeris men­jadi bahasa harian. Akhirnya tanpa kita sedar, perkataan itu menenggelamkan perbendaharaan kata-kata Melayu yang sedia ada.

Inilah yang berlaku sejak sekian lama hingga sekarang. Ba­nyak perkataan bahasa Melayu sekarang sebenarnya adalah per­kataan bahasa Inggeris jelmaan. Sekarang hampir tiada hospital meletakkan papan tanda “rumah sakit’. Lucu agaknya perkataan Me­layu itu – bagaimana bentuk ‘rumah’ itu dan ‘sakit’ pula!

Orang kita pun sudah tak pandai guna perkataan “berhenti” sebab terbiasa menyebut “brek” dan “stop.” Dalam urusan ha­rian di rumah pun tidak biasa lagi kita menyebut “permaidani” lagi, yang disebut ialah “karpet.”

Bab meniru dan ghairah pada benda baharu termasuk menyerapkan perkataan bahasa asing sama ada bahasa Inggeris, Cina atau India untuk dimelayukan memang orang Melayu suka. Pada fahaman kita, kerja kutip bahasa asing itu mudah, asalkan orang lain pun faham.

Kalau selak halaman surat khabar, majalah, komik remaja, ber­sepah-sepah perkataan Inggeris yang dimelayukan. Mi­sal­nya perkataan yang berikut bagaikan sudah sebati dengan lidah kita: Aspek, agenda, aset, aksi, aktif, aplikasi, delegasi, dedikasi, deposit, evolusi, elemen, episod, fokus, fungsi, fenomena, final, glamor, gosip, hi­pokrit, informasi, infrastruktur, identiti, inovasi, implikasi, insiden, isu, imunisasi, individu, idola, karpet, komuniti, komersil, komitmen, konflik, kategori, karier, kanser, konsep, kreatif, krisis, lokap, lokasi, logik, moderator, media, materialistik, misi, motif, mentaliti, objektif, operasi, polisi, projek, potensi, premis, personaliti, promosi, program, produk, risiko, struktur, subsidi, suspek, sektor, strategi, skuad, status, skop, selebriti, spekulasi, solidariti, dan utiliti.

Adakah kerana peredaran masa, maka istilah yang diceduk daripada bahasa Ingggeris layak mengganti perbendaharaan kata-kata dalam bahasa Melayu? Generasi muda hari ini, yang semakin didedahkan teknologi maju dalam kehidupan mereka, memandang bahasa seolah-olah hal yang bersifat remeh dan tiada makna dalam hidup mereka.

Barangkali betul tanggapan orang, penerimaan istilah asing yang dimelayukan sudah diterima pakai oleh majoriti masyarakat kita. Jadi, terima sahajalah. Masyarakat Melayu sekarang orang yang bijak pandai belaka. Mereka tahu maksud perkataan asing yang digunakan itu. Apa salahnya.

Gemar ikut gaya

Namun ada sesetengah orang Me­layu yang terlalu gemar ikut ga­ya terjemahan orang Indonesia. Apa sahaja yang hujung perkataan itu disebut “-tion” ditukar menjadi “-si”. Contohnya “konklusi” di­am­­bil daripada perkataan “con­clu­sion” yang membawa mak­sud kesimpulan. Begitu juga is­­ti­­lah “diskusi” - ‘discussion’ (per­bincangan); ‘kondisi’ - ‘con­dition’ (keadaan).

Hakikatnya, bukan dalam ba­ha­sa Melayu tiada perkataan itu, tetapi orang kita sendiri su­ka memelayukan bahasa asing. Mengapa negara kita yang mempunyai dasar bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi iaitu bahasa Melayu terlalu taksub dengan bahasa Inggeris? Ada yang menganggap sesiapa yang tidak pandai berbahasa Inggeris sebagai golongan bawahan dan dipandang hina.

Pemikiran begini yang mungkin ada pada segelintir pemimpin ata­san kerajaan dan swasta. Jika tidak, kenapa projek mega dinamakan dalam bahasa Inggeris yang berbelit untuk lidah kita menyebutnya. Mungkin sebab mahukan wujud unsur ‘menarik’ dan me­nangkap minda pada singkatan seperti PWTC, KLCC, KL Central, KLIA, termasuk koridor ekonomi NCER, ECER, SDC dan SCORE dan NKRA, UTC, RTC, GST dan sebagainya.

Saya fikir, kerajaan yang diterajui oleh Melayu dan bu­mi­putera kena bersungguh-sunggguh mengurangkan pengaruh istilah bahasa Inggeris. Natijah buruknya bukan pada kita, tetapi generasi akan datang. Sekarang pun sudah kelihatan kesannya – bahasa Melayu tidak lagi dihormati.

Dahulu kita suka menyalahkan penjajah, tetapi kini tidak boleh lagi. Hampir 58 tahun negara kita merdeka, apakah kerajaan kita sendiri masih mahu meneruskan legasi penjajah? - Azman Anuar Utusan Malaysia Rencana 7 Jun 2015 12.08 am

Pemain politik, pemain wayang dan populariti

BANYAK orang beranggapan, kedua-dua "profesion", pemain wayang dan pemain politik mempunyai banyak persamaan. Garis pemisah antara kedua-duanya amat nipis biarpun pemain politik diletakkan pada persada yang lebih elit. Tetapi mereka tidak banyak berbeza dengan pemain wayang; berlakon dan melakonkan watak yang disenangi.

Dalam demokrasi, populariti mempunyai nilai yang sangat tinggi. Oleh kerana itu tujuan berkempen menjelang pilihan raya adalah untuk meningkatkan populariti. Manifesto yang berjela-jela juga untuk populariti. Apabila popular, ada peluang untuk mencatatkan majoriti. Paling tidak satu undi.

Pemain wayang juga memburu populariti. Kalau ada pemain wayang yang berkata dia tidak berlakon kerana populariti, anggaplah seperti pemain politik berkata mereka berjuang untuk rakyat. Semua itu hanya untuk memperindahkan kata-kata supaya apabila ditelan terasa manisnya.

Kalau bercakap tentang pemain wayang yang menjadi pemain politik, banyak orang hanya terarah kepada MGR, Ronald Reagan dan Joseph Estrada sahaja. Tetapi pemain politik sekali gus pemain wayang bukan tiga "ketul" itu sahaja. Banyak lagi dan terpulang kepada kearifan kita untuk membaca perlambangan pada diri mereka.

Dunia wayang menjadikan mimpi terus menjadi mimpi tetapi dunia politik menukar mimpi menjadi realiti sekiranya ada populariti dan mendapat majoriti. Pemain wayang hanya bermimpi untuk mengubah dunia dalam masa sehari, pemain politik pula takut diubah. Mereka tidak mempunyai banyak masa. Jarak waktu lima tahun antara pilihan raya terlalu singkat untuk mengekalkan populariti.

Sebab itulah apabila ada yang merungut kenapa orang seperti Reagan atau Estrada boleh dipilih menerajui negara, ingatkan mereka bahawa inilah "demokrasi". Tidak ada tercatat bahawa demokrasi itu bererti kaedah memilih pemimpin berkualiti.

Maka terima sahajalah seadanya hasil yang dikutip daripada proses demokrasi. Jangan menyalahkan demokrasi kalau padi yang ditanam tetapi tumbuhnya lalang, sebab ia tidak pernah menjanjikan keadilan. Hal yang sama juga kepada pemain wayang, ada yang populariti tinggi melangit dan hidup dengan kaya raya padahal kualiti hampir tidak ada. Sebabnya populariti bukanlah tanda aras kualiti.

Kesimpulannya jangan menganggap hanya "tiga ketul" pemain wayang itu sahaja yang pandai berlakon di pentas politik. Banyak pemain politik mempunyai kemahiran yang sama dan mereka pandai memperagakan diri dalam watak yang berbeza-beza. Kalau pemain wayang muncul dengan tujuh watak berbeza dalam tujuh wayang, apa kurangnya pemain politik.

Tulisan ini adalah untuk merasionalkan pelantikan pemain politik sebagai peneraju birokrat perfileman. Ini kerana banyak yang bertanya, apakah yang dia boleh lakukan untuk memajukan pentas wayang tempatan kerana dia di gelanggang politik? Pada mulanya saya juga tertanya-tanya kenapa dibuat begitu tetapi akhirnya telah disedarkan bahawa kedua-dua profesion mempunyai banyak persamaan antara satu dengan lain.

Saya percaya kritikan atau rungutan yang dilemparkan oleh pemain wayang yang tidak menyedari wujudnya persamaan antara mereka. Ada yang marah-marah kononnya pemain politik tidak boleh memandu arah pemain wayang. Kalau dilihat beberapa persamaan yang digariskan di atas tadi, kenapa tidak boleh? Mesti boleh.

Bukanlah lebih baik kalau sama-sama saling bertukar kemahiran. Di pentas wayang pun bukan main banyak lagi permainan politik hingga sampai satu peringkat boleh mengalahkan pemain politik. Kalau dalam politik, kecewa menjadi presiden tubuh parti baharu dan sudah tentu dia presidennya. Jangan tanya berapa orang ahli janji boleh jadi presiden. Dalam dunia wayang pun sama juga, merajuk tidak dipilih presiden ditubuhkan persatuan baharu dan boleh menjadi presiden.

Dalam negara kita yang sebesar "kelemboi" (kalau tidak faham tanya orang Perlis) ini, tengok sahajalah berapa banyak parti politik yang ditubuhkan. Parti orang India sahaja sudah berapa? Semua ada presiden dan masing-masing menuntut kuota dalam Kabinet. Di negara kita ini hendak menubuhkan parti politik macam persatuan penduduk sahaja. Baru-baru ini seorang pemain politik veteran menubuhkan parti baharu dan dia berpeluang menjadi presiden. Moga-moga dia bahagia.

Begitu juga pentas wayang kita yang juga sebesar "kelemboi", ada berbagai-bagai persatuan, berselerak dengan presiden sana dan sini tetapi wayang menjadi semakin karut. Jadi, kalau dalam kalangan pemain wayang bermain politik hingga ke peringkat "gaban", terima sahajalah pemain politik dalam kelompok mereka. Setidak-tidaknya boleh juga wujud pertukaran kemahiran antara pemain dua profesion ini.

PWTC sudah tidak selamat?

Banyak kawan saya dari Perlis yang datang ke PWTC semata-mata untuk mengikuti program dialog Nothing To Hide Jumaat lalu begitu kecewa kerana dibatalkan oleh polis pada saat-saat akhir. Ketika diumumkan pembatalan itu kata mereka, semua orang memenuhi kerusi dalam dewan. Sebagai makluman, sebahagian besar orang yang hadir ialah penyokong UMNO, tetapi tidaklah sebanyak yang datang semasa Perhimpunan Agong UMNO setiap tahun.

Mengikut kenyataan polis, program itu terpaksa dibatalkan kerana faktor keselamatan. Sebelum ini kawan-kawan saya hanya menganggap di Perlis sahaja yang sudah tidak selamat apabila ada banyak kubur besar di Wang Kelian, penjahat boleh keluar dan masuk tanpa sekatan. Rupa-rupanya di PWTC pun tidak selamat.

Kalau mengikut jumlah kehadiran, sebenarnya jauh lebih kecil berbanding setiap tahun PWTC "ditawan" oleh para perwakilan dan pemerhati UMNO yang datang dari seluruh negara. Maka timbul persoalan, kenapa semasa Perhimpunan Agong UMNO tidak bahaya tetapi kali ini yang juga dihadiri oleh orang UMNO bertukar menjadi bahaya?

Saya tidak mempersoalkan kepakaran pihak polis yang mampu mengesan sesuatu tempat itu memberikan ancaman kepada keselamatan atau di sebaliknya. Cuma saya menganggap PWTC mencatatkan tahap keselamatan yang rendah berbanding Jalan Petaling (China Town) atau di Brickfield (Little India).

Sebabnya di kedua-dua tempat ini belum ada program yang diadakan di situ dibatalkan kerana faktor keselamatan walaupun kerap berlaku kejadian ragut dan pergaduhan. Sepatutnya polis beritahu kenapa tidak selamat di PWTC Jumaat lalu. - Ku Seman Ku Hussain Utusan Malaysia Rencana 7 Jun 2015 12.09am

Kena akui realiti ekonomi

BUKANLAH tujuan Kunta Kinte nak takutkan sesiapa. Tapi dalam kehidupan, kita kena hadapi hakikat walaupun pahit. Mula-mula memanglah kita rasa takut atau marah, tapi lama-kelamaan kita tahu kita kena sesuaikan diri dengan keadaan. Kunta Kinte sudah cerita kesan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta kejatuhan nilai ringgit ke atas harga barang, kos sara hidup dan inflasi. Kunta Kinte pun dah sebut berkenaan syarikat kecil dan besar hentikan kakitangan atau gulung tikar. Kunta Kinte kata, kalau majikan raksasa macam kumpulan perbankan CIMB pun buat skim persaraan sukarela (VSS/MSS) untuk kurangkan bilangan pekerja, apatah lagi majikan sederhana dan kecil. CIMB bukan calang-calang syarikat. Ia bank nombor dua di Malaysia lepas Maybank dengan 40,000 kakitangan dan harta RM367 bilion.

Ramai graduan menganggur


Pada 12 Mei lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wajib Omar kata, ada 400,000 orang yang sedang cari kerja. Daripada jumlah itu, 161,000 adalah lepasan universiti yang dah tamat pengajian enam bulan atau lebih. Beberapa hari lalu kita baca berita kata, secara teknikal Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) dah muflis. Kesemua 20,000 pekerja dah diberi kertas opsyen berhenti kerja. Tak kira apa pilihan mereka, seramai 6,000 orang tetap kena berhenti. Kalau MAS yang dimiliki oleh Khazanah Nasional Berhad pun muflis, kena buang kakitangan dan kecilkan operasi, fikirkanlah perniagaan kecil dan sederhana. Sebenarnya banyak lagi masalah ekonomi, percukaian dan mata wang yang saling kait-mengait hingga makin banyak syarikat kena kurangkan kakitangan dan buat penjimatan. Ambil contoh syarikat besar yang diniagakan di Bursa Malaysia. Dah 16 suku tahun berturut-turut perniagaan mereka tak berkembang.

Perniagaan tak berkembang

Syarikat korporat kena lapor hasil perniagaan mereka tiap tiga bulan sekali atau empat kali setahun. Bagi suku pertama tahun ini (Januari-Mac), 30 syarikat paling besar di Bursa Malaysia catat kejatuhan hasil 6.2 peratus. Ambil contoh Telekom Malaysia. Bagi tahun 2014, keuntungan jatuh 17.8 peratus kepada RM831.8 juta walaupun jualan naik 5.7 peratus kepada RM11.2 bilion. Kemudian kita tengok pula harga saham FELDA Global Ventures Berhad yang merudum daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak RM4.55 pada tahun 2012 kepada kurang daripada RM2.00 sekarang.

Masalah defisit keyakinan

Ahli ekonomi dan penganalisis kata, negara kita sedang hadapi masalah 'defisit keyakinan' iaitu pelabur, khususnya pelabur kecil, kurang yakin untuk tambah modal, manakala pengguna pula tak berapa yakin nak berbelanja. Kadang-kadang bila Kunta Kinte fikir-fikir, hidup orang asing, kucing dan anjing lebih baik daripada nasib sesetengah orang kita. Lagi-lagilah yang kerja sendiri. Tak kiralah berniaga atau bercucuk tanam. Tanggungan dan risiko orang yang kerja sendiri lebih tinggi daripada yang makan gaji. Yang berniaga atau bercucuk-tanam belum tentu dapat hasil, tapi orang yang bekerja dengan kita dah tentu dapat upah. Banyak-banyak ampunlah kalau Kunta Kunte kata, rasa-rasalah nasib anjing dan kucing pun lebih baik. Kita baca dalam surat khabar orang ambil anjing dan kucing yang tak bertuan untuk dibela. Pencinta haiwan pula minta kerajaan cepatkan buat undang-undang cegah kekejaman terhadap binatang. Sekarang kerana bantahan orang ramai, pihak berkuasa tempatan tak tembak anjing liar lagi. Kena guna perangkap dan jerut yang tak begitu berkesan. Ramai kakitangan pihak berkuasa tempatan yang jaga hal Melayu. Orang Melayu tak mahu sentuh anjing. Bila tak boleh tembak, mereka buat ala kadar saja.

Masalah pendatang asing

Tapi jangan susah hati. Bila penyakit anjing gila dah jangkiti manusia, Kunta Kinte yakin tunggang-langganglah kerajaan bertindak dan buat janji. Itulah penyakit kita. Lebih teruk daripada penyakit anjing gila. Sebab itu macam-macam penyakit yang kita hapuskan 40 atau 50 tahun lalu, macam polio dan malaria, dah merebak balik dibawa oleh pendatang asing. Nak selesai masalah anjing liar ni, kita kena buat transformasi. Kita kena ambil orang Vietnam atau Myanmar jadi penangkap anjing. Maaf cakaplah, silap hari bulan anjing pun kena makan. Bagus tu. Boleh kurangkan import makanan yang makin mahal pasal nilai duit kita jatuh. Akhir kata, suka tak suka, kita kena ambil tahu hal ekonomi dan perniagaan sebab hidup kita bergantung kepada pasang surut ekonomi dan perniagaan. Kita janganlah berpolitik dan berpolemik sampai abaikan ekonomi, kebajikan dan kesejahteraan awam. Wallahualam.


Kunta Kinte Berita Harian Kolumnis 6 Jun 2015