June 10th, 2015

Impak PPPM bukan sekelip mata

Malaysia berada di landas­an yang betul dalam me­lakukan transformasi sis­tem pendidikan melalui pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 bagi melengkapkan persiapan untuk bersaing dengan negara termaju di dunia.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching berkata, adalah mustahil untuk melihat impak pelaksanaan PPPM pada masa ini sedangkan program tranformasi pendidikan tersebut baharu diperke­nalkan tahun 2013.

Menurutnya, perkara itu turut diakui oleh seorang Panel Penilai Bebas Antarabangsa PPPM, Michael Fullan yang memberi tempoh sekurang-kurangnya lima tahun untuk melihat hasil yang cemerlang terhadap prestasi pelajar menerusi pelaksanaan PPPM.

“Pada masa ini, memang perkara biasa kita masih tidak melihat perubahan pelaksanaan PPPM, bukan sahaja dirasai oleh Malaysia malah berlaku di seluruh dunia yang baharu menggunakan program transformasi pendidikan dalam strategik pengajaran di se­kolah-sekolah,” katanya ketika di­temui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hasil Kajian Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) dalam Sains dan Matematik mendapati Malaysia berada di kedudukan ke-52, lebih rendah da­ripada Thailand dan Vietnam.

Keadaan itu digunakan oleh pi­hak tertentu yang mendakwa masih terdapat kelemahan dalam sistem pendidikan negara dan mahu kerajaan melakukan kajian segera untuk memperbaikinya.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, menurut Mary Yap, tidak ada keperluan untuk mengkaji sistem pendidikan sedia ada sebaliknya semua pihak ha­nya perlu menunggu hasil pelaksanaan PPPM dalam tempoh lima tahun lagi.

“Sekarang kita tidak mungkin dapat melihat kesannya cuma sekarang kita sudah dapat mengenal pasti beberapa kesan misalnya dari Gelombang Satu iaitu dalam merapatkan jurang antara sekolah bandar dan luar bandar, termasuk aspek akademik serta fizikal termasuk perkembangan digital.

“Malah, jika kita lihat dari aspek pencapaian akademik, kita dapati pencapaian sekolah luar bandar pada masa ini sudah banyak me­nunjukkan perubahan dan pencapaian setanding dengan sekolah di bandar.

“Misalnya, kita lihat pencapaian sekolah luar bandar iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Lubai dekat Limbang, Sarawak yang mana sekolah ini terletak dalam hutan tetapi perkembangan dan pencapaian sekolah ini amat mengkagumkan setanding sekolah dalam bandar,” katanya.

Mary Yap berkata, perkembangan yang berlaku di sekolah tersebut boleh dianggap salah satu proses tranformasi sedang berlaku dalam sistem pendidikan negara pada masa ini dalam aspek merapatkan jurang pencapaian antara sekolah luar bandar dan sekolah bandar.

“Sebahagian besar murid SK Ulu Lubai merupakan anak Orang Asli namun mereka pada hari ini sudah banyak menunjukkan perubahan cemerlang terhadap pencapaian akademik, mereka menunjukkan semangat untuk menguasai pengetahuan terma­suk ibu bapa mereka.

“Ibu bapa mereka sendiri bersama melakukan perubahan infrastruktur di sekolah, menyum­bang sendiri keringat mereka sen­diri mencukupkan keperluan se­kolah, bila saya tanya mereka apa yang mereka perlukan di sekolah, mereka hanya minta buku, minta dibawa lebih banyak buku untuk bacaan anak-anak mereka,” katanya.

Beliau menambah, perkara itu dibuktikan apabila pemenang pertandingan Nilam peringkat Sarawak yang dimenangi pertama kali pertama oleh anak Orang Asli yang berjaya mencapai 3000 bacaan buku.

“Secara kita tidak sedar, pencapaian ini semuanya hasil atau impak pelaksanaan PPPM, dan perubahan akan berlaku peringkat demi peringkat dan menjadi meluas sehingga mencakupi semua Gelombang yang kita sasarkan pada PPPM,” katanya.

Perubahan itu, kata beliau, termasuk keputusan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) dan Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) yang mana perubahan mendadak tidak mungkin dapat dilihat pada peringkat tersebut.

Katanya, memetik kata-kata Michael Fullan, perubahan yang berlaku mengambil masa untuk melihat impak pelaksanaan PPPM yang mana turut memerlukan penyesuaian guru dan pelajar namun sekurang-kurangnya Malaysia te­lah mengambil langkah sewajarnya untuk membuat perubahan terhadap sistem pendidikan negara ke peringkat lebih baik. - Utusan Malaysia Rencana Pendidikan 8 Jun 2015

Universiti perlu lahir 
siswazah berkualiti tinggi

KUALA LUMPUR 9 Jun – Kesemua universiti awam dan swasta perlu fokus kepada bidang pengajian yang menjadi teras penubuhan agar dapat melahirkan graduan yang mampu menguasai ilmu pengetahuan dengan baik seterusnya menjadi pekerja berkemahiran tinggi.

Presiden Open University Malaysia (OUM), Prof. Emeritus Tan Sri Anuwar Ali berkata, langkah itu secara tidak langsung dapat membantu Kementerian Pendidikan menjayakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015 – 2025 iaitu hubungan dengan industri termasuklah reka bentuk dan penyampaian kurikulum, penyelidikan serta pembangunan.

Katanya, jika kesemua universiti tempatan tidak mempunyai fokus bidang pengajian, ia akan menjejaskan kualiti sektor pendidikan ke­rana proses pengajaran dan pem­belajaran kurang mantap berikutan hanya terdapat kira-kira 25 peratus tenaga pengajar di negara ini memiliki ijazah Doktor Falsafah (PhD).

“Kita bimbang apabila melihat trend dan perkembangan beberapa universiti baharu di negara ini yang berlumba-lumba menawarkan pelbagai program pengajian sehingga gedung ilmu itu tidak lagi fokus dalam melahirkan graduan yang berkualiti iaitu memiliki kemahiran komunikasi serta kecekapan dalam bidang masing-masing.

“Sebagai contoh, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang sepatutnya fokus dalam bidang Pengajian Maritim dan Sains Marin, kini turut menawarkan banyak program kemahiran lain yang bukan kepakaran mereka.

“Keadaan yang sama turut berlaku di Universiti Utara Malaysia (UUM) yang sepatutnya fokus dalam bidang pengurusan,” katanya dalam sidang akhbar selepas berucap dalam Program Bicara Ketua Pegawai Eksekutif bertajuk Cemerlang Dalam Pendidikan Tinggi: Kepentingan Kualiti dan Inovasi di sini hari ini.

Tambah beliau, kerajaan perlu membendung keadaan itu dengan mewujudkan kesedaran terhadap pihak pengurusan universiti agar mereka mengenal pasti terlebih dahulu perkhidmatan termasuk kemudahan dan tenaga pakar yang dimiliki sebelum merancang untuk melaksanakan program pengajian baharu.

Dalam perkemba­ngan lain, Anuwar memberitahu, OUM yang telah memiliki 35 kampus di seluruh negara merancang membuka lapan cawangan baharu di Pontian, Johor; Manjung dan Tanjung Malim, Perak; Kuala Krai, Kelantan; Temerloh, Pahang; Klang dan Banting, Selangor serta Lahad Datu, Sabah pada tahun depan.

Katanya, pada tahun ini OUM meletakkan sasaran pengambilan pelajar baharu seramai 9,000 orang dalam setiap bidang pengajian bagi menyelaraskan pelaksanaan agenda pembelajaran sepanjang hayat secara berpusat. - Utusan Malaysia Rencana Pendidikan 19 Jun 2015

Jalan pintas kuasai bahasa Inggeris

APAKAH nasib graduan kita jika mereka masih takut-takut dan tidak berkeyakinan untuk bertutur dalam bahasa Inggeris dengan fasih? Ada sesetengah pelajar yang mengatakan subjek Bahasa Inggeris adalah subjek yang susah serta memeningkan kepala kerana un­dang-undang tatabahasanya mengelirukan. Mengapa ini terjadi?

Adakalanya kita terdengar sesetengah pemegang PhD, masih lagi bertutur dalam bahasa Inggeris dengan tatabahasa yang tunggang-langgang. Kesannya, ketika menghadiri sesi pembentangan atau perbincangan kertas kerja, kerana tatabahasa yang tunggang-langgang, ideanya juga menjadi susah untuk difahami.

Ini kerana mereka tidak mempunyai keyakinan dalam penguasaan tatabahasa, ketepatan kosa kata dan sebutan.

Kenapa kekangan-kekangan ini berlaku? Penulis berpendapat, mereka kurang dilatih dari segi bahasa lisan atau pertuturan. Mereka mungkin mendapat A atau A+ dalam peperiksaan. Tetapi itu berdasarkan kemahiran bahasa penulisan sahaja.

Kemahiran menulis dan kemahiran bertutur adalah dua jenis keterampilan yang berlainan dari segi cara pembelajaran mahupun cara penguasaan. Malah amat berbeza lagi bercanggah.

Kecepatan menulis adalah 15 hingga 20 perkataan seminit manakala kecepatan bertutur adalah 100 hingga 140 perkataan seminit.

Pada 1958, sekolah aliran Melayu dimulakan atas desakan bertubi-tubi gabungan Persatuan-Persatuan Guru Melayu Semenanjung. Pada peringkat awal, hanya mata pelajaran terpilih sahaja dapat diajar dalam bahasa Melayu.

Guru-guru yang dipilih carca marba dari berlainan kaum yang kepetahan bahasa Melayu mereka boleh dipertikaikan terutamanya dari segi penggunaan istilah yang belum wujud lagi kerana Dewan Bahasa dan Pustaka yang wujud pada pertengahan 1956 masih dalam proses menyediakan istilah-istilah dan buku-buku.

Pada awal 1965, kita berjaya mengajar mata pelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Melayu sepenuhnya di beberapa buah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan sekolah mene­ngah harian terpilih dengan bantuan sukarelawan American Peace Corps yang penguasaan dan kefasihan Bahasa Melayu mereka dilatih di University of Hawaii dan di Northen Illinois University selama 11 hingga 12 minggu sahaja.

Kejayaan tersebut menarik minat Tun Hamdan Tahir, Ketua Penasihat Pelajaran dan Pengarah Pelajaran Malaysia pada masa itu, untuk mengetahui dengan lebih lanjut daripada penulis.

Dalam pertengahan 70-an, beliau ada bertanya kepada penulis, ‘Bagaimana sukarelawan American Peace Corps berjaya mengajar Matematik dan Sains dalam Bahasa Melayu?’

Jawapan penulis ialah sukarelawan American Peace Corps dilatih menggunakan pendekatan Aural-Oral Linguistics dan Dr. Gattegno’s Silent Way. Mereka bukan diberi syarahan atau kuliah tentang bahasa Melayu tetapi sebaliknya mereka dilatih terus penggunaan bahasa Melayu secara spontan berteraskan kepada latih-tubi diikuti dengan pengukuhan menerusi perbincangan, nyanyian, case-study, role-play dan public speaking.

Ini untuk menjadikan bahasa itu sebagai kebiasaan atau ‘habit’. Mereka tidak sekali-sekali diajar tentang undang-undang tatabahasa kerana tatabahasa, sebutan dan kosa kata diajar secara sekali gus atau ‘integrated’.

Pendekatan ini menggunakan sebanyak 90% masa untuk ditumpukan kepada latihan yang bersangkutan dengan bahasa lisan atau perbualan dan kurang daripada 10% masa lagi digunakan untuk pembacaan yang hanya untuk menambah perbendaharaan kata dan sebagai topik perbinca­ngan.

Di University of Hawaii, kami tidak mencampur-adukkan bahasa penulisan dengan bahasa pertuturan. Ini disebabkan nilai bunyi bahasa sebutan walaupun menggunakan huruf rumi yang sama tetapi mempunyai nilai bunyi yang amat berlainan seperti p dengan b, t,d, k, dan g.

Dalam bahasa Melayu nilai bunyi ‘u’ hanya satu sama ada ‘ungu’ atau ‘buku’ tetapi dalam bahasa Inggeris nilai bunyi ‘u’ ada lapan bunyi seperti cut, cute, church, bury, clue, audio dan ini tidak termasuk gelinciran atau ‘diphthong’.

Masih ramai lagi di luar sana yang membuat kesalahan dalam sebutan, tatabahasa seperti I didn’t went there, yesterday. Jika kita selalu menonton televisyen berbahasa Inggeris, secara automatik kita akan mengatakan ayat tersebut adalah salah. Ini kerana bunyinya yang tidak be­tul.

Kita juga hendaklah melupakan ejaan sesuatu perkataan itu untuk fasih bertutur dalam Bahasa Inggeris, ini kerana ejaan akan merosakkan sebutan. Contoh­nya, bunyi huruf vokal a,e,i,o,u mempunyai 48 bunyi.

Memandangkan cuti sekolah ketika ini, ibu bapa perlulah menggalakkan anak-anak menonton kartun berbahasa Inggeris terbitan ‘Walt Disney’, drama, rancangan dokumentari seperti National Geographic, Animal Planet, dan sesetengah lagu berbahasa Inggeris untuk mendapatkan sebutan, tatabahasa, kosa kata dan intonasi yang betul bagi mengisi masa yang terluang.

Secara tidak langsung, aktiviti tersebut dapat membantu anak-anak kita menguasai bahasa Inggeris dengan lebih cepat, mudah dan amat berkesan.

Bahasa Inggeris diperlukan ketika menghadiri temu duga, semasa di universiti dan lebih-lebih lagi amat berguna dalam perbincangan untuk me­lonjakkan prestasi kerjaya anak bangsa kita yang bakal memimpin dunia korporat dan negara. - Fauzy Halim Utusan Malaysia Rencana 10 Jun 2015

Teachers to take a back seat

I REFER to the article by columnist Abdul Karim Abdullah, “Reforming education with student-centred learning” (NST, June 5), and support his idea of prioritising the role of learners to ensure effectiveness in the teaching and learning process.

Despite the advent of technology and recommendations made by educationists-cum-researchers who have carried out empirical studies on the importance of applying new techniques in educating the millennial generation of students, some teachers still believe in traditional teaching methods.


Students love to talk, play and move around; this keeps them happy and energetic.

As a teacher who is passionate about making it right for the sake of producing balanced individuals, students are my top priority.

From my observation, students love to talk, play and move around; this keeps them happy and energetic. While some teachers perceive students as lazy, rambunctious, useless and undisciplined, I realise that students need fun to keep them “alive”.

This explains why teacher-centred lessons make students bored. I believe it is time for teachers to ditch old-fashioned ways of teaching and try implementing new methods, as we support the idea of 21st century learning.

The fact that some teachers compare between advanced, intermediate and weak learners, and worse, develop a negative perception towards slow learners, is frustrating, unprofessional and irrelevant.

Many teachers agree that it is easier to teach and carry out activities with good students than those in weak classes, considering the uncontrollable behaviours of hyperactive students and those not interested in their studies but, from my experience, this is usually because teachers plan the wrong activities or lose their passion when teaching students with low proficiency.

Teachers should stop doubting the ability of learners. Take group presentations, for example. Although many believe this student-centred teaching method is only for good students, it is actually applicable to weak learners, too.

They may mumble, lack confidence and be playful during their presentation, but with time, they will improve and find the activity intriguing as they are given the opportunity to share and shine.

All they need is continued encouragement and motivation. Practice makes perfect. Teachers need to realise that by applying a student-centred approach, it will encourage independent learning, which gives learners room and freedom to understand topics, interpret issues, solve problems and suggest solutions, as they develop creative and higher-order thinking skills.

In fact, when students actively participate in classroom activities, it benefits not only their intellectual wellness, but also their physical, emotional and mental wellbeing, as teachers get out of the box and carry out activities that activate students’ kinesthetic, musical, interpersonal and verbal intelligence.

As long as students are given clear instructions about the task, teachers can take a role as helpful and friendly facilitators, while learners dominate the learning session.

A student-centred approach should be the preference of teachers who wish to stop making students sleep with their eyes open, as they need to be awake to make them think and learn.

Muhamad Solahudin Ramli, Marang, Terengganu. NST Letters to the Editor 9 Jun 2015

Orang besar kepala dan orang hati kecil

DI mana-mana organisasi sama ada kerajaan, swasta mahupun kampung, kita akan menemui orang yang suka bertindak melebihi daripada kapasiti jawatannya. Kata-katanya, penampilannya serta tindak-tanduknya melampaui orang yang lebih berkuasa daripadanya. Di sektor kerajaan mahupun swasta, orang ini akan menunjukkan kuasanya seolah-olah dialah yang berkelayakan dalam membuat keputusan.

Kadangkala, keputusan yang dibuatnya itu bukannya apa yang diingini oleh ketuanya. Dia yang memandai-mandai membuat sesuatu keputusan itu walaupun dia tiada bidang kuasa itu. Tetapi, cara dia meminjam kuasa ialah dengan cara menjual nama.

Dia akan sebut, ‘bos mahu ini, bos tak mahu itu, bos suruh ini, bos tak perintah itu…’ walhal ketuanya tidak tahu pun apa yang dilakukannya.

Di dalam institusi kampung pula, dia berlagak seperti penghulu atau ketua kampung untuk mengizin atau menolak sesuatu permintaan. Dia boleh pilih tarikh kenduri menyambut Ramadan mengikut kesesuaian kehadirannya dengan berkata, tarikh itu tok penghulu yang pilih.

Dia boleh putuskan balai raya tidak boleh digunakan untuk majlis menyambut wakil rakyat kerana dia tidak sukakan individu itu dengan memberi alasan, tok penghulu sudah putuskan balai raya itu hendak dicat pada tarikh yang dipohon. Dengan bersandarkan alasan bahawa ‘tok penghulu yang kata,’ dia sewenang-wenangnya bertindak dengan tidak adil kerana berasa dialah yang punyai kuasa itu.

Orang ini sebenarnya mempunyai ego yang besar. Ataupun, maaf cakap… besar kepala. Tetapi sayang, dia tidak layak untuk menyandang sesuatu jawatan itu kerana kekurangan daya keadilan dan kewarasannya. Namun, oleh kerana gilakan jawatan kerana kuasa yang ada, dia mempergunakan nama ketua yang menyandang jawatan itu sebagai senjata untuk bertindak.

Dalam pada itu, terdapat juga segolongan manusia yang walaupun sudah memegang sesuatu jawatan eksekutif, dia tidak berani menggunakan kuasa yang ada untuk membuat keputusan yang melancarkan organisasi pimpinannya. Apabila berdepan dengan situasi yang memerlukan dia membuat keputusan, maka dia akan menangguhkan tindakan semata-mata kerana takut akan implikasinya.

Boleh jadi, dia perlu menghukum pihak yang melanggar undang-undang di bawah bidang kuasanya. Ataupun sebagai timbalan, dia hanya perlu menjawab soalan daripada wartawan, bila dia hendak bertindak untuk mengorek longkang yang tersumbat.

Ataupun sekadar menegur dan memperbetul keputusan anggota mesyuarat yang didapati akan menimbulkan masalah. Akibat tidak melaksanakan tugas yang diamanahkan, banyak kerja jadi terbengkalai, banyak keputusan tertangguh dan banyak ketidakpatuhan prosedur semakin berleluasa.

Orang begini pula sebenarnya mempunyai hati yang terlalu kecil. Walaupun dia mungkin bijak  kerana intellectual quotientnya yang tinggi, dia tidak semestinya mempunyai emotional quotient yang baik. Dalam erti kata lain, dia tidak mempunyai keyakinan diri untuk bertindak berdasarkan keperluan dan kehendak situasi.

Pada hari ini, kewujudan mereka yang mempunyai hati yang kecil ini kian bertambah walaupun daripada segi zahirnya golongan yang besar kepala itulah yang lebih menyerlah. Malangnya, ramai daripada golongan yang berhati kecil ini menyandang jawatan dan pangkat yang besar. Oleh kerana berhati kecil, kesilapan yang besar-besar di dalam organisasi mereka tidak berani diperbetulkan.

Apakah mereka tidak mahu menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk memperbetul kesilapan dan penyelewengan kerana takut terjejas harta dan kedudukan? Ia adalah persoalan yang mereka sendiri tahu akan jawapannya. Namun, jika dilihat sekadar beberapa contoh ketidakpatuhan tataurus dalam beberapa buah organisasi pada hari ini, barangkali kita nampak akan kecacatan daya fikir oleh mereka yang berhati kecil ini.

Sebab itulah, apa yang dilihat tidak betul oleh orang ramai itu bagai tidak dipedulikan oleh mereka yang berkuasa membuat keputusan. Malah, kesilapan demi kesilapan masih terus menerus dilakukan tanpa rasa bersalah. Akibatnya, daya kesegeraan untuk memperbetul kesilapan itu tidak ada dalam kamus fikiran. Dan, kesilapan yang diulang-ulang pula akan bertukar menjadi kesalahan.

Kesilapan boleh dimaafkan. Kesalahan pula perlu mendapat hukuman agar ia tidak berlaku lagi. Tetapi bagaimana pula jika pada manusia yang berhati kecil ini, kesalahan itu adalah sesuatu yang betul? Suasana menjadi parah apabila manusia yang punyai emotional quotient yang rendah ini tiada lagi spiritual quotient di dalam hatinya. Walaupun orang yang ingin memperbetulkan itu seperti anjing menyalak bukit, dan bukit tidak akan runtuh, tetapi apabila bukit itu runtuh, semua sekali akan terkambus.

Bagaimana kita hendak mengubah orang yang besar kepala atau berhati kecil ini? Cubalah menasihati mereka. Jika tidak mampu, cukuplah jangan jadi seperti mereka!         Norden Mohamed Sinar Harian Rencana 12 Mei 2015

Perjuangan mesti diteruskan!

MEWAKILI suara mahasiswa Presiden MPP UIAM Gombak, Hanif Mahpa menjelaskan, kebebasan akademik tidak harus dilihat terpisah dari kebebasan-kebebasan asasi yang lain, iaitu kebebasan bersuara, berpersatuan dan berhimpun.

Ia merupakan suatu pakej hak dan tanggungjawab insan. Menidakkan salah satunya bererti menidakkan maruah seorang manusia.

INTELLECTUAL CONTAINMENT

Menurutnya, kebebasan akademik seharusnya menjadi denyut nadi universiti dan institut-institut keilmuan. Ia menjadi asas kepada budaya ilmu, matlamat pendidikan dan kesarjanaan.

Lawan bagi kebebasan akademik ialah penyekatan intelektual (intellectual containment), suatu istilah yang digunakan Meredith L. Weiss dalam bukunya Student Activism in Malaysia.

Menurut Weiss, mahasiswa dan ahli akademik seharusnya diakui peranan dan autoriti mereka untuk melakukan analisis, kritikan serta advokasi. Mereka juga aktor penting dalam melakar tamadun dan idea melalui pembelajaran, diskusi dan penulisan. Sekiranya kebebasan mereka disekat; melalui ancaman dan hukuman yang dikenakan apabila bersuara lantang, tidak mungkin peranan mereka dapat difungsikan sepenuhnya untuk masyarakat.

Ketakutan yang diinstitusikan secara rasmi pada 1971 melalui Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) serta pelbagai undang-undang drakonian lain adalah tali gantung yang menanti untuk menjerut leher-leher mahasiswa dan ahli akademik.

"Ketakutan dijadikan alat politik para penguasa. Jika mahasiswa menunjukkan bangkangan kepada tindakan kerajaan, bersiap sedialah untuk dibuang universiti. Jika pensyarah menulis di akhbar-akhbar untuk mengkritik pemimpin kerajaan dan polisi negara, alamat tidak berasaplah dapur di rumah nanti," katanya.

BUDAYA TAKUT DAN BISU

Jelas Hanif, tekanan-tekanan ini pada akhirnya menatijahkan dua malapetaka besar dalam dunia akademik, iaitu budaya ketakutan (culture of fear) dan budaya bisu (culture of silence).

"Budaya ketakutan menyebabkan mahasiswa takut untuk mempersoalkan, mengkritik dan melontarkan idea baru untuk pembangunan masyarakat. Ahli-ahli akademik pula akan mengambil jalan selamat, dengan membisukan diri dalam isu-isu politik dan pentadbiran,"katanya.

Menurut Edward Said dalam bukunya Representation of The Intellectual, intelektual seharusnya berperanan memperjuangkan kebebasan dan keadilan. Menjadi tanggungjawab para intelektual untuk menjadi suara masyarakat awam dan benteng mereka berdepan para penguasa; sebagai agen perubahan masyarakat.

"Apa yang menyedihkan di Malaysia, ahli akademik dibisukan dan tidak dibenarkan berbicara dengan media dan di khalayak umum dalam isu yang dianggap kontroversi dan sensitif; dengan kebimbangan akan ditukar, diketepikan atau dipintas oleh pentadbiran.

"Buktinya, hitunglah dengan jari berapa ramai ahli akademik yang bersuara dalam isu-isu besar negara seperti 1MDB, Tabung Haji dan MAS. Malang bagi rakyat Malaysia, ketakutan telah meragut peranan dan fungsi intelektual awam," katanya.

Tambah membimbangkan, perbincangan-perbincangan isu-isu dasar negara juga disekat untuk dibincangkan secara terbuka di kebanyakan universiti. Kata mereka ahli politik tidak dibenarkan masuk dan memberikan pandangan di dalam universiti.

"Kita menegaskan bahawa dasar-dasar negara digubal dan dibahaskan dengan mendalam oleh ahli-ahli Dewan Rakyat yang juga merupakan ahli politik. Menyekat mereka memberi pandangan bererti menidakkan akses para mahasiswa kepada perbincangan dasar negara secara langsung dan serius," katanya.

Persoalannya, adakah budaya ketakutan dan penyekatan intelektual ini akan berterusan?

Jawapannya tidak. Mahasiswa dan ahli akademik ada pilihan untuk melawan cengkaman dan kongkongan itu. Sebagaimana yang dihujahkan Gene Sharp dengan panjang lebar dalam How Nonviolent Struggle Works, penguasa tidak akan mampu bertahan sekiranya kita tidak lagi berasa takut dengan ancaman.

"Jikalau seluruh mahasiswa dan ahli akademik bersatu dan menunjukkan pendirian dengan jelas mempertahankan kebebasan akademik, ketakutan ini tidak akan lagi berfungsi. Jika ada 1000 mahasiswa dan 500 ahli akademik bangkit bersuara, penguasa sama sekali tidak akan berani mengambil tindakan terhadap mereka,"katanya.

Tegasnya, Auku dan peraturan-peraturan universiti yang menyekat kebebasan individu wajib dilawan. If a law is unjust, a man is not only right to disobey it, he is obligated to do so.”, begitu pesan Thomas Jefferson. Kesatuan bertekad, perjuangan ini tidak akan pernah berhenti sehingga udara kebebasan dapat dinikmati di universiti-universiti.

Kebebasan akademik hak semua

ISU yang tidak pernah suram dalam perjuangan seorang mahasiswa adalah kebebasan akademik. Proses pembelajaran bukan semata-mata di dewan kuliah.

Percanggahan pendapat adalah perkara biasa tetapi  nilai sebuah kebebasan akademik itu sering dicabuli dan mahasiswa pula ditakutkan-takutkan dengan hukuman yang bertentangan dengan fungsi sebenar universiti.

Ramai yang berpandangan, universiti bukan kilang yang hanya mengeluarkan graduan dalam jumlah tertentu sebagai tenaga kerja, skop universiti itu luas, termasuk juga melahirkan modal insan. Tanpa kehadiran mahasiswa, tiada ertinya kewujudan universiti, walaupun serba-serbi lengkap.

Besarnya pengaruh mahasiswa, dan tidak dinafikan juga fungsi universiti sebagai menara gading yang mampu menjana idea dan perkembangan ilmu. Untuk mencapai pemikiran minda kelas pertama seperti yang disarankan, mahasiswa perlu banyak membaca, mengkaji, meneroka, menilai dan sebagainya, tetapi proses penerokaan itu menemui jalan buntu.
Mahasiswa hanya perlu kaji apa yang diajar sahaja, lebih daripada itu tidak dibenarkan, begitu juga pensyarah yang berupaya menyalurkan maklumat kepada masyarakat tidak lagi berminat berkongsi ilmu dan pandangan kerana dilabel ejen pihak-pihak tertentu.

Benarkan wujud kebebasan akademik dan adakah senario ini perlu diterima tanpa kompromi? Menjawab sejauh mana kebebasan akademik berfungsi, Isu Kampus membawakan beberapa panel terkemuka dengan hujah masing-masing dalam memartabatkan kebebasan akademik.

Memberi definisi yang hampir sama, Profesor Aziz Bari berkata, kebebasan akademik ini hak semua.



Profesor Aziz Bari ~ Terima peluru
Katanya, kebebasan yang dituntut ini bukan hanya tertumpu untuk kalangan pelajar bidang sains sosial mahupun para akademik dalam bidang berkenaan sahaja, tetapi semua pihak.

"Sekiranya setiap ahli akademik memainkan peranan mereka sepenuhnya dalam bidang masing-masing, mereka juga akan berasa pentingnya ada keperluan kebebasan akademik,"katanya.
Katanya, apabila dinafikan kepentingan itu, maka akan wujudnya situasi yang menyekat kebebasan itu secara terbuka.

"Jangan fikir mahasiswa atau profesor dalam bidang sains politik sahaja yang terkesan apabila disekat kebebasan, hal ini dapat dibuktikan apabila pada 1998, kerajaan memberi amaran kepada ahli akademik dari UPM yang membuat kajian berkaitan jerebu, jadi semua bidang berpotensi bersuara dan di sinilah ruang itu disekat kerana ia mampu menggoncang kerajaan," katanya.

"Masyarakat yang maju perlukan pemikiran, perlukan sastera, falsafah, jadi bila dah maju, tapi otak kosong, masa tu terkial-kial!," katanya.

Dalam mengulas tentang pelajar harus mengikut semua peraturan universiti, beliau berkata, itu suatu perkara yang ganjil kerana universiti bukan sembarangan tempat.

"Setiap peraturan mesti ada sebab, kita tak boleh terima sekiranya pihak universiti boleh buat apa sahaja mengikut suka mereka, apa nak jadi jika keadaan sebegini," katanya.

Tambah beliau juga, pihak universiti sepatutnya tidak perlu campur tangan apabila pelajar membentuk persatuan atau pertubuhan dalam universiti.

"Beri mereka kebebasan tubuhkan gerakan selagi tidak mendatangkan bahaya, namun apa yang berlaku, pertubuhan tertentu sahaja yang dibenarkan, jika mirip kepada parti atau pemerintah tidak nampak salahnya, namun sebaliknya terjadi kepada pertubuhan yang aktif dianggap pro, lalu dinafikan suara  mereka," katanya.

Katanya, perjuangan menuntut kebebasan akademik juga akan bersama dengan kebebasan bersuara, kebebasan media. Namun kini banyak sekatan yang dikenakan, dan undang-undang yang dilaksanakan pula memilih-milih.

"Ini sebenarnya hak sivil seorang pelajar, warga pentadbir sepatutnya tidak campur tangan dalam urusan seperti berforum dan sebagainya. Namun, apabila dibenarkan anjur, ditetapkan pula, hanya orang-orang tertentu sahaja yang dibenarkan bercakap, di mana sebuah demokrasi?," katanya.

Beliau juga menegaskan, tidak bermakna orang yang bukan ahli akademik tidak mampu menyumbang dalam dunia akademik dan pelajar berhak memilih sesiapa sahaja yang dirasakan layak mengisi ruang perdebatan forum/ seminar yang dianjurkan.

Selain itu, Aziz juga mempersoalkan sikap double standard universiti yang kurang serius mengambil tindakan kepada para pensyarah yang menciplak hasil para pelajar dalam penerbitan penulisan akademik mereka, selain mempersoalkan bagaimanakah mereka yang bukan jelas sumbangan akademiknya mampu berada di kerusi tertinggi dan mengawal universiti sehingga menidakkan fungsi mahasiswa secara amnya.

Dalam menjawab persoalan pelajar yang suka berkonfrontasi, beliau menjelaskan, itu bukan pilihan utama kerana tidak ramai yang mengambil pendekatan untuk bertegang urat. Ujarnya, suasana kini juga berbeza, selain mengadakan demonstrasi, mahasiswa boleh bersuara secara lantang melalui pelbagai saluran.

Perkembangan teknologi juga membantu mahasiswa menyalurkan buah fikiran melalui media dan media sosial walaupun ruang-ruang kekangan itu masih terbuka.

"Jika boleh saya simpulkan, mungkin hanya 10 peratus sahaja mahasiswa yang ambil tahu tentang hal-hal rakyat, namun, biarkan pelajar mencari dan belajar akan apa yang mereka inginkan. Soal adakah ramai yang menginginkan kebebasan itu bukan persoalan utama kerana kebebasan di dalam akademik itu sendiri adalah hak yang harus diberikan kepada para pelajar," katanya.