June 13th, 2015

Integriti dan akauntabiliti masyarakat Jepun

DASAR Pandang ke Timur yang diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia pada 1982 adalah bertujuan mendidik rakyat Malaysia amnya dan penjawat awam khususnya supaya mempelajari dan meniru budaya murni masyarakat Jepun dan Korea. Sejak itu, pelbagai langkah diambil kerajaan dalam usaha membentuk penjawat awam yang berintegriti serta mempunyai tahap akauntabiliti yang tinggi.

Antara langkah-langkah kerajaan adalah memperkenalkan konsep Tonggak 12 (1994), Pelan Integriti Nasional (2004), Sistem Audit Nilai (2007), Ethos Perkhidmatan Awam (2013) dan banyak lagi inisiatif termasuk Program Transformasi Kerajaan (GTP) dengan harapan 1.6 juta warga penjawat awam akan menjadi warga kerja yang mempunyai tahap integriti dan akauntabiliti yang tinggi.

Bangsa Jepun adalah satu bangsa yang amat tinggi tahap integriti dan akauntabilitinya. Sebagai contoh, pada tahun 2006 Menteri Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Jepun, Toshikatsu Matsuoka telah dituduh mengemukakan tuntutan palsu bil utiliti pejabat yang disewanya sebanyak 5 juta Yen (RM173,000).


Kanak-kanak Jepun memakai kimono atau yukata, pakaian tradisional musim panas ketika meraikan perayaan mereka di Torigoe Shrine, Tokyo, pada Sabtu lalu. Gambar hiasan

Apabila kesnya terbongkar, walaupun masih belum didapati bersalah, satu langkah yang diambil oleh T.Matsuoka ialah beliau terus meletakkan jawatan sebagai menteri.

Apabila akhbar di Jepun mensensasikan peletakan jawatannya sebagai menteri, seolah-olah sebagai rasa bersalah terhadap tuntutan palsu yang dikemukakan, T.Matsuoka amat berduka cita dan bertindak menggantung diri di pangsapurinya bagi menebus kesalahan.

Budaya harakiri atau honourable death adalah satu budaya yang diamalkan berkurun lamanya di negara itu. Meskipun budaya atau perbuatan ini amat bertentangan dengan ajaran Islam dan tidak sepatutnya diikuti, namun budaya ini telah menunjukkan masyarakat Jepun sebagai satu bangsa yang amat tinggi dengan rasa kebertanggungjawabannya.

Bangsa Jepun juga adalah bangsa yang amat suka menolong orang. Penulis masih teringat lagi ketika dihantar bekerja di Jepun pada 1996 di sebuah tempat yang bernama Kitakyushu City.

Pada minggu pertama, penulis telah berjalan-jalan di Bandar Kitakyushu dari asrama di Kokura.

Ketika hari lewat petang, penulis terlupa mengenal pasti bas untuk balik semula ke asrama. Memandangkan penulis masih belum boleh berbahasa Jepun ketika itu, penulis tidak dapat memahami destinasi bas yang ditulis semuanya dalam bahasa Jepun.

Cubaan bertanya kepada orang ramai dalam bahasa Inggeris gagal apabila rata-ratanya menjawab Kokura doko? (Kokura di mana?) dan wakaremasen (tidak faham).

Akhirnya ketika penulis hampir letih memohon pertolongan sambil berteriak perkataan Kokura, seorang wanita tua terus memegang tangan saya dan membawa saya menaiki bas. Ketika itu hari hampir malam.

Meskipun kami tidak boleh berkomunikasi, wanita itu dengan wajah penuh mesra dan prihatin membayarkan tambang bas penulis dan menghantar penulis dalam perjalanan hampir sejam itu sebelum berpatah balik ke Kitakyushu City ke destinasinya pula.

Inilah satu peristiwa yang penulis masih tidak dapat lupakan hingga ke hari ini akan kebaikan dan ketulusan budi orang Jepun dalam membantu orang yang memerlukan pertolongan.

Dalam budaya orang Jepun ada falsafah yang disebut kamikaze (pantang menyerah kalah) dan juga kaizen (sentiasa memperbaiki diri). Sebab itulah bangsa Jepun maju dalam semua aspek kehidupan dengan begitu pantas.

Sebagai contoh, dalam sukan bola sepak, penulis masih ingat ketika masih di zaman kanak-kanak dulu, penulis dan kawan-kawan akan sentiasa bersorak gembira menyaksikan bagaimana pasukan bola sepak Malaysia yang diterajui oleh bintang utamanya Allahyarham Mokhtar Dahari membelasah pasukan Jepun 3-0 dalam Pesta Bola Merdeka.

Kini kebangkitan The Samurai Blue begitu pantas meninggalkan Malaysia dan berada di tangga 50 dunia dalam Ranking Fifa 2015 sedangkan pasukan bola sepak Malaysia masih terkial-kial di tangga 166 dunia dalam ranking berkenaan.

Yang sedihnya kita berada di bawah Bhutan, negara yang hanya mempunyai 700,000 orang penduduk yang menduduki tempat ke-164 daripada 196 negara yang ada di dunia ini.

Dari segi Indeks Persepsi Rasuah Antarabangsa (Corruption Perception Index) yang dikeluarkan oleh Transparencies International, Jepun menduduki tangga ke-15 daripada 175 negara, jauh meninggalkan negara kita yang berada pada posisi 50/175.

Inilah satu contoh bagaimana kerja kuat, integriti dan disiplin telah berjaya melonjakkan Jepun dari sebuah negara yang musnah setelah bom atom digugurkan di Hiroshima dan Nagasaki kepada sebuah negara yang menjadi gergasi dunia dalam hampir semua aspek kehidupan.

Pada 2012, Jepun yang terkenal dengan nilai integriti dan akauntabiliti yang tinggi ini diuji lagi dengan insiden keterlibatan ahli gusti Sumo dalam match fixing oleh sindiket perjudian antarabangsa.

Insiden ini amat memalukan kerajaan Jepun kerana bangsa Jepun telah diiktiraf dunia sebagai sebuah bangsa yang kuat jati diri dan integritinya.

Walau bagaimanapun, satu iktibar yang boleh kita contohi daripada insiden ini ialah bila mana Hiroyoshi Murayano, Presiden Japan Sumo Association (JSA) memanggil 17 ahli gusti atau yokozuna yang terlibat dalam skandal itu untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kepada masyarakat Jepun dan dunia kerana telah melakukan kesilapan mencemarkan nilai murni masyarakat yang diamalkan oleh masyarakat Jepun bertahun lamanya.

Kesemua ahli gusti itu telah membuat permohonan maaf terbuka dan menamatkan karier sebagai ahli gusti Sumo termasuk Presiden JSA itu sendiri, biarpun beliau tidak tahu-menahu akan penglibatan anak buahnya itu dalam sindiket perjudian antarabangsa berkenaan.

Inilah satu contoh akauntabiliti tinggi oleh seorang pemimpin yang berintegriti.

Nilai akauntabiliti inilah yang sedang dipupuk dalam kalangan masyarakat Malaysia melalui pelbagai program pengukuhan integriti tetapi masih lagi belum mencapai tahap yang benar-benar boleh dibanggakan.

Namun begitu berbekalkan iltizam yang kuat dan melalui sokongan serta dokongan kuat di pihak kerajaan, maka tidak mustahil masyarakat Malaysia akan menjadi sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan baik akhlaknya seperti mana termaktub di dalam cabaran keempat Wawasan 2020 dalam tempoh lima tahun dari sekarang.   Anuar Ahmad Timbalan Pengarah di Institut Integriti Malaysia (IIM) dan penulisannya adalah pandangan peribadinya semata-mata.

Lubuk rezeki peniaga

TIDAK sampai seminggu lagi Ramadan akan tiba. Di televisyen kedatangan Ramadan sudah mula terasa sedikit demi sedikit dengan iklan buah kurma, promosi rangkaian baju kurung dan baju Melayu serta iklan berkaitan produk membuat kuih-muih untuk hari raya. Hakikatnya, semua itu boleh dilihat di merata tempat pusat beli-belah tidak kira sama ada kedai runcit, pasar raya, mini market atau gedung beli-belah terkemuka.

Hebatnya kedatangan Ramadan bukan sekadar mendatangi kita dengan barisan aneka fesyen, corak dan harga baju kurung dan baju Melayu. Paling meriah, juadah untuk hari lebaran seperti biskut raya, serunding, kudapan kerepek telah mula boleh diperoleh tanpa perlu menunggu penghujung Ramadan.


SEBAGAI peniaga, ambil kesempatan Ramadan untuk menambah pendapatan dengan penyediaan makanan jualan yang terjamin mutu dan rasanya. GAMBAR HIASAN

Pasti telah ada di antara kita yang mempunyai rancangan atau susunan program yang akan cuba untuk dipenuhi sepanjang Ramadan nanti. Perancangan menu juadah berbuka dan bersahur bagi kaum ibu, susunan masjid dan surau untuk dituju bagi mengerjakan ibadah solat tarawih dan program keagamaan dibuat oleh kaum bapa.

Ramadan bulan penuh berkat, bulan rezeki bagi yang pandai mengambil kesempatan di bulan yang mulia ini. Peniaga pasar Ramadan sibuk dengan mencari modal, bahan, strategi pemasaran (bagi menarik minat pembeli) dan perancangan menu untuk berniaga. Bagi peniaga makanan, pastikan makanan yang diperniagakan disediakan dengan penuh keikhlasan dan bukannya sekadar hendak mengaut keuntungan.

Senario yang sama saban tahun bila menjelang bulan Ramadan akan muncul gerai-gerai seperti cendawan pada musim hujan. Ramai yang mengambil kesempatan untuk berniaga tanpa asas yang betul. Kemunculan peniaga yang tidak pandai memasak, adalah perkara biasa. Kebanyakan mereka ini hanya sekadar ingin menambah sumber pendapatan sedia ada.

Pada permulaan Ramadan, mungkin suri rumah dan kaum wanita yang bekerjaya akan lebih teruja untuk menyediakan juadah bersahur dan berbuka. Walaupun begitu, keterujaan itu akan semakin berkurangan di pertengahan bulan hingga ke akhir Ramadan. Ini membuka peluang peniaga untuk melipat gandakan hasil jualan masakan dengan kepelbagaian jenis makanan.

Bagi peniaga makanan yang ingin dan akan berniaga di bulan Ramadan, panduan berkaitan penyediaan makanan yang disediakan ini boleh dijadikan panduan.

1. Pastikan makanan yang dijual dimasak dengan sempurna.

Makanan berasaskan ayam adalah contoh makanan yang mudah rosak, jika tidak dimasak dengan betul. Pastikan ketika hendak memasak, ayam yang dikeluarkan daripada bahagian sejuk beku telah dibiarkan dalam suhu bilik dalam masa yang tertentu atau dilalukan air bagi proses penyahbeku. Kaedah yang sama juga perlu dilakukan kepada bahan mentah berasaskan daging dan ikan.

Makanan yang tidak dimasak dengan betul dan sempurna akan menyebabkan bahan asas masakan tersebut (ayam, daging, ikan) mudah rosak dan hanyir di bahagian dalam isinya. Proses pembiakan bakteria akan cepat berlaku dan boleh menyumbang kepada keracunan makanan.

2. Minimumkan penggunaan santan dalam masakan.

Kebanyakan masakan Melayu agak sebati dengan penggunaan santan daripada kuih-muih, rangkaian bubur dan hidangan lauk-pauk. Untuk meminimumkan penggunaan santan mungkin ada yang terfikir ia agak mustahil tetapi boleh dipraktikkan.

Contohnya, kurangkan penggunaan santan dan digantikan dengan penggunaan susu sejat. Atau gunakan kedua-dua campuran santan dan susu sejat ini ke dalam masakan. Penggunaan santan daripada minyak kelapa sawit juga boleh digunakan bagi menggantikan santan berasaskan kelapa.

Bagi masakan seperti gulai atau kari penggunaan santan boleh digantikan dengan perahan pati asam jawa. Penggunaan asam jawa bagi menggantikan santan dapat memberikan satu rasa masakan yang berbeza dan tahan lebih lama.

Selain itu, masakan bubur berasaskan kekacang, pengat dan bubur nasi atau congee, santan boleh dimasukkan secara berasingan. Maksudnya, makanan tersebut dimasak tanpa campuran santan. Santan hanya dicampurkan ke dalam masakan semasa hendak dijual atau ketika pembeli ingin membeli masakan tersebut. Santan yang digunakan untuk tujuan ini perlulah dimasak seketika bersama sedikit campuran garam. Kaedah ini dapat membantu masakan tahan lebih lama.

3. Sediakan kepelbagaian menu hidangan sihat.

Ironinya bila disebut masakan Melayu, akan terbayang kepelbagaian sajian makanan yang menyelerakan tetapi agak kurang dari segi nutrisinya. Peniaga perlu memainkan peranan dengan menyediakan pilihan masakan yang pelbagai dan diolah dengan kaedah masakan yang berbeza.

Cara ini dapat memberi peluang dan ruang bagi pembeli membuat pilihan pembelian makanan yang lebih bijak. Kaedah masakan boleh dipelbagaikan dengan cara kukus, panggang, goreng, bakar, celur dan tanak. Penggunaan kaedah masakan yang berbeza akan membuatkan hidangan sajian masakan anda kelihatan menarik dan kreatif.

4. Pembungkusan makanan

Kepentingan pembungkusan makanan sering diabaikan oleh peniaga. Makanan terdedah, dibiarkan lalat menghurung makanan dan tangan pembeli menyentuh makanan boleh mengakibatkan makanan cepat rosak dan menggalakkan pembiakan bakteria pada makanan tersebut.

Agak mendukacitakan keadaan makanan terdedah ini agak meluas di negara kita. Tidak kira di mana lokasinya sama ada kedai makan tepi jalan, di dalam bangunan kedai, gerai biasa, atau restoran berhawa dingin keadaannya sama sahaja.

Alasan peniaga, makanan yang dijual tersebut berkonsep buffet atau untuk memudahkan pembeli mengambil makanan.

Diharapkan Ramadan yang bakal tiba ini perubahan akan dapat dilihat. Kuih-muih yang dijual akan terpamer dalam bungkusan yang kemas. Makanan set nasi seperti nasi lemak, nasi ayam, nasi dagang dapat disediakan di dalam bekas lut sinar.

Ini akan memudahkan pembeli mengambil makanan untuk dibeli tanpa perlu makanan itu dibiarkan terdedah; untuk memberi peluang pembeli membuat pilihan.

Moga Ramadan kali ini dapat memberi seribu satu rahmat untuk kita bersama. Sebagai peniaga, ambil kesempatan Ramadan untuk menambah pendapatan dengan penyediaan makanan jualan yang terjamin mutu dan rasanya.

Di satu pihak, kita sebagai pengguna, pembeli dan pelanggan buatlah pilihan yang bijak. Pilihan di tangan anda.

Kampong Bandor , Asal nama Pulau Indera Sakti

Asal nama Pulau Indera Sakti

SEJARAH Bandor mempunyai pengaruh yang luas dalam kisah Kesultanan Melayu Perak bermula dari sultan ke-15, Sultan Iskandar Zulkarnain hinggalah pembunuhan JWW. Birch di Pasir Salak.

Pulau Indera Sakti adalah tempat pemerintahan baginda dan lokasinya bertentangan dengan Bandor yang telah dimakmurkan dan disebut sebagai zaman kegemilangan Kesultanan Perak pada kurun tersebut.

Berkait rapat dengan Bandor, Pulau Indera Sakti turut mempunyai sejarah tersendiri apabila ia ditulis dalam buku ‘Malay Sketches (1895) catatan Frank Swettenham mengenai Perak yang menerangkan pulau tersebut umpama kawasan delta.

Pada waktu itu, ia merupakan sebuah pulau kerana terpisah dengan tanah besar oleh dua batang sungai iaitu Sungai Perak dan Sungai Kinta. Di bahagian hilir Sungai Perak yang menghubungkan dengan Sungai Kinta terletaknya Bandor.

Disebabkan itu, menurut Setiausaha Agung Persatuan Keluarga Warisan Bandor (PKWB), Maimoon Hussein, Pulau Indera Sakti merupakan sebahagian besar dalam sejarah pembangunan Bandor.

“Dahulu, semua sungai bersambung terutama Sungai Perak dan Sungai Kinta sehingga mewujudkan sebuah pulau yang dipanggil Pulau Indera Sakti. Ia banyak berkait rapat dengan cerita dongeng dan mistik sewaktu pemerintahan Sultan Perak ke-15.

“Asalnya dahulu namanya bukanlah Pulau Indera Sakti, tetapi Chempaka Sari. Banyak cerita tentang Pulau Indera Sakti yang pelbagai versi, namun rata-ratanya menunjukkan jalan cerita sama.

“Dahulu dikatakan Sultan Iskandar Zulkarnain tidak mahu memerintah di Istana Brahman Sakti (Bota) kerana mungkin risau tidak menghormati makam ayahandanya, Sultan Muhamad Shah yang terletak di sana,” katanya ketika ditemubual S2 di program River Fest 2015 di Pasir Salak, Perak.

Menurut beliau, banyak versi cerita yang diperolehnya daripada orang tua-tua tentang kisah Pulau Indera Sakti berunsurkan mistik dan mempunyai kaitan antara alam nyata dan ghaib.

“Chempaka Sari mendapat nama Pulau Indera Sakti apabila Kerajaan Kayangan dikatakan telah menemui Sultan Iskandar Zulkarnain untuk menamakan pulau itu dengan nama tersebut. Saya tidak pasti sama ada mimpi atau bukan.

“Kemudian baginda terus menggantikan nama pulau tersebut dan kekallah ia sebagai Pulau Indera Sakti. Apabila mangkat, baginda telah dimakamkan di sana dengan gelaran Marhum Kaharullah.

“Namun begitu, ada juga cerita dalam Hikayat Merong Mahawangsa yang mengatakan Raja Marong Mahapudi Sat telah datang ke sebuah kawasan. Lalu menemui sebatang sungai yang besar dan sebuah tasik.

“Dikatakan hajatnya mahu membuka sebuah negeri, kemudian baginda telah memanah ke udara dengan busur yang dinamakan ‘Indera Sakti’ dan panahnya pula ‘Perak’. Tempat jatuhnya anak panah dinamakan Perak dan pulaunya dinamakan Indera Sakti. Begitulah versi cerita yang lain,” ujarnya.

Walau bagaimanapun tambah Maimoon lagi, Chempaka Sari turut mempunyai kisah tersendiri yang menerangkan alasan tempat tersebut dinamakan sedemikian sebelum disebut sebagai Pulau Indera Sakti.

“Itu pun ada pelbagai versi cerita, ada kisah yang mengatakan Chempaka Sari merupakan nama seekor naga. Naga apa pun saya tidak pasti sama ada dari tasik ataupun Sungai Perak.

“Namun, ada cerita menyebut Chempaka Sari merupakan nama sebilah keris yang dimiliki oleh orang Aceh. Waktu itu, orang Aceh telah datang ke sebuah kawasan (Perak) untuk membuka negeri.

“Malangnya, seperti ada sesuatu telah menghalang dia untuk berbuat demikian. Dipercayai, seperti ada daulat yang menghalang orang Aceh tersebut untuk membuka sebuah negeri di sini.

“Selepas peristiwa itu, dia telah membaling keris Chempaka Sari sama ada ke dalam sungai ataupun tasik lalu bersuara ‘suatu hari nanti akan ada seorang sultan memerintah di negeri ini’,” jelasnya.

Begitulah nama Chempaka Sari diberi, kemudian ditukarkan menjadi Pulau Indera Sakti sewaktu pemerintahan Sultan Iskandar Zulkarnain. Cerita tersebut menjadi sebahagian daripada sejarah Bandor yang makmur ketika itu.

Menurut Maimoon lagi, makam Almarhum Sultan Iskandar Zulkarnain itu terletak di Pulau Indera Sakti wajar dinaiktaraf untuk memudahkan orang ramai menziarahinya.

“Memandangkan tanah makam baginda yang digelar Marhum Kaharullah adalah milik keluarga saya, justeru kami berharap dapat membangunkan kawasan tersebut sebagai tempat warisan sejarah dengan bantuan kerajaan negeri Perak,” ujarnya.


Hidupkan semula Kampung Bandor

SELEPAS peristiwa JWW Birch dibunuh di Pasir Salak, seluruh kawasan Bandor mulai sunyi apabila para penduduknya beransur-ansur meninggalkan kediaman masing-masing.

Tujuannya adalah untuk lari menyelamatkan diri daripada peperangan dicetuskan oleh pihak British yang berang dengan kematian residennya itu.

Pengerusi Persatuan Keluarga Warisan Bandor (PKWB), Abdul Rahman Azubir berkata, kesan daripada peristiwa tersebut, masyarakat Bandor yang terdiri daripada pelbagai kaum mula berpindah.

“Bandor dahulu majmuk penduduknya, ada orang India, Cina, Indonesia serta sebilangan pedagang yang datang ke sini dari negara Arab.

“Namun dalam insiden Pasir Salak, kali pertama serangan British, Datuk Maharajalela berjaya bertahan bersama dengan hulubalang Melayu di sini. Tetapi setelah serangan yang lebih hebat, ramai orang lari meninggalkan Bandor berpindah ke tempat lain.

“Ada yang pergi ke hulu Sungai Perak, Pahang, Melaka, Johor dan sebagainya. Apabila berpindah, mereka tukar nama dan identiti supaya tidak dapat dikesan oleh British,” katanya ketika ditemui S2 di Pasir Salak, Perak baru-baru ini.

Justeru menurut beliau, program seperti River Fest 2015 anjuran PKWB adalah bermanfaat untuk mengumpulkan semula waris masyarakat Bandor dan mengenang sejarahnya.

“Hendak bangunkan Bandor memang susahlah sebab sekarang tidak ramai yang tinggal. Jadi, kita kumpulkan semua waris untuk menjejak keturunan dan mempelajari sejarah.

“Kita hendak kaji balik sejarah bagaimana Bandor, sebuah kota yang maju dan dikatakan setanding Melaka hilang begitu sahaja.

“Justeru, kita adakan pelbagai aktiviti seperti larian maraton, pertandingan kayak, bot berhias di Sungai Perak, pertandingan memancing serta jualan produk-produk tempatan. Ia diadakan untuk memperingati kegiatan masyarakat Bandor dahulu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Penolong Pegawai Daerah Kampung Gajah, Shahrul Azam Shaari berharap penganjuran aktiviti dapat menghidupkan semula kemeriahan Kampung Bandor khususnya Pasir Salak.

“Beri ruang kepada penduduk tempatan untuk pamer produk-produk yang dijual melalui program-program yang menghidupkan kawasan di sini. Utusan Malaysia Rencana 13 Jun 2015

Bandor dan Sejarah Perak

Lari takut diburu Inggeris
Sejarah Bandor bukanlah seperti teori-teori Barat tentang Kota Atlantis yang hilang. Bandor adalah sebuah kawasan pekan termaju di Perak pada kurun ke-18 yang sibuk dengan aktiviti perdagangan di sepanjang pesisiran Sungai Perak.

Jika merujuk kepada Misa Melayu tulisan Almarhum Raja Chulan, terdapat sebuah pulau dikelilingi Sungai Perak dan Sungai Kinta dinamakan ‘Pulau Indera Sakti’ dan pekannya pula dipanggil ‘Bandar Makmur’ yang kini lebih dikenali sebagai Kampung Bandar atau ‘Bandor’ dalam dialek masyarakat tempatan.

Pada masa itu, kawasan tersebut dikatakan sebagai termaju dalam negeri Perak kerana mempunyai pelabuhan yang sibuk dengan aktiviti perdagangan, deretan kedai serta penempatan masyarakat tempatan dan juga pendatang dari luar.

Kemakmuran Bandor diiringi gelaran zaman keemasan negeri Perak sewaktu pemerintahan sultannya yang ke-15 iaitu Sultan Iskandar Zulkarnain. Selain perdagangan, kawasan tersebut juga merupakan pusat pemerintahan sebelum kerajaannya berpindah mudik ke hulu Sungai Perak.

Menceritakan lebih lanjut, Penasihat 2, Persatuan Keluarga Warisan Bandor, Tun Mohammed Hanif Omar memberitahu sejarah Bandor begitu penting kerana ia adalah sebuah pekan yang maju, tetapi kini hanya tinggal belukar.

“Istilah Bandor itu sebenarnya berasal daripada perkataan dalam Bahasa Parsi yang bermaksud ‘pelabuhan’. Ketika zaman kegemilangan pekan tersebut, banyak kapal-kapal pedagang dari negara luar datang berdagang dekat sini.


RUMAH terakhir yang berpenghuni di Kampung Bandor ini terletak di jalan menuju ke hilir Sungai Perak.

“Bukan sahaja dari Indonesia, China serta India, malah pelabuhan di Bandor turut menerima kapal-kapal dari negara-negara Arab terutama Parsi (Iran) dan juga Belanda. Mereka datang untuk mengambil bijih timah dan hasil bumi lain di Perak.

“Ketika itu, Perak mempunyai hasil bumi yang banyak seperti hasil pertanian, damar, rotan dan sebagainya termasuklah bijih timah dari Tanjung Tualang. Bukti pengaruh Timur Tengah sampai ke sini adalah seni sulam tekad benang emas, dipercayai dibawa oleh masyarakat Arab,” katanya kepada S2 baru-baru ini.

Tambah beliau, kehebatan masyarakat Bandor pernah digambarkan dalam sebuah buku yang turut memberitahu terdapat beberapa buah bangunan seperti kedai, pejabat dan rumah diperbuat daripada kayu.

“Dalam sebuah buku bertajuk ‘Life of Singapore’, terdapat kandungan yang menceritakan kehebatan orang Bandor. Katanya, ‘di sini pun orang hebat-hebat, bangunannya pun hebat-hebat. Tetapi semua sudah tiada, tapak menjadi hutan semula.’

“Dikatakan hebat sebab semua bangunan diperbuat daripada kayu, tidak seperti negara lain yang menggunakan batu untuk membuat binaan. Maknanya dekat situ, kebijaksanaan untuk menggunakan kayu dalam membina bangunan dimiliki oleh masyarakat tempatan.

“Bangunan kayu dimaksudkan itu termasuklah kedainya yang berderet-deret, rumah, pejabat pemerintahan dan sebagainya. Pada waktu itu, belum ada lagi peristiwa Pasir Salak (pembunuhan JWW Birch) yang mana Bandor membangun sebelum kedatangan British,” jelasnya.

Kata beliau lagi, pembukaan Bandor bukan sewaktu pemerintahan Kesultanan Perak. Tetapi, telah berlaku ketika negeri tersebut dipimpin oleh pembesar-pembesar Perak.

“Sejarah Kesultanan Perak, berasal dari Melaka. Apabila Portugis serang, ada yang berundur ke Kampar di Sumatera, Pahang dan Johor. Begitu juga dengan penduduk..., ada yang berpindah ke tempat lain termasuklah Perak.

“Semasa penempatan di Perak, ada beberapa pembesar telah memimpin penduduk seperti Tok Temong, Tun Saban dan ramai lagi. Mereka telah menjemput anak Sultan Melaka di seberang untuk menjadi raja di negeri Perak pada kurun ke-16.

“Cerita Bandor menjadi sebuah pekan yang membangun adalah ketika pemerintahan Sultan Perak ke-15 iaitu Sultan Iskandar Zulkarnain. Waktu itulah dikatakan zaman keemasan bagi Perak dengan kemakmuran ekonominya,” ujarnya.

Mencari punca hilangnya penduduk Bandor dan jatuhnya pekan yang maju itu, Mohammed Hanif memberitahu peristiwa pembunuhan residen British pertama di Perak menyebabkan kawasan tersebut umpama hilang.

“British datang pada hujung kurun ke-19 selepas diundang oleh Raja Abdullah yang pada masa sama sedang berebut takhta dengan Raja Bendahara, Raja Ismail untuk menjadi sultan berikutan kemangkatan Sultan Ali Al-Mukammal Inayat Shah.

“Panjang cerita pasal JWW Birch, pengaruhnya juga begitu hebat kerana beberapa pembesar Perak turut terlibat dalam Peristiwa Pasir Salak pada 2 November 1875 seperti Datuk Maharajalela, Datuk Sagor dan ramai lagi.

“Selepas beliau dibunuh oleh Si Puntom ketika sedang mandi, British menyerang seluruh kawasan Bandor termasuk Pasir Salak akibat berang dengan pembunuhan residennya. Sejak itu, Bandor mulai sunyi selepas penduduknya lari ke Bidor, Teluk Intan, Bagan Datoh, Kuala Kangsar dan juga negeri-negeri lain.

Bandor, kota yang hilang
NEGERI Perak terkenal dengan pelbagai kisah sejarah. Selain kesultanannya yang masyhur, negeri tersebut turut menyimpan sebuah cerita yang mungkin tidak diketahui ramai.

Kita sering mendengar atau sedia maklum tentang peristiwa pembunuhan JWW Birch di Kampung Gajah, Pasir Salak. Namun tidak ramai tahu mengenai cerita lain yang berlaku lebih awal daripada pembunuhan tersebut.

Bandar atau dalam dialek orang Perak disebut sebagai Bandor adalah sebuah kota yang terletak kira-kira 10 kilometer dari Kampung Gajah. Kota itu dipercayai maju dan makmur setanding dengan Kota Melaka. Malah ia merupakan daerah termaju di Perak pada kurun ke-18 dan ke-19.

Menyingkap kemakmuran Bandor, ia adalah hasil kebijaksanaan pemerintahan Sultan Perak ke-15 iaitu Sultan Iskandar Zulkarnain yang telah memajukan kota tersebut dengan pelbagai kegiatan ekonomi.

Di sebuah pelabuhan dekat Sungai Perak di Bandor dahulu, kapal-kapal besar berlabuh untuk berdagang dengan masyarakat tempatan. Banyak hasil ekonomi didagangkan seperti bijih timah, damar dan hasil hutan.

Namun selepas meletusnya peperangan di antara penjajah Inggeris dengan penduduk tempatan pada 1875 ekoran pembunuhan Residen Inggeris pertama di Perak itu oleh pahlawan Melayu, Si Puntom ketika Birch sedang mandi, nadi kehidupan di Bandor semakin lenyap ditelan masa.

Sejak itu, Bandor semakin hilang. Penduduknya berpindah untuk mengelak daripada menjadi mangsa serangan tentera Inggeris. Keadaan itu menyebabkan rumah-rumah terbiar dan kedai yang dikatakan berderet-deret sudah tidak ditemui lagi tapak serta kesannya.

Sebelum tragedi Birch juga, Bandor memiliki masyarakat majmuk apabila menerima kedatangan para pedagang dari negara luar seperti Indonesia, China, India, negara-negara Arab dan Belanda.

Tetapi apabila peperangan meletus, ramai penduduknya yang pelbagai kaum dan agama telah berpindah keluar dari kota tersebut untuk mengelakkan diri daripada dituduh sebagai pembunuh oleh pihak Inggeris.

Merah darah di Sungai Perak
Umum tahu tentang peristiwa yang pernah berlaku di Pasir Salak sewaktu penjajahan Inggeris (British) pada 1875 apabila residen pertamanya di negeri Perak, JWW Birch dibunuh oleh pahlawan tempatan.

Pasir Salak merupakan sebahagian daripada Kampung Bandor yang menerima kemasukan Inggeris pada tahun 1874 selepas dijemput oleh Raja Abdullah untuk campur tangan dalam konflik yang timbul antara beliau dengan Raja Bendahara, Raja Ismail.

Insiden campur tangan tersebut telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk selepas kerajaan Inggeris mula mengutip cukai daripada kegiatan perdagangan di Bandor.

Lebih buruk lagi, kedatangan Inggeris seperti mendabik dada apabila langsung tidak mahu mempelajari adat, adab dan budaya masyarakat tempatan serta menghormati raja pemerintah.

Menurut Penghulu Mukim Kampung Bandor, Abdul Khalim Yahaya, pemerintahan British di Perak khususnya Pasir Salak umpama diktator dan sesiapa yang ingkar akan dihukum.

“Kita bukan masyarakat yang baharu bina tamadun. Pentadbiran, perdagangan, penempatan serta sistem pengangkutan melalui sungai semua sudah teratur dan berjalan seperti biasa.

“Datang orang luar terus mengarah masyarakat tempatan, mengutip cukai dan mengenakan undang-undang tertentu. Siapa yang tidak ikut, pasti akan dikenakan hukuman.

“Pada waktu itulah, bangkit para pahlawan Melayu yang berang dengan sikap JWW Birch seperti Datuk Sagor, Datuk Maharajalela dan Si Puntom,” katanya kepada S2 sambil menunjukkan lokasi JWW Birch dibunuh.

Dalam ucapan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman ketika majlis perasmian Pameran dan Jualan River Fest 2015, beliau menegaskan bahawa program-program memperingati sejarah Kampung Bandor dan Pasir Salak perlu kerap diadakan.

“Hebat pahlawan Melayu di Pasir Salak, Si Puntom dikatakan menyelam dalam Sungai Perak lalu menikam JWW Birch yang sedang mandi di kawasan tebing lalu mengalir merah darahnya di sungai.

“Pada saya, itu satu sejarah yang perlu diketahui oleh semua orang. Datuk Sagor, Datuk Maharajalela, Si Puntom serta pembesar-pembesar lain merupakan pahlawan Melayu yang menentang penjajah.

“Justeru, saya amat mengalu-alukan kemasukan pelabur-pelabur luar untuk melabur di Kampung Bandor khususnya Pasir Salak supaya dapat membangunkan produk pelancongan bersejarah di Pasir Salak,” katanya.

Sementara itu dalam seminar Pengkisahan Kesultanan Perak, Setiausaha Agung Persatuan Keturunan Megat Terawis, Megat Iskandar Megat Zaharuddin, menceritakan secara ringkas kisah di Pasir Salak.

“JWW Birch adalah orang yang bijak. Tidak dinafikan beliau seorang yang cemerlang dalam perkhidmatan awam sebab pernah berkhidmat di negara Sri Lanka dan India.

“Tetapi, apa guna bijak kalau biadab. Masuk Perak suka hati dia hendak ‘langgar’ budaya dan peraturan di sini..., sebab itu kena bunuh.

“Jadi, atas perancangan Datuk Maharajalela, dia akhirnya dibunuh pada 2 November 1875. Hebat Datuk Maharajalela, dahulu orang panggil gelaran dia sebagai ‘Orang Kaya-kaya Maharajalela Tan Jana Putra Pancung Tak Bertanya’,” ujarnya. Utusan Malaysia Rencana 13 Jun 2015

7 nilai Gagasan 1Malaysia pupuk perpaduan

TIDAK ada perkara lebih penting daripada perpaduan dalam sebuah masyarakat majmuk seperti Malaysia. Ia kini tidaklah berada pada tahap yang unggul.

Bagaimanapun, ia hendaklah diperbaiki supaya keadaannya bertambah lebih baik. Untuk ini, tujuh nilai dalam Gagasan 1Malaysia boleh digunakan sebagai satu lagi cara untuk memupuk dan seterusnya melestarikan perpaduan erat di negara ini.

Ia terdiri daripada penerimaan, integriti, kerjasama, tanggungjawab, patriotisme, kesetiaan dan hormat-menghormati, tidak boleh sesekali dipandang enteng.

Untuk perpaduan, semua nilai ini hendaklah digemblengkan untuk membentuk sikap positif, bagi mewujudkan keadaan harmoni yang lebih baik di negara ini, khususnya di Semenanjung.

Hubungan antara etnik

Kerencaman yang tinggi di Sabah dan Sarawak tidak sesekali membantut hubungan erat antara puluhan etnik. Dalam hal ini, etnik yang banyak itu didapati boleh hidup dalam keadaan sangat harmoni.

Ini berlainan dengan Semenanjung yang hanya memiliki tiga etnik, tetapi tidak mampu memperlihat wujudnya keadaan harmoni yang baik. Nampaknya, kerencaman ini bersifat subjektif.

Kadar tinggi sepatutnya memperlihat kerumitan dalam soal pengurusan, tetapi sebaliknya, angka kecil pula yang mempamerkan keadaan yang sulit.

Sehubungan ini, pembudayaan tujuh nilai ini diharapkan bukan saja boleh menghasilkan kesudahan positif, tetapi yang bestari pula sifatnya.

Semua tujuh nilai ini mempunyai kelebihan tersendiri apabila dihemati untuk dihayati, sama ada secara berasingan mahupun semua.

Nilai pertama, iaitu penerimaan menganjurkan persetujuan rakyat kepada semua perkara yang diperkenan bersama. Antara yang terpenting ialah perhatian serius semua etnik kepada pengurusan masyarakat majmuk yang baik.

Tanggungjawab sebagai nilai lain adalah kewajipan rakyat untuk memastikan semua yang dipersetujui bersama itu, dilaksanakan secara kolektif.

Ini memerlukan peranan semua etnik untuk bukan saja melangsaikan bahagian masing-masing, malah juga membantu etnik lain yang menghadapi masalah.

Kerjasama pula menganjurkan persefahaman semua etnik dalam melakukan sesuatu yang nasional sifatnya, misalnya dalam membangunkan negara.

Dalam hal ini, sokongan padu semua etnik penting. Tanpa semangat muafakat ini, ia sebagai isyarat wujudnya konflik antara etnik.

Terap nilai murni

Integriti pula adalah pemilikan prinsip akhlak yang kuat. Ia juga menganjurkan perwatakan yang baik. Melalui nilai ini, rakyat dididik untuk menjadi lebih jujur dan amanah.

Integriti walaupun selalu dihubungkaitkan dengan pelbagai prinsip moral yang baik, juga sesekali dikaitkan dengan keutuhan, yakni keadaan tidak berpecah-belah.

Jadi, melalui nilai integrasi ini, rakyat dianjurkan agar sentiasa jujur dan bersatu. Nilai saling menghormati sebenarnya mempunyai kaitan rapat dengan nilai integriti.

Dua nilai ini menganjurkan kelakuan baik. Dalam konteks ini, rakyat dididik untuk berlaku baik terhadap etnik lain.

Kesalingan tindakan ini bukan saja boleh membawa kepada keadaan menghargai etnik lain, ia juga menganjurkan pengamalan perasaan timbang rasa terhadap etnik lain.

Selain perasaan menghargai dan timbang rasa ini, nilai hormat-menghormati juga mengajar rakyat mematuhi segala yang ditetapkan setelah dipersetujui bersama.

Antara yang terpenting di sini ialah Kontrak Sosial atau lebih tepat lagi Perjanjian Etnik ketika mencapai kemerdekaan.

Patriotisme dan kesetiaan adalah dua nilai yang selebihnya, boleh dicantumkan menjadi satu. Patriotisme sebagai yang pertama boleh bermula dengan perasaan bangga dan sayang kepada negara.

Apabila kedua-dua ini sudah mantap, ia pasti diikuti dengan kesetiaan, iaitu sifat memberi sokongan yang padu, yakni tidak berbelah bahagi kepada negara.

Jati diri kebangsaan

Dengan ada nilai patriotisme dan kesetiaan dalam kalangan rakyat, kita dapat melihat bahawa rakyat yang bukan saja memiliki jati diri kebangsaan yang kental, juga akan mempamerkan keterikatan yang sasa kepada negara.

Dengan terterapnya semua tujuh nilai dalam Gagasan 1Malaysia ini dan dengan jayanya pula dalam kehidupan rakyat, diharapkan golongan muda khususnya, akan memperlihat semangat bersatu yang lebih padu.

Ia yang wujud dalam bentuk pemikiran dan tingkah laku akan melahirkan rakyat yang bukan saja lebih memahami antara satu sama lain, tetapi juga yang lebih menyayangi sesama sendiri tanpa mengira etnik.

Inilah yang sebenarnya ingin dicapai Gagasan 1Malaysia menerusi tujuh nilai itu.
Teo Kok Seong Berita Harian Kolumnis 11 Jun 2015

Pemimpin, dasar baharu ikut perubahan zaman

SETIAP yang sudah dianggap lama perlu diganti baharu. Tidak kira sama ada ia sejenis alat, pekakasan, kenderaan, pakaian dan sebagainya.

Perubahan juga tidak terbatas kepada manusia, khasnya perkhidmatan seseorang, kerana tidak ada orang yang kekal selama-lamanya.

Dalam perkhidmatan kerajaan dan swasta, mereka yang menjawat sesuatu jawatan silih berganti atas beberapa sebab. Bak kata pepatah, patah tumbuh, hilang berganti.

Bagaimanapun, tidak semua perkara boleh ditukar dengan yang baharu dengan mudah. Jika ia barang perhiasan atau apa juga objek yang disimpan untuk sesuatu tujuan, ia terus dikekalkan atas alasan menjadi barang antik yang nilainya mungkin berlipat kali ganda berbanding sejak ia dimiliki.

Jika ia kenderaan lama, ia perlu ditukar disebabkan sudah mengalami pelbagai masalah selain ketinggalan zaman. Kereta lama perlu ditukar kepada kereta baharu untuk kemudahan dan keselesaan untuk mengelakkan tersadai di tepi jalan.

Lagi pun, teknologi automotif berubah begitu pantas. Ramai juga yang bertukar kenderaan disebabkan perubahan model yang kian menarik. Ini adalah strategi pengeluar kenderaan yang bersaing di pasaran.

Dalam dunia teknologi hari ini, ramai individu yang menukar telefon bimbit atau telefon selular baharu setiap kali model baharu diperkenalkan.

Hari ini boleh dikatakan setiap remaja dan orang dewasa memiliki telefon bimbit. Mereka sanggup berhutang untuk memilikinya. Bagi mereka, telefon lama tidak sesuai lagi.

Ada juga yang mengekalkan telefon lama sama ada kerana sudah selesa dengan cara penggunaannya atau takut kepada perubahan.

Setiap kali menjelang hari kebesaran pula, khasnya Aidilfitri yang akan menjelma tidak lama lagi, ramai yang sudah merancang untuk menukar kerusi meja, langsir dan perkakas rumah yang baharu bagi memeriahkan suasana.

Penukaran ini dibuat walaupun tidak ada keperluan mendadak kerana semuanya masih cantik. Tetapi atas dasar mempunyai kemampuan, ia tetap diganti sekadar memenuhi naluri hati.

PAS tukar ramai pemimpin

Walaupun ia bukan suatu kemestian, lazimnya ia sekadar memenuhi syarat untuk menyambut sesuatu perayaan. Cuma, isteri yang sudah lama, tidak boleh diganti baharu dengan sewenang-wenangnya, melainkan atas alasan kukuh dan dibenarkan agama.

Dalam pemilihan jawatankuasa PAS pada Muktamar Tahunan PAS ke-61 minggu lalu, PAS juga menukar ramai pemimpinnya. Pertukaran berlaku atas pelbagai sebab yang ditentukan oleh perwakilan.

Ada yang membuat keputusan disebabkan mahukan perubahan, ada disebabkan kerana kecewa dengan kepemimpinan seseorang dan sebagainya.

Biasanya, perubahan dalam organisasi akan membawa kepada perubahan dasar dan corak pentadbiran. Dalam konteks PAS, walaupun parti itu menukar ramai pemimpinnya, ketua nombor satu masih kekal.

Pimpinan baharu yang dipilih juga adalah orang yang sudah lama dalam parti yang sebelum ini juga memegang jawatan tertentu dalam parti.

Dalam konteks semasa, PAS kini jelas dikuasai golongan ulama berbanding barisan pimpinan sebelum ini yang turut dibarisi golongan yang disebut Anwarinas.

Oleh itu, sama ada dasar parti akan kekal atau berubah banyak bergantung kepada ketegasan keputusan presidennya. Jika beliau akur dengan desakan daripada pimpinan lain dalam saf pimpinannya, dasar parti mungkin berubah.

Hampir pasti, pimpinan PAS yang baharu tegas dengan keputusan untuk memutuskan hubungannya dalam Pakatan Rakyat. Sama ada selepas ini PAS akan duduk semeja dengan UMNO hanya boleh berlaku jika ia sanggup mengubah atau bertolak ansur terhadap dasar PAS yang selama ini menolak semangat nasionalisme yang diungguli UMNO.

Dasar kerajaan berubah

Dalam sistem pentadbiran kerajaan juga, sudah banyak perubahan berlaku, ibarat ombak melanda pantai, pasir akan berubah.

Jika pada zaman pentadbiran Almarhum Tunku Abdul Rahman, pejabat Perdana Menteri hanya terletak dalam sebuah bangunan yang sederhana di Kuala Lumpur, hari ini pejabat Perdana Menteri tersergam indah dan lengkap dengan segala kemudahan di Putrajaya.

Jika dulu, Kerajaan Malaysia hanya ditadbir oleh beberapa kementerian, hari ini mencecah 30 kementerian berikutan pertambahan tugas dan masalah.

Jika dulu perjalanan dari sebuah negeri ke negeri mengambil masa yang panjang, hari ini dengan ada lebuh raya, perjalanan menjadi dekat.

Begitu juga dengan segala kemudahan lain yang dinikmati oleh rakyat di negara ini, dilakukan bertali arus daripada pentadbiran seorang perdana menteri kepada perdana menteri yang lain.

Sama ada sedar atau tidak, negara ini juga sudah melakukan begitu banyak perubahan dasar yang digunakan untuk mengurus dan mentadbirkan negara.

Dasar yang tidak lagi sesuai dengan zamannya akan ditukar kepada dasar yang baharu oleh kerajaan yang mentadbir pada ketika itu. Dasar Ekonomi Baru (DEB) umpamanya tidak kekal selamanya berikutan perubahan dan suasana semasa.

Dasar Pendidikan juga mengalami beberapa perubahan dan beberapa dasar baharu diperkenalkan, begitu juga dengan dasar yang dirumuskan pada peringkat kementerian yang sentiasa berubah apabila ada keperluan mengenainya.

Bagaimanapun, dasar yang membabitkan soal kedaulatan, maruah, keselamatan dan sebagainya terus dipertahankan. Mior Kamarul Shahid Berita Harian Kolumnis 12 Jun 2015

PERMATA pintar pusat pelajar genius

DITAWARKAN menyambung pengajian di universiti terkemuka dunia seperti Universiti Cambridge, United Kingdom dan Universiti Boston, Amerika Syarikat pada usia mencecah 15 tahun mungkin agak mustahil, terutama bagi pelajar menengah di sekolah biasa.

Bagaimanapun, perkara itu tidak sukar bagi pelajar pintar yang terpilih dari seluruh negara menerusi sistem pembelajaran di Pusat PERMATApintar Negara (PERMATApintar), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Berbeza dengan sistem pendidikan menengah biasa, subjek seperti robotik, kriptologi, bioteknologi, astrofizik, sains penerbangan, lokasi penyiasatan jenayah, pengenalan kepada penyakit, kebarangkalian dan teori permainan, matematik untuk alam semesta dan fizik tambahan, adalah antara mata pelajaran yang diperkenalkan di PERMATA pintar.


PELAJAR Pusat PERMATA pintar didedahkan kepada pemahaman dan menganalisis sesuatu subjek. - Foto Kamarulzaman Ariffin

Mencari pelajar pintar atau genius bukan perkara mudah. Kajian Barat menunjukkan sekurang-kurangnya ada seorang kanak-kanak berbakat dan pintar bagi setiap 10,000 kanak-kanak.

Di negara ini, dengan kira-kira 3.5 juta kanak-kanak berusia antara sembilan hingga 15 tahun, secara teorinya dianggarkan ada kira-kira 350,000 kanak-kanak berbakat dan pintar di negara ini.

Sistem pendidikan formal ketika ini mampu memenuhi keperluan kebanyakan pelajar, tetapi ia tidak semestinya mampu memenuhi keperluan mereka yang pintar.

Akhirnya ada dalam kalangan pelajar ini yang tidak mampu mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan persekolahan, lebih malang ada juga yang keciciran dalam pelajaran.


PUSAT PERMATA pintar Negara di UKM, Bangi.

Dilancarkan sejak tahun 2009

Program PERMATA pintar diilhamkan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, dibangunkan dengan kerjasama UKM, yang diberi mandat untuk membangun, melaksana dan memantau pelaksanaan program yang dilancarkan pada tahun 2009.

Pengarah Pusat PERMATA pintar, Prof Datuk Dr Noriah Mohd Ishak, berkata program itu dimulakan dengan program kem cuti sekolah.

"Saya masih ingat pada tahun 2008, kami masuk kampung dan kawasan pedalaman untuk mencari pelajar genius. Selepas itu, kami mewujudkan sistem ujian secara tiga peringkat untuk memilih pelajar yang benar-benar pintar secara dalam talian dan peperiksaan di lokasi yang ditetapkan.

"Mengikut kajian kepintaran atau genius individu, sebanyak 32 hingga 58 peratus diperoleh menerusi genetik, selebihnya daripada persekitaran termasuk pemakanan dan pembelajaran," katanya.

Hampir semua negara jiran sudah lama mempunyai sekolah untuk pelajar pintar. Di Thailand misalnya, Sekolah Mahidol Wittayanusorn, Thailand, khusus untuk pelajar pintar sains dan matematik yang dibina dengan kerjasama Universiti Mahidol dan sudah beroperasi sejak 25 tahun lalu.

Di Vietnam, ada 32 sekolah pintar, termasuk Sekolah Tinggi VNU-HCM yang ditubuhkan dengan kerjasama Vietnam National University sejak tahun 1996.

Disebabkan sekolah seumpama ini kali pertama dibangun dan dibina di negara ini, Dr Noriah sendiri sanggup berkorban melanjutkan pengajian dalam Diploma Lanjutan Perguruan di Universiti New South Wales pada tahun 2010 untuk mendalami cara latihan dan pengajaran pelajar pintar dan beliau kembali untuk turut melatih guru sekolah itu.

"Antara cabaran mewujudkan sekolah pintar ini adalah untuk membina kurikulum baharu yang belum ada di negara ini. Justeru, kajian dilakukan terhadap kurikulum pendidikan dunia sedia ada termasuk Cambridge ICGSE, International Baccalaureate (IB), Advance Placement Amerika Syarikat, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan National Gifted School di Singapura," katanya.

Di sini, katanya, pelajar turut didedahkan dengan proses pembelajaran global, termasuk menyertai pertandingan dan bengkel di luar negara.

"Kita mahu masyarakat tahu yang pelajar genius ini bukannya pelajar cemerlang yang mendapat semua A dalam subjek yang diambil.

Bagi pelajar pintar ini, mereka lebih cenderung kepada pemahaman dan menganalisis sesuatu subjek," katanya.

Katanya, hampir 50 peratus pelajar di pusat ini adalah anak orang kampung dan keluarga miskin serta berpendapatan rendah.

"Kami ada pelajar pintar dari Bario dan Lubok Antu, Sarawak. Ada seorang pelajar yang kami terpaksa belikan tiket penerbangan dan beri ibu bapa beliau wang saku kerana tidak mampu menghantar anak ke lapangan terbang untuk ke sini.

Pelajar itu sampai sini hanya memakai selipar jepun tetapi kini berjaya melanjutkan pengajian ke luar negara," katanya.


PELAJAR dipimpin guru terlatih dan berpengalaman.

Bantu pelajar susah

Katanya, ada seorang pelajar dari Tawau yang ibunya pada peringkat awal terpaksa menolak tawaran untuk anaknya ke pusat ini kerana tiada wang.

Tetapi akhirnya membenarkan anaknya melanjutkan pelajaran selepas pihaknya membantu membayarkan tambang bas ke bandar Tawau dan tiket ke Kuala Lumpur.

"Ibu bapa terutama dari pedalaman dan luar bandar tidak menolak untuk membenarkan anak mereka melanjutkan pengajian kerana tahu dengan pendidikan dapat mengeluarkan keluarga mereka daripada kemiskinan," katanya yang turut mempunyai pelajar autisme genius dan kini menunggu untuk memasuki UKM bagi program Ijazah Sarjana Muda Sains Politik.

Sehingga kini, seramai 366 pelajar sudah berjaya menamatkan pengajian di PERMATApintar dan berada di menara gading di dalam dan luar negara pada usia masih muda.

Kos perbelanjaan seorang pelajar mencecah RM45,000 setahun dan ibu bapa hanya membayar RM1,500. Tetapi bagi pelajar yang tidak mampu, Yayasan Permata akan menawarkan biasiswa.

Pendidikan tingkat ekonomi, sosial negara

UNIVERSITI yang menawarkan pendidikan berkualiti tinggi akan membentuk kitaran positif dalam aspek ekonomi dan sosial. Institusi pendidikan di negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Jerman, Jepun dan Korea Selatan berjaya menghasilkan pelbagai teknologi hasil penyelidikannya.

Teknologi itu akhirnya digunakan oleh industri untuk pasaran tempatan atau global. Pulangannya dalam bentuk keuntungan atau dana akan diberikan kepada universiti semula.

Kitaran ini harus diteladani oleh institusi di Malaysia. Dalam Quacquarelli Symonds (QS) University Rankings: Asia 2015 yang diterbitkan Selasa lalu, 17 universiti negara ini menunjukkan peningkatan anak tangga.



KECEMERLANGAN pelajar UM turut membantu peningkatan taraf universiti itu pada peringkat antarabangsa. - Foto hiasan
Universiti Malaya (UM) berada dalam kelompok 30 Terbaik Asia apabila menduduki tangga ke-29 berbanding ke-32, tahun lalu.

Beberapa universiti di Korea Selatan berada dalam kedudukan 10 teratas walaupun kedudukan utama didominasi oleh institusi dari Singapura dan Hong Kong. Sebahagian besar universiti di Jepun juga menduduki tangga 100 teratas.



Budaya kerja sistematik

Institusi di Jepun tidak banyak menarik kemasukan pelajar antarabangsa tetapi menerima dana yang besar untuk penyelidikan.

Budaya kerja yang sistematik dan tumpuan terhadap pendidikan tinggi yang sejak berdekad-dekad lalu membuahkan hasil kepada negara berkenaan.

Tugas pentadbiran universiti di negara ini sekarang ialah untuk menjadi lebih baik seperti peningkatan secara konsisten yang ditunjukkan oleh Universiti Nasional Singapura atau University of Hong Kong, atau kita harus mengejar institusi di Korea Selatan dan Jepun.

Kita mempunyai Dasar Pandang ke Timur 2.0 dan mesti menyusun strategi untuk universiti kita duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan institusi di Jepun atau Korea Selatan.

Malaysia juga mempunyai ramai pensyarah lulusan universiti terkemuka dunia. Mereka seharusnya diberi peranan besar untuk menjalin hubungan rapat dengan Cambridge University, Imperial College London, Stamford University atau University of Tokyo.

Kedudukan Malaysia dalam wilayah Tropika seharusnya digunakan untuk bekerjasama dengan institusi di wilayah lain. Presiden, Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Ahmad Ismail, berkata dalam bidang biodiversiti tropika, Malaysia di kedudukan baik pada pandangan antarabangsa tetapi penyelidikan dalam bidang berkenaan belum diteroka secara meluas.

"Untuk menarik pakar luar bekerja dengan kita, Malaysia mesti mempunyai kualiti yang mereka percaya dan terima," katanya.

Beliau turut mencadangkan profesor di negara ini perlu diberi penarafan berasaskan kepakaran dalam pengajaran, penyeliaan, penyelidikan, memimpin penyelidikan, perancangan masa depan, penerbitan, kerjasama antarabangsa, pemindahan maklumat kepada masyarakat dan pengalaman pentadbiran.

"Penarafan ini akan menggalakkan profesor untuk lebih aktif pada peringkat antarabangsa sehingga dikenali oleh rakan sebidang," katanya.

Universiti tempatan menunjukkan kedudukan yang berbeza-beza dalam penarafan agensi lain seperti oleh Times Higher Education atau Webmotectrics Ranking of World Universities kerana pemberatannya tidak sama.




UNIVERSITI Malaya berjaya melahirkan pelajar berkemahiran hasil daripada proses pembelajaran yang berkualiti. - Foto hiasan

Capai hasrat jadi hab pendidikan

Penarafan universiti penting untuk memberi persepsi positif bagi menarik kedatangan pelajar luar ke negara ini.

Kedudukan yang lebih baik akan membuka mata pelajar dan pensyarah antarabangsa untuk datang ke Malaysia.

Penyediaan geran penyelidikan yang besar pula dapat 'mengumpan' pensyarah asing untuk berkhidmat di negara ini.

Kedua-dua faktor itu diambil kira di dalam kebanyakan agensi yang membuat penarafan universiti dan aspek ini dapat menjayakan hasrat negara untuk menjadi hab pendidikan tinggi serantau.

Kedudukan yang baik oleh agensi penilai akan memberi persepsi yang tinggi pada kaca mata pelajar.

Pada masa sama, pentadbiran universiti perlu lebih agresif untuk meningkatkan kualiti pendidikan di institusi masing-masing.

Aspek kebebasan akademik juga perlu diambil kira kerana ini akan membuka ruang perbincangan dan idea baharu.

Walaupun tiada kebebasan mutlak, ahli akademik dan pelajar mesti diberi ruang yang lebih besar untuk berbicara dan mengkaji.

Universiti tempatan haruslah mempunyai sistem untuk mencetuskan kerjasama dan mencontohi bidang penting untuk mendapat penarafan tinggi. Kita tidak boleh mempertahan birokrasi dan momentum lama.

Terpulang kepada kebijaksanaan pentadbiran universiti untuk menyusun strategik seterusnya kerana universiti di negara lain tidak pernah berdiam diri.