June 23rd, 2015

Ranking universiti awam terus meningkat

KUALA LUMPUR 22 Jun – Sistem pendidikan tinggi negara terus cemerlang apabila kajian oleh agensi penarafan universiti antarabangsa, Thomson Reuters bagi kategori subjek mendapati bidang Sains Alam Sekitar yang ditawarkan di Universiti Sains Malaysia (USM) dan Pengajian Pembangunan di Universiti Malaya (UM) menduduki ranking ke-31 dan 32 dunia iaitu setaraf dengan 50 universiti terbaik dunia.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, berdasarkan keputusan penarafan terbaharu QS Ranking Asia pula, UM telah melonjak daripada tangga ke-32 kepada 29, USM meningkat daripada kedudukan 57 ke 49, manakala Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) masing-masing melonjak daripada kedudukan 66 kepada 61 dan 76 kepada 66.

Idris berkata, peningkatan ke­dudukan universiti-universiti awam itu menunjukkan kualiti pendidikan di Malaysia semakin baik dan dengan adanya Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) atau PPPM (PT) 2015-2025, sistem pendidikan negara dijangka menjadi rujukan pelajar asing dalam tempoh bebe­rapa tahun lagi.

“Saya yakin dengan usaha-usaha yang dilaksanakan dan pe­ningkatan yang telah ditunjukkan melalui penyelidikan, penerbitan, ranking berdasarkan subjek dan kedudukan Asia, prestasi pendidikan negara akan terus meningkat ke tahap yang terbaik,” katanya dalam jawapan kepada soalan Se­nator Tan Sri Dr. Ibrahim Shah Abu Shah di Dewan Negara hari ini.

Ibrahim Shah memohon penje­lasan daripada kerajaan tentang langkah-langkah dan inisiatif yang diambil bagi meningkatkan kedudukan universiti awam dalam kalangan universiti di dunia.

Menurut Idris, hasil kajian oleh Thomson Reuters turut mengiktiraf empat profesor tempatan sebagai Minda Saintifik Paling Berpengaruh, manakala daripada segi penerbitan, pada tahun 2010, Malaysia telah mengatasi Singapura selain penerbitan perbankan Islam oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang diiktiraf terbaik di dunia.

“Menyedari tentang potensi universiti awam untuk melonjakkan pencapaian dalam aspek ranking, pelbagai usaha dan inisiatif telah diambil dalam memperbaiki dan memperkukuh kedudukan bagi menarik minat pelajar asing serta pensyarah terbaik dunia datang ke Malaysia.

“Kerajaan turut memperkasa Rangkaian Kajian Universiti Malaysia (MRUN) secara kolektif bagi mengenal pasti kekuatan masing-masing dan saling melengkapi dalam pelbagai bidang,” jelasnya. - Utusan Malaysia Rencana 23 Jun 2015

Biar pakar buat ulasan ~ Mengulas sesuka hati melanggar prinsip kesarjanaan, dosa fitnah

Sikap seorang ilmuwan atau cendekiawan walaupun memegang jawatan pentadbiran sewajarnya konsisten untuk hanya mengulas sesuatu isu yang berkait dengan bidang atau kepakaran mereka sahaja.

Tindakan memberi ulasan di atas sesuatu isu yang bukan daripada kepakaran mahupun bidang mereka sendiri tidak sahaja menyalahi prinsip kesarjanaan, bahkan boleh membawa kepada dosa fitnah apabila disebarkan secara meluas melalui pelbagai bentuk media sosial.

Kelihatannya, di atas tiket kebebasan bersuara yang diberikan oleh kerajaan semasa, ramai pula cendikiawan, ahli agama serta tokoh berpengaruh menggunakan kebebasan ini untuk bercakap dan mengulas secara semberono di atas topik yang bukan daripada kepakaran mereka sendiri.

Sungguhpun mereka memiliki hak itu sebagai seorang rakyat, tetapi prinsip seorang ilmuwan yang hanya bercakap dan memberi justifikasi di dalam bidang yang dikuasainya, selain disahkan benar dan berintegriti semata-mata sewajarnya tidak ditolak tepi.

Jika tidak, apalah beza kualiti hujah mereka berbanding kualiti perdebatan kedai kopi?

Walaupun isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (CBP) adalah isu yang menyentuh secara langsung kepentingan rakyat dan seterusnya mewajarkan setiap individu daripada pelbagai latar belakang untuk memberi pandangan, ia tidak bermakna mereka juga diberi ruang untuk memanipulasi fakta mahupun memberi ulasan berdasarkan andaian semata-mata.

Tidak sahaja berasaskan kehendak agama, bahkan undang-undang serta prinsip kemanusiaan itu sendiri pun sememangnya mengajar kita untuk menghukum secara adil untuk sesuatu isu.

Seorang cendekiawan sewajarnya memberi ulasan yang lebih adil berbanding mengutamakan ulasan yang popular.

Contohnya, meminta cukai CBP dihapuskan mungkin satu keputusan yang popular, tetapi ia tidak semestinya bermaksud satu tindakan yang tepat juga.

Berbanding meminta cukai dihapuskan, adalah lebih jujur untuk seorang cendikiawan mempengaruhi rakyat agar berfikir dengan lebih kritikal bagaimana harga barangan dengan cukai 6 peratus menjadi lebih mahal berbanding barangan dengan cukai 10 peratus di pasaran.

Apakah ia kesilapan pada sistem cukai itu sendiri atau sebenarnya melibatkan manipulasi pihak tertentu di dalam rantaian bekalan itu?

Begitu juga dalam konteks 1Malaysia Developement Berhad (1MDB).

Ramai sebenarnya hari ini yang sibuk mengulas pasal 1MDB dengan bersumberkan input daripada pihak ketiga.

Bahkan, kata-kata serta pandangan diberikan mereka jika diperhatikan adalah bulat-bulat diambil daripada pihak ketiga.

Mereka juga sebenarnya mungkin tidak pernah pun melayari laman web syarikat pembangunan strategik itu.

Sejauhmanakah sebenarnya mereka memiliki pengetahuan berhubung aspek pengurusan dan model perniagaan 1MDB serta dunia perniagaan korporat keseluruhannya?

Adakah mereka sebenarnya orang yang layak mengulas secara adil dalam isu ini?

Selain itu, banyak komen mendakwa Menteri Kewangan tidak menjawab isu 1MDB, tetapi jika benarpun begitu, adakah ia memberi lesen kepada pihak lain untuk memberikan justifikasi berasaskan andaian semata-mata?

Walaupun sentimen politik mengiktiraf persepsi sebagai faktor yang penting untuk memainkan isu, ia sama sekali tidak menjadikan perbuatan yang salah sebagai betul pula dari sudut agama dan kemanusiaan.

Mudahnya, tidak memberi jawapan tidaklah bermaksud memberi jawapan yang salah.

Berasaskan sikap yang sama, anak syarikat Tabung Haji, TH Properties kini pula menjadi mangsa.

Atas desakan serta pengaruh daripada mereka yang tidak boleh membezakan antara keputusan strategik perniagaan dengan keputusan politik yang penuh dengan curiga, akhirnya firma itu terpaksa membuat keputusan yang merugikan aset serta pelabur mereka.

Begitulah jadinya apabila mereka yang tidak memiliki kredibiliti cuba bercakap dalam sesuatu isu yang bukan daripada kepakaran mereka.

Sesetengah agamawan pula menyandarkan sifat keluasan Islam itu sendiri bagi membolehkan mereka bercakap dalam isu yang bukan dikuasai mereka.

Kata mereka, Islam merangkumi segenap aspek kehidupan, justeru mereka boleh bercakap apa sahaja yang mereka gemari atas nama Islam itu luas.

Seorang cendekiawan agama yang memegang jawatan kanan pentadbiran agama di sebuah negeri baru-baru ini meluahkan rasa kecewanya di atas keputusan TH Properties yang membeli tanah di Tun Razak Exchange (TRX).

Soalnya, di atas justifikasi apakah kekecewaan itu? Adakah hanya kerana TRX mempunyai kaitan dengan 1MDB?

Semudah itukah penilaian seorang tokoh agama?

Adakah cara sebegini diajar oleh mana-mana agama?  - Pengemis Soh, Bangsar, Kuala Lumpur. Utusan Malaysia Rencana 23 Jun 2015