June 27th, 2015

Pertanian moden lenyapkan bahasa kerbau

KUALA LUMPUR: Percayakah anda bahawa kerbau adalah binatang yang memahami arahan lisan pengembala atau tuannya? Sesungguhnya ia adalah satu fakta dalam kegiatan persawahan tradisional tetapi bahasa kerbau kini hampir tidak kedengaran lagi.

Walaupun kerbau tidak boleh bertutur tetapi setiap arahan lisan pesawah atau pengembalanya difahami serta dipatuhi. Suatu ketika dahulu kerbau dan sawah begitu sinonim malah ada yang beranggapan tanpa kerbau, sawah akan mati atau tidak dapat dikerjakan.

Tugas utama kerbau dalam kegiatan persawahan termasuk menarik pembajak dan beberapa peralatan lain seperti penyisir dan tenggiling.



Kerbau juga digunakan bagi menarik batang pisang untuk kerja-kerja membadai atau meratakan tapak semaian padi.

Pastinya semua tugas itu tidak mampu dilaksanakan secara mudah dengan hanya bergantung kepada kudrat manusia.

Bahasa kerbau

Kerana sinonimnya kerbau dan sawah, para pesawah menjadikan binatang itu sebagai rakan setugas dan mempelajari bahasa kerbau sebagai kaedah berkomunikasi.

Antara sebutan bahasa kerbau yang sering digunakan ialah "Ha'ihh" bagi menyuruh kerbau berjalan ke hadapan sambil menarik bajak, penyisir, tenggiling dan yang lain.

Untuk mengarahkan binatang itu membelok ke kanan disebut "paling chah" atau "chah nuu" dan jika disebut "paling sok" kerbau akan membelok ke kiri.

Bagi memberhentikan pergerakan kerbau, pesawah akan menyebut "diam" dan dengan segera binatang itu berhenti.

Jika pesawah mahu kerbau itu berjalan secara berundur, beliau perlu menyebut perkataan "serot atau seghoot" dan haiwan itu akan berundur.

Arahan menggunakan bahasa kerbau itu perlu kuat dan lantang supaya ia didengari dengan jelas oleh binatang peliharaan itu.

Ada dalam kalangan petani yang membawa ranting kayu bagi memukul bahagian punggung kerbau jika binatang itu bersikap degil dan enggan menurut arahan.

Bahasa kerbau ibarat kawalan gear



Bekas seorang pesawah tradisional, Dahaman Hamid, 73, berkata bahasa kerbau ibarat kawalan gear bagi jentera pembajak.

Walaupun bahasanya agak terbatas namun seperti jentera pembajak, arahan lisan itu lebih bertumpu kepada pergerakan hadapan, undur, membelok dan berhenti.

Dahaman yang menetap di Yan, Kedah berkata, dia mempelajari bahasa kerbau daripada para pesawah lain dan tidak menghadapi sebarang masalah ketika mengendalikan binatang itu.

Mungkin ada lagi sebutan lain tetapi tidak digunakan kerana biasanya kerbau hanya digunakan kudratnya untuk membajak dan bahasa arahan itu adalah memadai.

Bahasa kerbau juga bukan sahaja digunakan oleh para pesawah di negara ini malah di Thailand. Walaupun peranan kerbau begitu penting dalam kerja-kerja di sawah namun kini binatang perkasa itu hampir tidak kelihatan lagi ketika industri padi memasuki fasa pemodenan sejak berdekad lalu.

Tugas penting kerbau dalam kegiatan pembajakan sejak sekian lama kini diambil alih oleh jentera pembajak menjadikan tugas pesawah semakin mudah. Kerbau telah direhatkan sepenuhnya di pinggir sawah dan binatang itu hanya menyaksikan jentera pembajak yang lebih pantas bergerak itu sambil meratah tanah.

Penggunaan jentera pembajak

Mohd Jan Mat Rani, 59, seorang pesawah di Perlis berkata, dia pernah mengendalikan jentera pembajak ketika ia mula diperkenalkan lebih 40 tahun lalu.

Ketika itu, jentera pembajak beroda dua yang digunakan oleh pesawah di Perlis sering dikenali sebagai "kerbau buta".

Jentera itu dinamakan demikian mungkin disebabkan kegiatan membajak begitu sinonim dengan kerbau.




Mungkin juga kebanyakan jentera pembajak yang digunakan ketika itu berjenama "Kubota" lalu disebut sebagai kerbau buta.

Bagaimanapun kehadiran jentera itu menyebabkan bahasa kerbau semakin hilang sebagaimana lenyapnya kerbau akibat bermulanya era persawahan moden.

Ketika kerbau tidak lagi diperlukan untuk kerja persawahan, kebanyakan binatang itu dijual dan ada yang disembelih.

Walaupun peranan kerbau telah dipinggirkan namun khidmat bakti binatang itu tetap terlakar dalam sejarah persawahan tradisional.

Penarik anok

Selain kegiatan pembajakan, kerbau juga berperanan dalam tugas-tugas lain termasuk menjadi penarik anok, sejenis alat yang digunakan bagi mengangkut padi dan barangan lain.

Biasanya anok tidak mempunyai roda tetapi yang mempunyai roda lebih dikenali sebagai kereta kerbau kerana ia juga ditarik oleh binatang itu.

Kereta kerbau bukan sahaja membawa penumpang tetapi juga membawa barangan. Kudrat kerbau juga digunakan bagi kegiatan memerah tebu menggunakan mesin yang diperbuat daripada kayu.




Kerbau akan menarik pemegang alat pemerah tebu dengan berjalan mengelilingi alat berkenaan sehingga himpunan tebu itu dapat diperah.

Suatu ketika dahulu, kegiatan menunggang kerbau juga adalah perkara biasa di kawasan kampung kerana binatang itu lasak dan tidak memerlukan laluan yang sempurna untuk bergerak.

Bagaimanapun penunggang kerbau perlu terlatih mengimbangi badannya supaya tidak tergelincir dan jatuh ketika kerbau bergerak terutama ketika melalui kawasan parit.

Laga kerbau

Pada zaman silam juga, kerbau pernah digunakan bagi tujuan hiburan termasuk kegiatan laga kerbau selepas musim menuai.

Acara laga kerbau berlangsung di gelanggang khas yang diwujudkan di kawasan kampung dan ia bagaikan pesta apabila orang ramai berkumpul bagi menyaksikan kerbau yang bakal menjadi juara.

Bagi negeri Perlis, acara laga kerbau turut diiringi dengan persembahan Gendang Perlis yang dimainkan di atas tempat khas di atas pokok di pinggir gelanggang.

Persembahan Gendang Perlis biasanya membabitkan dua gendang tanpa serunai dan dimainkan secara berterusan hingga acara laga kerbau berakhir.

Sesungguhnya kerbau berperanan luas dalam masyarakat suatu ketika dahulu namun kehebatan silamnya kian dilupakan. Yang pasti peranan kerbau tetap terukir dalam lakaran sejarah pertanian tradisional walaupun kelibatnya jarang kelihatan. - BERNAMA

Survival orang Kanaq dan bilangan orang Kanaq terkecil di dunia

MENELUSURI pinggir Kampung Sungai Selangi, Kota Tinggi di Johor pasti akan menemukan penempatan suku kaum Orang Asli yang dikenali sebagai orang Kanaq. Orang Kanaq merupakan salah satu daripada 18 buah suku yang membentuk kaum Orang Asli di negara ini dan tergolong di dalam kumpulan Melayu Proto, iaitu salah satu daripada tiga kumpulan utama kaum Orang Asli.

Etnik berkenaan dikatakan mempunyai hubungan persaudaraan dengan suku Orang Sengkanak yang tinggal di Pulau Daik, sebuah pulau kecil yang terletak di Kepulauan Riau, Indonesia.

Dengan jumlah penduduk hanya seramai 89 orang daripada 24 buah keluarga, bilangan orang Kanaq itu adalah terlalu kecil jika dibandingkan dengan etnik Orang Asli yang lain di negara ini.

Mengikut kajian, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan suku kaum Orang Asli ini semakin pupus. Antaranya ialah kadar kelahiran yang sangat rendah disebabkan penduduknya mengamalkan perancang keluarga sama ada melalui kaedah tradisional mahupun moden.

Faktor lain adalah amalan berkahwin dalam kelompok mereka menyebabkan etnik ini tidak berkembang dan berpenyakit.

Misalnya, antara tahun 2012 hingga 2013, hanya dua kelahiran dicatatkan tetapi dalam tempoh sama, seorang warga emas meninggal dunia.

Berikutan itu, timbul persoalan mengenai masa depan etnik berkenaan termasuk keberangkalian diancam kepupusan.

Bagi mengenali secara lebih dekat kehidupan orang Kanaq, wartawan S2, MAZNAH MOHD. ARSAD dan AZIZI MAJID serta jurugambar RAJA JAAFAR ALI telah berkunjung ke perkampungan Orang Asli di Kota Tinggi, Johor baru-baru ini.

Kesempatan itu juga digunakan untuk menyelami kehidupan etnik yang terkenal dengan sifat pemalu itu dan melihat sendiri bagaimana orang Kanaq meneruskan 
survival untuk kekal di planet Bumi ini.


Bilangan orang Kanaq terkecil di dunia

TATKALA kaki melangkah masuk ke pinggir Kampung Sungai Selangi, Mawai di Kota Tinggi, Johor, penduduk Orang Asli daripada suku Kanaq memandang tepat ke arah kru S2. Seorang wanita pertengahan usia yang sedang asyik menghisap rokok daun hanya melemparkan senyuman tanpa mengeluarkan kata-kata ketika melihat kami memasuki perkampungan tersebut.



Generasi muda kaum Kanaq sentiasa menghormati generasi lama di penempatan suku kaum Kanaq.

Menyedari kami menuju ke arahnya, wanita berkulit sawo matang itu segera membuang puntung rokoknya dan bergegas masuk ke dalam rumah. Kami difahamkan ia adalah sifat semula jadi kaum wanita Orang Asli Kanaq yang pemalu terhadap orang luar. Mereka akan ‘menyembunyikan’ diri di dalam rumah apabila ada orang luar menjengah kampung mereka.

Dalam pada itu, beberapa wanita lain sekadar memandang kami menerusi tingkap rumah masing-masing, membuatkan kami berasa sedikit janggal.

Tidak jauh dari situ, sekumpulan kanak-kanak lelaki berkaki ayam leka bermain bola sepak di pinggir ladang kelapa sawit dan mereka sedikit pun tidak mempedulikan kehadiran kami.

Bagi Pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) daerah Kota Tinggi, Suhaila Isenin, ‘sambutan’ yang diterima itu bukanlah sesuatu yang asing buat dirinya.

Ini kerana masyarakat Orang Asli sememangnya terkenal dengan sifat pemalu, apatah lagi dengan orang luar yang tidak mereka kenali.



Beberapa orang kanak-kanak kaum Kanaq mandi di Sungai Selangi, Kota Tinggi, Johor -

“Saya dahulu pun ambil masa yang agak lama untuk serasi dengan masyarakat Orang Asli di sini. Tetapi, lama kelamaan baharulah mereka dapat ‘menerima’ saya.

“Mereka bukannya sombong tetapi agak pemalu terutama dengan orang luar,’’ katanya ketika mengiringi kami ke perkampungan Orang Asli itu baru-baru ini.

Suku kaum Orang Asli Kanaq merupakan satu daripada 18 suku kaum Orang Asli yang terdapat di negara ini dan tergolong dalam kumpulan Melayu Proto, iaitu satu daripada tiga kumpulan utama kaum Orang Asli, selain Senoi dan Negrito.

Dengan hanya seramai 89 orang daripada 24 buah keluarga, orang Kanaq menjadi suku kaum Orang Asli paling kecil bilangan penduduknya di dunia berbanding dengan suku kaum Orang Asli lain.

Orang Kanaq berkemungkinan besar mempunyai hubungan persaudaraan dengan suku Orang Sengkanak yang tinggal di Pulau Daik, sebuah pulau kecil yang terletak di Kepulauan Riau, Indonesia.

Mengikut maklumat daripada penduduk tertua di kampung itu, Gagak Lincai dan Achang Bongkok, kira-kira 100 orang Kanaq telah dibawa menaiki tongkang oleh Belanda dari Kepulauan Riau, Indonesia untuk bekerja di ladang dan lada hitam di Sungai Papan, Kota Tinggi pada awal tahun 1758.

Penghijrahan tersebut dibuat kerana keadaan di Riau ketika itu tidak aman memandangkan berlakunya peperangan antara British dan Belanda.



Asmah Tekong menjadikan makan sireh sebagai rutin hariannya

Setelah ladang itu ditutup, mereka berpindah ke Lebak Mincin di kaki Gunung Panti dan membuka penempatan baharu dengan menanam tanaman kontan serta mencari hasil hutan.

Pada 1948, British telah memindahkan orang Kanaq dari Lebak Mincin ke Kampung Sungai Gombak, Selangor kerana ancaman komunis.

Sementara itu, ramai kanak-kanak daripada suku tersebut meninggal dunia kerana penyakit tibi dan penyakit berjangkit lain memandangkan tiada kemudahan rawatan dan ubat-ubatan.

Mengikut bancian ketika itu, jumlah orang Kanaq yang tinggal hanya 40 orang sahaja.

Pada 1953, mereka dipindahkan dari Kampung Sungai Gombak, Selangor ke Kampung Semanggar, Kota Tinggi dan mereka menetap di situ sehingga 1959.

Setelah ancaman komunis berkurangan, orang Kanaq dipindahkan ke Batu 9, Jalan Mawai, Kota Tinggi dan pada 1964, mereka berpindah ke Kampung Sungai Selangi, Kota Tinggi dan menetap di situ sehingga kini.

Kerajaan turut merezabkan tanah seluas 27.580 hektar bagi kawasan kediaman dan pertanian.

Meninjau kehidupan harian masyarakat orang Kanaq, tidak banyak bezanya berbanding dengan suku Orang Asli lain termasuk dalam soal pekerjaan, pendidikan dan juga kebersihan.

Meskipun pelbagai bantuan diberikan oleh pelbagai agensi kerajaan khususnya Jakoa, namun orang Kanaq lebih selesa menjalani kehidupan secara sederhana.

Menurut Pengarah Jakoa Johor, Wan Assin Wan Sheikh, perkampungan Orang Asli itu yang terletak 25 kilometer dari bandar Kota Tinggi mempunyai 23 buah rumah yang dibina menerusi Skim Perumahan Kesejahteraan Rakyat (SPKR).

Ia turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas dan prasarana seperti bekalan air bersih dan elektrik, jalan bertar, surau, balai raya dan tadika.

Menceritakan lanjut mengenai masyarakat orang Kanaq yang hanya terdapat di Johor, Wan Assin berkata, kebanyakan daripada mereka bergantung hidup dengan menangkap ikan, mencari hasil hutan dan bekerja di ladang kelapa sawit.

“Sebagaimana suku Orang Asli lain, orang Kanaq ini sangat pemalu, cuba mengelak daripada bertemu orang luar dan lebih gemar bergaul dalam lingkungan mereka sahaja.

“Mereka juga lebih selesa dengan cara hidup nenek moyang mereka. Sebab itulah, mereka masih ketinggalan dalam beberapa aspek kehidupan,’’ katanya.

Wan Assin memberitahu, anak-anak orang Kanaq bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Mawai dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Aping Barat di Kota Tinggi.

Bagaimanapun, katanya, aspek pendidikan kurang dititikberatkan oleh ibu bapa hingga kadar keciciran pelajar Orang Asli itu di sekolah adalah tinggi.

“Kita mahu kehidupan orang Kanaq berubah. Justeru, bagi mengatasinya, perlu ada program khusus untuk membangunkan kaum Orang Asli ini secara berfokus.

“Jakoa sendiri ada berbincang dengan agensi kerajaan berkaitan termasuk universiti awam tempatan hendak membangunkan orang Kanaq ini agar mereka tidak ketinggalan dan terpinggir daripada arus pemodenan,’’ katanya.

Suku Orang Asli Kanaq semakin pupus, Semakin terdedah dengan dunia luar

Suku Orang Asli Kanaq semakin pupus


TIDAK mustahil suatu hari nanti tiada lagi orang Kanaq di muka bumi ini kerana sudah pupus,”.

Bunyinya mungkin agak mengejutkan, namun itulah realiti yang terpaksa diterima sekiranya tiada sebarang langkah diambil bagi menggalakkan kadar pertumbuhan orang Kanaq di negara ini, kata Wan Assin Wan Sheikh.


Radiah Tekeng (kiri) terpaksa meredah hutan bagi mencari pokok rotan bersama Tok Batin Adam Awok di Batu 13 Panti, Sungai Selangi, Mawai, Kota Tinggi.

Beliau yang merupakan Pengarah Jakoa Negeri Johor menegaskan, bilangan pertumbuhan etnik orang Kanaq sangat rendah jika dibandingkan dengan etnik Orang Asli lain di negara ini.

“Mengikut statistik, pada ketika ini, terdapat seramai 89 orang Kanaq daripada 24 buah keluarga dan mereka hanya terdapat di Kampung Selangi, Kota Tinggi, Johor.

“Tidak dinafikan pertumbuhan penduduk Orang Asli ini setiap tahun sangat kecil sehingga ada pada tahun tertentu, tiada langsung kelahiran baharu dicatatkan,” katanya kepada S2 baru-baru ini.

Wan Assin berkata, antara faktor mendorong kepada kadar pertumbuhan yang rendah dalam kalangan etnik itu adalah disebabkan penduduknya yang mengamalkan perancang keluarga sama ada melalui kaedah tradisional mahupun moden.

Katanya, penduduk Orang Asli itu sejak dahulu lagi mengamalkan minuman sejenis herba yang dikenali sebagai ‘jarak anak’ dan tumbuhan herba itu diperolehi di Hutan Panti, Kota Tinggi.

Bukan itu sahaja, wanita etnik itu juga mengambil pil perancang dan membuat suntikan pencegah kehamilan.

Rasionalnya penduduk memakan pokok ‘jarak anak’, mengambil pil perancang dan membuat suntikan pencegah kehamilan adalah disebabkan faktor kemiskinan, yang mana masyarakat itu tidak mempunyai daya saing dan motivasi diri untuk memajukan diri.

“Bukan itu sahaja, faktor lain yang menyebabkan kadar pertumbuhan etnik ini perlahan adalah disebabkan amalan berkahwin dalam kelompok mereka menyebabkan etnik ini tidak berkembang dan berpenyakit.

“Sebagai contoh, pada 2012 hingga 2013, hanya dua kelahiran dicatatkan tetapi pada tempoh sama melibatkan seorang kematian warga emas.

“Justeru, tidak hairan sekiranya dalam tempoh 10 tahun, orang Kanaq akan pupus sekiranya tiada sebarang langkah pencegahan dilakukan,’’ tegasnya.

Bagi seorang wanita daripada suku Kanaq, Radiah Tekeng, 36, beliau mengakui wanita dalam kalangan etnik itu minum minuman herba yang direbus daripada pokok jarak anak sejak zaman nenek moyang mereka lagi.

Bagaimanapun, jelasnya, seiring dengan peredaran masa, mereka lebih senang menggunakan cara moden sama ada dengan makan pil perancang atau membuat suntikan pencegahan kehamilan.

“Nenek moyang kami memang ada makan pokok jarak anak ini tetapi sekarang ada dalam kalangan kami yang memakan pil perancang atau membuat suntikan pencegah kehamilan.

“Saya sendiri mengamalkan suntikan mencegah kehamilan setiap tiga bulan sekali selepas melahirkan anak pertama pada 2002,” katanya.

Radiah yang mempunyai dua anak lelaki berusia 14 tahun dan sembilan tahun menjelaskan, antara faktor lain dia mengambil keputusan membuat suntikan pencegah kehamilan adalah disebabkan saranan doktor memandangkan dia menghidap penyakit jantung.


Semakin terdedah dengan dunia luar

MENGENALI Sarah Abdullah atau lebih mesra dipanggil Mak Sarah, ada yang istimewa pada wanita berusia 65 tahun ini jika dibandingkan dengan orang Kanaq yang lain.

Sarah Abdullah

Ini kerana Mak Sarah lebih banyak terdedah kepada dunia luar dan sering kali diundang untuk menghadiri kursus, majlis keramaian dan karnival kesenian.

Menurut Mak Sarah, dia yang berkemahiran membuat kraftangan sering dijemput menghadiri karnival kraftangan sama ada yang diadakan di Johor dan di luar termasuk di kota metropolitan Kuala Lumpur.

“Setiap kali menyertai karnival dan majlis keraian di luar, saya akan mengadakan demonstrasi membuat kraftangan daripada bahan-bahan yang diambil dari hutan berhampiran rumah saya.



Sarah Abdullah mahir membuat bakul dari rotan di penempatan suku kaum Kanaq.

“Selain itu, saya turut menggunakan kesempatan yang ada dengan mendendangkan lagu dan gurindam dalam bahasa Kanaq,’’ katanya yang mempunyai lima anak dan tujuh cucu ini.

Mak Sarah berkata, rata-rata apa yang dilakukan olehnya mendapat sambutan daripada orang ramai yang selama ini kurang mengenali suku kaum Orang Asli itu.

“Saya gembira kerana dapat memperkenalkan adat dan budaya orang Kanaq kepada semua orang. Saya harap ia tidak akan hilang ditelan zaman,” katanya.

Menceritakan kisah hidupnya, Mak Sarah berkata, dia dan suaminya dahulu mencari rezeki di Hutan Simpan Panti, Kota Tinggi iaitu mengambil upah mencari buluh di hutan berkenaan dengan pendapatan kira-kira RM300 sebulan.

Katanya, seorang peniaga Cina yang mengupah mereka akan menghantar dia dan suami ke hutan berkenaan sebelum meninggalkan mereka selama seminggu di sana.

“Kami dibekalkan dengan beras untuk keperluan selama seminggu. Lepas cukup seminggu baharulah ‘tauke’ itu datang ambil semula kami bersama hasil rotan yang diperolehi.

“Namun, itu semua cerita kira-kira 20 tahun lalu. Saya kini tidak lagi masuk ke hutan memandangkan sudah berusia dan banyak menghabiskan masa bersama cucu-cucu sahaja,’’ katanya.

Bahasa orang Kanaq kian terancam, Kahwin 
campur orang 
Kanaq-Melayu

Kahwin 
campur orang 
Kanaq-Melayu

PENDEDAHAN hidup orang Kanaq terhadap dunia luar akhirnya telah meroboh ‘benteng’ pemisah yang selama ini menebal dalam kalangan masyarakat Orang Asli itu.

Bukan itu sahaja, siapa sangka percampuran hidup itu juga akhirnya telah menyatukan tiga orang Kanaq dengan pasangan mereka ke jenjang pelamin meskipun berlainan kaum.

Seorang daripada mereka, Radiah Tekeng, 36, mengakui tidak menyangka jodohnya adalah bersama seorang lelaki Melayu, Ramlan Jusuh, 37, yang dinikahinya pada 2000.

“Saya ketika itu bekerja di sebuah kedai makan di bandar Kota Tinggi. Di situlah kami berkenalan dan akhirnya dia (suami) melamar saya.

“Saya sendiri tidak pernah terfikir untuk berkahwin dengan lelaki yang berlainan bangsa dengan saya, namun itu semua adalah jodoh,’’ katanya kepada S2 baru-baru ini.

Menceritakan kehidupannya setelah berumah tangga, menurut Radiah, hasil perkahwinannya itu, dia telah dikurniakan dua anak lelaki berusia 14 tahun dan sembilan tahun.

Jujur beliau akui, meskipun berkahwin dengan pasangan berlainan bangsa, namun kehidupannya tidak berbeza seperti kebanyakan isteri lain.

“Tugas saya masih sama, meskipun berbeza cara dan amalan hidup sebelum berkahwin. Namun itu tidak menjadi penghalang memandangkan saya sendiri sudah lama terdedah dengan masyarakat Melayu.

“Bila ada kelapangan, kami akan balik ke rumah mertua di Tanjung Sedili, Kota Tinggi. Kesempatan itu juga kami gunakan untuk menghadiri kenduri-kendara, majlis perkahwinan dan keraian saudara mara keluarga suami saya,’’ katanya.

Ujar Radiah, berbekalkan sedikit kemahiran membuat bakul daripada rotan, dia menjadikan pekerjaan itu sebagai sumber pendapatan sampingan bagi membantu suaminya yang mengambil upah berkebun.


Bahasa orang Kanaq kian terancam

LIMA tahun bukanlah jangka waktu yang pendek, namun sepanjang tempoh itulah digunakan Dr. Mohd. Sharifudin Yusof untuk mengenali orang Kanaq secara lebih dekat.

Semuanya bermula pada tahun 2000 ketika beliau membuat kajian mengenai keterancaman bahasa orang Kanaq dan Duano bagi menyiapkan tesis di peringkat pengajian ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) yang diambilnya ketika itu.


DR. Mohd. Sharifudin Yusof menunjukkan buku tulisannya mengenai bahasa suku kaum Kanaq yang semakin terancam.

Beliau yang kini merupakan pensyarah kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi di Universiti Putra Malaysia (UPM) mengambil masa lima tahun untuk menyiapkan tesis tersebut.

Menceritakan mengenai pengalaman bersama orang Kanaq, jujur Dr. Mohd. Sharifudin akui, ia bukanlah semudah yang disangka kerana kaum Kanaq amat pemalu terutama dengan orang luar.

“Saya masuk ke perkampungan Orang Asli ini pada 2000, namun terpaksa mengambil masa dua tahun untuk ‘membina hubungan’ dengan orang Kanaq ini.

“Dalam tempoh itulah, saya tinggal bersama Penghulu (tok batin) Mutalip dan banyak melakukan aktiviti bersama masyarakat Orang Asli itu hinggalah mereka akhirnya dapat ‘menerima’ saya,’’ katanya.

Menurut Mohd. Sharifudin, berdasarkan kajian secara etnografi, bahasa orang Kanaq adalah sebuah bahasa Austronesia yang tergolong dalam cabang Bahasa Malayik.

Jelasnya, secara am, bahasa pertuturan orang Kanaq adalah seakan-akan bahasa Melayu dengan lenggok dan loghat bahasa yang agak kasar.

Katanya, masa depan dialek Kanaq turut memasuki era kepupusan dan keadaan menjadi lebih gawat kerana ancaman demi ancaman mendatang.

“Ia ‘bahasa terancam’ kerana jumlah penuturnya yang sedikit. Namun, majoriti orang Kanaq masih bertutur dalam bahasa ini dengan baik.

“Kajian juga mendapati dialek Kanaq semakin didominasi Bahasa Melayu Standard (BMS) terutama dalam kalangan generasi muda,’’ katanya.

Hasil kajian yang dilakukan selama lima tahun itu telah membantu Mohd. Sharifudin menyiapkan tesisnya dan lebih menggembirakan beliau apabila kajian itu dibuku dan diterbitkan pada 2013.

Buku Keterancaman Bahasa Orang Asli Duano dan Kanaq yang dihasilkan Mohd. Sharifudin ini ternyata menjadi pusaka yang tidak ternilai demi pewarisan salah satu ciri budaya nenek moyang Duano dan Kanaq.



Ini ‘rumah’ kedua saya – Suhaila

PEGAWAI
Jakoa Kota Tinggi, Suhaila Isenin (gambar), 36, sememangnya tidak asing lagi dalam kalangan orang Kanaq di Kampung Sungai Selangi, Kota Tinggi, Johor.

Sejak lebih setahun lalu, Suhaila kerap berkunjung ke perkampungan Orang Asli itu untuk menguruskan segala perkara dan kebajikan melibatkan orang Kanaq.

Justeru, tidak hairanlah jika wanita itu menganggap perkampungan Orang Asli itu sebagai ‘rumah’ kedua bagi dirinya, malah hubungan antara dia dengan masyarakat orang Kanaq boleh dikatakan amat rapat.

“Bayangkanlah, pukul 11 malam, ada penduduk menghubungi telefon saya kerana anaknya masih tidak pulang ke rumah dan baru-baru ini, ada kes orang luar mabuk dan buat kacau serta mengganggu anak gadis orang Kanaq.

“Itu sebahagian daripada masalah yang pernah diadukan kepada saya. Setiap masalah yang timbul akan cuba saya selesaikan sebaik mungkin, tidak kisahlah sama ada ia pada waktu bekerja atau pun lewat malam,’’ katanya kepada S2.

Menurut Suhaila, selain orang Kanaq, dia turut ditugaskan menjaga etnik Kuala di Kampung Kuala Sungai Layau dan etnik Jakun di Kampung Kempas Menang, Kampung Pasir Intan dan Kampung Sayung Pinang di Kota Tinggi.

Ujarnya, antara ketiga-tiga etnik Orang Asli itu, etnik Jakun dan Kuala lebih mudah bergaul dan terdedah dengan dunia luar berbanding dengan orang Kanaq.

“Mengenali etnik Kanaq, mereka merupakan orang yang belum boleh berdikari sendiri atau dengan kata lain, orang yang pemalu dan ‘manja’. Dengan erti kata lain, kita kena jaga dan fahami masalah dan perasaan mereka,“ katanya.

Seperkara mengenai orang Kanaq ini, ujar Suhaila, mereka sememangnya akan menjaga hubungan baik dengan orang luar yang rapat dengan masyarakat itu.

“Kalau dah mesra dengan kita, mereka tahu berbudi bahasa. Kalau mereka masuk hutan, mereka akan beri kita buah-buah hutan seperti buah tampoi, cempedak, sentol, keranji dan banyak lagi yang sukar diperolehi di pasaran.

“Pada keseluruhunnya setelah setahun mendampingi etnik ini, ia merupakan satu pengalaman yang menarik kerana ia sedikit sebanyak dapat membantu kita membuka minda mereka ke arah kehidupan yang lebih baik,” katanya.

Biar gemuk asalkan berintegriti

ISU berat badan ‘tidak unggul’ anggota pasukan keselamatan sekali lagi dibangkitkan. Dulu bukan setakat kakitangan obes dalam perkhidmatan polis dan tentera sahaja, wakil-wakil rakyat yang menghadapi masalah kegemukan melampau pun turut dibincangkan.

Isu ini walaupun isu lama tetapi ‘menangkap’ perhatian seorang senator pada Sidang Dewan Negara baru-baru ini. Senator wanita itu mendakwa 70 peratus anggota tentera yang sedang berkhidmat adalah obes. Tiga puluh peratus lagi meninggal akibat sakit jantung.

Anggota polis juga tidak terkecuali disentuh oleh senator berkenaan. Masalah gendut dan perut boroi katanya menyukarkan setiap anggota untuk menjalankan tugas terutama yang melibatkan penggunaan kekuatan fizikal seperti menangkap penjenayah.

Perangkaan yang disebut itu besar. Bunyinya mencemaskan. Bayangkanlah 70 peratus askar yang menjaga keselamatan negara tergolong dalam kategori obes! Adakah statistik yang disebut itu tepat? Kalau tepat, isu ini sudah serius dan perlu diberi perhatian.

Bayangkanlah kalau 70 peratus anggota tentera negara berbadan gemuk, bagaimanakah mereka hendak menjalankan tugas-tugas dengan efisien terutama apabila melibatkan misi-misi kritikal. Bagaimanapun gambaran yang diberikan tidak pula dilihat sewaktu ketumbukan tentera turun mempertahankan kedaulatan negara dalam insiden pencerobohan kumpulan bersenjata di Lahad Datu beberapa tahun lalu.

Anggota tentera yang dihantar ke sana semuanya kelihatan cergas, sihat dan lasak. Mereka memiliki susuk badan seorang anggota tentera. Tidak pula kelihatan yang gemuk, obes dan boroi kecuali segelintir pegawai tinggi atasan mereka.

Secara umumnya kebanyakan kakitangan yang mengalami masalah ini adalah mereka yang sudah lama bekerja. Peningkatan berat badan ‘bergerak’ selari dengan peningkatan umur. Ketika baru masuk bekerja, semuanya kelihatan sempurna. Langsing dan sasa. Yang ‘berisi’ pula tidaklah sampai mencapai tahap obes kerana sihat tubuh badan menjadi salah satu syarat diterima bekerja.

Ada juga sebahagian calon yang gemuk terpilih. Selepas menjalani latihan intensif berbulan-bulan di pusat-pusat latihan, mereka keluar dengan rupa yang berbeza. Sasa, lebih sihat dan memenuhi ciri-ciri fizikal yang dikehendaki sebagai seorang anggota tentera atau polis.

Betullah kalau dipandang memanglah tidak segak seorang anggota pasukan beruniform yang berperut boroi menggalas senjata apatah lagi kalau mereka itu adalah daripada kumpulan pegawai kanan atau pegawai tinggi.

Isu obesiti ini bukan masalah dalam pasukan keselamatan Malaysia sahaja. Masalah ini adalah masalah sejagat. Seluruh negara di dunia ini berhadapan dengan masalah kakitangan yang obes. Lebih 32,000 tentera Britain dilaporkan gagal dalam ujian kecergasan dalam tempoh tiga tahun lalu dan lebih 22,000 yang lain didapati mempunyai berat badan berlebihan.

Kesemua anggota tentera di negara itu dikehendaki melengkapkan penilaian kecergasan peribadi dua kali setahun, yang mana ujian semula perlu diambil dalam tempoh tujuh hari bagi mereka yang gagal dan kegagalan berterusan boleh menyebabkan dibuang.

Dalam jabatan kerajaan lain serta syarikat swasta pun tidak terkecuali berhadapan dengan masalah kakitangan obes. Situasi ini dapat dilihat di pelbagai peringkat daripada peringkat bawahan hingga sehingga ke peringkat pengurusan atasan.

Sesetengah jabatan menjadikan kesihatan tubuh badan antara salah satu penilaian bagi kenaikan pangkat. Kegemukan melampau dikatakan boleh menjejaskan kesihatan dan dikaitkan pula dengan prestasi kerja.

Bagi menangani isu kegemukan melampau ini pelbagai pendekatan dan program diperkenalkan. Kempen gaya hidup sihat dalam kalangan kakitangan antara yang popular. Syarikat menyediakan kemudahan bersenam dan beriadah seperti gimnasium selain menganjurkan pelbagai aktiviti bersukan. Maka berbondong-bondong kakitangan menuju ke gimnasium selepas waktu pejabat. Berjam-jam mereka menghabiskan masa di situ. Walaupun ada sebahagian yang sekadar hangat-hangat tahi ayam sahaja, tidak kurang juga yang berjaya.

Harapnya masalah obesiti bukan isu yang serius dalam pasukan keselamatan negara. Walaupun sekarang bukan satu pemandangan janggal melihat anggota polis dan tentera berbadan gemuk, itu bukan mewakili gambaran keseluruhan pasukan keselamatan negara.

Gemuk juga tidak seharusnya menjadi punca seseorang boleh kehilangan pekerjaan. Amatlah malang jika seorang pekerja itu diberhentikan hanya kerana obes dan bukan atas sebab-sebab lain. Sebenarnya dalam mana-mana syarikat dan jabatan mana sekalipun terutama yang melibatkan kepentingan keselamatan negara, 10 kakitangan gemuk yang bekerja penuh dedikasi, jujur, amanah dan berintegriti lebih bermakna daripada seorang pekerja ‘sado,’ sasa dan macho tetapi tidak jujur, tidak amanah, tiada integriti dan rasuah. - Rozaman Ismail Uttusan Mlaysia Rencana 27 Jun 2015