June 30th, 2015

Jahat sangatkah GST?

CUKAI barang dan per­khid­matan (GST) yang dikuatkuasakan pa­da 1 April lalu bagi meng­gan­ti­kan cukai jualan dan per­khidmatan, secara lafaznya me­ru­pakan satu kalimah yang senang disebut tetapi amat tidak disukai oleh rakyat.

Kurang disenangi kerana rakyat tidak mengenalinya secara mendalam sama seperti pepatah ‘tak kenal maka tak cinta’. Tujuan pelaksanaan GST sebenarnya amat baik iaitu bagi meningkatkan pendapatan kerajaan yang akhirnya akan dikembalikan semula kepada rakyat dalam pelbagai bentuk kemakmuran ekonomi, kemudahan dan prasarana awam.

Pada peringkat awal iaitu beberapa bulan sebelum pelaksanaan dan selepas penguatkuasaannya, rakyat banyak didedahkan dengan sisi 'hitam' cukai itu oleh segelintir pihak yang menangguk di air keruh untuk menyalahkan kerajaan, sekali gus secara tidak langsung menyemai benih kebencian terhadap pemerintah.

Mengulas mengenai perkara itu, Ketua Kluster Ekonomi dan Pengurusan Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali menegaskan bahawa tanggapan bahawa GST merupakan denda atau penalti kerajaan terhadap rakyat adalah salah sama sekali.

Katanya, GST adalah satu sistem untuk pengagihan ekonomi dengan cara yang optimum bagi memastikan segala tuntutan hidup seperti kemudahan awam, pengangkutan awam, kesihatan, pungutan sampah, pendidikan, alam sekitar secara terbaik mampu disedia dan dimanfaatkan oleh rakyat.

"Ia adalah tanggungjawab bersama antara rakyat dan kerajaan. Tidak boleh mengharapkan kerajaan sahaja untuk menyediakannya tanpa mendapat komitmen daripada masyarakat.

"Jika kita tanyakan kepada kira-kira 29 juta penduduk negara ini, mahukah mereka segala kemudahan awam terbaik itu, pasti mereka akan menjawab mahukannya. Daripada 29 juta juta itu hasil kajian mendapati kira-kira 14 juta yang bekerja dan daripada jumlah bekerja itu pula berapa ramai yang membayar cukai?," katanya yang juga Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tegas Noor Azlan, antara kelemahan sistem percukaian lama ialah ia tidak dapat mencakupi jumlah yang besar (29 juta penduduk), kerana ia bergantung kepada sistem percukaian individu dan korporat menggunakan kaedah pengisytiharan, selepas diisytihar baharulah cukai dikenakan.

"Persoalannya, sistem isytihar ini baik tetapi ia tidak dapat mencakupi kesemua sekali, jadi apakah pilihan lain? Cukai berdasarkan kepada perbelanjaan atau GST adalah antara yang terbaik.

"Secara puratanya, perbelanjaan kita adalah pengisytiharan pendapatan kita, contohnya jika seseorang itu mampu menginap di hotel bertaraf lima bintang sebenarnya seperti mengisytiharkan bahawa pendapatannya adalah tinggi.

"Dalam sistem cukai lama, yang layak dikenakan cukai pun ada yang cuba mengelak termasuk wujudnya ruang-ruang 'legally right'. Contohnya seperti membeli tiga buah kereta mewah dan didaftarkan atas nama syarikat bukan individu tetapi digunakan oleh anak-anak yang tidak terlibat langsung dengan syarikat. Dari segi percukaian betul tetapi dari segi pengisytiharan ia adalah salah," katanya.

Noor Azlan mengakui bahawa GST yang baharu dilaksanakan memang mempunyai beberapa kelemahan, kekalutan dan ia dipercayai sedang diatasi sebaik mungkin oleh kerajaan.

"Rakyat sudah membantu kerajaan dengan membayar GST, maka adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menjadi lebih telus dalam pengagihan bersasar kepada kumpulan rakyat yang memang layak.

“Kerajaan kena balas kepercayaan rakyat dan tingkatkan integriti dalam urusan pengagihan kutipan GST. Berapa jumlah yang diperoleh dan ke mana perginya kutipan itu, tidak semestinya setiap bulan tetapi sekurang-kurangnya maklumkan secara berkala kepada rakyat.

“Jabatan dan agensi kerajaan juga perlu menyalurkan maklumat dengan tepat kepada rakyat. Antara yang tidak saya setujui ialah kenyataan sebelum ini bahawa lebih 400 harga barangan akan turun selepas pelaksanaan GST. Dari segi ekonomi ia tidak betul, kerana ia telah memberikan harapan yang salah kepada rakyat.

"Seperti kita menjanjikan hujan akan turun pada musim kemarau tetapi akhirnya hujan tidak juga turun. Ini kerana hujan atau harga bukannya berada dalam kawalan kerajaan terlalu banyak faktor sampingan lain. Jentera kerajaan juga perlu selalu melakukan 'counter attack' terhadap pihak yang memberikan maklumat tidak tepat terhadap GST," katanya.

Dalam pada itu, sedar dengan permasalahan berkenaan, MPN mengambil inisiatif dengan menjadikan GST sebagai tajuk kepada siri kedua Program Advokasi Ilmuan MPN bersama Utusan Malaysia dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Program tersebut yang akan berlangsung pada pukul 9 pagi, 30 Jun ini di Persada Canselori, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan membincangkan tajuk 'GST : Kemelut dan Langkah Ke Hadapan' dan antara isu yang akan dikupas ialah kesan pelaksanaan cukai itu kepada negara dan masyarakat.

Program yang memasuki siri kedua ini menampilkan Penolong Ketua Pengarang 1 Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan sebagai moderator di samping empat ahli panel lain.

Empat ahli panel tersebut ialah Dekan Fakulti Perakaunan Universiti Utara Malaysia, Prof. Dr. Kamil Md. Idris; Pengurus Projek GST Kementerian Pendidikan, Prof. Dr. Asan Ali Golam Hasan; Pensyarah Ekonomi UKM, Prof. Jamal Othman dan Pegawai Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, M. Gunaselan.

MPN yang ditubuhkan pada 1 April 2010 berperanan memudahkan pihak kerajaan menggembleng kepakaran akademik dan profesional bagi tujuan membantu program pembangunan untuk bangsa dan negara.

Bagi membolehkan badan itu menjalankan tugasnya dengan berkesan sebanyak 16 kluster diwujudkan iaitu Sejarah, Warisan dan Sosio Budaya; Perubatan dan Kesihatan; Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa serta Kejuruteraan, Teknologi dan Alam Bina.

Kluster lain ialah Teknologi Maklumat dan Komunikasi; Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan; Pembangunan Sosial dan Kesejahteraan; Sains dan Matematik; Pertanian dan Makanan; Industri dan Inovasi serta Ekonomi dan Pengurusan.

Turut diwujudkan ialah kluster Sumber Asli dan Alam Sekitar; Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam; Perpaduan Nasional; Projek Khas Nasional Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) serta Projek Khas (Media, Demokrasi dan Elektrokrasi).

Setelah memberikan pelbagai sumbangan, MPN terus mengorak langkah ke hadapan apabila mulai 16 Disember 2014, badan itu diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri sebagai syarikat berhad dengan jaminan. Ia juga diberi status badan pemikir bebas tanpa batasan bangsa atau fahaman politik.

- Tarmizi Abdul Rahim Utusan Malaysia Rencana 30 Jun 2015

Kes dera: Apakah cukup sekadar simpati?

TIDAK dapat hendak dibayangkan macam mana si kecil ini menahan kesakitan. Tidak sanggup dibayangkan juga ketakutan yang dirasai anak kecil ini sepanjang enam bulan diperlakukan tanpa perikemanusiaan.

Apa daya kanak-kanak ini apabila orang yang sepatutnya menjadi tempat mengadu sakit pening, yang diharapkan melindungi daripada bahaya, rupa-rupanya haiwan bertopengkan manusia. Atau layakkah dipanggil haiwan kerana binatang pun sayangkan anak.

Penulis percaya ramai dalam kalangan kita yang geram, bengang, marah campur kasihan membaca kisah kanak-kanak lima tahun, Nur Zuliana Zaara Zulkifli, yang dipercayai didera bapa kandung dan ibu tiri sehingga patah riuk. Bahkan doktor pakar mengesahkan kanak-kanak ini bakal mengalami kecacatan kekal. Gara-gara patah 13 tulang di seluruh badan.

Sedangkan tersepit jari di pintu pun kita boleh meraung dibuatnya, apakan pula patah tulang belakang, paha, rusuk, lengan, yang entah berapa kali. Entah deraan apa yang dilaluinya sehinggakan kaki kanan dan kiri tidak lagi sama panjang.

Melihatkan parut di badan si kecil, cukup untuk kita membayangkan derita yang ditanggungnya, walaupun trauma kesakitan dan penderitaan itu hanya dia yang merasainya. Berat mata memandang, tak kan sama dengan berat bahu kecil ini memikul.

Kanak-kanak yang dahulunya sihat, comel dan ceria kini kurus kering, lesu dan bakal tempang.

Semalam, pasangan suami isteri, ‘ibu’ dan bapa yang didakwa ‘bertanggungjawab’ mendera Nur Zuliana sudah pun ditahan di Kota Bharu, Kelantan.

Penulis percaya sistem perundangan negara kita akan mengenakan hukuman setimpal ke atas mereka apabila disabitkan kesalahan.

Namun terlebih dahulu kedua-duanya sudah pun ‘dihukum’ bersalah di mahkamah awam.

Sesiapa pun manusia yang waras sama sekali tidak boleh me­nerima apa yang dilakukan oleh suspek ke atas kanak-kanak ini.

Berapa banyak sangatkah makanan yang mampu dijamah oleh seorang kanak-kanak berusia lima tahun, sehinggakan suspek sanggup tidak memberi makan atau membiarkan Nur Zuliana kelaparan. Bukan sehari dua bahkan mungkin berminggu dan berbulan lamanya, sehingga doktor mengesahkan dia kurang zat dan berat badannya tidak seperti kanak-kanak seusia.

Apa sangatlah pula kejengkelan yang boleh dilakukan oleh seorang kanak-kanak berusia lima tahun, sehinggakan suspek tidak tahan sabar dan hilang kewarasan lantas sanggup menyeksa Nur Zuliana sehingga patah-patah tulang, mungkin akibat sepak terajang dan penuh parut dek dicucuh puntung rokok atau benda panas.

Penulis tidak pasti apakah kita akan mendapat jawapan yang tulus kepada persoalan-persoalan ini.

Nur Zuliana terlalu kecil untuk menjawab pertanyaan. Trauma yang dialami juga mungkin membuatkan dia enggan mengingati detik-detik hitam itu.

Kedua-dua suspek pula mungkin tidak cukup waras untuk menjawab kenapa mereka tergamak berkelakuan tidak se­perti manusia yang diberi akal dan dianugerahkan sifat kasih sayang.

Saksi? Nampaknya itu pun tidak boleh diharap. Ini memandangkan untuk tempoh kira-kira enam bulan, kanak-kanak itu menanggung sakit dan derita sendirian.

Penulis tidak pasti kedudukan Kampung Kubang Rambutan di daerah Rantau Panjang, Kelantan ini. Mungkin terlalu tersorok atau nun jauh di pedalaman sehinggakan tidak ada orang kampung dan jiran tetangga yang dapat mencium ‘kezaliman’ yang berlaku ke atas seorang kanak-kanak yang tidak berdaya.

Jika mereka tahu, penulis tidak percaya orang kampung dan jiran tetangga akan berdiam diri melihatkan perbuatan tidak berperikemanusiaan ini berlaku di depan mata.

Penulis mahu percaya yang suspek cukup bijak ‘menyembunyikan’ keadaan Nur Zuliana sehingga tidak dapat dikesan. Penulis juga mengandaikan suspek tidak ada saudara-mara atau kenalan yang bertandang ke rumah untuk mereka menghidu penderitaan dialami anak kecil ini.

Begitu juga tidak ada pemimpin masyarakat, ketua kampung atau wakil rakyat yang berdekatan untuk meninjau keadaan sehingga memungkinkan kes si kecil Nur Zuliana dikesan lebih awal. Jika tidak, tak mungkinlah mereka sekadar membisu dan menutup sebelah mata.

Bagi kedua-dua suspek, ‘ibu’ dan bapa kandung kanak-kanak malang ini, penulis percaya mereka tidak membaca akhbar dan menonton televisyen. Jika tidak sudah tentu mereka pernah melihat atau mendengar kisah-kisah pende­raan yang dipaparkan selama ini. Dan mereka sudah pasti tahu implikasi perbuatan mendera kanak-kanak kepada pelaku.

Sudah tentu mereka insaf membaca dan menonton paparan penderitaan adik Muhammad Firdaus Dullah yang ditemukan tahun lalu dalam keadaan tidak terurus dan compang-camping ditinggalkan bersendirian. Atau banyak kes penderaan yang berakhir dengan pendera diheret ke muka pengadilan dan menerima hukuman setimpal.

Jika mereka mengikutinya dalam surat khabar mahupun televisyen, tentu sahaja mereka tidak tergamak melakukan apa yang dilakukan ke atas Nur Zuliana. Kerana jika tidak, jika mereka pernah melihatnya di kaca televisyen atau membaca kes-kes dera di dada akhbar tetapi mereka masih tergamak melakukan ‘kezaliman’ yang serupa, penulis tidak tahu apa hendak dikata.

Mungkin sudah tiba masanya satu kajian menyeluruh, saintifik dan terperinci dijalankan oleh pihak berwajib, pakar sains sosial dan ahli psikologi, terhadap nilai empati dan simpati rakyat negara ini, setebal mana tahap kemanusiaan setiap daripada kita dan sebesar mana unsur ‘kehaiwanan’ dalam diri sehingga mampu mendorong tindakan tidak berperikemanusiaan dilakukan ke atas sesama manusia.

Jika sifat pendera itu satu penyakit, kita perlu mencari ubat dan penawarnya.

Jika tidak tahun depan, bulan depan, minggu depan atau mungkin sahaja esok lusa, kita akan berhadapan dengan situasi sama. Lagi kes dera, lagi mangsa cedera atau lebih teruk menemui ajalnya.

Adakah kita berpuas hati sekadar menghulur simpati terhadap mangsa dan menghentam si pendera? Tepuk dada tanya selera.

- Coretan Marhaen Utusan Malaysia Rencana 30 Jun 2015

Bisik Awang Selamat ~ Ayam

SECARA mudah, alasan makanan ayam mahal boleh diterima jika harga ayam hendak dinaikkan. Namun apabila acap kali digunakan menjelang Aidilfitri, nampak seolah-olah suatu alasan yang diada-adakan. Bagi musim perayaan kali ini, persatuan penternak ayam di beberapa negeri dilaporkan akan menaikkan harga ayam atas alasan makanan ayam yang diimport mengalami kenaikan harga ekoran kejatuhan nilai ringgit selain peningkatan permintaan menjelang Aidilfitri.

Eloklah pihak berkuasa berkenaan melihat perkara ini secara teliti supaya wujud keadilan kepada kedua-dua pihak - penternak dan pembeli ayam yakni pengguna. Usaha perlu dilakukan supaya pengguna memperoleh bekalan ayam pada harga munasabah dan berpatutan; bukannya harga yang dikenakan oleh penternak dan penjual yang mengambil kesempatan pada musim perayaan.

Awang sedar ayam diletakkan dalam senarai barangan pengguna yang dikawal. Oleh itu ada had maksimum harga ayam yang ditentukan. Amatlah tidak adil jika penjual dan pihak penternak mendesak supaya harga tertinggi dikenakan tanpa alasan kukuh semata-mata mahu mengaut untung berlebihan semasa permintaan memuncak menjelang Aidilfitri ini.

Pihak berkuasa, seperti tahun-tahun sebelum ini, perlu bertindak menjadi orang tengah dengan mewujudkan dialog sesama penternak, pemborong dan peniaga ayam serta persatuan pengguna bagi memastikan kadar harga patut dikenakan ke atas semua barangan keperluan harian terutama barangan kawalan setiap kali menjelang sesuatu perayaan utama di negara kita. - Awang Selamat Utusan Malaysia Rencana 30 Jun 2015