July 6th, 2015

Kekang kes penderaan kanak-kanak

KES penderaan kanak-kanak bukanlah perkara baru da­lam negara ini. Malangnya semakin meningkat dari tahun ke tahun. Statistik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menunjukkan peningkatan kes penderaan kanak-kanak dari 2010 iaitu sebanyak 3,257 kes, 3,428 kes (2011), 3,831 kes (2012), dan 4,119 kes pada 2013, manakala dari Januari hingga April 2014 sahaja terdapat sebanyak 1,430 kes.

Kes terbaru seorang kanak-ka­nak perempuan lima tahun dipercayai didera oleh ibu tirinya sehingga menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan patah tulang belakang, rusuk, paha termasuk dipenuhi kesan parut.


NUR ZULIANA ZAARA ZULKIFLI, 5, mangsa dera dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab, Kota Bharu, Kelantan.

Masa depan kanak-kanak tersebut gelap apabila dia disahkan bakal mengalami kecacatan kekal akibat kecederaan patah 13 tulang di seluruh badan. Hasil pemeriksaan ke­­sihatan mendapati mangsa meng­alami beberapa kecacatan kekal seperti bongkok akibat masalah tulang belakang yang patah serta tempang kerana perbezaan panjang tulang paha kiri dan kanan.

Keadaan tersebut berlaku kerana mangsa tidak pernah dirawat dan semua kecederaan yang dialami dibiarkan sembuh dengan sendiri sejak dia mula didera kira-kira enam bulan lalu. 10 kesan kecede­ra­an patah dikesan di bahagian tulang rusuk manakala tiga lagi masing-masing dikesan di bahagian tulang belakang, pinggul serta le­ngan kanan.

Mangsa dipercayai terpaksa menanggung kesakitan bersendirian akibat patah tulang selama kira-kira tiga hingga enam bulan. Dia juga didapati dalam keadaan trauma di samping mengalami radang paru-paru sehingga mengganggu sistem pernafasannya.

Kanak-kanak itu juga mengalami kekurangan zat yang kronik menyebabkan berat badannya susut hingga 15 kilogram iaitu menyamai berat budak berusia tiga tahun.

Betapa zalimnya si pendera kanak-kanak ini sehingga sanggup memperlakukan anak yang masih kecil dan belum kenal erti kehidupan sebegitu kejam.

Kes penderaan terhadap kanak-kanak bukan setakat melibatkan penderaan fizikal, tetapi juga penderaan seksual dan mental sehingga ada yang diculik dan dibunuh dengan kejam.

Apakah puncanya berlaku perkara ini? Kes penderaan kanak-kanak berpunca daripada tekanan pera­saan, hutang, perceraian, tekanan hidup yang menghimpit kehidupan orang ramai selain kurangnya kasih sayang dalam institusi keluarga.

Kita berharap agar mereka yang bertanggung jawab akan menerima penghakiman sewajarnya. Proses keadilan dapat berjalan dengan lan­car dan mampu memberi peng­ajaran.

Apabila bercakap tentang keadilan, tidak dapat tidak kita akan mengaitkannya dengan undang-undang.

Dalam hal ini kita sudah pun mempunyai undang-undang yang melindungi kanak-kanak. Menurut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001, penderaan terhadap kanak-kanak kurang upaya dan normal adalah termasuk kesalahan penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau penderaan kanak-kanak.

Jika sabit kesalahan, seseorang itu boleh dihukum denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Antara tujuan utama sesuatu undang-undang dikuatkuasakan adalah untuk mendidik dan mengatur kehidupan se­­sebuah masyarakat, bukannya menghukum walaupun biasanya apabila seseorang melanggar undang-undang, mereka harus dihukum.

Justeru bagi mencapai proses pen­­­didikan kepada masyarakat, pen­­dedahan dan penerangan ha­ruslah diberikan secara berterusan. Ini agar mereka menjadi masyarakat yang celik undang-undang.

Apabila masyarakat lebih peka, maka tindakan pencegahan akan menjadi lebih senang. Mereka akan cuba mengatur kehidupan selari dengan undang-undang; serta tidak mengambil tindakan sembarangan yang akan melanggar undang-undang.

Dalam kes penderaan kanak-kanak; orang ramai juga akan dapat memainkan peranan dan melaporkan sebarang kes yang berlaku bermula di kawasan berhampiran kediaman masing-masing.

Terdapat juga permasalahan undang-undang yang hanya wujud di atas kertas. Undang-undang yang hanya wujud di atas kertas selalunya tidak berkesan tidak kiralah berapa banyak bilangannya. Ia akan kelihatan seperti tidak mempunyai taring; tidak berkesan sama sekali. Ia seolah-olah tidak wujud serta tidak berguna.

Negara ini sememangnya terkenal dengan peraturan dan undang-undangnya yang serba lengkap. Namun seperti yang disebut tadi, undang-undang yang lengkap saja tidak memadai untuk mengatasi masalah sesebuah masyarakat.

Apa yang diperlukan adalah tindakan yang dikenakan terhadap perlanggaran tersebut. Jika berterusan tiada tindakan yang diambil, lama-kelamaan masyarakat tidak akan lagi menghormati undang-undang; sebaliknya ia akan menjadi bahan untuk ditertawakan.

Kita tidak mahu undang-undang di negara ini sampai ke tahap itu. Setiap orang harus menghormati undang-undang yang telah digubal kerana ia telah melalui prosedur yang betul. Proses keadilan hendaklah berlaku terhadap semua pihak dan tidak seharusnya wujud pilih kasih.

Aspek keadilan harus dilihat wujud dan ia sememangnya benar-benar wujud. Proses keadilan berjalan dengan telus dan lancar tanpa ada campur tangan mana-mana pihak. Kepentingan diri harus diketepikan demi mencapai keadilan.

Dengan cara ini barulah ma­sya­rakat akan memandang tinggi kepada sesuatu undang-undang itu. Kita khuatir masyarakat tidak lagi mempunyai rasa hormat kepada undang-undang. Apabila ini berlaku maka timbullah keadaan yang disebut sebagai undang-undang rimba, yakni manusia boleh buat sesuka hati dan tiada siapa yang akan mengawal.

Apabila undang-undang tidak lagi dipedulikan, maka ia akan kelihatan terpisah daripada ma­sya­rakat; walhal ia sepatutnya menjadi sebahagian daripada masyarakat. Se­­baliknya, apabila sesuatu undang-undang itu berkesan, maka ia dapat dijadikan iktibar serta pengajaran kepada orang lain. Sistem perundangan merupakan salah satu kriteria utama masyarakat bertamadun seperti yang dikatakan oleh Ibn Khaldun. Ini kerana sistem perundangan mampu menghasilkan keadilan yang amat besar pengaruhnya dalam menentukan jatuh bangun sesebuah tamadun.

Hasrat menjadi ‘Ketua Menteri dengan kuasa’ terlaksana

DUA puluh tahun yang lalu, dalam satu kempen Pilihan Raya Umum (PRU) 1995, Parti Tindakan Demokratik (DAP) muncul dengan poster Kit Siang Chief Mi­nister With Power.

Di atas poster itu juga tertera patung watak televisyen popular ketika itu iaitu Robocop. Di dada patung itu tertulis perkataan Tanjong 3, mengambil sempena siri Tanjong dalam kempen DAP untuk menawan Pulau Pinang yang bermula dengan Tanjong 1 (PRU 1986) dan Tanjong II (PRU 1990). DAP gagal dalam cita-cita itu.


Kedudukan DAP di Pulau Pinang semakin kukuh selepas menguasai kerajaan negeri itu bagi penggal kedua selepas kerajaan Barisan Nasional yang diterajui Gerakan kecundang dalam Pilihan Raya Umum 2008.

Mungkin disebabkan angka empat juga membawa maksud tidak baik, siri Tanjong ditamatkan pada episod ketiga dan tidak ada lagi angka digunakan pada PRU 2004. Cita-cita DAP dan Kit Siang untuk menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang ak­hirnya terlaksana pada tahun 2008 selepas parti itu bersama-sama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas berjaya membentuk kerajaan negeri. Walaupun bukan Kit Siang sebagai Ketua Menteri, jawatan itu diserahkan kepada anaknya, Lim Guan Eng yang melakukan penghijrahan dari Melaka. Ketika itu, DAP memenangi 19 kerusi, PKR 9, dan Pas 1 sementara Barisan Nasional (BN) memenangi 11 kerusi, yang kesemuanya calon UMNO.

Menyelak kembali slogan DAP pada 1995 itu, ia merujuk kepada Ketua Menteri, Dr. Koh Tsu Koon yang dikatakan boh kian (tiada kuasa). Slogan itu bagaimanapun ‘memakan diri’ apabila DAP hanya menang satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tiga kerusi Parlimen. Kit Siang juga tewas kepada Tsu Koon di Tanjung Bungah. Kini selepas memasuki penggal kedua, kedudukan DAP di Pulau Pinang semakin kukuh. Dalam PRU yang lepas (2013), DAP mengekalkan kedudukannya dengan 19 kerusi sementara PKR menambah kepada 10 kerusi, Pas 1 dan BN (UMNO) 10. Itulah kekuatan DAP ketika ini. Maka tidak perlulah sesiapa ‘menyalak’ dan ‘melompat’ dengan kenya­taan Guan Eng yang mengumumkan kerajaan negeri kini bukan lagi kerajaan pakatan pembangkang sebaliknya dikenali sebagai kerajaan negeri Pulau Pinang. Keputusan itu dibuat oleh 30 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyokong kerajaan negeri Pulau Pinang. Keputusan itu dibuat gara-gara usul Muktamar Pas ke-61 yang memutuskan hubungan dengan DAP. Bagi Guan Eng, pakatan pembangkang sudah tidak wujud. Apa yang wujud ialah kerajaan campuran iaitu 19 (DAP), 10 (PKR) dan 1 (Pas).

Sama ada pakatan atau campuran, sama sahaja. Orang Tanjong kata pi mai pi mai tang tu. Adakah di Selangor juga wujud kerajaan campuran, bukannya pakatan? Apakah yang ingin ditunjukkan oleh Guan Eng kepada rakan-rakannya itu? Adakah kuasa sebagai ketua menteri? Adakah benar Guan Eng berlagak sombong se­perti dakwaan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Fauzi Mohd. Yusof baru-baru ini. Kenya­taan Guan Eng jelas menunjukkan parti itu mempunyai kuasa yang besar di negeri itu. DAP nampak yakin dengan keupayaannya. Tidak mustahil DAP mampu memerintah ne­geri itu bersendirian tanpa sokongan rakan-rakan PKR, apatah lagi Pas yang hanya menang satu kerusi. Dengan 19 kerusi di dalam genggaman, DAP mampu menambah kerusi jika bertanding di kawasan-kawasan yang dikuasai PKR ketika ini. Sekurang-kurang­nya empat hingga lima kerusi yang dimiliki PKR boleh berubah ta­ngan jika DAP mahu bersendirian dalam pe­merintahan negeri itu. BN melalui UMNO hanya mampu memenangi 10 kerusi pada PRU lalu sedangkan pada tahun 1990, BN menguasai DUN Pulau Pinang dengan 19 kerusi berbanding DAP 14 kerusi. Pada 1990 juga, jumlah kerusi yang dimenangi UMNO lebih besar iaitu 12 kerusi berban­ding rakan komponennya Gerakan sebanyak tujuh kerusi. Jumlah itu menyebabkan ketika itu timbul ura-ura bahawa UMNO lebih layak me­mimpin negeri itu dengan jawatan Ketua Menteri. Bagaimanapun atas semangat setiakawan BN, jawatan Ketua Menteri tetap menjadi milik Gerakan dan UMNO diberi jawatan Timbalan Ketua Menteri.

Menyelak kembali sejarah kebangkitan DAP ini, ia dianggap bermula pada tahun 1986 apabila parti itu menang 10 kerusi termasuklah kemenangan Setiausaha Agungnya ketika itu, Kit Siang. Jumlah itu meningkat kepada 14 kerusi pada PRU 1990 melalui projek Tanjong II. Bagaimanapun DAP ‘merana’ selama dua penggal apabila kalah teruk pada PRU 1995 (Tanjong III) dan PRU 2004. Adakah dua penggal yang sedang dinikmati DAP ketika ini mampu melonjakkan lagi kejayaannya pada PRU akan datang?

DAP sedang ‘belajar’ untuk bersendirian dalam PRU akan datang dengan mencari rakan lain yang boleh diharap termasuk kemungkinan parti serpihan Pas. Dalam erti kata lain, DAP tidak boleh lagi mengharapkan Pas. Sejauh mana keupayaan parti serpihan Pas tidak dapat dipastikan tetapi tentunya parti baharu itu lebih terbuka berbanding Pas. Bagaimana pula de­ngan PKR? Jika DAP bersama parti baharu, adakah Pas akan terus kekal dalam pakatan bersama PKR? Di Pulau Pinang, DAP boleh bersendirian membentuk kerajaan negeri tanpa sokongan PKR dan Pas, asalkan parti itu mengekalkan penguasaan sekarang dan menambah sekurang-kurangnya dua hingga tiga kerusi lagi untuk mendapat majoriti mudah di DUN.

Dalam tempoh pemerintahannya, DAP sudah tentu menyusun strategi untuk mengekalkan kuasanya yang ada. Sebagai parti yang baharu mendapat kuasa untuk mentadbir negeri, DAP pastinya bekerja keras melakukan percaturan supaya pengundi setianya ada di mana-mana bagi memastikan kemenangan calon yang diturunkan. Strategi yang perlu dilakukan DAP sekarang adalah untuk meyakinkan pengundi-pengundi Melayu menyokong perjuangan parti itu. Jika ini boleh dilakukan, bukanlah mustahil DAP akan terus berkuasa di negeri itu. DAP boleh ‘menceraikan’ PKR dan Pas. Dalam politik, segalanya boleh berlaku, tidak ada yang mustahil.

Carilah barakah, elakkan rasuah

SEKALI lagi negara dikejutkan dengan berita mengenai rasuah.

Belum selesai isu rasuah di Cameron Highlands yang telah menjadi punca tanah runtuh, akibat eksploitasi kawasan tinggi yang sewajarnya dilarang, sekarang timbul pula kisah penjawat-penjawat tinggi awam disyaki memerah wang rakyat melalui pembelian hartanah di luar negara. Malang sekali organisasi yang ditipu ialah Mara melalui Mara Inc.

Saya masih ingat semasa RIDA (Rural Industrial Development Authority) ditukar namanya kepada Mara (Majlis Amanah Rakyat). Cukup berat tanggungjawab organisasi baru tersebut iaitu menunaikan amanah rakyat terutama kaum Bumiputera.

Banyak harapan diletakkan kepada Mara. Dan amanah rakyat menjadi penentu asas kepada apa jua yang dirancang dan dilaksanakan.

Begitu juga penubuhan Bank Bumiputra hasil Resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera yang diharapkan menjadi satu daripada penjana penting dan penggerak ekonomi kaum Bumiputera, juga banyak harapan diletakkan kepada Bank Bumiputra. Hari ini Bank Bumiputra semata-mata satu catatan sejarah. Panas tidak sampai ke petang.

Mara telah berkembang dan mempelbagai skop dan aktivitinya. Mara juga telah beroperasi melepasi sempadan negara. Sekarang Mara telah dicemar oleh gejala rasuah. Amanah rakyat telah dikhianati!

Malaysia sudah mula dikumpulkan bersama dengan negara-negara yang terkenal dengan rasuah. Ini bukan sahaja memalukan, tetapi juga menghakis kepercayaan dan keyakinan dalam kalangan rakyat serta orang luar. Mereka bimbang bahawa rasuah telah mula menjadi satu ciri budaya di Malaysia. Dalam kalangan sektor perniagaan, rasuah kerap kali diperbincangkan.

Ada yang bercakap tentang adanya runner atau orang tengah yang membereskan atau mempermudahkan urusan-urusan. Ada yang menyatakan tentang “penjaga-penjaga pintu” atau gatekeepers yang perlu diambil kira jika sesuatu hendak sampai kepada mereka yang berkuasa atau membuat keputusan. Rasuah tidak semata-mata berbentuk wang tunai tetapi sudah semakin inovatif cara pemberiannya sehingga ada yang dikatakan menawarkan ketul-ketul emas atau gold bars yang akan meningkat nilainya apabila harga emas naik.

Pendek kata rasuah telah juga mengalami perubahan dalam bentuk dan caranya. Kita mungkin bertanya mengapa seseorang itu sanggup menjual maruahnya dengan menerima rasuah?

Mengapa mereka sanggup hidup dan menyara keluarga dengan wang dan pendapatan yang jelas dilarang dan haram? Mengapa mereka sanggup mengkhianati amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka?

Tidak ada satu-satu sebab yang mutlak. Tetapi ada pelbagai kemungkinan.

Pertama ialah tamak didorong oleh keinginan menikmati apa yang pasti tidak mungkin diperoleh semata-mata dengan pendapatan biasa. Lebih-lebih lagi apabila kelemahan-kelemahan dalam proses membuat keputusan dan penentuan tidak ketat dan terbuka kepada penyelewengan. Atau tidak ada sistem memeriksa dan mengimbang. Dan tidak wujud atau tidak efektif mana-mana sistem mengesan dan mengawasi. Dan jika ada pula pemberi rasuah yang sedia menghulur ganjaran untuk sesuatu yang diharapkannya.

Dunia yang berasaskan saingan juga mempamerkan perlumbaan meraih kekayaan dan apa jua yang menonjolkan dan mencerminkan kekayaan tersebut. Dan rasuah boleh menjadi penjana kekayaan yang diidamkan.

Begitu juga apabila apa yang dilakukan tidak berpandu kepada barakah atau keberkatan serta kepada balasan kemudiannya iaitu tiada pegangan pada nilai-nilai yang betul serta yang mendatangkan berkat.

Setiap kali rasuah dilakukan, maka setiap kali pula masyarakat dan negara terjejas akibat daripada kesan-kesan negatif rasuah. Jika bertubi-tubi masyarakat dan negara diasak dengan rasuah maka akan terhakis ke­peribadian dan ketahanan negara. Dan seakan-akan negara telah rosak dan tidak lagi berwibawa.

Dan orang luar khususnya akan sentiasa curiga dan tidak yakin akan urus tadbir negara dan sentiasa akan cenderung menganggap bahawa di Malaysia banyak urusan-urusan yang dilicinkan serta hanya boleh digerakkan oleh rasuah.

Pucuk pangkalnya ialah integriti serta budaya masyarakat yang berteraskan integriti. Di mana setiap rakyat berpegang teguh kepada integriti sebagai prinsip hidup dan panduan kepada setiap tindakan. Dan budaya yang berasaskan integriti perlu dipupuk dan diperkukuh dalam keluarga, di sekolah-sekolah dan dalam setiap sektor dan lapisan masyarakat.

Iaitu budaya masyarakat yang mementingkan setiap daripada kita bertindak, berusaha, dan berkhidmat mencari barakah, dan benci akan, serta mengelakkan rasuah. - Rafidah Aziz Utusan Malaysia Rencana 6 Julai 2015

Malaysia kongsi kepakaran

DALAM apa jua situasi atau program yang mahu dilaksanakan, perbincangan atau perkongsian idea selalunya memberi hasil yang lebih baik berban­ding jika dilakukan berseorangan.

Tambahan pula dalam isu melibatkan pendidikan, sudah tentu pandangan pakar dari dalam negara serta pengalaman negara-negara jiran dan serantau boleh diambil kira jika hasilnya terbukti mampu melahirkan sumber tenaga yang menepati kehendak nasional.

Semangat itu yang ditonjolkan oleh Malaysia pada Persidang­an Menteri-Menteri Pendidikan Komanwel (CCEM) Ke-19 di Nassau, Bahamas akhir bulan lalu dalam usa­ha membantu sesama negara anggota pertubuhan itu meningkatkan kualiti pendidikan dan latihan.

Hal ini kerana Malaysia menye­dari semua negara waima yang kecil dan miskin pun mempunyai ke­lebihan serta pencapaian tersendiri dalam bidang-bidang yang kita masih ketinggalan dan kepakaran mereka boleh dikongsi bersama.

Menyedari potensi besar yang boleh dimanfaatkan daripada perkongsian pengalaman dan ilmu, banyak yang ditawarkan oleh Malaysia kepada rakan-rakan anggota Komanwel bagi melihat peningkat­an pembabitan serta percantuman idea dan perkongsian pintar.

Komitmen terbaharu Malaysia itu dizahirkan menerusi pemberian sumbangan AS$200,000 (RM750,000) untuk membantu Commonwealth of Learning (COL) ke arah mencapai matlamat me­ningkatkan pendidikan dan latihan vokasional yang diperlukan oleh negara-negara anggota.

Bantuan Malaysia itu sememang­nya dinanti-nantikan oleh negara-negara kecil terutama di rantau Afrika dan Kepulauan Caribbean untuk meningkatkan sektor pendidikan mereka.

Justeru, tidak hairanlah apabila pengumuman oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan itu disambut dengan tepukan.

Pengumuman itu adalah iltizam Malaysia untuk membantu COL, penerima sumbangan berkenaan ke arah mencapai matlamatnya.

Beribu pejabat di Burnaby, Bri­tish Columbia, Kanada, COL menggalakkan pembangunan dan perkongsian pembelajaran terbuka serta pene­rokaan ilmu pendidikan, sumber dan teknologi secara jarak jauh.

Turut ditonjolkan adalah Rangka Tindakan Pendidikan Malaysia yang meliputi pendidikan prasekolah, pendidikan asas, hinggalah kepada pendidikan tinggi dan pembelajaran sepanjang hayat melalui pelbagai inisiatif yang disediakan dalam pelbagai bidang.

Paling menarik perhatian negara anggota adalah usaha Malaysia untuk memperkemaskan penawaran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), termasuk cara bagi meningkatkan kesedaran dan kemahiran pelajar selain fokus utama terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), iaitu formula dan kemahiran yang diperlukan untuk membangunkan sumber manusia sesebuah negara.

Antara negara yang menerima manfaat daripada perkongsian pintar dengan Malaysia adalah Bahamas dan Jamaica, dua negara kecil di Kepulauan Caribbean.

Bahamas bakal menerima bantuan Malaysia untuk melaksanakan latihan dalam bidang-bidang yang mereka perlukan manakala Jamaica pula lebih berminat untuk mengadakan kerjasama dalam sektor pendidikan tinggi.

Malaysia pula menerima faedah daripada kerjasama itu apabila Jamaica menawarkan kepakaran mereka dalam pembangunan sukan.

Dengan rekod cemerlang dalam melahirkan jaguh-jaguh Olimpik olahraga seperti Usain Bolt, tawaran Jamaica itu datang tepat pada masanya memandangkan bidang berkenaan bukan kekuatan Malaysia.

Pada Sukan SEA 2015 di Singa­pura, pencapaian Malaysia dalam olahraga jauh ketinggalan berban­ding negara-negara serantau de­ngan hanya mengutip tiga emas.

Menerusi tawaran Jamaica itu, Malaysia boleh belajar sistem pendidikan sukan di sekolah-sekolah di negara berkenaan termasuk kurikulum sukan, jadual latihan serta kandungan akademik yang diguna pakai.

Paling penting, sistem pendidikan sukan itu nanti turut akan memberi manfaat kepada Kementerian Belia dan Sukan dalam melahirkan golongan atlet menerusi tiga sekolah sukan sedia ada dan dua lagi yang akan dibangunkan.

Pembangunan sukan juga boleh membantu Kementerian Pendidikan menjayakan dasar 1Murid 1Sukan sebagai usaha melahirkan pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek selain sebagai alat utama perpaduan kerana telah terbukti bahawa sukan boleh menyatupadukan masyarakat berbilang kaum. - Nor Aziah Jaafar Utusan Malaysia Rencana 6 Julai 2015

Cinta dan belas kasih 
ubat penderaan

Hidup ini dibina atas cinta dan rahmat. Tanpa cinta dan kasih hancurlah kehidupan. Hubungan antara keluarga juga hendaklah atas cinta dan belas kasih. Seorang anak hendaklah dibesarkan atas belas kasih, bukan kebencian ibu bapa.

Demikian menurut Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dalam tulisannya yang bertajuk, Hidup Ini Bernafaskan Cinta Kasih.

Namun apa yang berlaku pada hari ini amat menakutkan. Tragedi yang berlaku di Rantau Panjang apabila seorang kanak-kanak berusia 5 tahun diperlakukan sehingga mendatangkan kecacatan kekal akibat patah di 13 bahagian tulang amat mengejutkan, tiada rasa cinta dan belas kasih.

Jiwa apakah yang ada dalam insan yang sanggup mela­kukan sedemikian rupa terhadap adik Nur Zuliana Zaara Zulkifli atau lebih mesra dengan panggilan Yaya? Ini adalah manusia berjiwa syaitan!

Namun jika direnung kembali, tragedi ini memberi petanda yang amat besar tentang perihal kehidupan sebuah keluarga pada hari ini kerana kejadian itu bukan kali pertama berlaku di negara kita biarpun jarang-jarang kedengaran.

Sekali berlaku, cukup mendatangkan rasa gerun yang amat sangat seolah-olah rasa cinta, kasih dan belas dalam kalangan keluarga tidak wujud sama sekali. Keretakan institusi keluarga memberikan kesan yang amat serius dalam kehidupan seorang kanak-kanak.

Tragedi yang berlaku atas Yaya adalah disebabkan keruntuhan rumah tangga ibu bapanya kira-kira tiga tahun lalu. Yaya dibela oleh ibu tiri yang berusia 25 tahun dan bapa kandungnya yang berusia 39 tahun.

Ibu kandung Yaya dikatakan tidak dibenarkan bertemu dengan anak tunggalnya sejak setahun lalu biarpun mereka tinggal di kawasan yang sama, Rantau Panjang, pekan yang bersempadan dengan Thailand.

Kanak-kanak yang belum mumayyiz - tidak dapat membezakan mana yang bermanfaat dan mana yang buruk untuk dirinya itu dikatakan mula didera kira-kira enam bulan lalu. Cikgu di tabikanya mengesan kesan lebam pada anak ini pada Mac lalu.

Ini beerti kehidupan Yaya sebelum itu mungkin sempurna sehingga ada sesuatu yang berlaku yang mengubah jiwa keibuan wanita tersebut kepada kebencian yang melampau. Kerana apa ini berlaku? Persoalan yang harus dijawab kerana ini adalah punca untuk mengubati penyakit ini.

Apa yang pasti, kes dera melibatkan kecelaruan jiwa individu terbabit sehingga menerbitkan perasaan yang lebih dahsyat daripada seekor haiwan. Benar, pelaku ini harus dihukum supaya menjadi pengajaran di masa depan namun mencegah daripada berlaku adalah lebih baik daripada itu. Kita harus mencari jalan untuk mengubati jiwa manusia yang sudah hilang cinta, kasih dan sayang dek kerana cara hidup yang serba kompleks pada hari ini.

Kehidupan moden menyebabkan kita menjadikan nafsu sebagai pedoman hidup. Nafsu membuatkan manusia hari ini mengejar kebendaan tanpa memikirkan kesannya.

Maka nafsu akan dijadikan sebagai rujukan apabila timbul sesuatu masalah kerana nafsu telah dijadikan pedoman hidup sejak sekian lama.

Justeru, kita perlu kembali kepada kehidupan yang berlandaskan kepada agama sebagai petunjuk kepada setiap keputusan yang akan diambil biar masalah sebesar mana sekali pun. Islam adalah cara hidup yang sempurna, penuh dengan cinta dan rahmat.

Pada masa sama, masyarakat juga harus peka dengan keadaan sekeliling. Sifat menjaga tepi kain orang dalam konteks yang positif harus dihidupkan semula seperti kehidupan kita sebelum abad ke-21. Sikap ambil peduli dapat mengelak tragedi seperti ini berulang lagi. Untuk itu, kita harus memastikan cinta dan rahmat itu sentiasa subur dan berkembang dalam masyarakat kita.

Mohd Asri dalam kesimpulannya mengenai cinta dan belas kasih berkata :

“Kita tidak boleh hidup dengan kebencian, kita hanya boleh dan wajar hidup dengan cinta dan rahmat. Kehidupan yang dibina atas kebencian hanya akan merosakkan fitrah insani yang Allah ciptakan. Kembali kepada syiar Nabi SAW: “Sesungguhnya sesiapa yang tidak kasih, dia pula tidak akan dikasihi.”

Harapnya cinta dan kasih terus subur dalam jiwa setiap rakyat Malaysia. - Azran Fitri Ibrahim Utusan Malaysia Rencana 6 Julai 2015