July 8th, 2015

Rumah api pulau pisang di tanah kita

BARU-BARU ini, Malaysia digegarkan dengan isu sem­padan negara yang bolos dan tidak dikawal rapi. Bagaimana pula dengan pulau-pulau di perairan ki­ta? Adakah pulau-pulau ini di bawah pengawasan kita sepenuhnya?

Pulau Pisang adalah sebuah pulau kecil di pantai barat daya Johor yang dikelilingi perairan Selat Melaka. Terdapat sebuah rumah api yang dibina di atas pulau yang terletak kira-kira 12 kilometer dari Pontian Kecil dan lima kilometer dari Benut ini. Sehingga kini, rumah api ini diselenggara oleh Lembaga Maritim dan Pelabuhan (MPA) Singapura. Terdapat keresahan bahawa sekiranya keadaan ini berlarutan, mungkinkah Pulau Pisang akan menjadi Pedra Branca kedua?

Selat Melaka antara laluan per­kapalan tersibuk di dunia. Bagi me­mastikan kelancaran pelayaran, pihak British telah membina sebuah rumah api di puncak Pulau Pisang pada 1914. Selama lebih seabad, rumah api Pulau Pisang berfungsi sebagai instrumen bantuan pelayaran bagi kapal-kapal yang menuju ke arah bukaan barat Selat Melaka membentang ke Selat Singapura. Walaupun Pulau Pisang tetap berada di bawah kedaulatan Malaysia, rumah api Pulau Pisang sehingga kini masih diselenggara pihak Singapura.


PEMANDANGAN dari udara, Pulau Pisang yang terletak di perairan Johor, kira-kira 20 kilometer dari Pontian. Bulatan menunjukkan rumah api yang diurus oleh Singapura sebagaimana di Batu Putih. – Gambar FAIL

Aturan aneh ini lahir hasil perjanjian yang ditandatangani pada tahun 1900 di antara Sultan Johor, Sultan Ibrahim ketika itu dengan Sir James Alexander Sweethenham, Gabenor negeri-negeri Selat. Perjanjian ini antara lain mengakui kedaulatan Johor ke atas Pulau Pisang dan sebagai galang ganti, pihak Johor memberikan hak kekal kepada British untuk selama-lamanya menguruskan rumah api tersebut (termasuk tanah di mana rumah api itu akan didirikan) serta lot tanah di mana jalan dari jeti menuju ke rumah api itu akan dibina.

Apabila Singapura dikeluarkan dari Persekutuan Malaysia pada 1965, tanggungjawab mengelolakan rumah api tersebut dianggap telah bertukar tangan kepada kerajaan Singapura dan Malaysia setakat ini­ be­lum mempunyai niat untuk mengambil alih pengurusan rumah api tersebut dari MPA.

Pada 2002, terdapat panggilan-panggilan yang menyeru kerajaan Malaysia memajukan pulau tersebut dan meminda fasal-fasal di dalam perjanjian yang ditandata­nga­ni oleh Sultan Johor lebih seabad lalu. Sejak tahun berkenaan, penjaga rumah api dari Singapura dikehendaki memasuki Pulau Pisang melalui kaunter imigresen Malaysia di Kukup sebelum ke sana.

Pada 2003, Menteri Luar Singa­pura memaklumkan kepada Parlimen Singapura bahawa Pulau Pisang adalah milik Malaysia. Beliau mengulangi pendiriannya bahawa Singapura tidak pernah mempersoalkan kedaulatan Malaysia ke atas Pulau Pisang, akan tetapi, peng­urusan rumah api Pulau Pisang harus kekal bersama Singapura.

Setelah bertahun-tahun meng­uruskan rumah api ini, pihak Singa­pura telah memperluaskan kawasan rumah api di puncak Pulau Pisang apabila negara tersebut membina pagar kedua yang terletak 100 meter dari pagar lama. Singapura juga telah memperbesarkan jalan bagi memudahkan pergerakan kendera­an-kenderaan berat menuju ke rumah api berkenaan. Sehingga kini, pengunjung-pengunjung Malaysia ke pulau berkenaan tidak dibenarkan mendekati rumah api tersebut. Kehadiran pihak Singapura di pulau ini menunjukkan, secara tersurat atau tersirat, bahawa kedaulatan Malaysia ke atas Pulau Pisang belum sepenuhnya muktamad.

Undang-undang antarabangsa menyebut bahawa sesebuah negara boleh memiliki wilayah baru mengikut beberapa cara, iaitu menerusi preskripsi atau penyerahan. Sesebuah negara boleh mendapatkan kedaulatan ke atas sesebuah wilayah sekiranya kedaulatan tersebut dipindahkan atau diserahkan oleh sesebuah negara kepada negara lain.

Sultan Johor menerusi Perjanjian 1900 memberikan hak selama-lama­nya kepada British sebahagian dari wilayahnya (kawasan di mana terletaknya rumah api, jalan yang menuju ke rumah api dan jeti) kepada kerajaan negeri-negeri Selat di Singapura. Ini adalah sebab utama kenapa sehingga kini rumah api Pulau Pisang masih diuruskan oleh MPA walaupun kedaulatan ke atas Pulau Pisang adalah bersama Malaysia.

Di bawah undang-undang antarabangsa, preskripsi merujuk kepada pemilikan kedaulatan ke atas sesuatu wilayah melalui amalan pemerintahan (actual exercise of sovereignty) yang dikekalkan untuk sesuatu jangka masa lama dengan tidak dibantah oleh mana-mana negara lain. Pengurusan Pulau Pisang oleh pihak Singapura telah berlangsung sejak tahun 1900 dan berterusan sehingga hari ini tanpa sebarang bantahan rasmi dibuat oleh pemerintah Malaysia.

Dalam menentukan kedaulatan ke atas Pulau Sipadan dan Pulau Ligi­tan, Mahkamah Keadilan Antara­bangsa (ICJ) mengambil kira soal ‘amalan pemerintahan sebenar’ atau effective occupation, sama ada telah diamalkan secara berterusan oleh negara yang membuat tuntutan.

Sejak 1914, pihak British meng­ambil langkah-langkah bagi meng­urus dan mengawal pengambilan telur penyu di atas Pulau Ligitan dan Pulau Sipadan tanpa sebarang bantahan dari kerajaan Belanda yang memerintah Kalimantan Utara pada ketika itu. Aktiviti-aktiviti ini kemudiannya terus dijalankan tanpa henti oleh Sabah ketika menyertai gagasan Malaysia pada 1963, sekali lagi tanpa sebarang bantahan yang berterusan oleh negara pewaris Hindia Timur Belanda, Indonesia.

Oleh itu, pihak ICJ telah memberikan pengakuan kedaulatan Malaysia ke atas pulau-pulau ini berlandaskan effective occupation yang ditunjukkan oleh pemerintah Sabah, sebelum dan selepas kemerdekaan melebihi langkah-langkah yang diambil oleh pihak Belanda atau Indonesia.

Dengan merujuk kembali kepada rumah api Pulau Pisang, Singapura telah dengan secara aktif terlibat di dalam pengurusan rumah api tanpa bantahan berterusan dari pihak Malaysia. Sekiranya perkara ini tidak dibendung, kedaulatan penuh Malaysia ke atas Pulau Pisang mungkin, pada masa akan datang, dipersoalkan terutama sekali di kawasan tanah yang mana rumah api itu didirikan.

Perkara ini sangat membimbangkan kerana jika Singapura berhasil menuntut sebahagian kecil wilayah di atas Pulau Pisang, negara tersebut juga berhak mendapatkan wilayah kelautan di Selat Melaka yang ketika ini hanya dikongsi oleh dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia. Setelah kehilangan Pulau Batu Puteh yang sekarang ini secara rasmi dinamakan semula sebagai Pedra Branca, Malaysia tidak boleh membiarkan pisang berbuah dua kali.

Tujuh tahun telah berlalu sejak keputusan mengenai Pedra Branca dibuat oleh ICJ, namun ia masih menghantui rakyat dan pemerintah Malaysia. Memang benar Singapura telah membuat kenyataan yang memperakukan kedaulatan Malaysia ke atas Pulau Pisang. Akan tetapi, bagaimanakah sesebuah negara itu boleh secara positif benar-benar memastikan kedaulatan ke atas seluruh wilayahnya jika sebahagian daripadanya masih lagi diuruskan oleh negara asing?

Bagi mengukuhkan kedaulat­an Malaysia ke atas Pulau Pisang, Perjanjian 1900 itu perlu disemak semula dan pengurusan ke atas rumah api ini perlu diserahkan kepada Jabatan Marin Malaysia. Malaysia juga boleh mempertimbangkan untuk menempatkan boya-boya di kawasan Pulau Pisang bagi menggantikan rumah api tersebut sebagai alat bantu pelayaran. Fungsi rumah api sebagai alat bantu pelayaran sebenarnya sudah luput ditelan zaman dan tidak secekap penggunaan boya dalam pelayaran zaman moden.

Dengan adanya boya-boya ini, rumah api ini boleh dinyahfungsikan dan MPA Singapura tidak ada keper­luan untuk terus berada di Pulau Pisang yang diakui oleh pemerintah Singapura sendiri sebagai milik Malaysia.

Pemerintah Johor boleh mem­pertimbangkan juga untuk men­trans­formasikan Pulau Pisang sebagai destinasi ekopelancongan seperti yang dilakukan oleh kerajaan Pulau Pinang ke atas Pulau Jerejak. Langkah ini pen­ting bagi memastikan penguasaan Malaysia sepenuhnya ke atas Pulau Pisang tidak dilecehkan. Pulau Pisang adalah sah milik Malaysia dan kita perlu memastikan agar pulau ini tidak terlepas ke tangan negara lain.

Realiti ekonomi Malaysia

MINGGU lalu, banyak kisah ekonomi dipaparkan di dada-dada akhbar. Antara kisah yang paling diketengahkan sudah tentu tidak lain tidak bukan mengenai pengekalan gred A oleh firma penarafan antarabangsa, Fitch Ratings terhadap kedudukan kredit negara. Fitch Ratings juga telah menaikkan prospek Malaysia daripada negatif kepada stabil.

Ekoran pengumuman Fitch Ratings tersebut, Bursa Malaysia telah mengalami peningkatan pada Khamis lalu. Meskipun terlalu awal untuk memperkatakan apakah kesan pengumuman firma penarafan ini, namun serba sedikit melegakan pihak kerajaan dan pemain-pemain industri ekonomi negara.

Berbanding Standard & Poor dan Moody’s, Fitch Ratings kelihatan lebih dibimbangi jika ia memberi penarafan yang kurang elok terhadap kedudukan kredit negara. Lebih-lebih lagi dengan pelbagai persepsi dan sentimen yang dimainkan oleh segelintir pihak seolah-olah ekonomi negara terlalu teruk, sedikit sebanyak boleh membentuk pandangan negatif pihak antarabangsa terhadap ekonomi negara.

Walhal, ekonomi negara tidaklah teruk seperti disangka. Malah, jauh lebih baik berbanding negara-negara lain di rantau ini. Kedudukan kewangan negara lebih kukuh apabila cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan dan pada masa yang sama subsidi minyak dihapuskan.

Realitinya, terlalu banyak mainan politik yang menunjangi persepsi ekonomi Malaysia. Mainan politik inilah yang berlegar-legar di media sosial dan alam maya. Mereka yang hanya berbekalkan modal persepsi tersebut telah memalsukan fakta sebenar dengan mereka-reka gambaran buruk mengenai ekonomi Malaysia.

Natijahnya, bagi mereka yang hanya bersandarkan persepsi palsu tersebut terus mempercayainya tanpa menyelidiki fakta dan realiti sebenar. Kelompok ini makin lama makin ramai sehinggakan ramai rakyat Malaysia menyakini persepsi palsu ini sebagai fakta sebenar.

Dalam hal ini, mereka yang menabur pelbagai persepsi tersebut sebenarnya tidak langsung membantu ke arah kebaikan rakyat dan negara ini. Setiap daripada kita bertanggungjawab terhadap setiap perkara yang dilemparkan di laman-laman sosial dan maya. Jadilah rakyat yang bertanggungjawab untuk negara dan bukannya sekadar melemparkan fitnah dan tohmahan yang tidak langsung membina negara ke arah kebaikan.

Malang sekali kerana tatkala ramai warga asing berpusu-pusu menyabung nyawa untuk datang ke negara kita, kita pula tidak menghargai dan bersyukur dengan nikmat yang diberikan oleh Allah SWT. Dikhabarkan bahawa seramai 1.5 juta warga asing akan dibawa masuk ke negara kita. Bukti bahawa Malaysia sebuah negara yang amat didambakan oleh warga asing untuk bekerja dan mencari rezeki. Meskipun ini bukti kemakmuran ekonomi Malaysia, namun jangan dilupakan kebajikan pekerja rakyat Malaysia.

Ramai yang tidak bersetuju dengan cadangan untuk membawa masuk sebegitu ramai pekerja asing ke Malaysia. Mereka yang tidak bersetuju ini ada di antaranya bekas menteri. Sememangnya saya amat yakin, hampir keseluruhan rakyat Malaysia tidak bersetuju dengan kemasukan warga asing secara besar-besaran ke Malaysia kecuali mereka yang boleh buat duit dengan kemasukan warga asing ini. Usah sesekali salahkan rakyat Malaysia memilih kerja sebagai alasan untuk mengambil warga asing bekerja di Malaysia.

Negara-negara maju pun beransur-ansur untuk mengurangkan pekerja asing kerana banyak keburukan berbanding kebaikan. Warga Malaysia bukanlah memilih kerja. Mereka mahu bekerja tetapi pekerjaan yang boleh menampung kos kehidupan yang terlalu tinggi.

Warga asing di Malaysia pula menerima pelbagai manfaat apabila banyak kemudahan disediakan oleh majikan termasuklah tempat penginapan dan makan minum mereka, manakala rakyat Malaysia mahu tidak mahu kena juga membeli rumah sendiri yang kini harga terlalu mahal. Harga yang mahal ini pula dikenakan oleh pemaju-pemaju perumahan yang juga merupakan majikan kepada pekerja asing. Jadi, tidakkah kita masih tidak nampak yang mendapat manfaat besar hanyalah majikan dan warga asing?

Berapa ramai sangatlah majikan di Malaysia berbanding kebajikan dan kesejahteraan berpuluh-puluh juta rakyat Malaysia? Kalau pelaburan langsung asing (FDI) masuk ke Malaysia ekoran penarafan yang lebih baik oleh agensi penarafan antarabangsa, majikan masih lebih mengutamakan menggaji warga asing yang berkos rendah ini, manakala majoriti rakyat Malaysia bukan setakat terpaksa mengharungi kos sara hidup yang tinggi dengan segala-gala mahal terutamanya keperluan asas seperti rumah, makanan dan minuman serta kos pengangkutan tetapi juga terpaksa menjalani kehidupan yang tidak selesa dan bimbang dengan keselamatan ekoran kehadiran terlalu ramai warga asing.

Ini belum disebut kesan-kesan negatif lain yang berimpak tinggi dalam jangka masa panjang. Tidak mustahil satu hari nanti warga asing ini meminta pelbagai manfaat yang dinikmati oleh rakyat Malaysia. Tidak mustahil juga suatu hari nanti mereka pun terlibat dalam membuat keputusan dasar dan polisi negara.

Jadi, apa yang perlu ditunggu lagi? Sewajarnya mereka dihantar pulang dan kekosongan ini diisi oleh rakyat Malaysia. Yakinilah rakyat Malaysia mampu mengambil alih kekosongan ini secara menyeluruh. Percayalah, pemikiran di luar kotak dan strategi lautan biru dapat menangani isu ini.

Misalnya, dengan usaha kerajaan melalui Perkongsian Awam-Swasta Sosial (Sosial PPP) bertujuan memperjuangkan kesejahteraan sosial rakyat Malaysia. Dalam hal ini, utamakan kesejahteraan sosial rakyat Malaysia dalam apa juga tindakan, dasar dan polisi. Realiti ekonomi Malaysia yang semakin mantap sewajarnya diagih-agihkan secara adil hanya untuk warga negara Malaysia. Ini kerana walau apa pun berlaku, di sinilah tanah tumpah darah mereka sehingga ke akhir hayat. - Rohami Shafie Utusan Malaysia Rencana 8 Julai 2015

Jujurlah dalam perniagaan

BIASANYA, setiap kali menje­lang musim perayaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan menyenaraikan barang kawalan supaya tidak diambil kesempatan oleh peniaga untuk mengaut keuntungan berlebih-lebihan.

Bagi perayaan Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut minggu depan, KPDNKK telah menyenaraikan 21 jenis barang kawalan yang akan dipantau supaya peniaga tidak menaikkan harganya sesuka hati memandangkan barang-barang tersebut adalah barang keperluan. Skim kawalan harga tersebut dilaksanakan selama 17 hari bermula hari ini sehingga 23 Julai nanti. Peniaga yang ingkar akan dikenakan tindak­an sewajarnya oleh KPDNKK.


PENIAGA jujur tidak menekan pelanggan sebaliknya memudahkan pelanggannya mendapatkan barangan diperlukan tidak kira masa. UTUSAN/ROSNI MASRI

Di samping itu, isu pencatutan harga bagi barang-barang lain akan diberi perhatian kerana kenaikan melampau harga akan turut memberi kesan terhadap sambutan sesuatu perayaan. Kenaikan harga yang tidak munasabah bagi sesetengah barang di pasaran tentu menimbulkan rasa tidak senang hati dalam kalangan pengguna.

Kenaikan harga barang akan berlaku apabila wujudnya sikap mahu mencari untung lebih menguasai diri seseorang peniaga. Peniaga akan melanggar etika perniagaan dengan menaikkan harga barang kerana berlaku permintaan tinggi dalam kalang­an pengguna. Oleh itu, para peniaga mesti mempertahankan etika perniagaan mereka supaya pelanggan tidak teraniaya pada musim perayaan.

Malangnya, masih wujud sikap sesetengah peniaga yang mahu mencari keuntungan lebih dan selalunya akan membawa pula kepada satu masalah iaitu tidak jujur dalam menjalankan perniagaan mereka. Tidak hairanlah terdapat sesete­ng­ah peniaga menjual sesuatu barang yang kurang berkualiti tetapi menge­nakan harga tidak sepadan. Ada pula peniaga menaikkan harga barang sesuka hati kerana mereka tahu akan berlaku permintaan tinggi ke atas pelbagai jenis barang pada musim perayaan.

Dalam pada itu, keadaan menjadi lebih malang apabila terdapat dalam kalangan peniaga menyorok barangan tertentu setelah mende­ngar ura-ura harga barang tersebut akan dinaikkan dengan harapan mereka akan mendapat keuntungan yang lebih tinggi.

Soal kenaikan harga barang bukanlah isu baharu kerana apabila tibanya musim perayaan, setiap kali kakitangan kerajaan atau swasta dinaikkan gaji dan diberi bonus dan juga setiap kali menje­lang pembentangan belanjawan, ada sesetengah barang tiba-tiba sahaja berkurang­an di pasaran.

Peniaga yang jujur tidak menekan pelanggan tetapi memudahkan pelanggannya mendapatkan barangan yang diperlukan tidak kira masa. Peniaga jujur juga ialah peniaga yang cuba sedaya upaya memuaskan hati pelanggannya seperti menyediakan keperluan yang diingini, bersesuaian dengan harga dikenakan dan mengelak timbulnya sebarang rungutan selepas pengguna berurusan dengan mereka.

Dalam bidang perniagaan, kejujuran adalah satu asas penting. Peniaga-peniaga yang mengamalkan sikap jujur tidak akan kehilang­an pelanggan mereka dengan mudah malah bilangan pelanggan akan bertambah dari semasa ke semasa. Malah, mereka juga akan bebas dari­pada tindakan pihak berkuasa jika didapati bersalah dalam soal perniagaan.

Bidang perniagaan yang semakin mencabar mestilah disertai sikap jujur tetapi bukannya menekan pengguna kerana keuntungan bersih dalam perniagaan biarlah lebih ‘bersih’ daripada segala aspek penipuan, penyelewengan dan sebagainya.

Ketika kos sara hidup semakin meningkat sekarang, pengguna sebenarnya mestilah bijak dalam menentukan setiap urusannya de­ngan peniaga. Pengguna mestilah sentiasa berwaspada dengan segala taktik licik peniaga yang mahu mengambil kesempatan atas sesuatu situasi dalam perniagaan mereka.

Pengguna pula mestilah bijak berbelanja, membeli barang-barang yang benar-benar diperlukan sahaja, membuat perbandingan harga dan membeli ketika adanya tawaran harga.

KPDNKK mengadakan pelbagai kempen tentang kepenggunaan dengan harapan dapat mendidik pengguna agar bijak mengendalikan perbelanjaan mereka.

Apa pun, kempen yang diadakan tidak akan mencapai matlamatnya jikalau pengetahuan tentang kepenggunaan ini tidak diamalkan oleh pengguna. Kuasa untuk menentukan tinggi rendahnya harga sesuatu barang sebenarnya ada di tangan pengguna tetapi oleh sebab pengguna tidak serik-serik ditambah pula dengan kerenah peniaga, kebanyakan harga barang di pasaran naik dengan mendadak dan sukar diturunkan semula.

Sikap pengguna yang sering membantu peniaga memanipulasi keadaan akan menggagalkan setiap kempen diadakan. Contohnya, pengguna yang boros berbelanja seolah-olah memberi lesen kepada peniaga untuk terus menekan pengguna. Setiap pengguna mempunyai ke­sedaran untuk berjimat-cermat tetapi kadang-kadang mereka ditewaskan oleh pelbagai strategi peniaga yang sentiasa menarik minat pengguna membeli barangan mereka.

Dalam pada itu, pengguna tidak dapat mengelak daripada membeli barang keperluan asas seperti bahan makanan dan pakaian, tetapi bagi pengguna yang bijak, mereka akan mengurangkan kadar pengambilan makanan, beralih kepada bahan makanan lain dan masih menggunakan barang-barang lama yang masih boleh diguna pakai.

Semua pihak sangat-sangat berharap pemantauan pihak berkuasa terhadap barang-barang keperluan pada musim perayaan diperhebat. Tugas mereka membanteras setiap penyelewengan dalam perniagaan mesti diperluaskan dengan meng­adakan gerakan secara menyeluruh.

Meskipun Hari Raya Aidilfitri setahun sekali tetapi tidak semestinya peniaga mengambil kesempatan mengabui mata pengguna.

Kebenaran tanpa persepsi

SECARA umum ada empat jenis kebenaran. Iaitu fact-based truth (ada fakta yang jelas ingin dilihat dan dinilai. Sering juga disebut scientific-based truth).

Kedua, perception-based truth (berdasarkan persepsi semata-mata).

Ketiga, faith iaitu diterima begitu sahaja sebagai sebuah doktrin tanpa perlu dibuktikan. Sebahagian menyebutkan bahawa ini termasuk kepada perception-based truth serta absolute-truth (kebenaran mutlak).

Umumnya juga, konstruksi sosial pada masyarakat seperti kehidupan ekonomi, hukum, sosial budaya dan politik, dilakukan berdasarkan perception-based truth dan faith, sedangkan fact-based truth lebih banyak dipergunakan untuk hal-hal yang sifatnya scientific atau ilmu pengetahuan dan teknologi.

Absolute-truth adalah suatu kebenaran mutlak, pasti benar. Tetapi sukar dinilai oleh manusia sepenuhnya kerana keterbatasan ilmu manusia. Ia di luar jangkauan manusia. Manusia hanya boleh menilai sebahagian kecil dari absolute-truth, iaitu fact-based truth. Dan hanya boleh mempersepsikan suatu kebenaran iaitu perception-based truth (termasuk juga faith).

Bercakap tentang kebenaran atau truth, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin menegaskan, beliau akan berusaha menegakkannya yang bakal dibuktikan kelak.

Kenyataan beliau dalam nada yakin itu diungkapkan ketika serangan terhadap kepimpinannya yang dikaitkan dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terus memuncak dari dalam dan luar negara.

Dalam isu dakwaan 1MDB, bukan sahaja dilaporkan dalam Wall Street Journal (WSJ) tetapi juga dalam akhbar-akhbar lain dan stesen TV terkemuka dunia antaranya CNBC dan Channel News Asia.

Menangani isu ini, pemimpin kerajaan tidak ada pilihan selain bertindak segera menyaman pihak-pihak berkenaan - yang mendakwa berlaku penyaluran AS$700 juta (RM2.6 bilion) ke akaun peribadi Perdana Menteri.

Di rantau Asia Tenggara sendiri, beberapa pemimpin negara tetangga pernah berdepan dengan fitnah seakan-akan sama seperti dialami Perdana Menteri. Di Singapura, Perdana Menteri republik itu pada era lalu, Lee Kuan Yew menyaman beberapa media asing, antaranya berkaitan tohmahan dan fitnah. Dan sentiasa Kuan Yew memenangi kesnya.

Bekas Presiden Indonesia, Suharto pada 2007 menyaman majalah Time. Suharto menang kes itu dengan majalah terbitan Amerika Syarikat itu diperintah oleh mahkamah Indonesia supaya membayar ganti rugi RM360 juta kepadanya.

Saman fitnah itu berkisar artikel yang diterbitkan pada 1999 yang mendakwa bekas Presiden itu menyembunyikan kekayaan hasil rasuah di luar negara.

Kewartawanan media-media asing agak terbiasa ‘terpengaruh dengan sentimen’. Apa lagi jika ditulis dalam bentuk begitu meyakinkan dengan teknik-teknik penulisan seolah-olah profesional.

Dengan ini menjadi tanggungjawab bukan sahaja Perdana Menteri, bahkan pihak media tempatan untuk menulis sesuatu laporan dengan mencari bukti dan faktanya. Dari aspek lain, walaupun ada akta kerahsiaan untuk menyekat maklumat termasuk statistik yang diperlukan, pihak berkenaan termasuk Ambank yang turut dikaitkan dalam urusan 1MDB, mesti mengambil bahagian sama mempertahankan kebenaran.

Kalau dengan laporan media asing, rakyat mudah dihasut, ini tentu merupakan satu bencana kepada negara. Fact-based truth boleh diterima dengan mudah oleh setiap orang. Tetapi perception-based truth berpotensi menimbulkan perbezaan pendapat, debat, bahkan konflik.

Najib dalam satu program di Besut, Terengganu kelmarin meminta rakyat supaya tidak bimbang dengan pelbagai dakwaan tidak berasas yang dilemparkan terhadapnya dalam isu 1MDB. Beliau mengulangi pendiriannya tidak akan mengkhianati kepercayaan rakyat terhadapnya.

“Saya tidak akan khianati rakyat. Saya akan cari (jalan) untuk tegakkan kebenaran, bertenang, kebenaran akan terbukti,” kata Perdana Menteri. - Zulkifli Jalil Utusan Malaysia Rencana 8 Julai 2015

Baliklah kampung, duit boleh dicari ...

RAMAI marah-marah dan memuat naik status ‘berangin’ dalam laman-laman sosial apabila mengulas mengenai satu cadangan supaya orang ramai khususnya umat Islam tidak balik ke kampung tahun ini sebagai langkah berjimat cermat kerana kos sara hidup yang meningkat.

Cadangan berkenaan dikemukakan oleh seorang pakar kewangan dalam satu program televisyen, baru-baru ini.

“Nasib baiklah dia tidak cadang Hari Raya tahun ini ditangguhkan kerana hendak berjimat,’’ kata seorang lelaki dalam satu laman sosial.

Sememangnya, sejak kebelakangan ini, kita sudah biasa dengan cadangan-cadangan yang kadang-kala seperti tidak masuk akal dan membangkitkan rasa marah orang ramai mengenai hal-hal berjimat cermat.

Hakikatnya, bagi yang berpendapatan rendah, rata-rata mereka sudah tidak tahu apa lagi hendak dijimatkan. Apa lagi perbelanjaan yang hendak dipotong dan apa lagi kemudahan yang perlu dikorbankan.

Kita juga sudah biasa dengan saranan boikot, kalau harga ayam naik, jangan makan ayam, bila kadar tol naik, cari jalan alternatif, kalau harga petrol naik, naik kenderaan awam, jalan kaki atau berbasikal ke pejabat, itu lebih menyihatkan badan.

Cadangan-cadangan yang tidak banyak membantu ini, sebenarnya menambah lagi rasa ‘sesak’ kepala orang ramai. Maka sebenarnya, perlu difikirkan betul-betul sebelum hendak memberi cadangan kepada orang ramai, biarlah bernas. Fikirkanlah juga perasaan golongan rakyat yang berpendapatan rendah yang lebih merasa tertekan dan terbeban. Dan janganlah seperti memperbudak-budakkan mereka. Jika tidak, eloklah duduk diam-diam saja.

Dan apabila ada cadangan yang meminta orang ramai memikirkan agar jangan balik kampung pada Aidilfitri ini untuk mengubah cara perbelanjaan, kerana tidak perlu bayar tol dan bayar petrol selain perbelanjaan sampingan lain di kampung, ini lagilah menjentik-jentik serabut di kepala orang ramai yang sedang bergelut dengan peningkatan kos sara hidup ini.

Apa yang sepatutnya ditekankan di sini ialah berbelanja secara berhemat semasa membuat persiapan Hari Raya. Rancang perbelanjaan. Jika wang tidak cukup untuk petrol dan tol, janganlah banyak berhabis untuk membeli pakaian dan kuih muih.

Jangan cakap trend balik kampung setiap kali musim perayaan perlu diubah kepada yang tidak berduit. Pekerja asing yang membanjiri tempat-tempat awam setiap kali Hari Raya atau cuti umum, pun pasti pulang berjumpa keluarga masing-masing sekiranya keluarga mereka berada di negara ini.

Sudah tentu, wang bukan segala-galanya sehingga kita terpaksa pula mengorbankan hubungan dan nilai kekeluargaan semata-mata hendak jimat petrol dan tidak mahu bayar tol. Hubungan kekeluargaan bukan boleh dibeli dengan wang. Sudahlah kurang harta, kurang pula hubungan sesama keluarga dan rasa insani, apa lagi yang tinggal?

Sedangkan Hari Raya adalah masa untuk bersama-sama keluarga. Yang jarang-jarang balik ke kampung kerana sibuk dengan kerja atau mungkin juga faktor kewangan, tidak dapat pulang selalu, inilah masanya untuk menemui ibu bapa masing-masing.

Bukan saya kata Hari Raya baru hendak jenguk ibu bapa di kampung. Sepatutnya selalu. Tetapi tanyalah semua yang bergelar ayah dan ibu, mereka mahu anak mereka berada di depan mata pada setiap hari lebaran. Sanggupkah kita mengetepikan harapan orang tua, semata-mata mahu berjimat.

Maka baliklah kampung, gembirakanlah hati ibu bapa, sementara mereka masih ada dan berjumpalah dengan sanak saudara. Duit walau dalam payah pun masih boleh dicari dan diikhtiarkan. Ibu bapa jika sudah tiada, tidak akan mungkin ada gantinya lagi. - Fauziah Arof Utusan Malaysia Rencana 8 Julai 2015