July 14th, 2015

Buku ukuran negara maju

KEMAJUAN sesebuah negara ditentukan oleh rakyat yang berilmu dan mahir dalam pelbagai bidang; dan buku adalah satu daripada sumber ilmu terpenting. Malah, ukuran negara maju menetapkan nisbah setiap sejuta penduduknya, harus menerbitkan sekurang-kurangnya 1,000 judul buku baharu setiap tahun.

Berdasarkan piawaian antarabangsa, Malaysia perlu menerbitkan lebih 30,000 judul buku baharu menjelang 2020 jika benar kita ingin mendabik dada sebagai masyarakat di negara maju.



HASAN HAMZAH menunjukkan koleksi ensiklopedia terbitan YPBN di pejabat YPBN, Kuala Lumpur baru-baru ini. UTUSAN/ZAINI HUSIN

Pengerusi Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN), Hasan Hamzah berkata, penduduk Malaysia sekarang berjumlah 28 juta orang, seharusnya 28,000 judul buku baharu diterbitkan tahun ini.

“Bagaimanapun hanya 17,967 judul buku baharu diterbitkan pada tahun lepas. Malah, jumlah itu merosot daripada 19,987 terbitan judul baharu pada 2013,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Statistik judul buku didaftarkan di bawah Akta Penyerahan Bahan Perpustakaan, 1986 bagi 2010-2014 menunjukkan jumlah buku diterbitkan masih jauh dari sasaran sebenar sebuah negara maju.

Jumlah penerbitan buku pada 2010 ialah 15,756 judul, 2011 (17,923 judul) dan 2012 sebanyak 19,171 judul.

Begitupun kata Hasan, jika di­saring jumlah judul baharu mengikut bilangan International Standard Book Number (ISBN), penerbitan buku kita masih di bawah 50 peratus unjuran sebenar.

“Perlu diingat, terdapat kecenderungan para penerbit menukar judul tetapi isinya tetap sama dan memohon ISBN baharu sebagai strategi pemasaran, sedangkan secara kasar bilangan judul buku baharu yang benar-benar memenuhi prasyarat buku hanyalah sekitar 12,000 judul sahaja,” katanya.

Antara prasyarat ialah setiap judul dipohon ISBN mestilah manuskrip original baharu yang belum diterbitkan serta dicetak sekurang-kurangnya 500 naskhah dan terjual di pasaran terbuka.

Tegas Hasan, buku tersenarai dalam statistik ISBN sepatutnya boleh dianggap sebagai khazanah minda dan keilmuan yang melambangkan masyarakat Malaysia maju, bukan sekadar bahan bacaan fiksyen atau sebaliknya.

Dalam pada itu, beliau tidak menafikan trend membaca kalangan rakyat mempengaruhi penerbitan judul baharu buku dan pembelian buku juga dikatakan berkait rapat dengan pendapatan rakyat Malaysia.

Mengikut Kementerian Pendidikan Malaysia, tenaga pengajar di 7,760 buah sekolah rendah dan 2,394 buah sekolah menengah adalah sekitar 419,820 orang.

“Jika 10 peratus (%) daripada jumlah tenaga pengajar ini diberi Insentif Khas Cendekiawan untuk mengarang buku, maka lebih 40,000 judul buku baharu dapat dihasilkan.

“Begitu juga dengan pensyarah institut pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/S) berjumlah sekitar 40,000. Jika 20% daripada pensyarah diberi insentif, 8,000 judul buku baharu akan dihasilkan. Jadi, di manakah silapnya kekurangan penerbitan buku baharu?” soalnya.

Berdasarkan statistik Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan PBB (UNESCO), keluaran judul buku Malaysia adalah di tangga ke-22 dalam kalangan 124 negara di dunia pada 2011.

Seperkara jelas, Hasan berkata, industri buku di negara tidak diberi suntikan dana mencukupi untuk berkembang, selain pelaksanaan Dasar Buku Negara sewajarnya didokong oleh semua pihak.

“Sesuatu yang tidak kena sama ada sistem pembelajaran ataupun dasar yang tidak ambil peduli terhadap pentingnya karang-mengarang. Guru-guru bahasa misalnya adalah calon terbaik untuk jadi pengarang tetapi kenapa ini tidak berlaku?” soalnya.

Malaysia kata Hasan, perlu mencapai sasaran penerbitan sekurang-kurangnya 0.1% judul buku setahun bermula daripada sekarang bagi meletakkan kedudukannya seiring negara maju yang lain.

“Namun, sasaran ini amat bergantung kepada usaha bersepadu semua pihak khususnya Kementerian Pendidikan dan langkah memperbanyakkan bilangan terbitan judul buku juga sejajar dengan Dasar Industri Kreatif Negara,” jelasnya.

Mewujudkan Akademi Buku dan Kelab Buku pada skala besar, insentif khas untuk penerbit buku bagi mengembangkan perniagaan penerbitan buku, penerbitan sendiri hasil karya (sendiri karang, sendiri terbit, sendiri jual) harus dijadikan profesion baharu masyarakat berilmu serta E-book dan buku atas talian antara usaha yang boleh dilakukan untuk melonjakkan industri penerbitan khazanah ilmu negara.

“Menerusi akademi, kita melatih ketajaman pena para penulis sedia ada, manakala insentif khas sebagai galakan pensyarah dan profesor menulis buku. Sebagai dorongan, mungkin sebarang kenaikan pangkat harus merujuk jumlah judul buku yang berjaya diterbitkan,” katanya.

Bagi menyemarakkan penerbitan industri buku negara, Hasan mencadangkan Kementerian Pendidikan menyediakan bajet besar bagi membolehkan buku terkini ditempatkan di lebih 10,000 perpustakaan sekolah.

“Kementerian harus mewujudkan semula perpustakaan sekolah. Jangan dicantumkan dengan Pusat Sumber, manakala pembelian buku untuk perpustakaan sekolah harus diurus di peringkat kementerian.

“Dianggarkan RM1.5 bilion peruntukan diperlukan bagi membeli sekitar 3,000 naskhah buku fiksyen atau bukan fiksyen untuk diserapkan ke sekolah di seluruh negara. Dengan adanya pembelian terus oleh kerajaan melebihi 2,000 naskhah maka para penerbit tidak akan mengalami kerugian,” kata­nya.

Sementara itu, beliau yang juga Pengerusi Pesta Buku Antarabangsa (PBAKL) berkata, minat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia semakin bertambah dengan mendadak sekali, dan bukti dapat dilihat menerusi transformasi penganjuran PBAKL selama 10 hari pada April/Mei setiap tahun.

“Dari PBAKL yang dulunya ha­nya 200 gerai dengan jualan tidak sampai RM800,000, kini jualan gerai PBAKL diberitakan mencecah lebih RM20 juta hasil jualan buku fiskyen dan bukan fiksyen. Ini me­nunjukkan tahap pembacaan (minat dan rajin) sudah jadi satu feno­mena terutama dalam kala­ngan para pelajar menengah, siswa dan siswi,” katanya setiap judul novel kini dicetak melebihi 10,000 naskhah berbanding 2,000 naskhah dahulu yang mengambil masa lebih dua tahun untuk dijual.

Dalam perkembangan lain, Hasan berkata, selain beberapa program tahunan anjuran YPBN termasuk Anugerah Buku Negara, Ekspo Buku 1Malaysia, YPBN Book TV dan International Book Conference, pihaknya juga telah dan sedang menerbitkan beberapa buku baharu dalam tempoh 2012-2015.

Antara buku terbitan YPBN adalah Ensiklopedia Penyata Rasmi Parlimen, Ensiklopedia Malaysiana, Ensiklopedia Global, Ensiklopedia Melayu Global, Ensiklopedia Islam, Ensiklopedia Kesenian dan Warisan Islam, Ensiklopedia Remaja, Ensiklopedia Herba, novel, buku agama dan lain-lain.

“Kita juga sedang merancang penganjuran anugerah baharu mengiktiraf novel-novel popular yang diadaptasi kepada telenovela, selewat-lewatnya penghujung tahun ini. Langkah ini sebagai usaha menggalakkan lebih ramai penulis berbakat pada masa depan,” jelas­nya.

Bijak merancang elak dilema berhari raya

S: Apakah pandangan Prof terhadap dilema yang dihadapi perantau di bandar untuk pulang berhari raya?

Dr Mansor: Ini adalah antara fenomena yang dihadapi perantau setiap kali hendak pulang berhari raya. Ia memang tidak dapat dielak. Ini berlaku kerana sudah menjadi kebiasaan orang kita akan pulang ke kampung halaman untuk menyambut raya. Dulu mereka tinggal di kampung, apabila sudah dewasa bekerja dan terpaksa meninggalkan kampung halaman.

Maka, hari raya adalah hari yang terbaik untuk mereka berkumpul semula dengan adik-beradik dan saudara-mara bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan. Cuma apa yang menjadi dilema perantau ialah ada antara mereka sudah kematian ibu bapa. Biasanya, apabila ibu bapa sudah meninggal dunia, rumah asal terbiar menjadi usang dan uzur.


AMALAN balik kampung menjadi kewajipan warga kota untuk bersama keluarga menyambut Aidilfitri. - Foto hiasan
Jika ada adik-beradik yang mewarisi rumah itu, maka beruntunglah mereka kerana dapat balik ke kampung disebabkan ada tempat untuk menginap. Jika tidak ada sesiapa lagi tinggal di rumah itu, maka perantau ini perlu fikir di mana mereka hendak menginap.

Zaman sekarang, perantau sudah berfikir yang mereka tidak mahu menyusahkan sesiapa apabila balik beraya. Sebagai jalan penyelesaian, ramai yang memilih menginap di hotel atau inap desa kerana tidak mahu menyusahkan adik-beradik atau saudara mara selain mahukan keselesaan. Ini sesuatu perubahan yang semakin diterima masyarakat hari ini.

Bukan sesuatu yang pelik. Lagipun mereka balik tidak lama. Apa yang penting bagi mereka ialah niat untuk pulang beraya dan mengeratkan silaturahim dengan saudara-mara tercapai.

S: Mengapa Prof kata fenomena pulang beraya tetapi tidur di hotel atau bukan di rumah saudara-mara, bukankah ini sesuatu yang luar biasa?

J: Inilah istimewanya orang Melayu kita. Mereka mudah dan cepat menyesuaikan diri dengan perubahan walaupun ia mungkin agak janggal. Ketika ibu bapa masih hidup, mereka pulang ke rumah mereka dan meneruskan tradisi menyambut raya bersama saudara-mara dan jiran sekampung.


Maka, walaupun ibu bapa sudah tiada, semangat mahu beraya di kampung bersama saudara-mara seperti sepupu, mak dan bapa saudara tidak padam kerana ada memori istimewa bersama mereka setiap kali menyambut raya. Ikatan yang terbina itu tidak terputus. Jika mereka menginap di hotel atau inap desa, itu kerana tidak mahu membebankan adik-beradik atau saudara-mara mereka.

Namun, budaya mengunjungi saudara tetap diteruskan. Kadang-kadang mereka sudah merancang jadual untuk menziarahi saudara-mara seperti keluar awal pagi dan pulang lewat malam. Malah ada yang mengajak dan membelanja saudara-mara di kampung, makan di restoran.

Masyarakat Melayu ini unik. Semakin besar mobiliti sosial mereka, semakin kuat semangat mereka pada agama. Kalau mereka lupa Tuhan, mereka tidak akan meneruskan budaya pulang ke kampung dan menziarahi saudara-mara. Ini membantu mengukuhkan hubungan sesama keluarga.

S: Tidakkah perkembangan ini boleh merenggangkan hubungan perantau dengan saudara-mara mereka?

J: Dalam konteks kehidupan hari ini, memang hubungan kekeluargaan itu nampak renggang kerana masing-masing tinggal berjauhan. Namun, perlu disedari perantau ini sebenarnya bukan tidak berhubung, bahkan hubungan antara mereka sebenarnya amat erat kerana ahli keluarga dikumpulkan menerusi aplikasi group WhatsApp.

Menerusi perbincangan dalam group inilah, mereka merancang bagaimana hendak menyambut hari raya. Itu sebabnya perantau menjadi lebih ghairah untuk pulang berhari raya di kampung.

S: Bermakna, orang kita bersikap terbuka dengan perubahan ini?

J: Ya. Mereka sebenarnya mengadaptasi perubahan. Malah, tindakan mereka ini menginap di hotel atau inap desa akan membantu meningkatkan ekonomi sekeliling. Apabila mereka duduk di inap desa, ia tidak membabitkan kaum lain, maka manfaatnya akan dinikmati sesama mereka.

Malah, sebenarnya tidak pelik lagi pada hari ini, ada saudara-mara mereka yang tolong mencarikan inap desa untuk saudara yang pulang ke kampung. Konsepnya sama seperti saudara kita menjemput menghadiri majlis perkahwinan anak. Mereka menyediakan rumah sementara untuk kita tidur dan berehat untuk sama-sama memeriahkan majlis perkahwinan itu. Ini adalah nilai murni yang orang kita ada. Kita mengadaptasi mengikut kesesuaian dan perubahan.

S: Antara dilema yang dihadapi perantau ialah kesesakan jalan raya setiap kali pulang ke kampung dan kembali bekerja. Apa pandangan Prof mengenai hal ini?

J: Dalam hal ini, orang kita sebenarnya tidak bijak merancang masa perjalanan. Mereka juga tidak mempunyai pilihan kerana terikat dengan tarikh cuti. Kita terperangkap dengan jadual cuti sekolah anak dan tarikh cuti kita yang bekerja. Misalnya jika Aidilfitri disambut pada Jumaat, hari Khamis baru orang kita bergerak serentak pulang ke kampung.

Apabila semua bergerak pulang ke kampung pada hari Khamis, memang akan menempuh kesesakan. Cuma kita perlu bijak mencari jalan alternatif, sekurang-kurangnya dapat mengurangkan tempoh berada di jalan terlalu lama kerana terperangkap dalam kesesakan.

Pada masa sama, kerajaan patut menyediakan pelan perjalanan yang anjal untuk perantau pulang ke kampung atau berusaha menangani masalah yang sama dihadapi perantau setiap tahun.

S: Seperkara yang dapat kita lihat berlaku setiap tahun ialah perantau perlu memikirkan kos untuk pulang ke kampung. Lazimnya, pulang beraya akan meningkatkan perbelanjaan mereka. Boleh Prof ulas perkara ini?

J: Kita tidak macam orang di Barat. Mereka merancang perbelanjaan dan perjalanan jika hendak bercuti. Orang kita 'main redah' saja tindakan dan perbelanjaan mereka.

Walaupun ada perancangan, biasanya susah hendak ikut dan disiplin. Itu sebabnya, orang kita selepas raya akan menjadi 'miskin' selama tiga bulan atau sehingga Aidiladha, barulah keadaan kewangan mereka kembali stabil.

Walaupun tidak merancang, mereka tidak cepat menggelabah atau terdesak. Ini kerana mereka berpegang kepada ajaran Islam yang mengajar umatnya sabar dan reda. Walaupun kewangan terjejas, mereka yakin rezeki tetap ada.

Faktor pegangan agama dan budaya membantu mereka reda walaupun terpaksa 'ikat perut' beberapa bulan selepas raya. Dilema ini tidak sepatutnya berlaku jika kita bijak merancang perbelanjaan.

S: Satu lagi dilema dihadapi orang kita yang mungkin tidak disedari ialah, fenomena orang beraya di bandar kerana tidak ada kampung. Apa pendapat Prof dalam hal ini?

J: Walaupun mereka menjadi orang bandar, nilai kehidupan di kampung masih ada dalam diri sekiranya mereka berasal dari kampung. Kalau kita perhatikan, golongan ini sebenarnya menyambut hari raya berasaskan konsep kampung. Mereka tetap membawa konsep dan nilai beraya di kampung itu ke bandar.

Mereka juga menjamu selera bersama jiran atau rakan. Bezanya, kegiatan mereka mungkin berbeza. Jika di kampung kita sibuk menziarahi, golongan ini mungkin pergi bersiar-siar di pusat beli-belah, menonton wayang dan makan besar bersama ahli keluarga atau rakan. Jika yang berkemampuan, mereka menyambut raya seisi keluarga ke luar negara dan ini juga bukan sesuatu yang asing lagi dalam kalangan masyarakat kita.

S: Apa pula pandangan Prof mengenai dilema perantau yang terpaksa bergilir untuk pulang ke kampung mentua setiap tahun?

J: Ia bergantung kepada taraf sosial pasangan suami isteri itu. Lazimnya, pasangan yang memiliki status sosial tinggi akan mempengaruhi keputusan pasangan untuk pulang beraya di sebelah mentua yang mana.

Sama ada isteri atau suami jika mereka tergolong dalam status sosial tinggi seperti orang berada, bekerjaya besar dan mendominasi keluarga, pasangan akan akur dengan keputusan beraya di rumah mentua. Itu memang satu kelaziman yang tidak boleh digugat. Seorang daripadanya pasti akan mengalah.

Misalnya, jika isteri termasuk golongan status sosial tinggi, suami akan terpaksa menurut saja keputusan isteri walaupun masing-masing tahu, suami adalah ketua keluarga. Apatah lagi kalau si suami sudah kematian ibu bapa.

Hanya sehari atau dua hari selepas raya barulah keluarga ini akan pulang beraya ke kampung suami.