July 22nd, 2015

Siapa sebenarnya yang tak relevan?

SEMENJAK Hakim Augustine Paul menggunakan berkali-kali istilah “tak relevan” dalam satu prosiding jenayah melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim hampir dua dekad yang lalu (lihat “Peguam diminta kemuka soalan relevan”, Utusan Malaysia, 15 Disember 1998), ungkapan itu sering menjadi mainan bibir warga Malaysia. Perkembangan terbaru menunjukkan istilah itu kini menjadi senjata ahli politik menghentam pihak lawannya.


MOHAMAD SABU bersama-sama beberapa bekas pemimpin kanan Pas ketika mengadakan sidang akhbar pelancaran parti baharu di Kuala Lumpur pada 13 Julai lalu. BERNAMA

Dalam contoh terbaru, Mat Sabu, yang disingkir oleh perwakilan Pas dalam Muktamar ke-61 parti itu yang berlangsung dari 2 hingga 6 Jun lalu, mendakwa parti yang disertainya sekian lama itu tidak lagi relevan. Dia berkata demikian di satu jamuan rumah terbuka Aidilfitri anjuran DAP Pulau Pinang di Kepala Batas pada 19 Jun lalu.

“Parti Pas sudah tidak relevan lagi dalam landskap politik masa kini dan perlu melakukan pembaharuan. Pas masih menggunakan kaedah lama dalam berpolitik, manakala rakyat berbilang kaum turut terlibat dalam proses membuat keputusan,” katanya.

Dalam Muktamar Pas itu, Mat Sabu bertanding untuk mengekalkan jawatannya sebagai Timbalan Presiden parti bagi tempoh 2015-2017, tetapi perwakilan menolaknya dengan memilih penentangnya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. Mengikut penganalisis politik setempat, muktamar terbaharu parti itu membuktikan tanpa ragu-ragu lagi bahawa kumpulan pro-Hadi telah berjaya menyapu bersih pemilihan parti.

Dilahirkan di Tasik Gelugor, Pulau Pinang pada 14 Oktober 1954, Mat Sabu menyertai Pas pada 1982 dan mula dibenarkan bertanding bagi kerusi Parlimen Nilam Puri, Kelantan pada pilihan raya tahun 1990. Dia berjaya lalu menjadi Ahli Parlimen kawasan itu mula Oktober 1990 hingga April 1995.

Dalam pilihanraya 1995, dia dibenarkan berpindah bertanding kerusi Parlimen Kubang Kerian, Kelantan di mana dia juga berjaya, lalu menjadi Ahli Parlimen kawasan itu mulai April 1995 hingga November 1999. Dalam pilihan raya 1999, Mat Sabu dibenarkan berpindah sekali lagi oleh kepimpinan Pas untuk bertanding kerusi Parlimen bagi kawasan Kuala Kedah. Buat kali ketiganya dia menang, lalu menjadi Ahli Parlimen Kuala Kedah mulai November 1999 hingga Mac 2004.

Pada ketika itu saya sudah pun berhijrah ke Kedah, dan saya tahu kemenangannya di Kuala Kedah bukan kerana kepimpinannya atau ketokohannya yang luar biasa, tetapi kerana ‘mood’ anak Kedah pada tahun itu memang anti-Putrajaya disebabkan ramai tidak dapat menerima pemecatan Anwar oleh pucuk kepimpinan UMNO.

Pada 21 Ogos 2011, sewaktu berucap di Markas Tarbiyah Pas Padang Menora, Tasik Gelugor, Pulau Pinang (tempat kelahirannya), Mat Sabu membuat kejutan apabila menyatakan bahawa Muhammad Indera dan 200 tentera Parti Komunis Malaya yang terlibat dalam insiden Bukit Kepong di Muar itu adalah sebenarnya wira bangsa, bukan pegawai polis yang mati mempertahankan balai polis di situ, kerana mereka ini semua bekerja dengan penjajah British.

Ucapan ini membangkitkan kemarahan banyak pihak, dan ditegur sendiri oleh Karpal Singh (ketika itu Ahli Parlimen Bukit Gelugor), yang berpendapat bahawa 25 orang anggota polis yang terkorban dalam insiden Bukit Kepong itulah yang sebenarnya wira bangsa.

Pada 28 Ogos 2011, ketika ditanya wartawan Sinar Harian mengenai perkara itu, Mat Sabu menjawab: “Saya tidak ingat (apa yang diperkatakan) sebab ceramah itu berlangsung minggu lepas (21 Ogos)”. Pada 1 September, Karpal Singh menasihati Mat Sabu untuk menarik balik kenyataannya itu, tetapi tidak dipedulikan olehnya.

Mat Sabu diheret ke mahkamah atas pertuduhan melakukan kesalahan di bawah seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah anggota polis berkenaan.

Pada 8 Julai 2015 lalu, Mahkamah Sesyen Butterworth memutuskan dia tidak bersalah. Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Pada 18 Jun 2015, iaitu kira-kira dua minggu selepas ditewaskan dalam Muktamar Pas ke-61 itu, Mat Sabu ada berucap dalam satu majlis perjumpaan bersama 13 bekas pemimpin Pas pusat di Markas Pas Bakri, Muar.

Katanya pada ketika itu satu keputusan yang muktamad belum lagi dibuat oleh G18 (rakan-rakan Mat Sabu yang tewas dalam Muktamar ke-61) sama ada menubuhkan satu parti baru atau bergerak dalam satu badan bukan kerajaan (NGO) sahaja. Yang penting, tegasnya lagi, jalinan kerjasama dengan DAP dan PKR tetap diteruskan, walaupun kepimpinan DAP telah mengumumkan Pakatan Rakyat tidak lagi wujud.

“Soal parti baharu ini kami belum muktamad. Sekarang kami bergerak untuk melihat sokongan rakyat dahulu. Mungkin kita ambil masa sebulan dua untuk melihat momentumnya,” katanya.

Seminggu selepas itu, pada 25 Jun, Presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma), Datuk Ir. Phahrolrazi Mohd. Zawawi mengesahkan bahawa persatuannya bersedia memberi laluan kepada Mat Sabu menubuhkan satu parti Islam baru bagi menggantikan Pas. Kenyataan Phahrolrasi itu jelas menjawab amaran Presiden Pas bahawa sesiapa sahaja yang keluar Pas untuk menubuhkan satu parti baru akan segera ‘tenggelam’. Mengikut Phahrolrazi, Mat Sabu merupakan pemimpin paling kanan, selain seorang aktivis parti yang paling konsisten, justeru layak memimpin sebuah parti baharu.

Pada 13 Julai 2015 lalu, sewaktu rakyat Malaysia bersiap sedia menyambut hari raya, Mat Sabu mengumumkan satu parti politik baru bernama Gerakan Harapan Baru (GHB) akan ditubuhkan berteraskan Islam. Dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan sempena pelancaran parti baharu itu, Mat Sabu menyatakan, antara lain, bahawa parti itu akan memperjuangkan Islam bukan dalam bentuk slogan, emosi dan sentimen tetapi sebagai satu tawaran “rahmat dan keadilan” yang memberi kesejahteraan untuk rakyat dan menjamin kemakmuran negara.

“GHB akan meneruskan legasi perjuangan pemimpin terdahulu “untuk menjayakan usaha penubuhan Pakatan Rakyat 2.0,” katanya lagi.

Di sinilah ironi dan paradoksnya. Setelah menyertai Pas lebih tiga dekad dan berjaya menduduki tempat kedua teratas dalam hierarki parti, dan menjadi Ahli Parlimen parti bagi tiga kawasan selama hampir 15 tahun, Mat Sabu kini melemparkan tuduhan bahawa Pas tidak lagi relevan semata-mata kerana dia tewas mengekalkan jawatannya dalam pemilihan parti pada Jun lalu. Setelah menolak perjuangan parti yang dipimpinnya selama ini, kini dia menubuhkan satu parti baharu, bukan berteraskan satu misi, visi, falsafah dan platform baharu, tapi bagi “memperjuangkan Islam dan meneruskan legasi pengasas utama parti itu”.

Apa kata rakan-rakan lama Mat Sabu yang masih kekal dalam Pas?

Bagi Datuk Mustafa Ali, GHB hanya satu parti suruhan DAP, dan tidak akan mampu bertahan lama. GHB proksi DAP sahaja, disokong oleh DAP, manakala majoriti PKR masih bersama Pas.

Menepis kritikan Mustafa itu dalam satu ceramahnya di Kangar, Perlis pada 20 Julai lalu, Mat Sabu menegaskan GHB bukan proksi DAP. “Tuduhan begitu perkara biasa. Sehingga sekarang, kami tidak pernah menerima satu sen pun daripada DAP. Banyak kedekut ini DAP. Kami gunakan dana sendiri untuk program kami,” katanya.

Sementara kita menunggu rakyat negara ini sendiri memutuskan pada satu hari nanti siapa yang tidak relevan (Pas, Mat Sabu atau GHB), saya kira komen paling lawak mengenai episod penubuhan parti baharu ini oleh Mat Sabu dan rakan-rakannya dalam G18 disuarakan oleh seorang blogger kegemaran saya, Helen Ang. Dalam posting terbaru dalam portalnya, blogger ini bertanya: “Doesn’t the name ‘New Hope’ (Harapan Baru) sound like a church to you?” (https://helenang.wordpress.com/2015/07/21/doesnt-the-name-new-hope-harapan-baru-sound-like-a-church-to-you/.)

Wajah kelompok Anwarinas terdedah

Selama ini mereka begitu tidak selesa apabila dikaitkan dengan gelaran Anwarinas. Mereka melenting apabila kesetiaan terhadap kepemimpinan Pas diragui dan dipersoalkan. Tetapi kelmarin segala-galanya sudah terdedah.

Kelompok yang menggerakkan apa yang digelar Gerakan Harapan Baru (GHB) mengesahkan sebuah parti baharu akan diwujudkan dan kesemua pemimpin Pas yang sehati sejiwa dalam gerakan itu akan meninggalkan parti yang memperjuangkan Islam tersebut.

Tarikh 14 September dipilih kerana genap 100 hari mereka ditumbangkan dalam pemilihan parti pada 4 Jun lalu. Kelompok yang akan meninggalkan Pas itu bukanlah calang-calang pemimpin. Ada antara mereka suatu ketika pernah disanjung sebagai ‘ayam sabung’ dan ‘hulubalang’ Pas serta telah bersama parti itu sejak berpuluh-puluh tahun.

Rekod paling menarik ada dalam kalangan mereka sudah mencapai kedudukan kanan dalam Pas seperti menjadi Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Ketua Pemuda. Bagaimanapun kekecewaan bukan sahaja disebabkan tewas dalam perebutan jawatan tetapi gagal untuk memastikan Pas terus mengikut rentak politik PKR dan DAP membuatkan mereka membawa diri.

Pelbagai alasan mereka kemukakan untuk ‘menghalal­kan’ tindakan meninggalkan Pas bagi menubuhkan parti baharu. Ini termasuklah alasan kononnya Pas sudah tidak relevan lagi sedangkan kalau dilihat ramai antara mereka sebenarnya yang tidak relevan.Mereka juga berhujah perjuangan Pas sudah ketinggalan zaman sedangkan keputus­an pemilihan lalu yang dibuat oleh ahli-ahli akar umbi adalah atas perkiraan mahu mengembalikan Pas ke landasan perjuangan sebenar.

Tetapi apa yang berlaku sehingga mendedahkan wajah sebenar pemim­pin-pemimpin Anwarinas ini bukan sesuatu yang mengejutkan. Selama ini kemuncul­an mereka sudah disedari sejak tahun 2008 lagi dan semakin ketara sejak 2011 apabila mereka menguasai jawatan penting dalam Pas.

Apabila merasakan sudah semakin kuat maka mereka berusaha mengubah haluan perjuangan politik Pas dengan mengambil kesempatan melalui tahaluf siyasi dengan PKR dan DAP. Tindak-tanduk mereka dianggap semakin jauh daripada hasrat kepemimpinan dan hala tuju perjuangan Pas. Mereka lebih berkiblatkan pemim­pin PKR dan DAP berbanding pemimpin sendiri. Kesudahannya mereka dianggap kerikil dalam kasut bagi Pas kerana lebih mengutamakan apa yang dimahukan oleh PKR dan DAP. Sikap itulah yang menyebabkan mereka ibarat memakai baju Pas tetapi berjiwa PKR dan DAP.

Tindak-tanduk mereka menyebabkan imej parti tercalar teruk. Pas dianggap ‘pak turut’ dan ‘melukut di tepi gantang’, bukan kerana Pas tidak ada kekuatan tetapi akibat mainan politik kelompok Anwarinas itu. Namun kelompok ini bijak bersandiwara. Mereka akan membidas mana-mana pihak yang membuat tafsiran sedemikian sehinggakan ramai ahli Pas terperdaya.

Bagaimanapun kekecewaan mereka terhadap kepemim­pinan Pas tidak boleh dibendung lagi apabila menjelang muktamar lalu mereka secara terbuka menunjukkan penentangan terhadap golongan ulama. Forum-forum terbuka dijadikan platform untuk memperkecilkan golongan tersebut khususnya Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Mereka bukan sahaja mempertahankan kebiadaban dan keceluparan DAP terhadap Pas, malah dalam apa juga isu mereka bersedia bertentangan dengan kepemimpinan Pas.

Kini kelompok itu sudah membuat keputusan untuk meninggalkan Pas apabila sebuah parti baharu ditubuhkan. Parti tersebut akan dijadikan sandaran bagi mereka mencapai cita-cita politik yang terkandas ketika bersama Pas. Sebab itulah mengikut perancangan, mereka akan bergabung bersama parti pembangkang lain atas nama `Pakatan Rakyat Baharu’. Mereka juga sudah menguar-uarkan akan membawa perjuangan Islam yang boleh diterima oleh seluruh kelompok masyarakat dengan menegaskan hukum hudud tidak akan menjadi keutamaan.

Tidak kiralah apa pun gerakan yang akan dilakukan oleh pemimpin-pemimpin tersebut, apa yang pasti seperti mana kata seorang pemimpin kanan Pas kepada penulis melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), Pas kini sudah ‘dibersihkan’ daripada kelompok yang boleh merosakkan parti itu dari dalam.

“Langkah ini akan memastikan kita tidak perlu lagi meneka dalam kesamaran atau melakukan ‘dosa kering’ dengan mewujudkan prasangka siapa golongan Anwarinas dalam Pas. Selama ini kita sudah tahu cuma tidak pasti, kita agak-agak sahaja. Tetapi sekarang tidak perlu meneka lagi, siapa yang terlibat sudah jelas,” kata pemimpin berkenaan yang turut menang dalam pemilihan parti baru-baru ini.

Ada dalam kalangan penyokong GHB mendakwa, pemim­pin-pemimpin terlibat tewas selepas berhadapan dengan ‘serangan’ bertubi-tubi daripada golongan ulama ketika kempen pemilihan lalu, tetapi jangan lupa golongan ulama pun ‘teruk dibelasah’ oleh sesetengah pemimpin GHB. Pelbagai tuduhan mereka lemparkan termasuk golong­an ulama tidak tahu berpolitik.

Namun begitu apa yang menarik hendak diketahui sejauhmanakah parti baharu itu akan berupaya menarik sokongan dalam kalangan ahli Pas memandangkan pemim­pin-pemimpin GHB juga ada penyokong tersendiri dalam parti berkenaan. Berdasarkan road show yang dibuat setakat ini sambutannya tidaklah begitu memberangsangkan. Ini berbeza ketika Datuk Hassan Ali dipecat daripada Pas ke­rana mempertahankan perjuangan parti itu. Ribuan orang menghadiri road show beliau kerana mereka kecewa Hassan tersingkir akibat mainan politik kelompok Anwarinas.

Apapun sama-samalah kita menanti kesudahannya episod GHB tersebut. Sejauhmanakah mereka akan mendapat sokongan dan sejauhmanakah mereka mampu bergerak sebagai sebuah parti politik baharu kerana sejarah politik negara membuktikan tiada parti serpihan yang berupaya mencapai kejayaan selepas terpisah daripada parti asal.

Semoga pemimpin-pemimpin terlibat tidak menjadi ‘lebai malang’ menang sorak kampung tergadai, yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran.

- Zulkiflee Bakar Utusan Malaysia Rencana 22 Julai 2015

Kerja kahwin saya - Bahagian Satu

SAYA tengah pening. Pening bukan memikirkan mengenai politik yang sedang berputar sekarang ini, tetapi untuk menguruskan satu perkahwinan.

Rupa-rupanya bukan semudah yang disangka. Ada sahaja yang tidak kena. Ada sahaja yang tidak cukup, dan ada juga ketika saya tak bertegur-sapa dengan isteri gara-gara berbeza pendapat - mengenai majlis itu.

Semuanya kena dibereskan dengan sempurna. Kita mahukan semuanya berjalan lancar. Tidur malam tak lena kerana memikirkan semua itu.

Saya dan isteri tiada pengalaman untuk menguruskan majlis seum­pama ini. Lebih-lebih lagi membabitkan anak sulung, dan pertama kali bagi keluarga kami.

Soal jemputan dan senarai tetamu cukup sensitif. Takkan saya nak jemput lebih 2,000 senarai nama yang ada dalam buku telefon bimbit saya? Kenalan isteri saya lagi, kawan anak-anak?

“Aku bukan orang politik yang mahu menjemput beribu-ribu tetamu?”

Tetapi kawan saya ramai. Jika tidak jemput si polan itu dan ini apa kata mereka? Kecil hatikah mereka?

Pelbagai perkara bermain di fikiran.

Semalam saya cuba menelefon para jemputan untuk mendapatkan pengesahan kehadiran. Orang putih memanggilnya RSVP atau istilah Perancisnya berbunyi Répondez s’il vous plaît.

Namun orang kita jarang-jarang mahu membalas RSVP. Sehingga ke saat-saat terakhir tuan rumah terpaksa membuat panggilan demi panggilan untuk mendapatkan pengesahan.

Antara panggilan itu, kepada bekas pensyarah saya lebih 30 tahun dulu yang pernah mengajar subjek Public Relations (PR). Beliau kini bergelar Datuk.

“Datuk Prof. saya rasa kita kena buat kajianlah mengenai satu tajuk dalam PR.”

Sambil beliau bertanya mengenai tajuk apa, saya berkata “sikap orang mengenai RSVP...”

Tiba-tiba beliau tergelak besar. “Oh maaf. Saya ingat nak telefon esok untuk RSVP majlis you.”

Kad jemputan kepada beliau telah saya hantar lebih tiga minggu lalu dan -- senyap sunyi.

Itu satu hal. Satu hal lagi ialah melayan kerenah pengantin yang tidak pernah cukup itu dan ini. Rupa-rupanya jika kita pun risau pelbagai hal, beliau juga risaukan pelbagai hal.

Namun saya terkenangkan nasihat seorang sahabat baik saya. “Biar mempelai gembira di hari besarnya. Jangan biarkan dia bersedih...”

Ketika pergi memanggil (istilah Kedah bererti menjemput ke ken­duri kahwin), ramai rakan dan sanak-saudara yang menasihati itu dan ini.

“Kenduri pertama kali jangan anggap akan sempurna. Sudah tentu ada yang kurang sempurna, dan itu adalah biasa,” kata seorang sahabat berusia 75 tahun di Kampung Tunku PJ.

Yang penting pastikan makanan cukup, nasihat beliau ringkas.

Sampai ke satu rumah lagi, kami bercerita mengenai hal yang sama. Beliau telah mengahwinkan semua anaknya. Macam-macam ragam.

Ada antaranya tidak setuju dengan kenduri-kendara ini. Dia dan isteri cuma mendaftar di pejabat kadi dan selesai. Kenduri membazir, kata anaknya.

Semasa memandu pulang saya terfikir cara anak sahabat saya itu. Hmmm...bagus juga?

Kos untuk majlis kenduri perkahwinan bukan murah.

Namun yang pasti, ramai juga rakan yang sporting, tidak kisah dengan kad jemputan.

“Ala kau WhatsApp saja...” “Tapi saya dah buat kad?” “Kau ambik gambar dan hantar kat aku, kau jimat setem 80 sen,” kata rakan itu bergelar Tiger.

Kepada sahabat yang mempelawa diri menjadi penyambut tetamu di majlis itu, kami ucapkan terima kasih banyak-banyak.

Terima kasih juga kepada jiran-jiran tetangga saya yang tidak mengira darjat sanggup menolong kami, mengedar-edarkan telur untuk direbus bersama-sama. Siapa kata semangat tolong-menolong antara kita di kota kosmopolitan ini sudah luntur. Syabas Perdana Heights!

Apapun ini satu pengalaman yang cukup mendebarkan.

Menunggu tarikh itu merupakan satu penyeksaan.

Kepada para pembaca yang tidak menerima jemputan maafkan saya ya. Insya-Allah saya ada tiga orang lagi anak. Benar kata pujangga, semuanya bermula dengan pengalaman pertama.

Tolong doakan semuanya dipermudahkan. Amin.

PAS KINI UMPAMA KAIN PUTIH

SEMUA orang tahu, parti Melayu hanya dua. Satu UMNO, dan satu Pas. Itulah parti yang orang Melayu menaungi.

PKR pula hanyalah parti sementara waktu. Selepas Muktamar Tahunan Pas baru-baru ini parti itu telah menjadi seperti kain putih. Namun bukanlah kain kapan yang bererti kematian, tetapi kain ihram yang dipakai untuk melaksanakan tanggungjawab yang cukup besar.

Pas kini adalah sebuah parti yang sudah jelas perjuangannya. Tiada lagi slogan Anwarinas, atau Puak Profesional atau Islamis Sosialist. Ia adalah parti Islam jitu berteraskan perjuangan ulama.

Partai Islam Se-Malaysia itu kini lebih relevan daripada sebelum ini. Sebagaimana ramalan kita dahulu, Pas yang berteraskan slogan itu akan padam dengan ketiadaan Mursyidul Am Tuan Guru Nik Aziz.

Ternyata telahan itu benar. Pas berjaya dibersihkan daripada orang seperti Mat Sabu, Khalid Samad dan konco-konco mereka -- yang sudah terserlah belangnya bersekongkol dengan DAP.

Teruskan perjuangan Pas yang sejati. Jika DAP mahu mengetepikan mereka persetankan, kerana sememangnya dari awal DAP dan Pas umpama bumi dan langit, bulan dan bintang.

Saya tidak berhasrat mahu melihat Pas dan UMNO bergabung kerana lebih baik orang Melayu ada dua parti yang boleh check and balance antara kedua-duanya. Namun jika boleh bekerjasama demi agama, bangsa dan negara juga tiada salah pun.

Yang pasti pertubuhan baru yang bakal diwujudkan oleh puak yang kalah-kecewa dalam Pas itu iaitu Gerakan Harapan Baru (GHB) tidak akan ke mana.

Nama pun sudah tidak menunjukkan kejituan dalam perjuangan. Yang saya tahu istilah ‘harapan’ atau hope ini banyak digunakan oleh pertubuhan-pertubuhan keagamaan lain.

Entahlah. Wallahualam. - Zaini Hassan Utusan Malaysia Rencana 22 Julai 2015

Serunding cara tradisional tetap jadi pilihan

TUMPAT: Transformasi dalam kaedah masakan serunding tidak menjadi halangan bagi seorang pengusaha di Kampung Laut di sini untuk tetap mengekalkan kaedah tradisional, menggunakan kawah dan kayu api bagi memastikan hasil yang berkualiti, warnanya yang cantik dan rasanya yang lebih sedap.

Rosli Mohd Noor, 52, bekas anggota tentera mempunyai alasan tersendiri untuk terus menggunakan cara masakan tradisional walaupun kaedah itu lebih rumit, iaitu memakan masa sehingga tujuh jam bagi memastikan juadah itu masak sekata. "Ramai penduduk Kampung Laut menjadi pengusaha serunding tetapi setiap serunding yang dihasilkan mempunyai identiti dan rasa yang berbeza.

"Saya tetap memilih cara tradisional memandangkan rasanya yang lebih sedap dan lebih tahan lama. Ia diakui kebanyakan pelanggan saya yang membeli serunding di sini," katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di sini.


SERUNDING yang dihasilkan dengan kaedah tradisional lebih tahan lama dan boleh disimpan sehingga lebih setahun.


Kebanyakan pengusaha serunding di Kampung Laut sudah beralih kepada peralatan moden dan dapur gas untuk menyediakannya.

"Bila kita menggunakan mesin, serunding tidak dikacau dengan sekata. Tetapi itu semua bergantung kepada pilihan masing-masing," katanya.

Menurut Rosli, serunding yang dihasilkan dengan kaedah tradisional juga tahan lama dan boleh disimpan sehingga lebih setahun.

Beliau yang mengusahakan produk serunding ikan dan daging sejak 10 tahun itu mengakui dengan mengekalkan kaedah tradisional, serundingnya mendapat tempahan dari seluruh negara.

Rosli berkata beliau mampu menghasilkan sehingga 600 kilogram serunding setiap bulan dan jumlah itu meningkat berkali ganda setiap kali menjelang Aidilfitri.

"Bagaimanapun, tahun ini kami tidak dapat menghasilkan serunding seperti biasa kerana hanya memulakan kerja membuat serunding dua minggu sebelum puasa. "Biasanya kami sudah menyediakan stok untuk raya dua bulan lebih awal tetapi disebabkan banjir pada Disember tahun lepas semua peralatan rosak kerana tempat memasak ditenggelami banjir," katanya.


Rosli berkata susulan itu, beliau terpaksa membaik pulih tempat memasak dan hanya memulakan perniagaan dua minggu sebelum Ramadan.


"Penghasilan serunding merosot sehingga 60 peratus tahun ini bagi semua pengusaha di sini kerana keseluruhan Kampung Laut ditenggelami banjir," katanya.


Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana masih berkesempatan menjana pendapatan sempena Aidilfitri tahun ini walaupun tidak selumayan tahun sebelumnya. - BERNAMA

Ayam pansuh jadi juadah kegemaran warga kota

SEKALI melewati gerai milik dua anak muda di bazar Ramadan berhadapan pusat beli-belah Wangsa Walk di sini, ramai pengunjung menyangka mereka menjual lemang, sebaliknya ia adalah ayam pansuh, makanan eksotik tradisional masyarakat Dayak di Sarawak.

Anak kelahiran Kuala Lumpur, Amir Kamaruzzaman, 30, dan Ammar Ismaahadi, 28, mendapat idea untuk menjalankan perniagaan yang dinamakan 'Ayam Pansuh KL' memandangkan ia tidak banyak dijual di Semenanjung.

Amir yang bekerja di syarikat minyak dan gas swasta mendapat resipi asal hidangan itu daripada sahabatnya ketika beliau tinggal di Sarawak lebih lima tahun.


AMIR melayan pelanggan yang membeli ayam pansuh KL
Perap bersama ramuan selama dua jam

Menceritakan mengenai penyediaan makanan tradisional itu, Amir berkata, seawal jam 10 pagi setiap hari, mereka akan memerap 20 kilogram ayam yang dipotong dadu bersama ramuan selama dua jam sebelum diisi ke dalam buluh untuk dibakar.

"Resipi saya ada penambahbaikan sedikit jika dibanding dengan resipi asal ayam pansuh yang hanya dimakan bersama nasi, namun ayam pansuh saya dimakan bersama nasi dan pecal. Itu sebab saya namakan Ayam Pansuh KL.


AYAM yang telah diperap bersama bahan ramuan lain dimasukkan ke dalam buluh. - Foto BERNAMA


"Saya jual sebatang RM12. Pakej kita ada nasi dan pecal. Tapi kalau pelanggan beli tiga batang, saya jual RM30," katanya.

Anak kedua daripada enam beradik itu berkata, jualan ayam pansuh meningkat dari sehari ke sehari bermula 20 batang pada hari pertama hinggalah 60 batang pada pertengahan Ramadan kerana perniagaan makanan tradisional itu semakin mendapat tempat di hati warga kota dan perantau dari Sabah dan Sarawak.

"Pada awal Ramadan, ramai pelanggan bertanya adakah kami menjual lemang. Agak penat juga menjelaskan kepada mereka, namun berbaloi sebab kini kami sudah ada pelanggan tetap.

"Ada yang tempah melalui telefon dan WhatsApp untuk juadah berbuka di kampung bersama keluarga. Itulah hasilnya, Alhamdulillah," katanya.

Sepakat jual makanan tradisional Sarawak

Sementara itu, Ammar berkata, beliau pada mulanya hanya mendapatkan tapak bazar walaupun tiada idea perniagaan apa yang bakal dijalankan, namun selepas berbincang bersama Amir, mereka sepakat untuk menjual makanan tradisional Sarawak itu.

"Hari pertama kami hanya jual 20 batang dan kami jual RM14 sebatang. Itupun lambat masak ambil masa sejam dan pelanggan merungut ayam sedikit dan kurang masak," katanya.




ENAK ... Ayam pansuh yang telah masak dikeluarkan daripada batang buluh untuk dihidangkan. - Foto BERNAMA
"Mengambil iktibar daripada maklum balas pelanggan itu, kami mencari bahan seperti ayam dan buluh daripada pembekal yang menawarkan harga lebih rendah.

Kami juga bakar ayam pansuh itu separuh masak di rumah sebelum dibawa ke bazar," katanya. Ammar berkata, walaupun hanya berdua, mereka masih mampu memenuhi permintaan pelanggan, malah dua sahabat itu merancang untuk meneruskan perniagaan ayam pansuh sepanjang masa melalui promosi di laman sosial.

Tempahan ayam pansuh

"Pelanggan boleh ikuti Facebook dan Instagram Amir iaitu Amir Kamaruzzaman untuk sebarang tempahan atau boleh menghubungi 012-9772240," katanya.

Ammar berkata, sama seperti lemang, juadah tradisional istimewa itu dimasak dalam buluh dan dibakar dengan kayu api atau lebih baik di atas bara api sehingga buih kelihatan terkeluar daripada isi ayam dari dalam buluh.

Berkongsi resipi Ayam Pansuh KL, Ammar berkata, ayam yang digunakan mesti segar dan perlu diperap bersama ramuan yang dikisar antaranya cili padi, bunga kantan, halia, serai, lengkuas dan daun kunyit.
Beliau berkata selepas ayam dibersihkan dan dipotong dadu, ia diperap dengan ramuan yang dikisar, manakala daun ubi pula diramas bersama garam untuk mengeluarkan getahnya dan mengurangkan pahit. Semua bahan dimasukkan ke dalam buluh, manakala pucuk ubi digunakan untuk menutup mulut buluh sebelum dibakar. - BERNAMA

Rasai kelazatan makanan tradisional Cina halal di Perak

IPOH: Sebut sahaja Nasi Ayam Hainan, Rendang Tok, dan minuman terkenal Kopi Putih, pasti sesiapa yang pernah mencubanya akan berasa teruja untuk bercerita mengenai makanan dan minuman enak yang terdapat di negeri Perak.

Selain terkenal dengan keindahan alam semulajadi serta flora dan fauna, juadah tradisionalnya berjaya mengundang sesiapa sahaja untuk berkunjung lagi ke negeri Perak secara kerap tanpa rasa jemu. Itulah sebabnya Perak terkenal sebagai 'Syurga Makanan Tradisional' baik dalam kalangan pelancong tempatan mahupun luar negara, terutamanya pelancong dari negara jiran seperti Indonesia dan Singapura.

Baru-baru ini penulis berpeluang menyertai 'Perak Food Trail' anjuran Tourism Perak dengan kerjasama Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dengan menaiki koc acara khas Intercity dari Kuala Lumpur ke Ipoh.

Seramai 28 agensi pelancongan dari Singapura dan Batam, Indonesia serta empat wakil media dari Malaysia, termasuk penulis sendiri telah menyertai program tiga hari dua malam ini.

Perjalanan dengan keretapi Perjalanan tren selama empat jam dari Kuala Lumpur ke Ipoh tidak berasa jemu kerana penumpang disajikan dengan kehijauan pemandangan di luar jendela sepanjang perjalanan itu. Ini adalah pengalaman yang tidak dapat dilupakan buat penulis serta 31 peserta lain, yang rata-ratanya menaiki koc santai khas KTMB buat kali pertama dengan rasa amat teruja.

Apatah lagi, sepanjang perjalanan itu kami bebas bergerak ke mana-mana di atas koc keretapi itu selain dibawa melawat ke koc santai. Pengurus Kanan Pemasaran, Jualan dan Promosi KTM Intercity, Mohd Noordin Kimi, berkata koc santai yang terdiri daripada tiga gerabak itu dilengkapi dengan kemudahan bilik seminar, perpustakaan mini, dan sistem karaoke yang memberi peluang kepada penumpang untuk berhibur.

"Selain itu, mana-mana organisasi yang ingin menganjurkan 'team building', seminar ataupun hari keluarga mereka boleh menggunakan kemudahan itu bagi merasai pengalaman berseminar di atas koc," katanya.

Nasi Ayam Hainan Ipoh

Kami tiba di Stesen Keretapi Ipoh pada kira-kira jam 8 malam dan disambut oleh Pengarah Tourism Malaysia Perak, Ibrahim Seddiqi Talib. Kemudian kami dibawa ke Restoran Nasi Ayam Hainan Ipoh Sdn Bhd, bagi merasai keenakan Nasi Ayam Hainan yang mana adalah juadah masyarakat Cina berasal dari wilayah Hainan, China.

Mengikut pemilik restoran, Shahril Hizri Mohamed, nasi ayam disediakan melalui kaedah tradisional masyarakat Cina Hainan iaitu dengan merebus ayam dalam pati tulang ayam.

"Pati ini kemudiannya digunakan untuk penyediaan nasi minyak dan berperisa ayam. Nasi Ayam Hainan sering dihidangkan berserta cicahan yang diperbuat daripada sos cili dan serbuk halia serta kebiasaanya disajikan dengan hirisan timun dan taugeh goreng," katanya.

Shahril berkata, oleh kerana kebanyakan sajian ini tidak halal dan hanya terhad kepada golongan bukan Islam untuk mencubanya, maka beliau terdetik untuk 'menghalalkan' sajian ini bagi memberi peluang kepada golongan Muslim untuk mencubanya.

"Tidak sangka ia mendapat sambutan yang menggalakkan, ...ramai juga golongan bukan Islam datang untuk mencubanya dan memuji masakan kami," katanya. Terry Lai, 54, pemandu pelancong dari Singapura memuji kelazatan Nasi Ayam Hailam yang disediakan syarikat Shahril.

"Rasanya tidak ubah seperti yang tidak halal, biasanya akan kekurangan sesuatu sekiranya merasakan nasi ayam jenis tidak halal namun cara masakannya tidak ubah seperti yang 'real'," katanya.

Masakan Cina halal Keesokan harinya, kami dibawa ke Restoran Caterbest, Bercham untuk makan tengah hari bagi merasai kelazatan masakan Cina asli yang halal.

Mengikut pemilik restoran itu, Wong Swee Kok, idea untuk menghalalkan masakan Cina halal adalah untuk memperkenalkan kepada orang Islam kelazatan masakan tradisional Cina. "Ia juga sebagai memberi keyakinan kepada mereka bahawa masakan Cina juga boleh disediakan dalam bentuk halal dengan mengekalkan kelazatannya," katanya.

Wong berkata kebanyakan daripada chef dan pembantu restorannya adalah terdiri daripada orang Islam dan tertera logo halal di hadapan premisnya. "Ini juga bagi meyakinkan para pelanggan yang datang untuk mencuba makanan di sini kerana 100 peratus daripada hidangan yang kami sediakan adalah halal," katanya.

Sementara itu, Ibrahim berkata, apabila lebih ramai masyarakat Cina menghalalkan masakan mereka, secara tidak langsung ia dapat membantu merancakkan industri pelancongan di negeri Perak.

"Jika dilihat pada masa dulu juadah Cina seperti 'Dim Sum' dan sup hanya boleh dinikmati oleh masyarakat bukan Islam kerana ia kebanyakannya disediakan secara tidak halal.

"Namun dengan usaha pengusaha industri pemakanan yang telah banyak 'menghalalkan' masakan-masakan tradisional Cina, negeri Perak menjadi antara lokasi yang wajib dikunjungi bagi mereka yang menggemari konsep 'jalan-jalan cari makan'," katanya. - BERNAMA '
'Perak Food Trail' anjuran Tourism Perak dengan kerjasama Keretapi Tanah Melayu Bhd.

Memahami amanah digalas penjawat awam

Perlembagaan menyediakan skop kepada perkhidmatan awam. Dalam Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan ada dinyatakan perkhidmatan yang dikategorikan sebagai perkhidmatan awam.

Ada negara di dunia yang menggariskan secara umum peranan dan tanggungjawab penjawat awam dalam Perlembagaan mereka.

Bagaimanapun, Perlembagaan kita tidak menggariskan secara terperinci mengenai peranan dan tanggungjawab penjawat awam. Apa yang dinyatakan dalam Perlembagaan bahawa penjawat awam adalah berkhidmat selama mana diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu, Perlembagaan juga menyediakan perlindungan tertentu kepada penjawat awam. Dengan tiadanya peruntukan khusus, secara umumnya peranan dan tanggungjawab penjawat awam ini di negara kita ini difahami menerusi kaedah atau peraturan berkaitan perkhidmatan awam ini.

Peraturan itu pada umumnya disandarkan kepada amalan atau konvensyen dalam pentadbiran bercorak demokrasi. Secara umumnya, ada tiga fungsi utama penjawat awam dalam sistem pentadbiran yang berasaskan sistem demokrasi.

Tiga fungsi utama itu ialah menasihati kerajaan mengenai pilihan yang ada dalam menentukan dasar kementerian atau agensi kerajaan, melaksanakan keputusan kepada dasar yang diputuskan oleh kerajaan dan melaksanakan fungsi umum jentera pentadbiran kerajaan.

Dengan itu, hubungan antara menteri dan penjawat awam dapat dilihat dalam sistem pentadbiran kita yang mana penjawat awam adalah pelaksana kepada semua keputusan dan dasar kementerian yang dibuat oleh menteri.

Peranan, tanggungjawab

Dalam sistem pentadbiran negara kita, kuasa eksekutif Raja atau Yang di-Pertuan Agong dilaksanakan oleh menteri melalui kementerian.

Dalam menjalankan tanggungjawab mereka, menteri disokong dengan perkhidmatan awam. Menteri seterusnya bertanggungjawab kepada Parlimen, yang mana menteri secara individu dan juga secara kolektif bertanggungjawab kepada Dewan Rakyat untuk segala dasar, program dan aktiviti Kerajaan.

Penjawat awam berkewajipan untuk memberi sokongan dan kesetiaan secara profesional dan tidak berat sebelah kepada setiap kerajaan yang memerintah.

Dengan kewajipan itu, penjawat awam adalah bertanggungjawab untuk memberikan nasihat dan maklumat yang tepat kepada menteri.

Penjawat awam adalah juga bertanggungjawab untuk menjalankan dengan setia, setiap arahan yang diberikan menteri. Dengan berbuat demikian, penjawat awam sebenarnya berkhidmat kepada rakyat.

Penjawat awam adalah bertanggungjawab kepada ketua mereka dan akhirnya kepada menteri bagi pelaksanaan tanggungjawab yang betul dan cekap.

Menteri seterusnya bertanggungjawab kepada rakyat melalui wakil rakyat, iaitu Parlimen. Sistem kerajaan kita ialah sistem kerajaan bertanggungjawab kerana kerajaan mestilah mengekalkan keyakinan atau kepercayaan Dewan Rakyat kerana menteri bertanggungjawab kepada Dewan atas segala perbuatan atau pelaksanaan kuasa mereka.

Menteri yang membuat keputusan dasar, penjawat awam melaksana keputusan dan dasar dan seterusnya menteri bertanggungjawab atas segala pelaksanaan keputusan dan dasar kepada Parlimen, yang juga mewakili rakyat.

Penentu masa depan kerajaan

Oleh itu, tanggungjawab untuk menyediakan maklumat kepada Parlimen adalah terletak pada menteri. Penjawat awam pula tidak mempunyai tanggungjawab Perlembagaan kepada Parlimen dan tidak pula berkongsi tanggungjawab kepada Parlimen yang digalas oleh menteri.

Walaupun begitu, penjawat awam hendaklah menyokong menteri dalam hubungan mereka dengan Parlimen dengan membekal maklumat berkaitan untuk dibentang kepada menteri.

Sekiranya berlaku ketirisan dalam pentadbiran atau pelaksanaan dasar dalam mana-mana kementerian atau agensi kerajaan, maka secara politiknya, menteri hendaklah mengambil tanggungjawab walaupun ketirisan itu sebenarnya berpunca daripada kelemahan dalam pelaksanaan kepada dasar berkenaan.

Disebabkan tanggungjawabnya kepada rakyat, menteri berkaitan tidak boleh menuding jari kepada penjawat awam. Segala-galanya hendaklah ditanggung oleh menteri secara individu atau kolektif dengan jemaah menteri.

Oleh itu, pelaksanaan tanggungjawab oleh penjawat awam juga adalah antara faktor yang menentukan panjang atau pendek jangka hayat sesebuah kerajaan yang dipilih rakyat.

Disebabkan sektor perkhidmatan awam adalah sektor yang dekat dengan rakyat, maka prestasi kerajaan, kejayaan atau kegagalan kerajaan adalah juga dinilai menerusi penyampaian atau pelaksanaan oleh penjawat awam.

Dari sini jelaslah bahawa amanah yang digalas penjawat awam amat besar. Pada penjawat awam bergantungnya kejayaan atau kegagalan sesuatu dasar atau keputusan yang dibuat oleh menteri, jemaah menteri atau kerajaan.

Di atas bahu penjawat awam jugalah terletaknya masa depan kerajaan yang dipilih rakyat. Dr Shamrahayu A Aziz Berita Harian Kolumnis 22 Julai 2015