July 31st, 2015

Sejarah jawatan Timbalan Perdana Menteri

PENGUMUMAN rombakan Kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam, sekurang-kurangnya menzahirkan tiga keadaan yang berbeza.

Pertama, pengukuhan Kabinet pentadbiran Najib sebagai Perdana Menteri. Kedua, pelantikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri yang baharu dan ketiga kejatuhan seorang Timbalan Perdana Menteri.

Mengikut rekod, bermula 10 April 2009, Tan Sri Muhyiddin Yassin ialah Timbalan Perdana Menteri Ke-10 sehingga digugurkan semalam, manakala Ahmad Zahid turut mencatat sejarah negara sebagai Timbalan Perdana Menteri Ke-11.

Sejak mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 sehingga kini, penyandang jawatan itu ialah Tun Abdul Razak Hussein (31 Ogos 1957-22 September 1970); Tun Dr Ismail Abdul Rahman (22 September 1970-2 Ogos 1973); Tun Hussein Onn (13 Ogos 1973-15 Januari 1976); Tun Dr Mahathir Mohamad (5 Mac 1976-15 Julai 1981); Tun Musa Hitam (16 Julai 1981-16 Mac 1986); Tun Abdul Ghafar Baba (7 Mei 1986-15 Oktober 1993); Datuk Seri Anwar Ibrahim (1 Disember 1993-2 September 1998); Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (8 Januari 1999-30 Oktober 2003); Datuk Seri Najib Razak (7 Januari 2004-3 April 2009); Tan Sri Muhyiddin Yassin (10 April 2009-28 Julai 2015) dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (mulai hari ini).

Fungsi khusus

Jawatan Timbalan Perdana Menteri mempunyai fungsi tersendiri dalam politik negara. Biar pun hanya satu jawatan protokol, kewujudannya sangat signifikan bagi kesinambungan kuasa dan penggantian jawatan Perdana Menteri.

Ketika Tun Razak kembali ke rahmatullah secara mengejut pada 14 Januari 1976, kekosongan jawatan Perdana Menteri dapat dipangku dengan lancar oleh timbalannya, Tun Hussein Onn yang seterusnya menjadi Perdana Menteri ketiga.

Meskipun begitu, jawatan Timbalan Perdana Menteri sering kali membabitkan banyak pergolakan politik.

Perkembangan ini menjadikan jawatan itu satu 'kerusi panas' kerana tidak semua penyandangnya mampu menapak selangkah ke hadapan sebagai Perdana Menteri. Tun Dr Ismail, Tun Musa, Tun Ghafar, Anwar dan terbaru Muhyiddin menjadi contoh klasik betapa jawatan Timbalan Perdana Menteri menuntut satu keadaan takdir Ilahi sahaja yang membenarkan seseorang melonjak ke jawatan nombor satu negara.

Ada sejarah tersendiri

Setiap bekas Timbalan Perdana Menteri mempunyai cerita dan sejarah tersendiri yang menggagalkan mereka berada di kedudukan nombor satu negara.

Tetapi, semua cerita dan sejarah itu tetap tidak dapat menafikan bahawa semua mereka hanya perlu sentiasa menjadi timbalan kepada seorang ketua dan bukannya ketua kedua kepada ketua yang pertama.

Rombakan Kabinet semalam adalah isyarat betapa semua anggota pentadbiran kerajaan perlu senada ketika memberi komen dan ulasan terbuka, terutama ketika berdepan dengan media.

Kegagalan berbuat demikian, boleh menyebabkan wujudnya ketidakpastian dan kekeliruan dalam kalangan rakyat. Keadaan ini juga menyebabkan berlakunya pelbagai persepsi yang tidak jelas.

Apapun, hak dan kuasa melantik anggota Jemaah Menteri adalah kuasa Perdana Menteri.

Pengguguran dan pelantikan menjadi suatu proses biasa dalam amalan politik demokrasi.

Pemimpin datang dan pergi, namun amanah kepemimpinan negara yang dipilih secara sah melalui proses pilihan raya perlu diteruskan. Amanah ini akan disoal kelak oleh Allah SWT.

Tahniah kepada yang dipilih dan ucapan setinggi penghargaan kepada yang telah menabur bakti kepada agama, bangsa dan tanah air.
Dr Azmul Fahimi Kamaruzaman Berita Harian Kolumnis 30 Julai 2015

Cabaran, harapan Kabinet baharu

SUDAH terang lagi bersuluh. Desas-desus rombakan Kabinet yang sekian lama diperkatakan kini telah menjadi kenyataan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pasukan baharunya kelmarin.

Suhu politik negara yang sememangnya panas, kini menggelegak ke paras mendidih. Ternyata asakan yang kuat terhadap Perdana Menteri khususnya mengenai isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak membuatkan beliau berundur daripada jawatan nombor satu negara.

Malah rombakan Kabinet ini dilihat mampu memperkukuhkan kepemimpinan beliau sehingga pilihan raya umum akan datang.

Perkembangan ini berbeza dengan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang memilih untuk mengundurkan diri pada tahun 2009 selepas pencapaian Barisan Nasional (BN) kurang memberangsangkan pada Pilihan Raya Umum 2008 selain kritikan hebat khususnya oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Paling menarik perhatian dalam rombakan Kabinet ini adalah pengguguran Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersekali jawatan Menteri Pendidikan.

Kali terakhir Timbalan Perdana Menteri digugurkan ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh Dr Mahathir pada 2 September 1998. Keputusan menggugurkan Muhyiddin diakui amat sukar dibuat oleh Najib, namun perlu dilakukan bagi menjamin kesatuan pasukannya.

Kebertanggungjawaban bersama

Rombakan Kabinet yang menyaksikan beberapa Anggota Kabinet digugurkan bukan keadaan luar biasa kerana dalam amalan kerajaan, prinsip kebertanggungjawaban bersama amat ditekankan.

Ahli Kabinet perlu patuh dengan keputusan kerajaan dan pandangan peribadi yang bertentangan tidak dibenarkan menjangkaui keputusan bersama.

Kita yakin Muhyiddin amat arif dalam hal ini. Malah, beliau sedar dan faham ketika melontarkan kritikan kerasnya kepada Najib berkaitan isu 1MDB dalam ucapan sempena Mesyuarat UMNO Bahagian Cheras baru-baru ini. Namun, dalam politik, keberanian harus dibayar dengan harga yang mahal.

Kita percaya, pemimpin berusia 68 tahun ini sudah menjangkakan masa depan politiknya selepas mengkritik Perdana Menteri secara terbuka.

Malah, beliau menerima keputusan Perdana Menteri dan kuasa prerogatifnya. Selepas dipecat daripada jawatan nombor dua negara, pandangan kini beralih kepada kedudukan Muyhiddin sebagai Timbalan Presiden UMNO.

Secara tradisi, jawatan Timbalan Perdana Menteri mesti disandang oleh Timbalan Presiden UMNO. Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang dijadualkan berlangsung Jumaat ini mungkin akan menentukan nasib Muhyiddin.

Amat janggal jika Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO adalah individu yang berbeza. Timbalan Perdana Menteri yang baharu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah Naib Presiden UMNO paling kanan.

Justeru, beliau tidak mempunyai masalah besar memangku jawatan Timbalan Presiden UMNO sehingga pemilihan UMNO akan datang. Selain itu, nasib seorang lagi Naib Presiden UMNO bertaraf menteri yang digugurkan, iaitu Datuk Seri Shafie Apdal masih tidak jelas.

Selaku bekas ahli Kabinet yang mewakili kekuatan UMNO Sabah khasnya dan pengundi di Sabah dan Sarawak amnya, peranan beliau amat besar.

Namun berdasarkan senarai Kabinet yang baharu ini, peranan Shafie mungkin digantikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia yang baharu, Datuk Seri Mohd Salleh Said Keruak.

Suara akar umbi rakyat

Setiap kali rombakan Kabinet, persoalan yang timbul apakah ia terjemahan daripada suara akar umbi rakyat atau sekadar memenuhi kepentingan elit politik semata-mata.

Ini adalah polemik yang berlegar dalam kotak pemikiran sebahagian besar rakyat Malaysia.

Namun, Perdana Menteri pastinya mempunyai alasan kukuh bagi menjamin keutuhan barisan Kabinetnya. Bagaimanapun tidak semua pihak melihat hal yang sama.

Justeru, Kabinet baharu ini mempunyai tugas berat, iaitu bukan sahaja melaksanakan tugas eksekutif seperti biasa, tetapi mengembalikan kepercayaan rakyat kepada kerajaan.

Satu tindakan yang boleh dipuji dalam rombakan Kabinet di sini adalah memisahkan semula Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Ia adalah tindakan yang tepat kerana kedua-dua kementerian boleh berdiri dengan sendiri kerana cukup besar dan matang.

Pemisahan dua kementerian ini akan dapat melonjakkan lagi usaha kerajaan menjadikan Malaysia sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Kemasukan 'orang lama' dalam Kabinet baharu yang mempunyai pengalaman perlu disepadukan bagi memperkukuhkan prestasi dan reputasi kerajaan. Kemunculan semula bekas Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Chuan sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri

Kedua, wajar dimanfaatkan dan bukan sekadar mengisi kekosongan dan kuota sahaja. Rombakan Kabinet kali ini turut memperlihatkan muka baharu, antaranya Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Rizal Merican Naina Merican yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Luar dan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri).

Muka baharu yang sebenarnya orang lama, iaitu Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dinaikkan pangkat sebagai menteri penuh menerajui Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Tidak dinafikan, impak rombakan Kabinet kali ini amat besar lebih-lebih lagi isu 1MDB belum selesai.

Apa yang diharap, Kabinet baharu ini tidak membawa gaya politik lama sebaliknya terus memberi fokus kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat. Kepemimpinan yang berintegriti dan amanah mesti menjadi asas kerajaan.

Keyakinan rakyat perlu dikembalikan sebelum terlambat.

Mohd Izani Mohd Zain Berita Harian Kolumnis 30 Julai 2015

Pilih pemimpin berkelayakan, pastikan hidup rakyat terjaga

STRUKTUR pemerintahan kerajaan di Malaysia dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan.

Kerajaan Persekutuan akan di terajui oleh Perdana Menteri bersama barisan menteri Kabinet.

Kerajaan negeri akan diketuai Menteri Besar atau Ketua Menteri bersama barisan exconya, manakala kerajaan tempatan dipimpin Datuk Bandar atau Yang Dipertua bersama barisan Ahli Majlis mereka.

PENGUAT kuasa perlu semangat cekal, disiplin tinggi dalam memastikan kerja ikut akta ditetapkan. - Foto hiasan
Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang utama bagi Kerajaan Persekutuan, kuasa yang dinyatakan dalam Undang-undang Tubuh Negeri pula asas kuasa pemerintahan pada peringkat negeri.

Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) adalah undang-undang utama yang wajib dipatuhi dan diguna pakai oleh sesebuah kerajaan tempatan.

Sejarah penggubalan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) bermula pada 1957 apabila Suruhanjaya Reid (pihak yang menggubal Perlembagaan Persekutuan Malaysia) berpendapat kerajaan tempatan perlu diletakkan di bawah pentadbiran kerajaan negeri.

Pada tahun 1963, satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan dan pada tahun 1973 telah mengesyorkan kepada kerajaan Persekutuan satu Akta Khas untuk kerajaan tempatan bagi memastikan kerajaan tempatan mendapat kuasa mentadbir, menggubal undang-undang kecil, mengurus kewangan dan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat turus dalam pentadbiran kawasan masing-masing.

Diiktiraf sebagai 'Badan Berkanun'

Akta itu mendapat perkenan kelulusan oleh Yang Di-Pertuan Agong di Parlimen pada 18 Mac 1976.

Maka bermula pada tarikh itu kerajaan tempatan di Malaysia diiktiraf sebagai sebuah 'Badan Berkanun' yang boleh disaman dan menyaman seperti satu badan korporat.

Apa yang perlu diambil perhatian ialah kerajaan tempatan adalah kerajaan paling hampir kepada rakyat kerana bidang kuasanya meliputi kehidupan seharian masyarakat seperti kebersihan, keindahan, pengurusan sisa pepejal, perancangan pembangunan bandar dan kampung.

Pembinaan dan penyelenggaraan jalan raya dan lalu lintas, lesen perniagaan, permit kerja tanah, keselamatan struktur rumah serta bangunan antara tanggungjawab kerajaan tempatan dalam memastikan kehidupan rakyat terus dijaga melalui tadbir urus yang betul.

Kerajaan tempatan dibahagikan kepada tiga komponen iaitu pentadbiran dan kewangan; perundangan, penguatkuasaan dan kawal selia serta pembuat dasar kerajaan tempatan.

Mengikut Seksyen 10 Akta 171, segala lantikan jawatan seperti Datuk Bandar/ Yang Dipertua dan Ahli Majlis akan ditentukan oleh pihak kerajaan negeri dan tempoh jawatan itu tidak lebih daripada tiga tahun sahaja.

Mengikut Seksyen 10(2) Akta 171, memberi tanggungjawab kepada kerajaan negeri memilih Ahli Majlis berdasarkan, "Pengalaman luas dalam bidang kerajaan tempatan, atau mempunyai pencapaian terbaik dalam profesion, perdagangan atau industri atau yang mampu mewakili rakyat dan komuniti dalam kawasan pentadbiran kerajaan tempatan itu."

Seksyen 10 Akta 171 itu selaras dengan apa yang dituntut dalam agama Islam seperti dinyatakan oleh Allah SWT dalam firman yang bermaksud: "Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menetapkan hukum dengan adil, sesungguhnya Allah dengan (suruhannya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya terhadap kamu, sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat." (Surah an-Nisa', ayat 58)

Lantikan Ahli Majlis adil

Kerajaan negeri yang diterajui Menteri Besar atau Ketua Menteri wajib menilai dan memastikan pelantikan semua Ahli Majlis dilakukan dengan adil selaras peruntukan Seksyen 10 Akta 171 yang bersesuaian dengan firman Allah SWT itu.

Adalah satu dosa dan tidak amanah bagi ketua pemimpin yang cuai melantik pemimpinnya yang tidak sesuai serta bertanggungjawab.

Arahan Allah SWT itu merujuk kepada pemilihan seseorang hendaklah berdasarkan kelayakan atau kepakaranmenguruskan tugas diamanahkan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang paling baik untuk kamu ambil sebagai pekerja ialah yang kuat (kemampuannya) lagi amanah." (Surah al-Qisas, ayat 26)

Konsep keadilan di Malaysia membabitkan keputusan kerajaan tempatan ini boleh dirujuk di Mahkamah Tinggi yang dikenali sebagai 'Semakan Kehakiman'.

Persoalannya sekarang, adakah rakyat mempunyai kuasa untuk membuat bantahan jika yang di lantik sebagai Ahli Majlis itu tidak berkelayakan dan tidak amanah.

Kabinet baharu mesti mampu urus isu

ROMBAKAN Kabinet sudahpun dibuat. Timbalan Perdana Menteri (TPM), Tan Sri Muh­yiddin Yassin digugurkan. Ini sesuatu yang tidak diduga. Sebagai gantinya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melantik Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai TPM. Ahmad Zahid juga dikekalkan sebagai Menteri Dalam Negeri. Menurut Najib, langkah menggugurkan Muhyiddin itu adalah satu keputusan yang berat untuk dilakukannya.

Namun, ia terpaksa dilakukan demi kepentingan negara dan pertimbangan politik semasa. Najib dalam ucapan pengumumannya menyebut sebagai anggota Kabinet, perbezaan pendapat dan pandangan tidak sepatutnya dilakukan di forum terbuka yang boleh menjejaskan pandangan umum terhadap kerajaan serta negara. Ia juga bertentangan dengan konsep tanggungjawab bersama Kabinet.

Justeru, beliau terpaksa mengambil tindakan itu supaya jemaah menteri dapat bergerak sebagai satu pasukan jitu. Muhyiddin sebelum ini dilihat mempunyai pandangan yang bercanggah dengan Najib dalam isu kontroversi 1MDB. Ahli Majlis Ter­tinggi UMNO, Tan Sri Syed Hamid Albar menyifatkan beberapa pandangan bekas TPM itu yang dibuat secara terbuka, terutamanya mengenai 1MDB adalah bercanggah dengan pendirian Perdana Menteri sedangkan Najib secara jelas mahukan satu pasukan yang selaras dengan pandangan beliau selaku ketua jemaah menteri (Kabinet).


Najib Tun Razak mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri selepas rombakan Kabinet baharu di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, kelmarin. BERNAMA

Muhyiddin turut digugurkan jawatan sebagai Menteri Pendidikan. Menteri lain yang turut digugurkan jawatan mereka ialah Datuk Seri G. Palanivel (Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar), Datuk Seri Mohd.Shafie Apdal (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah), Datuk Ewon Ebin (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi) dan Datuk Abd. Rahim Bakri (Timbalan Menteri Pertahanan).

Rombakan Kabinet kali juga menyaksikan pelantikan muka-muka baharu memegang jawatan menteri dan timbalan menteri. Muka baharu dilantik sebagai menteri ialah Datuk Wilfred Madius Tangau (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi) dan Datuk Seri Dr. Mohd. Salleh Said Keruak (Menteri Komunikasi dan Multimedia).

Muka baharu dilantik sebagai timbalan menteri ialah Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Timbalan Men­teri Pelancongan dan Kebuda­yaan), Datuk Nur Jazlan Mohamed (Timbalan Menteri Dalam Negeri), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (Timbalan Menteri Luar Negeri), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah), Senator Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki (Timbalan Menteri JPM Hal Ehwal Agama), Senator Tuan Chong Sin Woon (Timbalan Menteri Pendidikan), Masir Kujat (Timbalan Menteri Dalam Negeri) dan Datuk Johari Abdul Ghani (Timbalan Menteri Kewangan).

Dua muka lama yang sebelum ini pernah menganggotai barisan Kabinet sebagai menteri turut dilantik semula dalam rombakan Kabinet Najib ini. Mereka ialah Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Datuk Seri Ong Ka Chuan sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II.

Selain itu, tiga timbalan menteri dinaikkan pangkat ialah Datuk Hamzah Zainudin dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan), Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Datuk Seri Mahdzir Khalid sebagai Menteri Pendidikan.

Menteri dan timbalan menteri yang bertukar kementerian pula ialah Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek bertukar sebagai Menteri dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Menteri Kemajuan Luar bandar dan Wilayah, manakala Datuk Ahmad Maslan bertukar menjadi Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Apa yang penting sekarang ialah Kabinet baharu Najib ini mesti mampu mengendurkan sentimen rakyat terhadap isu-isu utama yang berbangkit hari ini. Jika tidak, tidak ada maknanya rombakan Kabinet itu dilakukan.

Sayugia diingat, hari ini kerajaan tidak boleh lagi dilihat cuba menampilkan semua perkara yang baik sahaja dengan menyembunyikan perkara yang buruk. Najib sendiri ketika dinobatkan menjadi Perdana Menteri pernah menyebut bahawa zaman kerajaan mengetahui segalanya sudah berlalu.

Mereka yang berada dalam Kabinet mestilah memberikan komitmen serta sentiasa fokus kepada usaha pembangunan negara seperti yang diharapkan Najib, terutamanya bagi memenuhi janji kerajaan BN kepada rakyat pada pilihan raya umum lalu.

Seperti yang diharapkan Najib, beliau mahukan jemaah menteri bertindak sebagai satu pasukan yang jitu dalam apa jua keadaan, melangsungkan agenda pembangunan negara serta menguruskan isu berbangkit agar dapat ditangani dengan berkesan.

Di satu segi, kita mengharapkan tiada masalah besar berlaku dalam parti UMNO kesan daripada Muh­yiddin dan Mohd. Shafie digugurkan yang dilihat mempunyai pengaruh dalam UMNO. Yang perlu dilakukan mulai sekarang ialah seluruh ke­pimpinan dan ahli parti mesti segera bangkit dan merapatkan saf serta memastikan perubahan yang direncana dan dihasratkan dapat diterjemahkan dalam seluruh gerak kerja parti secara bersepadu dan penuh keikhlasan. Semangat untuk berkorban untuk bangsa, agama dan tanah air mesti tersemai dalam langkah perjuangan.

Hakikatnya, landskap politik negara yang semakin mencabar sejak ‘tsunami politik’ 2008 (PRU-12) dan kemerosotan prestasi UMNO-BN dalam PRU-13 (2013) menuntut seluruh ahli UMNO menggalas tuntutan perubahan ke arah perjuangan parti yang lebih mantap dan meyakinkan.

Kesimpulannya, rombakan Kabinet yang dibuat itu adalah bertujuan memantapkan lagi pentadbiran negara sejajar dengan kedudukan prinsip tanggungjawab bersama. Jemaah menteri yang dilantik itu mestilah berjiwa rakyat dan mampu bekerja dengan Najib untuk membawa masa depan negara yang lebih baik.

Potensi e-dagang di Malaysia

NILAI e-dagang di Malaysia dijangka berkembang kepada kira-kira RM88 bilion menjelang 2016, berbanding RM53 bilion pada 2014. Unjuran itu berdasarkan 55 peratus (%) pengguna Internet di negara ini membeli-belah di atas talian menerusi pelbagai peranti selain penembusan jalur lebar isi rumah mencecah 70 peratus.

Faktor lain yang menyumbang termasuk peningkatan pendapatan, perkembangan kad kredit dan debit serta kepercayaan masyarakat dalam mengiktiraf manfaat membeli-belah atas talian.

Menyedari potensi sektor e-dagang, Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) melancarkan GO SHOP yang dikendalikan Astro GS Shop Sdn. Bhd. (Astro GS Shop), dengan kerjasama GS Home Shopping Inc.

Astro adalah peneraju kumpulan media bersepadu di Malaysia dan Asia Tenggara yang beroperasi dengan empat perniagaan utama; TV berbayar, radio, penerbitan dan media digital.

Dengan jumlah pelanggan lebih 3.7 juta, pelanggan kediaman atau penembusan kira-kira 55% daripada televisyen kediaman di Malaysia, Astro menawarkan lebih 171 saluran TV, termasuk 39 saluran HD, yang disediakan melalui satelit TV Direct-To-Home, IPTV dan OTT.

Sementara itu, GS Home Shopping Inc., selaku peneraju dalam industri membeli-belah dari rumah di Korea, pula mempunyai kepakaran perniagaan, produk dan perkhidmatan membeli-belah dari rumah bertaraf dunia.

Malaysia adalah negara ketujuh dalam senarai rakan perkongsian pintar GS Home Shopping Inc. selepas China, Vietnam, Indonesia, Thailand, India dan Turki.

Ternyata, kepakaran 20 tahun dimiliki syarikat peruncit multimedia yang berpangkalan di Korea itu berupaya menjadikan GO SHOP sebagai ‘destinasi’ gaya hidup beli-belah 24 jam atas talian yang seronok lagi menghiburkan.

Buktinya, sejak prapelancarannya pada 1 November 2014, GO SHOP te­lah menerima sokongan yang sangat memberangsangkan apabila berjaya menjual 175,000 produk berbanding 120,000 produk dalam tempoh tiga bulan pertama, manakala jumlah pelanggan pula meningkat kepada 160,000 orang berbanding 75,000 pada peringkat awal.

GO SHOP dilancarkan secara rasmi pada 30 Januari 2015 dan perkhidmatan itu kini boleh dicapai menerusi pelbagai saluran Astro TV (saluran 118), Astro On The Go dan NJOI, selain platform atas talian serta mudah alih.

Menyingkap kejayaan itu, wakil GS Home Shopping Inc., Yu Hee Wang berkata, strategi pemasaran GO SHOP di negara ini sama seperti di Korea iaitu bercirikan demonstrasi, promosi dan penjualan produk oleh hos tempatan menerusi kaca TV.

Beliau yang dilantik sebagai Ketua Penyiaran Astro GS Shop bertanggungjawab sepenuhnya merancang pelan strategi pemasaran termasuk memilih produk terbaik dan berkualiti serta berdaya saing sahaja.

“Seiring kualiti yang menjadi keutamaan GO SHOP, kita hanya menampilkan produk terpilih yang terbaik sahaja untuk meme­nuhi keperluan rakyat di negara ini dalam mencari pengalaman membeli-belah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kelebihan perkhidmatan GO SHOP ialah ia dilengkapi kemudahan infrastruktur terkini yang dimiliki Astro seperti kemudahan penyiaran, pusat panggilan, platform saluran dan studio rakaman serta ditambah pula dengan kepakaran tepat dan terbaik khusus untuk rakyat Malaysia.

Bersandarkan pepatah Ing­geris seeing is believing, Hee Wang berkata, demonstrasi, promosi dan penjualan produk dilakukan secara tutorial dengan suntikan elemen infotainmen dan TV realiti yang menarik ke dalam setiap segmen GO SHOP bagi memperkayakan pengalaman penonton.

“Rekod membuktikan pengalaman membeli-belah yang menghiburkan, menyeronokkan dan memudahkan penonton mendorong mereka untuk membeli-belah selepas melihat sendiri demonstrasi barangan jualan secara tutorial di kaca TV oleh pengacara tempatan.

“Bayangkan dalam tempoh tiga bulan operasi (daripada tarikh prapelancaran) GO SHOP berjaya menarik 75,000 pelanggan dan mencatat jualan 120,000 pada peng­hujung Januari lalu. Lebih mengejutkan, pencapaian dalam masa singkat itu dilakukan tanpa sebarang iklan,” katanya.

Menurutnya, arah aliran pertumbuhan global e-dagang pada hari membuktikan bahawa inisiatif membeli-belah dari rumah adalah segmen runcit yang semakin berkembang pesat, mengatasi pertumbuhan pasaran runcit fizikal.

Menyedari potensi tersebut, katanya, Astro GS Shop menyasarkan untuk mencapai jualan RM150 juta menjelang hujung tahun ini berdasarkan pencapaian suku pertama yang mencecah RM37 juta.

Untuk makluman, usaha sama yang membawa 60% pegangan kepada Astro dan selebihnya oleh GS Home Shopping Inc. dengan nilai pelaburan RM70 juta itu dijangka menjana hasil tahunan sehingga RM500 juta menjelang 2019.

Dalam perkembangan berkaitan, Hee Wang berkata, pihaknya juga membuka peluang kepada 40 usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dari Malaysia untuk memperluaskan pasaran produk mereka menerusi aplikasi e-dagang diperkenalkan Astro GS Shop itu.

“Ketika ini menawarkan lebih 150 produk dengan sebanyak 60% produk adalah jenama tempatan, manakala 40% dari Korea,” katanya.

Jelasnya, Astro GS Shop berhasrat melihat lebih banyak PKS terlibat dalam program GO SHOP dan memenuhi kriteria produk yang mereka cari. Terdapat pelbagai kategori produk ditawarkan antaranya peralatan elektronik digital, barangan kelengkapan dapur, aksesori dan fesyen, kesihatan, kosmetik dan penjagaan diri. Produk baharu daripada jenama premium tempatan dan antarabangsa juga diperkenalkan dari semasa ke semasa.

Antara barangan popular dan eksklusif yang hanya didapati di GO SHOP ialah My Qalam Digital Quran, Steam Q Iron, Konstar Master Chopper, pengisar makanan Tokebi, ge­rudi Swiss Military Power Drill, pembancuh yogurt Yogurberry dan beg pakaian Patrice Beal.

Uniknya, GO SHOP turut menawarkan gabungan produk atau bundling, yang menambahkan lagi nilai pembelian untuk para pelanggan selain jaminan 10 hari pemulangan balik produk jika tidak berpuas hati.

Para pelanggan boleh membuat panggilan menerusi talian bebas tol 24 jam GO SHOP di 1800-82-0088 atau layari http://www.goshop.com.my untuk membuat tempahan produk.

Masa penghantaran adalah antara dua hingga enam hari bekerja di seluruh negara dan pelbagai pilihan pembayaran tersedia termasuk kad kredit dan kad debit keluaran tempatan, pelan pembayaran mudah, pemindahan melalui bank secara dalam talian dan bayaran tunai semasa penghantaran.

- Rajmah Hasan Utusan Malaysia Rencana 31 Julai 2015 1:33 AM

Penamatan jawatan Peguam Negara tak perlukan tribunal

MERUJUK kepada senario penamatan jawatan Peguam Negara yang diumumkan kelmarin, saya cuba membawa pembaca kepada soal peruntukan Perlembagaan berkaitan untuk kita menganalisis senario ini daripada perspektif perundangan.

Perbincangan dalam tulisan ini agak teknikal dan penuh dengan jargon undang-undang. Saya menganggap tulisan ini sebagai satu pandangan akademik perundangan.

Peruntukan perlembagaan yang menjadi pokok asal perbincangan ialah Perkara 145, bertajuk 'Peguam Negara'. Ia memperuntukkan bahawa, jawatan Peguam Negara disandang atas perkenan Yang di-Pertuan Agong.


Secara spesifik, peruntukan yang dirujuk ialah fasal 145 (5). Amat jelas dalam fasal (5) ini bahawa Peguam Negara memegang jawatan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong. Maknanya bila Yang di-Pertuan Agong sudah tidak lagi perkenan kepada penjawat jawatan Peguam Negara itu, maka bolehlah beliau ditamatkan perkhidmatannya.

Perkara 145 (5) menyatakan "Tertakluk kepada Fasal (6), Peguam Negara hendaklah memegang jawatan selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dan boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya dan, melainkan jika dia ialah anggota Jemaah Menteri, hendaklah menerima apa-apa saraan yang ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong".

Dalam fasal (1) perkara 145, Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Perdana Menteri, diberikan kuasa untuk melantik seseorang yang memenuhi syarat kelayakan sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan dan sebagai Peguam Negara.

Sementara itu, Perkara 145(6) menjadi peruntukan kedua yang menjadi fokus perbincangan. Fasal (6) ini menyatakan mengenai kedudukan jawatan Peguam Negara yang dilantik sebelum 16 September 1963.

Oleh itu, fasal (6) terpakai kepada Peguam Negara yang berkhidmat sebelum Perkara 145 (yang ada sekarang) berkuat kuasa. Perkara 145 yang asal telah dipinda.

Pindaan itu berkuat kuasa bermula pada 16 September 1963 melalui seksyen 26 Akta 10/1963. Pindaan itu, sekali gus menggantikan Perkara 145 yang dimaktubkan dalam perlembagaan bermula 31 Ogos 1957 itu.

Di bawah Perkara 145 yang lama, iaitu sebelum pindaan dan kuat kuasa pindaan pada 1963, Peguam Negara tidak boleh ditamatkan perkhidmatan atau dipecat, melainkan dengan prosedur serupa dengan pemecatan Hakim Mahkamah Persekutuan, iaitu menurut Perkara 125 hendaklah melalui saranan atau syor sebuah tribunal yang ditubuhkan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

Oleh itu, fasal 145 (6) yang ada dalam Perlembagaan sekarang dimasukkan hanya untuk diterima pakai kepada Peguam Negara yang dilantik sebelum kuat kuasa pindaan 1963.

Oleh itu, dalam senario semasa, lantikan Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai Peguam Negara berlaku selepas 1963.

Oleh itu, peruntukan 145(6) adalah tidak terpakai ke atasnya dan penubuhan tribunal bukan satu syarat perundangan.

Syarat kelayakan

Walaupun kelayakan untuk dilantik ke jawatan Peguam Negara itu serupa dengan kelayakan untuk dilantik ke jawatan Hakim Mahkamah Persekutuan seperti mana disebut dalam Perkara 145(1), perkara 145(5) adalah peruntukan spesifik yang merujuk kepada perkhidmatan Peguam Negara.

Maka, syarat kelayakan itu tidak boleh dibaca dengan memberikan layanan dalam soal penamatan perkhidmatan atau pemecatan serupa antara Peguam Negara dan Hakim Mahkamah Persekutuan.

Namun begitu, ada satu lagi persoalan penting mengenai prosedur yang perlu dijawab dalam penamatan atau pemecatan Peguam Negara.

Adakah jawatan Peguam Negara itu satu jawatan dalam perkhidmatan awam?

Sekiranya ia adalah satu jawatan perkhidmatan awam, maka Perkara 135 adalah terpakai. Untuk menentukan sama ada jawatan Peguam Negara adalah satu jawatan dalam perkhidmatan awam, Perkara 132 adalah dirujuk.

Perkara 132 menyenaraikan perkhidmatan awam dan juga meletakkan pengecualian. Perkhidmatan awam yang disenaraikan di bawah Perkara 132(1) ialah angkatan tentera; perkhidmatan kehakiman dan perundangan; perkhidmatan awam am Persekutuan; pasukan polis; perkhidmatan awam bersama yang disebut dalam Perkara 133; perkhidmatan awam setiap negeri; dan perkhidmatan pendidikan.

Perkara 132 ini dimaktubkan dalam Bahagian X Perlembagaan Persekutuan, iaitu bahagian yang memperuntukkan mengenai Perkhidmatan Awam.Bahagian X Perlembagaan Persekutuan ini bermula daripada Perkara 132 sehingga Perkara 148.

Jika diperhati Perkara 132(1) ini, jawatan Peguam Negara bolehlah ditafsirkan sebagai sebahagian daripada 'perkhidmatan kehakiman dan perundangan' dan jawatan Peguam Negara adalah juga sebahagian daripada perkhidmatan awam.

Oleh itu, sekiranya jawatan Peguam Negara itu adalah satu daripada perkhidmatan awam, dan Peguam Negara itu seorang penjawat awam, maka hak-hak penjawat awam dalam proses 'pembuangan kerja' (dismissal), bukan 'penamatan' perkhidmatan (termination), menurut Perkara 135 Perlembagaan Persekutuan hendaklah terpakai.

Perkara 135 ini terpakai dalam kes pembuangan kerja dan penurunan pangkat. Maksudnya hanya penjawat awam yang dibuang kerja atau diturunkan pangkat saja yang akan mendapat hak yang dinyatakan dalam Perkara 135(1) dan 135(2).

Ada dua hak atau perlindungan kepada penjawat awam yang disebut dalam Perkara 135 ini.

Hak itu ialah: Pertama, hak untuk tidak dibuang kerja atau diturunkan pangkat oleh pihak berkuasa yang lebih rendah pangkatnya daripada pihak berkuasa yang mempunyai kuasa melantik pada masa proses pembuangan kerja atau penurunan pangkat itu dilakukan.

Kedua, hak untuk diberi peluang munasabah untuk didengar. Justeru, sekiranya seseorang penjawat awam itu mahu mendapatkan hak atau perlindungan di bawah Perkara 135(1) dan (2), beliau hendaklah membuktikan bahawa dia telah dibuang kerja, (bukan ditamatkan perkhidmatan saja), atau, beliau juga hendaklah membuktikan bahawa ia adalah satu penurunan pangkat.

Sekiranya tidak ada elemen 'buang kerja' atau 'turun pangkat' maka, penjawat awam itu tidak layak untuk mendapat hak atau perlindungan di bawah dua fasal dalam Perkara 135 itu.

Dalam senario penamatan perkhidmatan Peguam Negara kelmarin, sekiranya dibaca Perkara 132(1) saja, Peguam Negara adalah seorang penjawat awam.

Maka, sebagai penjawat awam, menurut perkara 135(2) beliau hendaklah dibuang kerja bukan oleh pihak berkuasa yang lebih rendah pangkatnya dan beliau hendaklah juga diberi peluang munasabah untuk didengar.

Tetapi sebelum mendapat hak untuk diberi peluang untuk didengar itu, Peguam Negara hendaklah membuktikan bahawa dia telah dibuang atau diturunkan pangkat.

Peluang dapat hak, perlindungan

Mungkin 'buang kerja' tidak berlaku dalam senario semasa ini kerana daripada kenyataan media, Gani Patail masih lagi boleh meneruskan jawatan sebagai pegawai perundangan.

Tetapi, penurunan pangkat mungkin jadi isu. Wujud elemen yang perlu diambil kira bagi membuktikan penurunan pangkat.

Antara lain, elemen penurunan pangkat ialah penurunan jumlah gaji bulanan atau juga elaun bulanan. Sekiranya penamatan perkhidmatan Peguam Negara itu menyebabkan gaji atau elaun bulanannya menurun atau berkurangan, maka itu adalah satu penurunan pangkat, sekali gus memberikan beliau peluang untuk mendapatkan hak dan perlindungan di bawah Perkara 135.

Walaupun begitu, jika diperhalusi fasal (4) dalam Perkara 132, ada kemungkinan Peguam Negara tidak berhak untuk mendapatkan hak dan perlindungan di bawah Perkara 135. Perkara 132(4) menyebut bahawa peruntukan dalam Bahagian X Perlembagaan Persekutuan tidak terpakai ke atas Peguam Negara.

Perkara 135 yang disebut di atas, iaitu peruntukan yang menjaga hak dan melindungi penjawat awam semasa prosedur pembuangan kerja atau penurunan pangkat, adalah satu peruntukan dalam Bahagian X.

Oleh itu, boleh ditafsirkan bahawa Peguam Negara tidak mempunyai peluang untuk mendapatkan perlindungan daripada Perkara 135 ini. Perkara 132(4) menyatakan, "Sebutan dalam Bahagian ini, kecuali dalam Perkara 136 dan 147, mengenai orang dalam perkhidmatan awam atau anggota mana-mana perkhidmatan awam tidaklah terpakai bagi-... (b) Peguam Negara atau, jika peruntukan bagi cara pelantikan dan pemecatannya daripada jawatan dimasukkan dengan khususnya dalam Perlembagaan Negeri itu, atau jika dia dilantik bukan daripada kalangan anggota perkhidmatan kehakiman dan perundangan atau perkhidmatan awam Negeri, penasihat undang-undang mana-mana Negeri; atau...." Cuma, persoalan yang timbul daripada Perkara 132(4) ini ialah adakah ia merujuk kepada Peguam Negara peringkat Persekutuan atau Peguam Negara di Sarawak atau Sabah?

Persoalan ini saya timbulkan kerana pindaan kepada Perkara 145 yang disebut pada awal tulisan ini berkuat kuasa pada tarikh pembentukan Malaysia, iaitu 16 September 1963.

Tambahan pula, peruntukan 132(4) ini menyebut mengenai kemungkinan wujudnya peruntukan berkaitan prosedur pemecatan Peguam Negara dalam Perlembagaan Negeri.

Sekiranya perkataan 'Peguam Negara' dalam 132(4) juga merujuk kepada 'Peguam Negara' dalam Perkara 145, maka dalam pemecatan Peguam Negara pada peringkat Persekutuan tidak boleh dibaca dalam Bahagian X Perlembagaan Persekutuan.

Seterusnya, saya fikir, tiada peruntukan khusus dalam Perlembagaan yang menentukan cara penamatan perkhidmatan atau pemecatan jawatan Peguam Negara.

Oleh itu, ada kemungkinan untuk diwajibkan supaya rule of natural justice demi keadilan dan mengelakkan daripada berlakunya autokrasi dalam pemecatan atau penamatan jawatan Peguam Negara walaupun jawatan itu disandang atas perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Antara kebimbangan yang ada ialah penggunaan kuasa tanpa kawalan akan menyebabkan penamatan perkhidmatan Peguam Negara dilakukan dengan niat tidak baik (walaupun niat tidak baik ini amat payah untuk dibuktikan di mahkamah).

Secara keseluruhannya, saya percaya, Mahkamah Persekutuan adalah forum yang paling layak untuk membuat tafsiran kepada peruntukan-peruntukan yang boleh dihujah dalam senario semasa ini.

Dan, mungkin juga elok untuk dikaji soal penamatan jawatan Peguam Negara dan mencadangkan pindaan kepada Perlembagaan bagi menetapkan atau membuat prosedur secara spesifik bagi mengelak sebarang polemik di kemudian hari.

Nasib Muhyiddin dalam UMNO masih samar

MESKIPUN mesyuarat bulanan Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang dijadualkan esok, dibatalkan, mesyuaratnya akan datang tetap menjadi tumpuan seluruh rakyat Malaysia.

Persoalannya nanti ialah adakah bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan hadir sebagai Timbalan Presiden UMNO dan apakah akan berlaku lagi kejutan atau kenyataan yang akan menjadi berita muka depan akhbar keesokan harinya?

Kita tinggalkan sekejap persoalan ini. Ketika masih lagi menjadi pemimpin nombor dua dalam parti dan kerajaan, Muhyiddin mempunyai pandangan mengenai isu hangat yang melanda negara.

Ada pihak yang menganggap, tidak salah baginya menyatakan kebimbangan itu, apatah lagi kritikan dan teguran adalah sesuatu yang boleh mematangkan sesebuah parti dan kerajaan, dan ini bukan kali pertama kerajaan dikritik.

Namun, nada yang dilontarkan oleh Muhyiddin adalah seperti laungan atau jeritan pemimpin pembangkang yang begitu cepat membuat tohmahan mengenai sesuatu isu dan bukannya dari seorang jeneral kanan yang sanggup bersama-sama berjuang di medan pertempuran.

Jika difikirkan secara logik, adalah sesuatu yang agak janggal dan menghairankan sekali apabila pemimpin nombor dua dalam parti dan kerajaan membuat pengakuan bahawa beliau masih tidak memahami mengenai isu membabitkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sehingga terpaksa mendapatkan maklumat daripada akhbar The Edge yang kini digantung penerbitannya oleh Kementerian Dalam Negeri.

Bukankah isu ini sudah lama dan pastinya dibincangkan dalam pelbagai mesyuarat pada peringkat tertinggi? Perlu diingatkan juga bahawa siasatan masih dilakukan dan berikan masa dan peluang kepada pihak yang terbabit menyiasat isu ini dengan lebih terperinci.

Mengapa perlu mencadangkan supaya diambil tindakan terhadap mereka yang belum dibuktikan bersalah?

Jejas kepercayaan rakyat

Itu sebabnya juga, siasatan yang dilakukan oleh Pasukan Petugas Khas dan pihak lain mesti diteruskan tanpa sekatan dan gangguan.

Kenyataan terbuka yang dibuat oleh Muhyiddin sedikit sebanyak mengundang rasa ketidakpercayaan rakyat terhadap tugas dan amanah yang dilaksanakan oleh Pasukan Petugas Khas ini.

Bahkan kenyataan beliau "jika pilihan raya umum diadakan esok, BN akan tewas" seolah-olah memberi gambaran kepada penyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN) bahawa BN sudah mengangkat kain putih dan menyerah kalah begitu saja.

Jika kenyataan itu dibuat oleh ahli UMNO biasa, mungkin ia tidak akan mempengaruhi pemikiran penyokong BN.

Namun, yang membuat kenyataan ini ialah orang kedua dalam kepemimpinan parti dan pastinya mampu untuk mempengaruhi keputusan dan pilihan orang ramai.

Berbalik kita pada persoalan pertama yang dinyatakan dalam artikel ini. Bagaimana pula dengan kedudukan Muhyiddin dalam UMNO?

Sebagai Timbalan Presiden UMNO yang dipilih oleh perwakilan, Muhyiddin berhak untuk menghadiri mesyuarat atau perhimpunan tahunan UMNO.

Namun, secara realitinya, dalam hal ini, Muhyiddin perlu sedar yang kehadirannya sedikit sebanyak akan menimbulkan rasa tidak senang dan pastinya akan memberi kesan terhadap tugas dan tanggungjawab yang akan dilaksanakan oleh pihak kepemimpinan UMNO.

Walaupun ada pihak yang akan cuba mendesak Muhyiddin untuk terus berjuang dan menyatakan pendiriannya dalam UMNO, sebagai pemimpin nombor dua parti, Muhyiddin pastinya juga faham dan merasai sendiri pengalaman bagaimana pemimpin yang tidak sealiran dengan pucuk pimpinan parti akan memberikan kesan negatif terhadap perjuangan parti. Itu sebabnya ada pihak yang mahukan Muhyiddin sendiri berundur secara hormat dan tidak perlu mengamalkan sikap 'alang alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan'.

Sebagai seorang pejuang parti, pastinya Muhyiddin tidak mahu melihat perpaduan dalam UMNO dijadikan mangsa, disebabkan rasa tidak puas hatinya.

Masa untuk Muhyiddin berundur

Sebagai seorang yang sudah lama menjadi pemimpin, Muhyiddin telah memainkan peranan penting dan berjasa besar terhadap kejayaan parti dan kerajaan umumnya.

Mungkin inilah masanya untuk Muhyiddin berundur secara hormat dalam UMNO dan membuktikan kepada semua bahawa beliau adalah pemimpin yang mengutamakan perpaduan dalam parti.

Kepada ahli UMNO, perlu diingatkan sekali lagi bahawa perjalanan UMNO akan berdepan dengan pelbagai lagi duri dan ranjau.

Pengkritik UMNO akan terus bersuara dan kemungkinan besar, laungan itu akan menjadi semakin kuat, lantang dan bising. Inilah cabaran dan tanggungjawab yang akan terus digalas oleh pucuk kepemimpinan UMNO.

Selagi semua ahli UMNO berdiri teguh di belakang Presiden, selagi itulah apa yang bakal dilalui ini akan ditangani dengan rasional dan bijaksana demi survival UMNO sebagai parti utama di negara ini.

Syawal adalah bulan mencari kemaafan dan keredaan. Kita perlu mengambil iktibar untuk menyelesaikan sebarang perselisihan yang timbul.

Marilah kita bersama-sama berdoa dan mengharapkan awan gelap yang berarak di atas kepala kita akan berlalu tanpa ada ribut taufan yang akan memecahbelahkan perpaduan sesama kita. 

Ketamadunan bangsa gemilang boleh dicapai jika negara aman

PERPADUAN rakyat adalah tonggak utama dalam memacu kepesatan pembangunan dan membina tamadun yang gemilang. Malaysia negara berbilang budaya, agama dan bangsa, kepelbagaian perlu dijadikan aset berharga untuk menampilkan kelainan daripada negara lain dengan rakyat saling hormat-menghormati.

Ambillah sejarah silam yang jelas menonjolkan elemen kesatuan ummah dan gaya hidup bersama yang berjaya mengangkat darjat kemuliaan sebagai perintis dalam pelbagai kemajuan sama ada bidang ilmu pengetahuan atau sistem nilai sosial berpadu.

Kehebatan kerajaan Islam Andalusia

Kehebatan kerajaan Islam di Andalusia, Sepanyol, dahulu tidak mungkin sama sekali mampu menterjemahkan kegemilangannya jika tidak disokong oleh elemen kesatuan ummah yang utuh dalam kalangan rakyat jelata.

Apabila kita meneliti sejarah tamadun Andalusia mahupun keagungan dan kecemerlangan tamadun Islam lain, elemen perpaduan rakyat amat sukar ditemui.


RAKYAT berpeluang timbang ilmu pengetahuan dalam suasana negara aman. - Foto hiasan
Kebanyakan penulis buku sejarah kejayaan Islam terdahulu lebih terarah memaparkan kejayaan tokoh ilmuwan sahaja.

Sedangkan, banyak isu dan aspek lain boleh dijadikan isi kandungan buku sejarah itu untuk dikupas.

Antaranya perpaduan rakyat dan kesepaduan dengan pihak pemerintah.

Hubungan dua hala antara pemerintah yang akrab dengan rakyat menjadi penggerak kepada terbina situasi aman, damai dan harmoni.

Mustahil kejayaan penuh gemilang yang pernah dikecapi rakyat dan negara Islam silam hanya bersandarkan kepada keutuhan ilmuwan semata-mata. Ilmuwan dan cendekiawan lahir dengan penghasilan karya prolifik merangkumi pelbagai cabang ilmu disebabkan negara berada dalam keadaan aman damai.

Kelahiran ilmuwan agung seperti Abu Bakar Muhammad bin Zakaria al-Razi yang diangkat sebagai tokoh perubatan Islam tersohor meninggalkan banyak sumbangan kepada manusia sejagat di mana karya serta penemuannya masih diguna pakai hingga hari ini.

Begitu juga ketokohan Abu al-Walid Mohammad Ibni Rushd atau masyarakat Barat memanggilnya dengan nama 'Averroes' turut dijulang sebagai tokoh ulung dalam ilmu perubatan.

Umat Islam pada waktu itu menjadi umat yang mendahului dan setiap karya serta idea inovasi. Hakikatnya, semua itu tidak lahir begitu sahaja.

Perkembangan ilmu pengetahuan serta bidang berkaitan kehidupan masyarakat sesebuah negara turut dipengaruhi situasi ketika itu.

Negara yang aman dan rakyatnya bersatu padu membolehkan rakyat berpeluang menimba ilmu pengetahuan.

Kaji kecemerlangan

Justeru, penulis buku sejarah yang mengkaji kecemerlangan kerajaan Islam perlu menampilkan faktor sampingan yang juga mungkin menjadi faktor utama membolehkan ilmuwan serta rakyat mencapai kejayaan dalam bidang diceburi mereka.

Tidak dinafikan kesungguhan ilmuwan membuat kajian berjaya membantu mereka menghasilkan karya yang memberi manfaat kepada pembangunan tamadun serta kejayaan umat Islam khususnya karya mereka yang masih relevan hingga hari ini.

Cuma, dalam kita mengangkat ketokohan ilmuwan, aspek penyumbang lain perlu diangkat sekali supaya kejayaan itu dapat dihayati secara menyeluruh.

Faktor lain yang menyumbang boleh dijadikan pengajaran buat masyarakat hari ini. Kajian mengenai kehidupan rakyat atau masyarakat sesebuah kerajaan Islam silam boleh membuat kita terpegun dengan sinergi tinggi dalam kalangan rakyatnya.

Pemerintah juga bersama dalam tindakan untuk membangunkan negara ke puncak jaya.