August 3rd, 2015

Nilai duit kita terus tertekan

TARIKH 27 Julai catat sejarah hitam bagi negara kita. Kepada sesiapa yang faham ekonomi, apa yang berlaku pada hari itu sangat menakutkan. Kesan buruknya kita semua akan rasa tak kira kita faham atau tidak.

Yang Kunta Kinte harap ia tak jadi lebih buruk sebab kejadian hari itu sudah cukup teruk. Malah, lebih teruk daripada yang kita alami apabila spekulator mata wang sarang duit kita dan duit negara Asia Tenggara dan Asia Timur pada tahun 1997/98.

Pada 27 Julai lalu, kadar tukaran duit kita berbanding dolar Amerika jatuh kepada RM3.81 bagi setiap dolar, iaitu paras paling rendah dalam tempoh 17 tahun.

Pada hari itu, ringgit jatuh ke paras paling rendah sejak bulan September 1998. Yang Kunta Kinte lagi bimbang ialah nilai duit kita jatuh walaupun Bank Negara terus sokong ringgit di pasaran tukaran mata wang. Jadi Kunta Kinte sangat takut kalau-kalau masalah yang lebih teruk daripada soal teknikal atau naik turun pasaran.

Buat masa ini, duit kita adalah mata wang Asia yang paling buruk prestasinya.

Macam Kunta Kinte dah sebut sebelum ini, bukan saja kejatuhan harga minyak mentah, sawit dan getah yang tekan turun nilai ringgit, tapi juga masalah-masalah bukan ekonomi macam keyakinan dan sentimen pun turut tekan turun nilai ringgit.

Nilai ringgit dah jatuh lebih rendah daripada kadar tukaran tetap RM3.80 yang Tun Dr Mahathir Mohamad perkenal waktu krisis kewangan Asia 1998.

Kadar tukaran tetap itu dihapuskan pada tahun 2005 masa Tun Abdullah Ahmad Badawi jadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Lagilah gerun bila baca berita kata, Bank Negara mungkin tak masuk campur lagi dalam kegiatan pasaran untuk pertahan ringgit.

Maksudnya Bank Negara akan biarkan nilai ringgit naik dan turun ikut pasaran. Selalunya Bank Negara masuk campur untuk elak naik atau turun mendadak kadar tukaran ringgit.

Kesan jangka pendek, sederhana lebih buruk Kunta Kinte faham kalau hal ini betul berlaku, tapi kesan jangka pendek dan sederhana kepada nilai ringgit mungkin lebih buruk.

Tapi kita kena faham juga sampai bila dan had mana Bank Negara nak sokong ringgit dengan menggunakan rizab antarabangsa yang ia pegang.

Masalahnya, kalau nilai ringgit terus jatuh, harga import kita akan naik walaupun eksport kita jadi lebih murah. Negara luar mungkin beli lebih banyak barang keluaran kita dan pelancong asing mungkin lebih ramai datang berbelanja di negara kita. Tapi ekonomi satu dunia tak berapa baik.

Hatta ekonomi China yang panas itu pun dah mula sejuk. Pelancong China yang sokong industri pelancongan dunia dah mula kurang.

Dalam keadaan ini, boleh jadi Bank Negara tak mampu atau tak mahu lagi guna rizab antarabangsanya untuk pertahan nilai ringgit sebab nilai ringgit dah jatuh ke tahap yang sangat rendah.

Tahun lepas, bila nilai ringgit mula jatuh dengan teruk, Bank Negara masuk campur dengan jual mata wang asing dan beli ringgit, tapi kesan ke atas ringgit tak tahan lama.

Rizab antarabangsa Bank Negara susut AS$18.9 bilion kepada AS$116 bilion pada akhir Disember 2014 daripada AS$134.9 bilion setahun lalu. Inilah antara masalah besar yang kita hadapi yang orang biasa tak faham, tapi akan rasa kesannya bila mereka beli-belah barang import, hantar duit kepada anak yang belajar di luar negara atau melancong ke luar negara.

Satu masalah besar ialah kita masih bergantung kepada makanan import macam beras, gula, gandum, daging dan susu. Malah, bahan mentah untuk makanan haiwan macam jagung dan kacang soya pun kena import juga.

Rizab antarabangsa ni penting. Macam duit dalam akaun kita di bank juga.

Dengan rizab itulah kita bayar hutang piutang kita dan kita bayar import kita. Satu hal lagi, kalau jumlah rizab kita besar, nilai duit kita kukuh, tapi bila jumlah rizab jatuh, nilai duit kita jatuh sama.

Saling kait-mengait. Jadi Kunta Kinte harap kita cubalah faham sikit sebanyak kesan tukaran mata wang ke atas kehidupan kita. Wallahuaklam.

PADA 27 Julai lalu, kadar tukaran duit kita berbanding dolar Amerika jatuh kepada
RM3.81 bagi setiap dolar, iaitu paras paling rendah dalam tempoh 17 tahun. - Foto hiasan

Pertingkatkan komunikasi kepimpinan

KOMUNIKASI mempunyai peranan penting dalam kejayaan sesebuah organisasi. Pemimpin yang bijak berkomunikasi dan sentiasa berusaha mempertingkatkan keberkesanan komunikasi akan dihargai dan berjaya mencapai hasrat dan matlamat dirinya serta organisasi.

Komunikasi kepimpinan dianggap penting kerana menjadi perantaraan antara pemimpin dengan pengikut atau pekerja dalam sesebuah organisasi. Di setiap peringkat pemimpin akan berhubung dengan pengikutnya dengan pelbagai tujuan terma­suklah menyampai dan memberi arahan, amanat, taklimat dan penjelasan, memberi tunjuk ajar, teguran dan nasihat, mempengerusikan mesyuarat, menyelia, menyelaras dan sebagainya.

Arahan dan amanat disampaikan melalui pelbagai kaedah seperti ucapan di dalam perhimpunan, e-mel, surat, hebahan di laman web dan sebagainya. Hebahan maklumat seperti ini memerlukan komunikasi yang baik iaitu menjaga tutur kata dengan bersopan. Allah SWT menuntut manusia agar berbicara dengan perkataan yang baik dan ucapan yang elok dan sesuai bagi menyuburkan kasih sayang dan mengeratkan hubungan antara pemimpin dan orang yang dipimpin.

Firman Allah SWT: “Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): “Janganlah kamu menyembah melainkan kepada Allah, dan berbuat baiklah kepada ibu bapa, dan kaum kerabat, anak yatim dan orang-orang miskin, dan katakanlah sesama manusia perkataan-perkataan yang baik...” (al-Baqarah, 2:83).

Pemimpin kadangkala akan turut berhujah terutama semasa menyampaikan pengucapan awam. Dalam situasi ini mereka perlu berusaha mengelakkan sesuatu isu yang boleh menyebabkan pertelingkahan dan kontroversi. Hal ini kerana tujuan utama berhujah bukanlah untuk mencari kemenangan, tetapi menyerlahkan kebenaran. Firman Allah SAW: “Dan janganlah kamu berdebat dengan Ahli Kitab, melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali dengan orang-orang yang zalim di antara mereka.” (al-Ankabut, 29:46)

Selain itu, dalam berkomunikasi setiap pemimpin perlu mempunyai sifat empati yang tinggi dan peka kepada pe­rasaan orang yang dipimpin. Mereka perlu memahami situasi dan keadaan pekerja di bawah mereka. Arahan yang diberikan perlu jelas dan mudah difahami. Arahan juga perlu diberikan dalam keadaan tenang dan penuh diplomasi.

Penggunaan bahasa yang tidak difahami akan menyukarkan komunikasi dan menghalang penerimaan mesej yang ingin disampaikan. Sebagai contoh dalam hal ini, Allah SWT telah mengutuskan setiap rasul menggunakan bahasa kaum mereka supaya kaum mereka dapat memahami apa yang cuba disampaikan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya ia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka.” (Ibrahim, 14:4)

Di samping itu, usaha mempertingkatkan komunikasi ke­pimpinan turut memerlukan seseorang pemimpin itu menguasai kemahiran berkomunikasi menerusi penggunaan teknologi maklumat (ICT). Ini cabaran terbesar bagi pemimpin hari ini. Memandangkan kebanyakan pekerja hari ini terdiri daripada Generasi Y yang membesar dalam suasana ICT, maka pe­mimpin juga seharusnya menguasai kemahiran ini dengan baik.

Pemimpin tidak sepatutnya alah terhadap perkembangan ICT. Sebaliknya perlu berani menerokai keluasan dunia ICT seiring dengan kepantasan perkembangan dunia tanpa sempadan hari ini. Pemimpin yang menolak teknologi komunikasi itu akan terkebelakang dari segi mendapat maklumat terkini.

Penggunaan WhatsApp, We Chat, Twitter, Facebook, dan Line, antara contoh bentuk komunikasi sekarang. Hampir setiap pekerja mempunyai akaun laman sosial mereka sendiri. Kepelbagaian alat komunikasi seperti telefon pintar, tablet, komputer, faks dan lain-lain kemudahan komunikasi hari ini turut membantu dalam menjalankan urusan komunikasi kepemimpinan di antara pemimpin dengan pengikutnya tanpa batas.

Kesimpulannya, usaha mempertingkatkan komunikasi kepimpinan penting diberikan keutamaan bagi menjamin suasana kerja yang lebih harmoni, seterusnya membantu mencapai matlamat organisasi. - Nor Hartini Saari Utusan Malaysia Rencana 03 Ogos 2015 1:06 AM

Dikeliling kita ada 
‘musang berbulu ayam’

KEBEBASAN bersuara bukannya bermaksud kebebasan untuk berbohong, memfitnah, memaki hamun dan mengadakan ‘cerita karut marut’, berita yang tidak benar atau sama sekali palsu. Malangnya inilah yang berlaku me­lalui media sosial dan internet pada hari ini. Mereka ini seolah-olah di pihak yang kebal, bebas melakukan apa sahaja. Saban hari ada pelbagai fitnah yang berlegar melalui ber­bagai-bagai sumber yang boleh diakses di mana-mana sahaja. Melalui internet, media sosial, WhatsApp, Facebook, sesiapa sahaja bebas menghantar ‘berita’, gambar, kenya­taan dan pelbagai lagi yang berunsur fitnah. Melalui ruang ini juga, ada yang menyebarkan pelbagai rayuan dan ingatan mengenai kes penculikan, jenayah dan memohon sumbangan derma. Tidak semua yang disebarkan itu perkara buruk.

Ada juga perkara yang baik untuk dijadikan peringatan dan panduan. Malangnya, lebih ba­nyak yang buruk dan palsu menjadi perhatian. Maka sudah tiba masa­nya kerajaan lebih tegas. Seperti kata Perdana Menteri, Najib Tun Razak yang mahu undang-undang diperkemaskan dan penguatkuasaan ditingkatkan bagi menangani penyebaran fitnah di media sosial. Melalui pelbagai aplikasi yang ada pada hari ini, ada pihak termasuk pemimpin yang ‘terperangkap’ sa­ma ada melalui ucapan atau kenya­taan mereka. Jika dalam bidang kewartawanan wujud istilah embargo dan juga off the record tetapi di luar bidang itu ada yang sudah tidak mempedulikannya.

Begitu juga dengan istilah sulit atau confidential tidak dipedulikan lagi sehingga maklumat sulit bocor yang akhirnya menimbulkan keresahan. Rahsia kerajaan juga bocor.Paling memualkan apabila ketika pihak tertentu melabelkan wartawan media cetak atau elektronik tidak beretika semasa membuat laporan, di luar bidang itu, ada ‘wartawan segera’ yang lebih tidak beretika menyebarkan maklumat tidak tepat, mengutip sumber tidak sahih dan paling menyedihkan maklumat yang tidak betul atau salah sama sekali. Begitulah situasi yang ada pada hari ini.

Dengan teknologi ‘pita rakaman dan kamera’ sentiasa di tangan manusia, apa yang ditutur dan diperkatakan di tempat sulit tidak lagi sulit. Lebih-lebih lagi apabila ada pihak yang sengaja mahu mencari silap seseorang. Akibatnya di dalam majlis-majlis tertutup bersepah musuh dalam selimut, gunting dalam lipatan, musang berbulu ayam atau serigala berbulu domba. Golongan ini tidak peduli siapa yang akan mereka ‘korbankan’. Jika ada ke­sempatan, sesuatu yang sulit akan dirakam dan disebarkan di alam maya tanpa mempedulikan soal maruah dan aib seseorang sehingga boleh menjejaskan keselamatan dan keharmonian di dalam negara.

Akhirnya mereka ini yang merupakan golongan ‘wartawan’ tidak terlatih menjadi ejen yang mengadu-domba dan mencetuskan perpecahan, mencipta permusuhan dalam kalangan pemimpin dan masyarakat. Lebih malang lagi, yang melakukan perkara seumpama ini terdiri daripada orang Islam yang sudah diperingatkan bahawa sebarang perlakuan umat sama ada baik atau buruk walau sehalus zarah pun akan dihisab di akhirat nanti. Insaflah ! Jangan disebabkan undang-undang di dunia ini agak longgar, kita melupakan seketika tanggungjawab mengawal diri daripada terjebak dengan aktiviti yang ‘memudaratkan’.

Bagi pihak kerajaan pula, sudah sewajarnya tindakan segera diambil terhadap mereka yang menggunakan alam maya ini untuk menyebar luas fitnah, adu domba yang boleh menjejaskan keharmonian di dalam negara. Seperti kata Menteri Komunikasi dan Multimedia yang baharu, Dr. Mohd Salleh Tun Said Keruak semalam, bahawa ada keperluan untuk kerajaan mengkaji semula Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) kerana rakyat Malaysia menganggap media sosial dan internet sebagai kawasan kekuasaan tanpa undang-undang. Menurutnya AKM yang digubal pada tahun 1998, tidak pernah membayangkan bagaimana internet akan menjadi begitu popular dan penggunaan media sosial begitu pesat. Hari ini, keadaan sudah berubah. Undang-undang berkaitan perlu berubah.

Sejak kebelakangan ini, peranan media sosial dan internet semakin menimbulkan kebimbangan kerana ia banyak perkara yang boleh menjejaskan ‘keselamatan’ negara. Terdapat laporan berkaitan jenayah internet. Begitu juga berita dan dokumen palsu. Pada masa yang sama kita juga mengalu-ngalukan ketegasan Timbalan Perdana Menteri, Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri berhubung isu ini. Bertindaklah. Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) juga tidak boleh lagi berdiam diri sekadar memerhati dan mendengar keluhan pelbagai pihak. Sudah lama rakyat terdedah dengan pelbagai berita palsu.

Semalam, heboh mengenai pro­gram Jom Nikah yang kononnya bakal diadakan pada 31 Ogos ini di Masjid Wilayah Persekutuan. Tujuan program untuk memberi peluang lelaki Islam berpoligami. Dua nama tokoh digunakan bagi meyakinkan orang ramai. Akhir­nya seorang daripada mereka menafikannya. Begitulah hal agama dipermainkan dan dijadikan bahan gurauan. Adakah pihak berkuasa boleh ‘mengajar’ orang yang mengadakan-ngadakan berita ini? Mungkin, sekali lagi jawapannya ‘kita tidak boleh berbuat apa-apa’.

Sebelum ini, banyak laporan polis dibuat mengenai laporan yang tidak tepat berkaitan pelbagai perkara termasuk agama, ekonomi dan individu di media sosial tetapi tindakan yang diambil amat mengecewakan. Akhirnya pihak berkenaan tidak pernah serik menyebarkan berita atau maklumat palsu. Walaupun akhirnya apa yang dilaporkan itu tidak betul tetapi hakikatnya mereka yang berkenaan berjaya menimbulkan persepsi yang salah sama ada kepada pe­mimpin atau kerajaan. Mereka ini kemudiannya sekadar memohon maaf atau menarik balik apa yang dilontarkan sedangkan ‘kerosakan’ telah berlaku walaupun sedikit. Sebarang akta yang berkaitan bukan bertujuan untuk menghalang kebebasan bersuara tetapi seperti yang dinyatakan di atas, kebebasan bukan bererti membiarkan fitnah disebarkan secara meluas.

Kepada pemimpin terutama di pihak kerajaan, dalam era sekarang ini, eloklah mereka lebih berhati-hati ketika bercakap dan mengeluarkan kenyataan sama ada secara terbuka atau tertutup. Ingatlah perjumpaan tertutup juga tidak selamat. Tidak ada lagi istilah sulit, tertutup, off the record dan embargo. Kata orang, ‘dinding pun akan bercakap’. Di sekeliling mereka, akan ada musuh dalam selimut, musang berbulu ayam dan gunting dalam lipatan. Mereka ini yang mungkin mempunyai kepentingan peribadi sanggup ‘membakar kelambu ke­rana marahkan nyamuk’. Sebarang kesilapan yang diucapkan akan membuka ruang untuk pihak berkenaan memutar belitkan ucapan itu yang akhirnya akan memberi kesan sama ada kepada pemimpin atau kerajaan. Jangan disebabkan ke­nya­taan yang tidak cerdik atau ikut sedap mulut, tidak tahu membezakan kiasan dengan realiti, bercakap ikut logik akal tanpa ilmu dalam bidang berkaitan akhirnya hanya akan membebankan kerajaan dalam menghadapi rakyat.

Isu-isu yang dibangkitkan hari ini akan ‘diulang tayang’ semasa kempen pilihan raya umum (PRU). Memang PRU tidak akan diadakan dalam tempoh terdekat. Jika dibubarkan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri pada hari ini, tidak bermakna esok akan berlangsung PRU. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai tempoh sehingga 60 hari untuk mengadakan pilihan raya. Begitulah prosedurnya. Sama ada esok, lusa atau 60 hari lagi PRU akan diadakan, pemimpin yang ada perlu mengelakkan daripada melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan kemarahan dan keresahan rakyat termasuk anggota parti. Jangan kerana menganggap PRU masih lambat, semua pihak berada di dalam zon selesa sehingga mereka melakukan ‘kerosakan’ tanpa disedari, Bukan mudah untuk mengubati ‘hati yang sudah terluka’. - Hassan Mohd Noor Utusan Malaysia Rencana 03 Ogos 2015 1:17 AM

Memperkukuh agenda perpaduan menerusi sistem pendidikan

GELOMBANG media baharu, isu perpaduan kaum dan 1MDB kini hangat dibincangkan. Ikuti pandangan Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang baharu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Menteri Dalam Negeri mengenai isu ini dalam siri kedua soal jawab bersama BH.

S: Bagaimana Datuk Seri melihat perkembangan media sosial dan isu perpaduan kaum?

J: Permasalahan itu berlaku di semua negara termasuk negara maju, apatah lagi negara membangun seperti Malaysia. Gelombang media baharu iaitu media sosial menguasai minda rakyat dan khalayak tetapi kita harus tahu, ia satu realiti yang tidak boleh dielakkan.

Namun, agenda perpaduan tidak harus dilihat dengan program yang sudah dan akan dibuat saja tetapi kita kena kembali kepada akar (asas). Apa yang berlaku kini, kita harus lihat sistem pendidikan negara yang mana wujud pelbagai medium hingga tiada titik pertemuannya.

Mana boleh sebuah negara ada tiga sistem berbeza berdasarkan kaum dan agama yang tiada titik pertemuan. Kita kena ada pendidikan nasional yang melangkaui batasan kaum, agama dan bangsa.

Ia akan mengambil masa satu generasi untuk mengubahnya bukan setakat hanya melihat perancangan jangka panjang atau satu dua dekad.

Agenda perpaduan dalam sistem pendidikan yang tersirat, bukan hanya yang tersurat atas kertas. Ia harus menyeluruh, dekat dalam hati nurani setiap rakyat. Mana mungkin seseorang yang dapat pendidikan dalam bahasa ibunda tertentu dapat disatukan dalam satu sistem pendidikan.

S: Apakah akan ada inisiatif baharu untuk memperkukuhkan kembali perpaduan kaum?

J: Perkara ini tidak boleh disogok secara paksa tetapi ia datang secara logikal untuk mewujudkan kesatuan pemikiran dan rasa nasionalisme sebagai seorang rakyat Malaysia.

Mana boleh kita layan kehendak beberapa kerat ahli politik kononnya berjuang secara sempit hanya memenuhi kehendak dan keperluan sesuatu kaum tanpa melihatnya secara holistik.

Sebagai pemimpin, kita harus memberi keutamaan kepada Malaysia sebagai negara membangun.

Pada hemat saya, PPPM (Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia) itu baik tetapi saya tidak berhajat masuk campur urusan kementerian lain.

Pada hemat saya, ahli akademik dan ilmuwan serta intelektual dalam NGO harus melihat bahawa soal perpaduan melalui sistem pendidikan harus dilihat semula. Kita kena lihat (kaji) polisi itu.

Kita harus bertolak ansur untuk mencapai keharmonian dan kesatuan dalam negara.

Saya fikir kita harus melihat acuan pemikiran PM dalam mewujudkan keharmonian. Sebabnya, biarpun kita lihat beliau terhentak hati dengan sokongan agak rendah sesuatu kaum tetapi beliau tidak pernah lupa untuk memberi ruang bagi parti atau kumpulan yang tidak mendokong dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu untuk kepentingan majoriti.

Kita lihat beliau ikhlas menterjemahkan agenda untuk kaum lain tanpa mengetepikan agenda induk kaum majoriti negara ini. Malah, beliau melihat semua kaum harus diberikan ruang yang sama untuk mengecapi kehidupan sebagai rakyat Malaysia.


TEMU bual bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya. - Foto Fariz Iswadi Ismail

S: Bagaimana dengan peranan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam menangani permasalahan keharmonian rakyat?

J: Kita lihat ada pengasingan sosial dalam isu keselamatan khususnya bila kita bercakap mengenai isu menangani masalah perlakuan jenayah.

Ada kumpulan yang guna kumpulan lain dengan memperalatkan jenayah kumpulan itu manakala jenayah jalanan dibuat kaum lain.

Pengasingan sosial ini terutama jenayah jalanan berada dalam satu situasi silang budaya. Jika perlakuan silang budaya berlaku, tentu ia harus dilihat bukan saja soal penyelesaian masalah itu melalui usaha-usaha pembanterasan tetapi bagaimana kita mahu lihat pemulihan dilakukan dan usaha pencegahan.

Begitu juga dalam soal membabitkan kepada situasi kebobrokkan sosial yang berlaku dalam pengasingan sosial ini. Permasalahan ini kerana tidak ada penyatuan fikrah pemikiran dengan usaha tidak menusuk ke lubuk hati rakyat.

Pada hemat saya, ada kaitan gelagat dan perlakuan berdasarkan aspek sikap atau perilaku sesuatu komuniti. Tentunya saintis sosial harus bersama kerajaan melihat permasalahan keharmonian supaya kembali kepada landasan asal terutama kajian sistem pendidikan.

S: Bagaimana dengan isu 1MDB?

J: Isu timbul dan hilang... ia datang dan pergi. Sebelum ini kita ada isu World Bank, IMF (Tabung Mata Wang Antarabangsa) tetapi penjelasan sudah dibuat dan diulang-ulang.

Rakyat menerimanya. Sebagai bekas orang korporat dan orang yang terbabit dalam sektor perbankan, saya lihat 1MDB ini sebuah entiti yang 'bankable' (diterima oleh bank) kerana ada 'collateral' (cagaran) di belakangnya sama ada aset yang boleh dilihat seperti aset tanah dan tidak nampak (saham).

Soalnya 1MDB adalah syarikat modal berbayar dengan hanya RM1 juta tetapi mereka membuat pinjaman yang agak tinggi. Pinjaman ini bersandarkan kepada cagaran yang mereka ada.

Masalah 1MDB adalah masalah aliran tunai sekarang. Unjuran pendapatan masa depannya itu ada. Jadi apa sebenarnya pemasalahan yang timbul?

1MDB tidak pakai duit kerajaan dan peruntukan kerajaan. 1MDB menggunakan pinjaman bank. Ada perjanjian antara peminjam dan si pemberi pinjaman, jadi dalam perkara ini sudah tentu ada pembayaran semula dan jadual pembayaran yang harus dibuat.

S: Apakah isu ini akan berakhir?

J: Saya yakin jika forensik perakaunan dibuat, ia akan dapat mendedahkan kemampuan mereka membayar semula berdasarkan aset yang ada dalam 1MDB.

Soalnya tidak semua orang faham mengenai isu ini. Kita harus menggunakan 'layman language', sebabnya kita terjebak dalam permainan politik pihak pembangkang.

Sebenarnya kita juga berada dalam keadaan yang kita tidak faham dan ada orang yang memanipulasi perkara ini. Ada orang yang menjelaskan isu ini, sebenarnya dia juga tidak faham.

Bagaimana dia mahu memberi kefahaman kepada orang lain, sedangkan dia tidak faham. Maka penjelasan harus dilakukan dengan bahasa yang mudah.

S: Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa 'factsheet' dan maklumat yang diberikan kepada Kabinet berhubung 1MDB tidak komprehensif?

J: Interpretasi itu bergantung kepada bagaimana seseorang itu menganalisis data yang diberikan. Jika sesuatu analisis dilaksanakan tanpa sebarang prasangka, maka kita akan dapat jawapannya.

Saya tidak menyentuh mana-mana peribadi atau orang tetapi pada hemat saya, semua masalah perlu diselesaikan dengan baik... cuma tempoh penyelesaiannya ada yang dapat diselesaikan dengan segera dan ada yang perlu mengambil masa lama menyelesaikannya.

Kita harus memahami perkara pokok dan kita tidak boleh 'bias' dengan buat kesimpulan tentang satu-satu masalah tanpa mengambil kira aspek lain. Ikuti penjelasan Zahid mengenai masa depan UMNO dan hubungannya dengan dua lagi Naib Presiden dalam siri terakhir esok.

UMNO kekal utuh bersatu hadapi pelbagai cabaran

Mungkinkah pengguguran Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam rombakan Kabinet, baru-baru ini, akan menyebabkan UMNO berpecah lagi? Ikuti penjelasan Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam siri terakhir temu bual dengan BH.

S: Apakah UMNO akan berdepan dengan krisis selepas pengguguran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM)?

Dr Ahmad Zahid: Saya tidak fikir UMNO harus berpecah. Kita kena akui bahawa kita bukan hanya ahli UMNO tetapi orang UMNO juga. Dalam Islam, apabila sesuatu itu diputuskan, maka kita perlu akur walaupun dalam hati tidak setuju.

Pada zaman Khalifah Saidina Umar Al-Khattab, ada baiah dibuat selepas kewafatan Saidina Abu Bakar. Dalam minda Umar cukup jelas, seramai mana yang menyokong beliau, seramai itulah yang tidak menyokongnya.

Kita kena objektif bahawa tidak boleh memaksa orang suka diri kita, tetapi saya yakin kita kena berusaha untuk memenuhi cita rasa semua orang walaupun mustahil untuk memenuhi keperluan dan kehendak semuanya.

S: Mengikut tradisi UMNO dan BN, biasanya Timbalan Presiden UMNO adalah TPM tetapi tiba-tiba Datuk Seri berada di posisi ini. Bagaimana Datuk Seri hendak menjelaskan kepada rakyat dan ahli UMNO situasi ini dan bolehkah mereka menerimanya?

J: Tun Musa Hitam pernah berada dalam situasi sebagai Naib Presiden tetapi memegang jawatan TPM. Tun Ghafar Baba juga begitu... ini bukan sesuatu yang baharu.

Saya bukan berada dalam kedudukan yang berbeza dengan situasi yang lalu. Ini adalah satu proses biasa dan parti mesti dinamik dalam memberikan kesinambungan dan peralihan kepemimpinan dan ini bukan suatu yang ganjil atau tidak pernah berlaku sebelum ini.

S: Bagi yang tidak setuju dengan situasi ini, apakah pesanan Datuk Seri?

J: Saya menghormati ketidaksetujuan itu, namun saya tidak boleh memaksa mereka supaya bersetuju. Namun, kita mesti bersatu untuk bersetuju dan bersatu untuk tidak bersetuju kerana, hakikatnya bahawa satu-satu tanggungjawab yang diberikan kepada seseorang itu telah ditentukan Allah SWT.

Kita harus menerimanya bahawa ilmu Allah itu lebih tinggi daripada manusia dan ini hakikat yang perlu diterima semua orang dan agama.

S: Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal digugurkan tetapi masih kekal dalam pimpinan UMNO. Tidakkah ini merumitkan keadaan?

J: UMNO pernah hadapi kemelut. Sebagai sebuah parti yang dinamik, semua kemelut itu harus diatasi dengan kebijaksanaan dan penuh ketatasusilaan.

Pada hemat saya, bukan sekadar kepemimpinan pada peringkat nasional, negeri, bahagian saja yang perlu diberi penjelasan mengenai keperluan dan integrasi dalam parti ini tetapi juga pada peringkat akar umbi.

Malah orang di luar UMNO sekali pun, perlu diberikan ruang supaya kita dapat memenangi hati dan pemikiran rakyat. Secara hakikatnya, tiada parti politik yang tidak pernah ada masalah. Parti pembangkang juga tidak pernah sunyi daripada pemasalahan dan kemelut ini.

S: Cukupkah masa dua tahun sebelum pemilihan parti untuk memulih dan mengembalikan keyakinan ahli parti dan orang luar parti kepada UMNO?

J: Jika mahu memulihkan parti, tidak perlu tempoh dua tahun. Saya fikir usaha ini harus dilakukan dengan segera. Kita kena segera bukan hanya melalui komunikasi bersemuka tetapi banyak kaedah dan pendekatan lain yang dapat terima pada masa ini.

Harus diterima hakikat kami di 191 bahagian UMNO berada dalam satu kumpulan media sosial Telegram, yang berkomunikasi setiap masa. Kami meraikan perbezaan pendapat tetapi tidak pernah berbeza dalam hala tuju parti.

Pengukuhan itu sudah ada sebenarnya. Malah, tinjauan dalam Telegram yang dijalankan sehari sebelum rombakan Kabinet, ada 167 Ketua Bahagian setuju dengan perkara ini manakala selebihnya mungkin mereka tidak mahir atau biasa serta berada dalam sistem (Telegram) ini.


TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. - Foto Abd Rahim Rahmat

S: Apakah tindakan segera yang UMNO laksanakan untuk menyatukan parti?

J: UMNO tidak pernah berpecah, saya sudah sebut mengenai tinjauan tadi. Apa yang wujud adalah perbezaan pendapatan dan persepsi. Persepsi perlu diurus dan kami sudah ada strategi tetapi tidak perlu diumumkan perkara itu.

Jika diumumkan, maka ia tidak dinamakan strategi lagi.

S: Sepanjang beberapa bulan ini, rakyat dan ahli UMNO dimomokkan dengan kelemahan UMNO itu sendiri, malah Tan Sri Muhyiddin turut menyatakan Barisan Nasional (BN) akan kalah jika pilihan raya diadakan sekarang. Apa komen Datuk Seri?

J: Kita tidak boleh mendahului hukum Allah. Kita harus berusaha dulu baru bertawakal kepada Allah. Allah meminta kita berusaha baru tawakal.

Bagaimana kita mahu menyatakan kalah jika kita belum berusaha terlebih dulu. Saya menghormati pendapat dan pendirian mana-mana individu tetapi kita tidak harus bersikap pesimistik dalam apa juga keadaan.

Kita kena berfikir positif supaya kita berada dalam garisan yang betul.

S: Adakah bermakna ahli UMNO perlu istiqamah dan hanya ikut keputusan yang sudah dibuat?

J: Memang benar begitu. Kita kena istiqamah, boleh berbeza pendapat dan perbezaan ini perlu diraikan tetapi apabila ada keputusan kita kena dengar dan taat.

S: Adakah Datuk Seri akan bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden parti pada pemilihan akan datang?

J: Perkara itu sesuatu yang terlalu jauh, kita kena menghormati pemegang jawatan yang ada sekarang. Itu (bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO) bukan saya harus tentukan kerana ia ditentukan perwakilan dan kepemimpinan pada peringkat bahagian dan akar umbi.

Perkara ini bukan hak seseorang untuk duduk sesuatu jawatan, kerana hak itu adalah hak mereka (perwakilan). Terpulang kepada ahli kerana itu hak mereka yang menentukan. Wallahualam.

'Hishammuddin, Shafie terus beri sokongan padu'

Datuk Seri Hishammuddin Hussein adalah sahabat karib saya. Paling kurang, sekali sebulan kami akan bertemu membincangkan pelbagai isu nasional, kerajaan dan politik.

Beliau banyak memberikan sumbang saran kepada saya. Beliau adalah seorang realistik yang dapat membaca gerak hati mana-mana tokoh politik.

Biarpun kami Naib Presiden yang dipilih perwakilan UMNO, hakikatnya kerjasama dengan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal masih (juga) terus terjalin.

Kerananya, kami bertiga dilahirkan dari kilang politik UMNO oleh Datuk Seri Najib Razak.

Tentu yang penting, bukan kedudukan seseorang pada kacamata mana-mana pihak tetapi kerana kedudukan dalam sebuah institusi yang ditentukan.

Kami bertiga menerima hakikat bahawa sesiapa saja yang diberikan peluang, kebersamaan itu harus ada pada kami bertiga. Saya ada menghubungi Hishammuddin dan meminta beliau bersama-sama saya.

Beliau seorang pemimpin yang baik dan memberikan sokongan kepada apa yang sudah diputuskan Datuk Seri Najib. Pada masa sama, saya amat yakin Mohd Shafie akan tetap bersama kita.

Seperti yang saya jelaskan, kami bertiga adalah dari kilang UMNO dan tentunya produknya adalah sama. Walaupun Shafie tiada dalam Kabinet, beliau masih lagi seorang Naib Presiden UMNO.

Saya yakin beliau akan terus memberikan sumbangan memperkukuhkan parti.

Info

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

Jawatan: Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri : Ahli Parlimen Bagan Datoh (1995-kini)

Tarikh Lahir: 4 Januari 1953

Tempat Lahir: Kampung Sungai Nipah Darat, Bagan Datoh, Perak

Isteri: Datin Seri Hamidah Khamis

Pendidikan: Sekolah Kebangsaan Sungai Balai Darat, Bagan Datoh, Perak :

Sekolah Menengah Agama Izzuddin Shah, Ipoh, Perak :



Sekolah Menengah Tuanku Rahimah, Klang, Selangor :

Sijil Program Pembangunan Pengurusan Kanan, Pusat Pengajian Perniagaan Universiti Harvard :

Sarjana Komunikasi Korporat Universiti Putra Malaysia (UPM) :

Doktor Falsafah Komunikasi UPM

Kerjaya: Bertugas sebagai pegawai bank selain dunia korporat termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Kretam Holding Berhad sebelum menyertai politik

Dalam politik: Setiausaha Politik kepada Menteri Belia dan Sukan kemudian Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Razak (1991-1994) :

Dilantik sebagai Senator (1993) :

Timbalan Menteri Pelancongan (2004) :

Timbalan Menteri Penerangan (2006-2008) :

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (2008-2009) :

Menteri Pertahanan (2009-2013) :

Menteri Dalam Negeri 2013- kini