August 6th, 2015

Isu-Isu Akhbar Cina ~ Rombakan kabinet, UMNO berpecah punca rasis

ROMBAKAN KABINET MERISAUKAN MASYARAKAT CINA

AKHBAR Sin Chew Daily bertarikh 4 Ogos 2015 menyiarkan artikel rombakan Kabinet baru-baru ini mencetuskan kerisauan masyarakat Cina di negara ini.

Menerusi artikel bertajuk ‘Kaitan antara rombakan Kabinet dengan masyarakat Cina’, penulisnya, Lim Fang dalam ruangan Pendapat Yan Lu di halaman 25 akhbar itu cuba mengaitkan jika perubahan drastik itu akan memberi kesan kepada mereka pada masa depan.

Langkah menggugurkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dianggap satu keputusan yang berat untuk dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Namun, terpaksa dilakukan demi kepentingan negara dan pertimbangan politik semasa.

Bagi Najib, keperluannya mempertahankan jawatan Presiden UMNO sehingga 2018 selain meng­anggap tindakannya itu sebagai antara strategi ‘kemas’ menyelesaikan skandal 1MDB sebelum beliau bersedia melepaskan jawatan Perdana Menteri.

Secara tradisi, Muhyiddin akan menjadi perdana menteri berdasarkan kedudukannya selaku orang nombor dua dalam kerajaan.

Namun, tindakannya mengasak isu 1MDB dari luar platform sepatutnya, dianggap melanggar perlembagaan parti, dan harus disingkirkan.

Keputusan Najib menyingkirkan Muhyiddin sedikit sebanyak menggusarkan masyarakat Cina ekoran pelantikan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri yang baharu.

Menyorot kenyataan Ahmad Zahid tahun lalu, beliau setuju dengan pandangan agar pengajaran dan pembelajaran (P&P) menggunakan bahasa ibunda dihadkan di sekolah rendah, manakala semua P&P di peringkat menengah perlu mengikut pendidikan kebangsaan.

Pandangan Ahmad Zahid berhubung perkara itu secara tidak langsung memberi kesan kelangsungan pendidikan Cina di negara ini jika beliau menjadi perdana menteri pada suatu masa nanti.

Kerisauan seterusnya dipetik daripada kenyataan Timbalan Menteri Pertahanan baharu, Datuk Johari Baharum yang membayangkan untuk menutup tiga akhbar Cina jika beliau ialah Menteri Dalam Ne­geri. Dakwanya, akhbar terbabit se­ring bermain isu perkauman.

Selain itu, kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa UMNO mampu memerintah kerajaan ne­geri secara solo juga memberi indikasi negatif kepada MCA selaku parti komponen Barisan Nasional (BN).

Pada hemat penulis, rombakan Kabinet kali ini menyaksikan hak dan kepentingan masyarakat Cina akan tergugat sekiranya sebahagian menteri yang dilantik Najib bertindak melawan arus yang boleh memberi bencana dan ancaman kepada BN pada masa depan.

Kerisauan kami kerana ada sesetengah pemimpin UMNO tidak jauh bezanya dengan cara Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu cuba menghentam kaum lain sebagai cara untuk mereka bersatu.

UMNO DI AMBANG PERPECAHAN?

Pada tarikh sama iaitu 4 Ogos 2015, akhbar Sin Chew Daily menyiarkan artikel mengenai kelangsungan parti UMNO setelah menyaksikan Tan Sri Muhyiddin Yassin digugurkan daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 28 Julai lalu.

Artikel bertajuk ‘UMNO hadapi dilema keyakinan’ itu ditulis Lim Sue Gan yang disiarkan dalam ruang­an Pendapat Yan Lu di halaman 25 antara lain menimbulkan tanggapan jika parti itu diambang perpecahan, dan keperluan untuk ahlinya kembali bersatu teguh.

Pusingan pertama persidangan perwakilan UMNO baru-baru ini menyaksikan Datuk Seri Najib Tun Razak masih mendapat banyak sokongan di peringkat bahagian, sekali gus memberi kuasa mutlak kepadanya.

Ramai menjangkakan ahli di peringkat akar umbi UMNO membantah tindakan Najib melucutkan jawatan Muhyiddin, namun kede­ngaran hanya segelintir suara menentang. Hal itu kerana ‘kem Najib’ dikatakan dapat memadam ‘api’ sentimen kemarahan ahli.

Paling penting, strategi Najib memperkukuhkan kedudukan menerusi penyusunan parti di peringkat bahagian beberapa tahun lalu juga antara faktor mengekalkan sokongan ahli terhadapnya.

Halangan yang perlu dilalui Najib seterusnya bergantung kepada sokongan yang ditunjukkan akar umbi di peringkat bahagian membabitkan dua negeri iaitu Johor dan Sabah. Jika tiada banyak perubah­an, Najib diyakini dapat melepasi dilema tersebut.

Begitupun, Najib masih perlu ‘bergelut’ untuk meraih kembali keyakinan rakyat ekoran skandal 1MDB yang dikaitkan dengannya. Ini kerana dalam kalangan pe­mimpin UMNO sendiri masih belum mendapat rentak dan cara sesuai untuk menanganinya.

Hakikatnya, kemelut UMNO kali ini berbeza kerana musuh kali ini bukan datang dari luar, sebaliknya di peringkat dalaman parti.

Selain berhadapan dengan defisit keyakinan rakyat, peringkat dalaman UMNO juga semakin hilang keyakinan. Memetik kenya­taan Setiausaha Agung UMNO yang mendedahkan bahawa lebih kurang 30 peratus ahli UMNO percayakan hujah parti pembangkang.

Tidak dinafikan, defisit keyakin­an dihadapi UMNO menguntungkan parti pembangkang. Antara buktinya, semakin ramai orang Melayu berpengaruh menyertai parti DAP.

UMNO PUNCA PERPECAHAN KAUM?

Akhbar Sin Chew Daily bertarikh 3 Ogos 2015 pula menyiarkan artikel yang menyorot tindakan segelintir menteri Kabinet baharu sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan-kenyataan daring yang boleh mero­sakkan pepaduan kaum di negara ini.

Artikel bertajuk ‘Siapa yang merosakkan perpaduan rakyat?’ itu ditulis oleh pengarang akhbar ber­kenaan yang disiarkan dalam ruang­an Pendapat Yan Lun di halaman 22, yang antara lain dimulai dengan mukadimah seperti berikut:

Dalam keadaan tidak menentu ini, sepatutnya Kabinet yang baharu dilantik bertindak lebih profesional membawa negara ini ke arah landasan yang betul, bukan dengan cara mengeluarkan kenyataan-ke­nyataan sempit yang boleh meme­cah-belah kaum di negara ini.

Rakyat pastinya terkejut dan kecewa apabila sebahagian menteri Kabinet yang baharu sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan tidak wajar yang berpotensi merosakkan hubungan sesama kaum di negara ini.

Antara kenyataan yang mengguris hati masyarakat berbilang kaum termasuk pendapat yang mengatakan bahawa sekolah pelbagai aliran membantutkan perpaduan rakyat justeru pendidikan satu aliran diperlukan di peringkat menengah dan universiti.

UMNO diterajui Datuk Seri Najib Tun Razak yang memerintah negara kini berhadapan tekanan dari dalam dan luar parti.

Kekuatan UMNO masih bergantung kepada parti-parti komponen BN. Oleh itu, elakkan kenyataan-kenyataan yang tidak menghormati kaum lain.

- Utusan Malaysia Rencana 6 Ogos 2015