August 20th, 2015

Menarik generasi muda hayati kemerdekaan

DAHULU, sekitar tahun 80-an dan 90-an, menjelang bulan kemerdekaan ibu kota Kuala Lumpur dan bandar raya lain di seluruh negara meriah dengan hiasan Jalur Gemilang di pelbagai tempat. Kenderaan di atas jalan raya turut dipasang Jalur Gemilang selain kibaran bendera kecil yang diletakkan di bahagian hadapan cermin kenderaan.

Generasi sebelum merdeka termasuk ayah penulis antara yang tidak pernah lupa untuk meletakkan Jalur Gemilang kecil itu di cermin keretanya. Di rumah pula, beliau akan membeli Jalur Gemilang yang besar dengan kelebaran 61 senti­meter dan panjang 122 sentimeter - dibiarkan berkibar di hadapan rumah, melambangkan semangat patriotiknya yang melalui pengalaman hidup semasa zaman sebelum dan selepas merdeka.


AHLI Pengakap Sekolah Menengah Kebangsaan Kuching High di Sarawak mengibarkan Jalur Gemilang, baru-baru ini.
GAMBAR HIASAN/MOHAMAD GUSTIE NOORAMBIA

Sehingga hari ini, Jalur Gemilang masih menjadi perkara pertama yang akan diingatinya setiap kali memasuki bulan Ogos. Ternyata berbeza sekali semangat patriotik orang lama dengan generasi hari ini yang walaupun Jalur Gemilang diberikan percuma, belum tentu akan dipasang di kenderaan apatah lagi dikibarkan di rumah.

Entah di mana silapnya, sema­ngat patriotisme generasi sekarang jauh berbeza dengan orang lama. Pada mereka 31 Ogos bermakna cuti umum. Sekadar hari untuk berehat. Bagi golongan muda, sambutan kemerdekaan seperti tiada makna.

Pada mereka, merdeka bermakna hari untuk bersukaria pada malam ambang merdeka dengan mengunjungi pusat hiburan atau berhimpun di tempat tumpuan ramai untuk bersosial dan berhibur.

Erti semangat patriotik iaitu mencintai dan berkorban untuk negara tidak dihayati sepenuhnya oleh mereka. Semangat mencintai, menyayangi, bangga dan keazaman untuk berbakti demi negara tanpa mengharapkan balasan jauh sekali tersemat dalam jiwa kalangan generasi muda hari ini.

Malah, lebih mendukacitakan ada antara mereka yang sudah berkira-kira untuk menyertai perhimpunan haram Bersih 4.0 pada 29 dan 30 Ogos ini di Dataran Merdeka, lokasi acara sambutan Hari Kemerdekaan.

Mereka sanggup mencemari Hari Kebangsaan yang penuh makna itu dengan menyertai perhimpunan yang hanya akan menjejaskan imej negara.

Agak mengecewakan juga apabila ada dalam kalangan orang muda yang mentafsir erti patriotik dan semangat cintakan negara dengan merekacipta pelbagai gambar, mesej dan lagu-lagu menerusi media sosial yang membawa maksud tidak baik malah sampai ke tahap menghina negara. Malah pernah ada pihak yang mahu menukar bendera kebangsaan satu tindakan biadab dan tidak menghormati Perlembagaan.

Generasi baharu ini masih kurang kesedaran tentang betapa pentingnya nilai kebebasan, keamanan dan kedaulatan yang dinikmati sekarang. Kuasa yang diperoleh untuk mentadbir dan mencorak sendiri masa depan negara tanpa dikuasai penjajah tidak dihayati mungkin kerana mereka lahir dan hidup selepas merdeka, tidak melalui susah payah yang dialami generasi terdahulu dalam menuntut kemerdekaan.

Hakikatnya, ramai antara kita memberikan pelbagai alasan untuk tidak memasang Jalur Gemilang di rumah, pejabat, sekolah atau tempat-tempat awam lain. Ada yang mendakwa terlupa akan Hari Kebangsaan. Ada juga yang merasakan buat apa membazir wang membeli Jalur Gemilang.

Malah tidak kurang juga yang memberikan alasan kesibukan bekerja menyebabkan mereka terlupa akan sambutan Hari Kemerdekaan. Ada pula yang mengharapkan Jalur Gemilang diberi percuma, barulah mereka mahu memasangnya. Sikap mengharapkan yang percuma ini masih tebal dalam kalangan kita. Dalam kalangan usahawan dan peniaga pula, mungkin memberikan alasan sukar untuk mendapatkan Jalur Gemilang dengan harga yang berpatutan dalam kuantiti yang banyak.

Sektor korporat mungkin merasakan tahun ini tahun untuk berjimat cermat, tidak perlu berbelanja lebih untuk menempah Jalur Gemilang. Ada juga yang mendakwa banyak prosedur harus dilalui untuk mendapatkan bajet seperti mendapatkan kelulusan bahagian kewangan, keselamatan dan komunikasi, yang akhirnya menyebabkan program dirancang untuk meraikan sambutan kemerdekaan berlalu begitu sahaja.

Acara-acara patriotik perlu disemarakkan bagi menyedarkan golongan muda tentang erti kemerdekaan. Kempen mengibarkan Jalur Gemilang bagi sesetengah mereka tiada sebarang makna kerana tiada kesedaran tentang nilai kemerdekaan dan semangat patriotik.

Mereka tidak tahu kebebasan yang dinikmati hari ini adalah atas keringat para pejuang kemerdekaan seperti Tunku Abdul Rahman, Kaum Ibu, Mat Kilau, Tok Janggut, Penghulu Dol Said dan ramai lagi.

Dahulu, semangat menggantung Jalur Gemilang menjadi amalan semua kaum. Di sekolah, pejabat dan pelbagai tempat tumpuan umum Jalur Gemilang di pasang di setiap sudut. Di sekolah saya dahulu, murid-murid yang terdiri daripada pelbagai kaum bersama guru-guru akan memilih satu hari untuk menggantung Jalur Gemilang di setiap sudut sekolah dan bilik darjah tanpa mengharapkan Jalur Gemilang yang diberi percuma.

Tetapi sekarang, agak sukar untuk melihat kenderaan yang mengibarkan bendera negara. Ada pemilik kenderaan melakukannya untuk tujuan pertandingan atau apa sahaja yang boleh menyebabkan dia mendapat ribuan like di dalam Facebook atau Instagram.

Begitu juga hiasan Jalur Gemilang di rumah atau reka bentuk gubahan Jalur Gemilang dibuat semata-mata bagi menyertai sesuatu pertan­dingan atau mahu menjadi popular dengan viralkan apa yang dibuat itu di laman sosial.

Tahun ini sempena sambutan Hari Kebangsaan yang ke-58, tiada lagi ungkapan berdasarkan ulang tahun iaitu “Hari Kemerdekaan ke-58” seperti kelaziman sambutan sebelum ini, sebaliknya dinamakan mengikut tahun iaitu “Hari Kemerdekaan 2015”.

Ini bagi menyeragamkan sambutan antara Sarawak, Sabah dan Semenanjung kerana penggabungan Malaysia adalah pada 16 September 1963 (Hari Malaysia) manakala 31 Ogos 1957 hanya melibatkan Semenanjung.

Bertemakan ‘Sehati Sejiwa’ diharapkan akan menjadikan semangat perpaduan rakyat lebih utuh. Tema yang menekankan semangat kesepaduan, persefahaman dan kemanusiaan rakyat pelbagai kaum dipilih bagi menyemarakkan sambutan tahun ini.

Ditambah dengan lagu tema Sehati Sejiwa ciptaan Siso Kopratasa dan Yuri Edris yang dinyanyikan oleh penyanyi muda, Alif Satar diharap dapat menarik golongan muda untuk menghayati lagu bertemakan semangat kebangsaan itu.

Apa pun harus ada kaedah terbaik untuk meningkatkan penyertaan masyarakat khususnya golongan muda dalam pelbagai program sambutan kemerdekaan. Aktiviti yang mengikut peredaran masa dan dekat di hati mereka perlu dipertingkatkan. Penganjuran larian merdeka atau apa sahaja aktiviti yang disukai golongan muda wajar diperbanyakkan bagi menyemai semangat patriotik dalam kalangan generasi akan datang.

Isu-Isu Akhbar Cina ~ DEB dan Kejatuhan Ringgit

AKHBAR China Press bertarikh 18 Ogos 2015 menyiarkan artikel yang menyorot kembali polisi Dasar Ekonomi Baharu (DEB) yang pernah dipertikaikan oleh pembangkang.

Artikel ditulis oleh Lai Shao Kwang bertajuk ‘Tidak boleh hapuskan DEB’ disiarkan dalam ruangan Kedai Kopi Orang Ramai halaman C15. Berkaitan isu itu, DAP ditanya tentang pendirian mereka. Malah penulis secara menyindir juga bertanyakan sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mencadangkan untuk menghapuskan DEB sebelum beliau disumbat ke dalam penjara.

KERATAN akhbar China Press bertarikh 18 Ogos 2015.

Sebelum 2008, Pakatan Rakyat (PR) diketuai Anwar pernah mempertikaikan polisi DEB yang memberi keadilan kepada rakyat khususnya masyarakat Cina. Isu ini juga telah dibahaskan dalam sidang-sidang dewan. Bagaimanapun, selepas pilihan raya umum dan pakatan pembangkang dapat kuasa memerintah di beberapa buah negeri, isu DEB yang diperjuangkan oleh ‘pahlawan-pahlawan’ yang dikatakan penyelamat bangsa ini, semakin pudar.

Mereka tidak lagi berteriak untuk berbincang sama ada hendak menghapuskan polisi DEB ataupun tidak. Penulis mewakili pengundi juga tertanya-tanya sekiranya isu berkenaan sudah tidak penting lagi atau PR seboleh-bolehnya tidak mahu menyebut atau menyentuh perkara itu lagi.

Pada 2012, menerusi ‘buku’ dicetak PR yang menggantikan Laporan Bajet, Anwar mengkritik keras polisi DEB yang disifatkan beliau sebagai polisi lapuk. Lim Kit Siang juga pernah meminta Tun Abdullah Ahmad Badawi agar membincangkan isu DEB dalam Perhimpunan Agung UMNO ketika itu. Polisi DEB, katanya, tidak adil melainkan dibuat semata-mata untuk kepentingan parti pemerintah dan orang politik sahaja.

Sementara itu, salah seorang ahli kumpulan think tank kerajaan Pulau Pinang, Dr. Ong Kim Fat dalam artikelnya menyebut polisi DEB pada hakikatnya tiada kaitan dengan sesuatu kaum kerana orang Melayu Islam sendiri tidak dilayan dengan adil.

Katanya lagi, polisi DEB tidak dapat membantu orang Melayu yang benar-benar hidup susah selain tidak mampu membina semangat kaum Bumiputera itu untuk berjuang. Buktinya, kaum itu masih belum dapat bersaing biarpun kerajaan sudah menghulurkan bantuan.

Kembali kepada persoalan penulis, apakah perjuangan DAP untuk menghapuskan polisi DEB masih relevan dan bertepatan ketika ini? Hakikatnya, bukan senang DAP dapat memerintah Pulau Pinang, justeru Guan Eng diminta tidak terus terperangkap dengan perjuangan itu.

Malah Ong Kim Fat dan Liew Chin Tong mencadangkan agar PR merangka strategi yang lebih jelas menggantikan sistem sedia ada demi survival parti, sekurang-kurangnya strategi yang dapat mengimbangi kepentingan pemimpin PR pada masa depan.

Walaupun kunci kuasa sudah ada di tangan, namun DAP masih tidak mampu menghalang hasrat Pas mahu melaksanakan hukum hudud, justeru kenapa pula mahu membantah DEB habis-habisan?

KESAN KEJATUHAN RINGGIT

ISU kejatuhan mata wang ringgit Malaysia yang memberi kesan ekonomi kepada negara amnya dan menjejaskan kehidupan rakyat khasnya turut diulas dalam akhbar China Press bertarikh 16 Ogos 2015.

Artikel bertajuk ‘Pengamatan Kejatuhan Ringgit Malaysia’ yang ditulis oleh Liew Long Chang disiarkan dalam ruangan Kedai Kopi Orang Ramai halaman C9. Nilai ringgit Malaysia dilaporkan lemah. Perkembangan ini, sememangnya meresahkan rakyat.

Rata-rata memberi reaksi negatif. Mereka masih ingat lagi keperitan yang pernah dialami akibat kemelesetan ekonomi negara pada 1997.

Antara yang diingati, wang saku seseorang ketika itu sentiasa dirasakan tidak mencukupi dek kerana nilainya yang menyusut setiap minggu. Bagi ibu bapa yang menghantar anak-anak belajar ke luar negara, ia bertukar kepada mimpi ngeri!

Bayangkan, ada kalangan ibu bapa terpaksa meminta anak-anak mereka melupakan impian melanjutkan pengajian di luar negara. Ada anak yang sudah sampai ke destinasi negara yang dituju diarah pulang semula ke Malaysia dengan menaiki penerbangan sama.

Itulah antara impak yang berlaku akibat kejatuhan nilai ringgit Malaysia. Bagi penulis sendiri, anak perempuan sulung kini sedang melanjutkan pengajian di New Zealand dengan anggaran kos perbelanjaan keseluruhan mencecah RM50,000. Ini amat merisaukannya.

Berbanding ringgit, nilai dollar Singapura masih kukuh. Dalam keadaan sekarang, ramai rakyat Malaysia berhijrah ke selatan tanah air, khususnya Johor. Tujuan antara lain untuk mencari rezeki di negara jiran dan meraih bayaran dalam nilai dollar Singapura.

Untuk menikmati kehidupan lebih baik, mereka sanggup meredah kesesakan jalan raya untuk bekerja di Singapura. Masa berkualiti dibazirkan antara empat hingga lima jam sehari untuk berbaris panjang itu yang sepatutnya boleh diluang bersama keluarga.

Kita tidak boleh bersangka buruk menuduh sebahagian rakyat Malaysia tidak cintakan tanah air. Mereka berhijrah kerana terpaksa dan antara puncanya adalah banyak kerja di negara ini telah dimonopoli oleh warga asing.

Penulis yakin jika pertukaran mata wang dapat dikembalikan antara 1 dollar kepada 1.5 ringgit, ramai rakyat kita akan kembali ke Malaysia. Logiknya, siapa yang mahu setiap hari berpanas dan berhujan sepanjang hari berulang alik dari Johor Bahru ke Singapura.

Keteguhan dan susut nilai wang melambangkan kekuatan sesebuah negara. Singapura baharu sahaja meraikan Hari Kemerdekaan ke-50. Jika diimbas, nilai mata wang dollar Singapura 50 tahun dahulu sama nilainya dengan ringgit.

Ketika ini, nilai ringgit berbanding dollar Singapura sudah jatuh tiga kali ganda! Hakikatnya, fakta ini perlu kita renungi - sebuah negara kecil yang tiada sumber asli, namun selepas 50 tahun berjuang, meninggalkan kita jauh di belakang! Kenapa jadi begitu? Tiada siapa yang dapat merungkaikannya.

Malaysia dan Singapura adalah bekas jajahan British, punya sistem birokrasi dan majlis perundangan sama. Hari ini, kedua-dua negara mempunyai perbezaan ekonomi yang amat ketara. Pada hemat penulis, parti pemerintah di negara kita perlu ambil perhatian serius terhadap perkara ini. Tolak ke tepi igauan politik ataupun kejatuhan harga sumber, sesuatu perlu dilakukan demi memulihkan ekonomi negara. Kemakmuran rakyat harus diutamakan.

Istilah serumpun, etnik perkukuh integrasi nasional

Langkah membentuk istilah dalam bahasa Melayu yang diambil daripada bahasa serumpun, bukan sahaja penting. Hal ini juga bertepatan dengan pedoman pembentukan istilah untuk bahasa negara kita.

Pengambilan daripada bahasa asing, khususnya bahasa Inggeris sesungguhnya adalah langkah terakhir. Namun, daripada perkembangan bahasa Melayu kebelakangan ini, ia seolah-olah langkah pertama.

Bukan itu sahaja, ia adalah satu-satu langkahnya. Dengan ini, banyak istilah bahasa Inggeris diambil dengan sewenang-wenangnya, tanpa dilakukan pencarian terlebih dahulu dalam bahasa Melayu

Dalam memberi nama kepada sesuatu konsep itu, langkah pertama ialah mencari istilah itu dalam bahasa Melayu, baik daripada ragam semasa, lama mahupun dialek.

Melalui langkah ini, kita berjaya menemui dermaga daripada bahasa Melayu lama dan labur daripada dialek Negeri Sembilan.

Langkah seterusnya ialah menggeledah bahasa serumpun untuk mencari istilah sesuai untuk konsep tertentu, jika tidak ditemui dalam bahasa Melayu.

Untuk ini, gambut diambil daripada bahasa Banjar. Selain bahasa serumpun dari luar Malaysia, langkah ini hendaklah digembleng untuk dimanfaat sepenuhnya daripada bahasa serumpun di Malaysia.

Ini bermakna kita hendaklah mencari istilah untuk bahasa Melayu daripada bahasa etnik pribumi di Sabah dan Sarawak.

Semua bahasa di sana walaupun bukan bahasa Melayu dalam erti sebenarnya, adalah bahasa yang digolongkan sebagai Melayuan, yakni memiliki sistem linguistik yang diperlihat bahasa Melayu.

Sebenarnya bahasa di dua wilayah Malaysia ini mempunyai banyak istilah yang boleh diambil untuk memperkasa bahasa Melayu.

Gaya hidup kompleks

Walaupun pada umumnya, sesetengah komuniti bahasa di sana kelihatan semacam kurang moden, sebenarnya gaya hidupnya adalah kompleks.

Begitu juga dengan pemikirannya yang cukup progresif berdasarkan pelbagai istilahnya yang mengungkapkan gagasan yang tidak kurang canggih.

Pengambilan istilah daripada bahasa etnik pribumi Sabah dan Sarawak untuk khazanah kosa kata bahasa Melayu, selain memenuhi langkah kedua dalam pedoman pembentukan istilah bahasa Melayu, sesungguhnya dapat mempertingkat integrasi nasional, yakni penyatuan antara tiga wilayah utama dalam Persekutuan Malaysia.

Dari segi linguistik, tidak dapat dinafikan banyak istilah daripada bahasa etnik pribumi ini bukan sahaja menepati gagasan utama pada sesuatu konsep itu, istilah itu juga memiliki ciri peristilahan yang unggul.

Antaranya singkat untuk digunakan, senang dikena sistem ejaan yang sedia ada, dan mudah dialihkan antara bahasa apabila diterjemahkan.

Identiti nasional

Jauh lebih penting lagi ialah penggunaan istilah ini akan memastikan kita selalu terikat dengan jati diri kita yang asal dan watan itu. Hal ini adalah unsur paling penting untuk identiti nasional kita.

Dengan ini, kita akan dikenali melalui budaya watan kita. Oleh itu, amat wajar kita menggunakan istilah randau daripada bahasa Iban dan bukan lagi dialog daripada bahasa Inggeris.

Randau bukan sahaja memiliki pengertian perbincangan dalam bentuk pertukaran maklumat dan pandangan. Ia juga lambang budaya watan. Lobi diserapkan daripada bahasa Inggeris untuk membawa maksud ruang legar.

Walaupun tiada istilah dalam bahasa Melayu, ia wujud dalam bahasa Iban dan Bidayuh melalui istilah ruai, yang bermaksud kawasan luas dalam bangunan.

Penggunaannya pasti memperlihat sentimen keterikatan dengan tradisi kita. Bahasa Melayu didapati tidak mempunyai istilah untuk perbuatan tidur sekejap pada waktu siang.

Oleh itu, kita sering menggunakan istilah nap dalam bahasa Inggeris. Oleh sebab tidak diserapkan ke dalam bahasa Melayu, penggunaannya boleh dianggap salah dalam ragam persuratan.

Dalam hal ini, bahasa Bajau mempunyai istilahnya, iaitu meridap. Dalam keadaan kekurangan ini, pengambilannya kena pada masanya, selain ia adalah lambang nasional.

Penggunaan ungkapan pemerian separuh masak, misalnya untuk makanan adalah sebab bahasa Melayu tiada istilah untuk konsep itu.

Ini berlainan dengan komuniti Iban yang mempunyainya, iaitu mera untuk masakan yang disediakan sedemikian rupa. Istilah ini bukan sahaja sesuai sebagai menu telur mera di kopitiam, ia ikut memperlihat kesedaran nasional.

Penyerapan istilah daripada bahasa etnik pribumi Sabah dan Sarawak, iaitu bahasa watan kita juga bukan sahaja penting untuk nasionaliti Malaysia.

Ia juga penting kerana istilah ini menghubungkan rakyat Malaysia dengan tanah watannya, selain melindungi sejarah negara ini. Teo Kok Seng Berita Harian Kolumnis 20 Ogos 2015