August 25th, 2015

Salia wira tidak didendang

TANGGAL 31 Ogos ini Malaysia akan menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-58 dengan tema Sehati Sejiwa. Bagi warga Kuala Lumpur, sudah menjadi kebiasaan untuk meraikan hari bersejarah itu di Dataran Merdeka manakala di negeri-negeri lain, kerajaan akan menganjurkan majlis sambutan berpusat.

Bagi Datin Salia Awang, 80, keinginan untuk berkumpul bersama para pemimpin dan golongan muda bagi melaungkan kata-kata keramat ‘merdeka’ sentiasa membara di dalam diri.

Namun atas faktor kesihatan, beliau memilih untuk berada di rumah pada hari itu sambil menikmati keamanan negara hasil daripada perjuangannya sebelum ini bersama tokoh-tokoh pemimpin negara.



SALIA AWANG (depan, dua dari kiri) bersama-sama Datuk Seri Najib Tun Razak semasa menjadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (tiga dari kanan) semasa menjawat Ketua Pemuda UMNO Sabah hadir dalam program UMNO Bahagian Sandakan pada 1991.

Meskipun tidak ramai generasi muda yang mengenalinya, Salia selayaknya menerima gelaran wira yang tidak didendang kerana penglibatannya dalam memperjuangkan kemerdekaan negara.

Ini termasuk mempertahankan Sabah daripada tekanan Indonesia sehingga berjaya membawa negeri itu bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu dan membentuk Malaysia pada tahun 1963.

Salia antara pemimpin wanita Sabah yang banyak berbakti kepada negeri itu bersama tokoh-tokoh lain, antaranya bekas Yang Dipertua Sabah, Tun Mustapha Harun dan Tun Sakaran Dandai; bekas Ketua Menteri Sabah, Tun Mohamed Said Keruak dan bekas Ketua UMNO Bahagian Sandakan, Tan Sri Ampung Puyon.

Berasal dari Jambatan 14, Kampung Buli Sim-Sim, Sandakan Sabah, Salia yang hanya menamatkan pelajaran di Sekolah St. Mary Convent mula mengasah bakat kepe­mimpinan di sekolahnya apabila aktif berpersatuan antaranya Persatuan Pandu Puteri, Palang Merah dan banyak lagi pertubuhan bukan kerajaan.

Atas pengalamannya, pada sekitar tahun 1950-an, Salia menerima ba­nyak pelawaan daripada pemimpin-pemimpin masyarakat untuk me­nyampaikan ucapan kepada umum dalam usaha Sabah mengekang desakan Indonesia di bawah pimpinan Presiden Sukarno yang berusaha menghalang rancangan penubuhan Malaysia daripada berjaya.

“Pertama kali saya berucap di tempat awam semasa berumur 16 tahun di Padang Sandakan. Lebih 10,000 orang hadir kerana sentimen masa itu terbahagi kepada dua iaitu penduduk yang menyokong Indonesia dan yang bersetuju untuk bergabung menjadi Malaysia.

“Masa itu tidak ada pemimpin wanita yang berani bercakap, namun saya tampil ke depan kerana yakin hanya dengan bergabung bersama Persekutuan Tanah Melayu, baharulah Sabah boleh mencapai kemerdekaan dan bebas daripada cengkaman pemerintah Great Britain,” katanya dalam pertemuan dengan Utusan Malaysia baru-baru ini.

Bermula dari situ, atas soko­ngan suaminya, Allahyarham Datuk Hamdan Awang, Salia membuat keputusan untuk menyertai parti politik yang berpengaruh ketika itu iaitu Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) yang rancak mengutip sokongan daripada penduduk Sabah di seluruh negeri untuk bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu.

Menurut Salia, perjuangannya membawa kemerdekaan kepada Sabah berdepan dengan pelbagai rintangan yang bukan sahaja datang daripada orang awam, malah pihak berkuasa Inggeris turut beberapa kali memberi tekanan kepadanya agar berhenti daripada memberikan ceramah-ceramah umum.

“Masa itu, kami berjuang dengan penuh keikhlasan. Tanpa sokongan kewangan yang kukuh dan di sebalik tekanan daripada banyak pihak, saya bersama rakan-rakan menjelajah ke mana sahaja tempat yang mampu dicapai dengan berbasikal untuk menarik sokongan rakyat dan mengekang propaganda daripada penjajah.

“Sampai satu tahap saya mene­rima surat daripada polis cawangan khas yang dipimpin orang Inggeris bagi meminta saya tidak lagi berce­ramah tetapi saya tetap meneruskan aktiviti saya demi kemerdekaan Sabah,” katanya yang merupakan pengasas Pertubuhan Wanita Sabah (Pewasa) yang ditubuhkan bagi membantu kaum wanita.

Hasil kerja keras yang dilakukan, perjuangan Salia bersama USNO yang mendapat kerjasama Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) akhirnya mendapat ganjaran paling manis apabila berjaya membawa kepada termeterainya pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.

Pada tahun 1990, Salia memilih untuk berubah angin dalam perjuangan politik apabila menyandang jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian Sandakan semasa parti keramat Melayu itu pertama kali dibawa masuk ke Sabah dan kini menjadi parti utama yang membantu membangunkan dan mem­bela nasib rakyat negeri itu.

Sebaik sahaja menjawat jawatan itu, pada 1991, beliau bersama-sama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika itu Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Sabah, menjelajah ke seluruh ne­geri itu bagi mempromosi perjuang­an UMNO.

Mengulas mengenai ulang tahun kemerdekaan yang ke-58, Salia berkata, pemimpin-pemimpin yang ada sekarang perlu bekerja keras memastikan keamanan dan perpaduan yang dikecapi dapat dipertahankan demi kelangsungan ge­nerasi akan datang.

Katanya, generasi muda juga perlu sentiasa memahami sejarah pembentukan Malaysia agar dapat terus melahirkan rasa kecintaan kepada negara dalam diri masing-masing serta membangun mempertahankannya daripada ancaman.

Menurutnya, senario politik negara sekarang amat membimbangkan terutama dengan wujudnya kumpulan-kumpulan yang cuba memecahbelahkan hubungan ka­um, justeru kerajaan perlu bijak menanganinya tanpa menyebabkan berlaku perpecahan.

“Saya harap rakyat Malaysia jaga­lah negara ini. Kami orang lama sudah melakukan yang terbaik untuk mencapai kemerdekaan yang dikecapi sampai sekarang, kita mesti bersatu, kalau berpecah maka robohlah negara ini.

“Para pemimpin juga perlu beker­ja dengan ikhlas dan betul. Jangan amalkan rasuah kerana perbuatan itu akan menyebabkan amanah yang dipikul terabai dan merugikan rakyat,” kata ibu kepada 10 orang anak itu termasuk Datuk Md. Afendi Hamdan yang merupakan ahli perniagaan.

Badan beruniform lambang Sehati Sejiwa

SEPANJANG bulan Ogos 2015, tiga badan beruniform di universiti awam telah menyempurnakan istiadat pentauliahan masing-masing. Badan beruniform tersebut ialah Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) di Universiti Putra Malaysia (UPM), Sukarelawan Siswa-Siswi Polis (SUKSIS) di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Siswa-Siswi Pertahanan Awam (SISPA) di Universiti Sains Malaysia.

Bagi setiap istiadat pentauli­ah­an, acara akan dimulakan dengan Majlis Perbarisan Tamat Latihan, meliputi pemeriksaan barisan dan lintas hormat di padang kawad sebelum acara penyampaian sijil pelantikan di dewan universiti masing-masing. Di padang kawad, dari kejauhan jelas kelihatan kesera­gaman mahasiswa berbaris, dari tinggi ke rendah, dalam pakai­an senada, memaparkan mereka berada dalam keadaan kebersamaan.



SEBAHAGIAN daripada 1,628 pegawai kadet dari 18 universiti awam segak berkawad dalam Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam ke-34 di padang kawad, UPM, Serdang, pada 15 Ogos lalu. UTUSAN/ABDUL NAZIR MOHAMED.

Sebaik sahaja setiap kontinjen melalui pentas utama untuk mela­kukan perbarisan lintas hormat sama ada dalam keadaan berjalan perlahan atau berjalan laju pasti meng­ujakan setiap yang melihat. Langkah kaki setiap anggota perbarisan bukan setakat sama kiri dan kanan tetapi bukaannya juga. Derap tapak kasut di atas padang kawad menghasilkan bunyi yang padu dan jitu. Tangan dihayun separas bahu tanpa mengira jantina membuktikan mereka seiring dan seirama dalam mengatur pergerakan semasa berkawad.

Lebih meremangkan bulu roma apabila ketua perbarisan melontarkan suara dalam memberi arahan yang boleh didengari seluruh keluasan padang kawad dan pastinya sesiapa pun akan kagum apabila kontinjen berhenti dengan hanya satu derap yang begitu padu dan jitu. Biarpun lebih seribu mahasiswa berada di padang kawad bagi Majlis Perbarisan Tamat Latihan, mereka langsung tidak menunjukkan percanggahan dan kelainan dalam pergerakan dan penerimaan arahan. Mereka benar-benar bersatu dan berpadu.

Melihat pula kepada raut wajah setiap anggota, raut wajah mereka sama sahaja sama ada telah kehitaman kerana alahan pancaran matahari dalam tempoh latihan mahupun kemerahan seperti udang yang dibakar. Semuanya memaparkan wajah serius sedia untuk bertempur di medan perang. Dalam hati tertanya-tanya, “Mana satu mahasiswa Melayu, Cina, India, Kadazan dan Iban?”. Tidak dapat dikenal pasti dengan jelas. Wajah-wajah yang dilihat ialah wajah serupa yang telah bersatu di bawah payung uniform masing-masing.

Senario perbarisan tamat latihan bagi setiap badan uniform benar-benar menepati tema Hari Kebangsaan, 2015 iaitu, ‘Sehati Sejiwa.’ Tema tersebut dipilih kerana menggambarkan semangat perpaduan, persefahaman, kebersamaan dan kemanusiaan semua warganegara di Malaysia.




Logo Sehati Sejiwa

Tema ini sangat sesuai dan tepat pada masa ini bukan sahaja kerana persekitaran dan budaya Malaysia yang majmuk dan berpolarisasi tapi juga sebagai strategi menangani ancaman pihak-pihak yang anti pembangunan, keseimbangan dan keharmonian Malaysia hasil daripada proses integrasi dan perpaduan.

Tema Hari Kebangsaan tersebut dapat disemai menerusi badan-bandan beruniform di peringkat sekolah mahupun universiti. Bagi mencapai kesempurnaan dalam berkawad perlukan latihan dan disiplin diri yang cukup tinggi dalam kalangan anggota-anggota badan beruniform.

Dalam tempoh latihan mereka perlu mengetepikan semua perbezaan yang berasaskan agama, kaum, bangsa, bahasa, geografi dan jantina. Dalam hati dan jiwa mereka hanya ada hasrat untuk menunjukkan bahawa langkah kawad mereka adalah sama dan seragam.

Bagi individu yang melakukan kesalahan dalam berkawad seperti tidak berhenti serentak dengan anggota lain, individu tersebut akan menjatuhkan hukuman ke atas diri sendiri seperti melakukan tekan tubi. Ini menunjukkan mereka benar-benar faham akan matlamat pasukan dalam berkawad iaitu keseragaman dalam pergerakan dan pemberian serta penerimaan arahan.

Oleh itu, mereka tidak perlu ketua kontinjen untuk menjatuhkan hukuman tetapi mereka sendiri menghukum diri sendiri bagi setiap kesalahan yang dilakukan. Dalam hal ini setiap anggota akan cuba memahami antara satu sama lain dengan mereka yang tidak melakukan kesalahan terus menyokong dan memberikan motivasi kepada individu yang melakukan kesalahan semasa berkawad.

Badan beruniform secara istiqamah menunjukkan sikap dan sifat sehati dan sejiwa dalam aspek kemanusiaan. Tanpa mengira warna kulit, agama yang dianut dan bicara yang ditutur, mereka akan saling tolong-menolong antara satu sama lain tanpa mengira perbezaan. Mereka akan mengusung anggota mereka yang pengsan atau cedera, mereka membetulkan pemakaian lencana di pakaian dan topi antara satu sama lain, mereka mendirikan khemah bersama-sama, ringkasnya susah senang dalam semua situasi mereka hadapi bersama-sama. Mereka benar-benar bersatu dalam kelainan.

Di universiti Awam, badan beruniform dikenali dengan teras kesukarelawanan di bawah bidang kokurikulum. Penglibatan mahasiswa ada yang disebabkan untuk memperoleh kredit akademik, namun pada masa yang sama ramai terlibat atas faktor suka rela. Hati dan jiwa mereka yang terlibat dalam aktiviti kesukarelawanan dapat dilihat keikhlasannya. Mereka sanggup turun padang apabila negara kita berhadapan dengan cabaran banjir dan gempa bumi tanpa mengharapkan balasan wang ringgit atau kredit akademik.

Berdasarkan matlamat untuk membersihkan rumah yang runtuh, semuanya menyinsing le­ngan tanpa mengira kaum, agama dan negeri yang mereka hulurkan pertolongan. Mereka yang menghulurkan bantuan pula terdiri daripada beberapa aspek kepelbagaian namun mereka mengamalkan perpaduan sehati sejiwa atas dasar i­ngin membantu meringankan beban mangsa yang ditimba musibah.

Mereka juga memaparkan semangat sehati sejiwa apabila be­kerjasama tanpa mengambil kira badan beruniform yang disertai. PALAPES dan SUKSIS boleh duduk dan berdiri bersekali dalam mengerah kudrat di setiap kawasan yang dihulurkan pertolongan.

Semangat sehati sejiwa yang di­semai semasa mereka berada di pelbagai peringkat institusi pendidik­an pastinya akan bertapak kukuh di sanubari setiap pelajar dan mahasiswa. Apabila mereka bekerja di sesebuah organisasi latih­an kawad yang telah diikuti akan menjadi pedoman kepada mereka untuk sentiasa bekerjasama dan bersefahaman dengan sepenuh hati dan jiwa tanpa mengambil kira sentimen warna kulit, agama dan bahasa tetapi sentiasa fokus kepada pencapaian matlamat organisasi.

Dalam meniti kehidupan pula, sebagai warga negara, falsafah sehati sejiwa yang diperoleh menerusi latihan kawad dan aktiviti-aktiviti badan beruniform telah tersemai di dalam hati dan jiwa mereka de­ngan utuh dan padu. Mereka akan sentiasa meletakkan kepentingan kemanusiaan dan masyarakat meng­atasi kepentingan peribadi.

Mereka akan sentiasa inginkan kebersamaan dan berasakan Malaysia adalah milik bersama. Oleh itu, bumi Malaysia tercinta ini akan sentiasa dipelihara dan dijaga keamanan, kesejahteraan, keharmonian dan kemakmurannya, malahan berpanjangan diperkukuh dan diperkasa. Selamat Menyambut Hari Kebangsaan, Sehati Sejiwa!

Mengisi makna kemerdekaan

KEMERDEKAAN adalah proses menggalas tanggungjawab. Ia suatu amanah bagi warga mengisi kemerdekaan agar memberi erti dalam menjana perubahan dan kemajuan.

Penjajahan yang terjadi di Malaysia berlaku dalam tempoh ratusan tahun. Dasar pecah dan perintah sudah tentu memberi kesan yang parah terhadap bidang politik, ekonomi, pendidikan, pemikiran dan budaya. Sifat masyarakatnya yang majmuk menghasilkan jurang dalam pencapaian ekonomi dan pendidikan dan memerlukan langkah bijaksana mengatasinya.

Langkah untuk menyusun semula masyarakat, merapatkan hubungan antara kaum dan wilayah memerlukan tekad dan kebijaksanaan yang tinggi supaya ketidakseimbangan yang terjadi dapat dirapatkan secara berhemah dan berhikmah. Perlembagaan negara diwujudkan dengan peruntukan bagi mewujudkan keadilan dan keutamaan dalam bina negara.

Sudah tentu dalam mengurus kemerdekaan akan terdapat perbezaan pendapat dan kelainan pandangan dalam kalangan rakyat dan kelompok tertentu dalam sesuatu isu. Iklim demokrasi membenarkan perbezaan itu terjadi secara muzakarah, kritik yang membina, mengiktiraf yang baik itu baik dan yang lemah itu perlu diperbaiki dan diperkasakan lagi.

Masyarakat Malaysia dengan asas budaya yang menyantuni perlu memiliki etika perbezaan dengan pemikiran terbuka dan berlapang dada mengenai kelainan pendapat dan tidak sampai wujud perpecahan yang menyebabkan asas kesatuan rapuh dan runtuh. Menjadi pembangkang umpamanya tidak hanya membangkang dalam semua perkara. Pembangkang yang baik ialah yang konstruktif dengan idea-idea bernas bukannya retorik melampiaskan geram dan dendam kesumat. Ia bukan jalur tindakan yang Islami.

Mengisi kemerdekaan menuntut kefahaman tinggi masyarakat bukan Islam terhadap proses menyeimbangkan tahap pencapaian orang Islam supaya keadilan berlaku dan pembangunan terus terjadi. Bagi masyarakat Islam, bantuan kerajaan akan akhirnya menjadikan mereka berjiwa mandiri bukan masyarakat yang terus bergantung kepada kerajaan dan memiliki mentaliti subsidi yang tinggi.

Orang Islam harus menginsafi bahawa kekuatan ilmu dan kemahiran perlu dicari kerana ruang bagi generasi muda terbuka luas. Tanpa ilmu dan kemahiran, daya usaha dan kerajinan, amanah dan tekad tinggi untuk maju kita tidak akan mampu bersaing dengan orang lain.

Generasi penerus tidak harus leka dengan keselesaan dikecapi. Banyak biaya yang membantu mereka belajar dalam dan luar negara harus dibuktikan dengan pencapaian yang baik dan memiliki tekad untuk mengisi dan menyumbang ke arah proses pembangunan dan kemajuan negara. Mereka harus memiliki sifat syukur dan terima kasih seperti dianjurkan oleh Islam. Jangan terjebak dengan gelagat kritik jamaah atau gerakan Islam yang mempunyai idealisme tinggi tanpa memahami proses mengisi kemerdekaan menuntut kefahaman mendalam terhadap realiti dan mengambil jalan bijaksana sebagai matarantai perubahan dan kemajuan.

Kecemerlangan dalam menerima ilmu dan kemahiran, ketangkasan dalam terlibat sama terhadap pembangunan ekonomi, mewujudkan masyarakat wehdah (kesatuan) yang sifatnya menyumbang, mengelak daripada terjebak dengan faham jumud, pelampau dan anti-establishment, jangan merasakan dirinya saja yang betul dan orang lain semuanya salah menjadi prasyarat penting mengisi kemerdekaan negara.

Jangan bazirkan masa dan hayat perjuangan untuk memilih jalan perjuangan ke arah pecah-belah yang menyebabkan pemikiran jadi terbelenggu dan kemajuan tidak berlaku. Amalkan sikap sedikit dariku dan sedikit dari yang lain dalam suasana muafakat, ia bakal membawa berkat.

Bukan Islam harus benar-benar memahami bahawa dasar membantu orang Islam adalah suatu agenda menyusun semula ketidakseimbangan dalam masyarakat. Jangan lihat Islam itu sesuatu yang negatif kerana Islam adalah agama rahmah untuk semua umat manusia.

Ilmu dan pendidikan berasaskan etika dan nilai sangat penting bagi melahirkan generasi beradab. Oleh itu mengisi kemerdekaan menuntut kefahaman dan kesabaran yang tinggi dan pentingnya keinsafan dalam kalangan orang Islam mendakap sikap berdaya maju dan persaingan sihat yang tinggi supaya ketidakseimbangan dapat dibetulkan. - Utusan Malaysia Rencana Dari Jendela To'Ki 25 Ogos 2015 1:12 AM