August 26th, 2015

Masih ada pihak keliru peranan Akta Hasutan

PADA 11 Ogos lalu, saya diminta menjadi moderator forum bertajuk 'Wajarkah Akta Hasutan Dikekalkan'? pada Seminar Kerajaan dan Ketamadunan anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Banyak isu dibangkitkan pada forum itu yang menjelaskan masih wujud kekeliruan dalam kalangan rakyat mengenai status Akta Hasutan.

Tidak kurang juga pihak keliru mengenai kedudukan cadangan penubuhan Akta Keharmonian Nasional. Setelah kerajaan mengisytiharkan untuk mengekalkan Akta Hasutan pada tahun 2014, timbul persoalan sama ada Akta Keharmonian Nasional masih diperlukan atau tidak.

Namun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Joseph Kurup juga mengumumkan draf Akta Keharmonian Nasional akan dibentangkan di Parlimen pada sidang akan datang, iaitu Oktober ini.

Ramai masih tidak jelas kandungan Akta Keharmonian Nasional dan adakah ia berbeza dengan Akta Hasutan jika akta itu terus dikekalkan.

Kritikan terhadap Akta Hasutan


Akta Hasutan adalah Akta 15 yang mula dibentuk pada tahun 1948 ketika era penjajahan British bagi mengawal ancaman komunis setelah Darurat diisytiharkan dan juga menghalang tuntutan kemerdekaan.

Namun, selepas negara merdeka pada tahun 1957, Akta Hasutan dikekalkan dan ditambah baik setelah rusuhan kaum meletus di Singapura pada tahun 1964 dan Kuala Lumpur pada tahun 1969.

Akta Hasutan menerima kritikan pelbagai pihak termasuk pemimpin Barisan Nasional (BN). Antaranya ia dikatakan undang-undang penjajah yang harus dibubar dan diganti dengan undang-undang baharu sesuai dengan keadaan semasa.

Ada juga mengatakan peruntukan undang-undang Akta Hasutan terlalu luas dan tidak jelas dari segi interpretasi 'hasutan' itu.

Misalnya Perkara 63(4) Perlembagaan Persekutuan menafikan imuniti kepada ahli badan perundangan yang boleh dihukum mengikut Akta Hasutan terhadap isu perkauman yang mereka sebut atau bicarakan di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

Malah, ahli akademik juga bimbang jika perbincangan dan pandangan ilmiah di bilik kuliah berkenaan sesuatu perkara boleh dianggap sebagai melanggari Akta Hasutan.

Parti pembangkang pula mengkritik seolah-olah berlaku pengadilan terpilih dalam penguatkuasaan akta ini.

Oleh itu, melalui Program Transformasi Kerajaan, beberapa akta termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Ordinan Darurat dibubarkan pada tahun 2012. Malah,

Akta Hasutan juga dikatakan akan digantikan dengan Akta Keharmonian Nasional. Dalam satu kenyataan akhbar oleh Pejabat Perdana Menteri bertarikh 12 September 2014 menyatakan kerajaan menerima banyak maklum balas berkaitan isu Akta Hasutan ini.

Pertama, ada permintaan Akta Hasutan dikekalkan dengan sedikit pindaan.

Kedua, ada yang meminta Akta Hasutan dihapuskan.

Ketiga, ada yang memilih menggantikan Akta Hasutan dengan Akta Keharmonian Nasional demi menjaga perpaduan rakyat dan kestabilan negara.

Keempat, ada berpendapat supaya Akta Keharmonian Nasional diwujudkan sebagai akta baharu di samping Akta Hasutan yang dikekalkan.

Bukan sekadar jaga hubungan kaum

Setakat ini, kerajaan memilih pendekatan keempat yakni mengekalkan Akta Hasutan melalui beberapa pindaan dan mewujudkan Akta Keharmonian Kaum.

Yang jelas, Akta Hasutan bukan sahaja membicarakan soal hubungan kaum, malah lebih daripada itu. Melalui pindaan tahun 2015, penghukuman di bawah Akta Hasutan akan dikenakan kepada sesiapa yang bersuara untuk membawa perpecahan kepada Persekutuan Malaysia.

Namun, Akta Hasutan juga harus dipinda bagi penambahbaikan. Misalnya Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pernah mengesyorkan peruntukan dalam Akta Hasutan 1948 yang tidak relevan dipinda atau dimansuhkan segera dengan mengambil kira keterbukaan kepemimpinan BN ketika ini.

Beliau berkata, peruntukan yang menghalang rakyat mengkritik kerajaan dan pentadbiran boleh dimansuhkan demi menyediakan ruang lebih luas kepada rakyat untuk bersuara.

Sementara itu, rakyat masih kurang jelas kandungan Akta Keharmonian Kaum.

Ada mengatakan akta ini menyediakan tribunal yang akan menyelesaikan segera sebarang perbalahan dan permasalahan antara kaum dan agama secara aman.

Malaysia juga sehingga kini tidak ada undang-undang khusus bagi menangani isu kebencian kaum seperti Racial Hatred Act di United Kingdom dan Australia.

Malah, pergaduhan kaum yang tercetus ketika insiden di Plaza Low Yat menyebabkan ramai melihat kesesuaian Akta Keharmonian Nasional ini diwujudkan.

Untuk menjadikan Malaysia aman politik dan makmur ekonominya, perlu ada mekanisme bagi menangani sebarang permasalahan yang boleh menjejaskan hubungan kaum.

Jelas, Akta Keharmonian Nasional dilihat mampu memastikan masa depan perpaduan negara kekal utuh daripada segala bentuk ancaman. Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani Berita Harian Kolumnis 25 Ogos 2015

Perlembagaan mempertahan tradisi, warisan

PADA minggu ini saya menyambung perbincangan mengenai persoalan yang saya bawa dalam ruangan ini pada minggu lalu, iaitu adakah Perlembagaan mampu menghadapi cabaran dan ancaman mendatang pascamerdeka.

Minggu lalu, saya mengulas dua cabaran kepada Perlembagaan Persekutuan pascamerdeka berkaitan perpaduan dan keselamatan negara.

Selain dua perkara besar itu, ada beberapa lagi perkara yang perlu diberikan perhatian kerana cabaran ke atasnya bukan kecil. Antaranya, cabaran oleh Perlembagaan Persekutuan untuk mengekalkan kelangsungan elemen tradisi atau elemen warisan yang begitu dalam tertanam dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan negeri.

Adakah Perlembagaan mampu menangani perubahan masa dan massa dalam hal berkaitan status dan kelangsungan elemen tradisi atau elemen warisan negara?

Tiada peruntukan perundangan yang memberikan definisi atau meletakkan skop kepada istilah 'elemen tradisi' atau 'elemen warisan'.

Namun, kita anggap sudah sangat jelas mengenai elemen ini dalam Perlembagaan termasuk institusi raja, agama Islam sebagai agama negara, keistimewaan Melayu, keistimewaan Anak Negeri (Sabah dan Sarawak) dan Bahasa Melayu.

Elemen ini dijadikan rujukan asas dalam penggubalan Perlembagaan Persekutuan, yang semua elemen ini dijadikan terma lantikan Suruhanjaya Reid dalam menjalankan rangka kerja menggubal Perlembagaan merdeka bagi Tanah Melayu.

Kekal elemen tradisi

Dari segi istilah, saya guna 'tradisi' dan 'warisan' dalam tulisan ini secara sinonim walaupun ada sedikit perbezaan secara akademiknya.

Elemen tradisi ini ialah elemen yang sekian lama wujud, bahkan sebelum wujudnya Perlembagaan Persekutuan itu sendiri, kita katakan ia sebagai elemen warisan.

Sekian lama juga elemen ini memainkan peranan dan memberi manfaat, dalam sejarah dan juga dalam pembentukan negara. Setelah kemerdekaan elemen tradisi dan warisan ini dinaikkan dan dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pascamerdeka, elemen ini menjadi sinonim kepada negara; menjadi identiti negara. Dengan peranan yang dimasyhurkan dalam perundangan dan dikekalkan dalam budaya, sosial dan pentadbiran negara, elemen ini menjadi nadi dan saraf kepada falsafah negara.

Elemen tradisi ini juga sebahagian daripada mekanisme pentadbiran negara. Ratusan kali ulangan disebut dalam Perlembagaan mengenai elemen tradisi ini.

Dalam perjalanan selepas merdeka, elemen tradisi ini adalah juga pengimbang kepada demokrasi. Demokrasi yang tidak dikawal rapi atau tidak diimbangi melalui mekanisme yang baik terbukti boleh membentuk diktator.

Elemen tradisi ini juga adalah neraca yang mampu mengawal suara rakyat daripada terpesona dengan kebebasan (yang juga menggunakan tiket demokrasi) yang melanggar susila keturunan masyarakat Timur yang berbudi luhur dan berperibadi tinggi.

Perubahan persepsi

Perubahan masa menyaksikan persepsi massa kepada elemen tradisi dan warisan ini. Kita juga sudah melihat cabaran ke atas elemen tradisi dan warisan ini dalam pelbagai aspek, terutama mengenai penghormatan kepadanya.

Malah, kita sering lihat provokasi di media maya atau laman sosial yang mahu mengusir elemen warisan ini daripada persada utama negara.

Perkembangan ini menjadikan kelangsungan kepada elemen tradisi sebagai antara cabaran yang sangat hebat kepada Perlembagaan.

Dari sudut sejarah selama ratusan tahun, walau tanpa sokongan padu dokumen formal seumpama Perlembagaan, elemen ini berjaya dipertahan.

Bahkan jika dikira dari tahun 1511 sehingga kemerdekaan pada tahun 1957 elemen ini berjaya dipertahan selama 446 tahun ketika penjajahan dan pentadbiran empat kuasa asing.

Jika elemen tradisi itu berjaya dikekalkan dalam ratusan tahun, walau di bawah naungan kuasa asing, mampukah lagi ia dikekalkan selepas kemerdekaan dengan Perlembagaan yang begitu padat dengan pengukuhan mengenai elemen tradisi ini.

Ada senarai yang begitu panjang mengenai kuasa, kedudukan dan peranan elemen tradisi dalam Perlembagaan.

Ringkas, 65 peruntukan semuanya seperti yang saya senaraikan ini.

Perkara 2, 3, 8, 15, 28, 32, 37, 38, 39, 40, 41, 42, 43, 43A, 44, 45, 48, 55, 60, 63, 66, 68, 70, 72, 92, 95C, 99, 105, 108, 114, 115, 122, 122A, 122AA, 122AB, 122B,122C, 124, 125, 130, 132, 137, 138, 139, 140, 141A, 142, 143, 144, 145, 146, 149, 150, 151, 152, 153, 159, 160, 161, 162, 181, 182, Jadual Ketiga, Jadual Keempat dan Jadual Kelima.

Kesungguhan rakyat dan pentadbiran penting untuk memastikan Perlembagaan mampu menjaga kelangsungan elemen warisan atau tradisi ini.
Dr Shamrahayu A Aziz Berita Harian Kolumnis 26 Ogos 2015

Sasaran PPPM-PT mampu lonjak status universiti

USAHA menjayakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia - Pendidikan Tinggi (PPPM-PT) yang menekankan Transformasi Pengajian Tinggi untuk Kecemerlangan dengan 10 lonjakan, perlu disokong dengan tindakan berstrategik untuk soaring upwards mengikut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.

Untuk itu, Universiti Sains Malaysia (USM) misalnya berusaha menjajarkan Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (APEX) yang kini memasuki fasa kedua mengikut hala tujunya melalui proses perancangan senario dan jangkauan tahun 2020.

Hal ini penting ditekankan kerana usaha pengukuhan proses transformasi perlu dibuat untuk mengubah landskap pendidikan tinggi dalam menyokong pelaksanaan lonjakan PPPM-PT supaya menghasilkan bakat diperlukan universiti dan negara.

Melalui tema Mentransformasi Pengajian Tinggi untuk Kelestarian Hari Esok, penjajaran adalah melalui Program Penyelidikan dan Inovasi APEX dalam memenuhi Lonjakan Ketujuh PPPM-PT Ekosistem Inovasi dan Lonjakan Kesembilan, Kesohoran Global, manakala Program Kepimpinan dan Pembinaan Negara APEX dijajarkan dengan Lonjakan Pertama PPPM-PT iaitu Graduan Holistik, Keusahawanan dan Seimbang serta Lonjakan Kedua, Kecemerlangan Bakat Pendidikan Tinggi.

Begitu juga dengan usaha Perkongsian APEX sejajar dengan Lonjakan Kelapan - Penyampaian Pendidikan Tinggi yang Ditransformasi dan 'APEX Extension and Positioning' sejajar dengan Lonjakan Kesembilan Kesohoran Global.

Program Pembangunan Akademik dan Pelajar di bawah APEX pula dijajarkan dengan Lonjakan Ke-10 PPPM-PT Pembelajaran Dalam Talian Secara Global dan Kelestarian Kewangan yang juga sama dengan Lonjakan Keenam, manakala fokus ketujuh APEX,

Pembangunan Institusi dijajarkan dengan Lonjakan Kelima PPPM-PT Tadbir Urus Perkasa.

Universiti pilihan pelajar

Sehingga kini, usaha penjajaran ini memenuhi keperluan 53.5 peratus PPPM-PT, manakala 21.1 peratus akan didefinisikan semula untuk disesuaikan dengan hala tujunya.

Malah, di bawah Rancangan Malaysia Ke-11, tumpuan adalah kepada usaha menjadi universiti terkemuka dalam penyelidikan bidang tujahan (niche) dan termaju, menjadi sebuah universiti pilihan pelajar dari dalam mahu pun luar negara, memfokus kepada perancangan APEX Fasa 2 dan menjadi universiti rujukan dalam kelestarian seiring dengan PPPM-PT.

Perancangan dan pelaksanaan semua aktiviti ini, sekali gus menyokong perancangan negara dalam memperkukuhkan pembangunan inklusif, meningkat kesejahteraan rakyat, membangun modal insan, menuju ke arah pertumbuhan hijau, memperkasa aras pertumbuhan dan merekayasa pertumbuhan ekonomi didukung projek berimpak tinggi, tindakan segera dan kos rendah.

Yang penting, komuniti pendidikan tinggi tidak boleh lagi berada dalam kerangka pemikiran dan set minda lama dengan tindakan perlahan, bersikap selesa dan bergerak sendirian dalam mencapai semua hala tuju ini.

Ia memerlukan pembabitan seluruh komuniti kampus merentasi pelbagai kumpulan kakitangannya. Ini termasuk dalam menzahirkan global research prominence dalam bidang tujahan, menjadi sebahagian pemain utama pembinaan negara dengan menghasilkan siswazah aras tinggi melalui program pasca-siswazah untuk meningkatkan kebolehpasaran, menjadi institusi contoh untuk diikuti pihak lain, menjenamakan universiti sebagai institusi ada kelainan dan terkemuka dalam amalan kelestarian merentasi usaha penyelidikan, akademik dan aktiviti pelajar, menawarkan program akademik dikaitkan secara langsung melalui kerangka kerjasama dengan institusi terkemuka serantau dan antarabangsa, mencapai keupayaan menjana 30 peratus keperluan kewangan menjelang tahun 2020 serta mentransformasi menara ilmu sebagai sebuah organisasi efisyen.

Melahirkan bakat relevan

Adalah penting kepada universiti kita memenuhi sasaran menghasilkan bakat relevan dengan keperluan negara dan senario global masa hadapan, menyediakan program akademik yang menumpukan kepada Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Perubatan (STEM) dan rentas bidang khususnya kelestarian sebagai pilihan pelajar, memperkasakan program penyelidikan bertanda aras tinggi mengikut keperluan masa hadapan serta memastikan terus berdaya saing.

Pelebaran program akademik pesisir pada peringkat antarabangsa perlu diterokai dengan menetapkan model pembangunan kerjaya pelajar, mahu pun pensyarah, misalnya melalui model TeRamPiL yang diperkenalkan USM sebagai asas pembangunan kerjaya ahli akademik pada masa hadapan.

TeRamPil menekankan peningkatan kualiti kerjaya (pengajaran dan pendidikan) sebagai pendidik, penyelidik, pengamal dan pemimpin dalam memenuhi keperluan PPPM-PT agar ahli akademik mempunyai dan menguasai empat kemahiran itu, bersesuaian dengan makna ketrampilan atau kompeten.

Yang penting, semua pihak perlu dipastikan terbabit dalam memenuhi model ini dengan menterjemahkannya dalam bentuk latihan, penilaian tahunan, malah akan digunakan untuk proses kenaikan pangkat sebagai atribut kompetensi kalbu, kompetensi fungsian dan kompetensi generik.​ Dr Omar Osman Berita Harian Kolumnis 26 Ogos 2015