August 27th, 2015

Membangun masa depan melalui sejarah lampau

Sambutan bulan kemerdekaan telah pun bermula. Empat hari lagi, iaitu pada 31 Ogos ini, negara kita akan menyambut Hari Kemerdekaan. Inilah masanya untuk rakyat Malaysia terutamanya generasi muda berbilang kaum menunjukkan semangat patriotik dan kasih sayang terhadap negara. Bukan dengan cara paksaan, tetapi secara sukarela menyambut hari bersejarah ini sebagai negara yang merdeka dan berdaulat.

Dalam bulan ini, sekali lagi rakyat Malaysia diingatkan dan digalakkan untuk mengibarkan Jalur Gemilang - bendera kebangsaan kita sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara.

Bendera kebangsaan melambangkan semangat patriotik, kebanggaan, perpaduan dan kecintaan kepada negara. Bendera kebangsaan menunjukkan kita telah mencapai kemerdekaan dan membina kehidupan yang harmoni tanpa mengira bangsa, warna kulit dan agama. Di bawah satu bendera inilah, terletaknya simbol perpaduan untuk semua masyarakat kita menuju ke arah sebuah negara yang bersatu padu.


Jalur Gemilang gergasi bersaiz 180 kaki lebar dan 93 kaki tinggi kembali di mercu UEM di KL Sentral, Brickfields. UTUSAN/SAIFUL BAHARI ASHARI

Saya yakin bahawa rakyat Malaysia amat berbangga dengan bendera kebangsaan kita kerana ia melambangkan semangat patriotik mereka terhadap negara yang mereka gelar sebagai rumah. Malah bendera kebangsaan bukan hanya dikibarkan pada Hari Kemerdekaan.

Di kebanyakan negara yang pernah saya lawati, saya perhatikan bahawa bendera negara mereka dikibarkan setiap hari di bangunan kerajaan dan swasta seperti syarikat perniagaan, sekolah dan pusat komuniti.

Di Malaysia, kebanyakan pemilik bangunan tidak mengamalkan pengibaran bendera kecuali pada Hari Merdeka. Malah terdapat juga banyak premis yang tidak mengibarkan bendera pada hari yang penuh bermakna ini.

Apa yang paling penting di sini adalah untuk mendidik generasi muda kita untuk mengasihi bendera kita. Masa depan negara bergantung kepada golongan muda maka ia adalah penting untuk kita menyemai semangat kebanggaan dan kasih sayang dalam diri mereka terhadap Jalur Gemilang kita.

Walaubagaimanapun, saya juga ingin menegaskan bahawa mengibarkan Jalur Gemilang bukan hanya satu-satunya cara menunjukkan patriotisme seseorang. Patriotisme boleh diklasifikasikan dalam pelbagai bentuk. Sebagai contoh, apabila kita bersuara untuk mempertahankan negara ini daripada sebarang bentuk ancaman. Ini juga adalah satu perbuatan patriotik.

Ketika kita mengelakkan diri kita daripada melakukan perbuatan vandalisme ke atas harta awam atau membuang sampah di tempat-tempat awam sewenang-wenangnya dan menjadikan masyarakat kita bebas daripada jenayah serta melindungi dan memelihara alam sekitar. Kesemua tindakan ini adalah satu perbuatan patriotik.

Rakyat Malaysia boleh memaparkan semangat patriotik mereka melalui kata-kata mereka, pemikiran dan tindakan yang memberi kepentingan kepada negara. Seseorang yang patriotik juga bermakna pandangan dan pendapat ikhlas seseorang dalam bidang yang boleh membawa kebaikan kepada negara.

Melahirkan perasaan yang adil dan ikhlas seseorang terhadap hal ehwal negara kita adalah tanggungjawab yang perlu diamalkan oleh semua rakyat Malaysia yang patriotik dan cintakan negara serta mahukan yang terbaik untuk negara.

Dalam konteks masa kini, patriotisme boleh kita tafsirkan sebagai sikap, semangat dan tindak-tanduk yang menjurus kepada gagasan dan usaha mengawal kepentingan, maruah dan kedaulatan bangsa dan negara dalam pelbagai bidang kehidupan – ekonomi, politik, sosial, hubungan antarabangsa, kedaulatan, kebudayaan, agama, keselamatan, undang-undang dan sebagainya.

Patriotisme atau sifat patriotik juga harus merangkumi usaha-usaha yang dapat meningkatkan martabat bangsa dan negara serta menyumbang kepada ketamadunan manusia seperti penerokaan dan perkembangan ilmu pen­getahuan, sains dan teknologi, model dan kaedah-kaedah pembangunan, keadilan sosial, keamanan dan kesejahte­raan sejagat.

Patriotisme digalakkan kerana ia menjamin ketahanan nasional. Ia juga dilihat sebagai satu-satunya tenaga yang mampu mempertahankan negara daripada sebarang bentuk ancaman dari dalam dan luar negara dan dengan itu memastikan kestabilan, keutuhan dan kelangsungan sesebuah negara-bangsa.

Sejarah masa lampau adalah cerminan masa depan kita. Kita banyak belajar daripada apa yang berlaku pada masa lampau. Bangsa yang tidak mengetahui sejarah masa lampaunya tidak akan mampu membangunkan masa depannya. Justeru, kita wajar menghayati sejarah perjuangan kemerdekaan yang dikemudi oleh para pejuang kemerdekaan masa dahulu supaya kita dapat menyumbang demi untuk mencapai kejayaan di masa hadapan.

Penghayatan terhadap erti kemerdekaan perlulah dikekalkan secara berterusan supaya semangat perjuangan dan pengorbanan bekas tokoh-tokoh negara tidak dilupai generasi muda dan akan datang. Generasi muda hari ini perlu menghayati semangat kemerdekaan ini. Pengetahuan sejarah yang diperoleh melalui pembelajaran sejarah di sekolah adalah tidak memadai dan mencukupi bagi mendalamkan pengetahuan remaja hari ini tentang sema­ngat kemerdekaan.

Sesungguhnya 31 Ogos adalah satu tarikh yang begitu bermakna yang tidak ada tandingannya. Kemerdekaan harus diambil berat dan dihayati dengan sebaik-baiknya supaya penghayatan itu tidak lari daripada landasan sebenarnya.

Masalah rakyat jadi penentu Pilihan Raya Umum

SENARIO politik antara dua ji­ran iaitu Singapura dan Ma­laysia adalah begitu se­la­ri dan unik kerana per­ta­lian sejarah lampau yang di­anggap begitu rapat. Sebab itu, amat sukar untuk diketepikan andaian bahawa setiap peristiwa berkaitan politik yang melanda sama ada di Singapura atau Malaysia sudah agak pasti sedikit sebanyak memberi kesan antara satu sama lain.

Sebab itu, rakyat Malaysia amat teruja apabila mendapat berita Presiden Singapura, Tony Tan Keng Yam di atas nasihat Perdana Menteri, Lee Hsien Loong telah membubarkan parlimen untuk memberi laluan kepada pilihan raya umum (PRU) yang bakal berlangsung pada 11 September ini. Walaupun mandat parti memerintah iaitu Parti Tindakan Rak­yat (PAP) hanya akan berakhir pada Januari 2017, tetapi Hsien Loong mengambil keputusan mengadakan PRU lebih awal kerana beberapa faktor yang dikatakan memberi manfaat kepada PAP.


Rakyat Singapura menyambut Hari Kebangsaan ke-50 negara itu baru-baru ini. Parlimen Singapura dibubarkan kelmarin untuk memberi laluan kepada pilihan raya umum. AFP

Paling mencuri perhatian rakyat Malaysia ialah apabila Hsien Loong menggunakan ucapan sempena sambutan Hari Kebangsaan pada 23 Ogos lepas untuk memberi isyarat awal kepada rakyat Singapura bahawa PRU bakal berlangsung tidak lama lagi. Menarik bukan sahaja ke­rana pertalian sejarah kemerdekaan kedua-dua negara yang saling ber­kait tetapi kerana Malaysia bakal menempuh hari tersebut hanya beberapa hari sahaja lagi.

Cuma ada sedikit perbezaan da­lam sambutan Hari Kebangsaan ke­dua-dua negara dari sudut faktor politik. Sambutan di Singapura lazimnya disertai juga oleh parti politik yang berbeza ideologi dengan PAP dan diketepikan buat sementara perbezaan yang wujud. Cuma PAP tahun ini dikatakan mencuri peluang sentimen rakyat Singapura dengan beberapa strategi yang menjurus kepada yang berkepentingan politik.

Berbeza pula dengan senario di Malaysia di mana sambutan Hari Kebangsaan melebarkan lagi jurang perbezaan ideologi politik apabila wujud pihak yang bertegas menggunakan tema yang berbeza dengan tema kebangsaan iaitu Sehati Sejiwa.

Jika rakyat Singapura sudah be­­gitu serasi dengan kerajaan PAP yang telah memerintah sejak merdeka begitu juga dengan rakyat Malaysia yang sudah lazim dengan tadbir urus kerajaan Barisan Nasional (BN). Begitu jua dengan parti pembangkang Singapura seperti Parti Pekerja (WP), Parti Demokratik Singapura (SDP) dan beberapa parti lain yang mewujudkan kerjasama tidak rasmi khusus untuk menghadapi PRU serupa juga senario parti pembangkang di Malaysia.

Cuma yang berbeza parti pembangkang Singapura menghadapi ke­­kangan dalam bentuk sistem pi­­lihan raya untuk merampas ke­ru­si milik PAP tetapi di Malaysia pem­bangkang sudah menguasai pemerintahan tiga negeri. Jika parti pembangkang Malaysia mempunyai peluang sama rata dengan BN untuk meraih kemenangan di kawasan bertanding, pembangkang Singapura menghadapi kesukaran dalam bentuk kawasan bertanding berkelompok (GRC).

Pada ketika ini terdapat 16 GRC yang mempunyai sama ada 4, 5 atau 6 calon untuk satu kawasan yang dipertandingkan. Setiap parti yang bertanding kerusi GRC dikehendaki mempunyai calon dari kumpulan minoriti iaitu sama ada Melayu atau India lazimnya. Kesukaran parti pembangkang adalah untuk mendapatkan calon berwibawa dari kumpulan minoriti ini. Konsep GRC sebenarnya memberi kelebihan kepada PAP yang mempunyai pilihan calon kumpulan minoriti yang lebih luas.

Tetapi persamaan senario politik Singapura dan Malaysia yang paling menarik dan bakal menjadi penentu dalam PRU 11 September akan datang ialah mengenai kos sara hidup yang tinggi. Harga tempat kediaman yang begitu mahal umpamanya antara salah satu faktor utama mengapa undi yang diperoleh oleh PAP merosot pada PRU 2011 kerana hanya mampu meraih 60.1 peratus jumlah undi. Keputusan pilihan raya ini disifatkan terburuk sejak lima dekad PAP memerintah Singapura.

Sebab itu, antara inti pati ucapan Hari Kebangsaan Hsien Loong beberapa hari lepas ialah mengenai beberapa insentif yang digubal oleh kerajaan bagi memudahkan rakyat Singapura memiliki flat awam HDB. Hsien Loong juga mengumumkan beberapa dasar mengenai pengambilan pekerja asing yang merunsingkan rakyat Singapura pada ketika ini kerana peluang pekerjaan yang menjadi begitu terhad kerana terpaksa bersaing dengan rakyat asing.

Begitu juga dengan jurang perbezaan di antara yang kaya dan miskin yang dikatakan makin melebar diberi perhatian khusus oleh Hsien Loong supaya kekayaan Singapura dapat dinikmati oleh semua lapisan rakyat.

Senario politik PRU Singapura mempamerkan bahawa masalah asas seharian yang dihadapi oleh rakyat akan menjadi penentu pilihan pengundi ketika membuat ke­putusan di peti undi. Hsien Loong telah belajar daripada kesilapan PRU 2011 kerana tidak begitu memberi perhatian kepada masalah kos sara hidup yang tinggi yang dihadapi Singapura dan pengundi telah menghukum Hsien Loong.

Apabila Hsien Loong mengumumkan insentif mengenai pemilikan flat HDB, strategi sebegini sebenarnya mampu mengurangkan kesan kos sara hidup kerana kos pemilikan tempat tinggal di Singapura adalah begitu tinggi sekali.

Hampir 2.5 juta rakyat Singapura akan keluar mengundi pada PRU 11 September ini dan tanggungjawab berat dipikul oleh setiap pengundi kerana seperti amanat Hsien Loong yang disampaikan pada ucapan Hari Kebangsaan bahawa keputusan pilihan raya kali ini bukan akan hanya menentukan kerajaan yang meme­rintah selama lima tahun tetapi bakal menentukan hala tuju Singapura 50 tahun akan datang.

Sebab itu, begitu kritikal rakyat Singapura menggunakan hak mengundi dan membuat keputusan mengikut kepentingan negara dan bukan perasaan semata-mata hanya untuk memberi peluang kepada parti pembangkang. Apa yang pasti adalah keputusan PRU Singapura akan diperhatikan dengan penuh minat oleh rakyat Malaysia.

Jangan skeptikal patriotisme dalam diri generasi muda

TAHU tak apakah tema sambutan Hari Kebangsaan kita tahun ini? Soalan ini dikemukakan kepada seorang daripada anak muda ketika ditemui pada satu acara belia baru-baru ini.

"Tak pastilah kak, saya tak sempat nak Google," jawab anak muda itu yang hanya memperkenalkan diri sebagai Ashraf, sambil tersenyum.

Pelajar kolej itu mengakui, beliau tidak mengambil tahu mengenai tema Hari Kebangsaan tetapi mengingati tarikh keramat itu sebagai sejarah negara.

Tetapi tidak perlulah terlalu skeptikal terhadap anak muda ini untuk terus membuat kesimpulan beliau tidak patriotik.

Luah rasa cinta kepada negara

Meluahkan rasa cinta kepada negara tidak cukup dengan hanya tahu tema Hari Kebangsaan, mengibarkan bendera, menyanyikan lagu Negaraku mahupun menghafal Rukun Negara.

MERAIKAN sambutan Hari Kebangsaan antara cara belia menterjemahkan semangat patriotisme. - Foto hiasan


Kalau hanya itu sahaja dianggap sebagai bukti menunjukkan rasa cinta kepada negara, pekerja asing yang ada di negara ini juga boleh menghafal dan menyanyikannya, demikian pandangan Presiden Pertubuhan Belia Perdana, Suhail Mohamed Kamaruddin.

Beliau yang sering turun padang mendekati golongan muda pada peringkat sekolah, kolej dan universiti, berpendapat bahawa salah faham terhadap anak muda hari ini hingga ada yang menyatakan mereka generasi yang kurang patriotik, adalah satu pernyataan yang cukup dangkal.

Pemenang Anugerah Perdana Belia Negara 2015 itu cukup optimis bahawa generasi belia hari ini cukup menghargai kemerdekaan, cuma mereka tidak sedar apa yang dilakukan itu membuktikan rasa cinta yang begitu mendalam terhadap negara.

Terjemah semangat patriotisme

Tidak ramai rakyat Malaysia memahami dan memiliki kesedaran bagaimana untuk menterjemahkan semangat patriotisme dengan cara yang betul. Antara cara paling mudah untuk menterjemahkan rasa cinta kepada negara ialah dengan menjadi rakyat yang baik.

USAHA mendidik rakyat negara ini menjadi seorang patriotik dan cintakan negara dengan sepenuh hati bermula dari peringkat kanak-kanak. - Foto hiasan


Sentiasa mengamalkan lima prinsip Rukun Negara, iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang dan Kesopanan dan Kesusilaan serta sentiasa berfikir dan mencari jalan untuk berbakti kepada negara mengikut kemampuan masing-masing.

"Ada 12.8 juta belia di negara ini dan mengikut statistik hanya sekitar lima peratus daripada jumlah itu yang bertindak agak nakal hingga ada yang melakukan perbuatan menyalahi undang-undang.

Adakah disebabkan segelintir itu boleh dijadikan ukuran bahawa belia hari ini tidak patriotik?" soalnya.

Jika ada dua atau tiga orang yang membuat masalah, ia tidak sepatutnya dijadikan kayu pengukur.

Hakikatnya, ramai dalam kalangan mereka ini berjaya dalam pendidikan sama ada dalam dan luar negara, menjadi pekerja yang profesional serta melakukan banyak perkara yang membanggakan.

Ini adalah antara bukti cinta mereka kepada negara. Suhail, yang juga wakil Parlimen Belia Wilayah Persekutuan, tidak menafikan pendekatan anak muda hari ini jauh berbeza dengan generasi terdahulu dalam meluahkan rasa cinta mereka.

Kebanyakan mereka tidak lagi hanya mahu berdiri memegang bendera bagi menunjukkan rasa cinta sebaliknya menterjemahkan rasa cinta itu dengan memberi khidmat bakti melalui kerja kesukarelaan.


ANAK muda menterjemahkan rasa cinta kepada negara dengan memberi khidmat bakti melalui kerja sukarela. - Foto hiasan


Lahir rakyat berjiwa besar

"Semangat itu semakin subur kerana mereka lebih terkesan setiap kali 'berbakti' terutama kepada masyarakat sekeliling.

Konsep berbakti yang diterapkan dalam kerja sukarelawan melalui kaedah learning by doing akan melahirkan rakyat yang berjiwa besar, sabar, faham erti kesusahan, lebih bersyukur serta yang paling penting sentiasa ingin melakukan kebaikan," katanya, yang sedang menggerakkan pemimpin sukarelawan di seluruh negara.

Mengambil contoh banjir yang berlaku pada Disember tahun lalu.

Siapa sangka 1,300 orang iaitu hampir 90 peratus daripada sukarelawan dikumpulkan setiap hari selama 10 hari di Pangkalan Tentera Udara Subang adalah kalangan generasi muda.

Mereka ini ditugaskan untuk kerja sukarelawan seperti membungkus dan mengangkat barang bantuan untuk diagihkan kepada mangsa banjir.

Malah, beliau sendiri dalam siri jelajah ke seluruh negara menemui banyak kumpulan belia yang ingin terbabit secara aktif dalam kerja sukarelawan.

"Ramai belia yang ingin menyumbang bakti dalam kerja kesukarelaan, tetapi ada yang tidak tahu cara dan salurannya. Bagi mereka, inilah cara terbaik berbakti dan menyumbang kepada masyarakat yang secara tidak langsung menunjukkan rasa cinta mereka kepada negara," katanya.

Sebagai pejuang aktiviti sukarelawan, Suhail kini dalam usaha melahirkan 100,000 pemimpin sukarelawan di seluruh negara menjelang tahun 2020.

Nampak agak mustahil kerana hanya berbaki kurang lima tahun sahaja lagi untuk menggapainya, namun anak kelahiran Kelantan ini tetap positif usaha itu akan tercapai.

Sehingga kini kira-kira 10,000 pemimpin sukarelawan dilatih di seluruh negara, menjadi penggerak aktiviti sukarelawan di tempat masing-masing.

"Tujuannya hanya satu, untuk menanam rasa cinta kepada negara terutama dalam kalangan generasi muda," katanya yang memulakan usaha itu sejak enam tahun lalu.

Dengan lahirnya pemimpin sukarelawan serta jutaan sukarelawan, pasti akan memberi kesan positif terutama dalam membangkitkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia.

Sama seperti pemimpin, matlamat mereka yang melakukan kerja kesukarelaan ialah untuk membantu mereka yang memerlukan.

Jika seseorang mempunyai sifat sukarelawan yang tinggi, nescaya dia akan menjadi pemimpin yang baik kerana seseorang itu tidak layak digelar sebagai pemimpin jika tiada sifat suka menolong orang.

"Pergilah ke negara maju, satu daripada ciri yang ada dalam diri mereka ialah sikap suka membantu orang lain.

"


SUKARELAWAN dalam kalangan generasi muda membantu mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir Disember tahun lalu. - Foto hiasan
Terjemah rasa cinta negara "

Untuk faham erti sabar kena buat sesuatu yang mencabar, untuk faham erti kasihan kena cari orang susah, untuk mengerti makna kemenangan harus berlumba dan untuk terjemahkan rasa cinta kepada negara, harus berbakti dan satu daripada caranya ialah melakukan kerja kesukarelaan," katanya yang kini sedang merangka penubuhan Majlis Sukarelawan Negara bagi menyelaras aktiviti kesukarelawan yang dijalankan oleh pertubuhan bukan kerajaan.

Sukarelawan kini berada dalam landasan yang betul sebagai ejen penggerak semangat berbakti kepada negara.

Kepincangan dari sudut kefahaman, kesedaran dan pendidikan yang tidak jelas kepada belia perlu diperbaiki untuk memupuk rasa cinta itu.

Ia harus dimulakan di rumah dengan mendidik anak supaya suka membantu orang lain. Ibu bapa dan sekolah adalah pihak terpenting dalam usaha mendidik rakyat negara ini menjadi seorang patriotik dan cintakan negara dengan sepenuh hati.

"Ubah pendekatan... tanamkan setiap kebaikan yang dilakukan untuk negara. Apabila nilai itu sudah sebati, ia akan menyerap masuk ke dalam jiwa dan akan melahirkan individu yang sangat cintakan negara," katanya yang akan terus memperjuangkan semangat kesukarelaan hingga ke akhir hayat. - BERNAMA

Info Penutupan Jalan Sempena Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2015

Bagi mereka yang tinggal di Lembah Klang, khususnya yang bekerja sekitar pusat bandar pasti mengetahui yang dalam beberapa hari ini keadaan trafik akan jadi lebih buruk. Ada beberapa jalan utama yang akan ditutup untuk seketika kerana urusan berkaitan Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2015.

Mengikut pihak berkuasa, penutupan jalan akan bermula dari esok (27 Ogos 2015) sehingga 31 Ogos 2015 yang hanya akan berlaku diantara 7.00 pagi sehingga 12.00 tengah hari. Ini termasuk untuk memberi ruang bagi raptai perbarisan.



infografikjalan.jpg.transformed_01.jpginfografikjalan.jpg.transformed_02.jpg

1. Raptai Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan

Tarikh / Hari : 27 Ogos 2015 (Khamis) - 29 Ogos 2015 (Sabtu)
Masa : 7.00 pagi sehingga 12 tengah hari
Lokasi Penutupan :
Jalan Mahameru / Jalan Damansara (dari arah Istana Lama)
Jalan Travers / Jalan Damansara
Jalan Mahameru / Jalan Damansara (Carcosa Seri Negara)
Jalan Lembah / Jalan Perdana (Masjid Negara)
Bulatan Hishamuddin / Jalan Lembah
Jalan Tembusu / Jalan Lembah
Jalan Cenderasari / Jalan Perdana
Jalan Kinabalu / Susur Bukit Aman
Jalan Kinabalu / Bulatan Hishammuddin
Jalan Raja / Jalan Hishamuddin
Jalan Leboh Pasar Besar / Jalan Hishamuddin
Jalan Leboh Ampang / Jalan Tun Perak
Bulatan Dato Onn / Jalan Parlimen
Jalan Parlimen / Jalan Raja Laut
Jalan Sultan Ismail / Jalan T.A Rahman

Jalan Munshi Abdullah / Jalan Dang Wangi
Jalan Dang Wangi / Jalan T.A Rahman
Jalan Leboh Pasar Besar / Jalan Mahkamah Persekutuan
Jalan T.A.Rahman / Jalan Raja


2. Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan (Hari Sebenar)

Tarikh : 31 Ogos 2015 (Isnin)
Masa : 7.00 pagi sehingga 12 tengah hari
Lokasi Penutupan : Jalan Hishamuddin / Jalan Raja
Jalan T.A Rahman / Jalan Raja
Jalan Mahkamah Persekutuan
Laluan Alternatif ke Pusat Bandar : Dari arah Kajang
- Jalan Loke Yew, Jalan Kuching dan Jalan Sultan Ismail
- Jalan Cheras, Bulatan Sg Besi, Jalan Tun Razak, Bulatan Kg Pandan
Dari arah KL Seremban
- Lebuhraya Mahameru, Jalan Tun Razak, Bulatan Pahang
- Jalan Mahameru, Jalan Parlimen, Jalan Kuching, Jalan Sultan Ismail
- Jalan Istana, Jalan Dewan Bahasa, Jalan Hang Tuah
Dari arah Bangsar
- Jalan Mahameru, Jalan Parlimen, Jalan Kuching, Jalan Sultan Ismail
Dari arah Jalan Duta
- Jalan Mahameru, Jalan Parlimen, Jalan Kuching, Jalan Sultan Ismail
Dari arah Jalan Syed Putra
- Jalan Syed Putra, susur Jalan Syed Putra/Lebuhraya Mahameru, Jalan Tun Razak, Bulatan Pahang
- Jalan Syed Putra, susur Jalan Syed Putra/Lebuhraya Mahameru, Jalan Parlimen, Jalan Kuching, Jalan Sultan Ismail