August 30th, 2015

Sehati Sejiwa untuk Malaysia

DUA hari lagi, pada hari Isnin 31 Ogos, cukuplah 58 tahun negara kita merdeka. Dengan keadaan kesihatan yang kurang baik pasal terlebih makan, kurang senaman dan lalai jaga kesihatan, tambah banyak orang kita yang 58 tahun dah mati.

Jadi kita yang sama usia atau lebih tua daripada merdeka patutlah banyak-banyak bersyukur. Sekarang ini, banyak orang dalam lingkungan umur 50-an dah mati atau kena potong kaki sebab kencing manis atau lumpuh kena serangan jantung dan strok.

Daripada tak cukup makan masa kita mula-mula merdeka pada tahun 1957 kita sekarang dah terlebih makan. Makan pula makanan yang tak sihat dan tak seimbang. Kerja ringan dan lepas tu langsung tak senaman.

Jadi makin tahun makin kecillah bilangan orang yang lahir belum merdeka dan tak lama lepas merdeka yang dapat sambut ulang tahun kemerdekaan. Banyak yang dah mati.

Sebab itu, kita kena hormati orang tua yang masih ada dan belajar apa yang kita boleh belajar daripada mereka.

Jangan jadi Si Tanggang

Yang baik kita jadikan teladan dan yang buruk kita buat sempadan. Dalam agama Islam dan budaya Timur, kita diwajibkan utama dan hormat orang tua.

Jadi kita belajarlah daripada mereka masa mereka masih ada.

SAMBUTAN dan semangat kemerdekaan tiba setiap tahun untuk negara kita Malaysia. Tema 'Sehati Sejiwa' menjadi slogan Hari Kebangsaan 2015. - Foto Rasul Azli Samad
Jangan sedih, menyesal dan nostalgia bila mereka dah tak ada. Janganlah jadi Si Tanggang yang lupa asal usul, derhaka dan kesudahannya binasa.

Orang yang tak ambil berat sejarah selalu buat salah.

Alhamdulillah sebab latihan masa kecil di kampung termasuk bela kerbau, lembu, ayam dan itik, tolong mak bapa buat bendang dan reka macam-macam kegiatan riadah, rutin harian Kunta Kinte boleh dikira cergas.

Banyak contoh teladan yang Kunta Kinte belajar masa di kampung dan bila merantau ke tempat orang, di dalam dan luar negara, masih Kunta Kinte amalkan.

Proses belajar dan cari ilmu tak pernah selesai. Islam sangat utamakan usia dan ilmu.

Dalam Islam tak ada sisa-sisa hidup. Selagi kita bernafas kita wajib berusaha dan beribadat.

Hatta masa kita sudah tua pun kita masih berguna sebagai sumber ilmu, contoh teladan dan ujian kepada anak cucu kita.

Kisah sambut merdeka

Masa Tanah Melayu merdeka, umur Kunta Kinte 10 tahun sembilan hari. Jadi banyak yang Kunta Kinte ingat dan faham.

Kunta Kinte dah selalu cerita pengalaman sambut merdeka di padang sekolah Kunta Kinte, Sekolah Melayu Pendang di Kedah pada tahun 1957.

Masa tu negara kita miskin dan tak berapa selamat. Banyak orang tua tak mahu merdeka. Mereka kata, bila orang putih tinggalkan Malaya, Jepun akan masuk semula.

Pengganas komunis masih cergas. Waktu malam kita boleh dengar dentuman meriam bila tentera bedil tempat mereka sembunyi.

Banyak tempat masih kena perintah berkurang dan dikelaskan sebagai kawasan hitam.

Dah dua tahun kita sambut merdeka dalam keadaan yang tak berapa seronok. Tahun lepas kita buat sederhana sahaja pasal tragedi kapal terbang MAS - satu hilang dan satu lagi jatuh kena tembak.

Tahun ini pun kita sambut ulang tahun merdeka dalam keadaan tak berapa baik, tak berasa seronok.

Kita sedang alami suasana ekonomi yang tertekan. Mula-mula pasal kejatuhan harga minyak mentah, kelapa sawit dan getah.

Lepas itu pasal ekonomi dunia yang lembap. Kemudian ada lagi hal-hal yang unik kepada negara kita sendiri yang turut jejaskan ekonomi.

Wajib setia, sayang negara

Macam mana pun, kita janganlah campur-adukkan perasaan dan sentimen kita berkenaan keadaan semasa dengan taat setia dan kasih sayang kita kepada negara.

Kita wajib setia dan sayang kepada negara dan berkorban untuknya. Kunta Kinte teringat kepada satu perenggan dalam buku The Glass Palace (Istana Kaca) karangan Amitav Ghosh yang bunyinya lebih kurang: "Beginilah berlakunya gerhana kuasa: di saat-saat realiti menjadi amat nyata, tersepit di antara fantasi yang semakin pudar mengenai kuasa dan digantikan dengan yang seterusnya; saat-saat apabila alam maya membebaskan diri daripada tambatan mimpi dan menyerlahkan dirinya sebagai pagar yang melindungi jalan ke arah kelangsungan dan kepentingan diri.)"

Jadi dalam kita rayakan ulang tahun kemerdekaan negara kita yang ke-58 ini, eloklah kita ingat balik sejarah agar apa-apa yang baik kita boleh ambil buat teladan dan mana-mana buruk kita buat sempadan.

Demi kelangsungan negara kita, marilah kita sehati sejiwa pertahankannya daripada apa juga ancaman, tak kira dari dalam atau luar, moga-moga Malaysia terus maju, aman dan merdeka. Wallahuaklam.

Cerita pemimpin lama kesatuan MAS

Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos setiap tahun sejak 58 tahun lalu dirai dengan penuh penghayatan. Pada 1 September 2015 ini pula akan lahir sebuah syarikat penerbangan yang 'baharu.' Ini adalah hasil pelan pemulihan Malaysia Airlines System (MAS).

Syarikat penerbangan lama itu akan digantikan dengan pengurusan baharu di bawah jenama Malaysia Airlines Berhad (MAB). Sebagaimana sambutan Hari Kebangsaan Ke-58 cuba disabotaj oleh Kumpulan Bersih 0.4, pelancaran MAB pun sama mahu diaibkan oleh bekas pemimpin kesatuan sekerja syarikat lama itu.

Sebagaimana tindakan penyokong Bersih, begitu juga perbuatan segelintir pemimpin kesatuan sekerja MAS lama. Mereka cuba memburukkan keadaan sambutan yang sepatutnya dirai dengan rasa bangga. Mungkin perbuatan mereka ini boleh dianggap melampau dan sengaja mahu menjejaskan nama baik negara sendiri.

Sedarlah, penubuhan MAB pun terpaksa dilakukan oleh kerajaan melalui sayap pelaburan Khazanah Nasional Berhad. Inilah langkah pelan pemulihan yang menelan belanja bukan kecil tetapi amat besar sebanyak RM6 bilion. Itu duit rakyat sebagai ‘talian hayat’ kepada syarikat penerbangan negara kita daripada jatuh bangkrap.

Menurut laporan media, Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) khabarnya cuba buat ugutan terakhir menjelang pelancaran MAB pada 1 September ini.

Kesatuan itu yang tidak pernah langsung diiktiraf pihak pengurusan MAS selama ini dilaporkan mengancam mengadakan perhimpunan bantahan pada 31 Ogos, sehari sebelum MAB wujud; konon sempena sambutan Hari Kebangsaan 2015.

Tidak ketinggalan menagih simpati ialah Kesatuan Pekerja Sistem Penerbangan Malaysia (MASEU) yang mendakwa bakal tidak lagi diiktiraf MAB, walhal Akta MAS 2015 membenarkan pembentukan kesatuan asalkan ada pengiktirafan MAB.

MASEU turut mendakwa gaji diterima pekerja yang dikekalkan lebih rendah, tiada lagi bayaran kerja lebih masa dan faedah tiket penerbangan dimansuhkan sekali gus mahu mencabar isu akta ini di mahkamah.

Hakikatnya, apa yang disorok ialah kedua-dua kesatuan sekerja baik NUFAM atau MASEU kemungkinan besar tidak lagi berfungsi apabila ‘MAS Lama’ ditutup dan wujud syarikat baharu MAB.

Oleh demikian, kita boleh perhatikan bagaimana kedua-dua kesatuan itu bermati-matian cuba mencetuskan pelbagai isu remeh menjelang pembentukan MAB. Mereka sedar sebaik-baik masuk tarikh 1 September, NUFAM dan MASEU secara teknikal boleh dianggap tiada fungsi lagi. Kalau ingin disambungkan nyawa, mereka perlu memohon kepada pihak pengurusan MAB untuk diiktirafkan.

Apa sebenarnya tujuan MASEU and NUFAM mengungkit isu ini sekarang walhal surat pelantikan pekerja baharu telah dikeluarkan pada awal Jun lalu dan telah pun diterima pekerja mengikut terma dan syarat yang ditetap? Kenapa baru sekarang ungkit perkara ini apabila MAS Baharu akan mula beroperasi?

MASEU mendakwa hak pekerja diabaikan, tetapi kenapa 98 peratus daripada 14,000 yang ditawarkan kerja di MAB terima tawaran, hanya 1 peratus saja yang menolak. Bukankah ini menunjukkan bahawa tawaran diterima dan ia sama dengan standard global bersandarkan kepada tahap penerimaan?

Sebagai syarikat baharu, MAB pada hakikatnya tiada kena-mengena lagi dengan MAS, malah semua pekerja ‘MAS Lama’ yang dipilih telah diberi dan menjawab surat tawaran kerja yang baharu.

Mereka tiada kena-mengena dengan perjanjian MAS lama kerana entiti perniagaan lama tidak wujud lagi. Mereka kena terima hakikat akan dilayan seperti pekerja baharu dengan syarat dan terma seperti mana yang ditetapkan oleh pihak pengurusan baharu.

Perlu diingat RM1.5 bilion pampasan yang perlu dibayar kepada semua pekerja ‘MAS Lama’ bukan daripada ‘kantung’ MAS sendiri tetapi ia adalah dana daripada Khazanah atau senang kata ialah duit rakyat. MAB ialah syarikat baharu yang bermula daripada kosong dan tiada apa-apa. Sebab itu kepada 14,000 pekerja yang dipilih semula kena bersyukur - mereka masih dapat peluang kerja.

Staf ‘MAS Lama’ yang dipilih semula menyertai MAB harus bersyukur kerana dalam keadaan ekonomi tidak menentu seperti sekarang, mereka masih lagi ada kerja sedang-kan di luar sana ada syarikat yang mula memberhentikan pekerja dengan pampasan ala kadar. Pekerja MAS yang diberhentikan patut berterima kasih walaupun MAS rugi besar tetapi mereka tetap diberi pampasan.

Adakah wajar pekerja mendapat pampasan jika perniagaan merugikan. MAS lama telah mengalami kerugian selama sedekad. Padahal kalau dilihat syarikat lain, bila diisytiharkan ‘bangkrap’ akibat rugi besar, pekerja langsung tidak mendapat apa-apa pampasan.

Malah isu rakan yang diberhentikan kerja sukar mendapat pekerjaan bukan satu masalah. Sejak kebelakangan ini, banyak syarikat penerbangan termasuk Emirates, Qatar Airways, Kuwait Air bahkan AirAsia dan Malindo pun membuat tawaran lebih lumayan kepada bekas pekerja MAS yang berpengalaman. Ini bermakna peluang pekerjaan memang terbuka luas.

Jadi berilah peluang kepada pengurusan baharu untuk membina MAB menjadi sebuah gergasi penerbangan global disegani, bukan sabotaj dengan membuat pelbagai tuntutan seolah-olah ini syarikat kaya-raya. Kita mahu MAB berjaya membawa lambang Malaysia kembali terbang tinggi dan membawa imej negara ke seluruh dunia. - Azman Anuar Utusan Malaysia Rencana 30 Ogos 2015

Melonjak UITM

MUKADIMAH :UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) kini mencapai usia 59 tahun. Untuk itu, UiTM perlu mengorak langkah yang lebih mampan dalam merencana hala tuju strategik sesuai dengan usianya.

Bagi Naib Canselor UiTM, Profesor Tan Sri Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar, banyak perubahan berlaku sepanjang tempoh berkenaan namun matlamat penubuhannya tetap sama, iaitu untuk melahirkan lebih ramai profesional dalam kalangan orang Melayu dan bumiputera.

Kepada wartawan Mingguan Malaysia di Shah Alam, ZABRY MOHAMAD MADZLAN dan jurugambar, SAHARUDDIN ABDULLAH, Sahol Hamid menerangkan serba sedikit tentang tujuan Program Transformasi UiTM bagi memartabatkan pendidikan tinggi orang Melayu dan bumiputera serta menjadikannya sebagai universiti tersohor.

MINGGUAN: UiTM yang seperti kita sedia maklum adalah institusi pengajian tinggi (IPT) yang terbesar di negara ini. Bagaimana UiTM boleh kekal relevan dalam kalangan institusi pengajian tinggi awam?

SAHOL HAMID: Sebagaimana diketahui umum, semenjak penubuhannya melangkau lima dekad yang lalu, UiTM telah melalui proses perkembangan yang begitu progresif dan dinamik. Sejajar dengan peranan yang dimainkannya, institusi keramat ini sentiasa responsif dengan tuntutan dan keperluan dalam lingkungan semasa. Dari segi profil utama, UiTM telah mencapai jumlah graduan seramai 631,816 orang sehingga sesi konvokesyen Mei lalu, memiliki kekuatan 18,264 kakitangan akademik dan pentadbiran, 168,865 mahasiswa serta menawarkan sebanyak 485 program akademik. Kesemua ini jelas menunjukkan bahawa UiTM bukan sekadar memiliki sumber fizikal dan tenaga manusia tetapi juga satu-satunya universiti yang menghasilkan modal insan terbesar demi kemakmuran negara.

Difahamkan salah satu usaha untuk kekal relevan adalah melalui Program Transformasi UiTM yang sedang dilaksanakan. Apa yang menjadi pencetus kepada program berkenaan?

SAHOL HAMID: UiTM perlu melakukan transformasi yang diperolehi ideanya daripada Universiti California, Amerika Syarikat dan Universiti Oxford, United Kingdom. Cantuman konsep sistem pentadbiran kedua-dua universiti ini maka lahirlah program transformasi yang mana akan diwujudkan 13 universiti sama (UiTM) di 13 buah negeri. Dengan adanya 13 universiti dengan rektor masing-masing bermakna kita memberi autonomi kepada mereka untuk mentadbir sendiri. Melalui cara ini, setiap cawangan kampus UiTM boleh berkembang sendiri dan dalam tempoh lima tahun boleh menilai ranking atau kedudukannya berbanding universiti-universiti lain yang ada di seluruh dunia.

Transformasi ini juga adalah lambang kepekaan UiTM terhadap isu-isu domestik dan global. Faktor-faktor yang mencetus kepada transformasi UiTM meliputi:

- Globalisasi - Peningkatan interaksi dan integrasi ekonomi, politik, budaya, sosial dan elemen intelektual yang berlaku di seluruh dunia memberi kesan terhadap UiTM.

- Perubahan landskap ekonomi yang memberi kesan kepada taraf sosioekonomi bumiputera.

- Persaingan - Sebagai universiti yang mendokong agenda bumiputera, persaingan dalam kelompok yang ‘homogeneous’ (seragam) perlu dipelbagaikan melalui aktiviti mobiliti pelajar dan kakitangan.

- Teknologi baharu.

- Peluang dan ancaman baharu - Contohnya, penawaran program akademik oleh IPT lain.

- Piawaian dunia - Ranking universiti.

- Perubahan keperluan ‘stakeholder’ (pemegang amanah harta) - Memenuhi keperluan industri.

- Perubahan polisi dan undang-undang - Contohnya, kemudahan 200,000 pendaftaran.

- Pengurangan bantuan kewangan kerajaan - Menggalakkan usaha penjanaan pendapatan bagi belanja mengurus.

- Liberalisasi dan autonomi - UiTM perlu berperanan sebagai pemudah cara dan berfungsi sebagai pusat serantau kecemerlangan akademik dan juga pengeksport perkhidmatan pendidikan. Pemberian autonomi membolehkan UiTM memperkasakan tadbir urus sebagai tindak balas terhadap peluang dan cabaran pendidikan.

- Perubahan landskap pendidikan - Penumpuan terhadap pembelajaran dalam talian atau pembelajaran secara maya.

Kenapa perlunya program transformasi ini?

SAHOL HAMID: Matlamat utama program transformasi termasuk:

- Mencapai sasaran Rancangan Malaysia Ke-11.

- Menghadapi cabaran dan mengoptimumkan peluang baharu.

- Melonjak ke tahap nilai tambah bagi peningkatan kecemerlangan dan menjuarai kelestarian bangsa.

- Mentransformasikan universiti agar menjadi lebih efektif dalam penyampaian perkhidmatan dan bertanggungjawab atas keberhasilan yang menjadi keutamaan kepada agenda bangsa dan negara.

- Menyumbang ke arah melahirkan masyarakat maju, bersatu padu dan saksama dengan tahap kehidupan yang tinggi untuk semua.

Hasrat perubahan ini bakal diterjemah dengan melaksanakan program transformasi yang tangkas dan memberi impak tinggi. Sebagaimana yang telah saya sebutkan tadi:

- Transformasi perlu untuk memastikan lonjakan prestasi dan daya saing universiti ini,

- Komitmen dari segenap lapisan warga universiti diperlukan, dan

- UiTM akan meneruskan tradisi kecemerlangan dan keunggulan tanpa mengetepikan misi teras agenda bumiputera.

Apa kaitan Program Transformasi UiTM dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) atau PPPM (PT) yang telah dilancarkan Kementerian Pengajian Tinggi?

SAHOL HAMID: Program Transformasi UiTM amat berkait rapat dengan PPPM (PT) menerusi pemetaan 10 Lonjakan PPPM(PT) kepada 10 Agenda Utama Universiti dan projek di bawah program berkenaan.

10 Lonjakan PPPM (PT):

1. Kecemerlangan bakat

2. Pemantapan tadbir urus

3. Graduan holistik, berciri keusahawanan dan seimbang

4. Menghayati pembelajaran sepanjang hayat

5. Kemapanan kewangan

6. Ekosistem inovasi

7. Pembelajaran dalam talian tahap global

8. Transformasi penyampaian pendidikan tinggi

9. Graduan bidang teknikal dan vokasional (TVET) berkualiti

10. Keunggulan global

11 Agenda Utama:

1. Kecemerlangan bakat

2. Aksesibiliti

3. Pemantapan tadbir urus

4. Graduan holistik, berciri keusahawanan dan seimbang

5. Kepimpinan

6. Menghayati pembelajaran sepanjang hayat

7. Kemapanan kewangan

8. Meletakkan UiTM di peta dunia

9. Pembelajaran dalam talian tahap global

10. Transformasi penyampaian universiti

Menjuruterai Destini telah dipilih sebagai tagline Program Transformasi UiTM’. Boleh Tan Sri terangkan maksudnya?

SAHOL HAMID: Menjuruterai Destini dipilih sebagai kata hikmah bagi program ini. Perkataan "Menjuruterai" berasal daripada perkataan jurutera yang merangkumi tiga kekuatan utama iaitu keilmuan, kebijaksanaan dan kemahiran yang menyumbang kepada kemakmuran masyarakat.

Destini merujuk kepada pencapaian matlamat strategik UiTM menjadi universiti tersohor menerusi agenda Keusahawanan Berintensifkan Penyelidikan.

Maksud kata hikmah Menjuruterai Destini dalam program transformasi ini perlu dihayati dan dijiwai oleh semua warga UiTM.

Bagaimana program ini dilaksanakan?

SAHOL HAMID: Program Transformasi UiTM dirangka bagi melonjakkan kecemerlangan dan memastikan kelestarian universiti. Empat komponen utama transformasi ialah organisasi (O), modal insan (M), proses (P) dan teknologi (T).

Agenda ini diterjemahkan menerusi 16 program transformasi yang merangkumi 65 projek. Program ini melibatkan semua peringkat pengurusan universiti secara total termasuk kepimpinan tertinggi UiTM. Setiap program dipimpin oleh seorang atau lebih pengarah bagi memastikan hala tuju dan hasil tercapai.

Komponen transformasi O, M, P, T masing-masing mempunyai enam program, 26 26 projek; empat program, 12 projek; empat program, 24 projek dan dua program, tiga projek.

Apa cabaran yang Tan Sri jangkakan dalam melaksanakan program transformasi ini?

SAHOL HAMID: Cabaran paling getir adalah daripada ‘stakeholder’ sendiri, iaitu untuk menerangkan kepada warga UiTM tentang apa yang akan berlaku dan peranan masing-masing bagi menjayakannya. Setakat ini saya telah mengadakan ‘roadshow’ melibatkan 10,000 orang di seluruh negara dan ada lagi 10,000 orang yang bakal saya temui. Menerusi ‘roadshow’ ini, saya perlu memperkenalkan dan menerangkan kepada semua orang tentang program transformasi supaya mereka bukan sekadar faham tetapi juga mematuhinya.

Cabaran kedua adalah dari aspek pemantauan. Sekarang program ini pada tahap aplikasi tapi yang perlu dilakukan pembetulan supaya sistem ini boleh menampung segala data. Apabila sistem ini berjalan kelak kita boleh masukkan data seterusnya memantau.

Cabaran ketiga adalah persepsi. Ini yang sangat dikhuatiri. Kadang-kadang orang membuat andaian sendiri tanpa data dan tanpa maklumat. Situasi sebegini yang perlu kita hadapi, iaitu cabaran untuk menyampaikan maklumat supaya orang faham. UiTM mahu menjadi universiti pendidikan dan dikenali di seluruh dunia tapi orang di Malaysia sendiri susah mahu terima hakikat ini. Bagaimanapun, orang dari luar sudah sedia menghubungkan kita ke dalam sistem rangkaian mereka. Mereka melihat tadbir urus kita boleh diguna pakai dalam sistem mereka. Tapi di negara ini, setiap universiti merasakan mereka adalah yang paling baik dan sukar iktiraf yang lain.

Kejayaan agenda transformasi UiTM adalah bersandarkan kepada 3K iaitu Kesedaran, Kemahiran dan Komitmen daripada seluruh warga. Tanpa 3K, program transformasi ini tidak dapat mencapai matlamat dengan jayanya.

Apakah jangkaan impak program kepada UiTM secara keseluruhannya?

SAHOL HAMID: Seperti yang telah saya sebutkan tadi, program transformasi ini merangkumi empat komponen O, M, P, T. Melalui transformasi organisasi, UiTM akan menjadi organisasi yang mantap dari segi tadbir urus institusi dan kemampanan kewangan demi memartabatkan agenda bumiputera ke arah kemakmuran bangsa dan negara.

Menerusi transformasi modal insan pula, UiTM akan mempunyai modal insan yang dinamik dan terkehadapan berteraskan keluhuran nilai, budaya dan agama dalam mendokong misi melahirkan graduan yang menepati keperluan negara.

Manakala, transformasi proses membolehkan UiTM beroperasi secara lebih cekap dan berkesan dalam ekosistem pendidikan tinggi yang berorientasikan kecemerlangan akademik menerusi perkongsian pintar bersama industri dan masyarakat.

Akhirnya melalui transformasi teknologi, UiTM akan diperkasakan dengan sistem sokongan yang mantap dan berinovasi ke arah mencapai pengiktirafan dunia.

Apa hasrat yang ingin dicapai oleh Tan Sri melalui program transformasi ini?

SAHOL HAMID: Melalui program transformasi ini, saya berharap agar, pertama, menerapkan ke dalam diri minda berpelajaran. Seluruh warga mesti berusaha meningkatkan nilai diri secara berterusan dengan kesediaan untuk berubah dan mencari peluang untuk berubah kepada lebih baik.

Kedua, selepas kita berubah, kita perlu meletakkan sasaran untuk menjadi cemerlang dalam kalangan yang terbaik.

Dan ketiga, kita menjadi insan berihsan. Ini berlandaskan kepada keperluan pengukuhan dan penghayatan paradigma tauhid mendasari pembangunan insaniah.

Dengan itu lahirlah warga UiTM, dapat memenuhi tanggungjawab yang mencabar dengan lebih tenang, ikhlas dan jujur dan menyedari bahawa kehidupan ini, baik dari segi kerjaya mahupun peribadi, di bumi Allah ini adalah demi mendapatkan keredhaan-Nya.

Bila ini semua terlaksana, maka tepatlah kata semangat kita, Menjuruterai Destini, agar kita dapat menjuarai legasi!

- Utusan Malaysia Rencana 30 Ogos 2015 12:49 AM

Cabaran kemerdekaan

TARIKH 31 Ogos 1957 merupakan tarikh ke­ra­­mat menandakan wujudnya sebuah negara iaitu Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) yang merdeka dan berdaulat. Kini 58 tahun negara ini Merdeka. Hari Kemerdekaan telah berubah kepada Hari Kebangsaan. Negara ini merdeka selepas 83 tahun (1874-1957) dijajah oleh Britain.

Perjuangan menuntut kemerdekaan atau pemerintahan sendiri telah berlaku semenjak awal abad ke-20 oleh golongan inteligensia Melayu sama ada yang berpendidikan agama Islam, berpendidikan Melayu juga yang berpendidikan Inggeris, dan semakin meningkat selepas Perang Dunia Kedua. Sebahagian besar pakar sejarah Malaysia berpendapat bahawa perjuangan mencapai kemerdekaan tersebut digembleng dengan kuat oleh semangat kebangsaan Melayu yang berpaksikan agama Islam. Semangat kebangsaan tersebut semakin memuncak apabila berjaya menggagalkan Malayan Union.

Sesiapa jua yang membaca naratif perjuangan kemerdekaan negara akan ketemu pengkisahan segala susah payah, pahit maung dan derita yang menitiskan air mata diceriterakan oleh para pejuang kemerdekaan. Apatah lagi para pejuang barisan hadapan terutama angkatan tentera dan kepolisian yang merupakan wira yang tidak didendang, bermati-matian mempertahankan kemerdekaan tersebut daripada ancaman pengganas komunis.

Begitu juga para pejuang kemerdekaan yang menganggotai parti politik akan mengumandangkan bahawa parti mereka yang berjaya mencapai kemerdekaan. Sudah terdapat naratif yang mencabar pendapat bahawa UMNO sahaja yang berjuang untuk mencapai kemerdekaan apabila ada pemimpin parti politik pembangkang berpendapat bahawa Mat Indera juga pejuang kemerdekaan dan terdapat pendapat bahawa perjuangan bersenjata merupakan perjuangan kemerdekaan yang sebenar.

Pendapat seperti ini mengingatkan satu lagi naratif bahawa merdeka dengan darah lebih baik berbanding merdeka dengan mata pena. Naratif seperti ini kini sedang dibaca dan ditelaah oleh generasi Y Malaysia masa kini.

Di sudut lain pula para pejuang kemerdekaan yang berhempas pulas memperjuangkan kemerdekaan sering menyuarakan persoalan pengisian kemerdekaan. Negara sudah merdeka. Apakah rakyat juga sudah menikmati kemerdekaan? Pembangunan ekono­mi untuk membasmi kemiskinan, pelajaran, prasarana, kesihatan dan lain-lain unsur pembangunan perlu dinikmati oleh rakyat.

Pembangunan luar bandar, pembangunan tanah, perbandaran, pembinaan sekolah rendah dan menengah, sistem pelajaran yang berbahasa pengantar bahasa kebangsaan, jalan raya, telekomunikasi, serta segala usaha mempertingkatkan pendapatan rakyat khususnya di luar bandar, merupakan tindakan pengisian kemerdekaan.

Kemerdekaan bukan sekadar pengisian semangat kebangsaan, tetapi juga mempertingkatkan kehidupan sosio-ekonomi yang lebih baik, supaya tidak berjiwa hamba tetapi berjiwa merdeka. Bebas daripada penjajahan, bebas penjajahan jiwa, bebas penjajahan mental dan rohani.

Pengisian kemerdekan bererti memberi makna sebenarnya kepada perjuangan kemerdekaan. Anak-anak kampung yang menganggotai pasukan ketenteraan dan kepolisian berjuang ke titisan darah terakhir mempertahankan kemerdekaan yang dicapai demi memastikan seluruh rakyat menikmati kemanisan kemerdekaan.

Maka makna kemerdekaan kepada generasi terdahulu ialah kejayaan mendapatkan kemerdekaan serta membebaskan negara daripada penjajahan, segala usaha untuk mengisi kemerdekaan bagi sebuah negara yang berdaulat dan mencipta satu bangsa yang juga merdeka yang tidak berjiwa hamba, yang tidak dijajah mentalnya.

Kepada generasi Y, makna merdeka berbeza, merdeka kepada mereka ialah bebas dan kebebasan individu yang berorientasikan pemikiran liberal, tidak terikat kepada kepentingan kelompok, puak, suku dan keturunan. Ada yang berpendapat bahawa kejayaan mereka dalam hidup disebabkan oleh merit peribadi bukannya disebabkan perjuangan parti politik tertentu, bukan disebabkan oleh bangsa tertentu tetapi kejayaan dan kepandaian mereka.

Mereka dan barangkali ibu bapa mereka tidak merasa terhutang budi kepada perjuangan bapa-bapa kemerdekaan negara, hatta kepada pemimpin negara atau kepada parti politik tertentu.

Pemikiran sedemikian diperkukuhkan oleh media sosial digital langit terbuka yang memuatkan pelbagai ideologi untuk mengukuhkan ketaksuban kepada liberalisme dan kebebasan individu. Pemikiran ini juga yang mengukuhkan kepembangkangan di negara ini sehingga merdeka bermaksud menuntut Perdana Menteri meletakkan jawatan.

Pemikiran ini yang dijaja oleh pihak tertentu untuk meruntuhkan tatanan sosial atau social order yang sedia ada. Melalui media sosial mereka mencipta dan merekonstruksi persepsi yang menghina pihak yang memerintah, menghina institusi raja-raja Melayu, mempersenda agama Islam, memperlekeh bahasa Melayu, memperkecil institusi kehakiman, dan sebagainya.

Pemikiran seperti ini memudahkan proses kecelaruan untuk memerangkap generasi muda Melayu yang belum mantap identiti dan jati diri mereka terhadap kemelayuan dan keislaman. Pemikiran liberal ini boleh menyebabkan mereka mempersoal kemelayuan dan keislaman, mereka mempersoal asal-usul nenek moyang mereka, mereka tidak kisah tentang kalimah Allah yang digunakan di dalam kitab orang lain, mereka tidak fasih berbahasa Melayu lantaran pengucapannya bercampur-aduk dengan bahasa lain.

Pengisian kemerdekaan seperti Dasar Ekonomi Baru amat membantu pewujudan kelas pertengahan dan kelas perdagangan serta peniaga Melayu. Amat membanggakan apabila terdapatnya tokoh-tokoh korporat dan teknokrat Melayu, walaupun mereka tidak merasa terhutang budi kepada pihak pemerintah yang memberi mereka kontrak dan lesen untuk berniaga. Tetapi kini sebahagian besar orang Melayu tergolong dalam kelompok yang berpendapatan rendah, walaupun Felda sudah merupakan gergasi ekonomi di pentas global.

Para graduan dari universiti tempatan dipersoal kemampuan berbahasa Inggerisnya, diragui kemampuan kemahiran insaniah (soft-skill) dan sebagainya berbanding lulusan luar negara. Kemampuan berbahasa Inggeris itu menjadi alasan untuk mengubah bahasa pengantar pelajaran seperti PPSMI pada masa lalu, malah suara yang menuntutnya semakin ghairah kembali, barangkali untuk kepentingan ekonomi dan kepentingan kelompok yang lebih berkemampuan.

Perubahan zaman, perubahan teknologi komunikasi, merubah landskap pemikiran. Manusia cepat melatah dan terpukau dengan persepsi yang herot, lalu yang tidak benar dikatakan benar, yang benar dikatakan yang salah. Logika pengherotan atau songsang ini sedang berleluasa.

Generasi Y mudah tergula tanpa siasat apakah benar atau silap. Lihat sahaja Jalur Gemilang lambang kedaulatan mula diragui, dan ramai terpercaya. Kelompok atau kumpulan yang menentang pemerintahan yang berdaulat akan mengeksploitasi perubahan landskap pemikiran itu untuk kepentingan mereka.

Kewarasan dan kebijaksanaan menganalisis serta menilai setiap aspek perubahan ideologi perlu dimiliki oleh generasi Y Melayu khasnya dan Malaysia amnya. Perlu disedari bahawa ada pihak yang sekarang sedang mentakrif erti merdeka sesuai dengan ideologi dan kepentingan mereka. Pada setiap detik mereka akan mencipta persepsi yang herot untuk menghancurkan tatasosial yang sedia ada. Pesta baju kuning adalah manifestasi berjayanya pengherotan tersebut.

Maka yang berkuasa dan yang memerintah perlulah berhubaya, perbanyakkan beristighfar, perbanyakkanlah perenungan yang mendalam di mana silapnya. Dekati generasi Y dan generasi seterusnya, kerana masa depan negara terletak kepada bagaimana generasi masa kini mencipta masa depan mereka. Jadilah negarawan yang ulung untuk membina masa depan generasi akan datang, bukannya ahli politik yang cuma memikirkan masa depan diri dan kelompok sendiri. Negara memerlukan ramai negarawan untuk masa depan yang lebih gemilang. - Datuk Zainal Abidin Borhan Utusan Malaysia Rencana Muka 6 30 Ogos 2015 12:49 AM

Iktibar, Dr M, Bersih, Mat Tyson, Azmin Paling Di Benci

Iktibar 4.0

Penganjuran perhimpunan Bersih 4.0 di Kuala Lumpur semalam memberikan petunjuk yang jelas tentang beberapa hal tetapi paling ketara penguasaan penyokong DAP yang rata-ratanya kaum Cina.

Awang ingin ucapkan tahniah kepada Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng kerana dominasi tersebut. Juga syabas kepada penganjur asal Bersih 4.0 kerana menyerlah belang sebenar bersekongkol dengan DAP.

Akhirnya motif politik mengatasi segala-galanya. Maka apa yang dijanjikan bersih, seperti siri perhimpunan lalu, nampak jijik dan kotor. Walaupun sasaran penganjur untuk menghimpunkan lebih 500,000 peserta berdemonstrasi tidak tercapai, Awang berharap ia jangan diambil mudah.

Jika selama ini, orang Cina tidak ghairah membantah di jalanan, keadaan sudah berubah dengan majoriti kaum itu menguasai. Ada yang melihatnya sebagai kebangkitan daripada sentimen politik yang dibakar oleh parti pembangkang terutama DAP.

Apakah kerana Melayu makin berpecah, dilihat lemah serta tiadanya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) maka penyokong DAP dan penganjur Bersih 4.0, lebih berani dan berkeyakinan.

Sejak Bersih 1 lagi, isu-isu semasa sentiasa dimanipulasi dengan tujuan mahu membawa kepada situasi Arab Springs di negara ini, yang setakat ini gagal menjadi kenyataan kerana ditolak majoriti rakyat.

Awang masih musykil mengapa penganjur enggan mengadakan perhimpunan di stadium dan kawasan tertentu yang ditawarkan oleh pihak berkuasa?

Juga mengapa tetap berdegil mengadakan perhimpunan haram dan lebih menyedihkan - menjelang negara menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos. Mengapa tidak pada hari dan tarikh lain?

Tanyalah sesiapa sahaja termasuk buruh asing yang mencari rezeki di tanah air bertuah ini, tindak-tanduk penganjur Bersih 4.0 memang tidak patriotik dan mempunyai agenda berbahaya kepada negara.

Kepada para pegawai dan anggota polis serta agensi keselamatan lain, tahniah kerana menjalankan tugas dengan sabar dan penuh dedikasi biarpun berdepan dengan banyak provokasi semalam.

Persoalan paling menarik apa selepas Bersih 4.0? Awang berharap kerajaan mengambil iktibar. Belajarlah daripada kerajaan pimpinan orang Cina Singapura yang tiada kompromi kepada apa sahaja perhimpunan haram. Sebanyak 21 rakyat Malaysia ditahan pada 2013 kerana menyertai perhimpunan Bersih di republik itu. Semalam, pihak berkuasa Singapura memberi amaran lagi supaya tiada sesiapa adakan perhimpunan haram termasuk Bersih 4.0.

Pendekatan pencegahan atau deterrent seharusnya menjadi tunjang dalam menjaga keharmonian negara terutama masyarakat pelbagai kaum.

Apa istimewanya penganjur Bersih yang melakukan sabotaj ke atas negara tetapi tidak pernah didakwa bagaikan ada imuniti? Mereka harus bertanggungjawab dan tidak boleh dibiar terlepas begitu sahaja. Kegagalan pihak berkuasa untuk bertindak tegas dalam isu-isu ancaman keselamatan dan ketenteraman awam akan memberi isyarat yang salah kepada masyarakat. Sebab itu, ada pihak termasuk rumah ibadat secara terbuka menawarkan bantuan kepada peserta Bersih 4.0.

Kelemahan pihak berkuasa boleh mengundang persubahatan dan mudarat lebih besar. Dalam pada itu, dengan apa yang berlaku semalam, semangat Awang makin berkobar-kobar untuk lebih menghargai sambutan Hari Kebangsaan ke-58. Inilah masa untuk bangkit menolak ekstremisme dan rasisme politik yang berselindung atas nama apa sahaja termasuk Bersih. Ia bukan sahaja soal golongan yang tidak menghormati Hari Kebangsaan. Lebih daripada itu mahu menggugat kedaulatan tanah air ini dengan penuh muslihat atas bantuan tangan ghaib, golongan yang mahu menangguk di air keruh dan mereka yang kecewa. Jangan lupa majoriti juga punya hak. Ayuhlah...

Dr. M dan Bersih

Kehadiran mantan Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad buat seketika di lokasi perhimpunan Bersih 4.0 semalam mengundang pelbagai tafsiran. Bagi penganjur dan peserta Bersih, ia dilihat sebagai tanda sokongan beliau kepada perhimpunan itu.

Namun, banyak maklum balas yang diterima terutama daripada orang Melayu melahirkan rasa tidak selesa dan terkilan dengan penampilan beliau yang selama ini diketahui begitu tegar menolak Bersih. Dalam pentadbirannya, Dr. Mahathir pernah berdepan siri demonstrasi haram dan liar daripada para penyokong Anwar Ibrahim.

Beliau tidak pernah mengalah malah sentiasa membidas keras budaya perhimpunan haram walaupun ia dilihat sebagai gerakan dan suara rakyat oleh media asing mahupun Anwar sendiri. Untuk sekian lamanya majoriti rakyat bersama-sama mempertahankan beliau daripada gelombang demonstrasi. Tetapi Dr. Mahathir tetap dengan karektor Dr. Mahathir. Beliau boleh buat apa yang beliau mahu walaupun bercanggah pendiriannya dulu dan sekarang dalam soal tersebut. Pada Awang, kehadirannya semalam memang sesuatu yang tidak wajar tetapi biarlah rakyat menilai.

Bersih di P. Pinang ?

Akibat daripada Perhimpunan Bersih 4.0, Awang dengar ada ura-ura oleh kumpulan tertentu untuk mengadakan beberapa siri perhimpunan yang lebih kurang sama di Pulau Pinang tidak lama lagi.

Kali ini, lebih kepada bantahan terhadap projek mega yang membazir seperti pembinaan terowong bawah laut bernilai RM6 bilion, 'pembersihan' perkampungan Melayu di pulau itu dan beberapa lagi isu.

Khabarnya, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dalam mesyuarat tertutup mereka semalam telah capai kata sepakat untuk bertandang ke tengah-tengah denyut nadi pulau tersebut.

Atas semangat Bersih 4.0, Awang percaya Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tiada masalah untuk mengalu-alukan perhimpunan seumpamanya asalkan ia berlangsung dalam suasana aman.

Memandangkan juga Bersih 4.0 berlangsung secara haram tanpa permit polis, pihak berkuasa perlu dilihat memberi ruang yang sama kepada penganjur di Pulau Pinang untuk memilih mana-mana lokasi sekalipun.

Jika benar, perhimpunan itu akan berlangsung, Awang teruja mahu menyertainya apatah lagi memang banyak isu yang menghimpit penduduk miskin di negeri itu. "Ini masa terbaik untuk gegar Pulau Pinang dan biar kerajaan DAP rasakan pula,'' kata pemimpin NGO itu. Awang faham. Provokasi mengundang provokasi. Demi keadilan, apa salahnya.

Azmin dan RM30b

Setakat hari ini, Menteri Besar Selangor, Azmin Ali belum menjawab isu pemindahan aset dalam Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) bernilai RM30 bilion kepada dua individu pemegang saham Darul Ehsan Investment Group (DEIG).

Meskipun suara bantahan banyak pihak dan penduduk Selangor berhubung isu itu makin panas diperkatakan, Azmin buat tidak kisah, agaknya tidak tahu bagaimana menanganinya pada masa ini.

Semua orang tahu ia menjadi isu integriti paling serius dalam sejarah pentadbiran negeri itu dan satu lagi tamparan kepada pembangkang. Kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata tidak nampak.

Bayangkan RM30 bilion, bukanlah jumlah yang kecil. Azmin perlu bertanggungjawab membersihkan dirinya terlebih dahulu. Sebaliknya beliau tanpa rasa malu sama-sama berdemonstrasi pada perhimpunan Bersih 4.0 di ibu negara semalam.

Nampaknya Azmin mahu 'berselindung' di sebalik Bersih 4.0, malah turut membuat kenyataan mendesak Perdana Menteri meletakkan jawatan. Mengapa tidak cermin diri?

Bersihkah Mat Taib?

Bekas Menteri Besar Selangor, Muhammad Muhd Taib antara aktivis pembangkang yang teruja tampil dalam Perhimpunan Bersih 4.0 semalam.

Awang hanya senyum kerana tertarik dengan warna-warni kisah beliau, yang tidak pernah sunyi daripada kontroversi. Persoalannya bersihkan sangatkah Muhammad atau dikenali Mat Taib?

Awang tidak berhajat komen panjang lebar. Rakyat Malaysia masih ingat peristiwa beliau membawa wang tunai RM2.4 juta keluar dari Australia tanpa isytihar yang pernah menggemparkan negara pada 1997. Salah satu sebab Mat Taib jatuh adalah kerana isu integriti. Imej UMNO pernah terjejas teruk kerana pemimpin seperti beliau. Itu belum menyentuh cerita-cerita lain berkaitan beliau. Dengan menyokong dan mempromosi Bersih 4.0, Mat Taib mungkin mengharapkan namanya akan menyinar kembali lebih-lebih lagi, kini aktif bersama Gerakan Harapan Baharu (GBH) iaitu serpihan Pas. Tetapi untuk memulih apatah lagi membersihkan imejnya melalui Bersih 4.0, janganlah mimpi.

Paling dibenci

Sekali lagi perhimpunan haram di ibu negara membawa mudarat kepada warga kota, pemandu teksi, peniaga, penjaja, pelancong dan pelbagai golongan.

Begitu juga banyak majlis perkahwinan yang turut terjejas akibat Bersih 4.0. Salah seorang daripadanya, Azmi Ab mengeluh kerana ramai undangan bagi majlis perkahwinan anaknya di Keramat tidak dapat hadir disebabkan masalah lalu lintas dan risiko keselamatan.

Di kawasan-kawasan berhampiran Dataran Merdeka, banyak kedai terpaksa ditutup, operasi bas terkandas sementara ramai pemandu teksi merudum pendapatan. Siapa harus bertanggungjawab atas kerugian mereka?

Tidak hairan mengapa dalam banyak ruangan WhatsApp warga kota, penganjur Bersih 4.0 paling dibenci. "Mereka boleh berhimpun di stadium tetapi sengaja memilih Dataran Merdeka kerana mahu mensabotaj ekonomi dan ketenteraman KL,'' kata pemilik kafe, Zakaria Hussin sambil membariskan nama tokoh penganjur Bersih 4.0. Kerana marah, beliau namakan mereka kumpulan jahanam.

- Utusan Malaysia Rencana 30 Ogos 2015