September 1st, 2015

Bersih 4 pengajaran berguna Melayu?

WAKTU Bersih 1 dan 2 dahulu tak ketara sangat penglibatan orang Cina dalam perhimpunan haram itu. Ya lah, semasa itu mereka berselindung di belakang ahli Pas dan sebilangan orang Melayu yang memainkan peranan besar penggerak demonstrasi itu. Ini terutama dengan tindak tanduk agresif unit amal Pas.

Tetapi dalam apa yang dikatakan perhimpunan haram Bersih 4 kelmarin, orang Cina sudah tunjuk belangnya terutama sebahagian besarnya kalangan penyokong DAP. Mereka sudah tidak berselindung lagi. Mana nak memaki hamun kerajaan, mereka memaki sesuka hati. Seolah-olah kerajaan Melayu ini tidak ada jasa dan sumbangannya. Dahsyat tindak tanduk perlakuan biadab mereka ini. Itu belum lagi berkuasa, kalau selepas berkuasa tak tahulah apa akan jadi.

Namun, dalam soal ini orang Islam yang merupakan orang Melayu di negara ini jangan salahkan sesiapa. Kalau nak menuding jari kepada mereka, buat habis air liur sahaja. Lihat pada diri sendiri, salah siapa? Ya, salah sendirilah. Bergaduh sesama sendiri, ‘kencing’ sesama sendiri, khianat sesama sendiri, yang untung siapa?


TINDAKAN biadab salah seorang peserta perhimpunan haram Bersih 4 memijak gambar pemimpin negara di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, kelmarin.

Kalau sesiapa tak mahu ‘belajar’ lagi, eloklah mereka ini telah berada dalam perhimpunan haram Bersih 4 kelmarin. Bersih 4 telah memberi rumusannya yang mana kaca dan yang mana permata. Balik dari demonstrasi itu, boleh lihat cermin, di mana kedudukan aku sebagai orang Melayu di bumi bertuah ini? Mereka, orang Cina bersatu padu, bersatu hati dalam memperjuangkan satu-satu isu. Kita, orang Melayu cacamarba. Ke hulu tidak, ke hilir pun tidak.

Contohilah orang Cina bagaimana mereka telah mendapat kedudukan yang baik dalam segala segi. Kekayaan ekonomi, kekayaan pendidikan dan kekayaan kedamaian dalam sebuah negara yang bukan China, bukan Hong Kong dan bukan Singapura. Tetapi Malaysia yang dilingkungi kerajaan-kerajaan bukan Melayu tetapi buat masa ini kuasa politik masih di tangan Melayu.

Orang Melayu, bukan setakat dalam PKR, Gerakan Harapan Baru, bahkan dalam UMNO, Pas dan keseluruhannya tanpa mengira pangkat dan kedudukan sosioekonominya, sedarlah. Bangkitkanlah dari lenamu. Lihatlah perhimpunan Bersih 4. Kalau kamu bersatu hati macam orang Cina, kamu boleh berjaya menggapai impian, bukan sahaja dari aspek ekonomi, pendidikan tetapi juga melangkaui segala peringkat.

Sedangkan dalam kedudukan kuasa politik di tangan Melayu sekarang pun, Melayu masih lemah, inikan pula nanti kuasa sudah terlepas dari tangan. Selagi ada bulan dan bintanglah jawabnya, melepas tengok jika kuasa telah terlepas.

Orang Melayu perlu cepat belajar. Mereka tidak harus mudah memohon maaf atau apologetik atas nama perjuangan atau semasa menegakkan yang hakiki. Fakta bahawa negara ini adalah asalnya negeri Melayu tetapi dikongsi pembangunan dan pentadbirannya dengan warga bukan Melayu. Ini perlu penegasan dan penerimaan.

Parti-parti Melayu iaitu UMNO dan Pas mesti kuat dan teguh dengan prinsip perjuangannya. Kita tidak harus berpemimpin yang visi dan misinya kabur. Kejap-kejap goyang. Kejap-kejap minta maaf.


BIADAP...Kelihatan seorang penyokong perhimpunan haram Bersih 4 memijak poster yang bertulis perkataan menjatuhkan kerajaan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, kelmarin. UTUSAN/ AZLAN HADI ABU BAKAR

Hak Melayu dan Bumiputera sedia terjamin dan kekal dalam Perlembagaan. Hak masyarakat Cina, India dan lain-lain terjamin dan kekal di sisi undang-undang negara ini.

Apa yang ada dalam Perlembagaan Malaysia itu hakikatnya ialah kontrak sosial, yakni ikatan janji kemasyarakatan. Itulah ertinya. Jika itu ertinya kita semua mesti mempertahankannya.

Hak-hak istimewa dan khas orang Melayu/ Bumiputera, hak Raja Perkara 38 dan 181, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan (Perkara 159), kedudukan agama Islam dan lain-lain agama (Perkara 3), siapa itu Melayu di bawah Perkara 160 semua ini dan lain-lain yang telah berakar tunjang hampir 60 tahun.

Mentang-mentanglah anak bangsa yang pulang belajar dari Amerika, Asia Barat dan Eropah menggegarkan isu-isu berkaitan ‘nilai-nilai hak asasi’ sebagai gong politik mereka, maka kita pun khuatir dan takut. Kita segan dan mula tunduk. Jangan lupa bila pokok sudah condong, kura-kura pun naik - ular apatah lagi, biawak pun ikut.

Melayu dan Bumiputera harus jangan silu-segan mempelopori keutamaan perjuangannya sekalipun berlainan agama. Bagaimana dilaung, begitulah diamalkan.

Masyarakat bukan Melayu amat teguh budaya bangsa mereka sehingga memegang hampir 68 peratus kekayaan negara ini. Tetapi mereka, seperti mana ketara dalam Bersih 4 kelmarin, bebas mengatakan pelbagai cercaan dan penidakan konon mereka disisih didiskriminasikan. Seolah-olah mereka jadi warga nombor dua atau nombor tiga. Sedangkan, hakikat dan realitinya kita semua maklum Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan menjamin kesamatarafan semua warga Malaysia.

Kenapa Melayu tidak bersatu dalam perjuangan bangsa-agama dan negara supaya kuasa politik mereka tetap kukuh dan berkuasa? Setiap yang bernama Melayu atau Bumi harus memikirkan hal ini dan bertindak.

Bila kita kuat, orang segan. Bila kita lembut, orang sudu. Mesti pakai falsafah, kendur berdenting-berdenting, tegang berjela-jela.

Undang-undang strata perlu mantap

MINGGU lalu saya ber­kampung selama dua hari di sebuah hotel di Putrajaya bersama 40 peserta (dari pelbagai agensi kerajaan dan sektor swasta) dalam menghadiri seminar mengenai undang-undang strata negara.

Seminar dua hari yang dianjurkan oleh Institut Pengurusan dan Integriti Negeri Kedah (INSPIN) itu amat penting sekali kerana kerajaan baharu sahaja menguatkuasakan Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) pada 1 Jun lalu dan pada masa sama juga menguatkuasakan Akta (Pindaan) Hakmilik Strata 2013 (Akta A1450).

INSPIN telah mengundang beberapa orang pakar (mewakili Pejabat Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG), Jabatan Perumahan Negara, Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor) sebagai fasilitator menghurai, mengupas dan memperjelaskan beberapa isu penting mengenai dua akta baharu dikuatkuasakan itu, selain beberapa undang-undang lain.

Peserta seminar dimaklumkan bahawa pada masa kini, daripada keseluruhan 28.3 juta penduduk negara, 20 juta adalah penduduk bandar dan daripada jumlah itu pula, kira-kira 30 peratus atau enam juta orang tinggal dalam 1.4 juta petak (parcel), sama ada di bangunan bertingkat atau di atas tanah berstrata.

Dijangkakan angka ini terus meningkat dalam tahun-tahun mendatang. Tidak semua harta strata ini menikmati mutu pengurusan yang tinggi dan memuaskan.

Mengikut Mohd. Ridzwan Abi­din dari Jabatan Perumahan Negara, hanya 53 perbadanan pengurusan (management corporation, MC) harta strata ini yang mencapai prestasi perkhidmatan tahap 5 bintang, diikuti 451 perbadanan pengurusan mencapai tahap 4 bintang.

Selebihnya (sebahagian besar harta strata kita di seluruh negara) diurus oleh badan pengurusan yang hanya mampu mencapai tahap 3 bintang (1,766 MC), 2 bintang (2,807 MC) dan 1 bintang (2,561 MC).

Kesimpulannya, daripada lebih 6,000 MC yang ada di seluruh negara, tidak sampai 1,000 MC yang mampu mencapai prestasi cemerlang (4 dan 5 bintang) – sekali gus memberi gambaran kualiti kehidupan penduduk harta strata di negara ini. Tahap kepuasan hati penduduk harta strata ini ketara apabila kita melihat jumlah aduan yang diterima daripada penduduk harta tersebut dalam tempoh lima tahun yang lalu.

Menurut Mohd. Ridzwan, terdapat 10,640 aduan dikemukakan pada 2009, diikuti oleh 16,810 aduan pada 2010, meningkat lagi kepada 19,075 aduan pada 2011. Bagaimanapun, jumlah aduan menurun dalam dua tahun berikutnya iaitu 15,816 aduan pada 2012 dan 13,602 aduan pada 2013, sebelum angka ini naik semula ke paras 16,275 aduan pada 2014 lalu.

Banyak aduan bermakna banyak perkara yang tidak kena dalam kehidupan masyarakat berstrata di negara kita ini. Soalnya apakah negara kita tidak cukup undang-undang, atau pun undang-undang sudah cukup tetapi tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya?

Terdapat beberapa undang-undang yang sukar difahami orang awam mengenai harta strata di negara ini. Pada peringkat awal apabila pemaju mahu membangunkan sebidang tanah kosong untuk dijadikan projek perumahan berstrata, pemaju mesti mematuhi kehendak Kanun Tanah Negara 1965.

Selepas itu, apabila pemaju mahu mendapatkan suratan hakmilik strata dan menjual hartanah strata kepada pembeli dan seterusnya membuat pindah milik, pemaju mesti mematuhi kehendak Akta Hakmilik Strata 1985 (Akta 318) dan Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118).

Malangnya, dalam kebanyakan kes di masa lalu, pemaju lambat (gagal) memperoleh suratan hakmilik strata dan ini menyukarkan pembeli, kerana selagi suratan hakmilik strata belum dikeluarkan dan dipindah milik kepada pembeli petak, sebuah MC belum boleh ditubuhkan.

Untuk mengatasi masalah ke­lam­batan penubuhan MC itu, undang-undang telah dipinda bagi membolehkan JMB (badan pengu­rusan bersama) diwujudkan. Mengikut maklumat yang diperoleh dari Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, terdapat 2,632 JMB di seluruh negara pada tempoh Januari-Jun 2014.

Sejarah silam menunjukkan bahawa JMB ini tidak mampu menyelesaikan banyak masalah penduduk harta berstrata dan dalam inisiatif kerajaan mengatasi kemelut ini, Akta A1107 diluluskan (dikuatkuasakan pada Disember 2001) dengan tujuan menubuhkan Lembaga Hakmilik Strata (Strata Titles Board). Perancangan ini tidak berjaya kerana hanya Pulau Pinang yang telah dapat menubuhkan lembaga tersebut.

Akhir sekali, kerajaan meluluskan Akta 663, dengan mewujudkan satu jawatan baharu Pesuruhjaya Bangunan (Commissioner of Buildings). Akta 663 ini terpakai sewaktu MC masih lagi belum wujud, maksudnya sebelum suratan hakmilik strata dapat dikeluarkan.

Malangnya, kedua-dua Akta ini (A1107 dan 663) juga tidak mampu menyelesaikan banyak masalah yang dihadapi penduduk harta strata.

Mulai 1 Jun 2015 lalu, dengan ber­kuatkuasanya Akta A1450 dan Akta 757, keseluruhan Akta 663 dimansuhkan, manakala beberapa peruntukan dalam Akta 318 juga dimansuhkan.

Matlamat utama pindaan terbaharu ini adalah mempercepatkan pengeluaran suratan hakmilik strata (kini mesti serentak dengan pemberian milikan kosong kepada pembeli oleh pemaju) dan menubuhkan satu Tribunal Pengurusan Strata (TPS) untuk memudahkan penyelesaian pelbagai pertikaian penduduk harta strata.

TPS mempunyai bidang kuasa mendengar dan menentukan tuntutan tidak melebihi RM250,000 melibatkan pelbagai isu – antaranya, mengenai pelanggaran mana-mana tugas, kuasa atau kewajipan di bawah Akta 757, mengenai kos membaiki petak (parcel) atau harta bersama (common property), tuntutan mendapatkan bayaran caj dan sumbangan kepada sinking fund, apa-apa tuntutan mengenai mesyuarat, resolusi atau undang-undang kecil (by-laws), tuntutan memaksa pemaju, JMB, MC memberi maklumat dan tuntutan mendapatkan perintah mengizinkan kerja-kerja renovasi kepada harta bersama.

Pihak yang dibenarkan memfailkan tuntutan di TPS adalah pemaju, pembeli, pemilik, perbadanan pengurusan (MC), dan mana-mana orang yang berkepentingan (dengan kebenaran TPS).

Ramai yang masih tidak faham ba­­hawa membeli hartanah strata (se­per­ti kondo atau soho) tidak sama de­ngan membeli hartanah lain seper­ti rumah sesebuah atau teres biasa. Pem­beli dan penduduk hartanah strata terikat dengan pelbagai sekatan dan halangan, manakala harta yang sebenarnya dimiliki olehnya hanyalah satu unit ruang udara (unit of air space) hasil teknologi binaan moden.

Selebihnya, seperti kolam renang, laluan masuk, lift, tangga, bumbung, dinding, lantai, taman riadah dan sebagainya adalah harta bersama (common property) yang dikongsi bersama dengan pemilik petak yang lain.

Selain terikat dengan pelbagai larangan dan halangan (yang mesti dipatuhi), pemilik petak juga terpaksa memikul bebanan kewangan, tahunan dan bulanan (yang mesti ditunaikan) dan biasanya bebanan ini kian meningkat setiap tahun, bukan berkurangan.

Bercakap tentang “Program Pendidikan Strata” oleh kerajaan sebelum ini, Mohd. Ridzwan menjelaskan bahawa 34 seminar telah dikendalikan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) pada 2012 dan jumlah yang sama pada 2013, manakala empat seminar telah dikendalikan di peringkat kebangsaan.

Persoalannya, apakah program pendidikan ini telah berjaya mendedahkan kepada enam juta penduduk harta strata kita di seluruh negara tahap pengetahuan serta kesedaran secukupnya untuk menjadikan mereka penduduk strata yang prihatin dan penuh bertanggungjawab?

Berganding perangi jenayah rasuah

USAHA memerangi rasuah di Malaysia menjadi satu tugas yang berterusan sejak negara mencapai kemerdekaan hampir enam dekad lalu. Setiap perdana menteri mempunyai pendekatan sendiri untuk menangani rasuah.

Pembaharuan demi pembaharuan yang diperkenalkan menunjukkan bahawa negara terus mengambil pendekatan, usaha dan strategi secara konsisten bagi mencegah rasuah, bukan sahaja dalam negara malah membabitkan jenayah merentasi sempadan. Ironinya, kita tidak boleh melakukannya dalam sekelip mata. Kita tidak boleh memerangi rasuah dalam sekelip mata.


Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Mustafar Ali (kiri) dan Presiden Transparency International Malaysia, Datuk Akhbar Satar menunjukkan poster Persidangan Antirasuah Antarabangsa (IACC) pada sidang media mengenai IACC Ke-16 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, baru-baru ini. BERNAMA

Maka, Persidangan Antirasuah Antarabangsa (IACC) Kali Ke-16 yang akan berlangsung di Malaysia selama tiga hari bermula esok ini akan menjadi medan bagi berkongsi pengalaman dan kajian kes bersama peserta dari negara lain. Begitu juga Malaysia akan mempelajari pengalaman negara-negara lain bagi mendapatkan input dan idea meneruskan usaha penambahbaikan strategi memerangi rasuah. Yayasan Anti Rasuah Malaysia juga sangat teruja untuk menimba pengalaman dari pihak luar dalam menjadikan negara tercinta ini sifar rasuah suatu hari nanti.

Persediaan menganjurkan IACC Kali Ke-16, yang direalisasikan oleh kerajaan Malaysia dan SPRM dengan kerjasama Transparency International (TI) dan Transparency International Malaysia (TI-M) dimulakan sejak Oktober 2014. Dilaporkan ia akan disertai hampir 1,000 peserta dari lebih 135 negara. Malaysia dan SPRM buat julung kali menjadi tuan rumah IACC. Ia adalah pertemuan pencegahan rasuah yang terbesar di dunia.

Malaysia dipilih menjadi tuan rumah kerana dilihat sebagai negara yang memperlihatkan komitmen yang tinggi dalam usaha memerangi rasuah di rantau Asia.

IACC Kali Ke-16 menyasarkan ketetapan untuk memupuk pertukaran pengalaman global dan kaedah berkesan melawan rasuah serta berkongsi maklumat dengan rakan-rakan antirasuah dari seluruh dunia.

Malaysia juga pernah diiktiraf oleh Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Berkenaan Dadah dan Jenayah (UNODC) pada 2013 atas kejayaan dan amalan baik dalam 23 perkara berkaitan usaha memerangi rasuah.

Usaha membawa penambahbaikan strategi dan pendekatan memerangi rasuah di Malaysia dilakukan oleh pelbagai pihak termasuk kerajaan dan agensi yang diamanahkan - SPRM. Yayasan Anti Rasuah Malaysia sangat menghargai usaha SPRM dalam menggalakkan masyarakat menjadi benteng memerangi rasuah. Pihak yayasan juga menerima sokongan yang tidak ternilai terutamanya dari pihak SPRM untuk melibatkan masyarakat menjadi sukarelawan dalam menyalurkan maklumat.

Sebagaimana dikatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low menerusi satu kenyataan baru-baru ini, Malaysia akan berusaha meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai isu dan cabaran dalam memerangi rasuah selaras dengan objektif kerajaan pada IACC Kali Ke-16. Persidangan ini akan menyediakan ruang yang neutral dan kondusif untuk analisis dan membahaskan pendekatan baharu yang digunakan oleh pengamal pencegahan rasuah di seluruh dunia.

“Kerajaan Malaysia mengiktiraf keperluan untuk tambah baik bidang tadbir urus bagi menyokong transformasi ekonomi negara kepada model berpendapatan tinggi dan menjadi menjadi negara maju pada tahun 2020 menerusi Pr0gram Transformasi Ekonomi,” kata beliau baru-baru ini.

IACC Kali Ke-16 bertemakan “Mengakhiri Kesan Buruk. Rakyat. Integriti. Tindakan”. Jika dibandingkan dengan tema sambutan Hari Antirasuah Sedunia 2014, maksud tema ini tidak jauh berbeza iaitu memutuskan rantai rasuah.

Malaysia berhasrat untuk memperbaiki skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang berada pada paras 52 dan Ranking Negara yang ke-50 (daripada 175 negara) pada 2014 dan mahu muncul sebagai antara 30 negara dalam ranking CPI pada tahun 2020. Yayasan Anti Rasuah Malaysia berharap dapat memainkan peranan aktif untuk menjayakan matlamat ini.

Dengan menjadi tuan rumah persidangan antarabangsa ini, Malaysia berharap untuk belajar daripada pakar-pakar tentang usaha mencegah rasuah dan melaksanakan penyelesaian yang dapat membantu negara mencapai matlamat yang ditetapkan.

“IACC juga akan menyediakan peluang untuk pentadbir awam, pemimpin korporat dan wakil masyarakat untuk melibatkan diri dengan pakar-pakar antarabangsa dalam bidang penting ini,” katanya.

IACC, merupakan forum global berkaitan pencegahan rasuah utama di dunia yang menghimpunkan ketua-ketua negara, orang awam, sektor swasta dan kumpulan berkepentingan bagi menangani cabaran yang semakin canggih akibat perlakuan jenayah rasuah.

“Pemilihan Malaysia dan SPRM sebagai tuan rumah IACC Kali Ke-16 adalah satu penghormatan. Kami menjemput semua pihak supaya menyertai kami dan berada di Malaysia untuk merealisasikan objektif konvensyen ini. Bersatu untuk mencapai bersama matlamat kita,” kata beliau yang juga Naib Presiden Persatuan Antarabangsa Pihak Berkuasa Pencegahan Rasuah (IAACA).

IACC kali ini bakal menyaksikan penyertaan pakar-pakar terkemuka pelbagai jurusan dari seluruh dunia, yang akan berkongsi mengenai kemajuan dan cabaran dalam usaha memerangi rasuah.

Pengarah Siri dan Inisiatif IACC TI, Roberto Perez-Rocha berkata: “Kini, berbanding situasi lalu, kerajaan, sektor swasta, media dan masyarakat perlu memperkukuhkan kerjasama mereka untuk memerangi perlakuan rasuah berskala besar.”

“Inilah cabaran global yang memerlukan tindakan segera dan IACC kali ke-16 akan membantu kita untuk berbuat demikian,” kata beliau.

IACC adalah forum utama dunia yang membawa bersama ketua-ketua negara, masyarakat, sektor swasta dan yang lain untuk menangani cabaran-cabaran yang semakin sofistikated dalam usaha memerangi rasuah. IACC berlangsung setiap dua tahun sekali.

Pada April lalu, Michael Hershman, pengasas bersama TI dalam temu bual bersama media tempatan antara lain mengesyorkan agar Malaysia mendidik rakyatnya sejak di peringkat sekolah rendah lagi tentang usaha memerangi rasuah untuk membebaskan negara ini daripada perbuatan keji itu.

“Anak-anak kita perlu dididik tentang perbezaan antara perkara betul dan salah kerana rasuah tidak boleh dihapuskan semata-mata dengan menjatuhi hukuman penjara, tetapi dengan mendidik masyarakat dan mencegah mereka daripada melakukannya,” kata beliau.

Melihat kepada sejarah usaha memerangi rasuah, Malaysia memperlihatkan pelaksanaan usaha ber­terusan. Sudah pasti IACC Ke-16 akan menjadi medan untuk mempelajari pendekatan baharu demi generasi akan datang.

Bersatu hati bina negara sejahtera

PERPADUAN rakyat Malaysia adalah satu keistimewaan dan daya tarikan kepada pelabur asing. Kepentingan inilah menyebabkan kerajaan menitikberatkan soal perpaduan, kerana dengan bersatu hati kita dapat membina negara yang aman dan sejahtera.

Tambahan pula, konsep 1Malaysia yang berasaskan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' juga menerangkan bahawa hubungan harmoni dan kerjasama pelbagai kaum adalah kunci untuk menghadapi ancaman dan cabaran.

Secara umum, prasangka dan ketidakpuasan hati antara pelbagai etnik bukan perkara asing. Jadi, bagaimana kita menangani isu ini secara berhemah?

Di banyak negara, persengketaan kaum lebih-lebih lagi berkenaan isu agama membawa peperangan berlarutan, sekali gus membantut pembangunan ekonomi, sosial dan politik.

Negara kita sudah 58 tahun merdeka, namun dalam soal perpaduan masyarakat berbilang kaum, masih tidak diselesaikan sepenuhnya. Isu sensitif seperti hak, warna kulit, kepercayaan agama dan budaya sering dikotak-katikkan.

HUBUNGAN yang harmoni dalam kalangan rakyat boleh menjamin keselamatan negara.


Sebagai contoh, dalam kejadian Pengetua sebuah sekolah menengah dan Penolong Pengarah sebuah agensi kerajaan yang didakwa mengeluarkan kata-kata berbaur rasis iaitu pelajar Cina tidak diperlukan di negara ini dan boleh pulang ke China, di samping menyamakan gelang keagamaan dipakai pelajar India seperti rantai anjing, amat menyedihkan.

Sistem pendidikan faktor utama

Justeru, ia membuktikan isu keharmonian kaum masih menjadi persoalan besar dan penyelesaian belum ditemui lagi walaupun pelbagai usaha diambil.

Faktor pertama menyebabkan perkara seperti itu berlaku ialah sistem pendidikan berasingan. Rakyat Malaysia dibahagi kepada tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India yang mempunyai bahasa ibunda masing-masing dan sistem persekolahan tersendiri. Ini sekali gus memisahkan pelajar.

Sekolah aliran kebangsaan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Justeru, majoriti kaum Melayu menuntut di sekolah Melayu.

Situasi ini menyebabkan interaksi pelajar berbeza kaum sangat terhad dan menyukarkan persefahaman. Sejak kedatangan orang Cina ke Tanah Melayu pada abad ke-19, selain bertujuan mencari kekayaan, mereka tidak lupa tanggungjawab sosial mendidik anak mereka agar mewarisi bahasa dan budaya etnik mereka.

Isu kaum dipolitikkan

Justeru, penubuhan sekolah vernakular Cina menjadi agenda penting mereka. Ibu bapa tidak yakin terhadap sekolah kebangsaan, menghantar anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan kerana berasa struktur pendidikan itu dapat menjamin kecemerlangan anak mereka hingga menjauhi hubungan antara etnik.

Faktor kedua ialah keadaan politik negara. Bahasa, budaya, agama, kerakyatan dan ekonomi sering dijadikan isu oleh orang politik bagi tujuan tertentu.

Sebagai contoh, parti politik tertentu cuba mengambil peluang menimbulkan perasaan kurang senang dalam kalangan masyarakat, seterusnya menyebarkan propaganda perkauman.

Setiap kaum mempunyai budaya, kepercayaan dan bahasa berlainan. Oleh itu, setiap etnik cuba mengambil keputusan bagi mengurangkan interaksi antara satu sama lain. Impaknya jurang hubungan antara kaum semakin membesar.

Penjajah British menempatkan kaum tertentu pada sektor ekonomi berbeza.

Kaum Melayu ditempatkan di sektor pertanian dan di luar bandar. Ia memerlukan sumber tenaga fizikal dan berteknologi rendah.

Kaum Cina pula ditempatkan di sektor perdagangan yang membabitkan teknologi tinggi, manakala kaum India terbabit dengan perladangan.

Agihan ini mengakibatkan jurang pendapatan antara kaum semakin ketara dan tidak seimbang.

Kaum Melayu dan India berhadapan kemiskinan manakala kaum Cina mencari peluang perniagaan menyebabkan etnik ini berusaha mempertahan hak serta kesaksamaan.

Proses mempertahan hak merosakkan hubungan kaum kerana masing-masing mahu menjuarai perjuangan mereka.

Ketidakharmonian hubungan kaum mengakibatkan negara berkeadaan tidak stabil, mendorong kepada pergaduhan atau pertelingkahan.

Keadaan ini membimbangkan pelabur mengenai modal dikeluarkan serta tahap keselamatan perniagaan mereka. Ketahanan sesebuah negara banyak bergantung kepada rakyatnya.

Secara langsung, hubungan tegang antara rakyat akibat perselisihan sememangnya mampu menggugat keselamatan negara.

Hubungan yang harmoni dalam kalangan rakyat secara tidak langsung mewujudkan sebuah tembok pertahanan kukuh dan menjamin keselamatan negara.

Negara yang kacau bilau bukan saja terdedah kepada ancaman dalaman tetapi juga luar yang melihat inilah peluang untuk campur tangan sekali gus membuka jalan menguasai negara berkenaan.

Tanpa keamanan, negara berkenaan sukar melakukan sesuatu yang membanggakan mahupun menarik perhatian negara lain.

Sebaliknya, jika perpaduan dan hubungan harmoni wujud antara rakyat, ia adalah simbol kejayaan peringkat global.

Dengan ini, sesebuah negara itu bukan sahaja disegani negara lain malah akan menjadi model dan rujukan kepada negara lain.

Integrasi nasional

Sepanjang sejarah selepas kemerdekaan, isu mewujudkan hubungan harmoni antara kaum tiada titik noktah.

Kerajaan mewujudkan pelbagai dasar ke arah pembentukan integrasi nasional. Antara dasar dan pelan tindakan khas kerajaan ialah Dasar Ekonomi Baru (DEB) 1971 - 1990, Dasar Pembangunan Negara (DPN) 1991 - 2000, Dasar Wawasan Negara juga Program 1Malaysia.

DEB adalah dasar diperkenalkan Tun Abdul Razak selepas rusuhan kaum 13 Mei 1969. Dalam waktu yang membimbangkan ini, punca tercetusnya rusuhan itu dikesan dan langkah mengatasinya diambil.

Penggubalan dasar ini bertujuan mencapai perpaduan negara dengan memperbetulkan ketidakseimbangan sosio ekonomi antara kaum dan wilayah. Ia juga bagi mempertingkat pembabitan Bumiputera dalam bidang perniagaan dan perusahaan sebagai usaha membasmi perasaan tidak puas hati dalam masyarakat.

Dasar Wawasan Negara atau dikenali Wawasan 2020 adalah usaha kerajaan mengembangkan ekonomi, sosial dan politik pada peringkat nasional dan antarabangsa serta menitikberatkan pembangunan menyeluruh meliputi aspek politik, ekonomi, sosial, kerohanian, kejiwaan dan kebudayaan.

Terap nilai murni

Menjelang tahun 2020, Malaysia diharap mampu menjadi negara yang bersatu padu jika masyarakatnya mempunyai nilai moral dan etika utuh, penyayang, adil dan saksama, berkeyakinan serta mampu bersaing.

Konsep 1Malaysia diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 3 April 2009 memberi aspirasi memperbaiki hubungan kaum.

Untuk mencapai kemajuan negara, sikap penerimaan antara kaum membawa kepada perpaduan utuh perlu diamalkan.

Apabila perpaduan dicapai, maka urusan pembangunan negara akan berjalan lancar. Persefahaman kaum juga dapat dipupuk secara berkesan menerusi pendidikan.

Antara langkah dilakukan adalah dengan penubuhan Sekolah Wawasan, tempat terbaik memulakan proses integrasi kaum.

Ia menyediakan ruang dan peluang untuk murid pelbagai kaum berinteraksi secara langsung kerana mereka berkongsi kantin, padang permainan, dewan dan kemudahan lain.

Mereka berpeluang mengenali dan memahami satu sama lain. Dengan itu, mereka akan membesar dengan sikap toleransi dan hormat terhadap budaya dan agama kaum lain.

Tegasnya, Sekolah Wawasan mampu memupuk persefahaman kaum, seterusnya mempercepat integrasi nasional.

Penyusunan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) juga mampu mewujudkan keharmonian rakyat dan negara.

PLKN dapat memupuk perpaduan nasional. Melaluinya, remaja pelbagai kaum ditempatkan bersama di bawah satu bumbung.

Mereka akan bekerjasama menjalankan aktiviti, berinteraksi dan bergaul mesra. Dengan itu, mereka terdedah kepada corak hidup masyarakat majmuk Malaysia.

Persefahaman lebih erat memupuk rasa kekitaan. Selain kerajaan, masyarakat sendiri perlu turut memikul peranan ini.

Media massa adalah saluran yang dapat menyampaikan mesej kepada orang ramai dengan efisien dan penting bagi memperbaiki hubungan kaum.

Kesimpulannya, perpaduan kaum adalah elemen penting dan harus diberi perhatian kerana pemupukan hubungan etnik antara masyarakat penting bagi negara bermasyarakat majmuk serta menjamin kestabilan ekonomi dan politik.

Bak kata Usman Awang, perpaduan tidak beri erti kalau sekadar dalam lafaz kata-kata semata.

Perpaduan tidak wujud hanya dengan disuruh-suruh dan diseru-seru. Perpaduan harus diwujudkan atas kepentingan rakyat dan bukan kepentingan satu pihak atau golongan tertentu.