September 2nd, 2015

Bekerjasama mengasing sampah

BERKUATKUASA 1 September iaitu semalam, sejumlah 10 juta penduduk di beberapa negeri di Malaysia diwajibkan meng­asingkan bahan buangan sisa pe­pejal mengikut komposisi di rumah masing–masing sebelum membuangnya ke dalam tong sampah.

Peraturan baharu mengikut Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) itu berkuat kuasa di negeri–negeri yang telah bersetuju untuk menerima pakai akta terbabit iaitu Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis, Kedah serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.


DIHARAPKAN langkah mewajibkan pengasingan bahan buangan sisa pepejal di rumah sebelum dibuang ke dalam tong sampah akan memastikan imej lori sampah kotor dan uzur tidak berterusan sebaliknya akan menjadi seperti milik Emterra Environmental di Kanada yang lebih bersih dan moden. GAMBAR HIASAN

Berdasarkan peraturan baharu itu, pemilik premis termasuk penghuni kediaman bertingkat seperti kondominium dan rumah pangsa boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM1,000 jika gagal mematuhi undang–undang tersebut.

Menurut Seksyen 74 (1) dan (2) Akta 672, orang awam harus me­lakukan usaha pengasingan sisa pepejal dan kegagalan berbuat demikian, jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum sebanyak RM1,000. Seksyen 108 (2) (g) Akta 672 terbabit juga memperuntukkan bahawa menjadi tanggungjawab individu untuk mengasingkan sisa pepejal yang boleh dikitar semula sekali gus dapat mengelakkan lambakan sisa pepejal di pusat–pusat pelupusan sampah yang terdapat dalam negara kita.

Namun, menurut pihak Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), hukuman denda terbabit hanya akan dikuatkuasakan pada 1 Jun tahun depan bagi memberi ruang kepada orang ramai untuk membiasakan diri selain bagi meningkatkan tahap kesedaran orang ramai mengenai kepentingan untuk mengasingkan sisa pepejal yang dibuang. Buat masa ini, mereka yang didapati tidak melaksanakan peraturan akan diberikan notis amaran terlebih dulu.

Mengikut Akta 672, sisa pepejal bermaksud apa–apa bahan seke­rap atau benda lebihan lain yang tidak dikehendaki atau keluaran yang ditolak yang timbul daripada penggunaan apa–apa proses serta apa–apa benda yang dikehendaki dilupuskan kerana sudah pecah, lusuh, tercemar atau selainnya rosak. Ini termasuklah bahan–bahan pepejal seperti plastik, kertas, kadbod, kaca, logam, sisa makanan, sisa pukal, sisa kebun dan lain–lain.

Penguatkuasaan undang–undang baharu ini amat penting bagi memelihara kebersihan alam se­mula jadi dalam negara kita di samping dapat mendidik warganegara supaya lebih bertanggungjawab me­ngenai isu pembuangan sisa sampah. Pada masa sama, peraturan baharu terbabit juga dapat mendidik masyarakat mengenai kepentingan untuk melakukan proses kitar semula bahan–bahan yang dibuang bagi membendung masalah pembuangan sampah yang dilihat kian meruncing dalam negara kita.

Peraturan terbaharu itu bukanlah satu perkara yang baharu. Pro­ses pengasingan bahan sisa sampah sudah pun lama dilaksanakan di kebanyakan negara maju bagi memelihara kebersihan alam sekitar serta pada masa sama dapat membentuk sahsiah masyarakat supaya mempunyai nilai–nilai murni dalam aspek memelihara alam sekitar.

Tempoh sembilan bulan yang diberikan oleh pihak berkuasa untuk mendidik orang ramai mengenai pelaksanaan peraturan terbabit perlu digunakan dengan sebaik mungkin oleh semua pihak yang berkaitan bagi memberi pendedahan serta mendidik warga penduduk me­ngenai peraturan baharu tersebut sebelum tindakan penguatkuasaan undang–undang dilakukan.

Pihak media memainkan peranan yang penting bagi memberi lebih banyak pendedahan mengenai kepentingan pelaksanaan peraturan baharu tersebut kepada masyarakat umum. Pihak yang berkaitan juga perlu merangka peraturan dan garis panduan untuk dimaklumkan kepada orang ramai mengenai kaedah pelaksanaan peng­asingan sisa pepejal terbabit agar dapat dilaksanakan dengan lebih baik serta berkesan.

Kerjasama semua amat diperlukan bagi menjayakan peraturan baharu berkenaan. Semua pihak juga perlu mempunyai tahap kesedaran yang tinggi mengenai tujuan dan matlamat asal peraturan baharu itu yang dibuat bagi memelihara alam sekitar daripada terus tercemar oleh aktiviti manusia. Gene­rasi muda terutamanya para pelajar sekolah perlu dididik mengenai kepentingan serta kebaikan yang boleh diperoleh melalui peraturan baharu itu. Negeri–negeri yang masih belum menerima pakai Akta 672 terbabit perlu segera mene­rimanya bagi menjayakan segala ­usaha murni untuk memelihara alam sekitar dalam negara kita.

Asing sisa pepejal ikut kategori, jimat kos RM2b setahun

BERMULA esok, penduduk di enam negeri serta dua wilayah persekutuan akan memulakan langkah kecil yang memberi impak cukup besar apabila diwajibkan mengasingkan sisa pepejal mengikut kategori. Kempen mengasingkan sisa pepejal di punca atau di rumah ini akan memberi kesan cukup besar kepada persekitaran, alam sekitar dan menjimatkan kos pengurusan sisa pepejal dan pembersihan yang menelan belanja hampir RM2 bilion setahun.

Wartawan BH, MOHD AZIS NGAH mendapatkan komen Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Rahman Dahlan, mengenai pelaksanaan usaha ini dan beliau secara jelas mengakui ia bukan kerja mudah untuk melakukan anjakan pemikiran rakyat tetapi kejayaan usaha ini juga akan menentukan perubahan peradaban rakyat Malaysia menuju negara maju.

Penjelasan ringkas mengenai langkah mengasingkan sisa pepejal di punca atau di rumah yang akan bermula esok

Ia adalah proses mengasingkan sisa pepejal yang dihasilkan di rumah mengikut komposisi sisa pepejal seperti kertas, plastik dan lain-lain seperti kaca, seramik, aluminium, besi, logam, sisa elektronik dan bahan fabrik. Ia juga membabitkan bahan berasaskan getah, kulit, dan sisa berbahaya serta sisa kebun atau taman, sisa pukal, sisa makanan, lampin pakai buang dan sisa lain yang kotor dan tercemar. Secara mudahnya, sisa pepejal ini hendaklah diasingkan kepada sisa yang boleh dikitar semula dan sisa baki iaitu sisa yang akan dihantar ke tapak pelupusan sampah. Contohnya kategori kertas merujuk kepada bahan seperti akhbar lama, majalah, buku, komik, katalog, poskad. Bahan plastik seperti botol minuman, botol jus, botol mineral, bekas sabun dan sebagainya.

Adakah kaedah kutipan ini akan berdasarkan sistem 2+1?



KETUA Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Datuk Ab Rahim Md Noor (dua dari kanan) menyerahkan tong kitar semula kepada wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Taman Medan Berjaya, Langkawi. - Foto Hamzah Osman
Kutipan sisa pepejal yang sudah diasingkan seperti kertas dan plastik atau bahan kitar semula akan dijalankan seminggu sekali. Bagi sisa baki, kutipan akan dibuat dua kali seminggu. Semua kerja ini akan dilakukan syarikat konsesi yang dilantik kerajaan.

Bagaimana dengan penggunaan plastik untuk mengasingkan sisa ini?

Adakah orang ramai akan dibekalkan plastik khas? Orang ramai dikehendaki menyediakan sendiri apa-apa bekas yang bersesuaian atau plastik sampah untuk mengasingkan sisa pepejal. Namun, mereka digalakkan menggunakan plastik sampah berwarna biru untuk sisa kertas dan plastik sampah putih untuk sisa plastik dan plastik hijau untuk lain-lain bahan kitar semula.


Rakyat sudah biasa dengan amalan meletakkan semua sampah atau sisa pepejal ke dalam satu tong. Ini tentunya cabaran besar mengubah amalan yang sudah dianggap selesa. Apa komen Datuk?

Kita akui mempunyai cabaran besar dalam menguruskan sisa pepejal. Di negara membangun dan maju, kadar kitar semula sangat tinggi kerana rakyatnya berasakan itu tanggungjawab mereka menjaga sumber alam dan ini adalah cara menguruskan pembaziran. Dalam kehidupan moden, kadar pembaziran begitu mendadak tinggi, jadi kena ada kaedah baharu mengurangkan. Di negara maju, tahap kesedaran rakyat mereka agak tinggi berbanding di negara membangun kerana belum ada sesuatu yang boleh dibanggakan dalam perkara ini. Kadar kitar semula di Malaysia dianggarkan 10 hingga 11 peratus sahaja dan kita menyasarkan sekurang-kurangnya 22 peratus menjelang tahun 2020. Ini cabaran besar kerana perlukan anjakan minda kerana apabila melaksanakan kitar semula, ia adalah peradaban baharu. Ia bukan senang kerana sudah biasa dengan amalan melonggokkan semua jenis sampah ke dalam satu tong. Kita telah memutuskan pada tahun lalu untuk membuat kutipan berasaskan konsep 2+1 iaitu dua kali kutipan sisa basah dan sekali sisa kitar semula, tetapi ia tidak wajib diasingkan. Apabila tidak diasingkan antara botol plastik, kaca, kertas atau sisa dapur, ia memerlukan satu proses khas di tempat pelupusan sampah dan ia akan meningkatkan kos kerana pengurusan di tapak pelupusan akan mengenakan caj tambahan. Jadi, lebih baik rakyat yang mengasingkan sampah di punca kerana jika dibuat di tapak pelupusan, kos akan ditanggung kerajaan. Jika buat di kawasan masing-masing, apabila sampai ke pusat pelupusan, ia lebih senang dilupuskan. Ia juga akan memberi kesedaran kepada peringkat isi rumah mengenai apa yang perlu dibuat. Apabila kita faham dan peka, kita akan tahu apa perlu dibuat.

Kenapa hanya negeri yang disenarai sahaja diwajibkan melaksanakan langkah pengasingan sisa pepejal ini? Kenapa sistem itu tidak dilaksanakan di seluruh negara?

Ia merujuk pada negeri Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis, Kedah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya. Hanya mereka menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 atau Akta 672 walaupun ia sepatutnya dijalankan di seluruh Semenanjung. Kita hanya boleh laksanakan jika kerajaan negeri bersetuju melaksanakan Akta 672 ini. Selangor dan Pulau Pinang adalah negeri besar, tetapi masih tidak bersetuju melaksanakan akta ini walaupun secara peribadi saya berasakan mereka sepatutnya bersetuju berdasarkan kemampuan mengurus sedangkan sistem pengurusan sampah di negeri terbabit tidak begitu memuaskan sehingga menimbulkan banyak rungutan. Ada banyak sebab negeri-negeri lain tidak bersetuju, pertamanya mungkin disebabkan masalah kewangan, kekurangan peralatan atau sistem yang diguna pakai. Bagi negeri yang bersetuju, mereka wajib menggunakan trak khas mengikut standard yang ditetapkan dan harganya dianggarkan kira-kira RM300 juta. Kita tak boleh memaksa, tetapi ketika ini, kita sedang berbincang dengan beberapa negeri mengenai perkara ini supaya sistem pengurusan sisa pepejal seluruh negara mengikut standard ditetapkan.

Bagaimana dengan maklum balas yang diterima setakat ini dan adakah Kementerian yakin ia mampu mencapai sasaran ditetapkan?

MENTERI Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan. - Foto Abd Rahim Rahmat


Maklum balas setakat ini memang positif dan ini membuktikan pemikiran rakyat semakin matang dan peka terhadap penjagaan alam sekitar. Kita merancang mengadakan kajian terperinci mengenai status semasa pengurusan sisa pepejal negara pada tahun 2016 sehingga tahun 2021 bagi menilai kesan dan impak program yang dijalankan. Setakat ini, kita menetapkan sasaran kadar kitar semula meningkat ke tahap 22 peratus menjelang tahun 2020 iaitu bermula daripada peringkat awal sehingga ke tahap akhir pada peringkat kitar semula. Kita masih ada lima tahun lagi. Sebenarnya, sudah banyak perkara dilakukan bagi mencapai sasaran ini. Bermula dengan langkah penswastaan, diikuti tindakan menetapkan Indeks Prestasi Utama (KPI) mengurangkan pembaziran dan pengurusan lebih baik. Ia diteruskan dengan konsep 2+1 dan langkah seterusnya ialah memastikan perkara ini (pengasingan) diwajibkan. Mungkin kita akan memikirkan sehingga ke tahap jika terlalu banyak membuang sampah, mereka akan didenda dengan cara terpaksa membeli lebih banyak plastik khas. Kita kena pastikan sampah dimasukkan ke dalam plastik khas. Ada juga cadangan supaya dikenakan bayaran tertentu untuk tempoh tertentu.


Adakah sekarang pelaksanaannya percuma?

Bukan percuma, mereka sudah membayarnya, tetapi kos itu diserap melalui bayaran cukai pintu. Memang ada komponen untuk pengurusan sisa pepejal. Tetapi kos keseluruhan banyak ditanggung Kerajaan Pusat yang membelanjakan hampir RM2 bilion setahun.

Bagaimana dengan persiapan melaksanakan usaha ini terutama aspek logistik dan kempen penerangan supaya masyarakat lebih faham dan bersedia?

Semuanya sudah bersedia. Bagi negeri yang menerima pakai Akta 672, sudah banyak program penerangan dilaksanakan. Memang sudah ada program sistematik, contohnya mengedarkan risalah dan majalah kepada isi rumah. Banyak kempen melalui media, contohnya melalui akaun sosial twitter menggunakan tag #asingkan diguna pakai sebanyak 16.7 juta kali bermula 9 Ogos sehingga 26 Ogos. Itu adalah sebahagian daripada contoh kempen dan pendekatan ini akan berterusan di pelbagai saluran. Kita juga menggunakan tag #separate. Bagi negeri yang tidak terbabit dalam kempen ini, kita juga menggalakkan mereka memberi penerangan kepada rakyat masing-masing.

Ramai keliru dengan kenyataan berkaitan denda jika gagal mengasingkan sisa pepejal. Tidakkah itu keterlaluan?

Ya, ramai yang tidak faham. Pelaksanaan sisa pepejal di punca secara mandatori bermula September 2015, tetapi ia dilaksanakan secara berperingkat. Peringkat awal, tiada sebarang denda akan dikenakan. Jika mengikut akta ini, memang ada peruntukan mengenakan denda sehingga kadar maksimum sebanyak RM1,000, tetapi apa yang kita lakukan ialah mengambil pendekatan memberikan isi rumah masa secukupnya untuk mereka lebih faham. Bermula 1 September, kita memberi mereka ruang kira-kira sembilan bulan sehinggalah akhir Mei 2016, kita tidak akan kenakan kompaun, sebaliknya terus memberi nasihat dan penerangan. Apabila tamat tempoh iaitu bermula 1 Jun 2016, kami harap mereka sudah faham dan kompaun akan dikenakan. Bagi rumah yang bertanah seperti teres, banglo, semi D, denda sebanyak RM50 bagi kesalahan pertama, RM100 (kesalahan kedua), RM200 (kesalahan ketiga) dan jika kompaun tidak diselesaikan, tindakan seterusnya diserahkan kepada mahkamah. Bagi rumah serata seperti flat dan kondominium, kadarnya berbeza bermula dengan RM100 bagi kesalahan pertama, RM200 (kedua) dan RM500 (ketiga). Jika tidak diselesaikan, ia akan dirujuk kepada mahkamah. Bagi kategori rumah serata ini, kita akan berurusan dengan jawatankuasa pengurusan bersama perumahan itu yang bertanggungjawab menguruskan sesuatu perumahan. Terpulang kepada mereka bagaimana nak menguruskan dengan pemilik rumah.

Difahamkan, sebahagian besar sisa yang dikumpul setiap hari ialah sisa makanan yang jelas menunjukkan kadar pembaziran cukup tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia.

Statistik menunjukkan lebih 30,000 tan sisa makanan dikutip setiap hari. Bayangkan betapa banyak sisa makanan. Sebab itulah kita mahu maklumkan pelupusan sisa pepejal itu adalah tindakan terakhir kerana masih banyak tindakan lain boleh kita buat, contohnya kurangkan penggunaan. Berbelanja dan makan mengikut keperluan, bukan kehendak. Boleh guna semula apa sahaja yang boleh dan tindakan kitar semula adalah tindakan terakhir. Gunakan konsep 3R iaitu Reduce (pengurangan), Reuse (guna semula) dan Recycle (kitar semula). Langkah pengurangan dan penggunaan semula itu adalah langkah paling mudah. Apabila sudah sampai tahap negara maju, kita bimbang perkara itu dilupakan, berbelanja melebihi keperluan dan kos pengurusan semakin bertambah. Jika kos hampir RM2 bilion setahun yang dibelanjakan untuk menguruskan pembersihan dan pengutipan sampah tadi boleh dikurangkan ke tahap RM1 bilion atau RM500 juta, bayangkan berapa banyak sekolah boleh dibina. Bantulah kerajaan menguruskan sisa pepejal supaya duit itu boleh diuruskan untuk perkara lain. Melalui program ini, kita menjangkakan mampu mengurangkan sehingga 40 peratus jumlah sampah yang dihantar ke tapak pelupusan, sekali gus menambah usia tapak pelupusan sedia ada. Sebab itulah program pengurusan sisa pepejal di punca ini sangat penting untuk memastikan sampah dapat diuruskan dengan lebih berkesan.

Sebelum ini, pernah ada kempen mengurangkan penggunaan bahan plastik, tetapi ia dilihat tidak begitu berjaya. Apa komen Datuk?

Agak susah kerana rakyat Malaysia seolah-olah sudah jatuh cinta dengan penggunaan plastik. Paling membimbangkan ialah penggunaan botol plastik. Mungkin boleh kurangkan plastik ketika membeli-belah, tetapi penggunaan botol plastik semakin meningkat.

Melalui pelbagai kempen dan pendekatan yang sudah dijalankan, adakah Datuk rasa mereka cukup bersedia berganding bahu memastikan usaha ini tercapai?

Pada peringkat awal, ia agak sukar, mungkin kerana tidak faham. Mungkin mereka terlalu selesa dengan amalan mengumpulkan semua jenis sampah ke dalam satu plastik sampah. Mereka tidak faham, bayangkan jika 30,000 tan sampah yang dikumpul setiap hari ini sudah diasingkan awal, ia lebih mudah dan menjimatkan kos. Tapak pelupusan sampah juga semakin berkurangan dan kita terpaksa membuka tapak baharu yang jauh daripada penempatan. Tentunya orang ramai tidak mahu tapak baharu dibuka berhampiran penempatan baharu. Itu semua membabitkan kos logistik dan pengangkutan menghantar sampah. Semua kos itu ditanggung rakyat. Sebab itulah usaha mengurangkan kos itu sangat penting. Saya percaya, lama kelamaan rakyat akan faham dan boleh menerimanya dengan baik. Negara maju berjaya melaksanakan kerana mentaliti mereka sudah berubah dan sayangkan negara. Ini adalah satu isyarat rakyat kita sudah semakin menerima peradaban baharu. Jika sanggup melakukan usaha, maknanya peradaban kita semakin bertambah baik. Contoh paling mudah, kita boleh gunakan air tadahan hujan untuk bersihkan kenderaan atau menyiram pokok bunga. Tetapi disebabkan ia memerlukan sedikit kos, mereka tidak sanggup lakukan pada hal menggunakan bekalan air paip juga perlukan kos. Perkara mudah seperti inilah yang sepatutnya difikirkan, begitu juga dengan tindakan pengasingan sisa pepejal.

Antara tukang sebar dan tukang kritik

MUNGKIN tidak ada adik beradik, saudara mara atau kawan-kawan kita yang didakwa dan meringkuk dalam lokap atau penjara ketika ini kerana kesalahan menyebarkan berita-berita palsu dan fitnah dalam media sosial, maka perbuatan itu pun semakin menjadi-jadi.

Kalau setakat memberi amaran keras atau amaran biasa saja, kepada kebanyakan kita, apalah sangat. Sesiapa pun sudah tidak gerun dengan amaran sekarang ini. Budak-budak sekali pun. Zaman telah berubah. Banyak berubah. Kedegilan dan keberanian pun meningkat luar biasanya.

Sekarang ini, macam sudah jadi kebiasaan pula, orang ramai akan berkongsi apa saja maklumat atau gambar setiap kali menerimanya dalam WhatsApp, Telegram, WeChat dan lain-lain. Tidak kiralah apa saja berita, mungkin berpegang kepada konsep sharing is caring kononnya dan kita yang menerimanya pun jenuh untuk memadamkannya dalam telefon pintar setiap kali ada waktu terluang.

Perkara pertama yang bermain dalam kepala setiap kali menerima berita atau gambar itu, bukannya soal betul atau palsu berita itu. Yang penting, kongsi kepada kawan-kawan dulu agar dilihat menjadi orang pertama yang menyampaikan maklumat tersebut. Betul atau tidak, itu boleh cerita kemudian.

Sebenarnya, isu ini sudah banyak pun diperkatakan. Ramai orang pun suka menulis mengenai isu ini. Tetapi yang kita mampu buat tulis sajalah. Yang lain-lain sendiri mahu fikir dan ingat selain perlunya tindakan yang tegas daripada pihak berkuasa. Amaran saja sudah tentu tidak cukup.

Tetapi itulah, kadang-kadang yang jadi tukang nasihat itu pun dua kali lima saja. Ini termasuklah pihak admin dalam mana-mana group medial sosial. Mudah juga terpengaruh dengan maklumat dan berita palsu, lebih-lebih lagi jika ia membabitkan kepentingan diri sendiri atau dekat dengan dirinya. Yang itu semua dianggap betul pula.

Yang suka berkongsi hal-hal keagamaan, hadis dan sunah pun begitu juga. Terus saja kongsi tanpa memikirkan, betul atau palsu. Semua pun boleh dipalsukan sekarang ini. Penyebaran maklumat palsu kini bukan saja membabitkan isu-isu politik, ekonomi dan sosial, malah hal-hal berkaitan gangguan bekalan air pun boleh dipalsukan, orang yang tidak meninggal dunia dikatakan telah meninggal dunia atau orang yang elok-elok sihat tengah bekerja pun dikata sedang terlantar di hospital kerana menghidap penyakit kronik.

Sekarang ini, ada juga trend terutamanya dalam Facebook, tajuk berita saja sudah gempar. Mukadimah atau pendahuluan cerita untuk menarik orang ramai membaca pun bukan main lagi, selebriti berpakaian seksi, meninggal dunia, sakit atau mendera. Tetapi apabila dibuka link berita itu, tidak ada apa pun. Berita biasa-biasa saja. Tiada siapa yang meninggal dunia, tiada gambar seksi pun, tiada yang sakit dan tiada siapa pun yang cedera.

Ini semua taktik atau strategi untuk menaikkan rating iklan atau blog mereka, jadi gunalah cara paling keji itu. Paling menjengkelkan beritanya tiada, cuma yang ada iklan yang entah apa-apa. Silap-silap jika dibuka link tersebut, telefon pintar kita yang akan diserang virus.

Jadi kepada yang tidak suka membaca, cuma membaca di permukaan saja, sudah tentu terus anggap perkara yang diuar-uarkan pada tajuk berita itu benar. Sekarang pun, orang lebih suka baca tajuk saja. Lepas itu terus buat kesimpulan. Berita penuh tidak mahu baca. Selepas itu mulalah komen yang bukan-bukan.

Perkara ini memang saya selalu amati dalam mana-mana berita online. Tidak kiralah berita arus perdana atau propembangkang. Pembaca kebanyakannya hanya komen berdasarkan tajuk. Tidak baca pun berita selanjutnya. Dan saya rasa cukup kagum tanpa membaca berita penuh mereka boleh membuat kesimpulan yang macam-macam. Macam gelagat bomoh pula, belum cakap, dia sudah tahu sakit apa. Kalau baca berita itu betul-betul tentu malu sendiri sebab sudah tersilap komen.

Begitulah gelagat sebahagian besar daripada kita dalam media sosial. Ada yang gemar jadi tukang sebar, tukang kritik, tukang komen dan tukang nasihat. Walau apa pun peranan kita itu, yang penting jangan jadi tukang sebar fitnah. Bukan saja kita boleh memburukkan lagi keadaan tetapi boleh dapatlah sekali ‘sahamnya’ di akhirat nanti. Yang ini kita patut gerun.   - Fauziah Arof Utusan Malaysia Rencana 02 September 2015 12:53 AM

Malaysia masih perlukan 
tindakan afirmatif

SEHARI sebelum demonstrasi jalanan yang telah menyusahkan warga Lembah Klang, sebuah artikel yang menyalahkan dasar afirmatif di Malaysia telah diterbitkan di salah sebuah akhbar harian berpengaruh yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS). Artikel tersebut menyalahkan dasar afirmatif pro-Melayu yang mesti dibuangkan. Kononnya dasar ini telah melukakan rakyat Malaysia.

Tidak diketahui apakah niat akhbar berkenaan menerbitkan artikel tersebut sehari sebelum demonstrasi jalanan diadakan di Kuala Lumpur Sabtu lalu. Adakah ia secara kebetulan diterbitkan? Atau sengaja diterbitkan? Yang pasti, artikel itu terang-terangan menyalahkan dasar afirmatif yang pro-Melayu kononnya merupakan permasalahan semasa di Malaysia.

Artikel ini antara sebahagian artikel yang sejak kebelakangan ini menyalahkan dasar afirmatif. Secara tersirat dan tersurat sengaja ingin membuatkan kaum-kaum lain berasa marah. Kenapa pada ketika ini, akhbar-akhbar Barat terlalu kemaruk untuk menyalahkan dasar-dasar negara?

Adakah dasar-dasar di negara mereka terlalu sempurna? Mereka menyalahkan agenda membantu orang Melayu, tetapi di sebalik tabir, apakah agenda mereka? Mereka menyalahkan dasar afirmatif tetapi tidak pula mencadangkan apakah dasar terbaik untuk negara kita?

Adakah dasar meritokrasi dasar terbaik untuk dilaksanakan di Malaysia? Adakah dasar ini telah membuahkan hasil di negara AS sendiri, walhal ramai penduduk AS yang miskin? Malaysia baharu sahaja mencapai kemerdekaan selama 58 tahun. Negara seperti AS telah lama merdeka, itu pun masih ada pelbagai masalah dan isu melibatkan kaum. Senang mencari kesalahan orang lain, tetapi kesalahan sendiri buat-buat tidak nampak.

Dasar afirmatif yang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia telah banyak membuahkan hasil buat kaum-kaum lain. Kalau dasar afirmatif ini hanya mementingkan orang Melayu dan Bumiputera, maka sudah lama kaum-kaum lain terabai. Sebaliknya, apa yang berlaku, dasar afirmatif yang dilaksa­nakan melalui Dasar Ekonomi Baharu (DEB) telah banyak membantu kaum-kaum lain selain membantu kaum Bumiputera.

Meritokrasi yang ekstrem boleh membahayakan sesebuah negara. Tidak akan berlaku keseimbangan. Yang kaya akan jauh kaya, manakala yang miskin akan sentiasa ke belakang jauh ke­tinggalan. Yang kaya bergelar jutawan dan hartawan akan sentiasa menguasai ekonomi, sebaliknya yang miskin tidak mampu mengubah hidup mereka apabila anak-anak mereka tidak diberi peluang untuk mengubah kehidupan keluarga. Adakah ini langkah terbaik untuk memajukan rakyat Malaysia?

Malang sekali segelintir kita terlalu teruja dengan pemikiran dan idealisme Barat yang terang-terangan liberal. Segelintir kita yang telah berjaya sudah tidak peduli nasib orang lain, maka dirasakan kejayaan yang diperoleh hasil titik peluh diri sendiri. Mana ada orang kaya-raya di Malaysia yang tidak dibantu untuk menjadi kaya?

Kajilah setiap daripada mereka tidak kira kaum, mereka ini menjadi kaya-raya kerana dibantu oleh pelbagai dasar kerajaan. Adakah sesiapa yang bergelar jutawan yang kaya-raya ini berani mengisytiharkan mereka kaya tanpa dibantu oleh sesiapa sahaja terutamanya oleh kerajaan?

Mereka menyalahkan dasar ekonomi seolah-olah telah melahirkan ramai kroni, walhal, yang menyalahkan ini jugalah yang telah berjaya kerana dasar “kroni” tersebut. Mereka juga menyalahkan dasar ekonomi kononnya tidak adil dan saksama, tetapi dasar yang tidak adil inilah yang telah melahirkan jutawan dalam kalangan mereka. Jadi, apakah istilah adil yang sebenarnya difahami oleh mereka? Adil hanya untuk diri sendiri semata-mata? Sebaliknya, tidak adil apabila orang miskin dibantu? Atau lebih jelas lagi, adil apabila mereka dapat mengaut kekayaan berlipat kali ganda sehinggakan dapat diwarisi untuk beberapa generasi mereka, manakala tidak adil apabila orang lain mendapat nikmat?

Meskipun tidak dinafikan terdapat kelemahan dalam pelaksanaan dasar-dasar tersebut tetapi bukan bermakna segala-galanya buruk. Jauh sekali dasar-dasar ini telah gagal sepenuhnya.

Menghairankan juga, masih banyak masalah di negara lain tetapi Malaysia juga menjadi sasaran. Rakyat Malaysia perlu sentiasa berhati-hati dengan pelbagai agenda yang seolah-olah telah dirancang rapi. Usah mudah dihasut dan lebih penting lagi jangan terjebak untuk menghasut orang lain membakar kelambu hanya kerana marahkan nyamuk.

Usah mudah terperangkap dengan agenda musuh yang sentiasa mengintai-intai peluang untuk membinasakan segala apa yang diusahakan oleh pemimpin terdahulu dan nenek moyang kita. Bukalah mata seluas-luasnya bahawa nikmat yang diperoleh kini bukan datang dengan mudah. Nenek moyang kita memperjudikan harta dan nyawa sedangkan mereka tidak dapat menikmati apa yang diusahakan. Kita pula lahir-lahir sahaja sudah dapat merasai pelbagai nikmat termasuk keamanan. Nikmat-nikmat ini boleh hilang begitu sahaja jika kita alpa meskipun sekejap cuma.

Segala dasar ekonomi yang direncanakan oleh pemimpin terdahulu berniat untuk membantu rakyat Malaysia. Tindakan afirmatif yang telah dilaksanakan tidak boleh dibuang begitu sahaja hanya kerana ingin memenuhi kehendak segelintir pihak. Ramai lagi yang miskin tetapi cemerlang wajib dibantu tidak kira kaum. Mengabaikan dasar afirmatif de­ngan menggantikan dasar baharu yang hanya berteraskan meritokrasi pastinya tidak akan menguntungkan semua pihak terutamanya mereka yang berpendapatan rendah.

Malaysia masih memerlukan dasar afirmatif dan pada masa sama dasar meritokrasi dilaksanakan beransur-ansur berasaskan peratusan komposisi kaum yang berada di Malaysia. Bukannya menerima sepenuhnya dasar meritokrasi yang dilaung-laungkan oleh Barat. Walhal meritokrasi dilaksanakan oleh mereka apabila ingin melindungi kepentingan mereka semata-mata. Itu kita perlu faham sejelas-jelasnya. Jika tidak, kita sentiasa terperangkap dengan tipu muslihat mereka yang sengaja untuk melihat negara kita dijajah se­mula. Biarlah nasib rakyat Malaysia ditentukan oleh acuan Malaysia yang tersendiri berasaskan keadilan dan kesaksamaan yang sebenar. - Dr Rohami Shafie Utusan Malaysia Rencana 02 September 2015 12:54 AM

Guru, ibu bapa boleh jayakan sistem pengasingan sisa pepejal

Pemeliharaan alam sekitar adalah elemen penting untuk memastikan kesinambungan kehidupan manusia di dunia ini. Antara faktor kesejahteraan hidup manusia adalah akibat daripada hubungan harmoni antara manusia dan alam persekitarannya.

Tanggungjawab memelihara alam sekitar diberikan kepada manusia kerana kita dilantik sebagai khalifah di bumi dan dituntut memelihara alam sekitar serta pelbagai sumber yang disediakan dari Pencipta untuk kelangsungan kehidupan.

Oleh itu, manusia ada peranan sebagai pembina, pengindah dan penyelamat alam sekitar dan bukannya melakukan kemudaratan, kerosakan dan kemusnahan tanpa rasa tanggungjawab.

Jika setiap individu mempunyai rasa kebertanggungjawaban begini, masyarakat di negara ini secara keseluruhannya dapat menghayati budaya menyumbang untuk kepentingan bersama dan memiliki kekayaan moraliti setaraf masyarakat minda kelas pertama.

Dengan sikap, kesedaran dan rasa tanggungjawab ini, usaha kerajaan dalam pembentukan minda dan budaya bangsa agar masyarakat menghargai, bertanggungjawab serta membabitkan diri dalam penjagaan kebersihan dan kesejahteraan persekitaran jadi lebih mudah dan berkesan.

GURU boleh mendidik pelajar cara mengasingkan sampah ikut kategori bagi mengurangkan kos selenggara di pusat pelupusan. - Gambar hiasan


Banyak usaha dilaksanakan kerajaan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan amalan membudayakan kebersihan khususnya 3R (reduce, reuse, recycle) ke arah kelestarian alam sekitar dan seterusnya meningkatkan kadar kitar semula negara yang masih rendah hari ini. Ini berdasarkan kadar nasional bagi tahun 2013 iaitu 12.8 peratus saja berbanding negara maju yang mencatat kadar kitar semula melebihi 40 peratus sejak tahun 2010 lagi seperti Jerman (62 peratus), Switzerland (51 peratus), Sweden (49 peratus) dan Denmark (42 peratus).

Tingkat pemanasan global

Pengurusan sisa pepejal yang lebih efektif boleh menyumbang kepada pengurangan impak negatif kepada alam sekitar dan kesihatan manusia.

Jika sisa pepejal tidak dilupuskan dengan sempurna, ia meningkatkan pemanasan global disebabkan oleh pelepasan gas rumah hijau berbahaya di udara, pencemaran air bawah tanah yang memberi kesan kepada kualiti sumber air dicemari oleh leachate dan pencemaran udara akibat pembakaran di tapak pelupusan.

Pelupusan sisa tidak sempurna juga akan memberi kesan yang sangat berbahaya kepada kesihatan manusia, antaranya penularan wabak berpunca daripada pembiakan vektor seperti lalat, tikus dan nyamuk, jangkitan penyakit kulit, mata dan pernafasan serta beberapa jangkitan penyakit yang boleh membawa maut seperti hepatotoxicity (kerosakan hati), nephrotoxicity (kerosakan buah pinggang), pulmonary toxicity (kerosakan paru-paru), neutrotoxicity (kerosakan pada sistem saraf) serta immunotoxicity (kegagalan sistem imunisasi).

Oleh itu, komitmen terhadap penjagaan kebersihan persekitaran dan alam sekitar seharusnya bermula dari rumah. Institusi keluarga yang kecil adalah penentu kepada keberhasilan segala inisiatif yang dilaksanakan dalam skop yang lebih besar pada peringkat masyarakat.

Justeru, ibu bapa sebagai pendidik kepada ahli keluarga dan ejen perubahan dalam keluarga haruslah memainkan peranan paling utama bagi menggerakkan segala usaha dilaksanakan oleh peringkat lebih tinggi untuk menerapkan budaya mementingkan kebersihan dan sentiasa bertanggungjawab terhadap persekitaran sekeliling termasuk pengurusan sisa pepejal yang mesra alam.

Peranan dimainkan secara langsung dapat membantu menjayakan inisiatif kerajaan mewajibkan proses pengasingan sisa pepejal di punca bermula pada 1 September ini. Kesedaran mengenai pengasingan sisa pepejal dan amalan kitar semula khususnya di rumah juga penentu kepada tahap kualiti alam sekitar yang diwariskan kepada generasi akan datang dan memerlukan komitmen yang tinggi.

Apabila pengasingan sisa pepejal di rumah dijadikan sebagai amalan dalam kehidupan seharian, tidak mustahil pengasingan sisa pepejal di tempat seperti sekolah, universiti, pejabat, restoran, premis perniagaan dan kilang dapat dijadikan sebagai budaya dalam kalangan rakyat negara ini.

Ia memerlukan komitmen tinggi untuk mengubah mentaliti masyarakat hari ini kepada mentaliti kelas pertama selari dengan sasaran kita menuju negara maju pada tahun 2020.

Kemerosotan kualiti alam sekitar negara tidak boleh dipersalahkan kepada mana-mana pihak, sebaliknya setiap individu harus melihat dengan mata hati dan mempertingkatkan kesedaran penjagaan alam sekitar adalah penting bagi pengekalan sumber semula jadi yang dimiliki bersama.

Pengasingan sisa pepejal di punca adalah proses membabitkan pengasingan sampah mengikut kategori. Pengasingan sisa paling asas boleh dilaksanakan dengan mudah di rumah dengan mengasingkan sisa boleh dikitar semula dan sisa yang tidak boleh dikitar semula termasuk sisa makanan. Sisa yang boleh dikitar semula adalah botol plastik, kertas, logam dan kaca.

Tetap tarikh kutipan

Sisa daripada kategori berkenaan termasuk sisa pukal dan sisa kebun perlu diasingkan di dalam ruang penyimpanan berbeza. Bagi memudahkan masyarakat melaksanakan pengasingan sisa pepejal di rumah, kerajaan menetapkan jadual kutipan khusus pada setiap minggu di mana masyarakat perlu meletakkan sisa kitar semula, sisa pukal dan sisa kebun yang telah diasingkan ini di luar rumah untuk dikutip oleh syarikat konsesi yang dipertanggungjawabkan.

Sisa pepejal yang tidak boleh dikitar semula boleh diletakkan di dalam tong sampah yang telah dibekalkan untuk dikutip pada hari perkhidmatan kutipan yang ditetapkan dalam seminggu.

Bagi memanfaatkan sisa makanan pula, kaedah pengkomposan mudah boleh dilaksanakan di rumah. Pengkomposan adalah proses di mana sisa makanan yang dicampurkan dengan medium pengurai seperti daun kering, hampas kelapa atau serbuk kayu akan terurai menjadi baja kompos dalam tempoh singkat iaitu tujuh hari.

Baja kompos ini boleh digunakan sebagai baja bagi tanaman di sekeliling rumah atau kawasan perumahan. Kaedah pengkomposan ini bukan saja dapat membantu mengurangkan jumlah penghantaran sisa ke tapak pelupusan, malah ia dapat membantu menjimatkan perbelanjaan untuk membeli baja.

Aktiviti ini boleh juga dijadikan sebagai aktiviti riadah pada hujung minggu yang secara tidak langsung, dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dan kemasyarakatan.

Peningkatan pengamalan pengasingan sisa pepejal di punca bukan saja dapat meningkatkan kadar kitar semula di Malaysia, malah ia dapat dijadikan sebagai sumber ekonomi negara dengan memanfaatkan sumber daripada bahan yang boleh dikitar semula.

Merujuk kepada statistik daripada Malaysian Plastics Manufactures Association (MPMA) (2015), Malaysia mengeluarkan 973 juta botol plastik minuman (bersamaan 19.46 juta kilogram) setahun.

Hasil produk bernilai tinggi

Jika dihitung harga kitar semula botol plastik, iaitu purata RM0.60 sekilogram, maka nilai sisa botol plastik jika dikitar semula di seluruh negara mencecah hampir RM12 juta setahun. Ini sumber yang signifikan kepada industri.

Justeru, masyarakat harus menghargai sisa sebagai sumber yang tidak harus dibazirkan. Pihak industri kitar semula juga digalak menggunakan pendekatan upcycle iaitu pendekatan memanfaatkan bahan kitar semula bagi menghasilkan produk mempunyai nilai lebih tinggi.

Sebagai contoh, botol plastik minuman yang dibersihkan boleh diolah menjadi fabrik untuk dijadikan pakaian, tempat duduk kenderaan dan sebagainya. Selain itu, tetrapak (kotak minuman) juga boleh diproses menjadi bumbung bangunan berkualiti dan ada ciri tahan lama, serap bunyi dan selamat. Inovasi upcycle bukan saja boleh menyelamatkan bahan sisa pepejal ini daripada terus dihantar ke tapak pelupusan semata-mata, tetapi boleh memberi pulangan signifikan kepada mereka yang mengusahakannya.

Di samping itu, negara juga dapat mengurangkan kebergantungan mengimport sisa plastik, kertas dan kaca dari negara luar untuk dijadikan sebagai bahan dalam pembuatan sesuatu produk.

Segala inisiatif boleh dirancang rapi untuk dilaksanakan tetapi apa yang paling penting adalah kesedaran dan rasa tanggungjawab daripada isi rumah itu sendiri, iaitu masyarakat mengenai kepentingan sisa pepejal di punca.

Prolonging the agony

DEAR YB Datuk Seri Minister of Education,  In an interview with The Malaysian Insider news portal last Thursday, you came forward to say quite clearly that the decision to postpone making English a compulsory pass subject in the Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) examination was fair, especially for students and teachers in the rural areas.

You said these students had yet to master the language or even reach a satisfactory level in proficiency, and that the country also still lacked a sufficient number of English teachers.

“Schools in towns and cities are more prepared. There is no problem (for them) if we implement it. But, overall, we have to give more time to teachers to be better prepared. When it is time, we will implement it and there will be no further delays. The teacher training institutions (IPG) have to be on top of things and ensure that there are enough English teachers,” you were reported to have said.

Well, let me remind you that the strategy to have a compulsory pass for English in SPM from next year was mentioned no less than 10 times in the Malaysia Education Blueprint 2013-2025, which was launched with so much fanfare by your predecessor two years ago.

Unless the annotation carries no meaning, look back at what was said in the foreword no less, and I quote: “The Blueprint is the result of a multitude of analyses, interviews, surveys, and research conducted with the support of national and international education experts, officials, teachers, principals and parents all across Malaysia.

In addition, through the National Dialogue conducted earlier this year, almost 12,000 members of the public and various stakeholder groups were consulted for their ideas and feedback.

“In this Blueprint, we have set ourselves ambitious, yet achievable and feasible tasks to build a strong and efficient education system by 2025 that features universal access all the way through to secondary education, that will produce students who perform in the top third of international student assessments, to provide equal and quality educational opportunities for all students regardless of background or socioeconomic status and to instil a sense of common Malaysian identity amongst all students.”

Obviously the Blueprint was not an overnight effort. So, what has happened to the “ambitious, yet achievable and feasible tasks” formed from such an extensive groundwork?

The deferment has also made a mockery of this statement in the executive summary: “The Ministry engaged with the rakyat on a scale never seen before. Over the course of a year, over 55,000 Ministry officials, teachers, school leaders, parents, students and members of the public across Malaysia were engaged via interviews, focus groups, surveys, National Dialogue townhalls, Open Days and roundtable discussions. More than 200 memorandums were submitted to the Ministry and over 3,000 articles and blog posts were written on the issues raised in the Blueprint. The Ministry also appointed a 12-member Malaysian panel of experts and a four-member international panel of experts to provide independent input into the review findings.”

In one stroke, therefore, the ministry is now cancelling out its own massive engagement and dialogues including on SPM English that led to the 300-page blueprint. It was okay then, not okay now?

Something wrong with what transpired, or blind politics got in the way? It was realistically acknowledged in the blueprint that poor English proficiency among fresh graduates, since 2006, had been consistently ranked as one of the top five issues facing Malaysian employers.

And this is where the “fairness” that you had stated should come in. Fair to postpone to be fair to the rural students, you said. Let me ask you, would it really be fair to them if, in the end, they continue to be rejected in job applications?

Is the ministry willing to take the rap for the absolutely feeble attempts to raise the bar and improve the ever-deteriorating standards of non-urban students?

Again, refer to the Blueprint which also carried a Jobstreet survey on graduate employment where it listed down the Top 5 reasons why fresh graduates were rejected after interview sessions.

The second most-given reason: Poor command of English. You would rather postpone and prolong the agony rather than fix the flaws and get on with it.

Minister, your predecessor has turned around the vital secondary school programme to teach science and mathematics in English (PPSMI) after it had already run for nine years.

Now, the students are back to square one. I hope you give more thought to this, for the good of our children’s future. And the future of our children’s children.

Happy National Day.
Syed Nazri The NST Columnist 1 September 2015