September 3rd, 2015

Isu Akhbar Cina ~ Ekonomi

AKHBAR Sin Chew Daily ber­­tarikh 28 Ogos 2015 menyiarkan artikel yang melahirkan keyakinan bahawa kemerosotan ekonomi negara tidaklah terlalu teruk kerana wujud asas-asas yang agak kukuh dan dapat dipulihkan jika diambil langkah yang sesuai.

Artikel bertajuk ‘Mulakan de­ngan langkah selamatkan ekonomi’ yang merupakan pendapat pengarang akhbar berkenaan disi­arkan dalam ruangan Yan Lun halaman 38.

Kerana faktor-faktor dari luar dan dalam, maka saham dan mata wang negara kita telah mengalami impak yang amat serius, terutama sekali nilai ringgit yang jatuh begitu teruk berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada kadar 4.3.


KERATAN akhbar pendapat pengarang Sin Chew Daily bertarikh 28 Ogos 2015 yang melahirkan keyakinan bahawa kemerosotan ekonomi negara tidaklah terlalu teruk kerana wujud asas-asas yang agak kukuh dan dapat dipulihkan jika diambil langkah sesuai.

Ini telah mencipta rekod terburuk berbanding 17 tahun lepas dan bagi mengatasi masalah yang getir ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah meng­umumkan penubuhan sebuah Jawatankuasa Khas Ekonomi (JKE) yang dipimpin oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Ekonomi Malaysia mengalami cabaran yang terburuk dalam beberapa tahun ini. Bagaimana dapat menghalang supaya ringgit tidak semakin jatuh, serta boleh merangsangkan pembangunan ekonomi adalah satu tugas berat yang perlu dipikul pihak kerajaan.

Penubuhan JKE memang amat diperlukan bagi memberikan perhatian khusus terhadap krisis yang sedang berada di depan mata, supaya dapat dicari penyelesaian secara lebih berkesan.

Jawatankuasa ini terdiri daripada pakar-pakar ekonomi seperti Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak; Ketua Penasihat Suruhanjaya Peraturan Perbankan China, Tan Sri Andrew Sheng Len Tao dan beberapa nama lagi telah tersenarai.

Ahli-ahli adalah terdiri daripada kalangan orang yang berkaliber di dunia ekonomi dan mempunyai pengalaman serta memiliki pengetahuan yang luas. Mereka yang memahami sistem kewang­an, pengendalian dan pergerakan ekonomi dipercayai dapat memberikan pandangan yang membina kepada pihak kerajaan.

Kejatuhan mata wang ringgit dengan teruk telah menjejaskan pasaran ekonomi. JKE perlu menangani masalah ini dengan langkah-langkah segera. Perlu disiasat punca sebenar kenapa perkara itu terjadi serta mencari jalan penyelesaiannya, supaya dapat membantu kerajaan mencari penawarnya dan menghalang keadaan menjadi semakin buruk.

Keadaan ekonomi dunia yang merudum memang kita tidak dapat mengawalnya, tetapi kita boleh melakukan kawalan ekonomi dalam negara supaya kemerosotan ekonomi tidak berterusan dan dapat memastikan masalah ekonomi luar negara tidak memberi impak secara langsung kepada Malaysia.

Walaupun hari ini kelihatan pasaran dari segi permukaannya seper­ti lemah dan tersisih jauh, tetapi ekonomi Malaysia pada dasarnya tidak teruk, kerana ada asas-asas yang agak kukuh. Jika kita ambil langkah yang sesuai dan disusuli dengan tindakan yang betul, bukanlah susah untuk mengatasinya umpama mahu panjat ke langit.

Yang penting adakah JKE mampu beroperasi? Ini perlu lihat sikap kerajaan itu sendiri. Mengikut pengalaman yang lepas, setelah pihak kerajaan tubuhkan sesebuah jawatankuasa bertindak untuk selesaikan sesuatu isu, setelah jawatankuasa itu beri cadangan, pandangan itu tidak digunakan dan tidak diambil berat oleh kerajaan. Sehingga kadang-kadang penubuhan jawatankuasa itu seperti membazir sahaja. Adakah JKE yang ditubuhkan ini akan mengalami nasib yang sama?

Kita masih menunggu apakah langkah yang akan dilakukan oleh JKE ini? Tetapi adalah tidak adil kita meletakkan semua harapan di atas bahu jawatankuasa ini kerana masalah ekonomi kali ini bukan hanya berpunca daripada faktor ekonomi sahaja.

Masalah ekonomi yang melanda negara kita juga ada kaitan rapat dengan isu politik. Jika politik tidak stabil, keadaan itu sudah tentu akan mengurangkan keyakin­an pelabur dan secara tidak langsung menjejaskan ekonomi.

Oleh itu, kerajaan perlu memastikan wujud kestabilan dalam politik. Jangan timbulkan kerisauan dan gangguan dalam politik yang boleh menjejaskan usaha untuk merangsangkan ekonomi.

Elak guna ‘kumpulan militan Negara Islam’

SECARA universal telah dipersetujui bahawa satu tambah satu jawapannya dua. Namun tidak mustahil dengan propaganda berterusan secara sistematik melalui media massa di seluruh dunia, ditambah lagi dengan pandangan pakar-pakar ilmu logik dan matematik, kelak jawapan 11 pun boleh diterima.

Ini realiti dunia semasa, propaganda bermaharajalela. Contohnya peristiwa serangan 11 September 2001 di New York yang mengubah landskap dunia khasnya pandangan masyarakat antarabangsa terhadap Islam.

Pada fasa awal tuduhan kononnya umat Islam yang bertanggungjawab terhadap kejadian itu dilihat kurang berjaya mempengaruhi, namun ‘berkat’ propaganda berterusan dari segenap aspek, akhirnya teori asal itu diterima walaupun sehingga kini buktinya masih tidak mencukupi dan boleh dipertikaikan.

Sama dengan kes Allahyarham Saddam Hussein, kononnya alasan utama untuk memburunya adalah kerana membangunkan senjata pemusnah besar-besaran (WMD), tetapi selepas berjaya ditangkap, WMD entah ke mana. Malangnya, negara Iraq sudah huru-hara dan agak mustahil untuk kembali aman. Ini bahana propaganda.

Yang terbaharu ialah kumpulan militan Negara Islam (IS). Ulama dunia dan negara ini telah sepakat memutuskan bahawa kumpulan berpakaian dan menggunakan bendera hitam itu menyalahi syariat Islam dan jauh sekali mewakili ajaran Islam. Tetapi masalahnya kenapa kita masih menggunakan terjemahan terus daripada Islamic State - kumpulan militan Negara Islam.


Kenapa tidak digunakan istilah ‘kumpulan militan berpangkalan di Syria atau Iraq’. Jangan kita terpengaruh dengan propaganda Barat atau musuh Islam. Natijahnya, jika setiap hari, setiap masa dan detik dihidangkan dengan benda sama, akhirnya masyarakat akan menelan dan menghadam bulat-bulat bahawa Islam mengajar dan memartabatkan keganasan.

Seelok-eloknya jangan langsung kaitkan mereka dengan Islam. Perkara ini telah menjadi gurau-senda di laman sosial bahawa IS itu singkatan nama daripada Islam. Mahukah umat Islam dimomokkan dengan gelaran sedemikian?

Sementara itu, dalam dua tiga hari ini tersebar satu gambar dalam aplikasi WhatsApp dakwaan mengenai delegasi pemimpin Syiah dari Iran mengadakan perbincangan dengan pimpinan Majlis Agama Islam Wilayah Yala, Selatan Thailand - berdasarkan kepada backdrop majlis itu.

Keterangan gambar dalam bahasa Arab itu berbunyi: “Pemuda Syiah telah sampai ke Yala dan Patani, mereka ingin luaskan pengaruh mereka hingga akan terbina sebuah masjid pertama di Patani. Didoakan semoga pengaruh ini tidak merebak ke negara kita.”

Kesahihan gambar dan matlamat lawatannya masih boleh dipertikaikan. Tetapi pihak berkuasa tidak boleh memandang mudah kerana secara geografinya Selatan Thailand itu berjiran dengan Kelantan, Perlis dan Kedah atau lebih tepat lagi Malaysia yang mengamalkan pegangan Sunni.

Benteng perlu diperkuatkan, bukan sekadar dari sudut penguatkuasaan undang-undang sahaja tetapi jati diri pemuda Sunni di negara ini juga perlu dimantapkan. Cukuplah pemuda Sunni di negara ini menyibukkan diri dengan pelbagai benda melalaikan seperti program hiburan realiti, lawak realiti dan sebagainya.

Tidak salah untuk berfikir luar kotak. Kebarangkalian tibanya pemuda Syiah itu ialah untuk mengisi lohong yang ditinggalkan pemuda Sunni di negara jiran sebelum dipanjangkan pula ke negara bersempadan.

Memetik satu komen daripada rakan kumpulan WhatsApp itu: “Jangan terkejut jika selepas ini akan muncul rumah-rumah muta’ah di Selatan Thailand bagi mentalbiskan (belitan tipu daya iblis atau mengelirukan) pelacuran haram atas dasar mut’ah yang halal. Semoga Allah memelihara saudara kita di Selatan Thailand daripada malapetaka ini dan jauhkan daripada melewati negara kita,”.