September 7th, 2015

Pertahankan budaya bangsa

APAKAH kita sudah muak untuk mempertahankan budaya sopan-santun bangsa kita? Sukarkah kita mengekalkan keyakinan bahawa bangsa kita bukan jenis bangsa yang kasar? Pelik atau janggalkah andai kita menerima hakikat bahawa kehidupan kita diselubungi aura halus dan lemah-lembut, yang menjamin kelangsungan rasa hormat, keharmonian dan kesejahteraan masyarakat?

Adakah kita mahu memusnahkan semua ini, dan bersedia hidup dalam ketakutan, kebimbangan dan ketidakstabilan yang berpanjangan? Adakah kita lebih selesa tercengkam dalam keadaan huru-hara dan kacau-bilau yang tidak berkesudahan?

Menjaga sensitiviti setiap kelompok masyarakat adalah penting. Kita tidak boleh mengharapkan orang selama-lama­nya tidak terasa hati apabila kita terus-terusan mendesak dan mengasak dengan kata-kata kasar yang melukakan, ejekan serta sindiran yang tajam menikam. Kita kadang-kadang banyak mengguris, tetapi apabila ada sedikit tindak balas, dengan pantas kita membalas; “Takkanlah kata begitu pun tak boleh?”

Keangkuhan dan kesombongan jangan dibiar menguasai diri. Kelak semakin membesar dan akhirnya kita sudah tidak mampu lagi mengukur sedalam manakah keangkuhan dan kesombongan itu kerana telah pergi terlalu jauh. Memelihara rasa saling menghormati amatlah penting. Perasaan sebegini sudah kita pupuk berdekad-dekad lama­nya. Kita telah diasuh untuk menghayatinya. Apakah sukar untuk kita mengekalkannya?

Kemesraan bukan berpura-pura. Kemesraan harus dijalin secara tulus ikhlas. Jika dapat kita jalinkan kemesraan dengan begitu indah, mengapa pula hendak mencarik-carikkannya?

Kita kadang-kadang terlupa akan harga mahal yang telah kita bayar untuk semua ini. Dari generasi ke generasi kita te­lah membuat pembayaran yang tidak ternilai demi keharmonian hidup di tanah air, Malaysia. Lalu mahukah kita mele­burkannya dalam sekelip mata?

Tingkah laku dan tindak tanduk kita hendaklah berpada-pada. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Nenek moyang kita selalu mengingatkan jangan celupar. Kita mungkin boleh berkata, saya tidak menyebutnya, hanya tertulis di atas sepanduk. Tetapi bukankah dengan mempamer serta menjulang sepanduk itu, kita mengesahkan yang kita tahu, faham dan memihak kepada kata-kata itu.

Sepanduk yang kita julang itu secara jelas menjadi petunjuk yang kita menyokong, bersikap dan berfikiran sedemikian. Dalam dunia hari ini, sebarang paparan sedemikian boleh dirakam, disebar dan dipamerkan semula, ia menjadi sesuatu yang sukar diubah atau ditarik balik lagi. Mahu tidak mahu kita harus memikul tanggungjawab itu.

Pijak-memijak ini terlalu kasar bagi bangsa Malaysia. Wari­s­­an kita tidak membenarkan hal seumpama ini berlaku. Ia tersangat tidak sopan bahkan kurang ajar dan biadab. Betul, di luar negara ada berlaku perbuatan serupa ini. Apakah perlu kita mencedok bulat-bulat? Kita ada sikap hemah tinggi, amalan berbudi dan menjunjung ‘kesopanan dan kesusilaan’, yang menjadi teras penting Rukun Negara kita!

Ruang untuk mengamalkan nilai-nilai baik dan terpuji sentiasa terbuka. Masyarakat Malaysia perlu melestarikan acuan yang telah kita bina. Setiap orang ada kemarahannya. Sesiapa pun barangkali tidak berpuas hati dalam satu dua atau ba­nyak perkara. Apakah kita mahu setiap orang hanya menghormati perasaan kita tanpa kita juga memikirkan perasaan orang lain?

Kita perlu kembali menjadi bangsa Malaysia di bumi yang tercinta ini. Kita unik kerana warna-warni latar kehidupan kita halus dan cantik. Nenek moyang kita membariskan jutaan peringatan yang penuh berhikmah. Kita anak cucunya tidak perlu mendabik dada mengatakan peringatan itu sudah lapuk ditelan masa. Masih sangat banyak yang berguna dan perlu melandasi kehidupan kita kalaulah benar kita masih sayangkan kedamaian hidup yang kita ada!

Malaysia tiada pilihan selain terus memelihara keharmonian yang kita nikmati sekarang. Kita tidak sama sekali mahu mengikuti jejak sesetengah negara yang rakyatnya berterusan mende­rita dan sengsara. Hidup tidak tenteram, politik porak-peranda dan ekonomi runtuh. Benar, kita boleh mengutip semula serpihan-serpihan kaca yang kita taburkan di halaman dan mengubati kaki kita yang luka. Namun, selalu akan ada kekhuatiran serpihan itu kekal di situ, dan kaki kita tidak pernah sembuh-sembuh.

Oleh itu, lebih baik jangan taburkan serpihan kaca di halaman rumah kita. Marilah kita melangkah dengan tenang tanpa merasa ragu atau bimbang.

- Dr Lim Swee Tin IM SWEE TIN Utusan Malaysia Rencana 07 September 2015 12:33 AM

Masa depan kanak-kanak bermasalah dalam pembelajaran

SEPERKARA yang amat penting dan perlu diberi perhatian serius pada masa ini ialah soal peningkatan jumlah kanak-kanak dan individu dewasa yang dikenal pasti (diagnosis) mempunyai pelbagai masalah berkaitan pembelajaran.

Pada 2002 sahaja, seramai 14,535 kanak-kanak menghadapi masalah atau kesukaran pembelajaran dalam pelbagai ka­tegori, dan jumlahnya meningkat kepada 90,000 orang pada 2012. Lazimnya, statistik ini akan terus meningkat saban tahun, sejajar dengan peningkatan kadar kelahiran dan tahap kesedaran individu dan masyarakat.


Apakah dia masalah pembelajaran ini? Secara umumnya merujuk kepada sebarang keadaan berkaitan kesukaran seseorang individu itu untuk belajar. Ia kerana tahap perkembangan dan keupayaan pemprosesan otak mereka berbeza daripada majoriti individu normal lain dalam menerima sebarang input kognitif - iaitu yang melibatkan aktiviti dan proses otak seperti pertuturan dan percakapan, pembacaan, penulisan, pengiraan, keupayaan diri dalam pengurusan kendiri dan maklumat.

Antara masalah berkaitan pembelajaran seperti lembam, disleksia, diskalkulia, disgrafia, dispraksia dan gangguan fungsi eksekutif, yang juga dikenali sebagai masalah pembelajaran spesifik. Akta Orang Kurang Upaya 2008 menggolongkan mereka dalam kategori OKU dan berhak untuk didaftarkan sebagai OKU serta memiliki kad OKU.

Selain masalah pembelajaran yang spesifik seperti itu, terdapat juga beberapa sindrom lain yang sering berlaku dalam kalangan kanak-kanak pada peringkat usia perkembangan mereka seperti gangguan daya tum­puan dan hiperaktif atau ADHD, gangguan spektrum autisme, kelumpuhan fungsi sistem cerebral, sindrom Down dan Cornelia. Semua sindrom ini amat berbeza daripada masalah pem­belajaran spesifik, tetapi mereka juga boleh berkongsi simptom gangguan masalah pembelajar­an spesifik itu.

Apa yang jelas, seseorang kanak-kanak itu berisiko mengalami masalah pem­belajaran sekiranya mereka tidak dapat mengikuti proses pembelajaran secara normal seperti kanak-kanak lain pada peringkat umur sama.

Keadaan sama juga akan berlaku jika kanak-kanak itu tertinggal dalam proses pem­belajarannya akibat kelewatan memenuhi tahap-tahap perkembangan dan pembesaran yang normal, seperti ketinggalan dalam aspek pertuturan dan komunikasi, kemahiran dalam pergaulan sosial, kematangan intelek dan emosi, daya tumpuan dan daya ingatan serta sebagainya. Namun, mereka tetap memiliki fungsi IQ dan kepintaran setanding dengan individu normal yang lain.

Akibatnya, timbullah pelbagai tanda gejala masalah yang berlaku dalam proses pembelajaran itu seperti sukar untuk memberi tumpuan dan fokus dalam pembelajaran, menjejaskan daya ingatan, tidak memahami pelajaran yang diajarkan, hilang minat untuk belajar, kerap ponteng sekolah, dan ak­hirnya terlibat dengan pelbagai gejala sosial.

Dalam hal ini, amatlah tidak wajar bagi sesiapa pun untuk menghukum kanak-kanak tersebut sebagai pemalas dan bodoh. Mereka tidak dilahirkan untuk menjadi pemalas atau bodoh hanya kerana mereka itu bermasalah, lewat atau ter­tinggal dalam proses perkembangan dan pembesaran.

Bukan sesuatu yang mustahil bagi kanak-kanak atau individu bermasalah seperti ini untuk menjalani kehidupan normal seperti orang lain. Mereka berupaya belajar, berpasangan dan bekerjaya. Apa yang mereka perlukan ialah sokongan semua pihak dan pendekatan yang khusus dengan kaedah strategik dalam membimbing dan mendidik mereka sehingga berjaya.

Memandangkan kes berkaitan masalah pembelajaran ini semakin meningkat, masyarakat dan komuniti perlu berganding bahu bagi meningkatkan kesedaran terhadap penjagaan dan pendidikan serta peluang kemahiran dan kerjaya untuk masa depan mereka.

Perlu diwujudkan satu pelan strategik ke arah menyeimbangkan di antara peningkatan kes dan tahap kesedaran masyarakat. Kesukaran berkaitan masalah pembelajaran dan tahap perkembangan kanak-kanak dan individu perlu diuruskan bukan sahaja di peringkat keluarga, bahkan melibatkan keputusan politik, masyarakat serta negara.

Pertamanya, kesukaran dalam masyarakat akan terus wujud selagi pertambahan kes itu tidak disusuli dengan peningkatan tahap kesedaran menerusi pelbagai program kesedaran di samping penyediaan prasarana dan fasiliti yang mencukupi bagi golongan ini.

Keduanya, umum mengetahui bahawa masalah pembelajaran dan perkembangan ini bersifat sepanjang hayat. Oleh itu, pe­nyembuhan dan pemulihan bukanlah matlamat utama. Sebaliknya, keupayaan mereka sebagai individu yang efektif perlu dioptimumkan melalui program latihan dan kemahiran diri, yang akan membantu mereka untuk lebih mudah menyesuaikan diri, yang akhirnya akan membantu proses penyembuhan. Apa yang penting di sini ialah untuk meningkatkan keupayaan mereka untuk terus hidup secara berdikari. Ini bukan mustahil kerana tahap IQ dan kepintaran intelek mereka masih lagi berfungsi secara baik.

Ketiga, memandangkan masalah pembelajaran dan gangguan perkembangan ini bersifat sepanjang hayat, gerakan bersepadu pelbagai agensi perlu diadakan secara berterusan. Empat kementerian utama, iaitu Kementerian Kesihatan, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat perlu berganding bahu selaku pihak yang terbabit secara langsung dengan kelompok individu bermasalah pembelajar­an dan gangguan pembesaran ini.

Memang benar telah banyak urusan kebajikan dan fasiliti berkaitan untuk kebaikan dan kemudahan mereka. Namun banyak juga isu dan persoalan terkini yang perlu diselesaikan. Umpamanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu memperluaskan lagi skop keutamaan penjagaan OKU, bukan sekadar mengeluarkan kad OKU atau mewujudkan satu pangkalan data bagi mengumpul bilangan kes. Sebaliknya optimumkan data tersebut untuk memantau kemajuan mereka dan menyemak pelaksanaan perancangan pendidikan individu dan kerjaya golongan itu sepanjang hayat.

JKM juga boleh bekerjasama dengan agensi pencari pekerjaan yang sanggup untuk menerima golongan ini sebagai pekerja, sesuai dengan keupayaan masing-masing, setelah mereka tamat sesi pengajian, bagi mengelakkan golongan ini daripada terus terpinggir.

Mengenai Bersih 4.0 dan akibatnya

Berikut ringkasan terjemahan analisis akhbar Cina mengenai Bersih 4.0 yang ditulis oleh Timbalan Ketua Pengarang Sin Chew Daily, Tay Tian Yan. Beliau berpandangan, perbincangan menge­nai beberapa fenomena berkaitan Bersih 4.0 dan selepas­nya adalah lebih menarik daripada terus berpaut kepada emosi yang timbul akibat perhimpunan itu.

1. Tiada impak terhadap (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) dan UMNO


KERATAN akhbar analisis bertajuk 'Mengenai Bersih 4.0 dan akibatnya yang ditulis Timbalan Ketua Pengarang Sin Chew Daily, Tay Tian Yan yang disiarkan di halaman 29 akhbar berkenaan pada 2 September 2015.

Ada yang berkata perhimpunan tiada kena-mengena dengan isu kaum kerana ia lebih berpaksikan kepada faktor keadilan dan kesaksamaan. Secara teorinya, hujah itu betul dan saya bersetuju sepenuhnya. Tetapi, dari sudut realpolitic, itu bukan pandangan UMNO dan Najib. Asas kuasa Najib terletak pada UMNO manakala asas kuasa UMNO terletak pada masyarakat Melayu yang konservatif. Selagi masyarakat Melayu konservatif tidak terpengaruh dengan perhimpunan tersebut maka Najib dan UMNO tidak dapat ditum­bangkan. Bersih dan pembangkang amat memerlukan masyarakat Melayu yang berada di ‘tengah’ dan golongan tersebut telah hilang kali ini. Mereka tidak ambil peduli atau mereka membantah perhimpunan, menyebabkan Bersih kehilangan tumpuan dan melenyapkan tekanan terhadap Najib dan UMNO.

2. MCA dan Gerakan kalah besar

Selepas Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu, MCA dan Gerakan terus berusaha untuk mengembalikan sokongan masyarakat Cina. Kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan serta kemasukan semula MCA dan Gerakan dalam Kabinet memberikan sedikit harapan. Namun, isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan akaun bank serta kelembapan ringgit dan ekonomi membuatkan masyarakat Cina kembali tidak berpuas hati sehingga melenyapkan harapan tersebut. Peserta perhimpunan tidak memberi impak terhadap Najib dan UMNO maka mereka mengalihkan fokus kepada MCA dan Gerakan. Usaha MCA dan Gerakan tidak membuahkan hasil dan dalam keadaan emosi yang semakin memuncak, pengundi-pengundi Cina akan menghukum MCA dan Gerakan melalui peti undi.

3. Kemunculan Tun (Dr.) Mahathir (Mohamad) tidak membawa manfaat kepada kedua-dua pihak.

Perhimpunan yang disertai berpuluh ribu orang ini pada asalnya hanya melibatkan rakyat jelata dan tiada orang kenamaan. Ketibaan Dr. Mahathir seolah-olah selebriti besar yang berjalan di atas permaidani merah pada majlis Oscar. Beliau menarik semua tumpuan. Persoalannya, sebab apa Dr. Mahathir muncul? Dr. Mahathir dan nasio­nalisme Melayu beliau tiada pasar­an dalam perhimpunan yang disertai 70 hingga 80 peratus orang Cina. Dahulu Dr. Mahathir mengambil tindakan drastik dalam mengekang perhimpunan tetapi kini hadir dan menyokong pula perhimpunan, siapa akan percaya? Pada masa sama, UMNO dan masyarakat konservatif Melayu tidak menerima kehadiran Dr. Mahathir pada perhimpunan tersebut. Mereka mengkritik beliau sebagai mengkhianati UMNO dan Melayu. Bukan mudah untuk Dr. Mahathir memberi penerangan dan pengaruh beliau juga terjejas. Mungkin beliau terlalu terdesak untuk memaksa Najib meletak jawat­an sehingga tersalah perhitungan.

4. Di mana (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim)?

Dalam perhimpunan Bersih yang dahulu, Anwar adalah watak utama. Masih ingat insiden beliau mengambil risiko untuk menghantar memorandum ke pintu besar Istana Negara sehingga menimbulkan pelbagai aksi dan sensasi? Sudah tiada lagi, semuanya sudah menjadi sejarah. Beliau kini dalam penjara keseorangan dan parti beliau tidak mampu memimpin peserta perhimpunan. Sorakan ‘bebaskan Anwar’ yang tidak seberapa juga tenggelam dalam bunyi bising vuvuzela. Ironinya, pesaing Anwar, Dr. Mahathir, muncul pula semasa perhimpunan dan menerima sorak­an daripada peserta perhimpunan. Begitu pedih sekali.

5. Harapan Gerakan Harapan Baru (GHB) sudah pudar

GHB yang dipimpin Mohamad Sabu berniat untuk menggantikan tempat Pas dan ingin mobilisasi masyarakat Melayu untuk me­nyertai perhimpunan. Sekiranya GHB ada pengaruh tersebut maka akan terbukti gerakan itu mempunyai kekuatan akar umbi dan mampu mengekang Pas. Namun, itu bukan realiti sebenar. Kelemahan GHB terdedah dan walaupun dibarisi beberapa pemimpin ternama tetapi tanpa bendera Pas, GHB tidak mempunyai ramai pengikut.

6. (Datuk Seri Abdul) Hadi Awang senyum lebar

Abdul Hadi sebenarnya telah melakukan satu pertaruhan. Pas tidak menyertai perhimpunan adalah mesej jelas kepada DAP dan pada masa sama, memberi kelebihan kepada UMNO. Risikonya adalah sekiranya ahli parti dan penyokong sendiri memilih untuk menyokong Bersih maka ia adalah satu tamparan kepada Abdul Hadi. Akhirnya Abdul Hadi menang. Beliau membuktikan ahli parti dan penyokongnya masih di bawah kawalannya serta ia juga satu mesej kepada orang ramai bahawa tiada reaksi negatif terhadap haluan bermesra dengan UMNO.

7. Renungan mengenai perhimpunan

Kejayaan perhimpunan adalah pada bilangan peserta dan proses yang aman. Kegagalannya adalah nisbah penyertaan kaum yang tidak seimbang sehingga tidak menghasilkan impak dan tersasar daripada objektif sebenar. Insiden-insiden yang kurang waras seperti memijak gambar individu tertentu (seorang pemimpin kerajaan dan seorang ulama), maki hamun dengan bahasa yang kesat dan meletakkan gambar orang yang hidup pada kertas yang digunakan untuk sembahyang pengebumian merupakan antara pantang larang orang Melayu/Muslim. Tindakan tersebut akan menimbulkan kemarahan dan memberi kesan jangka panjang kepada Bersih pada perhimpunan akan datang. Persoalannya, kenapa penganjur perhimpunan tidak menyekat tindakan tersebut dan tiada tindakan susulan diambil? Pendidikan terhadap aktivisme sosial perlu dipertingkatkan lagi.

Haramkan Gerakan Jalanan

SETIAP aksi tetap mencetuskan reaksi. Begitu hakikatnya apabila dua peserta Bersih 0.4 memijak gambar Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri, Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN), dan menginjak-injak gambar Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku Presiden Pas.

Dua individu yang melakukan tindakan di atas memang kelihatan masih remaja. Namun keterlanjuran mereka memprovokasikan sensitiviti kaum tetap menimbulkan reaksi daripada segolongan masyarakat Melayu dan umat Islam tanpa mengira tahap usia.

Reaksi kepada aksi di atas pas­tinya daripada segolongan orang Melayu dan umat Islam. Jika ini terjadi, pihak yang mencetuskan aksi ini pula menudingkan jari, kononnya bangsa Melayu dan umat Islam di Malaysia bersikap rasis!


Tiga orang peserta perhimpunan haram Bersih 4.0 berbaring di tengah-tengah Jalan Tun Perak berhadapan dengan Menara Maybank, baru-baru ini. BERNAMA

Pada ketika ini memang reaksinya hanya dalam bentuk kenya­taan media yang penuh retorika atau laporan polis yang bersifat klise. Namun bagaimana jika hati nurani Melayu/Islam yang tersayat rabak akibat aksi di atas mencetuskan reaksi yang menggemparkan dan mungkin menyemarakkan api perkauman yang ganas di serata Malaysia?

Sayugia kita beringat bahawa aksi dan reaksi perkauman telah mencetuskan tragedi 13 Mei 1969 dan hampir-hampir mencetuskan konflik kaum di Kuala Lumpur pada 27 Oktober 1987. Oleh sebab itu, pentadbiran Dr. Mahathir Mahathir Mohamad (Tun) pada masa itu yang melancarkan Operasi Lalang untuk menahan 119 individu menerusi Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berbuat demikian untuk mencegah berulangnya keganasan kaum pada 13 Mei 1969 (Khoo 1995: 285).

Pucuk kepimpinan tertinggi Malaysia, khususnya Perdana Menteri dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri perlu bertindak tegas, berani dan segera untuk membendung segala kemungkinan yang boleh tercetus akibat aksi di atas.

Seperti yang penulis huraikan dalam tulisan baru-baru ini, peme­rintah perlu mensekuritisasikan isu keselamatan seperti gerakan jalanan anjuran Bersih 0.4. Ini kerana sekuritisasi memberi kuasa kepada pemerintah untuk mengisytiharkan sesuatu isu keselamatan sebagai ancaman yang nyata, ancaman yang perlu diatasi segera dan ancaman yang wajar ditangani melalui pendekatan luar biasa tanpa mematuhi prosedur operasi lazim atau stan­dard operating procedures (SOP).

Lantas setelah melihat apa yang terjadi baru-baru ini, Perdana Menteri selaku ketua eksekutif ke­selamatan nasional Malaysia dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Keselamatan Dalam Negeri, wajar berani menggunakan kuasa untuk mensekuritisasikan gerakan jalanan tersebut.

Gerakan jalanan seperti anjuran Bersih 0.4 mesti diharamkan segera dan buat selama-lamanya. Kenya­taan pelbagai pihak yang mengutuk gerakan jalanan ini, seluruh laporan polis mengenainya, serta ulasan-ulasan media yang mementingkan rakyat dan negara, adalah bukti sokongan majoriti rakyat Malaysia terhadap tindakan mengharamkan gerakan jalanan ini.

Perdana Menteri dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri jangan bimbang, pengharaman ini adalah tindakan mencegah hati nurani Melayu/Islam, selaku penduduk majoriti Malaysia, supaya tidak jadi lebih tercalar dan jadi lebih pilu sehingga mendorong reaksi yang serius suatu hari kelak.

Mensekuritisasikan gerakan jalanan menerusi pendekatan mengharam­kannya tidak boleh dibantah oleh sesiapa. Objek rujukan kepada pengharaman ini bukan sekadar keselamat­an nasional dan ketenteraman awam, bahkan perpaduan nasional, keharmonian beragama dan keselamatan masyarakat Malaysia yang majmuk.

Hakikatnya demikian kerana aksi baru-baru ini dicetuskan oleh mereka yang beridentiti bukan Melayu. Jadi reaksinya tentu daripada segolongan orang Melayu dan umat Islam. Jika reaksi ini tercetus, perpaduan nasional, keharmonian ber­agama dan keselamatan masyarakat majmuk turut tergugat. Sekali gus ini mengancam ketenteraman awam dan keselamatan nasional.

Lantas, siapa boleh menuduh pemerintah sebagai zalim menerusi pengharaman gerakan jalanan seperti ini, jika yang mahu dipelihara oleh pemerintah menerusi pensekuritisasian serta pengharaman tersebut adalah keselamatan rakyat yang maj­muk dan keselamatan nasional?

Jika tindakan pensekuritisasian Pentadbiran Tunku Abdul Rahman untuk mengelakkan “seluruh Malaysia bermandi darah” akibat penyemarakan propaganda Malaysian Malaysia pada tahun 1964-1965, menyebabkan Singapura disingkirkan daripada Malaysia; apa ruginya jika pentadbiran Najib mengharam­kan gerakan jalan ini untuk menyelamatkan kemungkinan Malaysia “bermandi darah” dalam tempoh terdekat, iaitu seandainya orang Melayu dan umat Islam sudah habis tahap kesabarannya akibat provokasi bertubi-tubi yang disasarkan kepada mereka kebelakangan ini?

Oleh itu, pentadbiran Najib, perlu tegas dan berani. Jangan ditangi­si ketiadaan ISA yang sudah mansuh akibat kesilapan yang mungkin tidak disengajakan. Sekuritisasi adalah konsep keselamatan yang boleh dijadikan instrumen berkesan untuk mengatasi dilema ketia­daan ISA mutakhir ini.

Penggunaan sekuritisasi tidak memerlukan akta khusus. Penggunaan sekuritisasi adalah berasaskan landskap keselamatan nasional di sesebuah negara pada satu detik waktu yang spesifik. Dengan tindakan mendeklarasikan sesuatu isu keselamatan menjadi ancaman yang nyata kepada negara dan rakyat jelatanya, pemerintah berhak memilih apa jua pendekatan untuk mengatasinya. (Perisytiharan ini sebenarnya sudah dilakukan, namun tindakan luar bia­sanya masih dinanti-nantikan)!

Pendekatan akibat sekuritisasi tidak tertakluk kepada mana-mana akta atau SOP. Bahkan lebih ber­corak luar biasa, paradoxical atau penuh percanggahan daripada kelazimannya, dan counter-intuitive atau terkeluar daripada pemikiran biasa.

Sekuritisasi juga lebih flexible daripada ISA dan berasaskan ciri-ciri politik. Tetapi, keselamatan juga adalah mengenai politik, walaupun bukan semua persoalan politik menjadi isu keselamatan.

Hakikatnya seperti di atas kerana sekuritisasi adalah konsep ke­selamatan yang muncul berasaskan dinamika masyarakat atau berlandaskan social constructivism. Ia juga diwujudkan untuk mengatasi sesuatu isu keselamatan yang sukar ditangani secara berkesan menerusi mana-mana akta atau SOP.

Lantas pentadbiran Najib tidak wajar berlengah-lengah lagi. Sekuritisasi adalah konsep yang memberi manfaat keselamatan kepada pemerintah, negara dan sebilangan besar rakyat jelata tanpa mengira keturunan dan agama.

Tanggapan salah hubung kait minyak, ekonomi

Perubahan mendadak harga minyak menyebabkan ketidakstabilan ekonomi dan pasaran kewangan dunia. Apabila harga minyak turun mendadak melebihi 50 peratus tahun lalu, iaitu daripada AS$110 kepada AS$55 satu tong, puncanya jelas - tindakan Arab Saudi menambah pengeluaran bagi meningkatkan pegangannya dalam pasaran minyak dunia.

Apa yang menyebabkan harga minyak terus merudum dalam beberapa minggu ini - hingga ke tahap paling rendah berbanding kesan krisis kewangan dunia pada tahun 2008? Bagaimana ia memberi kesan kepada ekonomi dunia?

Jawapan yang biasa kita dengar adalah permintaan yang lemah oleh China dan merudumnya harga minyak dianggap sebagai petanda kemelesetan, sama ada di China atau keseluruhan ekonomi dunia.

Bagaimanapun, tanggapan ini salah, walaupun ada benarnya wujud hubungan jelas antara minyak dan pasaran ekuiti, yang menurun ke tahap paling rendah sejak tahun 2009 bukan sahaja di China, tetapi juga Eropah dan kebanyakan ekonomi yang sedang berkembang.

Ramalan terhadap harga minyak sebenarnya agak mengagumkan, tetapi hanya sebagai petunjuk bertentangan. Kejatuhan harga minyak tidak pernah diramal dengan tepat sebagai kejatuhan ekonomi.

Dalam beberapa kejadian di mana harga minyak turun sehingga separuh - 1982-1983, 1985-1986, 1992-1993, 1997-1998 dan 2001-2002 - pertumbuhan pantas di seluruh dunia menyusul.

Sebaliknya, setiap kali berlaku kemelesetan dunia sejak 50 tahun lalu, ia sentiasa didahului dengan peningkatan mendadak harga minyak.

Terbaru, harga minyak hampir tiga kali ganda daripada AS$50 (RM212.97) kepada AS$140 (RM596.31) satu tong, di sekitar tahun yang menyaksikan kejatuhan, iaitu pada tahun 2008 dan kemudian merudum kepada AS$40 (RM170.37) enam bulan sebelum ekonomi menyaksikan pemulihan yang bermula pada April 2009.

Rangsangan KNK

Menurut Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF), penurunan harga minyak tahun ini seharusnya memberi rangsangan kepada Keluaran Negara Kasar (KNK) sebanyak 0.5 hingga satu peratus di seluruh dunia, termasuk pertumbuhan 0.3 hingga 0.4 peratus di Eropah, satu hingga 1.2 peratus di Amerika dan satu hingga dua peratus di China.

Bagaimanapun, jika pertumbuhan ini mungkin agak cepat bagi ekonomi yang menggunakan minyak seperti China, apakah yang menjadi hujah kepada harga minyak yang menjunam?

Jawapannya bukan terletak pada ekonomi China dan permintaan terhadap minyak, sebaliknya geopolitik negara Asia Barat dan bekalan minyak. Walaupun polisi pengeluaran Arab Saudi jelas di sebalik kadar harga minyak yang separuh tahun lalu, penurunan terkini yang bermula pada 6 Julai, berlaku pada tempoh beberapa hari sebelum perjanjian untuk menghentikan sekatan antarabangsa terhadap Iran.

Keadaan di Libya, Russia, Venezuela dan Nigeria yang teruk menambah kekalutan dalam pengeluaran minyak adalah sukar untuk dibayangkan.

Sebaliknya, dengan banyak negara pengeluar minyak di dunia dicengkam kekacauan politik, sebarang tanda keadaan akan stabil dengan cepat merangsang bekalan. Inilah yang berlaku di Iraq tahun lalu dan Iran pada masa ini menggunakan situasi ini untuk kepentingannya.

Sebaik sekatan ditarik balik, Iran berjanji meningkatkan eksportnya dua kali ganda dengan segera berjumlah dua juta tong sehari yang kemudian akan ditingkatkan dua kali ganda sekali lagi menjelang hujung dekad ini.

Untuk melakukannya, Iran harus merangsang jumlah pengeluaran (termasuk penggunaan dalam negeri) kepada enam juta tong sehari, hampir sama dengan kemuncak pengeluarannya pada tahun 1970-an.

Melihat kepada kemajuan dalam teknologi penggerudian minyak sejak tahun 1970-an dan besarnya rizab dimiliki Iran (keempat terbesar di dunia, selepas Arab Saudi, Russia dan Venezuela), mengembalikan pengeluaran ke tahap yang diperoleh 40 tahun lalu, bukanlah perkara sukar.

Persaingan baharu


Untuk mencari pembeli bagi lebihan minyak ini, kira-kira hampir sama dengan lebihan pengeluaran dihasilkan Amerika daripada proses serpihan, Iran harus bersaing dengan hebat bukan sahaja dengan Arab Saudi, tetapi juga Iraq, Kazakhstan dan Russia serta pengeluar yang lebih kecil.

Semua negara ini juga berusaha mengembalikan semula pengeluaran mereka kepada tahap kemuncak dan mampu mengeluarkan minyak lebih banyak daripada apa dikeluarkan pada tahun 1970-an dan 1980-an melalui teknologi pengeluaran baharu yang diterokai Amerika.

Dalam suasana persaingan baharu ini, dagangan minyak akan diniagakan seperti komoditi lain, tambahan pula monopoli Arab Saudi dipecahkan, manakala kos pengeluaran di Amerika Utara ditetapkan pada harga siling jangka panjang AS$50 satu tong.

Justeru, jika anda ingin memahami soal kejatuhan harga minyak, lupakan perkara berkaitan penggunaan di China, sebaliknya fokus kepada pengeluaran di Asia Barat.

Jika anda juga ingin mengetahui mengenai ekonomi dunia, lupakan kepada pasaran saham, sebaliknya tumpukan kepada hakikat bahawa harga minyak yang rendah akan sentiasa merangsang pertumbuhan global.

Anatole Kaletsky Berita Harian Kolumnis 6 September 2015