September 9th, 2015

Dunia ini hanyalah sebuah pentas, siapa peduli?

UMAT ISLAM yang dipengaruhi oleh politik, sama ada kepartian atau ideologi sering menganggap merekalah terhebat dan paling hebat.

Orang lain tak hebat seperti mereka. Malah orang lain tak layak masuk syurga langsung, waima syurga di peringkat paling corot sekali pun.

Sehinggakan mereka sanggup menjadikan pendekatan mereka sebagai terlalu ganas dan terlalu zalim kerana mahu mempertahankan kehebatan mereka.

Mereka sanggup membakar hidup-hidup sesama agama, menyembelih hidup-hidup dan menenggelamkan mangsa sampai mati, yang dipertontonkan secara sadis kepada satu dunia perbuatan itu.


ANGGOTA separa tentera Turki memeriksa mayat seorang kanak-kanak pelarian Syria, Aylan Kurdi,3, yang terdampar di pantai Bodrum, selatan Turki pada 2 September lalu setelah bot yang dinaikinya bersama keluarga karam ketika dalam perjalanan ke Greece. AP

Maka itu, orang yang tidak sehaluan dengan mereka akan dicap sebagai kafir, tidak akan masuk syur­ga -- walaupun di tahap syurga paling corot -- dan dianggap kolot dan dihalalkan darah mereka.

Di negara kita pun ada jenis yang sebegitu, sehinggakan di sekitar tahun-tahun 70an mahu menonton TV pun haram. Set TV itu dicampak ke dalam sungai.

Tetapi kerana mereka itu Islam Melayu yang secara lahiriahnya lembut orangnya, ketaksuban mereka tidaklah sehingga menjadi seperti Taliban di Afghanistan.

Taliban menganggap merekalah yang paling dekat dengan Allah SWT. Yang lain-lain adalah kolot. Wanita tidak boleh langsung di pandang dengan mata kasar oleh orang lain. Tidak boleh ke sekolah. Hanya layak menjadi hamba kepada suami mereka.

Sehinggalah tergamak membalas dendam kepada gadis bernama Malala Yousafzai. Hanya kerana budak perempuan itu mahu ke sekolah.

Kemudian timbul pula al-Qaeda yang semua orang tahu diwujudkan oleh CIA melalui Osama Bin Laden untuk berlawan dengan komunis Soviet yang menjajah Afghanistan.

Setelah itu al-Qaeda pula kononnya dituduh melawan tuan, sehingga digelar pula sebagai syaitan yang perlu dihapuskan.

Amerika menguar-uarkan kepada dunia bahawa al-Qaedalah yang menyerang negara itu sehingga menara WTC di New York ranap menyem­bah bumi.

Mayat penyerang dalam serang­an pesawat terbang itu, hancur tanpa kesan.

Dalam Cuit beberapa minggu lalu bertajuk “UMNO dan orang Melayu hari ini” saya ada menyelit perenggan ini:

Sedarkah orang Melayu siapa yang mewujudkan IS, Islamic State atau Negara Islam dan mengapa media barat sudah tidak menyebut al-Qaeda lagi?

Siapa agaknya yang mewujudkan kedua-dua pertubuhan itu? Jika al-Qaeda diwujudkan kononnya oleh CIA bagi melawan Rusia di Afghanistan, siapa pula yang mewujudkan IS?

Adakah kerana al-Qaeda gagal memberi impak untuk merosakkan Islam, lalu ia ditiadakan? Lalu dilenyapkan Osama Bin Laden, yang tiada berkubur itu, yang ko­nonnya dibuang Amerika ke laut?

Lalu tiba-tiba muncul pula IS yang tindakannya terlalu kejam bagi memberi impak maksimum mengenai teruknya orang Islam. Diberi lagi impak namanya pula ialah Islam, lalu disebut hari-hari oleh media dunia dengan panggilan Islamic State.

Kini kekejaman itu lebih nyata lagi. Islam diburukkan seburuk-buruknya dalam sejarah dunia.

Nampak tak? Ia adalah taktik. Sama ada dalam peperangan atau dalam politik, taktik gerak saraf boleh digunakan semaksimum mungkin bagi menghancurkan sesebuah bangsa, negara, agama dan tanah air.

Begitulah yang terjadi kepada Islam dan Malaysia hari ini.

Apapun musuh kita akan gagal jika kita masih waras, bertenang. Tetapi malangnya yang marah, ke­coh, banyak bercakap, keliru, kebengongan ialah orang Mela­yu sendiri. Kaum-kaum lain se­nyap dan terus istiqamah dalam pekerjaan mereka.

*****

MEDIA barat kini memperlihatkan kepada dunia satu exodus orang Islam dari negara-negara orang Islam kerana lari daripada pemerintahan kuku besi -- dan mahu mendapatkan pelindungan di negara Kristian Barat.

Mereka lari daripada pasukan militan ganas dan kejam, IS yang kononnya mahu mewujudkan Dau­lah Islamiah atau Negara Islam yang sepatutnya negara-negara itu lebih hebat daripada Britain, Jerman dan Austria.

Tetapi mengapa mereka lari? Tidak hebatkah negara-negara atau daerah-daerah yang ditawan oleh Islamic State untuk dijadikan negara Islam itu?

Setakat ini tiada negara orang Islam yang menyahut atau mahu menyapa dengan keadaan itu. Se­perti biasa, OIC, Liga Arab dan lain-lain pertubuhan Islam lain membisu.

Yang bising sehinggalah mendapat liputan live melalui CNN dan BBC adalah Perdana Menteri Britain, Jerman, Hungary dan lain-lain anggota EC.

Masing-masing membuat kenya­taan bagi memberi pengertian kepada gerombolan pelarian beramai-ramai itu.

Kaum pelarian dari Syria, Ye­men, Iraq, Iran itu diperlihatkan kepada dunia berjalan kaki secara beramai-ramai setelah mengharungi lautan, yang ada antaranya terkorban di laut.

Apabila mereka tiba di Hungary, PMnya enggan membenarkan pula mereka menjejaki negara itu kerana “terkenangkan” zaman Uthmaniah menyerang dan menawan negara itu selama kira-kira 250 tahun.

Mereka fobia dengan Islam dan orang-orangnya. Akibat pelarian itu, ada yang ditonjolkan secara rela murtad dan menukar ke agama Kristian di Jerman, manakala PM Britain semalam mengumumkan bersetuju mengambil beribu warga Syria. Keutamaan ialah anak-anak yatim.

Gambar bayi rakyat Syria yang terdampar di pantai sememangnya merentap perasaan kemanusiaan kita? Tapi siapa peduli. Adakah kita orang Islam peduli?

Adakah orang kita sendiri di negara ini peduli? Jika peduli mengapa ada orang kita yang terlalu mengagung-agungkan IS?

Apa kata jika IS juga adalah ciptaan agensi kuasa besar ekoran perkembangan Islam mutakhir ini?

Perisikan Malaysia sendiri masih samar siapa sebenarnya IS, siapa di belakangnya.

Namun jika diperhalusi, diteliti daripada trendnya tidak mustahil ia “satu lagi al-Qaeda dicipta”, kata seorang sahabat saya yang terlibat dalam perisikan militansi ini.

Jika itulah hakikatnya, dunia yang kita tinggal ini sebenarnya hanyalah satu pentas pementasan yang diarahkan oleh orang-orang politik, dan kuasa besar semata-mata kerana soal geopolitik dan ketamakan.

Manusia pula adalah pelakon-pelakon tanpa skrip yang kebi­ngungan dan bergelut untuk hidup ala filem Hollywood, The Hunger Games.

Wallahualam...

ANTARA 10-0 DAN TIM PROFESIONAL MALAYSIA?

PETANG sebelum perlawanan Malaysia menentang UAE minggu lalu, seorang sahabat saya Osman tiba-tiba sambil ketawa kecil berkata “silap-silap Malaysia kena 10-0”. Ketika itu kami sedang kena teh tarik dengan beberapa rakan lain di Shah Alam.

Pagi esok media sosial di telefon saya tak berhenti-henti berbunyi. Saya lihat di laman whatsapp perbincangan mengenai 10-0.

Kemudian baharu saya sedar pasukan bola sepak kita sudah kena 10 biji tanpa balas.

Saya pula ketawa kecil sorang-sorang, teringatkan Abang Man, panggilan saya kepada Osman.

“Masin betul mulut si Osman.”

Ketika tulisan ini ditulis, saya belum tahu nasib pasukan kita di tangan Arab Saudi untuk kelayakan ke Piala Dunia itu.

Mungkin saya perlu tanya Osman apa ramalannya?

Tapi itu tak penting. Ia sudah jadi bubur. Masak macam mana pun bubur tetap bubur dan ia tak akan mengubah 10 kosong itu.

*****

APA penyelesaiannya?

Selain membubarkan tim Malaysia yang lesu itu dan kurangkan orang politik dalam FAM dengan memasukkan orang yang pakar dalam bidang itu, pasukan kebangsaan Malaysia perlu diprofesionalkan.

Ya, profesionalkan pasukan Malaysia. Jika Piala Dunia tiga tahun lagi, bentuk pasukan yang fresh dan jadikan mereka pasukan profesional Malaysia Piala Dunia itu.

Pastikan pemainnya tidak bermain dengan mana-mana pasukan selain pasukan profesional Malaysia itu. Ia adalah satu tim yang khusus dibentuk untuk Piala Dunia atau Piala Asia.

Kita bimbang jika mereka ini pemain liga bergaji besar, ada kemungkinan mereka mahu menjaga “betis” daripada kecederaan. Jika cedera dan kena berehat, gaji di pasukan liga akan dipotong.

Bayar gaji mereka mengikut pasukan liga negeri lain, atau lebih tinggi daripada itu.

Jika boleh ambil pemain asing, neutralisasikan mereka sebagai rakyat Malaysia di masa pembentukan pasukan itu.

Fokuskan kepada Piala Dunia itu. Pilih jurulatih yang tidak mengenali pun pemain-pemainnya. Pilihlah pemain-pemain muda yang mantap dari segi fizikal dan spiritual.

Jangan layan jika ada pemain manja yang mengadu kepada pihak FAM sehinggakan coach itu disingkirkan.

Atur program latihan yang mencapai tahap dunia, setaraf dengan Piala Dunia itu sendiri.

Aturkan permainan persaha­bat­an dan dan antarabangsa yang konsisten dan sistematik.

Disiplin wajib di tahap yang paling tinggi, yang tiada kompromi.

Ambillah iktibar peristiwa bersejarah 10-kosong itu.

Jangan jadi macam kata-kata bekas jurulatih mat salih sebuah pasukan negeri dulu: “main tak pakai otak, main macam lembu...!”

Alurkan cinta dan sikap positif

KECINTAAN terhadap nega­ra adalah syarat utama bagi bangsa yang merdeka. Atas dasar kecintaan jugalah telah menjadi alasan dan justifikasi kepada tindakan seseorang individu dalam negara yang mengamalkan demokrasi. Ada yang memilih jalan damai iaitu menerusi rundingan dan diplomasi bagi menzahirkan rasa cinta kepada negara; ada juga yang mengambil tindakan agresif atas justifikasi yang serupa; dan ada juga yang bersikap tunggu dan lihat sebelum membuat sebarang tindakan. Kesemua inilah ragam pemimpin dan rakyat di sesebuah negara demokrasi.

Atas prinsip kebebasan bersuara dan kuasa pilihan majoriti, maka individu di negara demokrasi diberi ruang meluah rasa dalam konteks perundangan. Jika dulu, luahan rasa dan lontaran pandangan memerlukan usaha yang lebih gigih termasuklah dengan melakukan propaganda, kempen atau ceramah terbuka; kini usaha tersebut kian mudah. Tidak perlu lagi mendapatkan permit untuk mengadakan rapat umum terbuka kerana rapat umum alam maya telah menjadi alternatif.

Uniknya sosiobudaya di Malaysia adalah kerana wujudnya perbezaan sikap dan tingkah laku dalam kalangan lelaki dan wanita. Majoriti lelaki lebih cenderung untuk me­nyuarakan pendapat, pandangan dan kempen terhadap isu negara secara terang-terangan sama ada menerusi penulisan di blog, status di laman sosial dan jaringan pantas telekomunikasi (WhatsApp dan Twitter).

Sebaliknya, majoriti wanita pula mengambil sikap yang lebih berhati-hati dalam menyuarakan rasa terhadap perkembangan negara. Maka, golongan wanita sering dilihat sebagai pengundi senyap dalam pilihan raya dan ini memberi cabaran kepada penganalisis untuk membuat culaan sokongan. Namun, itu tidak bererti mereka tidak ada prinsip dalam pemilihan kepimpinan politik negara. Perbezaan sikap dan tingkah laku ini menjadi tanda tanya tentang bagaimanakah sikap yang paling wajar bagi pe­mimpin dan rakyat di sebuah negara demokrasi.

Selain perbezaan gender, ter­nyata isu-isu yang berkaitan dengan etnik menjadi topik hangat dalam pelbagai skop perbualan sama ada politik, pendidikan, ekonomi atau sosial. Kritikan dan dakwaan terhadap kumpulan etnik lain sering menjadi agenda kempen dalam meraih sokongan. Cubaan membangkitkan rasa resah dalam kalangan pelbagai etnik kerap digunakan media sosial. Suntingan terhadap visual serta audio-visual dilakukan secara kreatif sama ada dengan tujuan mengkritik ataupun meman­cing perhatian. Jika dulu, visual sebegini mudah memberi kesan kepada persepsi golongan dewasa, namun kini sebaliknya. Ramai yang mula mempersoalkan kebenaran sesuatu fakta, visual dan audio-visual yang dihasilkan. Namun, jangan dilupa impaknya kepada kanak-kanak. Biarpun, kanak-kanak sering dilabelkan sebagai digital natives, mereka masih mentah untuk memahami selok-belok dan rencah kehidupan.

Kajian di negara Barat menunjukkan kanak-kanak amat mudah mempercayai berita di media sosial serta mudah tertipu dengan penipuan identiti dalam media sosial. Malah, ia juga berupaya memupuk sikap pre­judis dalam kalangan generasi kanak-kanak. Perbezaan sosiodemografi ini amat perlu diambil kira oleh setiap individu di negara ini dalam menzahirkan pandangan dan sikap kerana impaknya mungkin lebih jauh dari yang kita mahukan.

Harus diingat bahawa negara-negara di dunia hari ini telah ‘diikat’ dengan kuat oleh kuasa sebaran maklumat sehingga banyak negara yang aman telah bertukar menjadi tragedi ekoran pengaruh sebaran makumat ini. Sebaliknya pula, terdapat juga negara yang makin maju dengan ‘ikatan maklumat’ ini. Mengalihkan aliran kuasa maklumat ke arah yang lebih positif memerlukan sokongan padu daripada rakyat jelata terhadap kepimpinan berintegriti.

Amat mustahil untuk membiarkan pemimpin dan rakyat di negara demokrasi untuk bersikap diam dan membisu kerana ini bukanlah sifat dan sikap pemimpin dan rakyat di negara demokrasi. Jikalau diam dan bisu menjadi pilihan, maka keutuhan sebuah demokrasi pasti diragui. Maka, sikap rakyat dan pemimpin yang peka dan lantang bersuara terhadap situasi negara atas dasar kecintaan dan nilai patriotisme perlulah dialurkan ke laluan yang betul, positif dan konstruktif.

Hasratnya adalah kelestarian kemajuan negara ini terhasil daripada rasa dan sikap cinta kepada negara. Siapa lagi yang akan membangunkan tanah air ini kalau bukan bangsanya sendiri? Mohd Mahzan Awang Utusan Malaysia Rencana 09 September 2015 12:50 AM

Bila pokok condong, biawak pun naik

KALAU sekali orang datang dan sekeh kepala anda dari belakang, tentu anda marah. Amarah itu mungkin tak seberapa sebab kali pertama. Mungkin anda seorang berhati mulia, sedia memaafkannya dan menganggap dia mungkin bergurau atau ‘mental’.

Tetapi bagaimana jika perbuatan itu dilakukan pada kali kedua, ketiga, keempat dan seterusnya? Perlakuan itu tentu sekali tidak lagi di luar kawalannya tetapi sudah pasti dalam kawalan dan penguasaannya. Takkanlah anda yang menjadi mangsa akan duduk diam, membatu, seterusnya membiarkan sahaja berulang kali perbuatannya.

Demikian juga dengan Bersih 4.0. Su­dah diberi amaran ber­­ulang kali, sudah dibuat laporan ratusan kali di balai-balai polis merata ceruk, bandar dan desa tetapi masih begitu sikap hati kering penganjurnya.

Lebih ‘dahsyat’ lagi penganjurnya boleh ketawa besar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur tempoh hari sewaktu dipanggil menghadap pihak berkuasa tanpa rasa sedikit pun bersalah. Ketawa besar pula de­ngan bekas penganjur Bersih siri yang lepas. Bukan main galaknya dia macam Malaysia ini tidak ada undang-undang atau undang-undang zaman batu barangkali.

Kerana itu penulis cukup-cukup faham mengapa Himpunan Rakyat Bersatu mahu diadakan pada 16 September ini. Rak­yat terutama orang Melayu sudah tidak tahan lagi dengan provokasi dan macam-macam hal yang dilakukan oleh ‘puak-puak di sana’.

Apa yang berlaku dalam tiga empat tahun ini, dekat Istana di Perak; kemelut yang dialami kampung-kampung tradisi di Pulau Pinang dan banyak lagi yang boleh diakses di Google, begitu menggores perasaan orang Melayu.

Benarkah dakwaan Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker kelmarin bahawa DAP perlu bertanggungjawab di atas keangkuhan, kesombongan dan keengganannya untuk memahami orang Me­layu dan menghormati agama Islam yang boleh menyebabkan perpaduan kaum berada dalam keadaan goyah? Dakwa Lian Ker, pe­mimpin dan ahli DAP gagal untuk memahami sensitiviti orang Melayu dan menjadi penyebab ketegangan kaum memuncak.

Hakikatnya jarang bagi MCA menyuarakan hal-hal sebegini. MCA kini sama seperti orang Melayu sudah boleh menilai secara kritis apa yang berlaku di sekeliling kehidupan hari ini. Bersih 4.0 menyerlahkan segala yang hitam dan putih.

Namun bagi penulis biarpun agak terlewat untuk Lian Ker bersuara selepas MCA dan rakannya, Gerakan kalah teruk dalam dua pilihan raya umum, tetapi sekurang-kurangnya MCA yang mewakili parti Cina dalam kerajaan sudah semakin sensitif bahawa memang ada yang tidak kena dengan tindak tanduk DAP selama ini.

Bukan kerana berani bersuara mempersoalkan DAP yang memusuhi UMNO, tetapi lebih jauh dari itu, MCA mahu keharmonian kaum dan kestabilan politik dan negara terus dipelihara.Bagi penulis, DAP bukan gagal memahami sensitiviti orang Melayu tetapi sebenarnya parti itu sengaja untuk ‘gagal memahami’.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bukanlah orang yang tidak cerdik. Tetapi entah apa yang tidak kena dengannya, seolah-olah ‘tidak ada orang Melayu di sekeli­lingnya, tidak mahu dihirau dan sensitif’.

Guan Eng kena matang berpolitik. Barangkali boleh tiru orang lama DAP, Dr. Tan Seng Giaw. Perkataan dan ayat-ayat yang diungkapkan Seng Giaw begitu tertib dan tenang walaupun se­ringkali beliau sedap-sedap ‘membelasah’ wakil rakyat BN.

Di satu aspek, apa yang berlaku hari ini termasuk kegawatan politik yang dicetuskan Bersih 4.0 wajar dijadikan pengajaran kepada BN terutama oleh 3.7 juta ahli UMNO. Kalau Bersih 4.0 bermotif politik, untuk mengguling kerajaan, yang bermakna menjatuhkan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, maka Bersih 4.0 wajar ditangani secara politik juga.

Iaitu, dengan cara ahli UMNO memperbaiki kekuatan parti, dengan tidak lagi bersandarkan keupayaan meraih 88 kerusi Parlimen yang juga kurang satu kerusi kekuatan yang diraih tiga parti dalam pakatan pembangkang pada pilihan raya umum 2013.

Jangan keterlaluan meyakini angka besar seperti 3.7 juta ahli UMNO untuk menang pilihan raya. Jangan lupa, ahli DAP, Pas, PKR (dan terbaharu Parti Amanah nanti), tidak lebih 800,000 orang. Tetapi mereka telah memenangi nisbah undi popular dua musim pilihan raya umum berturut-turut. Sama ada wajar atau tidak Himpunan Rakyat Bersatu dianjurkan, realitinya ada pihak yang sudah tidak tahan lagi diperlekehkan oleh pihak yang satu lagi.

Inilah bahananya apabila ‘nilai-nilai hak asasi’ dijadikan gong politik mereka, maka kita orang Melayu pun khuatir dan takut. Kita segan dan mula tunduk. Jangan lupa, bila pokok sudah condong, kura-kura pun naik - ular apatah lagi, biawak pun ikut.

Setiap yang bernama Melayu dan Bumiputera harus memikirkan hal ini. Bila kita kuat, orang segan. Bila kita lembut, orang sudu. Mesti pakai falsafah ‘kendur berdenting-denting, tegang berjela-jela.’ - Zulkifli Jalil Utusan Malaysia Rencana 09 September 2015 12.50AM

Whistleblower Protection Act 2010 (Act 711) / Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (Akta 711)

Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 adalah satu undang-undang Malaysia untuk memerangi rasuah dan lain-lain perbuatan yang salah dengan menggalakkan dan memudahkan pendedahan salah laku dalam sektor awam dan swasta, untuk melindungi orang yang membuat pendedahan dari dikenakan tindakan yang memudaratkan, memperuntukkan agar perkara didedahkan untuk disiasat diuruskan serta memperuntukkan remedi-remedi yang berkaitan.

Akta ini telah diluluskan oleh Parlimen pada bulan Jun 2010, dan dikuatkuasakan pada 15 Disember 2010. Objektif akta ini adalah untuk memberi perlindungan kepada pemberi maklumat dalam bentuk kerahsiaan maklumat mereka, kekebalan daripada tindakan sivil dan jenayah dan perlindungan daripada tindakan yang memudaratkan diambil terhadap mereka. Akta Perlindungan Pemberi Maklumat adalah salah satu usaha Kerajaan Malaysia dalam menangani rasuah dan menggalakkan urus tadbir yang baik di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Undang-undang perlindungan pemberi maklumat meliputi mana-mana anggota sektor awam dan swasta yang membuat pendedahan. Antara pendedahan yang digalakkan untuk didedahkan adalah penyalahgunaan kuasa, pelanggaran undang-undang dan etika standard, aktiviti yang membawa bahaya kepada kesihatan atau keselamatan awam, pembaziran yang serius, menyalahi undang-undang dan salah urus. Pendedahan perlu dibuat, niat yang baik dan berdasarkan kejujuran serta alasan yang munasabah pada masa material tersebut tanpa memerlukan bukti kukuh daripada pemberi maklumat.

Tanggungjawab mengumpulkan bukti diletakkan kepada unit penyiasatan agensi-agensi penguatkuasaan untuk memastikan bahawa pemberi maklumat itu tidak dipujuk. Walau bagaimanapun, pemberi maklumat boleh memberikan bukti sekiranya didapati secara sah melalui perjalanan biasa tugasan mereka.

Pendedahan terhadap maklumat sulit akan dikenakan didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya. Pemberi maklumat tidak akan tertakluk kepada apa-apa tindakan sivil atau liabiliti jenayah dan tiada proses pentadbiran boleh diambil terhadap pemberi maklumat yang membuat pendedahan salah laku. Di bawah akta itu juga, tiada seorang pun boleh mengambil tindakan yang memudaratkan terhadap pemberi maklumat atau orang yang berkaitan dengan atau dikaitkan dengan pemberi maklumat dalam tindakan balas bagi pendedahan kelakuan tidak wajar.

Sumber : http://www.nkracorruption.gov.my/index.php/ms/21-internal/35-akta-perlindungan-pemberi-maklumat-akta-711

The Whistleblower Protection Act 2010 is a law of Malaysia to combat corruption and other wrong doings by encouraging and facilitating disclosures of improper conduct in the public and private sector, to protect persons making those disclosures from detrimental action, to provide for the matter disclosed to be investigated and dealt with and to provide for the remedies connected therewith.

The act was passed by Parliament in June 2010, and was brought into force on 15 December 2010. The objective of this act is to give protection to the whistleblower in the form of confidentiality of their information, immunity from civil and criminal action and protection from detrimental action being taken against them. Whistleblower protection is one of the Malaysian Government’s efforts towards tackling corruption and promoting good governance under Government Transformation Programme (GTP).

The whistleblower protection law covers any member of the public and private sectors who discloses wrongdoings. Among the disclosures that intended to be disclose are abuse of authority, violation of laws and ethical standards, danger to public health or safety, gross waste, illegality and mismanagement. The disclosure should be made in “good faith” based on “honest and reasonable grounds at the material time” without necessitating hard evidence from the whistleblower. The duty of gathering evidence will be tasked to the investigation unit of the enforcement agencies to ensure that the whistleblower is not compromised. However, whistleblowers can provide evidence if it is legally available through the course of their work.

Disclosure of the confidential information will be liable to a fine not exceeding fifty thousand ringgit or to imprisonment for a term not exceeding ten years or both. A whistleblower will not be subject to any civil action or criminal liability and no administrative process can be taken against the whistleblower for making disclosure of improper conduct. Under the act also, no person shall take detrimental action against any whistleblower or person related to or associated with the whistleblower in reprisal for a disclosure of improper conduct.