September 16th, 2015

Transformasi UiTM ke arah pengiktirafan dunia

Peningkatan interaksi dan integrasi ekonomi, politik, budaya, sosial dan elemen intelektual yang melanda seluruh dunia memberi kesan besar terhadap Universiti Teknologi MARA (UiTM). Institut keramat ini semakin matang mendepani pelbagai cabaran, untuk terus menjadi entiti pendidikan tinggi terulung di Malaysia.

Perubahan landskap ekonomi memberi kesan kepada taraf sosioekonomi Bumiputera menuntut supaya UiTM melalui proses perkembangan yang begitu progresif dan dinamik melangkaui lima dekad lalu. UiTM sentiasa responsif dengan tuntutan dan keperluan dalam lingkungan semasa.

Untuk UiTM berdaya saing dalam dan luar negara serta terus relevan, maka Program Transformasi UiTM dilaksanakan untuk mencapai sasaran Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11), menghadapi cabaran dan mengoptimumkan peluang baharu serta melonjak ke tahap nilai tambah bagi peningkatan kecemerlangan dan menjuarai kelestarian bangsa.

Dengan cogan kata 'Menjuruterai Destini, Menjuarai Legasi', usaha mentransformasikan universiti ini dilakukan agar menjadi lebih efektif dalam penyampaian perkhidmatan dan bertanggungjawab atas keberhasilan yang menjadi keutamaan kepada agenda bangsa dan negara.

Selain itu, ia menyumbang ke arah melahirkan masyarakat maju, bersatu padu dan saksama dengan tahap kehidupan tinggi untuk semua.

Menjuruterai Destini dipilih kerana 'Menjuruterai' berasal daripada perkataan jurutera, merangkumi tiga kekuatan utama iaitu keilmuan, kebijaksanaan dan kemahiran yang menyumbang kepada kemakmuran masyarakat.

Destini pula merujuk kepada pencapaian matlamat strategik UiTM menjadi universiti tersohor menerusi agenda Keusahawanan Berintensifkan Penyelidikan.

Autonomi mentadbir sendiri

Melalui program transformasi ini, maka diwujudkan 13 universiti (UiTM) di 13 negeri, diketuai rektor yang diberi autonomi mentadbir sendiri. Melalui cara ini, setiap cawangan kampus UiTM boleh berkembang sendiri dan dalam tempoh lima tahun, boleh menilai ranking atau kedudukannya berbanding universiti lain di seluruh dunia.

Program Transformasi UiTM dirangka bagi melonjakkan kecemerlangan dan memastikan kelestarian universiti. Empat komponen utama ialah organisasi (O), modal insan (M), proses (P) dan teknologi (T).

Agenda ini diterjemahkan menerusi 16 program transformasi merangkumi 65 projek. Program ini membabitkan semua peringkat pengurusan universiti. Menerusi transformasi modal insan pula, UiTM akan mempunyai modal insan dinamik dan terkehadapan berteraskan keluhuran nilai, budaya dan agama dalam mendukung misi melahirkan graduan yang menepati keperluan negara.

Dengan alumni seramai 631,816 orang dan dianggotai 18,264 kakitangan akademik dan pentadbiran, serta 168,865 mahasiswa menawarkan 485 program akademik, UiTM muncul sebuah daripada universiti terbesar di rantau ini, bukan sekadar memiliki sumber fizikal dan tenaga manusia, tetapi juga satu-satunya universiti menghasilkan modal insan terbesar demi kemakmuran negara.

Transformasi proses membolehkan UiTM beroperasi lebih cekap dan berkesan dalam ekosistem pendidikan tinggi berorientasikan kecemerlangan akademik menerusi perkongsian pintar bersama industri dan masyarakat.

Melalui transformasi teknologi, UiTM akan diperkasakan dengan sistem sokongan mantap dan berinovasi ke arah mencapai pengiktirafan dunia.

Terap minda berpelajaran

Kejayaan agenda transformasi UiTM adalah bersandarkan kepada 3K iaitu Kesedaran, Kemahiran dan Komitmen daripada seluruh warga. Melalui program ini, UiTM menerapkan ke dalam diri warganya minda berpelajaran.

Namun, yang lebih penting selepas anjakan paradigma ini, UiTM perlu meletakkan sasaran menjadi cemerlang dalam kalangan terbaik. Sewajarnya graduan UiTM perlu berterima kasih dan bersyukur atas nikmat yang diperoleh di menara gading ini.

Dengan itu lahirlah warga UiTM yang dapat memenuhi tanggungjawab lebih mencabar dengan tenang, ikhlas dan jujur serta menginsafi bahawa setiap kejayaan kerana jasa dan pengorbanan pejuang dan pemimpin terdahulu.

Justeru, setiap warga UiTM, mestilah menghayati kembali asal usul sejarah dan falsafah penubuhan UiTM iaitu: "setiap individu mampu mencapai kecemerlangan melalui pemindahan ilmu serta penerapan nilai murni, agar menjadi graduan profesional, yang berupaya mengembangkan ilmu dan membangunkan diri, masyarakat dan negara".

Jika hasrat ini terlaksana, maka semangat dan roh serta misi UiTM Menjuruterai Destini, akan dapat Menjuarai Legasi.

Oleh itu, Menjuruterai Destini dalam program transformasi ini perlu dihayati dan dijiwai semua warga UiTM.

Komitmen daripada segenap lapisan warga universiti diperlukan dan UiTM akan meneruskan tradisi kecemerlangan dan keunggulan tanpa mengetepikan misi teras agenda Bumiputera.

Laluan berliku bentuk Malaysia

SESEKALI anak-anak muda amatilah sejarah silam ne­gara ini. Sejarah mengajar rak­yat Malaysia menghargai kerja keras, susah payah pa­ra pemimpin masa lalu untuk menyediakan apa yang terhidang di depan mata hari ini - kestabilan, keharmonian dan kedamaian.

Pembentukan Malaysia pada 16 September 1963, yang disambut ulang tahunnya hari ini penuh laluan berliku. Selepas merdeka pada 31 Ogos 1957, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah mengemukakan cadangan kepada Kerajaan British supaya Brunei, Sabah dan Sarawak digabungkan dengan Persekutuan Tanah Melayu menjadi Malaysia.



GENERASI muda perlu menghargai kerja keras dan susah payah pemimpin terdahulu untuk menjayakan pembentukan Malaysia pada 16 September 1963. GAMBAR HIASAN -

Sebab pembentukan Malaysia:

1. Senario politik di Singapura

Sebab utama penubuhan Malaysia ialah untuk menentang kegiatan komunis yang kian bertambah di Singapura sekitar 1950-an. Ejen-ejen komunis telah meresap masuk ke sekolah Cina dan kesatuan sekerja. Pada 1954, komunis telah menganjurkan satu pemogokan di sebuah syarikat bas. Mogok ini merebak menjadi rusuhan. Selain itu, komunis juga merampas pucuk pimpinan Parti Tindakan Rakyat (PETIR) yang sejak 1959 menguasai Kerajaan Singapura di bawah pimpinan Lee Kuan Yew. Mereka menjadi ahli PETIR sehingga menubuhkan satu kumpulan berhaluan kiri dalam PETIR.

Pada mulanya, Kuan Yew berbaik-baik dengan mereka tetapi akhirnya pertelingkahan berlaku. Pertelingkahan ini menyebabkan PETIR kalah dalam pilihan raya kecil pada 1961 iaitu pilihan raya Hong Lim dan pilihan raya Anson. Kekalahan PETIR menunjukkan pengaruh komunis bertambah kuat. Akibatnya, Kuan Yew mengusir golongan berhaluan kiri ini daripada PETIR. Pengaruh komunis turut berkembang sehingga satu parti berhaluan komunis iaitu Barisan Sosialis di bawah pimpinan Lim Chin Siong ditubuhkan. Tunku bimbang komunis meresap masuk Tanah Melayu. Diharapkan melalui gagasan Malaysia, hasrat komunis menguasai Singapura gagal, seterusnya dapat menyekat kemaraan mereka.

2. Senario politik di Sarawak

Pada 1951, Liga Belia Demokratik Cina Seberang Laut yang berhaluan komunis ditubuhkan tetapi dibubarkan semasa darurat. Satu pertubuhan komunis sulit iaitu Persatuan Belia Maju Sarawak telah bergerak dalam kalangan kesatuan sekerja, pelajar dan petani. Mereka menghasut masyarakat Cina menentang British. Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) telah dipengaruhi oleh komunis. Lalu, kerajaan British melancarkan operasi pisang untuk menyekat pengaruh komunis dalam SUPP tetapi gagal. Melalui Gagasan Malaysia ini, diharapkan kestabilan politik yang diperoleh dapat menentang ancaman komunis.

3. Mengimbangi penduduk

Penubuhan Malaysia juga bertujuan mengimbangi jumlah penduduk. Penggabungan Tanah Melayu dengan Singapura menimbulkan masalah ketidakseimbangan kaum. Hal ini disebabkan tiga perempat daripada penduduk Singapura berbangsa Cina. Kemasukan Sabah, Sarawak dan Brunei akan mengimbangi kadar kaum kerana 70% daripada penduduk Borneo Utara ialah Bumiputera.

4. Kemajuan ekonomi bersama dan mempercepatkan proses kemerdekaan

Pembentukan Malaysia membolehkan kelima-lima buah kawasan menikmati kemajuan ekonomi bersama. Singapura, Brunei dan Tanah Melayu telah mencapai kemajuan ekonomi yang amat memuaskan manakala Sabah dan Sarawak ialah negeri yang masih mundur. Gagasan Malaysia turut bertujuan mempercepatkan proses kemerdekaan bagi Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura.

Reaksi negeri terlibat:

1. Singapura - Kuan Yew menyokong gagasan ini kerana PETIR dapat meneruskan kekuasaannya di Singapura, ancaman komunis dapat dikawal, perkembangan ekonomi Singapura menjadi lebih pesat dan Singapura dapat merdeka dengan lebih awal. Namun demikian, Barisan Sosialis dan Parti Buruh menentang gagasan ini. Pada 1 September 1962, Kuan Yew mengadakan satu pungutan suara bagi mendapatkan persetujuan rakyat Singapura mengenai penyertaan Singapura dalam Malaysia. Mengikut keputusan, 71.1% daripada rakyat Singapura menyokong penubuhan Malaysia. Melalui gagasan Malaysia, taraf pelabuhan bebasnya dikekalkan, Singapura mempunyai kuasa autonomi dalam bidang kewangan, pendidikan dan perburuhan dan Singapura akan mendapat 15 kerusi dalam Parlimen Malaysia.

2. Sabah dan Sarawak - Pemimpin di kedua-dua negeri ini amat terperanjat dengan penubuhan Malaysia. Pemimpin-pemimpin di kedua-dua negeri ini membentuk Barisan Bersatu pada 9 Julai 1961 bagi menentang gagasan Malaysia. Mereka menentang kerana takut Sabah dan Sarawak akan dikuasai oleh Tanah Melayu dan kedudukan politik mereka terjejas. Golongan peniaga Cina pula bimbang kuasa ekonomi akan dirampas oleh Tanah Melayu dan Singapura.

Pada Jun 1961, Tunku berangkat ke Sabah dan Sarawak dan mendapati rakyat di sana telah salah faham mengenai gagasan Malaysia. Akhirnya, Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia (JPPM) ditubuhkan untuk mengumpulkan pendapat Sabah dan Sarawak mengenai gagasan ini. Pada Ogos 1961, Abang Haji Mustapha (Pengerusi PANAS) menyokong gagasan Malaysia. Kemudian, Donald Stephen dan Datu Mustapha turut menyokong gagasan ini selepas melawat ke Tanah Melayu dan berunding dengan Tunku.

3. Brunei - Sultan Omar Ali Saifudin menyokong gagasan ini tetapi Parti Rakyat Brunei (PRB) yang dipimpin oleh A.M. Azahari menentangnya. Walaupun pada mulanya Sultan Brunei menyokong gagasan ini tetapi baginda telah menarik diri pada Julai 1963 kerana tidak mahu membayar cukai hasil daripada pengeluaran minyaknya kepada kerajaan pusat Malaysia dalam tempoh 10 tahun. Baginda juga tidak berpuas hati kerana diberi kedudukan yang paling rendah dalam senarai nama sultan.

Apabila penubuhan Malaysia diusulkan, Filipina dan Indonesia menentang kuat. Filipina mendakwa Sabah dipajak dan bukan diserahkan kepada Baron Overbeck dan Alfred Dent pada 1874. Pajakan ini telah dibatalkan pada 1958. Kerajaan British enggan mengakui kedaulatan Filipina ke atas Sabah. Bagaimanapun, akhirnya Filipina juga mengiktiraf Persekutuan Malaysia pada Jun 1966.

Indonesia pula pada awalnya mengalu-alukan pembentukan Malaysia. Namun, PKI di bawah D.N. Aidit menyifatkannya satu penjajahan baru yang mengancam Indonesia. Pada 20 Januari 1963, Indonesia mengumumkan dasar konfrontasi terhadap gagasan Malaysia. Kemudian, Indonesia bersetuju meminta Suruhanjaya PBB bagi meninjau semula pandangan penduduk Sabah dan Sarawak mengenai Malaysia. Laporan PBB menunjukkan 70% rakyat Sabah dan Sarawak menyokong Malaysia tetapi Indonesia tetap enggan mengakui.

Ketika Malaysia diisytiharkan secara rasmi pada 16 September 1963, Indonesia melancarkan konfrontasi dan memutuskan hubungan diplomatik dengan Tanah Melayu.

Pada 1965, disebabkan beberapa masalah politik dalaman yang melanda antara Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura, Singapura menarik diri dari Malaysia untuk muncul sebagai sebuah negara republik.

Di Indonesia, pada 1965, Menteri Luarnya, Adam Malik berusaha menamatkan konfrontasi dan mewujudkan persefahaman dengan Malaysia. Hasrat menamatkan konfrontasi wujud apabila Suharto menggantikan Sukarno. Hasilnya, perjanjian damai ditandatangani di Jakarta pada 11 Ogos 1966 selepas Tun Abdul Razak berunding dengan Adam di Bangkok.

Mendepani cabaran sebagai negara maju

TANGGAL 16 September 2020, Malaysia yang ditubuhkan sejak 1963 akan bergelar negara maju. Maju dari segi berpendapatan tinggi, inklusif dan mapan sebagaimana termaktub dalam Model Baharu Ekonomi (MBE). Secara amnya, sasaran negara maju berpendapatan tinggi nampak mudah untuk dicapai. Pihak kerajaan pula pernah menyatakan Malaysia akan bergelar negara maju lebih awal dari itu. Insya-Allah, Malaysia boleh mencapai negara maju berpendapatan tinggi. Dengan syarat, keadaan ekonomi global yang semakin tidak menentu tidak memberi kesan negatif terhadap sasaran itu.

Semua pihak perlu bersama-sama menggembleng tenaga untuk merealisasikannya. Tidak guna hanya satu pihak yang bersungguh-sungguh, manakala pihak lain hanya berpeluk tubuh menantikan kedatangan tahun 2020.

Lima tahun walaupun nampak tidak begitu lama lagi, namun apa pun boleh berlaku dalam tempoh ini. Masyarakat Malaysia sudah jauh berubah. Ada perubahan ke arah kebaikan, ada juga nampaknya semakin ke belakang. Misalnya, sikap segelintir masyarakat kita yang melakukan perkara-perkara di luar batasan semasa perlawanan bola sepak antara Malaysia dan Arab Saudi.

Sememangnya, ramai rakyat Malaysia yang kecewa de­ngan kekalahan teruk Malaysia kepada pasukan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelumnya, namun, itu bukan alasan untuk membuat kekacauan. Lagipun, sejak dahulu lagi Malaysia memiliki hubungan akrab dengan Arab Saudi. Takkanlah kerana bola sepak kita tergamak menggugat hubungan diplomatik yang selama ini memberi banyak kesan positif terhadap negara. Antaranya kuota jemaah haji yang diberikan oleh kerajaan Arab Saudi kepada umat Islam Malaysia.

Sukan sewajarnya memupuk hubungan lebih baik dengan negara lain terutamanya Malaysia dan Arab Saudi, kedua-duanya negara Islam. Kita tidak mahu hanya kerana perbuatan segelintir pihak, keseluruhan rakyat Malaysia terkena tempiasnya. Nampak gayanya, sejak akhir-akhir ini, semakin ramai yang ingin menjadi hooligan. Kalau rasa kecewa pun, bertindaklah dengan rasional supaya tidak mengganggu orang lain. Apa yang berlaku tidak boleh diterima kerana dibimbangi apabila Malaysia bergelar negara maju kelak, sikap, tingkah laku dan akhlak rakyat Malaysia tidak melambangkan negara maju kelas pertama.

Jangan hanya berbangga dengan angka seandainya sikap dan tingkah laku tidak melambangkan kemajuan yang sebenar. Inilah cabaran yang perlu ditangani segera jika Malaysia ingin menjadi negara maju serba-serbi. Pokoknya, maju dari segi sikap dan tingkah laku terlebih dahulu, baharulah angka menyusul. Hal ini ini amat penting bagi memastikan kemajuan yang bakal diperoleh kekal mampan.

Di samping itu, cabaran sebagai negara maju pada tahun 2020 tidak lain tidak bukan setiap organisasi perlu meletakkan orang yang layak untuk menguruskan organisasi berkenaan. Contoh, organisasi berbentuk sukan wajib meletakkan mereka yang benar-benar berkemahiran tinggi dalam sukan untuk memimpin organisasi berkenaan. Usah hanya mahukan jawatan untuk memperoleh ganjaran berbentuk kewangan dan bukan kewangan.

Sudah sampai masanya, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) perlu seiring dengan ganjaran yang diperoleh pihak pengurusan pasukan sukan. Pasukan sukan perlu tadbir urus cemerlang dengan memasukkan mereka yang terbaik. Usah letakkan orang-orang korporat atau politik yang ada di antara mereka tidak langsung pernah terlibat dalam sukan, sekurang-kurangnya sebagai pemain negeri.

Perlu diingat, setiap organisasi peringkat antarabangsa bertanggungjawab membawa nama Malaysia. Jadi, organisasi yang membawa Malaysia ke peringkat antarabangsa perlu dipimpin oleh mereka yang sememangnya terbaik dalam kalangan rakyat Malaysia. Baharulah, hasil yang bagus bakal dituai, seterusnya imej negara sebagai negara maju semakin terserlah.

Bukan hanya pasukan sukan, setiap organisasi lain juga wajib ditabdir urus oleh bakat-bakat yang terbaik sekiranya Malaysia ingin kekal sebagai negara maju yang mampan selepas tahun 2020 dalam erti kata sebenar.

Bakat-bakat inilah yang boleh memberi nafas baharu kepada setiap organisasi di semua lapisan masyarakat. Idea-idea bernas yang realistik dan praktikal boleh diterjemahkan untuk membawa bersama rakyat Malaysia yang dikategorikan sebagai kurang cemerlang. Bakat-bakat terbaik ini tidak hanya berada pada barisan paling hadapan, tetapi juga membantu mereka yang kurang cemerlang menikmati bersama kemajuan dan kekayaan ekonomi Malaysia. Sekaligus, melambangkan bahawa rakyat Malaysia bersatu pada setiap masa.

Misalnya, untuk memastikan golongan 40 peratus berpendapatan rendah (B40) keluar daripada kepompong berpendapatan rendah, kita memerlukan idea-idea yang baharu dan segar serta praktikal untuk direalisasikan.

Sebagaimana Bajet 2016 dijangka memberi tumpuan terhadap golongan ini, maka, mekanisme terbaik perlu untuk mengubah golongan B40 kepada golongan berpendapatan sederhana. Maka, cabaran yang perlu dihadapi adalah untuk menterjemahkan setiap idea agar golongan ini benar-benar mendapat manfaat sebenar.

Sememangnya, tidak mudah untuk melakukannya. Hal ini kerana keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu menekan kehidupan rakyat Malaysia dengan kos sara hidup yang semakin tinggi boleh meningkatkan jumlah mereka yang dikategorikan sebagai berpendapatan rendah dan miskin bandar.

Justeru, apa yang dirancangkan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) perlu disusuli dengan pelaksanaan yang jitu, cekap dan berkesan di semua peringkat keputusan dan pelaksanaan agar kesan positifnya berpanjangan. Usah hanya nampak cantik di atas kertas, namun, akhirnya, sasaran inklusif untuk rakyat berkongsi kekayaan negara secara saksama dinikmati segelintir pihak sahaja.

Inilah antara cabaran utama yang perlu dihadapi meskipun selepas Malaysia bergelar negara maju pada tahun 2020.

- Rohami Shafie Utusan Malaysia Rencana 16 September 2015 12:45 AM