September 17th, 2015

Pertahan prinsip Perlembagaan Persekutuan

KITA sudah begitu sinonim dengan sifat ketertiggian atau sifat keluhuran Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan yang menjadi rujukan utama perundangan ini bukan sahaja asas kepada perundangan, tetapi ia juga menjadi asas kepada pembinaan negara, hala tuju dan ideologi negara.

Pendek kata, Perlembagaan adalah dokumen yang membina negara. Oleh itu, sudah semestilah ia dinobatkan sebagai undang-undang tertinggi negara.

Dalam memahami prinsip ketertinggian Perlembagaan itu, hendaklah juga diraikan sebab atau kepentingan untuk kita menyanjungi dan memartabatkan sifat keluhuran Perlembagaan. Kita hendaklah sentiasa memegang konsep bahawa Perlembagaan adalah dokumen utama pembinaan negara.

Dalam membina negara, sudah tentu ada hala tuju yang mahu dibawa oleh Perlembagaan dan sudah semestinya ada hasrat tertentu yang mahu dicapai oleh Perlembagaan.

Ringkasan kepada hala tuju dan inspirasi negara ini telah dimaktubkan dalam bentuk Rukun Negara. Namun begitu, adakah Perlembagaan itu benar-benar undang-undang tertinggi negara dan segala isinya juga dijamin akan kekal selamanya?

Hakikatnya ialah Perlembagaan boleh dipinda sekiranya syarat-syarat prosedur pindaan dipenuhi. Sokongan dua pertiga majoriti Ahli Parlimen, Dewan Rakyat dan Dewan Negara akan membolehkan Perlembagaan dipinda.

Kekal prinsip asas

Yang di-Pertuan Agong pula tidak lagi mempunyai ruang untuk menyemak keputusan dua pertiga ahli Dewan itu; kecuali dalam beberapa perkara yang hanya boleh dipinda dengan perkenan daripada Majlis Raja-Raja.

Seperti peruntukan 10(4), undang-undang yang diluluskan dengan punca kuasa 10(4), peruntukan berkaitan kewarganegaraan, peruntukan mengenai Majlis Raja-Raja, kedudukan negeri-negeri, sekatan kepada kebebasan Parlimen berkaitan Akta Hasutan, kebebasan Dewan Undangan Negeri, bahasa Melayu dan perkara 153, iaitu peruntukan berkaitan keistimewaan Melayu, keistimewaan anak negeri dan kepentingan sah kaum lain. (Lihat Perkara 153)

Oleh itu, secara realistiknya sifat ketertinggian Perlembagaan itu boleh dicairkan dengan sokongan dua pertiga majoriti Ahli Parlimen.

Dalam keputusan kes Sivarasa, Yang Arif Gopal Sri Ram pernah meletakkan konsep struktur asas Perlembagaan. Konsep ini secara umumnya ialah, meletakkan syarat substantif dalam pindaan Perlembagaan.

Maksudnya di sini, Gopal Sri Ram mencadangkan bahawa, ada peruntukan tertentu dalam Perlembagaan itu yang tidak boleh dipinda, walaupun syarat prosedur pindaan, sokongan dua pertiga itu telah diperoleh.

Prinsip yang diterima oleh Gopal Sri Ram ini telah dijadikan prinsip Perlembagaan di India sejak lama dahulu, yang mana Parlimen tidak boleh meminda struktur-struktur penting dalam Perlembagaan, seperti sifat sekular negara.

Walaupun begitu, teori struktur asas Perlembagaan yang diterima dalam kes Sivarasa ini belum lagi diraikan atau ditolak oleh mana-mana keputusan mahkamah yang lain.

Ia tidak dikatakan betul atau tidak juga dikatakan salah walaupun mahkamah sebelum itu telah beberapa kali menolak pemakaian prinsip ini.

Oleh itu, dalam keadaan semasa, bolehlah dikatakan bahawa prinsip struktur asas ini menjadi sebahagian daripada prinsip yang perlu kita teroka.

Elak sokong pinda Perlembagaan

Sekiranya kita tidak menerima prinsip atau teori struktur asas ini, kita perlu memikirkan cara untuk mengekalkan prinsip asas yang menunjangi Perlembagaan-prinsip Persekutuan seperti ada dalam Rukun Negara dan juga elemen tradisi serta prinsip lain yang menunjangi faham Perlembagaan.

Sekiranya kita hanya berharap kepada konsep ketertinggian Perlembagaan semata-mata, maka kita mungkin akan menghadapi situasi kritikal sekiranya pindaan kepada Perlembagaan bersifat revolutionary yang meminggirkan struktur asas pembinaan negara merdeka ini.

Oleh itu, amat penting untuk semua Ahli Parlimen memahami asas pembinaan negara ini seperti yang dimaktubkan dalam Perlembagaan.

Ahli Parlimen tidak boleh menyokong, memberi undi dan meluluskan mana-mana Rang Undang-Undang yang tidak bertepatan dengan hala tuju dan inspirasi negara.

Ahli Parlimen tidak boleh membiarkan Rang Undang-Undang yang menyanggahi prinsip pembinaan negara. Walaupun tidak ada apa-apa peruntukan Perlembagaan yang boleh menghalang pindaan Perlembagaan, kecuali kehendak prosedur, Ahli Parlimen, dalam mengekalkan falsafah dan hala tuju negara seperti dihasratkan oleh Perlembagaan hendaklah bukan sahaja mengetahui, tetapi menghayati kepentingan prinsip-prinsip asas kenegaraan yang kita mahu capai dan yang telah kita maktubkan Perlembagaan serta yang telah kita ringkaskan dalam Rukun Negara. Ahli Parlimen adalah penjaga utama kepada keluhuran Perlembagaan.

Dr Shamrahayu A Aziz Berita Harian Kolumnis 16 September 2015

Melonjakkan pendidikan tinggi negara

"PENINGKATAN pencapaian membanggakan pendidikan negara". Demikian antara ungkapan yang kerap disuarakan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh apabila beliau berucap di mana sahaja bagi menggambarkan bahawa kini bermula peningkatan membanggakan pencapaian pendidikan tinggi tanah air.

Pembahagian semula Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memang kena pada masanya. Ini bermakna peranan KPT akan lebih fokus kepada pendidikan tinggi.

Cabaran untuk mencapai kecemerlangan bukan sahaja dalam kalangan institusi pengajian tinggi (IPT) negara tetapi turut membabitkan persaingan pada peringkat global.

UM 200 universiti terbaik dunia

Kini peningkatan pencapaian itu dapat diukur melalui penarafan QS World University Rankings yang diumumkan baru-baru ini. Sebagai contoh ranking Universiti Malaya (UM) meningkat daripada kedudukan 167 pada 2013 kepada 151 pada 2014. Sementara itu IPT lain seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) meningkat daripada kedudukan 269 kepada 259, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) daripada 355 kepada 294, Universiti Sains Malaysia (USM) daripada 355 kepada 309 dan Universiti Putra Malaysia (UPM) daripada 411 kepada 370.

Apa yang membanggakan, UM berada dalam kelompok 200 universiti terbaik dunia. Demikian juga pencapaian subject ranking 50 universiti terbaik telah diperoleh oleh tiga universiti, iaitu USM melalui subjek Environmental Science, UM subjek Development Studies dan UPM subjek Agriculture Science.

Ini diikuti pula oleh dua universiti lain yang turut berjaya mendapat tempat dalam kelompok 100 terbaik bagi kategori sama UTM dan UKM.

Dari segi penerbitan pula, kita berbangga apabila Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dinobatkan sebagai universiti terbaik melalui kalangan graduan.

Keduanya, ialah isu autonomi, iaitu pemberian pertanggungjawaban lebih luas kepada pihak pengurusan universiti dalam merancang dan mengendalikan bidang pembangunan, akademik dan sumber kewangan.

Bagi isu pertama iaitu mengurangkan kadar pengangguran, disarankan pihak universiti memperbanyakkan lagi program jaringan industri.

Dengan memberi peluang kepada siswa menjalankan latihan praktikal di lapangan akan meningkatkan keupayaan dan keyakinan mereka terhadap bidang yang dipelajari.

Sementara itu, pengalaman diperoleh boleh membuka minda dan seterusnya dapat dimanfaatkan ketika mengikuti kuliah dan tutorial.

Lebih menguntungkan jika mereka dapat menunjukkan prestasi baik ketika mengikuti latihan praktikal itu, kemungkinan besar pihak industri akan menawarkan pekerjaan setelah menamatkan pengajian nanti.

Sekiranya ramai siswa yang terbabit dalam program itu, dijangkakan peluang mendapatkan pekerjaan dalam bidang diikuti, lebih terbuka luas.

Lahir warganegara terbaik

Namun demikian, kewujudan universiti bukanlah semata-mata untuk memenuhi keperluan industri. Universiti mempunyai peranan lebih besar, iaitu untuk melahirkan warganegara terbaik dan modal insan cemerlang serta holistik bagi memenuhi keperluan sumber tenaga negara.

Isu kedua ialah pemberian taraf autonomi kepada sebahagian daripada IPTA. Dengan memiliki kuasa autonomi itu, dijangkakan pihak universiti akan dapat merangka dan merancang sendiri pembangunan, membina keunggulan akademik dan meningkatkan sumber pendapatan.

Dengan cara ini, universiti akan menjadi lebih berdaya saing, memiliki kebebasan dan tidak lagi terlalu bergantung kepada kementerian.

Bagi menjana kewangan, pihak universiti digalak melaksanakan program penyelidikan melalui kerjasama dengan pihak swasta.

Pelbagai aktiviti penjanaan pendapatan boleh dilakukan seperti pelaksanaan kursus profesional, penerbitan buku, penyewaan premis atau menjalankan aktiviti perniagaan melalui syarikat holding atau subsidiari.

Lebih membanggakan apabila bilangan penerbitan berjaya mengatasi jumlah dihasilkan universiti di Thailand dan Singapura. Jika pada 2007, penerbitan kita hanyalah sekitar 5,000 judul setahun iaitu di bawah jumlah penerbitan kedua-dua negara berkenaan, tetapi pada 2013, berjaya mengatasinya apabila lebih 22,000 judul dihasilkan.

Namun, Korea Selatan berada di tempat teratas iaitu menghasilkan kira-kira 70,000 judul bagi 2013. Kedudukan universiti turut diukur dari kelulusan dan kelayakan tenaga pengajarnya. IPTA mempunyai kekuatan kerana mendapat khidmat 537 pensyarah berkelulusan dari 20 universiti terbaik dunia.

Antara mereka mendapat ijazah kedoktoran dari universiti tersohor di United Kingdom seperti Cambridge, Oxford, St Andrews, London School of Economic, Imperial Collage dan Conventry.

Ini termasuk dari universiti terbaik di Amerika Syarikat yang dikenali sebagai Ivy League seperti Harvard, Cornell, Columbia, Dartmouth Collage, Princeton dan Yale.

Peningkatan kualiti IPT akan berlaku apabila mereka menterjemahkan pula di universiti mereka berkhidmat sekarang ini.

Sesungguhnya, pengurusan IPTA mempunyai peranan besar dan mencabar untuk meningkatkan pencapaian serta melonjakkan ranking.

Seperti yang sering diutarakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, maka soaring upwards diharapkan akan berterusan pada masa akan datang. Alimuddin Mohd Dom  Berita Harian Kolumnis 16 September 2015

Malaysia tetap teguh dalam sanubari

KITA menyebut nama Malaysia hampir setiap hari. Malaysia menjadi sebutan, bukan sahaja dalam kalangan kita rakyat jelata, malahan di seluruh dunia jua.

Kita hidup di Malaysia, kita sayangkan Malaysia, kita mahu Malaysia menjadi kebanggaan kita dan keluarga kita. Namun, adakah kita sendiri mengenali dan bangga dengan nama, sejarah dan keperibadian negara kita ini?

Malaysia lahir daripada pengorbanan dan nadi perjuangan pemimpin dan generasi terdahulu. Daripada keakraban pelbagai bangsa yang bersatu dalam memastikan negara bebas daripada ancaman penjajah.

Daripada persefahaman dan persahabatan jitu dalam menjadikan negara ini gemilang. Daripada penyatuan budaya dan agama yang mewujudkan keharmonian serta kesejahteraan masyarakat yang makmur.

Bangga jadi anak Malaysia

Inilah Malaysia yang saya kenali, inilah Malaysia yang saya kasihi, sejak kecil hingga dewasa. Saya anak Malaysia namun saya juga berbangga menjadi anak jati Sabah.

Saya membesar dan melihat Sabah gah menjadi sebuah negeri yang makmur setelah merdeka. Ini memberi saya perspektif unik mengenai sebuah negeri yang menjadi sebahagian daripada Malaysia.

Saban hari saya pasti melintasi satu sudut di kediaman saya yang mana sebuah lukisan mencoretkan sejarah penting pembentukan Malaysia.

Lukisan itu menampilkan Tun Fuad Stephens, Tun Datu Mustapha Harun dan Tun Abdul Razak Hussein yang berdiri seiring di sebuah podium di Kota Kinabalu bagi menyambut kelahiran Malaysia tanggal 16 September 1963.

Di sebelah kiri lukisan itu, pelukis dengan sengaja memasukkan gelagat seorang anak muda yang sedang menari break dance! Lukisan itu mempunyai maksud yang terselindung.

Dalam kegembiraan dan rasa kesyukuran menyambut kemerdekaan, ketiga-tiga Tun itu rupanya turut risau mengenai kerapuhan jati diri anak-anak muda Malaysia pada masa akan datang.

Mudah-mudahan kerisauan semua bapa kemerdekaan itu tidak menjadi realiti. Kita semua harus berbangga merentasi susur masa sebagai anak Malaysia. Kita sepatutnya bersyukur kepada Allah SWT atas kurniaan nikmat hingga kini.

Dicurahkan oleh-Nya segala keamanan dan keharmonian buat negara yang kita cintai. Saya juga percaya bapa negara ini juga membayangkan sebuah negara yang harmoni serta punyai keunikannya yang tersendiri.

Sebuah negara yang punyai kehidupan yang berasaskan prinsip demokrasi yang utuh, dan berlandaskan undang-undang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Saling membantu

Rakyat Malaysia yang saya kenali punyai sikap lemah lembut dan santun budi pekertinya. Rakyat Malaysia juga punyai perwatakan mulia sering bersedia membantu jika ada masalah menimpa.

Umpamanya ketika gegaran gempa bumi dan banjir lumpur di Sabah tahun ini, seluruh rakyat Malaysia berganding bahu mencurahkan keringat dan membantu mereka yang memerlukan pertolongan.

Jangan lupa juga tragedi di Lahad Datu. Seluruh Malaysia teguh bersama kami. Percayalah, Sabah hanya terpisah oleh Laut China Selatan, namun keutuhan perasaan cinta sesama kita telah bersemadi, dari dulu, kini sehinggalah ke akhir hayat.

Pada kesempatan tarikh yang bermakna ini, saya mengharapkan tiada lain selain hubungan seluruh rakyat Malaysia dari Perlis hingga ke Sabah terus kukuh berlandaskan perpaduan yang kita semai sejak berzaman.

Perasaan setia kepada negara masih berdiri teguh dalam sanubari, dan menjadi nadi perjuangan seluruh rakyat Malaysia. Saya ingin melihat penyatuan ini terus mekar tanpa sebarang onak dan domba, dan jika berlaku kegurisan kata, perbuatan jua, rakyat Malaysia harus bersatu bersama dalam menjadikan negara kita Malaysia antara yang terbaik di seantero dunia.

Saya Rahman Dahlan, dan saya anak Malaysia. Selamat menyambut Hari Malaysia.

Abdul Rahman Dahlan Berita Harian Kolumnis 17 September 2015

Legasi Tunku bakar jiwa patriotisme

SEWAKTU membesar, saya kadang-kadang keliru bila memikirkan bahawa lelaki yang gambarnya banyak terpampang di ibu kota - berbaju Melayu lengkap, tapak tangan terbuka dan tangan menongkat langit - adalah datuk saya.

Berbeza dengan saya, sudah tentu murid perempuan yang duduk sebelah saya dalam kelas sambil melihat buku teks, tak akan dapat berkata 'Itu Tok Merdeka'. Pelik. Kenapa?

Saya tak pernah jumpa datuk saya, tetapi membesar dengan mendengar cerita mengenai beliau. Saya cuba susun perca-perca sejarah ketika mendengar mak bercerita saat-saat manis dengan atuk.

Sebagai orang yang menolak kerusi roda atuk, mak banyak melihat, mendengar dan berkongsi rasa dengan atuk. Mak kadang-kadang tersenyum bila teringat kenangan bersama bapanya yang suka bergurau.

Bapa yang mak kongsi dengan seluruh rakyat negara ini. Sewaktu membesar, saya mengumpul kenangan mengenai atuk dengan bertanya (atau menemubual, walaupun tidak disukai) mereka yang banyak bersama atuk; tukang masaknya, pemandunya, rakan dan teman seperjuangan, tidak ketinggalan kakitangan Memorial (Tunku Abdul Rahman) dan Arkib Negara.

Saya sedar tak pernah mengenalinya. Saya tidak kongsi keperibadiannya, jenakanya dan paling penting falsafah hidupnya.

Bagaimanapun, datuk yang tidak pernah saya temui memainkan peranan cukup besar dalam hidup saya dan saya hanya menyedarinya selepas 23 tahun.

Generasi ketiga warisi kerjaya peguam

Saya kini lebih memahami. Saya beruntung kerana berada beberapa tahun di luar negara mengikuti pengajian undang-undang Inggeris...(Saya tidaklah begitu bagus untuk pengajian ini di Universiti Cambridge).

Tetapi, saya mengikuti pengajian undang-undang kerana saya mahu menjadi generasi ketiga mewarisi kerjaya sebagai peguam. "Belajar undang-undang," kata atuk dalam suratnya kepada mak.

Mak adalah pelajar undang-undang, atuk juga dan sekarang saya pula. Selepas tiga bulan tamat pengajian, saya sedar mengikut jejak langkah atuk tidak mengecewakan kerana ia memang masuk akal.

Selama berada jauh dari tanah air, saya kini sedar betapa indahnya Malaysia. Sejarah dan keunikannya tidak ada di tempat lain. Ketika di luar negara, saya bertemu ramai orang dengan budaya berbeza.

Saya jadi lebih sensitif terhadap negara sendiri. Saya lihat bagaimana orang Eropah menghargai dan memahami sejarah mereka membuatkan saya malu kerana pengetahuan mengenai negara sendiri terbatas.

Saya juga nampak bagaimana orang Eropah merangkul erat budaya dan cara hidup mereka serta berbangga dengan identiti mereka. Ada kalanya saya bertanya: "Inikah pandangan Tok Merdeka terhadap kita rakyat Malaysia, berbeza budaya tetapi berbakat, justeru layak mempunyai negara sendiri."

Saya pernah kerja di kafe dan saya faham makna penat lelah mendapatkan wang. Tinggal di England tidak semudah disangka. Saya turut jadi sukarelawan dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan di luar negara serta di Malaysia dan menyaksikan kemiskinan boleh menimpa sesiapa sahaja dan di mana jua.

Saya juga belajar erti sebenar kebahagiaan, anehnya, daripada mereka yang hidup gelandangan. Ia bukan berdasarkan berapa banyak wang yang kita miliki tetapi bagaimana kita melihat dunia.

Selepas pulang, saya sedar betapa mendalamnya nasihat atuk. Terngiang-ngiang pentingnya berfikiran positif.

Kagumi nasihat, tindakan atuk

Mencontohi etika kerja atuk, apabila berada dalam situasi tertentu, saya akan bertanya 'apakah yang akan atuk lakukan?' apabila melihat kembali peristiwa sejarah.

Selama beberapa tahun saya bergiat cergas dalam beberapa pertubuhan pelajar.

Saya mengagumi nasihat dan tindakan atuk kerana ia sangat berguna dalam soal 'politik' pelajar.

Pengalaman 'politik' ini pada peringkat universiti buat saya bimbang masa depan, tetapi pada masa sama mengharapkan masa depan yang cerah.

Walaupun ada pihak buat saya bimbang, lebih ramai yang menanam nilai patriotisme dan harapan besar kepada saya. Ia membolehkan saya percaya bahawa Malaysia akan terus dilindungi.

Semua itu buat saya lebih faham kesukaran yang beliau hadapi. Banyak usaha dihabiskan untuk menghapuskan ancaman komunis. Beruntungnya kita kerana tidak hidup pada zaman sukar itu.

Sukar hidup sebagai bangsa dijajah. Untuk meyakinkan dan memikat hati penjajah bukan kerja senang. Selepas hidup di luar negara, saya memahami apa rasanya jadi mangsa diskriminasi.

Saya juga memahami sukarnya bersatu. Malah, lebih susah capai kesepakatan pada mesyuarat persatuan pelajar. Warisan dan kebajikan atuk meresap dalam sanubari kami, Tok Merdeka.

Saya menghabiskan masa di kampung jauh daripada kesibukan lebuh raya, rumah kampung yang tersorok di celah-celah pokok berusia ratusan tahun.

Betul cakap Tok Merdeka, negara kita memang cantik. Rakyatnya mesra. Saya gagal melihatnya sebelum ini. Saya tahu saya tidak kenal atuk. Dan saya rasa bersalah kerana tidak menghargai dan memahami lebih awal tempat yang saya panggil tanah air.

Saya kecewa kerana tidak berupaya melakukannya. Bagaimanapun, saya bersyukur dengan panduan atuk melalui tulisan yang ditinggalkan sama ada dari buku, artikel dan jurnal. Saya diberi peluang untuk benar-benar memahami tanah air saya.

Tengku Nur Qistina Petri Tengku Mohamad Rizam  Berita Harian Kolumnis 17 September 2015