September 23rd, 2015

Antara bekerja dan menonjolkan diri

RAMAI yang teruja dan kagum dengan firma terkemuka Ernst & Young yang menduduki tempat kelima dalam merekrut graduan di United Kingdom (UK) apabila baru-baru ini mengumumkan bukan lagi memfokuskan kepada kriteria ijazah sebagai syarat-syarat utama ke­masukan ke firma itu.

Langkah itu dilakukan dengan alasan melalui penyelidikan yang mereka lakukan, tiada bukti kejayaan di universiti ada kaitannya dengan pencapaian di masa depan. Ini me­nguatkan lagi persepsi masyarakat dunia bahawa pencapaian akademik bukan tiket sebenar untuk menempah kejayaan.

Sebagai sebuah syarikat besar yang punya cawangan di merata dunia, Ernst & Young, dilihat lebih bersikap terbuka dan berani. Mereka mengambil calon dengan melihat kepada potensi pemohon dan kriteria-kriteria lain yang dilihat lebih meyakinkan dan menguntungkan firma itu pada kemudian hari. Sebelum itu, firma audit terkenal PricewaterhouseCoopers (PwC) memansuhkan menggunakan mata UCAS sebagai kriteria kemasukan bagi skim siswazahnya. Firma itu percaya meletakkan terlalu banyak penekanan pada skor bermakna majikan boleh ketinggalan bakat utama calon-calon dari latar belakang yang kurang bernasib baik atau kurang berprestasi di sekolah.

Jarang-jarang sekali firma-firma besar mahupun sederhana atau kecil sekali pun di mana-mana negara termasuk Malaysia, meletakkan ciri-ciri potensi yang boleh dilihat dari sudut bukan akademik sebagai kriteria utama pengambilan pekerjanya. Rata-rata menetapkan kelayakan akademik tertentu terutamanya yang mempunyai ijazah atau diploma untuk diterima bekerja dalam organisasi mereka.

Di negara ini, bila calon itu nampak meyakinkan, boleh berbahasa Inggeris dengan baik atau pandai bercakap sikit, dalam sesi temuduga, orang seperti ini yang akan menarik perhatian manakala yang berat mulut atau agak malu-malu, peluang mereka tipis. Sedangkan kemungkinan besar, organisasi itu sudah terlepas seorang calon yang berpotensi yang tidak banyak cakap tetapi rajin dan boleh bekerja berbanding yang banyak cakap tetapi ibarat tin kosong yang hanya mampu menonjolkan dirinya sahaja bukan kerjanya.

Penemuduga juga mudah tertarik dengan calon yang punya purata nilai gred kumulatif (CGPA) 4.0 dan berapa banyak sijil dekan yang diperoleh. Sedangkan jika majikan semak kembali fail, berapa ramai pekerja cemerlang dan harapan dalam organisasi itu memiliki CGPA yang tinggi atau dapat sijil dekan.

Sememangnya sukar untuk memilih calon-calon yang berpotensi. Ada tiga kemungkinannya di sini, sama ada calon itu memang berpotensi, berpotensi sekiranya diberikan latihan dan tunjuk ajar yang betul atau tidak berpotensi langsung. Inilah cabarannya mencari pekerja mahir.

Sebenarnya untuk terus menghukum, graduan tidak berdaya saing dan tidak boleh menyerap keperluan-keperluan pasaran kerja itu sudah tentunya tidak adil jika menilai mereka dari sebulan dua bekerja atau yang lebih teruk terus mengata mereka tidak boleh buat kerja pada hari pertama mereka bekerja. Memang betul, apa yang diajar yang universiti atau kolej, berlainan dengan apa yang diperlukan dalam pasaran pekerjaan. Justeru, jika tidak diajar dan ditunjukkan caranya, manalah mereka dapat ilmu itu.

Dan pada masa sama, menidakkan terus pencapaian akademik, itu pun tidak betul. Yang betulnya, apabila sudah diberi peluang bekerja, latihan dan pendedahan mungkin boleh menggilap kemahiran dan bakat graduan ini. Jangan terus menyalahkan mereka bila tidak menunjukkan prestasi yang diharapkan tanpa majikan melakukan apa-apa inisiatif.

Sesuatu yang perlu diakui, pekerja mahir yang tahu serba-serbi dan boleh bekerja tanpa pengawasan bukan boleh dapat dalam tempoh yang singkat. Mereka ini perlu diberi latihan secukupnya. Bukan dibiarkan terkontang-kanting bekerja tanpa perhatian dan motivasi, kemudian lari ke orga­nisasi lain kerana kurang diberi kepercayaan.

Pusing macam mana sekali pun, graduan di negara ini walaupun ramai yang bising-bising masih menganggur, mereka tetap bernasib baik berbanding yang tidak berpendidikan tinggi. Ini kerana kebanyakan syarikat mahu mengambil graduan dari universiti tempatan atau luar negara. Yang tidak ada ijazah, kena tumpu kepada skil kemahiran diri. Tidak banyak syarikat seperti Ernst & Young di negara ini. - Fauziah Arof Utusan Malaysia Rencana 33 September 2015 1:00 AM

Antara Zeti, ringgit dan gaya hidup

Dalam kekalutan kejatuhan ringgit, ada pasar raya meletakkan papan tanda berbunyi: 'kami terpaksa menaikkan harga barang kerana ringgit'. Rakyat gelisah, gundah gulana dan bimbang kejatuhan teruk ringgit akan menyebabkan harga barang naik.

Orang ramai berasakan situasi sekarang tidak seindah digambarkan oleh kerajaan. Penurunan nilai mata ringgit melebihi paras RM4 berbanding dolar Amerika, merisaukan dan persoalan bermain dalam fikiran ialah berapa lama lagi ringgit kembali ke paras yang lebih selesa atau pendeknya, ke paras seperti sebelum ini - RM3.30-RM3.50.

Apakah negara kita menuju krisis seperti dialami pada 1998? Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bagaimanapun menolak andaian kononnya kerajaan menggambarkan semuanya baik-baik saja tetapi mengakui situasi sekarang agak mencabar berikutan perkembangan yang berlaku pada peringkat global, selain China melaksanakan beberapa dasar untuk menyeimbangkan serta menstruktur semula ekonominya. Malah, Zeti juga dalam pertemuan eksklusif bersama kumpulan akhbar The New Straits Times Press (NSTP) baru-baru ini, menolak kemungkinan kita menuju kepada krisis.
Alasannya - sistem kewangan mantap, paras pertumbuhan dan rizab tinggi, paras pengangguran rendah, paras simpanan tinggi dan hutang luar yang secara relatifnya adalah rendah. Kita percaya dan yakin apa yang diperkatakan oleh Zeti adalah benar.

Bagaimanapun, ada pihak tertentu memberi gambaran seolah-olah negara berdepan krisis ekonomi. Hakikat yang perlu diterima ialah krisis ekonomi sekarang jauh bezanya dengan apa yang berlaku pada 1998.

Ketika itu, krisis kewangan Asia tercetus dan orang yang menjadi suspek utama seperti didakwa Tun Dr Mahathir Mohamad ialah spekulator mata wang, George Soros.

Pada 1998 itu, krisis ekonomi bukan berlaku di peringkat global, cuma berlegar di wilayah Asia Pasifik. Pada masa itu, pertumbuhan ekonomi Asia Tenggara dan Pasifik tumbuh dengan cepat menyebabkan spekulator melihatnya sebagai kelemahan dan berkemungkinan akan tumbang, maka mereka mula melakukan spekulasi. Itu keadaan tahun 1997.

Tetapi kali ini, krisis ekonomi bersifat global hingga ringgit jatuh teruk sebaik China menurunkan nilai yuan, sekali gus turut mengheret hampir semua mata wang di Asia. Ini juga berlaku serentak dengan perkembangan tidak menentu berhubung dasar faedah di Amerika Syarikat serta kejatuhan harga minyak.

Bukan saja ringgit, malah lebih 120 mata wang negara lain turut jatuh berbanding dolar Amerika. Jika diteliti, negara yang bergantung kepada minyak dan komoditi adalah yang paling teruk menerima hambatan itu dan kita di Malaysia pula, berdepan beberapa isu domestik yang menjejaskan sentimen serta keyakinan.

Oleh itu, dalam keadaan sekarang, apa yang perlu dilakukan oleh rakyat biasa? Ingat pesan Zeti, rakyat perlu belajar cara untuk menyimpan dan berjimat, justeru merancang semula bagaimana untuk hidup dalam keadaan seperti sekarang, kurangkan pergi ke luar negara sama ada untuk melancong atau bagi tujuan pendidikan.

Antara persepsi negatif dan kebenaran fakta

Baru-baru ini saya bertemu seorang anak muda, Amierul. Beliau pengasas bersama portal Greater Malaysia. Kami berbual perihal sikap masyarakat negara, kita kaya dengan kepelbagaian budaya dan warisan, namun asyik dirundung isu ketegangan kaum dan agama.

Gembar-gembur politik sudah menjadi percikan hasut yang bisa membakar, malah mengorbankan segala kemajuan yang kita peroleh sebagai ekonomi yang pesat membangun.

Ketika beliau bertanyakan pendapat saya mengenai sentimen negatif dan perbalahan yang semakin membahang, saya rasakan soalan itu tepat pada waktunya kerana saya baru menutup tirai jawatan sebagai Menteri Kabinet. Pertanyaan Amierul sebenarnya amat menyentuh hati.

Saya baru selesai melaksanakan ibadah selaku penganut Kristian, menziarah Jordan, Palestin dan Baitulmaqdis selama 10 hari. Di sana, kami melihat masalah yang terpendam. Dalam tempoh empat tahun lalu, lebih empat juta rakyat Syria menjadi pelarian di Turki dan Jordan, sementara beribu-ribu lagi cuba memasuki negara Eropah.

Di Malaysia, kita punya negara yang indah, kita tidak terbeban dengan bencana sebegitu rupa. Kita tidak pernah terpalit dan terseret dalam pergolakan yang besar. Di Syria, segala-galanya tercetus hanya disebabkan sebuah kumpulan kecil yang memulakan pemberontakan antikerajaan.

Perkelahian di sana sini mencetuskan perhimpunan dan akhirnya merebak menjadi perang saudara. Di sinilah kumpulan Negara Islam (IS) mengambil peluang masuk di celah-celah situasi yang sudah sarat dengan konflik, sehinggakan mereka mampu menguasai banyak kawasan di Syria dan Iraq untuk mewujudkan pemerintahan ala-Khalifah mengikut acuan mereka.

Syak wasangka tiada kesudahan

Ketika ini, Malaysia mula berdepan dengan suatu senario baharu yang mencabar pentadbiran negara - defisit keyakinan. Orang ramai sudah mula berarah ke demonstrasi jalanan untuk menggesa perubahan, malah, tidak kurang yang sengaja mengungkit luka lama mengenai isu perkauman dan syak wasangka yang tiada kesudahannya.

Mereka terjun ke gelanggang untuk menentang, sedangkan mereka tidak sedar akibat yang mungkin timbul. Api kemarahan meluap-luap sehinggakan pemikiran menjadi sempit dan dendam semakin marak. Tidak banyak negara dunia yang masih ditadbir oleh parti politik sama sejak memperoleh kemerdekaan, seperti negara kita.

Jika ditanya penduduk Amerika Syarikat, United Kingdom, malah, Thailand sekalipun, yakni negara yang sudah biasa mengalami perubahan pentadbiran kerajaan, mereka pasti menyatakan bahawa tiada istilah negara sempurna.

Tidak dinafikan masih banyak perkara yang memerlukan penambahbaikan di Malaysia, justeru atas sebab itulah kerajaan memulakan agenda transformasi negara. Tidak mendabik dada dengan status quo, kami tekad mahu mencapai realiti baharu.

Penubuhan PEMANDU adalah gagasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Beliau yakin dan mahukan transformasi negara, lalu beliau mengamanahkan kami untuk melakukan sesuatu yang berani dan tegas. Kami menangani isu penting seperti rasuah, jenayah, isi rumah berpendapatan rendah, pembangunan luar bandar, pengangkutan awam bandar dan kos hidup.

Kami menambah baik pengangkutan awam; kini, pembinaan MRT sudah mencorakkan landskap bandar. Tempoh lima tahun lalu menyaksikan pembinaan jalan raya dengan jarak bersamaan dari Johor ke Bangladesh, memberi manfaat kepada 2.5 juta warga luar bandar.

Lebih 6 juta rakyat dibantu dengan sumbangan tunai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Namun, masih ada yang tidak berpuas hati, kerana defisit keyakinan.

Pada saya, perjawatan pemerintahan yang sudah lama tempohnya menyebabkan dua perkara, iaitu warga bandar dan generasi muda ingin tahu, apakah mungkin pentadbiran pihak lain lebih baik dan orang ramai mahukan perubahan mendadak dan ingin menikmatinya serta-merta. Kesulitan yang kami hadapi dalam kerajaan adalah untuk mendapatkan titik seimbang di tengah-tengah persekitaran yang penuh pertentangan. Jika kerajaan tunduk kepada pandangan ekstrem, keperluan pihak mana yang kami tunaikan di sini? Keperluan majoriti? Minoriti? Bagaimana pula nasib pihak yang tidak terdaya meluahkan hasrat mereka? Apakah kesudahannya?

Cari penyelesaian isu emotif

Kerajaan perlu mencari penyelesaian kepada isu emotif yang terbabit di sini - sama ada isu ini benar atau hanya dibuat-buat. Secara peribadi, saya yakin orang ramai berkehendakkan dasar kerajaan yang berpihak kepada keperluan rakyat, yang dapat membantu setiap lapisan masyarakat.

Kita perlukan akses kepada infrastruktur awam yang berkualiti. Semua bidang ini sedang diusahakan oleh kerajaan dalam agenda transformasi; betapa bising sekalipun suara politik yang ada, fokus kami ialah tugas yang diamanahkan.

Saya menerima maklum balas yang begitu memberangsangkan, namun ramai juga yang masih terbelenggu dalam defisit keyakinan sehingga ia mengaburi persepsi mereka dan mereka tidak mampu bersandar pada fakta. Kepada golongan ini, pesan saya, berfikirlah secara adil dan rasional, lihatlah sendiri bukti kemajuan yang sudah tercapai.

Kita seharusnya mengelak perbuatan yang boleh meretakkan ekonomi. Jika setiap usaha baik dilemparkan dengan prasangka negatif, semuanya akan terjejas.

Sebaliknya, kita harus menegakkan semangat perpaduan menerusi perbincangan yang bermanfaat bagi mencari titik persamaan dan kesepaduan. Terlalu banyak untuk kita syukuri dan kita amat bertuah menjadi rakyat Malaysia. Selamat Hari Malaysia.

Idris Jala Berita Harian Kolumnis 22 September 2015

Bahasa Arab tembusi pengajian formal di sekolah, universiti

Bahasa Arab mempunyai kedudukan penting dan istimewa dalam Islam. Keunikannya ialah pemilihannya sebagai bahasa pengantara bagi membawa mesej Islam ke seluruh alam. Selain itu, semua amal ibadah umat Islam tidak terlepas daripada penggunaan bahasa Arab.

Malah, penggunaan bahasa Arab menjadi syarat ibadah itu diterima khususnya seperti ibadah solat. Hal ini menjadikan bahasa Arab sinonim dengan Islam dan umat Islam perlu sedar ia adalah bahasa umat Islam di seluruh dunia. Justeru, menjadi keperluan untuk umat Islam mempelajari bahasa Arab khususnya bagi tujuan ibadah.

Bahasa Arab dipercayai datang ke Tanah Melayu bersama kedatangan Islam dan mula diajar serta dipelajari secara teratur melalui sistem pengajian pondok dalam abad ke-19 hinggalah sekarang.

Tembusi pendidikan formal

Kini, bahasa Arab tidak lagi dipelajari oleh pelajar sekolah aliran agama semata-mata, bahkan telah menembusi pelbagai peringkat pendidikan formal sama ada pada peringkat prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah mahupun kolej dan universiti.

Bahasa itu turut dipelajari golongan dewasa yang berkerjaya melalui program dan kelas hujung minggu seperti yang ditawarkan beberapa universiti awam seperti Kelas Umum Bahasa Arab (KUBA) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kursus Bahasa Arab oleh Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya (UMCCed), Kursus Kemahiran Bahasa Arab di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kursus Bahasa Arab Jangka Pendek Univeriti Putra Malaysia (UPM), Kelas Bahasa Arab Awam Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) dan lain-lain lagi.

Pihak swasta juga tidak ketinggalan menawarkan beberapa kursus hampir serupa, tetapi mungkin berbeza dari segi objektif pembelajaran, silibus dan pendekatan digunakan. Ini menunjukkan kesedaran untuk mempelajari bahasa Arab sebagai bahasa kelima terpenting dalam pertuturan antarabangsa telah tersebar dengan meluas dalam kalangan masyarakat.

Bahasa Arab disebut oleh George Weber adalah antara sepuluh bahasa paling berpengaruh di dunia seperti yang diterbitkan dalam majalah Language Today (Disember 1997) dalam artikel beliau di samping ia adalah bahasa ibunda lebih daripada 250 juta penduduk etnik Arab di Timur Tengah hingga ke Afrika Utara.

Namun, kaitan dan kepentingan mempelajari bahasa khususnya dalam kalangan masyarakat Muslim di Malaysia untuk memahami kitab suci al-Quran al-Karim yang diturunkan dalam bahasa Arab dan bukan memahami melalui terjemahan semata-mata.

Selain itu, ia membantu pelajar memahami dan mendalami bahasa yang digunakan dalam ibadah harian seperti bacaan solat, doa, wirid dan ibadah lain supaya dapat memahami bacaan berkenaan secara langsung daripada bahasa Arab.

Penguasaan bahasa Arab dapat membantu umat Islam mempertingkatkan kualiti ibadah dengan memahami ayat al-Quran yang dibaca dalam solat. - Gambar hiasan

Kelebihan mempelajari dan mengenali struktur nahu Arab secara teori dan praktikal berserta latihannya membolehkan pelajar memahami dan menghayati ayat suci al-Quran, bacaan dalam solat, doa, wirid, zikir dan sebagainya.

Tingkat kualiti ibadah

Keperluan memahami sedikit sebanyak walaupun peringkat asas bahasa Arab perlu supaya dapat mempertingkatkan kualiti ibadah yang dilakukan dan tidak sekadar menjadi 'burung kakak tua' yang tidak memahami apa yang dituturkan.

Jika kita semua bersusah payah mempelajari bahasa antarabangsa utama seperti bahasa Inggeris, Perancis, Korea, Jepun, Sepanyol dengan pelbagai tujuan, maka kita juga perlu memperuntukkan masa mempelajari bahasa Arab, bahasa perantaraan Allah SWT kepada sekalian umat manusia.

Pemikir Islam terkenal, al-Imam Hassan al-Banna pernah berpesan dalam wasiat sepuluhnya, "Berusahalah sedaya upaya untuk bertutur dalam bahasa Arab yang betul kerana bahasa Arab yang betul itu adalah satu-satunya syiar Islam."

Bahasa dituturkan setiap hari

Jumlah umat Islam yang kini mencecah 1.6 bilion di seluruh dunia membuktikan bahasa ini 'dituturkan' pada setiap hari dalam setiap amalan ritual dan muamalah secara global serta menyeluruh oleh umat Islam seluruh dunia.

Kebijaksanaan guru yang mengajar bahasa ini kepada masyarakat awam amatlah diperlukan supaya pembelajaran bahasa Arab tidak dianggap membuang masa, membosankan dan terlalu terikat kepada pembelajaran tatabahasa semata-mata.

Kaedah pengajaran bahasa yang lebih interaktif dan kontemporari menggunakan pelbagai kemudahan teknologi laman web serta gajet yang ada dapat meningkatkan minat masyarakat bagi mempelajari bahasa Arab.