September 28th, 2015

Harapan sistem pendidikan Malaysia

KONSEP pendidikan perlu diberikan takrifan baharu. Ini kerana perkataan pendidikan yang merujuk kepada penyediaan kemudahan dan proses mengajar pelbagai cabang ilmu, mengasuh perwatakan, melatih pelbagai kemahiran, menyemai nilai budaya, mendewasakan seseorang manusia sejak kelahirannya - ialah pengertian asas yang diguna pakai sejak zaman kegemilangan peradaban Mesir kira-kira 3,000 tahun lampau.

Kita boleh membayangkan kegi­atan mengajar dan belajar secara tersusun mungkin bermula kira-kira 2,000 tahun sebelum Masehi, iaitu ketika sistem tulisan berkembang di Mesir, dengan menggunakan hieroglyphic.

Di zaman keagungan peradaban Greek kira-kira 500 tahun sebelum Masehi, perkembangan pendidikan sudah melangkaui kegiatan menulis dan membaca. Sistem tulisan Greek membolehkan para ilmuan dan pemikir berdialog, berfalsafah dan mengungkapkan idea yang abstrak.

Kini, isu pendidikan bukan hanya mengenai soal membaca, menulis, mengira dan pembentukan perwatakan, bahkan bersangkutan soal “kebolehpasaran graduan”, kekuatan daya kreatif dan inovasi, kebolehan berkomunikasi di pentas antarabangsa, mempunyai daya saing dan daya ketahanan mental serta daya keintelektualan tinggi, berminat dalam ilmu sains dan teknologi, pintar matematik dan sebagainya. Terkini, kualiti pendidikan di Malaysia dilihat berdasarkan ranking oleh agensi-agensi antarabangsa.

Kini, proses pendidikan bukan hanya berlaku dalam sistem yang formal. Pendidikan terjadi juga dalam ruang informal menerusi jaringan Internet dan pelbagai aplikasi dalam ruang siber. Internet menyediakan pelbagai sumber bahan bacaan dan maklumat yang berguna sebagai bahan rujukan kepada para pelajar, pengajar dan penyelidik di seluruh dunia. Sesungguhnya Internet dan televisyen turut menjadi guru kepada manusia moden.

Namun hanya sistem pendidikan formal yang diberikan kuasa untuk menguji dan menilai pencapaian para pelajar menerusi sistem peperiksaan yang berwibawa dan diiktiraf dunia. Sekolah, kolej dan universiti diberikan kuasa dan kuat-kuasa untuk menganugerahkan sijil, diploma dan ijazah. Ruang siber dan televisyen belum lagi mempunyai kewibawaan untuk menganugerahkan sijil, diploma dan ijazah kepada para pengguna dan penonton. Jika hal ini berlaku, besar kemungkinan institusi pendidikan formal akan beransur-ansur menjadi tidak relevan lagi.

Pengkaji sejarah pendidikan merumuskan bahawa budaya pendidikan yang terancang mula berkembang di zaman Kerajaan Pertengahan di Mesir, kira-kira 1,500 tahun sebelum Masehi, iaitu era sistem pemerintahan dan peradaban yang kuat. Kejayaan peradaban tersebut termasuklah membina piramid dan pelbagai binaan purba yang menjadi tinggalan sejarah yang terus dikagumi oleh seluruh dunia hingga kini.

Namun berdasarkan Indeks Pem­bangunan Manusia (HDI) yang digubal oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, laporan 2014, kuali­ti pendidikan di Mesir berada pada tangga ke-110, iaitu berkedudukan pada tahap sederhana sahaja. Begitu juga halnya di Greek yang dulunya terkenal membangunkan ilmu falsafah politik, ethics, metafizik, ontologi, logik, retorik dan estetika. Kini, mengikut HDI, Greek berada di tangga ke-29, dan didahului oleh negara-negara yang baru menjadi maju seperti Singapura (kesembilan) dan Korea (ke-15), dan hampir dikalahkan oleh Brunei (ke-30).

Walaupun tidak dapat dinafikan amalan dan budaya pendidikan yang baik boleh menghasilkan peradaban kuat dan berdaya tahan, namun, jika sistem pendidikan dalam sesebuah masyarakat itu tidak dimantapkan secara berterusan supaya sesuai dengan kehendak zaman, maka kekuatan peradaban masyarakat itu akan luntur. Oleh itu kehebatan sesuatu peradaban pada zaman lampau, seperti peradaban Mesir dan Greek, tidaklah menjamin penerusan keagungannya hingga ke hari ini. Negara lain yang lebih gigih akan berupaya mendaki tangga kege­milangan.

Berdasarkan HDI, terdapat 49 buah negara yang dikategorikan sebagai mempunyai HDI paling tinggi (dengan mata pencapaian antara 0.808 – 0.944). Berdasarkan ukuran HDI, Malaysia kini di tangga ke-62 (dengan mata pencapaian 0.773, iaitu dalam kate­gori HDI Tinggi), namun belum lagi berada di gerbang kumpulan negara maju.

Nampaknya kini, isu pendidikan di Malaysia mendapat perhatian serius semua pihak berkepenting­an. Kerajaan telah melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 untuk melahirkan ekosistem pendidikan supaya generasi muda Malaysia akan terus mendapat pendidikan berkualiti setanding dengan standard pendidikan antarabangsa yang semakin meningkat, dan untuk membolehkan mereka berperanan sebagai sumber tenaga manusia di Malaysia yang berhasrat menjadi sebuah negara maju.

Namun mengikut pengukuran Organisasi Untuk Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) pada 2013, kedudukan struktural sistem pendidikan di Malaysia perlu diperbaiki, jika ingin berjaya menjadi negara maju. OECD mencadangkan supaya komponen vokasional dalam sistem pendidikan khususnya di peringkat pasca sekolah menengah dimantapkan.

Mengikut pengukuran PISA (Programme for International Student Assessment) yang dibangunkan OECD melibatkan penyertaan 65 negara, bagi 2012, Malaysia di tangga ke-52 dalam bidang matematik, ke-53 (sains), dan ke-59 (pembacaan). Singapura pula di tangga kedua (matematik), ketiga (sains), dan ketiga (pembacaan). Sangat menarik ialah Viet­nam berada di tangga ke-17 (matematik), kelapan (sains), dan ke-19 (pembacaan). Ini menunjukkan bahawa Vietnam (negara yang hanya mula membangun pada 1975 setelah mengalami peperangan selama 35 tahun), jauh mengatasi Malaysia dalam tiga bidang ini. Justeru sistem pendidikan Malaysia perlu dikaji dengan teliti. Strategi transformasi terbaik perlu dirancang dengan teliti.

Pada 2014, Malaysia mencatatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) per kapita AS$24,400 berbanding Vietnam AS$5,600. Berdasarkan ukuran itu di peringkat antarabangsa, Malaysia berada di tangga ke-71, berbanding Vietnam ke-163. Ini bererti dengan KDNK yang relatif tinggi, sistem pendidik­an Malaysia masih gagal melahirkan lepasan sekolah mene­ngah bertaraf dunia.

Semua pihak menaruh harapan tinggi terhadap keupayaan PPPM me­la­hirkan generasi muda yang benar-benar berpendidikan bertaraf dunia. Banyak diskusi meja bulat perlu diadakan bagi memperhalusi pelbagai isu dan cabaran, dan menyusun langkah menyelesaikannya. Konsep pendidikan perlu dilihat semula dengan mengambil kira kese­mua unsur; tampak dan tidak tampak, untuk akademik dan bukan akademik, unsur kepentingan nasional dan kedudukan strategik negara, dan unsur perpaduan nasional. - Prof Dr Kamaruddin M Said Utusan Malaysia Rencana 28 September 2015 1:14 AM

Dasar pendidikan perlu konsisten

MUKADIMAH KUALITI pendidikan adalah isu yang popular. Kejayaan masa depan negara banyak bergantung kepada keberkesanan sistem pendidikan dalam menyediakan warga yang mampu menyerap konsep pembelajaran abad ke-21 iaitu berfikiran kreatif aras tinggi dan pada masa sama, tetap menjunjung nilai perpaduan, sesuai konteks masyarakat majmuk Malaysia.

Program Advokasi Ilmuwan Majlis Profesor Negara (MPN) siri kelima bersama Utusan Malaysia dan Rancangan Televisyen Malaysia (RTM) di Dewan Auditorium Utama, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Kampus Sultan Abdul Jalil Shah hari ini akan mengupas secara intelek tajuk: Pendidikan di Malaysia goyah?
Kepada wartawan, KHAIRUL ABIDIN NUAR dan jurugambar ZULKARNAIN SAIDIN, Naib Canselor UPSI, PROF. DATUK DR. ZAKARIA KASA yang juga Ketua Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan MPN memberikan dua perspektif iaitu sisi positif dan negatif usaha-usaha kerajaan meningkatkan mutu sistem pendidikan negara, dari sekolah hingga ke peringkat pengajian tinggi.

UTUSAN: Tajuk program advokasi kali ini agak mencabar untuk dibincangkan.
ZAKARIA:
Tajuk ini boleh dilihat dari dua sudut, stabil dan tidak stabil dalam konteks apa yang diusahakan kerajaan. Rakyat menerima pendidikan yang terbaik di dunia dan ini dibuktikan melalui kewujudan sekolah yang kini lebih kurang 10,000 buah. Ini sudut positif sistem pendidikan kita.
Pada masa sama, kita boleh melihat dari sudut lain, iaitu perbandingan dengan negara luar yang menampakkan sistem pendidikan kita sedikit goyah. Kita berada pada kedudukan agak bawah umpamanya dalam keputusan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) dan Kajian Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS). Jadi kita perlu bekerja keras supaya berada pada kedudukan terbaik dalam penilaian ini.
Pada masa sama, kita berdepan dengan beberapa perubahan da­sar. Contohnya Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dulu sudah 14 tahun kita laksanakan, tiba-tiba dimansuhkan, jadi ini menimbulkan tentangan, ada yang menyokong serta menentang.
Baru-baru ini, kerajaan menangguhkan ketetapan bahawa mulai 2016, pelajar dikenakan syarat wajib lulus Bahasa Inggeris dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Dasar yang berubah-ubah ini menyebabkan rakyat tertanya-tanya, kenapa kejap jadi, kejap tak jadi.

Apa pandangan Prof. sendiri?
ZAKARIA:
Pada saya, kalau kita sudah membuat sesuatu keputusan, kita harus berpegang kepadanya kecuali memang sudah teruk sangat. Maknanya kalau kita tengok sudah menunjukkan tiada tanda-tanda kemajuan atau peningkatan, jadi, kita perlu berhenti.
Namun, kalau itu suatu yang baik dan boleh ke depan serta boleh bertambah lagi baik, jadi, kenapa perlu kita berhenti? Umpamanya, satu lagi dasar  iaitu Malaysian University English Test (MUET).
Untuk kemasukan ke universiti, dulu Band 1 boleh masuk. Sekarang, kursus Sastera memerlukan Band 2 dan apabila tamat pengajian perlu capai Band 3. Dulu tiada syarat MUET untuk tamat pengajian. Untuk bidang Kejuruteraan, perlukan Band 3 (untuk kemasukan) dan keluar universiti Band 4. Ini memberikan masalah kepada bidang berkenaan.

Bagaimana dengan kualiti guru?
ZAKARIA:
Kita lihat macam-macam orang salahkan guru. Hakikatnya, kita juga beranggapan guru perlu berubah. Di universiti, kita pun mengajar apakah terbaik untuk masa depan dalam bilik darjah termasuk meng­aplikasikan pembelajaran dan pengajaran mengikut konsep Sekolah Abad Ke-21.
Kita ada dua kementerian (Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi). Jadi, kita perlu bekerjasama menggunakan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) untuk majukan sistem pendidikan.

Bagaimana dengan perencanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025?
ZAKARIA:
Maknanya kerajaan sekarang ini sedang cuba menambah baik sistem pendidikan antara dengan mempertingkatkan pendidikan latihan teknikal dan vokasional (TVET) untuk melahirkan golongan pekerja berkemahiran. Dulu, kita tahu agak sukar untuk menyambung pengajian (dalam bidang teknikal dan vokasional) apabila habis Tingkatan Lima. Namun, sekarang ini sudah ada banyak kolej vokasional. Jadi, kita harap lebih banyak pelajar yang akan ke situ memandangkan jurusan tersebut sebahagian daripada aliran sains dan teknologi.

Namun masih ada yang melihat TVET ini sebagai kelas kedua.
ZAKARIA:
Ya, stigma itu masih ada. Justeru, kerajaan sedang berusaha menambah kolej vokasional dan didapati memang sambutan agak baik dan banyak ibu bapa sudah sedar tentang peluang untuk anak-anak mereka membina kerjaya dalam bidang berkenaan.
Bagi menggalakkan pelajar menceburi bidang itu, empat buah universiti diberi fokus menghasilkan pakar teknologi di bawah Malaysian Technical University (MTUN) iaitu Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) selain Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara). Projek pe­rintis untuk Sistem Purata Nilai Gred Kese­luruhan Berintegrasi (iCPGA) di universiti awam juga diperkenalkan.

Sejauh mana langkah ini dapat menambah baik kualiti graduan?
ZAKARIA:
Kita mengukur pelajar bukan sahaja dari segi pencapaian akademik, namun mengambil kira kemahiran insaniah dalam diri mereka. Memang selama ini sukar untuk diukur kemahiran insaniah seperti kerja berpasukan, kemahiran berkomunikasi dan penyelesaian masalah termasuk nilai-nilai keusahawanan bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan selain menjadi warganegara yang baik.


Apa pandangan Prof. terhadap cadangan sekolah satu aliran? Adakah relevan serta sesuai dilaksanakan di Malaysia?
ZAKARIA:
Sekolah satu aliran ini susah hendak dilaksanakan kerana kita ada peruntukan Perlembagaan yang membenarkan kewujudan sekolah vernakular. Jadi, kita tidak boleh mewujudkan sekolah satu aliran kerana masyarakat Cina dan India akan menentang habis-habisan. Apatah lagi, sekolah Cina sekarang memang maju dan semakin kuat. Budak-budak Melayu pun sudah mula masuk.
Kita cuba buat di Sekolah Kebangsaan (SK) Behrang 2020 (sekolah makmal UPSI). Kita perkenalkan bahasa Cina dan Tamil. Ibu bapa mula menghantar anak-anak mereka ke situ sebab mereka juga beri kepentingan dari segi budaya dan bahasa serta nilai-nilai setiap kaum untuk diajarkan kepada anak-anak mereka sejak dari kecil seperti mana kita suka menghantar anak-anak ke taman asuhan Islam supaya anak-anak itu dididik dengan nilai keagamaan. Namun, keburukan­nya, jika masing-masing mendirikan sekolah, konsep perpaduan itu sudah hilang melalui pendidikan.
Sekolah rendah (vernakular) memang dibenarkan dalam Perlembagaan. Namun bagi sekolah menengah, mengikut Laporan Razak serta akta yang ada, sepatutnya tidak dibenarkan. Semua pelajar menengah kena masuk ke sekolah kebangsaan.
Yang jadi masalahnya sekarang kita benarkan sekolah-sekolah swasta didirikan mengikut ras ma­sing-masing sekali gus menyebabkan kewujudan sekolah persendirian. Oleh itu, mereka masih lagi tidak memasuki sekolah kebangsaan.

Secara ringkas, apa cabaran sebenar pendidikan kita pada masa ini?
ZAKARIA:
Kita bercakap tentang kualiti pendidikan sebab kalau kita hendak bandingkan dengan negara luar sekali pun, orang ramai akan melihat kepada kemampuan negara menyediakan pendidikan berkualiti atau tidak. Kalau di peringkat sekolah, kita ada kayu pengukur­nya iaitu TIMSS dan PISA dan kita dapati, kita masih belum sampai ke tahap dunia. Namun, kita sedang berusaha ke arah itu.
Dalam konteks pengajian tinggi, selain ranking, kita melihat kepada penerimaan masyarakat luar negara iaitu berapa ramai pelajar luar negara yang datang belajar ke negara kita. Sekarang ini, kita ada lebih 100,000 pelajar asing. Kalau mereka datang untuk belajar di sini, maknanya mereka mengiktiraf sistem pendidikan di Malaysia. - Utusan Malaysia Rencana 28 September 2015