October 7th, 2015

Pengasingan kuasa antara Persekutuan, negeri

Asas pembentukan negara seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan menjadikan negara ini sebuah negara yang mempunyai identiti tersendiri.

Antara asas penting pembentukan negara ini ialah negara Persekutuan iaitu negara yang dibentuk atas gabungan negeri. Sebagai negara Persekutuan, Perlembagaan Persekutuan membuat pembahagian kuasa perundangan antara negeri dan Persekutuan.

Ada dijanjikan dalam terma rujukan lantikan Suruhanjaya Reid ketika penggubalan Perlembagaan supaya dalam membentuk Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa besar kepada Persekutuan, beberapa kuasa autonomi dikekalkan kepada negeri dan perlu diwujudkan beberapa mekanisme bagi mengendalikan hubungan antara Persekutuan dan negeri.

Sejumlah kecil kuasa autonomi ini dikekalkan bagi membolehkan negeri mengekalkan kuasa mengenai beberapa perkara yang asas bagi negeri.

Atas dasar dan persetujuan itu, Perlembagaan Persekutuan mewujudkan peruntukan khas pembahagian kuasa antara negeri dan Persekutuan. Perkara ini terkandung dalam Bahagian Keenam Perlembagaan Persekutuan.

Pembahagian kuasa

Dalam mentafsir Perlembagaan, mahkamah hendaklah memberi perhatian sepenuhnya kepada pembahagian kuasa antara Persekutuan dan negeri dan juga kuasa autonomi negeri seperti yang dimahukan Perlembagaan dalam peruntukan berkenaan pembahagian kuasa perundangan ini.

Jika tidak berbuat begitu, mahkamah akan menggagalkan sifat Malaysia sebagai negara Persekutuan yang memberikan layanan dan menjamin kedudukan tertentu kepada negeri.

Dalam mentafsir Perlembagaan, mahkamah tidak boleh mengabaikan pengorbanan negeri dalam menyerahkan kuasa dan hak mereka kepada Persekutuan dalam proses membentuk negara Persekutuan.

Mahkamah tidak boleh mengabaikan persetujuan dalam pembentukan Persekutuan ini yang mahu memberikan sedikit kuasa autonomi kepada negeri.

Negara Persekutuan dibentuk atas dasar persetujuan politik yang seterusnya dimaktub dan diisytihar dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan Persekutuan adalah dokumen perjanjian antara negeri. Atas dasar itu, perjanjian itu hendaklah ditunaikan. Persekutuan asalnya tidak mempunyai apa-apa, tiada tanah atau kekuasaan.

Persekutuan terbentuk atas tanah dan kekuasaan dan kedaulatan negeri. Kedaulatan pada Persekutuan, seperti diiktiraf oleh dunia adalah hasil daripada persetujuan dan penyerahan kuasa oleh negeri.

Negeri merdeka dan berdaulat membuat perjanjian dengan menyerahkan kekuasaan mereka kepada Persekutuan dengan syarat Perlembagaan Persekutuan menjamin kedudukan negeri.

Bahagian Kelima Perlembagaan Persekutuan membuat beberapa peruntukan bagi menjamin kedudukan Raja bagi negeri serta jaminan terhadap keistimewaan Dewan Undangan Negeri.

Selain itu, kekuasaan dan kedaulatan negeri juga boleh dilihat dalam Perkara 77 Perlembagaan Persekutuan, yang mana kuasa berkaitan saki baki perundangan adalah hak kepada negeri.

Jika ada sesuatu perkara tidak disenaraikan dalam senarai perundangan dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan atau peruntukan lain dalam Perlembagaan, perkara itu adalah hak negeri.

Peruntukan ini menjelaskan dasar kekuasaan dan kedaulatan negeri, yang semua perkara atau punca kuasa sebuah Persekutuan itu adalah negeri.

Dalam perkembangan atau kes semasa, beberapa isu dibangkitkan dalam mahkamah berkaitan bidang kuasa negeri dan kuasa Dewan Undangan Negeri, terutama perkara membabitkan perundangan syariah, khususnya undang-undang jenayah syariah.

Sebelum ini, ada keputusan mahkamah tidak mengambil berat jaminan Perlembagaan terhadap kuasa perundangan negeri.

Pendekatan ini mengabaikan kedudukan negeri sebagai komponen utama dalam pembentukan Persekutuan. Pendekatan begini boleh menggagalkan gagasan negara Persekutuan seperti diniatkan dahulu.

Dalam mentafsir Perlembagaan, mahkamah hendaklah meraikan hak negeri kerana sejarah dan agenda pembentukan Persekutuan tidak boleh diambil mudah.

Peruntukan Bahagian Keenam Perlembagaan yang membuat peruntukan berkaitan hubungan antara Persekutuan dengan negeri yang dibaca secara bersama dengan Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan hendaklah difaham dengan roh dan niat ia dibuat.

Peruntukan lain dalam Perlembagaan hendaklah juga dibaca dengan meraikan pembahagian kuasa ini.

Keputusan Mahkamah Persekutuan berkenaan penerbitan buku Allah, Love and Liberty yang dihujahkan sebagai kebebasan bersuara, adalah tepat iaitu pendekatan mengharmonikan semua peruntukan Perlembagaan dalam meraikan pengasingan kuasa antara Persekutuan dan negeri.

Dr Shahrahayu Abd Aziz Berita Harian Kolumnis 7 Oktober 2015

Membina generasi muda kaya budi bahasa, nilai murni

Program peningkatan budi bahasa dan nilai murni dalam kalangan rakyat patut diberi keutamaan dan dijadikan agenda utama ketika kita melangkah ke hadapan untuk menjadi negara maju menjelang 2020.

Pembangunan negara tidak wajar hanya membabitkan bidang kemahiran dan kepakaran tertentu tetapi perlu seiring dengan pembangunan moral, nilai murni dan budi pekerti tinggi.

Negara kita perlu memiliki rakyat berbudi bahasa, bertanggungjawab, hormat-menghormati, beramanah, jujur serta berintegriti kerana sistem nilai murni itu menjadi kayu pengukur sebenar sebuah negara maju.

Pembangunan dilaksanakan dengan begitu pesat dan maju tidak bermakna tanpa sistem nilai sewajarnya.

Di manakah nilai murni yang sepatutnya kita terapkan dalam diri anak muda apabila ada segelintir remaja melakukan tindakan biadab dan tidak sopan baru-baru ini, yang mana gambar pemimpin negara dipijak di khalayak.

Perkara ini amatlah dikesali kerana anak muda yang bakal menjadi pemimpin masa depan bertindak di luar batasan. Tindakan itu tidak wajar dan ia bukanlah budaya yang kita terapkan dalam kalangan generasi muda.

Tidak guna bagi kita mempunyai infrastruktur bertaraf kelas pertama tetapi rakyatnya mempunyai mentaliti kelas ketiga, dibuktikan dengan beberapa sindrom negatif seperti tabiat membuang sampah di merata tempat, memandu kurang sopan, kurangnya kesedaran sivik terhadap harta benda awam dan kekasaran terhadap pelanggan.

Semua pihak berganding bahu

Sebelum budaya masyarakat kita terus merosot, kita harus sedar dan mempelajari serta mempraktikkan semula nilai murni dan budi bahasa.

Masalah atau gejala sosial yang berlaku pada hari ini, jika diperhatikan amat berkait rapat dengan nilai hidup sesuatu masyarakat, keluarga dan individu.

Dalam usaha ke arah menangani pelbagai masalah sosial yang wujud, ibu bapa perlu sentiasa prihatin serta mengawasi anak mereka, pada masa sama, mempertingkatkan komitmen bagi membina sebuah keluarga yang harmoni, memupuk nilai positif supaya anak mereka menjadi warga negara yang produktif dan sihat dari segala segi sama ada mental dan fizikal.

Pihak kerajaan dan agensinya serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain harus berganding bahu bagi meningkatkan usaha mengatasi masalah sosial yang berlaku pada hari ini dan dirasakan bahawa setiap individu dan ahli keluarga perlu membina kekuatan dalaman sebagai asas utama.

Dalam meningkatkan kekuatan sesebuah keluarga bagi melaksanakan tanggungjawab ke arah menangani masalah sosial, peningkatan kemahiran keibubapaan atau kursus seumpama haruslah dititikberatkan.

Komitmen serta menanam motivasi dalaman untuk membabitkan diri dalam membangunkan akhlak anak dan remaja tidak boleh diabaikan. Sikap dan sistem nilai harus dipupuk kepada setiap anggota keluarga seterusnya bagi memastikan anak dibesarkan dalam suasana harmoni dan baik serta diserapkan nilai murni untuk menghadapi pelbagai cabaran pada masa hadapan.

Dengan cara melengkapi ibu bapa mengenai kemahiran tertentu secara langsung dapat memahami keadaan fizikal, mental, kepercayaan terhadap keagamaan emosi dan pembangunan sosiobudaya kepada setiap individu dalam sesebuah keluarga dan ini adalah penting bagi memastikan kejayaan (institusi kekeluargaan) sebagai benteng untuk memerangi masalah sosial dan keruntuhan akhlak.

Utamakan pendidikan

Sungguhpun masyarakat dan negara berbangga dengan kemajuan dan pembangunan ekonomi sekarang, namun kita perlu berhati-hati dan berwaspada dengan apa yang tersembunyi dalam pelbagai rupa masalah sosial.

Kemajuan sains dan teknologi sekarang begitu canggih, dengan adanya internet, televisyen satelit serta lebuh raya maklumat, anak dan remaja lebih mudah terdedah kepada maklumat dan perhubungan berunsur positif atau negatif.

Pembangunan dan keupayaan sesebuah keluarga penting dalam mendidik serta membimbing anak hari ini untuk jadi rakyat berguna dan positif bagi menghadapi cabaran pembangunan negara.

Dalam hal mengukuhkan institusi kekeluargaan, kita harus mengambil berat mengenai pendidikan dan kemajuan pelajaran anak. Sikap suka mendengar serta berinteraksi dengan anak secara terbuka dengan memberikan beberapa pandangan supaya dapat meningkatkan pemahaman serta memajukan lagi diri mereka di dalam bidang pelajaran adalah penting.

Generasi muda masa kini mesti aktif, kreatif, inovatif dan membina kekuatan dalaman untuk menempa cabaran dunia yang serba moden nanti. Peranan ibu bapa, guru dan kerajaan penting dalam memastikan wujudnya generasi berwawasan.

Generasi muda juga adalah penggerak kemajuan negara dan semua pihak perlu berusaha supaya generasi muda kita tidak terus hanyut dalam arus masalah sosial yang tidak bermanfaat.

Penyelesaian dan pendekatan yang perlu dilaksanakan ialah menerusi program penerapan dan peningkatan nilai murni di kalangan masyarakat, terutama generasi muda kita.