October 15th, 2015

Tentang gitar dan pemain gitar

Gitar adalah alat muzik yang paling popular di negara kita ini. salah satu sebab kerana harganya yang murah dan mampu dimiliki oleh warga marhaen sejak dari zaman dulu sampailah ke hari ini.

Kebanyakan warga marhaen itu kitalah, orang Melayu yang hidup sederhana di ceruk-ceruk hulu dan kampung.

Orang kita tak mampu nak beli dram set, saksofon, keyboard mahupun piano kerana harganya yang mahal. Yang murah dan mampu milik itulah seperti harmonika dan juga gitar.

Saya masih ingat, gitar tong atau gitar akustik pertama yang saya guna adalah gitar tong buruk yang sudah dibuang ke tempat pembuangan sampah, 32 tahun yang lalu.

Gitar itu milik kawan saya. Dia pun tak pandai main gitar, saya pun begitu juga. Jadi saya ambil gitar yang sudah dibuangnya itu dalam kondisi yang kurang sempurna.

Jenamanya Lark, gitar murah yang harganya kalau beli di kedai waktu itu tak sampai RM50 pun.

Saya beli tali gitar di kedai mamak dan perbaiki mana yang patut sehingga boleh diguna semula.

Bunyinya tidaklah sedap sangat. Gap antara fret dan tali pun agak tinggi dan bila petik, memang jari terasa sakit.

Kebanyakan gitaris-gitaris kita yang handal dan terkenal hari ini biasanya bermula dari gitar tong, jenama Kapok mahupun Lark. Itu yang paling popular waktu itu.

Dari gitar tong itulah segala-galanya bermula. Kita mula berkumpul, lepak dengan kawan-kawan, jamming tepi tembok, rujukan kita waktu itu dari buku-buku gitar yang mengumpulkan koleksi lagu-lagu popular yang diletakkan kord untuk rujukan kita atau kalau untuk lagu Inggeris kita beli buku “Let it Be” yang harganya di tahun 80an dulu cuma RM60 sahaja.

Apabila bekerja di Yamaha Music, saya mula terdedah dengan muzik dan gitar secara lebih meluas. Sering juga dihantar ke seminar gitar jenama Yamaha yang dikendalikan oleh wakil atau pakar pembuat gitar yang datangnya dari Jepun.

Bagi saya, yang paling penting jika kita mahu membeli gitar bukanlah terletak pada jenamanya melainkan kualiti kayu dan proses pembuatannya.

Ada cedar, spruce, atau solid spruce mahupun solid cedar. Biasanya kalau nak yang bagus, harganya melebihi RM1,500 ke atas. Bawah dari harga tersebut biasanya kayu campuran jenis plywood dan spruce/cedar sahaja.

Tidak hairanlah untuk sebuah gitar yang berkualiti terutamanya jika kita memilih jenama Yamaha untuk gitar akustik, harganya boleh mencecah ke RM25,000 atau menjangkau ke RM40,000 sebuah.

Dan kenyataannya juga, gitar yang mahal-mahal ini, kebanyakan pembelinya hanyalah di kalangan orang yang berada sahaja, bukan pemuzik. Pemuzik bukannya punya banyak duit untuk membeli gitar mahal.

Pernah seorang pelajar gitar, seorang ahli perniagaan yang agak berumur berbangsa Cina membeli gitar jenama Martin model Eric Clapton yang berharga RM70,000.

Beliau baru nak belajar gitar waktu itu. Kita pemuzik tidak akan mampu memilikinya kecuali jika kita ini anak orang kaya.

Bercerita tentang gitar, negara kita memiliki ramai gitaris yang bagus-bagus belaka terutama dalam genre rock seperti Shahrul Ekamatra, Samad (arwah), Man Kidal, Hillary, Opie antaranya.

Yang tak dikenali tetapi bagus pun ada juga cuma karier mereka tidak berkembang dan kurang dikenali kerana susah untuk kita hidup sebagai pemain gitar di Malaysia ini sebenarnya.

Saya kenal arwah Samad, bekas gitaris kumpulan muzik rock lagenda kita, Left Handed secara peribadi. Ini kerana arwah adalah duta untuk gitar elektrik jenama Yamaha.

Untuk jenama Yamaha, ianya tidaklah sepopular jenama Fender mahupun Ibanez walau dari segi bunyi dan kualitinya, tidak banyak beza sebenarnya.

Samad bagi saya antara gitaris terbaik negara kita ini. Cara permainannya mengikut gaya era 80an, bukan 70an seperti Man Kidal.

Cara permainannya penuh dengan elemen nu metal dan hard rock 80an. Arwah pernah mengeluarkan sebuah album instrumental pada tahun 1994 dulu, juga antara top sessionist untuk artis rakaman sewaktu era kegemilangannya di penghujung tahun 80an dan tahun 90an dulu.

Kita tinggal di negara yang kurang menghargai alat muzik mahupun pemuzik. Kesannya kebanyakan pemuzik kita yang bagus-bagus tidaklah mampu hidup senang sebagai pemuzik melainkan perlu “survive” untuk terus hidup.

Gitaris kita yang bikin album instrumental pun, album-album mereka bukanlah laku sangat di pasaran. Tidak kita samada mereka itu Man Kidal, Hillary mahupun Samad. Inilah kenyataannya.

Salah seorang kawan saya, seorang pemain gitar professional yang sangat bagus dalam permainan gitar klasikal dan flamenconya, hanya dibayar sebanyak RM2,500 sebulan sebagai pemain gitar di salah sebuah hotel bertaraf 6 bintang di Kuala Lumpur 5 tahun dulu.

Jumlah itu sangatlah kecil jika dibandingkan dengan kelayakannya sebagai seorang pemain gitar yang sepatutnya mendapat gaji sekurang-kurangnya RM5,000 sebulan mengikut kelayakan dan tahap professionalnya. Tapi itulah nilai sebuah penghargaan terhadap pemuzik di tanah air kita ini.

Tidak hairanlah mereka ini ada yang mengambil keputusan untuk menjadi busker demi untuk terus hidup sebagai seorang pemuzik atau pemain gitar khususnya. – 15 Oktober, 2015.