October 23rd, 2015

Hukum puasa 10 Muharam pada Jumaat

Apakah hukum berpuasa pada 10 Muharam yang kebetulan jatuh pada hari Jumaat?

JAWAPAN Dalam riwayat hadis, memang terdapat tegahan untuk umat Islam daripada berpuasa sunat pada hari Jumaat. Ini kerana hari Jumaat seolah-olah hari kebesaran atau hari perayaan bagi umat Islam. Maka kita tidak sewajarnya sengaja memilih hari Jumaat sahaja untuk berpuasa sunat.

Dibolehkan, tidak makruh

Walau bagaimanapun, ada tarikh tertentu disunatkan untuk berpuasa. Contohnya pada 10 Muharam. Puasa sunat ini berkaitan dengan tarikh, bukan dengan hari. Hal ini sama seperti sunat berpuasa pada 9 Zulhijah. Ia juga berkaitan dengan tarikh. Maka ketika ini, tidak lagi makruh untuk berpuasa walaupun jatuh pada hari Jumaat.

Tahun ini 1437 Hijrah, tarikh 10 Muharam adalah pada hari Jumaat. Maka sunat bagi Muslim untuk berpuasa pada hari ini. Pahalanya besar iaitu dapat menghapuskan dosa selama tempoh setahun yang lalu. Maksudnya sesiapa yang berpuasa pada 10 Muharam 1437 Hijrah, maka dosanya terutama dosa-dosa kecil akan diampunkan oleh Allah. Dosa tersebut adalah dosa antara 10 Muharam 1436 Hijrah sehingga 10 Muharam 1437 Hijrah. Mungkin juga dosa-dosa bermula 1 Muharam 1436 Hijrah sehingga 10 Muharram 1437 Hijrah. Apapun perbezaan tafsirannya, ia tidak mengapa. Apa yang penting ialah keampunan Allah.

Usaha fardu kifayah tingkat ekonomi Islam

AJAIB! Anak cucunya ramai, hartanya banyak dan umurnya panjang. Semasa kebun tamar orang lain mengeluarkan hasil sekali setahun, kebunnya pula berbuah dua kali setahun, malah buahnya juga amat berbeza, lebih besar, berkualiti dan amat lazat.

Tokoh ‘korporat’ itu ialah Anas bin Malik, antara individu terkaya di Madinah pada zaman Nabi Muhammad SAW. Beliau juga merupakan sahabat Rasulullah SAW terakhir yang meninggal dunia iaitu pada usia lebih 100 tahun

Mengapa hidupnya diberikan keberkatan sebegitu? Tidak lain kerana berkatnya doa baginda SAW terhadapnya ketika dia masih kecil. Namun, Anas yang meriwayatkan lebih daripada 2,000 hadis Rasulullah ini tidak sepenuhnya bergantung kepada ajaibnya doa Rasulullah kepadanya. Sebaliknya, sahabat Nabi ini amat gigih berusaha secara fizikal untuk maju dalam segala urusannya.

Pada masa yang sama, kepentingan aspek kerohanian tidak sesekali dipinggirkan atas dasar berasakan dirinya ‘dilindungi’ oleh doa Rasulullah. Anas sendiri selalu khatam al-Quran, qiyamnya tetap dan menjadi rutin, puasanya penuh mengisi kalendar harian, bulanan dan tahunan serta amalan sedekahnya bak air yang deras mengalir.

Contoh model seperti inilah yang perlu wujud dalam setiap diri umat manusia terutamanya bagi seorang usahawan atau lebih dikenali sebagai ahli korporat pada masa ini. Islam tidak pernah menghalang umatnya untuk mencari harta kekayaan, malah amat digalakkan untuk berusaha gigih dan tekun selagi tidak mengabaikan suruhan serta larangan Allah.

Berniaga adalah antara pekerjaan mulia yang dijanjikan pendapatan lumayan sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Sembilan per sepuluh rezeki datangnya daripada perniagaan.” - Riwayat Tirmizi.

Menginsafi mengenai wujudnya lompong tersebut iaitu kurangnya usahawan berkeperibadian seperti Anas sebagai contohnya, maka sebagai memenuhi tuntutan fardu kifayah, sebuah program melahirkan usahawan kental, berintegriti tinggi yang takutkan kepada ‘api neraka’ dilahirkan, ia dikenali dengan nama Jaringan Usahawan Angkatan Redha Allah (JUARA).

JUARA yang ditubuhkan di bawah gabungan dan sokongan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) memfokuskan kepada golongan muda untuk melibatkan diri dalam bidang keusahawanan, diterajui oleh pengerusinya, Datuk Jamaludin Shahidan.

Jamaludin yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam perniagaan termasuk membangunkan usahawan dan terlibat dengan badan-badan bukan kerajaan berkaitan perniagaan berkata, JUARA menyasarkan untuk melahirkan seramai 1,000 usahawan dalam kalangan bumiputera yang mempunyai asas kukuh pegangan Islam bagi memantapkan ekonomi negara dan menembusi serta menguasai pasaran antarabangsa.

“Program melahirkan usahawan JUARA ini bermula di masjid (Masjid Bandar Baru Salak Tinggi Sepang, Selangor menjadi tuan rumah kepada kursus) adalah usaha untuk mendidik usahawan yang berjaya di dunia dan akhirat. Akhirnya, mereka membentuk sebuah Masyarakat Usahawan JUARA (MU-JUARA) berintegriti tinggi sekali gus membina jaringan usahawan yang diredai Allah dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“Masalah seperti gejala rasuah, penyelewengan, pecah amanah, penipuan dan sebagainya secara sendiri akan terhapus malah menyuburkan lagi budaya keusahawanan yang sihat serta diredai Allah di Malaysia pada suatu masa nanti. Ia merupakan satu jihad dalam usaha memenuhi tuntutan fardu kifayah dan maqasid syariah,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Jamaludin mengakui terdapat kata-kata sinis yang menganggap idea JUARA itu terlalu idealistik dan agak sukar untuk direalisasikan. Beliau secara optimis menjawab: “Jika bukan sekarang bila lagi, Insya-Allah usaha ini bakal berjaya dan diberkati Allah tetapi dengan syarat ia perlu dirancang dengan sebaik mungkin daripada pelbagai aspek dengan penuh kejujuran.”

BAGAIMANA JUARA BERMULA?

Jamaludin bersama dengan jawatankuasa pelaksana JUARA telah mengadakan pertemuan dengan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri bagi menjelaskan mengenai program dan pengisiannya, sekali gus meminta pandangan serta khidmat nasihat daripada beliau.

Mereka kemudiannya mengadakan perbincangan dengan agensi-agensi kerajaan berkaitan dengan pembangunan usahawan sebelum mengadakan sesi jelajah dan penerangan di seluruh negara termasuk mengadakan sesi temu bual bagi memilih peserta berpotensi menyertai kursus Siswa Usahawan JUARA Utamakan Dakwah (SUJUD) pada awal tahun depan.

“Antara doktrin utama dalam SUJUD ialah pesertanya wajib mempunyai latar belakang kuat dalam agama, khatam al-Quran, selalu mengamalkan solat sunat Dhuha yang merupakan antara kunci kepada pintu rezeki, Qiyam - doa pada waktu ini tiada hijab antara hamba dengan Pencipta, berpuasa sunat - dapat mengajar untuk mengawal nafsu.

“Kita mahukan kesemua peserta menjadikan kesemua doktrin utama SUJUD ini sebagai ‘pakaian wajib’ bukannya kerana terpaksa atau sekadar memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh jawatankuasa JUARA,” katanya. - Tarmizi Abdul Rahim Utusan Malaysia Rencana Agama 23 Oktober 2015 4.00PM