October 24th, 2015

Integriti bukan hak individu

APABILA menyentuh tentang isu rasuah, sudah pasti kita akan mengaitkannya dengan nilai-nilai integriti yang ada pada diri seseorang. Namun, sejauh mana kita memahami konsep integriti dan mempraktikkannya dalam kehidupan, khususnya di alam pekerjaan?

Bercakap di hadapan kira-kira 500 penjawat awam pada Seminar Kelestarian Integriti di ibu negara baru-baru ini, bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Zakaria Jaffar memberitahu, seseorang individu tidak akan membuat perkara yang bertentangan jika dia mengetahui bahawa segala yang ada di langit dan bumi itu adalah milik Allah SWT.

Dengan jelas beliau memberitahu apabila seseorang individu itu mengetahui mereka akan dihitung di depan Allah SWT, mereka pasti akan menjadi seorang yang berintegriti.

“Seseorang yang berintegriti akan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan. Bagaimanapun, apa yang menjadi masalah ialah nilai integriti tidak dipahat dan dipraktikkan.

“Mereka tidak memahami tanggungjawab diri sendiri dan tidak tahu apa yang sepatutnya dilakukan,” kata beliau dalam seminar yang bertemakan, Integriti: Cabaran Penguatkuasaan dan Realiti di Malaysia.

Jelas beliau, apabila nilai integriti tidak dipraktikkan, seseorang individu itu akan bertindak di luar tatatertib, melanggar undang-undang serta peraturan hidup.

Nilai integriti bukan sahaja perlu dipahat pada diri sendiri, namun perlu ditanam terhadap mereka yang berada di sekeliling kita termasuk ahli keluarga, ujar beliau pada seminar anjuran bersama Pusat Pembangunan Integriti Korporat Akademi Pencegahan Ra­suah Malaysia (MACA), peserta Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Siri 11 Bil 3 /2015 dan Unit Integriti Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Sebagai nasihat ke­pada mereka yang mengikuti program CeIO, Zakaria berharap pegawai-pegawai ber­kenaan akan sama-sama mengambil peranan dan melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan baik dan berintegriti.

“Setitik peluh diperlukan oleh setiap individu untuk sama-sama kita tegakkan nilai integriti dan mencegah perbuatan rasuah kerana ini tanggungjawab kita semua,” jelas beliau.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar; mantan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Sutinah Sutan dan Timbalan Pengarah Audit Jabatan Audit Negara, Raja Sunthara Kannan turut mengambil bahagian dalam satu forum sempena seminar itu.

Akhbar turut menyentuh tentang peranan ahli politik dan pucuk kepimpinan dari segi integriti. Katanya, parti politik dianggap sebagai pihak yang paling banyak terlibat dalam rasuah.

Sebab itu, menurut Akhbar, perlunya wujudkan undang-undang baharu iaitu Akta Parti Politik untuk mengurus tadbir dana parti politik bagi mengelak isu penyelewengan.

Ini disebabkan janji-janji ahli politik menerusi manifesto harus ditunaikan kerana inilah yang dinamakan integriti, iaitu kejujuran dalam menunaikan janji.

Dalam pada itu, berhubung integriti yang ada pada seseorang pemimpin, tegasnya, pucuk kepemimpinan memainkan peranan pen­ting kerana mereka akan menjadi contoh dan teladan kepada orang di bawah mereka.

Sementara itu, Sutinah berpendapat bahawa integriti adalah peribadi yang utuh, suci, unggul dan tidak terjejas oleh sebarang kecacatan pada bila-bila masa, tempat atau keadaan.

“Integriti adalah satu kualiti unggul yang wujud secara keseluruhan dan padu kepada individu serta organisasi, malah berlandaskan etika dan pencerminan dalam tindakan harian.

“Seseorang individu yang berintegriti mempunyai standard tertentu dalam pekerjaannya, tidak kira di bawah pemantauan majikannya atau tidak kerana tugasan yang diberi akan dilakukan dengan baik,” ujar beliau.

Dari segi pencegahan rasuah, jelas beliau, kerangka kerja diperlukan merangkumi tiga tiang asas.

“Pertama, struktur iaitu cada­ngan kerja kepada semua agensi kerajaan supaya mempraktikkan nilai integriti. Kedua, proses iaitu mengadakan aktiviti, seminar dan program khas untuk orang ramai bagi memantapkan nilai integriti dan ketiga pula ialah instrumen, menggunakan arahan, undang-undang dan peraturan untuk memastikan kerja-kerja dilakukan dengan sempurna dan berintegriti,” tegasnya.

Sunthara Kannan berpendapat integriti sinonim dengan moral iaitu beretika dan mempunyai ta­tacara yang boleh diterima secara umum.

Jelasnya, integriti juga bermaksud buat apa yang betul dan bukan buat apa yang popular seperti yang berlaku dalam masyarakat sekarang.

Beliau berpendapat bahawa nilai integriti sukar untuk diukur kerana tidak mempunyai pemarkahan yang objektif.

Tegasnya, nilai integriti perlu diterap dari usia muda kerana adalah sukar ditanamkan kepada individu yang sudah dewasa.

“Sebagai contoh, di Jepun, kanak-kanak perlu mengikuti program, tidak kira di rumah mahupun di sekolah bagi memupuk nilai kejujuran mereka. Kanak-kanak yang lewat ke sekolah secara jujurnya akan mengakui bahawa mereka bangun lewat,” katanya.

Sebaliknya di Malaysia, tambahnya, mereka yang lambat sampai ke pejabat akan memberi pelbagai alasan seperti kesesakan lalu lintas.

“Oleh itu, nilai integriti amat penting. Walaupun contoh yang diberikan itu sifat manusia semula jadi, bagaimanapun, kita perlu cuba untuk mengimbangkan nilai tersebut pada diri kita sendiri,” ujar beliau.

- Utusan Malaysia Rencana 23 Oktober 2015

Pasangan biar anak mati dipenjara

SEPASANG suami isteri yang gagal membawa bayi mereka yang baru lahir ke hospital, sebaliknya hanya berdoa dan menggosokkan minyak zaitun di kepala bayi itu, kini terpaksa meringkuk di dalam penjara.

Dale dan Shannon Hickman, kedua-duanya berusia 30 tahun, masing-masing dihantar ke penjara untuk menjalani hukuman selama enam tahun setelah seorang hakim mengekalkan sabitan bersalah atas tuduhan menyebabkan kematian bayi tersebut.

Anak mereka, David, mati sembilan jam selepas dilahirkan dua bulan lebih awal di rumah neneknya pada 2009.

Pasangan itu merayu terhadap sabitan bersalah atas alasan bahawa pihak pendakwaan mempunyai beban untuk membuktikan bahawa kedua-duanya mengetahui kepercayaan agama mereka boleh menyebabkan kematian anak mereka, lapor New York Daily News.

Namun rayuan itu ditolak oleh Mahkamah Agung Oregon, Amerika Syarikat (AS) pertengahan Oktober lalu dan hakim yang mendengar rayuan itu mengulangi gesaan bahawa pasangan terbabit sepatutnya melakukan lebih lagi untuk cuba menyelamatkan anak mereka.

Ketika perbicaraan pada 2011 di Oregon, pihak pendakwaan menjelaskan bahawa David dilahirkan dengan jangkitan bakteria dan paru-paru yang tidak terbentuk dengan sempurna menyebabkannya sukar bernafas serta badan bertukar biru.

Mahkamah diberitahu bahawa David mempunyai 99 peratus peluang untuk hidup sekiranya pasangan itu, yang menganggotai satu ajaran gereja, menelefon nombor panggilan kecemasan 911, sebaliknya mereka hanya berdoa.

Pasangan itu juga tidak pernah mempertimbangkan untuk membawa bayi itu ke hospital untuk menerima rawatan.

Shannon berkata, dia mesti mematuhi suaminya kerana itu adalah perintah gereja.

“Saya fikir apa yang berlaku adalah atas kehendak Tuhan,” katanya ketika memberi keterangan di mahkamah.

Peguam Mark Cogan yang mewakili pasangan tersebut berhujah di mahkamah, bayi lelaki itu menemui ajal dengan cepat dan tidak ada bukti menunjukkan bahawa perubatan di hospital boleh menyelamatkan nyawanya.

Bayi itu mati akibat radang paru-paru staphylococcus, yang boleh dirawat.

Dalam keputusannya, Hakim Robert Herndon berkata:

“Apabila keterangan didedahkan dan saksi-saksi memberi keterangan, ia menjadi bukti kepada saya dan sudah tentu kepada pihak juri bahawa kematian tersebut tidak sepatutnya berlaku.”

Pasangan tersebut merupakan ahli Pengikut-Pengikut Gereja Christ yang mempunyai sejarah menolak undang-undang berkaitan penjagaan perubatan kanak-kanak, sebaliknya hanya percaya kepada rawatan melalui kepercayaan agama dengan berdoa dan menggosok minyak kepada kanak-kanak yang sakit.

Ketika prosiding rayuan tersebut, Pegawai Pendakwa, Mike Regan berkata, suatu mesej perlu dihantar kepada pengikut-pengikut ajaran agama terbabit.

“Secara amnya mereka adalah baik, berkelakuan sopan dan mematuhi undang-undang, kecuali dalam satu perkara ini yang menyempitkan kehidupan mereka.

“Mereka dengan degil dan angkuhnya memberitahu kamu, jika saya boleh sebutkan di sini ‘Kami tidak akan berubah’. (Sedangkan) Undang-undang sivil masyarakat menuntut mereka berubah.

“Ia menuntut agar kami menghantar mesej kepada mereka sama ada kamu percaya ini atau tidak di Oregon, kamu tidak boleh bertindak berdasarkan kepercayaan sedemikian,” katanya.

Lima pengikut gereja tersebut sebelum ini telah didapati bersalah di Clackamas atas kesalahan berkaitan penolakan penjagaan perubatan terhadap anak-anak mereka.

- Amiruddin Harun Utusan Malaysia Rencana 24 Oktober 2015 12:05 AM

Haram doktor jejak bumi Israel helah tutup kezaliman

BERNAMA menemu bual secara eksklusif doktor dan aktivis dari Norway yang lantang memperjuangkan hak rakyat Palestin, Dr Mads Gilbert, ketika lawatannya ke Malaysia baru-baru ini.

Beliau menceritakan pengalamannya sebagai doktor bedah sukarela di Hospital As-Shifa di Gaza, ketika serangan Israel paling dahsyat ke atas Gaza, serta membincangkan betapa berkesannya usaha gerakan perpaduan dalam mengembalikan hak rakyat Palestin.

Ternyata Dr Mads Gilbert, seorang aktivis yang digeruni Israel. Pada November 2014, beliau diharamkan Israel daripada menjejakkan kaki lagi di bumi Gaza.

Pakar pembedahan trauma berusia 68 tahun itu tersenyum sinis ketika ditanya soal itu. "Alasan mereka, saya seorang yang berbahaya. Kalaulah kerana stetoskop dan kamera pun dianggap berbahaya, jelaslah betapa Israel nekad menyembunyikan keadaan sebenar di Gaza," katanya kepada BERNAMA dalam satu temu bual eksklusif.
TUNJUK perasaan secara aman di beberapa bandar besar di Amerika bagi membantah serangan terhadap Palestin pada tahun 2009.


Jika dilihat latar belakang Dr Gilbert, memang tidak disangka beliau menjadi seorang pejuang hak rakyat Palestin.

Beliau membesar di Norway ketika negara itu kuat di bawah pengaruh Zionis. "Di sekolah, kami hanya diajar mengenai hak Israel, tanpa diberitahu yang negara itu diwujudkan atas rasa bersalah satu bangsa lain. Orang Eropah rasa terhutang budi kepada orang Yahudi kerana peristiwa Holocaust. Itu memang satu jenayah yang dahsyat, tetapi ia bukan dilakukan rakyat Palestin, jadi bukan mereka yang sepatutnya melangsaikan hutang itu," katanya.

Kali pertama beliau menyaksikan kekejaman ke atas rakyat Palestin adalah ketika menjadi doktor sukarela ketika pengeboman di Beirut, Lebanon, pada tahun 1981.

Pengalaman itu menghantuinya, sehingga beliau kembali pada tahun berikutnya untuk memberi bantuan ketika pembunuhan beramai-ramai Sabra dan Shatila.

DR Gilbert menunjukkan buku karyanya, Night in Gaza ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto BERNAMA


Kekejaman tentera Israel

"Itulah kali pertama saya dapat melihat dengan jelas implikasi kekejaman jentera perang Israel. Ia menjadikan saya betul-betul terkesan," katanya.

Sebagai seorang pakar anestesiologi dan pensyarah perubatan, beliau terbabit dengan pelbagai projek di serata dunia secara sukarela.

Namun, sejak 15 tahun lalu, usahanya tertumpu ke Gaza. Beliau bertugas di Hospital As-Shifa ketika empat serangan kejam ke atas Gaza pada tahun 2006, 2009, 2012 dan 2014.

Serangan pada tahun 2014 dianggap paling dahsyat yang pernah dialaminya.

Beribu-ribu tan bom dilepaskan ke atas bumi Gaza yang hanya bersaiz 365 kilometer persegi dalam masa 51 hari.

Seramai 2,251 rakyat Palestin terbunuh, termasuk 551 kanak-kanak.

Menurut perangkaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 10,000 tercedera dan lebih 100,000 kehilangan tempat tinggal. Segala kesengsaraan mereka dirakamkannya dalam buku kedua beliau, Night in Gaza. Isi kandungannya sukar dibaca tanpa terlerai air mata.

Buku pertamanya Eyes in Gaza, yang ditulis bersama rakan senegara, Dr Erik Fosse, pula mengisahkan pengalaman mereka di As-Shifa ketika serangan pada tahun 2009. Tahun itu, Israel menghalang media antarabangsa memasuki Gaza.

Bagaimanapun, kedua-dua doktor itu berjaya memasuki Gaza dengan bantuan $1 juta dari kerajaan Norway. Dr Gilbert tidak mensia-siakan peranannya sebagai sukarelawan luar ketika itu.

Selain merawat pesakit, beliau turut meluangkan masa melaporkan keadaan di lapangan kepada media tempatan yang juga wakil kepada media luar seperti BBC, CNN dan Al-Jazeera.

Laporannya di media sosial serta surat terbuka yang ditulisnya ketika serangan pada tahun 2014 juga pantas menjadi viral. DR Gilbert merawat pesakit ketika bertugas di Hospital As Shifa di Gaza.

Laporan buka mata dunia

Laporannya daripada perspektif peribadi dan perubatan, serta gambar menyayat hati yang disertakan, menggemparkan dunia yang lena dan terlupa mengenai kesengsaraan saudara mereka di Palestin.

Nyata pendedahan beliau membuatkan Israel tidak senang duduk kerana berjaya menyemarakkan lagi Gerakan Boikot, Penjualan dan Sekatan (BDS)," kempen yang amat berpengaruh dalam menggugat kedudukan ekonomi dan politik Israel.

Namun beliau percaya usahanya yang paling penting adalah yang dilakukannya di negara sendiri.

Dr Gilbert merawat pesakit ketika bertugas di Hospital As Shifa di Gaza.
Ini termasuk menghidupkan gerakan perpaduan Palestin di Norway dan mendedahkan kepada mereka realiti kehidupan di Palestin.

Usaha ini akhirnya menyebabkan perubahan dramatik pandangan Norway terhadap isu Israel-Palestin.

Ketika zaman pro-Zionis Norway, negara itu membekalkan 'heavy water' kepada Angkatan Tentera Israel (IDF) untuk menghasilkan bom atom.

Orang kenamaan dan Perdana Menteri Israel, termasuk Golda Meir, juga sering ke Norway ketika itu.

Bagaimanapun, semua ini berubah pada tahun 2000. Tahun berikutnya menyaksikan Tromsø menjadi bandar kembar Gaza. Gerakan perpaduan Palestin di Norway sangat kukuh, biarpun ketika pengaruh Zionis masih kuat.

Ramai anak muda yang pada asalnya sangsi mengenai kezaliman yang dilakukan IDF ke atas Palestin berubah fikiran selepas ditempatkan di Palestin sebagai tentera keamanan PBB.

"Di sana acapkali dikatakan anak muda yang meninggalkan Norway 99 peratus adalah pro-Israel tetapi bila pulang 99 peratus pro-Palestin.

"Saya rasa hujah terbaik bagi pihak Palestin ialah realiti di lapangan. Lihatlah sistem aparteid yang diamalkan di sana, penindasan diasporanya dan yang paling nyata, pengepungan dan pengeboman yang berulang kali di Gaza," katanya.

Perubahan dasar Norway ke atas Palestin turut memberi impak positif kepada Dr Gilbert. Sebelum tahun 2009, kerja sukarela hanya dilakukan ketika mendapat cuti.

"Kini, saya melakukan kerja amal ini sebagai wakil hospital kerajaan saya," katanya yang bertugas sebagai Ketua Perubatan dan Pakar Anestetik di University Hospital of North Norway dan pensyarah perubatan kecemasan di University of Tromsø.

MAYAT mangsa pembunuhan beramai-ramai di kem Sabra dan Shatila pada awal tahun 1980-an.

Kempen boikot gugat ekonomi Israel

Sesetengah rakyat Malaysia masih ragu-ragu mengenai keberkesanan Gerakan Boikot, Penjualan dan Sekatan (BDS) "Saya faham perasaan itu, tapi kita kena lihat realitinya.


MAYAT mangsa pembunuhan beramai-ramai di kem Sabra dan Shatila pada awal tahun 1980-an.
Banyak syarikat korporat yang disasar BDS, seperti Veolia dan G4S, mengalami kerugian besar akibat beroperasi dan mengaut keuntungan di tanah Palestin yang diduduki Israel.

"Kita harus ingat G4S yang bertanggungjawab menguruskan penjara kanak-kanak di Israel dan benteng aparteid di Tebing Barat.

Kempen BDS Norway menyasar G4S dan ia berkesan. Mereka akhirnya terpaksa gulung tikar di Norway," kata Dr Gilbert.

Syarikat antarabangsa Veolia pula membina landasan kereta api dari Tel Aviv ke Jerusalem secara haram di atas tanah Palestin.

Selepas aktiviti mereka didedahkan oleh kempen BDS, syarikat itu kini kerugian berbilion dolar dan menutup operasinya di Israel.

"Jadi tidak syak lagi boikot memang berkesan. Ia menggugat ekonomi Israel. Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata negara itu sedang menghadapi dua ancaman strategik iaitu BDS dan Iran.

Kini mereka cuba menjadikan sokongan BDS satu jenayah di Amerika Syarikat dan Kanada.

"Sungguh memalukan tindakan itu, kerana BDS satu kaedah bantahan yang aman dan demokratik. Negara Barat pula bukan tidak pernah mengenakan sekatan sedemikian ke atas Iran, Iraq dan Libya," katanya, sambil menambah bahawa dunia Barat mengenakan sekatan ke atas negara lain sejak berdekad lalu.

"Ketika tumpahan darah di Gaza Julai lalu, pihak PBB, AS dan Kesatuan Eropah sibuk mengenakan sekatan, bukan ke atas Israel, tetapi Russia.

Ia hanya mengambil mereka beberapa hari untuk mengenakan sekatan ke atas kerajaan dan rakyat Russia. Ini menunjukkan sekatan dan boikot mampu digunakan negara Barat ke atas mana-mana rejim di dunia kecuali Israel," katanya.

Beliau menggesa rakyat Malaysia mengikuti kempen BDS dengan menyasar hanya syarikat besar yang mengaut keuntungan atas penindasan rakyat Palestin. - BERNAMA