October 26th, 2015

Ujian DNA Paterniti

Hari pernikahan Sofia semakin hampir dan hatinya semakin gundah bila memikirkan keengganan ayahnya untuk menjadi wali. Puas dipujuk namun Encik Murad masih berkeras mengatakan Sofia bukan anak kandungnya. Pertelingkahan dan salah faham yang berlaku antara ayah dan ibu Sofia 20 tahun dahulu masih belum berakhir. Atas nasihat rakan-rakan dan bakal suaminya, Sofia mula mencari maklumat berkenaan ujian DNA bagi membuktikan bahawa dia adalah anak kandung Murad. Sofia sangat berharap agar ayah kandungnya menjadi wali pada hari pernikahannya nanti.

Adakah Sofia dapat mencari jawapan dan meyakinkan ayahnya melalui ujian DNA? Bagaimana ujian DNA ini dapat mengesahkan status Sofia sebagai anak kandung Murad? Adakah keputusan yang diberikan oleh ujian DNA ini 100 peratus tepat? Ujian DNA paterniti merupakan kaedah paling tepat dalam penentuan hubungan antara ibu atau bapa kandung dengan anak. Ujian ini memberikan ketepatan sehingga 99.99 peratus sekiranya individu yang diuji adalah bapa atau ibu kandung kepada anak tersebut dan 0 peratus sekiranya mereka tiada kaitan secara biologi.

Ujian DNA paterniti adalah berasaskan kepada perbandingan profil DNA anak kepada individu yang diuji. Memandangkan setiap anak mewarisi 50 peratus DNA daripada ibu kandung dan 50 peratus daripada ayah kandung, maka profil DNA anak kandung akan mempunyai 50 peratus persamaan dengan ibu bapa kandung masing-masing. Bagi menjalankan ujian DNA paterniti, sampel perlu diambil daripada anak dan bapa (atau ibu) yang hendak diuji.

Jenis sampel adalah bergantung kepada makmal yang menjalankan ujian. Kebanyakkan makmal menggunakan sampel darah atau buccal swab (sampel diambil dengan menyapu putik kapas steril pada bahagian pipi dalam mulut) kerana bilangan DNA diperolehi daripada kedua-dua sampel adalah lebih konsisten.

Namun demikian, sampel-sampel lain seperti rambut dan kuku boleh juga digunakan sekiranya tiada pilihan. Ujian DNA juga boleh dilakukan untuk bayi yang belum lahir. Walau bagaimanapun, prosedur yang digunakan untuk mengambil sampel DNA bayi (amniocentesis dan chorionic villus sampling) mempunyai risiko kepada kandungan. Kebenaran daripada ibu perlu diperolehi terlebih dahulu sebelum ujian DNA untuk bayi dalam kandungan boleh dilakukan. Sampel yang diterima oleh makmal akan melalui beberapa proses seperti pengekstrakan DNA, polymerase chain reaction, (PCR) pengasingan fragmen telah diamplifikasi, analisis dan akhir sekali interpretasi data.

Sekiranya profil DNA anak menepati 50 peratus daripada profil DNA bapa (atau ibu) yang diuji, kiraan akan dibuat bagi mendapatkan nilai gabungan indeks paterniti (combined paternity indexed) dan kebarangkalian paterniti. Sekiranya lebih daripada dua penanda DNA pada anak tidak berpadanan dengan penanda DNA pada profil bapa yang diuji, maka individu tersebut akan dinyatakan sebagai bukan bapa kandung kepada anak tersebut di dalam laporan yang dikeluarkan oleh makmal.

Kepentingan

Kebanyakan makmal yang menawarkan ujian DNA paterniti menggunakan kit dengan 15+1 penanda STRs (Short Tandem Repeats). Unit HID/DNA, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia mempunyai makmal independen berakreditasi (MS ISO/IEC 17025) yang pertama di Malaysia yang menawarkan ujian DNA paterniti. Perkhidmatan ini ditawarkan melalui Klinik Eksekutif, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM).

Selain USM, Jabatan Kimia Malaysia dan beberapa makmal swasta di Malaysia ada menawarkan ujian DNA paterniti.Di samping kepentingannya bagi pengesahan status anak, ujian DNA paterniti juga diperlukan untuk kes-kes seperti permohonan kad pengenalan bagi anak yang tidak didaftarkan semasa kelahiran, permohonan status kerakyatan untuk anak yang dilahirkan dan didaftarkan di luar negara, tuntutan harta dan juga kes jenayah seperti pembuangan bayi.

Berbalik kepada kes Sofia, selepas membuat ujian DNA, keputusan telah menunjukkan Murad sememangnya bapa kandung Sofia. Walaupun akhirnya dia bersetuju untuk menjadi wali pada hari pernikahan Sofia, namun beliau masih tetap tidak mahu menerima Sofia sebagai anaknya. Dari segi hukum syarak, bolehkah Murad terus menafikan hak Sofia sebagai anak kandungnya?

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia telah bersidang pada 27 September 2012 dan telah membuat keputusan berkenaan penggunaan ujian DNA dalam penentuan nasab anak. Keputusan yang diambil juga adalah berdasarkan penetapan yang dibuat oleh Majma’ Fiqh al-Islami.

Muzakarah memutuskan bahawa penafian nasab anak hanya boleh dilakukan melalui kaedah Li’an. Sekiranya penafian tidak dilakukan dalam tempoh yang telah ditetapkan, maka gugurlah hak penafian nasab tersebut, walaupun disokong oleh bukti DNA. Ini bermakna, seorang ayah tidak boleh sewenang-wenangnya menafikan nasab dan hak seorang anak yang dilahirkan oleh isterinya.

Islam sangat menitik beratkan soal nasab, termasuk hubungan kekeluargaan, emosi dan maruah anak sekiranya berlaku penafian setelah anak tersebut meningkat dewasa. Maklumat lanjut berkenaan hukum menggunakan DNA untuk penentuan nasab anak dan tempoh melaksanakan Li’an bagi menafikan nasab anak boleh didapati daripada www.e-fatwa.gov.my.

Graf di bawah adalah contoh profil DNA yang menunjukkan keputusan En. X adalah bapa kandung Bayi Y dengan kebarangkalian 99.99 peratus. Nombor yang diwarnakan merah menunjukkan padanan alel pada bapa dan anak.

- Prof Madya Dr Zafarina Zainuddin Utusan Malaysia Rencana 25 Oktober 2015 6:19 PM