October 29th, 2015

Kos sara hidup 
isu besar rakyat

SEBENARNYA ramai yang pasti mahu untuk menjadi pemantau harga-harga barang di kedai-kedai, pasar raya atau kompleks beli-belah. Ramai pun sanggup membantu pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk melihat-lihat mana-mana barang yang naik harga dengan mendadak dan tidak masuk akal.

Lebih-lebih lagi dengan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sejak April lalu, sehingga kini masih ada peniaga terutamanya pengusaha kedai-kedai runcit yang menaikkan harga berlipat kali ganda. Dulu alasan naik harga ke­rana sewa kedai mahal, sekarang guna alasan GST pula. Sebab itu, ramai yang lebih suka pergi ke pasar raya atau hypermarket yang lebih murah harganya berbanding kedai runcit yang kecil tetapi harga barangannya melam­pau-lampau mahalnya.

Tetapi disebabkan pengguna cuma ada kuasa untuk mengadu dan tidak terlibat dalam hal-hal penguatkuasaan, maka ramailah yang lebih suka mengadu sesama sendiri. Mengadu dalam media sosial seperti Facebook dan Twitter. Mengadu pada kawan-kawan dan penyudahnya semua rungut­an dan kemarahan itu habis di situ sajalah. Marah-marah pun, paling lama pun seminggu lepas itu pergi lagilah kedai yang sama.

Tak pula dia mahu mengadu kepada KPDNKK. Bila ditanya sudah buat aduankah? Ayat yang biasa kita dengar, tidak tahu macam mana hendak buat aduan atau adakah tindakan yang diambil nanti? Takut hanya rajin terima aduan saja, sebab hendak ambil hati, lepas itu senyap. Itulah pandangan-pandangan rakyat Malaysia, kalau sudah marah.

Dan kalau pun pengguna diberikan kuasa memantau dan kuasa menahan sama seperti penguat kuasa KPDNKK, habislah peniaga-peniaga terbabit. Pasti ‘disekolahkan’ dulu baharu diadukan kepada KPDNKK.

Justeru, apabila ada cadangan untuk memberikan kuasa kepada 3.6 juta anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) untuk menahan peniaga-peniaga yang didapati melakukan kesalahan menaikkan harga atau menyalahgunakan GST, ini pasti sedikit sebanyak membantu rakyat dalam meme­rangi peniaga-peniaga yang cekik darah ini.

Jika hendak dibandingkan dengan bilangan pegawai pe­nguat kuasa KPDNKK yang tidak sampai 2,500 orang di seluruh negara, kehadiran Rela ini kalau diambil kira dari segi perban­dingan jumlahnya, sepatutnya akan dapat banyak membantu.

Hakikatnya, isu kenaikan harga barang dan kos sara hidup adalah satu isu yang amat besar kepada rakyat. Ia adalah lebih besar daripada berapa banyak lagi lebuh raya atau jalan berkualiti tinggi, bertaraf dunia dapat disediakan di negara ini, lebih besar daripada berapa lagi jumlah sekolah atau pusat beli-belah dapat dibina. Isu ini jika tidak ditangani dengan baik akan mencetuskan kemarahan rakyat yang berpanjang­an. Mulalah apa saja langkah yang dilakukan oleh kerajaan akan dipersoal dan diperlekehkan.

Saya ada terbaca satu kisah yang menjadi viral dalam media sosial berkenaan seorang guru yang terjumpa nota anak muridnya, menulis yang dia lapar dan mengajak keluarganya makan tetapi dia tahu ibu bapanya tidak ada duit lagi untuk membeli beras dan budak yang menulis itu akur dengan kesusahan orang tuanya dan dia pun berlaparlah.

Mungkin nota itu palsu, direka-reka dan antara cerita-cerita palsu yang biasa diviralkan dalam media sosial. Tetapi hakikatnya, kesempitan hidup seperti itu memang wujud dalam masyarakat kita. Bila harga barang semakin naik, ramai yang kena tempiasnya, orang yang berpendapatan sederhana boleh jadi susah, orang miskin lagilah tambah kedana.

Adakalanya kita tidak sedar, orang yang kita nampak biasa-biasa saja perangainya di tempat kerja atau bersama kawan-kawannya, sebenarnya di rumah, anak-anak dan isterinya tidak makan. Makan nasi dengan kicap sahaja sementara menunggu gaji. Kicap pun sudah naik harga sekarang ini. Ikan sardin pun bukan lagi jadi makanan rakyat berpendapatan rendah. Tak kan hendak makan nasi dengan garam saja? Inilah amat pentingnya isu kenaikan harga barangan dan kos sara hidup ini ditangani dengan baik dan bijak. Isu ini jangan buat main. - Fauziah Arof Utusan Malaysia Rencana 28 Oktober 2015 6:10 PM

Bajet membantu golongan sasar

PEMBENTANGAN Bajet 2016, Jumaat lalu diadakan semasa beberapa universiti awam sedang sibuk mengadakan konvoke­syen. Antaranya, Universiti Utara Malaysia (UUM) yang mengadakan konvokesyen ke-28. Sebagai satu-satunya universiti awam yang memberi penekanan dalam bidang pengurusan, UUM telah berjaya melahirkan ramai tokoh dalam pelbagai bidang terutamanya dalam sektor korporat Malaysia. Ramai daripada mereka ini datangnya daripada keluarga yang berpendapatan rendah tetapi setelah dibantu oleh kerajaan berjaya mengubah taraf hidup mereka dengan mendapat pendidikan terbaik yang bertaraf dunia dari universiti-universiti awam Malaysia seperti UUM.


NAIB Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak beramah-mesra dengan para graduan universiti itu pada Majlis Konvokesyen ke-28 di Dewan Mu'adzam Shah, Kedah, 25 Oktober lalu.

Membantu golongan sasaran yang dikenali sebagai 40 peratus berpendapatan rendah (B40) menggunakan mekanisme pendidikan antara langkah terbaik untuk me­lonjakkan pendapatan rakyat berpendapatan rendah. Maka, tidak keterlaluan dikatakan bahawa Bajet 2016 cukup istimewa meletakkan apa yang perlu diutamakan dalam konteks Malaysia yang sedang me­nuju ke arah negara berpendapatan tinggi. Tahniah buat semua pihak yang terlibat dengan penyediaan Bajet 2016.

Tatkala negara berhadapan de­ngan cabaran dan risiko ketidaktentuan ekonomi global, kerajaan masih mampu menyediakan Bajet 2016 yang baik untuk membela nasib rakyat. Baik di sini, bukan setakat golongan berpendapatan rendah sahaja dibantu untuk me­ringankan beban kos sara hidup dan menyediakan perumahan mampu milik untuk mereka, bahkan kerajaan memperkenalkan golongan sasaran baharu yang dinamakan M40. Golongan ini ialah kategori 40 peratus rakyat Malaysia yang berpendapatan sederhana. Pas­tinya akan timbul persoalan kenapa golongan ini perlu dibantu sedangkan mereka ini bukanlah golongan berpendapatan rendah.

Bagi mereka yang mempersoalkan perkara ini, mereka mungkin terlupa atau buat-buat lupa bahawa Malaysia sedang menuju ke arah negara maju, maka, mahu tidak mahu golongan M40 perlu dibantu untuk melonjakkan pendapatan mereka menjadi golongan berpendapatan tinggi. Pada masa sama, golongan berpendapatan sederhana jarang sekali diberikan penekanan oleh kerajaan dalam bajet-bajet terdahulu berbanding mereka yang berpendapatan rendah, walhal keadaan ekonomi semasa semakin menekan kewangan mereka. Sebab itulah, langkah membantu M40 menggambarkan keadaan semasa ekonomi Malaysia.

Menariknya di sini, kerajaan akan mengumumkan definisi golongan M40 dari semasa ke semasa. De­ngan ini golongan M40 akan menjadi tumpuan oleh kerajaan selepas ini. Golongan M40 sememangnya me­nunggu langkah-langkah yang akan diambil untuk membantu mereka. Bukanlah bermaksud mereka menagih simpati kerajaan, namun bantuan sewajarnya disalurkan oleh kerajaan bagi memastikan golongan M40 dapat menjalani kehidupan yang selesa ketika segala-galanya semakin mahal.

Misalnya dalam konteks pemilikan rumah mampu milik, golongan M40 perlu juga diberikan penumpuan kerana mereka sering kali kelihatan seolah-olah terlepas pandang oleh kerajaan. Mereka sukar untuk membeli rumah yang selesa terutamanya di bandar-bandar besar. Walaupun ada pihak menyatakan bahawa persaingan sengit menyebabkan segala-galanya mahal di bandar-bandar besar ekoran ramai yang berpendapatan tinggi menetap di situ, namun alasan ini tidak seharusnya digunakan untuk mewajarkan kenaikan harga rumah yang keterlaluan. Harga rumah mahal bukanlah disebabkan persaingan sengit di bandar-bandar besar tetapi kerana mainan spekulasi harga hartanah oleh segelintir golongan kaya yang ingin menga­ut keuntungan lebih lumayan lagi. Mereka ini tidak pernah berpuas hati dengan pendapatan yang diperoleh. Kalau mereka berpuas hati mana mungkin mereka tergamak menindas orang lain dengan menaikkan harga hartanah sewenang-wenangnya.

Golongan yang berpendapatan tinggi wajar dinamakan sebagai 20 peratus golongan berpendapatan tinggi (H20) bagi memperlihatkan realiti sebenar rakyat Malaysia yang berpendapatan tinggi. Hanya 20 peratus rakyat Malaysia yang berpendapatan tinggi, maka, sewajar­nya peratusan ini ditingkatkan melebihi 50 peratus daripada rak­yat Malaysia. Dalam hal ini, tidaklah janggal apabila Malaysia digelar negara maju pada tahun 2020 kerana bukan setakat berasaskan pendapatan per kapita sebanyak AS$15,000 tetapi juga majoriti rakyatnya berpendapatan tinggi.

Untuk mencapai sasaran ini, langkah-langkah terbaharu yang dinamik diperlukan seperti menyediakan peluang-peluang pekerjaan yang dikategorikan berpendapatan tinggi kepada golongan M40.

Satu lagi langkah yang boleh dilakukan oleh kerajaan ialah dengan cara mengurangkan jurang pendapatan antara golongan berpendapatan tinggi dan sederhana. Jurang ini boleh dikurangkan apabila sektor-sektor korporat di Malaysia disarankan menyemak semula peratusan jurang pendapatan eksekutif-eksekutif tertinggi dan kategori eksekutif yang lain.

Hal ini berlaku demikian kerana bagi pekerja-pekerja yang dikategorikan pengurusan bawahan, pendapatan mereka di bawah RM10,000 sebulan sedangkan terdapat peng­urusan tertinggi syarikat yang berpendapatan melebihi RM50,000 sebulan. Ini jelas memperlihatkan jurang pendapatan yang cukup besar sama sekali antara kategori tersebut.

Jadi, amatlah tepat kerajaan menaikkan cukai pendapatan individu bagi mereka yang berpendapatan melebihi RM600,000 setahun dalam Bajet 2016. Malah, langkah ini tidak langsung menggambarkan bahawa Bajet 2016 sebagai Bajet Robin Hood. Sebelum menggelarkannya sebagai Bajet Robin Hood, lihat dahulu jurang pendapatan golongan sederhana berbanding mereka yang berpendapatan me­lebihi RM50,000 sebulan.

Langkah seterusnya, kerajaan perlu meneruskan agenda keusahawanan dan perniagaan untuk golongan berpendapatan sederhana agar mereka boleh melipatgandakan pendapatan mereka kelak. Menceburi bidang keusahawanan boleh meningkatkan peratusan golongan berpendapatan tinggi.

Selain itu, golongan M40 sendiri perlu membantu diri mereka agar tidak terlalu bergantung dengan kerajaan untuk mengubah status pendapatan mereka. Kreativiti dan inovasi di samping sentiasa berusaha tunjang untuk mengubah status pendapatan sederhana agar Malaysia tidak terperangkap sebagai negara berpendapatan sederhana.

Peratusan golongan H20, M40 dan B40 tidak sewajarnya kekal apabila Malaysia bergelar negara maju nanti. Justeru, sudah sampai masanya kerajaan menetapkan sasaran peratusan lebih tinggi untuk golongan berpendapatan tinggi dan mengurangkan peratusan bagi golongan berpendapatan sederhana dan golongan berpendapatan rendah menjelang tahun 2020.

-

Bajet 2016 bukan hanya tumpu aspek ekonomi

BAJET 2016 akan menjadi landasan kukuh sebelum kita menuju wawasan negara tidak lama lagi, bertujuan mempersiapkan Malaysia dalam menghadapi pelbagai cabaran tidak diduga terutama dari luar sempadan negara.

Adakah bajet yang digubal pemerintah hanya berkisar atau menyentuh mengenai kejatuhan harga minyak, Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kos sara hidup dan harga rumah meningkat serta hal-hal lain bersangkut-paut dengan ekonomi/kewangan saja?

Kita bersyukur ketika Bajet 2016 dibentangkan oleh Datuk Seri Najib Razak, Malaysia adalah sebuah negara yang aman. Tidak seperti Syria dan Yaman serta negara lain dilanda konflik berdarah tidak berkesudahan, memaksa rakyat mereka menjadi pelarian dan pengemis di bumi asing. Apakah kita tidak mengambil pengajaran?

Ancaman terhadap kestabilan dan kemakmuran sesebuah negara kini bukan saja dalam bentuk nyata seperti peperangan, malah juga dalam bentuk halus melalui media sosial diatur anasir asing.

Namun kita tidak boleh lupakan terus ancaman dalam bentuk nyata. Musuh negara memasuki sempadan perairan seperti lanun, penyeludup dadah dan senjata api serta nelayan asing, jelas mengancam keselamatan Malaysia.

Bajet 2016 memperuntukkan RM17.3 bilion untuk enam Littoral Combatant Ship yang akan digunakan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan pembelian Unmanned Airbone System baharu untuk meningkatkan keupayaan rondaan, perisikan dan pemantauan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Perairan Malaysia yang luas dan panjang serta pulau yang kaya dengan pelbagai sumber asli sememangnya memerlukan lebih banyak kapal peronda terutama di Pantai Timur Sabah. Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang berganding bahu dengan TLDM, diperuntukkan RM864 juta untuk pembelian kapal peronda luar pantai baharu, menggantikan aset lapuk APMM yang selama ini diwarisi dari TLDM, Polis Marin, Kastam dan lain-lain agensi penguat kuasa.

ATM dan APMM mempunyai banyak perancangan pembangunan dan penggantian aset lama, namun tidak boleh dilakukan sekali gus kerana membabit kos besar.

Penulis mencadangkan pada bajet akan datang, TLDM/TUDM dilengkapi pesawat peronda maritim jarak jauh/sederhana bagi menggantikan pesawat maritim ringan. Ini perlu, mengambil iktibar peristiwa kehilangan pesawat MH370, ancaman pelbagai pihak berkepentingan di Kepulauan Spratly, serta meningkatnya pencerobohan oleh bot pelarian asing.

Perolehan strategik dalam Bajet 2016 yang dibincangkan memerlukan pengendali profesional agar ia dapat dioperasikan secara optimum dalam jangka masa panjang.

Justeru, aspek sumber manusia dan pendidikan harus dititikberatkan oleh kerajaan selaras dengan aspirasi negara. Sehubungan itu, Kerajaan Pusat akan membangunkan Bandar Lapangan Terbang atau Aeropolis KLIA di kawasan seluas 520 hektar yang dijangka menarik pelaburan RM7 bilion.

Persediaan lebih ramai tenaga pakar dan berkemahiran tinggi dalam Bajet 2016 akan ditampung oleh empat Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) baharu di Sik, Ketereh, Tanah Merah dan Bagan Datoh, selain lima Sekolah Berasrama Penuh.

Selain itu, peruntukan RM585 juta untuk peralatan latihan Teknikal, Vokasional, Pendidikan dan Latihan (TVET) di politeknik, Kolej Komuniti, Institut Latihan Perindustrian dan lain-lain kolej kemahiran kerajaan.

Tingkat program pembangunan belia

Belia tidak terbabit TVET juga tidak ketinggalan kerana Bajet 2016 menyediakan RM50 juta untuk meningkatkan aktiviti pembangunan belia dalam ekonomi/keusahawanan dan RM160 juta lagi untuk NGO melaksanakan program pembangunan komuniti, kebajikan masyarakat serta perpaduan negara.

Mungkin pada bajet akan datang, kerajaan dapat menambah peruntukan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) bagi memperkasa serta memperbanyakkan program ke arah memupuk perpaduan kaum.

Pegawai dan kakitangan awam mengambil maklum dan memanjatkan kesyukuran apabila kerajaan berhasrat menambah baik 252 skim perkhidmatan, memanfaatkan 406,000 penjawat awam, selain melantik secara tetap pegawai lantikan perkhidmatan kontrak yang berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun.

Namun penulis dan rakan kalangan pekerja kontrak seperti Pembantu Pembangunan Masyarakat di JPNIN, Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), Tribunal Tuntutan Pengguna dan lain-lain jawatan kontrak serta Pekerja Sambilan Harian yang majoritinya belia, mengharapkan lebih banyak faedah/kajian terhadap perjawatan ini supaya nasib mereka lebih terbela.

Bajet 2016 bukanlah bersandarkan kepada aspek ekonomi dan kewangan sahaja. Walaupun kos sara hidup dan harga rumah meningkat, permasalahan GST, gaji minimum dan hal lain berkaitan sering dibincangkan setiap tahun.

Namun, aspek pertahanan negara, pembangunan belia, sumber manusia dan perpaduan pelbagai kaum janganlah kita lupakan terus.

Sama-samalah kita berusaha. Jangan hanya berpeluk tubuh sambil mengkritik tanpa asas ilmu kukuh, kerana negara ini sahajalah yang kita miliki dan bakal diwarisi oleh generasi masa hadapan nanti.

Abu Bakar Abdul Jalal Berita Harian Kolumnis 27 Oktober 2015

Bajet dan agenda dasar kerajaan

BAJET ialah anggaran mengenai kos, punca pendapatan dan hasil mengikut tempoh tertentu. Ia menggambarkan keadaan kewangan negara pada masa hadapan, sama ada jangka pendek mahupun jangka panjang dan biasanya digunakan untuk mencapai agenda pembangunan oleh kerajaan, mengukur prestasi serta membuat persediaan untuk menghadapi kesukaran yang dijangka atau tidak dijangka pada masa hadapan.

Inilah antara inti pati ucapan Bajet 2016 yang mendedahkan jumlah kos keseluruhan RM267.2 bilion. Negara dikatakan mengalami bajet defisit sekiranya perbelanjaan melebihi hasil, manakala simpanan awam pula dianggap negatif. Sejak 1970, kebanyakan bajet tahunan negara mencatatkan defisit melainkan tahun 1992 hingga 1997.

Bajet tidak boleh dipisahkan daripada politik. Ia berkaitan dengan dasar kerajaan. Bajet dianggap sebagai alat atau mekanisme kerajaan untuk mengurus dan mengawal jangkaan dan harapan pengundi - dan rakyat keseluruhannya - mengenai keupayaan kerajaan mentadbir negara.

Ambil kira aliran harga minyak dunia

Hal ini disentuh Perdana Menteri pada awal pembentangan yang mengaitkan senario semasa ekonomi global dan dalam negara. Bajet 2016 mengambil kira aliran harga minyak dunia yang dijangka kekal rendah tahun hadapan.

Dengan memikirkan hal itu, pendapatan yang diperoleh negara pada tahun 2016 dianggarkan sekitar RM31 bilion saja.

Bajet tahunan adalah anggaran jangka pendek yang dianggap tidak begitu tebal desakan agenda politiknya.

Sebaliknya, anggaran jangka panjang pula, seperti rancangan pembangunan lima tahun, biasanya digunakan untuk menjayakan agenda politik dalam perspektif kesejahteraan negara.

Inilah yang berlaku sejak bermulanya agenda dasar pembangunan negara seawal tahun 1953 (melalui Draft Development Plan) sehingga Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) - 2016-2020. Bahagian awal pembentangan Najib dilatarbelakangi kewajaran penguatkuasaan GST.

Najib mengungkapkan kelegaan betapa tidak kurang 400,000 syarikat berdaftar dengan GST. GST dianggap sebagai 'pelampung kecemasan' yang meredai kekurangan pendapatan negara akibat penyusutan hasil yang dialami PETRONAS ekoran kejatuhan harga minyak dunia yang dijangka terus dialami pada tahun 2016.

Tanpa GST, pendapatan PETRONAS dianggarkan menyusut daripada RM39 bilion kepada RM21 bilion. Melalui GST, kerajaan menyasarkan defisit pada tahap 3.1 peratus untuk tahun 2016.

Dengan menetapkan tidak kurang lima keutamaan kerajaan, Bajet 2016 secara politiknya (memetik kata-kata Najib sendiri) adalah 'langkah terbesar untuk negara bergerak ke arah status negara maju'.

Pemerkasaan Bumiputera misalnya diperinci dengan jelas. Program seperti Skim Usahawan Permulaan Bumiputera dan Program Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi diperuntukkan RM150 juta melalui TERAJU; MARA memperoleh RM3.7 bilion termasuk penajaan pengajian tinggi untuk 72,000 pelajar; pemilikan ekuiti disuntik sebanyak RM400 juta melalui Ekuinas, manakala PUNB diperuntukkan RM250 juta dan Pelaburan Hartanah Berhad pula memperoleh RM150 juta.

Imbangi pembangunan wilayah

Agenda pengimbangan pembangunan wilayah - yang berkaitan secara langsung dengan aliran dan sentimen politik - turut dizahirkan melalui Bajet 2016. Sabah dan Sarawak umpamanya mendapat ruang tidak terselindung kali ini.

Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak yang menelan pembiayaan RM16.1 bilion mendahului rangka urutan ucapan Perdana Menteri. Ini diikuti Projek Pan Borneo Sabah Fasa 1 dari Sindumin ke Tawau yang membabitkan kos RM12.8 bilion. Lebih menarik, projek Lebuhraya Pan Borneo itu 'bebas tol'.

Dalam keutamaan ketiga umpamanya - Mempersiaga Modal Insan - Bajet 2016 memperuntuk RM41.3 bilion di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Ini membabitkan langkah mempertingkat penguasaan bahasa (Malaysia dan Inggeris) sebanyak RM135 juta serta pembangunan dan penyelenggaraan fasiliti pendidikan membabitkan hampir semua jenis sekolah (termasuk sekolah pondok dan SMK Cina (yang berdaftar dan berkurikulum kebangsaan).

Agenda dan dasar yang disebut sebagai 'kesejahteraan rakyat' akhirnya menyimpul ucapan Bajet 2016 apabila Najib menggembirakan kira-kira 1.6 juta penjawat awam negara ini melalui pengumuman faedah pemindahan gaji bersamaan satu kenaikan gaji tahunan mengikut gred membabitkan peruntukan RM1.1 bilion serta pemberian khas RM500 untuk 'meringankan beban kos sara hidup semua penjawat awam'.

Kesepaduan antara politik dan ekonomi memberi makna kepada asas suatu kenegaraan.

Dengan itu di minda, bajet sama ada Bajet 2016 - yang dianggap cerminan RMKe-11 - mahupun semua bajet bermula dari tahun 1957 - adalah agenda siasah mengurus impian dan harapan rakyat.

Dr Nasrudin Mohammed Berita Harian Kolumnis 28 Oktober 2015

Elak sejarah perpecahan berulang

SENARIO semasa politik dunia memang tidak kondusif dan amat menyedihkan. Umpama bidalan orang dahulu kala 'gajah sama gajah bergaduh, pelanduk mati ditengah-tengah'.

Lihat sahaja apa yang berlaku di Syria, pergolakan perebutan kuasa menyebabkan rakyat terseksa, malah ramai terkorban demi cita-cita gajah untuk menguasai negara itu.

Malah, melihat senario politik negara semasa juga mengingatkan saya kepada dua ungkapan (bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat), Henry Kissinger yang akan menyebabkan kita terfikir akan kebenarannya iaitu America has no permanent friends or enemies, just interests dan in politics, there is no permanent friends or enemies, just permanent interests.

Disedari atau tidak, usia negara kita sudah menghampiri umur pencen bagi yang bekerja, amat menyedihkan jika umur ini diukur kepada manusia.

Sepatutnya setiap tindakan kita bertitik tolak dari tindakan rasional, matang dan berpengetahuan tinggi.

Malangnya gaya persilatan politik di Malaysia masih lagi seperti politik keremajaan yang dipenuhi emosi, dendam dan perasaan yang tidak pernah puas hati dengan apa yang telah dicapai atau dikecapi.

Rakyat jelata jadi mangsa

Tak kiralah perbalahan antara pemimpin PAS, DAP dan PKR atau perbalahan di kalangan pemimpin Barisan Nasional kerana jelasnya yang paling mengalami kerugian ialah rakyat jelata yang selama ini menaruh kepercayaan kepada pemimpin yang mereka pilih melalui undian.

Melihat kepada perpecahan orang Melayu amat menggusarkan saya. Apabila disebut sahaja Melayu, harus diikat seperti digariskan oleh Perlembagaan Malaysia iaitu orang Islam yang bertutur bahasa Melayu dan mengamalkan adat budaya Melayu.

Bangsa ini merupakan bangsa yang menjadi tulang belakang utama negara ini, apatah lagi statistik terbaru menunjukkan jumlah golongan ini melebihi 60 peratus daripada keseluruhan jumlah warga negara Malaysia.

Perpecahan PAS bukan sesuatu yang menggusarkan saya, akan tetapi perbalahan dalaman UMNO amat menyentuh jiwa. PAS wujud atas ketidakpuasan golongan pro-agama dalam UMNO.

Sejarah juga telah membuktikan Semangat 46 dan PKR juga terhasil daripada geseran dalaman UMNO.

Kitaran sejarah

Menulis artikel ini di Pangkor menyebabkan saya terimbau lagu nyanyian pelajar UUM oleh Tomok, Sejarah Mungkin Berulang di mana satu ketika dulu bila mana negara ini di 'jajah' oleh British akibat perbalahan yang berlaku dalam kalangan pemimpin negara yang berebut kuasa.

British telah dijemput menjadi 'pendamai' kepada pemimpin bertelagah dan akhirnya British menjadi tuan kepada Tanah Melayu.

Mungkinkah pada hari ini kitaran sejarah sedang berlaku bila mana kepemimpinan Melayu saling menuding jari, salah menyalahkan antara satu dengan lain.

Rakyat jelata juga akan tersepit merasai kesusahan apabila orang besar bertelagah sesama sendiri. Setiap kali mengajar, saya berkali-kali menggunakan ungkapan yang diungkap oleh bekas guru saya, 'jika kita tidak belajar dari sejarah, sejarah akan mengajar kita berulang kali'.

Sedar atau tidak kita sudah banyak kali diajar oleh sejarah, tetapi di mana pengajaran yang kita belajar daripadanya? Bak kata Nabi, seseorang mukmin itu tidak akan jatuh ke dalam satu lubang dua kali. Ini menunjukkan betapa kita menganut ajaran Islam tapi gagal menghayatinya.

Harap pemimpin terus teguh

Dan apabila satu ketika negara ini ditadbir urus oleh orang lain. Itukah yang kita ingin lihat lagi?

Jangan jadikan rakyat sebagai taruhan dalam permainan politik yang pastinya tidak membawa kebaikan kepada mana-mana pihak walaupun bersorak gembira kerana menang mengatasi lawan... sama ada Tun Dr Mahathir Mohamad atau pihak Datuk Seri Najib Razak.

Bukan niat nak menegur atau campur tangan, cuma terfikir apalah nasib kami rakyat jelata yang mengharapkan kepemimpinan negara terus teguh, utuh dan sentiasa saling sokong menyokong, bukannya saling mencari kesalahan.

Orang yang kaya raya, berduit boleh sahaja keluar mencari negara baharu untuk dijadikan rumah mereka kerana negara luar tidak akan menerima orang miskin sebagai rakyatnya.

Lihatlah bagaimana pelarian Rohingya atau mana-mana pelarian dari negara yang bergolak, pasti diusir oleh negara Barat. Tetapi orang kaya dan ternama akan diterima dengan tangan yang terbuka oleh mereka.

Jadi ke mana hala nasib rakyat yang menjadi mangsa jika pemimpin negara terus bertelagah? - Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri Berita Harian Kolumnis 27 Oktober 2015

Perlembagaan,institusi raja sebagai pemangkin perpaduan

SOAL perpaduan menjadi tajuk sepanjang masa. Perlembagaan adalah dokumen yang menjadi asas kepada perpaduan. Sebagai dokumen yang menjadi tunggak kepada kemakmuran dan kesejahteraan negara, soal perpaduan adalah cabaran besar kepada Perlembagaan, pada suatu ketika dulu, ketika ini dan pastinya masa akan datang.

Bermula dari masa ia mahu digubal, itulah juga cabaran utamanya. Pada masa itu jugalah, ia perlu memberi perhatian utama kepada perubahan landskap kewarganegaraan.

Maka Perlembagaan, sebagai undang-undang tertinggi negara hendaklah juga menyantuni keadaan atau perubahan tersebut dengan memberi perhatian kepada keadaan keseluruhan sistem sosial dan ekonomi kumpulan warganegara terbabit.

Perlembagaan perlu dihasratkan sebagai peneraju kepada perpaduan, walaupun perkataan tersebut tidak disebut dengan lafaz harfiah di dalamnya.

Perlembagaan kita tidak menyebut dalam mana-mana peruntukannya, sebagai contoh, tentang perpaduan atau simbol perpaduan bagi komponen masyarakat. Ini tidak bermakna Perlembagaan kita tidak mementingkan perpaduan.

Beberapa peruntukan Perlembagaan boleh difahami sebagai pemangkin kepada perpaduan dan seterusnya penyatuan masyarakat Malaysia yang jelas dikenali dengan identiti kaum dan juga agama yang berbeza-beza.

Demokrasi tangani isu penting

Perlembagaan meletakkan tanggungjawab ke atas institusi di luar demokrasi, terutamanya institusi raja sebagai satu mekanisme penting tentang perpaduan.

Walaupun mekanisme demokrasi dilihat sebagai boleh menangani isu atau perkara penting dalam pembentukan negara, namun, dalam konteks perpaduan, keupayaan demokrasi masih lagi boleh dibahas.

Dalam demokrasi itu terkandung konsep kelebihan yang ada pada kelompok majoriti walaupun di dalamnya juga terzahir hak kumpulan minoriti.

Namun, dalam negara seperti Malaysia, prinsip yang ada dalam demokrasi itu belum tentu dapat menyamai teori dan aplikasinya.

Kesukaran menerima prinsip demokrasi sepenuhnya dalam konteks perpaduan kerana demokrasi juga membabitkan power struggle atau perebutan kuasa, dan dibimbangi demokrasi itu menjadi hanya satu ilusi.

Seperti juga pendapat Aristotle, ahli falsafah Greek yang terkenal tentang penyatuan tiga sistem pemerintahan, iaitu demokrasi, monarki dan aristokrasi, adalah sistem terbaik pembinaan negara.

Dalam meraikan sistem demokrasi diperlukan satu mekanisme pengimbang, supaya power struggle dalam demokrasi itu tidak mendatangkan impak negatif ke atas subjek yang dipimpin dalam sesebuah negara.

Dalam konteks perpaduan, subjek yang dimaksudkan ialah rakyat yang berbilang kaum, bangsa, agama dan budaya.

Dari sini, wujudnya satu keperluan kepada sistem lain yang wujudnya di luar sistem demokrasi. Ini bagi memastikan demokrasi tidak dinodai oleh power struggle semata-mata dan seterusnya memburukkan keadaan.

Demokrasi dalam negara kita juga begitu. Demokrasi diseimbangkan dengan kuasa di luar demokrasi. Kuasa di luar demokrasi itu adalah sistem monarki.

Sistem monarki, atau sistem raja ini tidak berada secara mutlaknya dalam sistem demokrasi kerana pemilihan atau lantikannya bukan bersandarkan sistem asas demokrasi.

Raja berperlembagaan

Kedudukan raja dalam pentadbiran sosial dan ekonomi negara dapat dilihat dengan sempurna dengan beberapa peruntukan perundangan walaupun istilah raja berperlembagaan tidak disebut dengan patah perkataannya dalam Perlembagaan.

Dengan kata lain, dua istilah penting, iaitu demokrasi dan raja berperlembagaan tidak disebut dengan harfiah dalam Perlembagaan. Hanya ciri-ciri keduanya itu dimaksudkan oleh pelbagai peruntukan Perlembagaan.

Dalam konteks perpaduan, selain daripada demokrasi, Perlembagaan menonjolkan peranan institusi raja. Sebagai contoh, Perkara 153.

Perkara 153 ini sering dimomokkan sebagai satu peruntukan mendiskriminasi, tetapi ia sebenarnya satu contoh tentang peruntukan mencernakan perpaduan dan meletakkan peranan penting yang boleh dimainkan oleh institusi raja.

Perkara 153 meletakkan tanggungjawab ke atas Yang di-Pertuan Agong untuk menjaga kuota kepada orang Melayu dan dengan pembentukan Malaysia, setelah Perlembagaan memperakui kedudukan Sabah dan Sarawak, Perlembagaan meletakkan juga tanggungjawab institusi raja dalam menjaga kemaslahatan anak-anak Negeri.

Pada masa sama, institusi Yang di-Pertuan Agong juga diberikan tanggungjawab untuk menjaga kepentingan sah kumpulan-kumpulan lain bukan berbangsa Melayu.

Dr Shamrahayu A Aziz Berita Harian Kolumnis 28 Oktober 2015