November 12th, 2015

Kembalikan 'fear factor' sempadan Padang Besar

PENDEDAHAN media mengenai kegiatan penyeludupan di stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Padang Besar, Perlis, dipandang serius oleh pasukan kese­lamatan negara yang mengambil tindakan segera bagi mengatasinya.

Ketua Polis Negeri, Senior Asisten Komisioner Shafie Ismail sendiri turun padang meninjau lokasi itu serta kawasan sempadan lain selepas pendedahan dibuat. Tinjauan dilakukan selama dua hari dengan helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berpangkalan di Sungai Besi, Kuala Lumpur.



KEADAAN pagar sempadan yang dirosakkan dan digunakan penyeludup berdekatan Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Padang Besar, Perlis.

Tujuannya bagi mendapat gambaran lebih jelas tentang situasi pagar sempadan termasuk di lokasi-lokasi hutan yang tidak dapat dimasuki oleh kenderaan.

Hasilnya, pagar-pagar yang berlubang diperbaiki kontraktor dilantik pada petang sejurus pendedahan itu. Lampu-lampu pula dinyalakan bermula pukul 7 petang sehingga pukul 7 pagi bagi menerangi lokasi terbabit.

Jabatan Tanah dan Galian Perlis pula serta-merta mengelu­arkan status bahawa kawasan bersemak yang menyumbang kepada kegiatan penyeludupan di stesen itu disahkan milik KTMB. Status kawasan itu menjadi tanda tanya sejak sekian lama sehingga sukar untuk mana-mana pihak mengambil tindakan membersihkannya.

Perkembangan ini sudah tentu melegakan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Pos Bukit Kuan Chu (BKC) 7 di situ, yang kini lebih mudah untuk memantau kegiatan penyeludupan.

Menurut satu sumber keselamatan, jika perkara-perkara ini dapat diselesaikan, pihaknya yakin kawasan stesen itu yang diletakkan sebagai lokasi paling panas penyeludupan di sempadan Perlis dapat 'dibersihkan' daripada aktiviti itu.

"Namun apa yang penting, kesungguhan semua pihak untuk membantu sama dalam menyelesaikan perkara ini. Ini termasuklah memastikan setiap anggota pasukan keselamatan ditempatkan di situ mempunyai integriti yang tinggi.

"Perkara ini pernah disuarakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika menjalankan operasi khas membanteras penyeludupan petrol di kawasan sempadan Perlis, Mac lalu, yang menyaksikan lebih 20 orang penguat kuasa diberkas ketika pertukaran tugas di Kedah.

"SPRM percaya tiada elemen lain seperti pagar 'bocor' kecuali yang lebih utama adalah soal integriti. Oleh itu, kembalikan 'fear factor' (rasa takut) penyeludup terhadap penguat kuasa kita," katanya.

Jika soal pagar bocor atau semak hendak ditimbulkan, terdapat kawasan pagar sempadan lain dari Sintok, Kedah sehingga ke utara Perak yang jauh lebih daif serta tiada bekalan asas. Namun tidak pula terdengar pelbagai masalah tentang penyeludupan yang timbul.

Nampak seolah-olah terdapat segelintir penguat kuasa yang 'tewas' apabila berhadapan tawaran lumayan daripada penyeludup ketum sehingga mencemar nama lebih ramai lagi yang tidak sanggup menggadai maruah sendiri.

Dalam pada itu, peruntukan RM500 juta kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) baru-baru ini, diharap dapat digunakan untuk membaik pulih pagar-pagar, memasang kamera litar tertutup (CCTV) selain mewujudkan Unit Berkuda bagi menunjukkan kehadiran polis di kawasan sempadan.

Mudah-mudahan penyeludup dan penjenayah merasa gerun dan ‘pagar’ kita tidak bolos lagi.

Tangani putaran ganas komersial

SAYA cukup tersentuh selepas menonton video mengenai seorang pemain ragbi All Blacks, Sonny Bill Williams yang menjadi viral di Internet. Video ini memaparkan sikap budiman Williams menyerahkan pingat emasnya kepada seorang remaja lelaki yang telah dirempuh oleh pegawai keselamatan ekoran memasuki padang stadium sejurus selepas All Blacks memenangi trofi Ragbi Piala Dunia 2015. Remaja itu ialah peminat fanatik Williams sehingga sanggup memasuki padang stadium semasa pasukan All Blacks sedang meraikan kemenangan mereka.

Williams boleh sahaja meminta pegawai keselamatan tersebut membawa keluar remaja tersebut tetapi sebaliknya beliau mengiringi dan membawa remaja itu ke tempat duduk asalnya. Malah, reaksi spontan Williams mengalungkan pingat emas ke leher remaja berkenaan dan menghadiahkan kepadanya menggambarkan nilai-nilai murni yang berjaya diterapkan kepada pasukan All Blacks. Siapalah All Blacks tanpa penyokong. Meskipun sukan ragbi adalah sebuah industri komersial di New Zealand, namun sikap budiman yang ditunjukkan oleh Williams mengubah paradigma bahawa manusia tetap memerlukan antara satu sama lain dan bukannya terlalu bersikap individualistik berpaksikan komersial semata-mata.



Sonny Bill Williams hands medal to young fan (@rugbyworldcup)

Apabila terlalu taksub dengan tujuan komersial, maka akhirnya segelintir golongan sahaja yang mendapat manfaat. Sudah tentu wang tidak boleh membeli segala-galanya dalam kehidupan bermasyarakat. Malah, jika tersilap gaya akan meningkatkan lagi jurang kehidupan sesama manusia. Inilah yang cuba disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah semasa bertitah dalam Istiadat Konvokesyen Kelapan Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) mengenai pendidikan komersial.

Apabila hanya segelintir pihak yang dikategorikan elit dan kaya-raya sahaja yang mampu memperoleh pendidikan terbaik di universiti-universiti terkemuka di dunia, maka, dibimbangi akan meningkatkan lagi jurang pendapatan antara kaya dan berpendapatan rendah. Masakan tidak, mereka yang memiliki wang yang banyak ini mempunyai kelebihan untuk mendapatkan pendidikan terbaik berbanding mereka yang berpendapatan rendah.

Jadi, anak-anak golongan elit dan kaya-raya ini akan sentiasa ke hadapan mengikut kehendak industri. Akhirnya, mereka akan mudah mendapatkan pekerjaan di syarikat-syarikat gergasi dan ternama berbanding yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah.

Bermula daripada senario menafikan hak golongan majoriti berpendapatan rendah untuk memperoleh pendidikan terbaik, diakhiri dengan jurang pendapatan yang semakin melebar antara golongan yang kaya dan miskin. Apabila jurang ini semakin melebar, maka semakin besarlah implikasinya ke atas sosioekonomi penduduk Malaysia. Inilah yang dikatakan oleh Sultan Nazrin sebagai putaran ganas yang menjadikan status golongan berpendapatan rendah lebih miskin berbanding sebelumnya.

Putaran ganas yang berbentuk komersial ini akan lebih dahsyat lagi apabila diiringi dengan kenaikan kos sara hidup yang cukup tinggi. Sememangnya kerajaan telah dan sedang berusaha untuk menyeimbangkan ekonomi modal dan ekonomi keperluan rakyat, namun jika hanya kerajaan sahaja yang berusaha untuk membantu rakyat, manakala pihak komersial semakin rakus meningkatkan kekayaan mereka, maka putaran ganas ini akan berkembang menjadi tsunami yang tidak boleh ditangani lagi terutamanya ketika keadaan ekonomi yang tidak menentu pada masa kini.

Hal ini berlaku demikian kerana pihak komersial sering kali memberi alasan untuk menampung kos operasi ekoran kelemahan mata wang ringgit Malaysia (RM) berbanding dolar Amerika Syarikat (ASD). Dengan ini, jelas kelihatan pihak komersial hanya mementingkan keuntungan mereka. Walhal, rakyat secara keseluruhannya semakin tertekan dengan kenaikan kos sara hidup yang terlalu tinggi. Mungkin ada yang berhujah bahawa situasi ini berlaku di seluruh dunia dan kita tidak mampu menahan putaran ganas ini. Mereka yang berhujah sebegini mungkin terlupa bahawa masih ada segelintir syarikat dan ahli perniagaan yang beretika mengekalkan harga murah bagi setiap produk mereka.

Memang mudah untuk memberi alasan untuk merasionalkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, namun hakikatnya masih ada segelintir ahli perniagaan yang lebih mementingkan masyarakat berbanding kepentingan diri sendiri. Tidakkah wajar setiap ahli perniagaan mengambil tindakan yang sama untuk membantu membela nasib rakyat yang semakin terbeban dengan kenaikan kos sara hidup? Mereka hanya perlu sanggup mengorbankan keuntungan dengan berusaha memikirkan cara untuk mencapai kecekapan operasi bagi mengoptimumkan manfaat kepada rakyat. Jika mereka sanggup melakukan perkara sebegini, maka kemaslahatan ummah dan masyarakat Malaysia akan sentiasa terpelihara.

Sikap tidak budiman boleh menyebabkan usaha-usaha kerajaan untuk membantu golongan rakyat berpendapatan rendah akan turut terjejas. Misalnya, dalam Bajet 2016 kerajaan telah mengusulkan pelbagai strategi untuk membantu 40 peratus rakyat berpendapatan rendah (B40). Pada masa sama kerajaan juga mula memberi perhatian serius terhadap golongan berpendapatan sederhana (M40).

Namun, jika peningkatan kos sara hidup semakin tinggi ekoran sikap pihak komersial yang terlalu tamak, maka sebarang usaha kerajaan untuk meningkatkan pendapatan rakyat tidak membawa sebarang erti buat dua golongan ini. Natijahnya, dalam tempoh lima tahun akan datang, mereka yang telah berjaya memperoleh pendapatan sebanyak RM5,000 sebulan pun masih kekal sebagai golongan yang berpendapatan rendah.

Dalam hal ini, kerajaan perlu mendefinisikan semula jumlah pendapatan yang dikategorikan sebagai golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana. Jika tidak, kita masih lagi berpegang pada takrifan lama walhal kos sara hidup rakyat melonjak begitu tinggi sejak kebelakangan ini. Di samping itu, Malaysia memerlukan lebih ramai lagi golongan budiman seperti Williams dalam kalangan ahli perniagaan Malaysia.

Mungkin inilah sebahagian formula ajaib yang boleh menangani putaran ganas bukan setakat dalam bentuk pendidikan komersial sebagaimana yang dinyatakan oleh Sultan Nazrin tetapi juga dalam konteks ekonomi keperluan rakyat Malaysia yang sedang menuju negara maju pada tahun 2020.

Menagih kejayaan sukan, Kanak-kanak dan keceriaan negara

DUA tiga minggu ini kita di­hidangkan dengan be­ri­ta sensasi kejayaan be­berapa atlet negara dan juga atlet dan pasukan dari luar negara. Sudah semestinya fokus penulisan tertumpu lebih kepada kejayaan para atlet negara.

Antaranya berita kejayaan Datuk Lee Chong Wei menjuarai kejohanan badminton Terbuka Perancis selepas kemarau seketika akibat menjalani hukuman pergantungan selama lapan bulan. Beliau juga gagal melepasi pusingan kedua Terbuka Denmark. Kini beliau bersungguh-sungguh untuk meraih kemenangan bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik Rio Janeiro 2016.



KEJAYAAN Imran Daniel Abdul Hazli menjuarai Tenis Masters Dunia bawah umur 10 tahun di Turki baru-baru ini membuatkan beberapa pihak melabelkannya sebagai Rafal Nadal Malaysia dalam pembikinan.

Sebelum itu beberapa atlet negara telah berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2016. Mereka ialah Pandalela Rinong, Ooi Tze Liang, Nur Dhabitah Sabri dan Ng Yan Yee. Yang terbaru, Khairul Anuar Mohammad, pemanah kebangsaan juga layak ke sana bagi acara recurve individu selepas meraih pingat emas bagi pusingan Olimpik Kejohanan Memanah Asia di Bangkok. Kini beliau memberi tumpuannya bagi acara recurve berpasukan pula.

Kejohanan Piala Dunia di Turki pada Jun 2016 adalah peluang terakhir buat trio memanah kebangsaan untuk melayakkan diri ke Rio de Janeiro, Brazil. Kita percaya kejayaan para atlet yang berjaya ke Rio mampu menyuntik semangat atlet lain untuk melayakkan diri ke Rio nanti.

Peminat sukan juga turut bergembira atas kejayaan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) apabila berjaya menjuarai Piala AFC dengan mengalahkan FC Istiklol dari Tajikistan 1-0 baru-baru ini. Dengan kejayaan yang dicapai oleh JDT, kita berharap dapat memberikan nafas baru dan harapan cerah kepada masa depan bola sepak negara.

Pendekatan profesional JDT perlu dijadikan contoh oleh pasukan lain jika mahukan kejayaan. Sudah tentu juga melibatkan pelaburan tinggi dari segi mendapatkan khidmat para pemain berkualiti, termasuk juga jurulatih dan staf sokongan yang lain.

Namun begitu, banyak lagi yang harus dilakukan bagi memastikan kejayaan yang lebih besar seperti kelayakan Piala Dunia, Olimpik dan sebagainya. Kita berharap kejayaan JDT bukan sekadar ‘one off’ tetapi sesuatu yang serius perlu difikirkan oleh semua pasukan bola sepak tanah air dan FAM sebagai ‘gatekeeper’. Mentelahan pula ranking pasukan bola sepak negara kini pada kedudukan ke-171 yang amat memerlukan perubahan drastik bagi mengatasi kelemahan yang wujud.

Kejayaan tidak datang bergolek begitu sahaja tetapi mesti melalui kerja keras dan perancangan rapi oleh semua pihak yang berkepen­tingan. Kejayaan JDT ini sudah tentu dapat membuka mata semua pihak untuk berjaya dan memerlukan komitmen yang tinggi pihak bertanggungjawab bagi mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Kita tidak seharusnya cepat berputus asa tetapi perlu memberi komitmen baru dan diperhebatkan lagi. Idea baru dan komitmen pegawai terlibat perlu ditingkatkan.

Kejayaan Imran Daniel Abdul Hazli menjuarai Tenis Masters Dunia di Turki bawah umur 10 tahun turut mendapat perhatian kita semua. Akhbar turut melabelkan Imran Daniel sebagai ‘Rafal Nadal Malaysia’ dalam pembikinan untuk kejohanan tenis tanah liat pada masa hadapan.

Imran Daniel diibaratkan umpama sebutir permata yang baru ditemui dan kebolehannya harus ditingkatkan oleh pihak berkepentingan seperti LTAM dan KBS. Janganlah ia dibiarkan pudar begitu sahaja kerana ini amat merugikan negara. LTAM dan KBS perlu bertindak segera mengambil peluang dan usaha serius dalam membentuk Imran Daniel menjadi juara dunia suatu hari nanti. Bak kata pepatah Inggeris, “ The ball is at your feet for LTAM/KBS! ”.

Kejohanan Ragbi Dunia yang dilangsungkan di Twickenham, London baru-baru ini memperlihatkan kehebatan pasukan All Blacks menjuari Piala Webb Ellis dengan mengalahkan pasukan Australia 34-17. Kejayaan ini kali ketiga bagi All Blacks dan merupakan pasukan pertama berjaya mempertahankan piala tersebut dua kali berturut-turut (2011, 2015).

Bukan mudah untuk menjuarai kejohanan dua kali berturut-turut. Kejayaan All Blacks memaparkan akan kehebatan dan komitmen tinggi pasukan tersebut bagaimana telah berjaya dikemudikan dengan baik sekali oleh Kesatuan Ragbi New Zealand. Kisah kejayaan All Blacks diharap dapat dijadikan ikutan pasukan ragbi kebangsaan sebagai contoh bagaimana untuk menjadi juara dunia. Sekurang-kurangnya kedudukan ragbi pasukan kita dapat dibaiki, misalnya berada di ranking tiga terbaik Asia selepas Jepun dan Korea Selatan.

Dahulu Jepun tidak menonjol dalam sukan ragbi tetapi kini pasukan ragbi Jepun dilihat prestasinya telah meningkat, lebih-lebih lagi mampu mengalahkan pasukan Afrika Selatan dalam kejohanan ragbi dunia di Twickenham, London baru-baru ini.

Dikatakan ramai rakyat Jepun gemar menonton ragbi sejak kebelakangan ini. Kita pasti pasukan Jepun akan lebih menonjol ketika pertandingan Ragbi Dunia diadakan di Jepun pada 2019 nanti. Moga-moga prestasi meningkat pasukan Jepun dijadikan ikutan pasukan ragbi negara untuk terus maju di masa hadapan.

Kanak-kanak dan keceriaan negara


KEGHAIRAHAN kanak-kanak dan remaja mencari ilmu, kesungguhan mereka bersukan, beriadah dan menjunjung seni akan menceriakan kehidupan kita. GAMBAR HIASAN

JEREBU menyesakkan dada, disunyikan oleh penutupan sekolah yang meredupkan suasana kehidupan sekitar. Lenyaplah riuh-rendah suara budak sekolah dengan taman ditinggalkan lengang membuat kehadiran mereka dirindui. Dalam kesibukan dan keletihan dengan kerenah mereka, mungkin ada yang berharap dapat bebas daripada kanak-kanak pengacau ketenangan ini.

Kisah peniup serunai ajaib dalam legenda bandar Hemelin, Lower Saxony, Jerman yang membawa kanak-kanak bandar itu hilang ghaib mengajar kita tentang kesan negara tanpa kanak-kanak. Jiran kita yang dulunya beria-ia menggalak kurang anak, kini terpaksa berpusing arah dengan pelbagai kempen dan insentif untuk orang muda berkahwin dan beranak.

Untuk memastikan sebuah negara tidak sahaja dipenuhi orang pencen dan penerima bantuan kebajikan, banyak negara terpaksa bergantung kepada migran untuk mengisi pekerjaan dengan harapan masih ada orang yang membayar cukai bagi membiayai perkhidmatan awamnya.

Kehadiran kanak-kanak dan para pelajar dalam masyarakat bukanlah suatu beban yang patut kita takuti. Merekalah wajah dan harapan kita pada masa hadapan. Malahan kehadiran mereka akan meremajakan persekitaran sebagaimana dirasai dalam Bandar U.

Kehebatan sebuah negara dilihat juga pada tahap kemampuan kita menjaga dan melayani kanak-kanak dari baru lahir hingga remaja. Kemajuan kita diukur dengan kadar kematian bayi.

Perkhidmatan kesihatan bermutu mampu memberi petunjuk kesihatan bayi cemerlang. Ukuran peratus membaca juga menjadi sebahagian daripada petunjuk. Setakat itu Malaysia amatlah cemerlang.

Namun dalam peringkat peralihan kanak-kanak kepada remaja, kesungguhan kita tidaklah sehebat sebelumnya. Mungkin kita mengandaikan mereka telah besar, boleh berfikir dan bertindak sendiri.

Pada peringkat ini mereka diharap dapat mendaki sendiri jurang untuk menjadi dewasa. Daripada 5.1 juta murid sekolah dan 1.2 juta di IPT memang luas jurangnya. Sayangnya bukan semua duduk dalam persekitaran yang tersedia contoh yang baik. Maka ramailah kecundang akibat ketiadaan jambatan dan kurangnya panduan.

Ramai juga yang tertawan menjadi pelanggan pedagang dadah. Lebih daripada 300,000 semenjak 1988 termasuk ke dalam rekod AADK. Selebihnya ada yang mencari kehebatan dengan merempit atau mencari ketenangan dengan melepak dan berpeleseran. Terkenang pada ibu berdondang malam mendodoikan mereka ketika masih bayi. Namun ketika sudah hampir dewasa dan bersedia menjadi penyumbang keluarga dan masyarakat mereka tertarik dengan alunan peniup serunai ajaib.

Sebaliknya IPTA dan IPTS kita telah mencipta nama dan masyhur serata dunia hingga mampu menarik lebih 100,000 orang muda negara lain untuk ke sini. Demikian juga dalam persiapan menghadapi hari tua, dengan 6,256 buah masjid yang riuh-rendah dengan kuliah, usrah, tilawah telah memenuhi keperluan aktiviti pelbagai golongan masyarakat setempat terutama warga emas.

Namun begitu kesungguhan kita peringkat awal dan akhir tertonjol kelompongan di tengah-tengah. Ini kita cuba tampung melalui PLKN yang terhenti dan akan disambung semula dengan pendekatan baru.

Sementara Jabatan Belia dan Sukan menyediakan kemudahan kepada remaja berpersatuan, bersukan dan budaya. Perhatian telah diberi melalui belia berpersatuan untuk membangun pemimpin belia dan menyedia pemimpin masa hadapan dan dalam masa membina rangkaian pengaruh. Perkara ini penting tetapi lebih penting daripada itu untuk kita memanfaatkan prasarana sedemikian bagi menjambatani belia menjadi dewasa.

Melihat kepada kelompongan yang wujud dalam masyarakat untuk membawa orang muda yang menjadi sumber penting ini, kita mungkin perlu memperkasa atau merombak prasarana jambatan orang muda menjadi dewasa. Mungkin Jabatan Belia dan Sukan perlu berubah menjadi Jabatan Perkhidmatan Belia.

Sewajarnya terdapat perlanjutan awal daripada sekolah kepada perkhidmatan ini. Semua rekod 5.1 juta murid sekolah yang menjadi remaja patutnya kekal berada dalam kerangka awam dan bukan sekadar tertumpu kalangan pemimpin dan ahli persatuan belia sahaja. Sumber perlu disediakan agar proses pelintasan dari remaja kepada dewasa menjadi proses yang kemas.

Perkhidmatan bimbingan kerjaya serta kaunseling yang kini menjadi sebahagian aktiviti sekolah eloklah dilanjutkan sehingga keluar sekolah untuk menjadi teras perkhidmatan ini. Belia kita perlu diajak dan diangkat untuk melebihi lingkungan kemungkinan kehidupan mereka sekarang. Khidmat nasihat dan bimbingan untuk remaja elok juga meliputi panduan hidup remaja yang baik.

Masyarakat dinamik yang segar akan zahir dengan kehadiran kanak-kanak dan remajanya. Keghairahan mereka untuk mencari ilmu, kesungguhan mereka bersukan, beriadah dan dengan kemeriahan berbudaya dan menjunjung seni akan menceriakan dan mewarnai kehidupan kita.

Janganlah masyarakat kita turut dilalaikan dengan tiupan serunai ajaib yang membawa anak-anak kita entah ke mana.