November 13th, 2015

Jangan khianati nilai integriti

HAMPIR sedekad Institut Integriti Malaysia (IIM) di­tubuhkan sebagai pe­neraju pemantauan dan koordinasi pelbagai tin­dakan pembudayaan serta pe­mer­kasaan integriti seperti ter­maktub dalam buku Pelan Tindakan In­tegriti (PIN). Tarikh 5 November setiap tahun, diraikan sebagai Hari Integriti Nasional.

Pelbagai pengisian program diatur oleh IIM mahupun pemegang taruh (stakeholders) dalam mereali­sasikan cabaran keempat Wawasan 2020 yang juga menjadi objektif umum PIN iaitu: Membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri moral dan etika, dengan para warganya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian utuh, ditunjang budi pekerti luhur.

Antaranya program khas Bica­ra Integriti pada 5 November lalu dan Konvensyen Integriti Nasional (KIN) yang berlangsung di IIM, hari ini.

Baru-baru ini, IIM juga mengurniakan dua Anugerah Khas Integriti 2015 kepada bekas Timbalan Pendakwa Raya, mendiang Anthony Kevin Morais dan bekas Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Allahyarham Datuk Shaharuddin Ibrahim. Pemilihan mereka dibuat berasaskan integriti tinggi yang ditunjukkan kedua-duanya ketika menjalankan tugas serta tanggungjawab yang diamanahkan.



INDIVIDU yang dipilih bagi menganggotai persatuan penduduk harus sentiasa berpegang kepada integriti dan membuktikan kredibiliti mereka dalam tadbir urus berpersatuan. GAMBAR HIASAN

Sektor awam dan swasta memang memainkan peranan penting dalam pembangunan lestari negara. Warga kedua-dua sektor ini menjadi aset dan tulang belakang atau tonggak kualiti perkhidmatan awam dan pembangunan sektor ekonomi. Upah dibayar bagi menjustifikasikan usaha dan tindakan mereka dalam kedua-dua sektor ini.

Pada masa sama, badan bukan kerajaan (NGO) menjadi pelengkap kepada agenda negara untuk merakyatkan atau membudayakan integriti. Penglibatan rakyat dalam NGO sama ada dari aspek sumbangan tenaga, idea mahupun pengor­banan masa dan wang ringgit selalunya dilakukan secara sukarela, tidak dibayar. Namun amanah yang dipertanggungjawabkan tetap berusaha digalas demi menjayakan objektif, visi dan misi pertubuhan dan persatuan masing-masing.

Akauntabiliti dalam tadbir urus persatuan sangat penting bagi mengelak timbulnya persepsi negatif sehingga menjejaskan kepercayaan terhadap individu yang diberi amanah atau lebih buruk mencemar nama organisasi terbabit.

Contoh amalan yang paling hampir dengan kehidupan kita adalah persatuan penduduk sama ada dalam komuniti kampung atau taman perumahan. Setiap jawatankuasa yang dibentuk maka harus berfungsi dan bertanggungjawab dengan penuh integriti. Suka atau tidak, rela atau paksa rela namun amanah tetap jadi amanah dan jawatankuasa harus membuktikan kredibiliti mereka dalam tadbir urus berpersatuan. Reputasi dan imej organisasi perlu dipelihara.

Penulis ingin mencadangkan beberapa mekanisme yang perlu dititikberatkan dengan serius bagi memastikan perjalanan persatuan tiada unsur pelanggaran integriti mahupun aspek akta, undang-undang dan peraturan yang tercatat dalam perlembagaan persatuan.

(1). Barisan jawatankuasa yang telah dipilih harus menjalankan tapisan atau saringan maklumat diri bebas jenayah daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) mahupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

(2). Segala akta, undang-undang dan peraturan yang tercatat dalam perlembagaan persatuan wajib dipatuhi oleh semua jawatankuasa atau ahli dalam persatuan tanpa kompromi.

(3). Pengerusi, setiausaha dan bendahari wajib menjalani kursus tadbir urus baik dan pengurusan integriti kewangan.

(4). Setiap keputusan pembe­lian, pembayaran dan penerimaan sumbangan haruslah dimesyuaratkan sebagai punca kuasa kelulusan dan kebenaran mutlak daripada jawatankuasa dan menerusi me­syuarat agung.

(5). Tiada unsur salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah dalam tadbir urus kewangan dan persatuan.

(6). Setiap jawatan yang diamanahkan harus mengelak ‘conflict of interest’ iaitu mendahului kepen­tingan peribadi daripada kepen­tingan persatuan dan komuniti yang ada hubungan dengan pengurusan persatuan amnya.

(7). Akaun peribadi tidak boleh sama sekali digunakan dalam urus­an akaun persatuan atau dicampuradukkan.

(8). Walau apa pun jawatankuasa yang dilantik atau terpilih maka harus melaksanakan tugas-tugas dalam persatuan dengan sebaik mungkin. Sekiranya masih tidak mampu beri perkhidmatan maka harus menawarkan diri untuk meletak jawatan bagi mengelak dipersalahkan kemudian hari dan memberi laluan orang lain yang lebih berupaya menyumbang kepada kebajikan persatuan.

Firman Allah SWT: “Sesungguh­nya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak me­nerimanya), dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menetapkan hukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar lagi sentiasa melihat.” (Surah An-Nisa’ ayat 58)

Malah menurut terjemahan daripada Kitab Tafsir Al-Marahgiy, ayat di atas memberikan penekanan dua elemen penting iaitu al-amanah dan al-adl. Sekiranya diambil penjagaan harta seseorang sebagai analogi, maka al-amanah itu adalah sesuatu yang dijaga untuk disampaikan kepada si pemiliknya, manakala al-adl itu adalah menyampaikan yang hak kepada pemiliknya melalui jalan yang terdekat.

Namun dalam memperkatakan sifat amanah akan mencakupi beberapa aspek utama antaranya:

(i). Amanah seseorang hamba kepada Tuhannya seperti mengerjakan apa yang diperintahkan (amar makruf) dan meninggalkan apa yang dilarang (nahi mungkar) dalam bentuk kemaksiatan mahupun kemungkaran;

(ii). Amanah hamba Allah sesama manusia samalah seperti melaksanakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan untuk dipelihara dan jangan pula dikhianati.

(iii). Amanah hamba Allah kepada tubuh badannya termasuklah tidak melakukan perkara yang menzalimi diri sendiri seperti salah guna kuasa, penyelewengan, ra­suah, berjudi, meminum arak dan memakan riba.

Kata pujangga; “Hitunglah sejauh mana diri dalam ketaatan, akui sejujur-jujurnya kelemahan, keburukan dan kederhakaan diri. Walaupun mungkin pahit, cuba terima seadanya kerana itulah modal untuk kita memperbaiki diri.”

Amanah, Pas dan UMNO Kelantan

WALAUPUN sama-sama bergelar parti pembangkang, namun Parti Amanah Negara (Amanah) tetap mahu menentang Pas. Ini terbukti melalui kenyataan presidennya, Mohamad Sabu atau Mat Sabu yang secara terbuka menyatakan parti itu bersedia mengambil alih tempat Pas mentadbir kerajaan Kelantan.

Dalam bahasa mudah, Amanah meletakkan sasaran untuk menamatkan pemerintahan 25 tahun Pas di Kelantan yang Mat Sabu sendiri sudah pasti ‘ada sahamnya’ atas kejayaan yang dicapai mulai tahun 1990 itu.

Bagaimanapun kenangan manis itu sudah dilupakan. Sebaliknya Mat Sabu menjadikan alasan ‘langkah itu demi menyelamatkan kerajaan Islam yang ditubuhkan oleh Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat’.

Tetapi dalam masa sama Mat Sabu mengakui segala-galanya bergantung kepada sokongan yang akan diterima daripada rakyat. Setakat ini, cita-cita Mat Sabu sekadar impian kerana semua orang tahu bagaimana sokongan orang Melayu khususnya ahli Pas kepada Amanah.

Tidak dinafikan sedikit-sebanyak Amanah mempunyai penyokong di Kelantan, tetapi buat masa ini jika kepemimpinan parti itu menyimpan cita-cita untuk menumbangkan Pas di negeri tersebut dalam pilihan raya umum akan datang, bolehlah dianggap umpama mimpi di siang hari.

Ketika ini Pas Kelantan yang dipimpin oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaacob masih dilihat kukuh dan tidak tergugat dengan kehadiran Amanah. Pentadbiran kerajaan negeri dan parti berjalan seperti biasa biarpun sudah ada asakan dari dalam. Kedudukan politik khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) masih kukuh dengan menguasai 33 kerusi manakala Barisan Nasional (12 kerusi).

Cita-cita Amanah itu biarpun dianggap satu ‘khayalan’ namun agak menarik untuk diperkatakan apatah lagi apabila Mat Sabu menegaskan ‘bagi menyelamatkan kerajaan Islam’. Persoalannya sudahkah beliau berbincang dengan DAP berhubung hasrat itu? Corak ‘kerajaan Islam’ seperti manakah yang mahu ‘diselamatkan’ oleh Amanah?

Bukankah DAP masih kekal menentang hukum hudud di Kelantan sehingga mereka menolak sama sekali Enakmen Kanun Jenayah Syariah II? Apakah jika Amanah berjaya menumbangkan Pas di Kelantan, pelaksanaan hukum hudud yang disokong oleh majoriti umat Islam di Kelantan tanpa mengira fahaman politik akan diketepikan oleh Amanah?

Jika sikap DAP yang kini menjadi sekutu terkuat Amanah dalam pakatan pembangkang diambil kira, sudah pasti kenyataan Mat Sabu berhubung ‘menyelamatkan kerajaan Islam’ di Kelantan tidak akan ke mana. Amanah bukan sahaja tidak ada apa-apa keistimewaan malah tidak ada sebarang kekuatan.

Apa yang menarik dalam usaha meraih sokongan, Mat Sabu seperti juga sesetengah pemimpin pembangkang lain akan mengaitkan kerjasama UMNO dan Pas. Melalui cara itu, apa yang diharapkan oleh mereka, penyokong-penyokong Pas akan merasa ‘alergi’ dan akan beralih arah kepada Amanah.

Mat Sabu yang berucap di majlis pelancaran Pakatan Harapan Kelantan di Kota Bharu, kelmarin juga mengambil kesempatan untuk menyerang ‘bos lamanya’ Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan menuduh Presiden Pas itu mengkhianati rakan-rakan dalam pakatan pembangkang. Beliau juga secara sinis mengucapkan terima kasih kepada Presiden Pas “kerana mahu menjadi penasihat kepada UMNO.”

Seperti juga DAP, Amanah ternyata tidak senang dengan tindakan Pas yang memutuskan menolak usul undi tidak percaya terhadap Bajet 2016. Walaupun Pas menegaskan, pendirian itu demi kepentingan rakyat tetapi bagi Amanah demi kuasa yang diburu bersama PKR dan DAP, UMNO harus dilihat sebagai musuh dulu, kini dan selamanya.

Tindakan Amanah itu tidak akan menguntungkan politik orang Melayu. Justeru UMNO Kelantan perlu berusaha menyedarkan rakyat negeri itu supaya jangan terus terlibat dalam konflik antara dua parti tersebut. Sebaliknya perlu memikirkan masa depan mereka dan nasib negeri Kelantan yang masih jauh ketinggalan berbanding negeri lain.

Tetapi persoalannya mampukah UMNO meraih sokongan setelah 25 tahun menjadi pembangkang di Kelantan? Dalam politik tidak ada yang mustahil. Apa yang penting ialah pemimpin-pemimpin UMNO Kelantan khususnya di peringkat bahagian tidak boleh bergantung kepada Datuk Seri Mustapa Mohamed sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO untuk melakukan segala-galanya.

Mereka juga perlu berusaha memperkukuhkan kedudukan UMNO negeri itu dengan meninggalkan segala perangai buruk yang selama ini menjadi penghalang utama kemaraan UMNO untuk menumbangkan Pas.

Untuk UMNO kembali memerintah Kelantan bukanlah sesuatu yang aneh atau pelik, tetapi yang aneh atau pelik ialah jika tiada usaha dilakukan bagi mencapai kemenangan biarpun sejarah membuktikan Pas boleh dikalahkan.

Masalah dalam kalangan sesetengah pemimpin UMNO di Kelantan masih lagi berperangai sombong dan bongkak termasuklah dengan kakitangan kerajaan Pusat – itu maklum balas yang penulis terima daripada sumber di negeri tersebut.

Ramai gagal mencontohi perwatakan Mustapa yang dilihat disenangi pelbagai pihak sepanjang menguruskan UMNO Kelantan. Kerja keras Mustapa bagi mengembalikan keyakinan rakyat negeri itu kepada UMNO akan terus terbantut selagi sikap buruk sesetengah pemimpin parti itu di peringkat bahagian tidak diubah.

Rakyat Kelantan mengetahui dan memahami bahawa kerajaan Pusat banyak membantu mereka contohnya ketika banjir besar tahun lalu. Selain itu mereka juga memahami ada sesetengah wakil rakyat Pas bukannya ‘buat kerja sangat’ tetapi mereka tidak ada pilihan.

Mereka masih enggan memberikan semula mandat yang dicabut daripada UMNO sejak 25 tahun lalu kerana tidak menggemari tindak-tanduk sesetengah pemimpin parti itu dalam berurusan dengan rakyat.

Oleh itu pemimpin yang terlibat perlu berubah sikap demi masa depan UMNO di Kelantan. Mereka tidak boleh berasa sudah selesa menjadi pembangkang kerana berpendapat dalam keadaan apa pun dana atau projek daripada Pusat tetap diterima.

Sikap itu ibarat seseorang yang terus menikmati jus manis, biarpun duduk di atas pagar berduri tanpa memikirkan bahaya menanti. Dalam konteks politik Kelantan, UMNO akan menerima padahnya, jika sikap segelintir pemimpinnya yang terus leka memburu keuntungan peribadi dengan ‘memperalatkan’ parti tidak dihapuskan. - Zulkiflee Bakar Utusan Malaysia Rencana 12 November 2015 6:25 PM

Salah guna kuasa , politik

SEKAT SALAH GUNA KUASA

AKHBAR China Press bertarikh 5 November 2015 menyiarkan artikel mengenai keputusan pemilihan DAP Selangor 2015 pada 1 November lalu yang menyaksikan 15 orang dipilih.

Artikel bertajuk ‘Penyelewengan rompak masa depan DAP’ yang ditu­lis oleh Lim Fang disiarkan dalam ruangan Kedai Kopi Orang Ramai halaman C13.

Dalam pemilihan DAP negeri kali ini, seramai 15 ahli jawatankuasa (AJK) pusat bernasib baik dapat mengekalkan jawatan mereka. Pada pemilihan akan datang adakah mereka masih bernasib baik lagi, mereka hanya boleh berdoa.

Walaupun nama Tony Pua itu begitu hebat setinggi langit, tetapi dalam pemilihan berkenaan, beliau hanya berada pada kedudukan kelapan, berbanding orang yang tiada nama yang mendapat sokongan tertinggi sebanyak 736 undi.

Walaupun orang seperti itu mendapat undi terbanyak, beliau tidak mampu menjadi Pengerusi DAP Selangor, sebaliknya Tony Pua yang mendapat hanya 495 undi dalam pemilihan berkenaan dilantik sebagai pengerusi.

Ini jelas menunjukkan DAP hanya dikawal oleh segelintir orang yang mempersendakan kuasa perwakilan untuk memilih calon yang mereka rasakan paling layak. Undi paling banyak diterima ketika pemilihan bukanlah faktor yang membolehkan seseorang itu dilantik menjawat jawatan tertinggi peringkat negeri.

DAP sebelum ini pernah mengejek Barisan Nasional (BN) kerana memerintah Kerajaan Pusat dengan sokongan undi daripada 48 peratus rakyat sahaja. Kini perkara sama berlaku apabila individu yang mendapat sokongan antara 30 hingga 40 peratus perwakilan pada pemilihan dilantik menjawat jawatan tertinggi parti di Selangor. Mereka ini menjadi pemimpin yang tidak tahu malu apabila menerima pelantikan ber­kenaan.

Perkara sama berlaku di peringkat DAP kebangsaan apabila individu yang telah melanggar disiplin parti, melakukan salah guna kuasa dan rasuah dengan mudah dapat masuk ke dalam kumpulan ke­pimpinan pusat.

Dalam pada itu, ada pula sesete­ngah pemimpin DAP dianiaya dan dibuang daripada parti tanpa bukti-bukti kesalahan yang kukuh seperti bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Jenice Lee.

DAP suka menggunakan budaya ‘merompak’ dan ‘merampas’. Ada sesetengah pemimpin generasi baru yang berprestasi bagus apabila kelihatan mengancam pucuk ke­pimpinan, mereka akan dihambat.

Hanya mereka yang tunduk patuh kepada pucuk pimpinan tidak akan diburu. Sehingga ke hari ini, dalam DAP ada beberapa orang sahaja yang berkuasa. Selepas DAP mula berkuasa pada 2008, konsep dan hala tuju sebenar parti itu telah berantakan kerana pemimpin terbabit hanya mengejar kepentingan sendiri.

Usaha untuk menjadikan DAP parti berbilang kaum juga telah menempuh jalan sempit setelah tiga wakil Melayu yang bertanding dalam pemilihan peringkat Sela­ngor baru-baru ini tewas. Mereka ini tiada tapak untuk berdiri dan menerajui DAP.

Tony Pua telah melantik tiga wakil Melayu dalam kepimpinan DAP Selangor yang baharu sebagai ganti. Adakah mereka mampu menjadi batu loncatan kepada pe­nerokaan untuk DAP menjadi sebuah parti pelbagai kaum, itu masih lagi menjadi tanda-tanya.

Walaupun DAP semakin menjadi kesayangan orang Cina, penyelewengan dan salah guna melibatkan pemimpin parti itu akan terus menjadi-jadi terutama apabila mereka mendapat lebih banyak kuasa pemerintahan pada masa depan.

TETAP MEMIMPIN WALAUPUN UNDI KECIL

KEPUTUSAN pemilihan DAP Sela­ngor baru-baru ini turut diulas akhbar Nanyang Siang Pau bertarikh 7 November 2015 menerusi artikel yang ditulis oleh Chang Long Yan bertajuk ‘Corak semakin lama semakin sempit’ dalam ruangan Pendapat halaman B9.

DAP Selangor baharu sahaja menamatkan pemilihan parti. Daripada 15 AJK pusat yang dipilih, Tony Pua berada dalam kedudukan kelapan iaitu lebih teruk berbanding keputusan pemilihan yang lepas apabila beliau berada di keduduk­an keenam. Walaupun dalam laman Facebook beliau mempunyai 270,000 orang yang menekan butang Like, perkara itu tidak membantu meningkatkan kedudukannya dalam pemilihan parti.

Tidak kira apa yang berlaku dalam pemilihan kali ini, Tony Pua tetap dilantik sebagai Pengerusi DAP Selangor. Undi sedikit diterima beliau dalam pemilihan berkenaan menunjukkan terdapat kalangan perwakilan yang tidak yakin de­ngan kepimpinannya.

Baru-baru ini, nama Tony Pua begitu masyhur disebabkan beliau ‘berani’ mencabar Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy untuk berdebat secara terbuka.

Tidak disangkanya cabaran itu terus diterima oleh Arul Kanda tanpa sebarang syarat. Selepas itu, Tony Pua meletakkan syarat iaitu perdebatan berkenaan perlu disiarkan secara langsung melalui televisyen dan hanya beliau yang boleh menyoal manakala Presiden 1MDB itu tidak boleh bertanya apa-apa.

Pemimpin parti roket memang suka mencabar orang lain serta gemar mencari keburukan itu dan ini. Hakikat berkenaan bukan perkara baharu kepada kita. Jika diimbau kembali sejarah, pada pilihan raya umum (PRU) 1982, Lim Kit Siang yang ketika itu Setiausaha Agung DAP telah mencabar Presiden MCA ketika itu, Lee San Choon untuk memilih bertanding di salah satu daripada 12 kawasan Parlimen majoriti Cina untuk membuktikan MCA tidak mengharapkan sokongan undi orang Melayu untuk menang.

Tetapi Kit Siang tidak menjangkakan bahawa San Choon akan menerima cabaran itu. Di saat akhir, Kit Siang menarik diri dan meminta Presiden DAP, Dr. Chen Man Hin mengambil alih pertarungan itu. Akhirnya San Choon menang de­ngan majoriti 845 undi.

Berbalik kepada cabaran Tony Pua terhadap Arul Kanda, walaupun isunya berbeza, terdapat persamaan dengan perlakuan pemimpin DAP pada 1982 yang cenderung mengarahkan orang lain buat itu dan ini tetapi di saat akhir menarik diri. Mereka kemudiannya mencari orang lain sebagai pengganti untuk dijadikan mangsa. - Utusan Malaysia Rencana 12 November 2015

The good English learner

I REFER to the reports “Poor English stops medical grads” (The Star, Nov 9) and “Our English needs life support” (The Star, Nov 11).

In the second report, Prof Datuk Dr Raymond Azman Ali, chairman of the medical deans council of public universities, was quoted as saying, “How do you expect them (medical undergraduates) to comprehend medical theses and help patients if they cannot understand them in the first place?”

Let’s face it. Malaysia’s English is in a state of decay. Something urgent must be done to address the sharp fall in the standard of English. But we have been clamouring for something to be done for the umpteenth time.

The Government has implemented a bewildering array of initiatives to rectify our English problems but all to no avail.What’s wrong with the teaching of English?

So far, what has been reported by the news media about the initiatives to improve English among Malaysian students have mainly focused on teachers, teaching methods, and the learning environment (to a certain degree). But they have missed out one crucial attribute: the good English learner!

In her seminal paper “What the Good Language Learner Can Teach Us”, published in March 1975, Joan Rubin stressed the importance of drawing from the success of accomplished language learners.

She said, “I would like to suggest that if we knew more about what the ‘successful learners’ did, we might be able to teach these strategies to poorer learners to enhance their success record.”

The paper stated that those weaker students might become aware that stronger students always have the right answer but the weaker students always fail to discover why, always fail to discover what little “tricks” stronger students have employed to find the right answer.

The little “tricks” distilled from the research on “Good Language Learner” are:

1) The good language learner is a willing and accurate guesser. He is able to infer the meaning of a text or a speech based on its context (for example, the topic, setting, or attitudes of a speaker or a writer).

2) The good language learner has a strong motivation to communicate, or to learn from a communication, no matter where he is. He is determined to do anything to make himself understood.

For example, he might use body gestures to communicate if he couldn’t pronounce a word properly. He might also deploy a circumlocution, the practice of using more words to express something, by asking, “What is the object you use to click an icon on the screen of a computer?” when he is groping for the word “mouse”.

3) The good language learner is not afraid of making mistakes when learning, writing, or speaking a second language.

4) The good language learner constantly finds patterns in the language. For example, a good English learner is aware of the various tenses appearing in a text or a speech. He understands whether a sentence signifies the past, the present, or the future.

5) The good language learner seeks every opportunity available to practise the language. For instance, a good English learner might mingle with English native speakers, travel to English-speaking countries, listen to English news, watch English movies, and speak English as much as possible everywhere.

6) The good language learner always benchmarks himself against the best or native speakers. He never ceases improving and always learns from his own mistakes.

7) The good language learner always pays attention to meaning. He pays attention to the context of the speech, the interrelationship of the participants, the rules of speaking, and the mood of the speech. He constantly finds ways to make the things he wants to remember more meaningful.

If we want to arrest the decline in English among our learners in Malaysia, it is absolutely essential that our poor English learners learn from the little “tricks” of the good language learners espoused by Rubin.

Mastering English is inevitable. As Prime Minister Datuk Seri Najib Tun Razak said recently, “Like it or not, English is a prerequisite in today’s world, and without English, Malaysians can only be ‘jaguh kampung’ and lack the ability to penetrate the international market.”

Mr Lim Alor Setar The STAR Home News Opinion 13 November 2015

Buat apa belajar tinggi-tinggi?

PADA tahun ini, lebih 440,000 orang calon menghadapi peperiksaan SPM. Sekitar Mac 2016 nanti, apabila keputusan peperiksaan diumumkan, sejumlah daripada mereka akan melanjutkan pelajaran. Yang lain akan memasuki pasaran pekerjaan ataupun pasaran pengangguran.

Dahulu, pendidikan adalah salah satu cara orang Melayu dapat meningkatkan taraf hidup mereka. Setelah begitu lama orang Melayu hanya terpilih menjadi peon dan drebar pada zaman British kerana kononnya mereka adalah bangsa yang pemalas dan bodoh, dasar pelajaran kebangsaan membuka peluang yang luas kepada orang Melayu memperbaiki mobiliti sosial mereka.

Sejak itu, semakin ramai anak Melayu berpeluang memasuki universiti. Apabila mereka keluar dari menara gading, ramai yang memilih untuk bekerja dalam sektor kerajaan sebagai guru atau penjawat awam. Yang lebih menyerlah pula berpeluang menjadi pegawai daerah, sebuah jawatan yang dikira berprestij.

Apabila pemerintah menggalakkan anak-anak Melayu menceburi bidang kedoktoran, kejuruteraan, perakaunan dan lain-lain bidang profesional, maka semakin ramai anak Melayu mula menceburi sektor swasta.

Dengan kejayaan pelajaran yang diikuti dengan pendapatan lebih baik, anak-anak yang berjaya dalam pelajaran dan kerja itu dapat membantu keluarga kembali.

Tetapi, itu dahulu. Pada zaman itu, penjurusan pelajar di sekolah dan pengambilan pelajar untuk sesebuah kursus di universiti atau kolej adalah untuk memenuhi rancangan perkembangan pasaran pekerjaan di pelbagai sektor di sebuah negara yang sedang membangun.

Pada zaman itu, hampir kesemua mereka yang melanjutkan pelajaran di universiti akan mendapat kerja.

Oleh kerana universiti tidak banyak, lulusan universiti juga tidaklah ramai. Justeru, hampir kesemua mereka memperoleh kerja dengan mudah.

Kini, zaman sudah berubah. Pendidikan bukan lagi semata-mata komitmen perancangan sosial dan ekonomi pemerintah. Ia turut menjadi sumber ekonomi pula.

Apabila pendidikan sudah diniagakan, universiti-universiti swasta pun tumbuh bagai cendawan. Biasiswa dan dermasiswa pula kian sukar diperoleh oleh kerana demikian ramainya pelajar yang memohon.

Maka muncul PTPTN sebagai salah satu tempat mereka yang ingin melanjutkan pelajaran mendapat pembiayaan. Pada waktu yang sama, agensi itu turut memberi nafas kepada universiti swasta untuk mendapat pelajar dan bertahan serta berkembang.

Apa yang digusarkan ialah apabila sesetengah universiti ini condong untuk mendapat keuntungan, bukan sebagai tempat seseorang itu menjadi seorang intelektual.

Kualiti pendidikan sudah ditolak ke tepi. Ada yang menaikkan gred kelulusan para pelajarnya semata-mata untuk membantu mereka mengelak membayar balik pinjaman PTPTN seperti yang dilaporkan oleh sebuah akhbar baru-baru ini.

Malangnya, realiti ini kurang disedari oleh ramai ibu bapa. Mereka masih berpegang kepada kepercayaan bahawa melanjutkan pelajaran di universiti adalah satu-satunya jalan untuk memperbaiki masa depan anak mereka.

Sedangkan ia sebenarnya belum tentu menjamin kualiti pendidikan, mendapat pekerjaan, apatah lagi memperbaiki diri anak-anak mereka dan akhirnya ekonomi keluarga.

Namun, ada yang tetap mahu menghantar anak-anak mereka memasuki universiti meskipun keputusan peperiksaan anak masing-masing hanya cukup-cukup makan.

Padahal, anak-anak mereka, melalui pendedahan yang begitu luas pada hari ini, boleh sahaja memasuki pasaran pekerjaan.

Dalam masa tiga tahun, berkat ketekunan mereka, pendapatan mereka sudah jauh melebihi mereka yang baharu lulus universiti jika memperbaiki ekonomi menjadi tujuannya.

Anak-anak yang sudah berpengalaman bekerja itu mempunyai kemahiran praktikal yang jauh lebih baik daripada mereka yang baharu keluar universiti.

Mereka yang baharu memegang segulung ijazah masih tercangak-cangak dan teragak-agak untuk menyeiringkan ilmu teori dengan kemahiran praktikal di alam pekerjaan yang sebenar.

Sedangkan, mereka yang berpengalaman kerja pula boleh sahaja belajar secara sambilan. Mereka ini lazimnya menjadi para pelajar yang lebih faham teori ilmu kerana sudah mempraktikkannya terlebih dahulu.

Lihatlah di sekeliling. Semakin ramai di antara mereka yang tiada diploma dan ijazah telah memasuki pasaran pekerjaan.

Sama ada mereka pendawai elektrik, penjual burger mahupun seorang usahawan, mereka mampu berdikari dan membina kehidupan masing-masing.

Jalan untuk mencapai kejayaan di dunia semakin luas dan bercabang-cabang. Tidak perlu bersesak untuk ke menara gading kecuali jika benar-benar mahu mencari ilmu.

Jika belajar hingga memperoleh ijazah tetapi masih tidak pandai mencari kerja hingga jadi penganggur, ada nawaitu yang tidak betul ketika mula melangkah ke menara gading.

Hentikan budaya menelan asap

SEJARAH tembakau bermula di Amerika. Penduduk asli Amerika dikatakan mula menanam tembakau sejak lebih 900 tahun sebelum Masihi. Golongan Red Indian ini menyedut asap tembakau untuk upacara keagamaan dan tujuan perubatan.

Bagaimanapun, mereka tidak menghisap asap tembakau setiap hari seperti yang kita lihat hari ini. Tembakau diperkenalkan di Eropah oleh Christopher Columbus yang menjejakkan kaki ke benua Amerika pada tahun 1492. Kilang rokok pertama di London diwujudkan pada tahun 1880.

Rokok diperkenalkan kepada masyarakat kita oleh penjajah Barat. Pada hari ini, walaupun iklan rokok telah lama diharamkan dan harga rokok dinaikkan, merokok sudah menjadi kebiasaan yang diterima secara meluas oleh masyarakat kita.


Rokok diperkenalkan kepada masyarakat kita oleh penjajah Barat.

Bahkan, ia seolah-olah dipandang sebagai budaya elit yang membanggakan, baik orang tua mahupun belia; kaya atau miskin; bos mahupun kuli; ramai yang terjebak dengan budaya ini.

Walaupun di tepi kotak rokok sekarang tertera peringatan, “Amaran Kerajaan Malaysia: Merokok Membahayakan Kesihatan”, amaran ini langsung tidak diendahkan.

Harga rokok pula dinaikkan lagi bermula 4 November 2015. Pek 20 batang bagi jenama-jenama premium seperti Dunhill, Kent dan Benson & Hedges, sebagai contoh, sekarang berharga RM17. Bagi mereka yang menghisap sekotak rokok RM17 sehari, mereka membelanjakan RM510 sebulan, bersamaan RM6,120 setahun; cukup untuk menunaikan umrah. Memang membazir.

Nabi Muhammad SAW bersabda, “ALLAH membenci tiga perkara iaitu mengumpat, berjudi dan membazirkan wang.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Persoalannya, mengapa mereka merokok? Menurut kajian yang dilakukan oleh University of Southampton, antara sebab mereka merokok adalah untuk menghilangkan rasa penat dan untuk berasa lega. Kononnya merokok dapat menghilangkan stres.

Laporan khas Utusan Malaysia bertarikh 10 Februari 2009 memaparkan fakta menggerunkan iaitu sekurang-kurangnya 50 remaja terjebak sebagai perokok setiap hari.

Lebih membimbangkan, tabiat menelan asap ini menjadi budaya yang dibanggakan dalam kalangan remaja sehingga mereka tidak segan silu menghisap rokok hatta sedang lengkap beruniform. Merokok membuatkan mereka terasa lebih dewasa dan juga diterima oleh kawan-kawan (feel belonged).

Tidak kurang, ada yang berasa macho atau cool dengan merokok.

Menurut Profesor Dr Zulkifli Ahmad, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Perubatan dari USM Kampus Kesihatan, Kelantan dalam laporan Sinar Harian bertarikh 21 November 2011, terdapat lebih lima juta perokok tegar di negara ini, termasuk mereka yang merokok sejak bangku sekolah, dan mereka membelanjakan kira-kira RM15 juta sehari untuk beli rokok bagi melepaskan ketagihan; satu jumlah yang besar.

Rokok adalah stimulan yang meningkatkan degupan jantung dan mempengaruhi otak serta tubuh manusia. Nikotin di dalam rokok membuatkan perokok ketagihan, mudah marah, cemas, susah fokus, gelisah dan sukar untuk tidur.

Merokok dikaitkan dengan pelbagai penyakit kronik seperti kanser (leher, paru-paru dan mulut), kelahiran bayi pramatang dan penyakit gangren seperti gambar yang tertera di kotak-kotak rokok. Kajian saintifik membuktikan setiap batang rokok yang dinyalakan mengeluarkan lebih 4,000 bahan kimia beracun yang membahayakan.

Antara kandungan terdapat dalam asap rokok termasuklah bahan radioaktif (polonium-201) dan bahan-bahan yang digunakan di dalam cat (acetone), pencuci lantai (ammonia), ubat gegat (naphthalene), racun serangga (DDT), racun anai-anai (arsenic), gas beracun (hydrogen cyanide) dan banyak lagi termasuk tar, nikotin dan karbon monoksida.

Berikutan dari bahaya dan kemudaratan merokok ini selain ia satu pembaziran, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, pada 23 Mac 1995, telah memutuskan bahawa merokok adalah haram menurut pandangan Islam. Kini, setelah 20 tahun fatwa ini dikeluarkan, tabiat merokok bukannya berkurang malah semakin menjadi-jadi.

Sebenarnya, kebanyakan syarikat pengeluar rokok adalah kepunyaan Yahudi. Maka, pembelian rokok secara tidak langsung menyumbang kepada kekayaan Yahudi yang menindas umat Islam. Sekiranya kita boleh memboikot produk-produk lain keluaran Yahudi, mengapa tidak mengambil langkah yang sama dengan berhenti merokok? Begitu juga dengan shisha dan terkini, vape.

Sekiranya kita rimas dengan asap jerebu, seharusnya kita juga membenci asap rokok, shisha mahupun vape yang tidak kurang mudaratnya.