November 18th, 2015

Tak dapat 5A, dunia ini belum berakhir!

SEMALAM penuh news feed dalam Facebook saya tentang kejayaan anak rakan-rakan dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Para ibulah terutamanya begitu seronok memuat naik slip keputusan anak-anak mereka dan berkongsi gambar-gambar kegembiraan.

Tak kiralah apabila ada saja keputusan peperiksaan utama sekolah rendah atau menengah diumumkan, pastinya laman-laman sosial terutamanya Facebook akan penuh dengan slip-slip keputusan anak-anak yang cemerlang.

Bagi yang tidak cemerlang pula, mungkin pakat diam-diam saja. Jarang pula kita baca status dalam laman sosial, seorang ibu atau bapa yang mengucapkan `tidak mengapalah cuba lagi dalam lain peperiksaan, baru UPSR je pun’ apabila anak mereka tidak mendapat 5A.

Dan dikhabarkan juga, ada anak-anak yang menangis sampai bengkak-bengkak mata kerana tidak mendapat 5A. Ada juga yang dimarahi ibu bapa kerana tidak mendapat keputusan sebaik itu.

Saya masih ingat beberapa tahun lalu, ada budak yang lari dari sekolah pada hari pengumuman keputusan kerana tidak dapat 5A. Jenuh ibu bapanya mencari sana sini.

Dan yang paling menyedihkan sebelum ini, ada budak yang bertindak membunuh diri kerana merasa begitu tertekan gagal dalam peperiksaan! Kegilaan apakah itu?

Betullah, dalam mengejar apa jua kejayaan, kita jangan lupa menekankan faktor-faktor manusiawi dan pengisian nurani. Mendidik anak-anak bukan sahaja untuk menjadikan mereka kuat dalam akademik. Mereka juga perlu dididik mempunyai semangat yang kuat. Barulah apa jua cabaran dan dugaan tidak kiralah semasa mereka masih belajar atau berada dalam alam pekerjaan kelak akan dihadapi dengan baik dan dapat mengawal perasaan apabila gagal dan kecewa. Gagal tidak bermakna tidak boleh bangkit semula.

Jika semangat tidak kuat, tidak tahan lasak, tidak mahu bersaing dan ibu bapa pula terlalu memberi tekanan anaknya mesti menang atau mesti dapat nombor satu dalam kelas, ini yang membuatkan anak-anak kecewa dan menangis apabila setiap kali gagal mendapat apa yang mereka atau ibu bapa mereka mahukan.

Jika semangat lembik begini atau kepada saya lebih kepada sikap mengada-ngada, macam mana mahu menghadapi `sepak terajang’ kehidupan yang entah apa lagi di masa depan?

Dalam usia semuda 12 tahun, mendapat kejayaan cemerlang dalam peperiksaan UPSR, memang satu bonus, dan sebenarnya tidak mendapat kejayaan secemerlang itu juga tidak mengapa. Ia bukan satu kegagalan pun.

Sebabnya, perjalanan hidup masih jauh. Banyak lagi ruang yang boleh diperbaiki dan peluang juga sentiasa ada dan terbuka kepada yang berusaha dan benar-benar mahu maju! Baru UPSR, belum peperiksaan besar seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang menentukan masuk ke universiti atau kolej. Dan di universiti dan kolej, mereka pun ada banyak lagi peperiksaan untuk mendapatkan diploma atau ijazah.

Bagi yang tidak begitu baik dalam bidang akademik, mereka boleh masuk dalam mana-mana institut kemahiran yang menawarkan banyak kursus kemahiran yang menjurus kepada banyak ruang pekerjaan. Mana ada jalan mati. Kalau ada kemahuan di situ ada jalan.

Memetik status dari Twitter seorang kawan, Al-Abror Mohd. Yusuf - Harap-harap tak ada sekolah yang menaikkan pemidang, sepanduk yang melukakan hati pelajar-pelajar UPSR yang gagal mendapat 5A. Harap-harap guru-guru dan pengetua kekal bersifat manusiawi. Sama ada 5A, 4A atau langsung tiada A, mereka berhak dilayan seadilnya.

Betullah, kenapa mahu meruntuhkan semangat anak-anak yang tidak mendapat 5A? Dunia mereka belum habis di situ pun. Banyak lagi potensi dalam diri mereka yang belum dilihat dan digilap. Ramai dalam kalangan kita pun tidak dapat 5A dulu tetapi masih boleh masuk universiti dan berjaya dalam hidup.

Dan berjaya dalam hidup bukan diukur melalui kejayaan akademik semata-mata. Banyak faktor lain boleh menentukan susah senangnya hidup ini. Sebab itu, kita perlukan banyak kekuatan dalam diri. Kepada ibu bapa pula, berilah semangat dan tunjukkan mereka jalan. Jangan hanya tahu menaruh harapan tinggi, marah dan berleter tanpa memahami apa masalah dan kehendak anak-anak. - Fauziah Arof Utusan Malaysia Rencana 18 November 2015 6:10 PM