November 26th, 2015

Bicara tanpa fakta

PROJEK ternakan lembu di bawah Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) menjadi isu hangat ekoran pendedahan Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada hujung tahun 2011. Laporan tersebut menyatakan syarikat National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp) yang mengendalikan projek itu telah gagal memenuhi matlamat penubuhannya.

Pihak pembangkang kemudian menokok tambah dengan mendakwa berlakunya penyelewengan dalam pengurusan dana syarikat tersebut yang dikendalikan oleh Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail iaitu suami kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ketika itu, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Sejak itu, pelbagai perkara tidak enak tentang ‘lembu’ ditimbulkan oleh pihak pembangkang mengenai projek tersebut. Sejak itu juga, berbagai-bagai tohmahan dan cacian malah fitnah dilemparkan kepada Mohamad Salleh dan keluarganya.

Kemuncak kepada kontroversi tersebut, Shahrizat mengumumkan peletakan jawatannya dalam Kabinet. Mohamad Salleh pula dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan pecah amanah dan menggunakan dana syarikat tanpa kelulusan mesyuarat agung tahunan syarikat.

Saat itu, ‘kokokan’ pihak pembangkang dilihat bukan sahaja berjaya memalukan keluarga Mohamad Salleh tetapi UMNO dan kerajaan. Seterusnya kes ini dijadikan bahan kempen pilihan raya yang keterlaluan.

Namun, setelah tiga tahun berulang-alik ke mahkamah sejak didakwa pada 12 Mac 2012, Mohamad Salleh akhirnya semalam dilepas dan dibebaskan daripada kesemua empat pertuduhan jenayah yang dihadapinya.

Sepanjang tempoh tiga tahun itu, Mohamad Salleh tetap teguh mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan pecah amanah membabitkan RM49.7 juta dan dua pertuduhan menggunakan dana syarikat pada 2009.

Pengakhiran yang memulihkan semula nama keluarga itu adalah bertitik-tolak daripada cadangan Mahkamah Rayuan pada Ogos lalu supaya pasukan pembelaan Mohamad Salleh membuat surat representasi kepada Jabatan Peguam Negara sekiranya mereka merasakan mempunyai pembelaan yang kukuh berdasarkan dokumen yang dikemukakan pihak pendakwa.

Mahkamah Rayuan mengesyorkan demikian ketika menolak rayuan Mohamad Salleh untuk membatalkan kedua-dua pertuduhan pecah amanah dan mengarahkan supaya perbicaraan kes itu diteruskan. Cadangan mahkamah tersebut dipatuhi oleh pasukan pembelaan.

Jabatan tersebut asalnya membuat keputusan melepas tanpa membebaskan Mohamad Salleh daripada pertuduhan itu. Namun atas permohonan peguam, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah dan tanpa bantahan daripada pihak pendakwa, mahkamah bersetuju supaya Mohamad Salleh dilepas dan dibebaskan.

Pasti jabatan berkenaan menerima representasi Mohamad Salleh untuk menggugurkan pertuduhan-pertuduhan itu selepas mengambil kira fakta, keterangan dan merit kes tersebut.

Surat representasi yang dihantar kepada Peguam Negara itu juga tentu sekali termasuk bukti yang menunjukkan bahawa tiada penyalahgunaan pinjaman atau pecah amanah berlaku. Ini juga mendedahkan bahawa wang RM250 juta itu merupakan pinjaman komersial, bukannya geran daripada dana awam, dan pembayarannya dibuat tepat pada masanya.

Selain itu, hartanah berkenaan dibeli oleh sebuah anak syarikat NFCorp sebagai satu bentuk pelaburan untuk NFCorp berdasarkan kepada terma-terma dan syarat-syarat dalam perjanjian pinjaman. Hartanah tersebut bukannya dibeli oleh Mohamad Salleh atas namanya atau untuk peribadi atau untuk manfaat keluarga tersebut.

Daripada fakta-fakta itu, jelas Mohamad Salleh telah ‘dibicarakan’ dalam khalayak ramai sebelum dibicarakan di mahkamah dan keputusan dibuat terhadapnya. Sekiranya amalan sebegini diteruskan, nescaya yang menjadi mangsa bukan sahaja tertuduh, tetapi masyarakat keseluruhannya.

Sememangnya setiap perlakuan jenayah kolar putih tidak sepatutnya terlepas daripada pendakwaan di mahkamah. Itu pun sekiranya memang berlaku kesalahan jenayah dan berlandaskan bahan-bahan bukti yang kukuh.

Bukannya sekadar tuduhan semata-mata oleh pihak-pihak tertentu yang mempunyai kepentingan. Jika begitulah amalannya, yang teraniaya pastinya orang yang dituduh manakala yang menuduh tanpa bukti bebas tanpa hukuman. - Amiruddin Harun Utusan Malaysia Rencana 25 November 2015 6:00 PM

Berhenti jadi ‘tukang kipas’, bekerjalah!

BEBERAPA hari lepas saya menerima satu emel daripada seorang pembaca katanya begini: Puan, tulislah tentang budaya kerja dalam sesebuah organisasi pula. Bukannya apa, selain Puan selalu tulis tentang kos sara hidup naik yang memberi tekanan kepada rakyat, suasana tempat kerja pun turut menyumbang pada tekanan. Bukankah begitu? Kadang-kadang sampai kita boleh dapat darah tinggi, sakit jantung atau silap-silap terus strok, katanya.

Cakap banyak kerja kurang, atau sekadar pandai bercakap tetapi apabila masuk bab kerja ‘hancur’ contohnya, memberi kesan bukan sahaja kepada produktiviti dan pres­tasi syarikat tetapi mencetuskan suasana tidak harmoni persekitaran kerja. Kita semua mahu bekerja dalam suasana santai dan gembira. Tidak mahu serabut-serabut kepala!

Sudahlah terpaksa bersesak-sesak pada waktu pergi dan pulang kerja mengharungi lebuh raya dengan membayar tol yang tinggi, tambang tren pun dah naik harga, harga barang-barang keperluan pun tidak macam dulu lagi, ini masuk pejabat pula berdepan dengan perangai seperti ini. Ini pun satu masalah sosial juga, katanya lagi.

Ya, betul. Sebenarnya, mana-mana tempat kerja pun kita akan berhadapan suasana begini. Ini namanya masalah sikap. Sikap kita terhadap kerja. Kalau kita hendak kaitkannya dengan budaya kerja, mungkin boleh jugalah. Sebabnya, kita memang selalu pun berhadapan dengan perkara-perkara sebegini. Jangan kata, tidak ada.

Tetapi itulah, isu ini jarang-jarang sekali hendak dibangkitkan. Ini kerana kita lebih suka mengambil sikap bising-bising di belakang-belakang saja atau mungkin menganggap hal ini remeh atau mungkin juga perbuatan ini terke­na pada batang hidung sendiri. Pandai cakap saja, kerja kurang, jadi tak payah tulislah.

Yang kita selalu bangkitkan tentang pekerja adalah isu disiplin yang melibatkan hal-hal ponteng kerja, lewat datang kerja, kerja gagal disiapkan pada masanya, gagal memberikan mutu perkhidmatan yang baik terutamanya yang membabitkan pekerja yang berurusan dengan orang ramai dan lain-lain.

Walhal, sikap pekerja yang lebih kepada menonjol-nonjolkan diri tetapi tiada hasil apa-apa pun, ini juga sebenarnya akan memberi masalah yang amat besar kepada sesebuah organisasi. Manakan tidak, kalau seorang dua, mungkin tidak nampak kesannya.

Bagaimana jika separuh daripada pekerja mempunyai perangai seperti ini dan bagaimana pula kalau yang menjadi mangsa adalah pekerja yang betul-betul bekerja tetapi tidak bising-bising mencanang hasil kerjanya dan yang tukang bising itu pula mendakwa itu adalah hasil kerjanya atau paling tidak pun datang daripada buah fikirannya yang sebenarnya tidak berapa hendak berbuah itu.

Justeru, saya berpendapat budaya cakap banyak kerja kurang dan cakap pandai tetapi kerja tidak tahu atau le­bih kepada sikap membodek yang melulu juga sama te­ruk dan buruk kesannya kepada syarikat.

Sebabnya, kalau ramai orang yang sebegini ada dalam syarikat, ia hanya merosakkan. Syarikat memerlukan pekerja yang benar-benar boleh bekerja. Dibayar gaji pun untuk bekerja bukan untuk banyak cakap.

Sikap hanya pandai cakap tetapi tidak boleh bekerja ini bukan sahaja tidak memberi keuntungan kepada syarikat. Dan paling teruk kalau ia melibatkan orang lain. Ibarat lembu punya susu sapi dapat nama.

Mungkin yang mendapat nama dan habuannya adalah si tukang bising itu. Dia mungkin tidak pasal-pasal menerima kenaikan gaji atau pangkat. Sedangkan yang benar-benar membuat kerja itu, kekallah di situ dan menganggap itu bukan rezekinya. Biarlah. Tak mengapalah. Rezeki bukan saja datang dalam bentuk wang tetapi diberi kesihatan yang baik itu juga rezeki, mendapat anak cemerlang dalam pelajaran itu juga rezeki, bahagia itu juga rezeki dan macam-macam lagi untuk menenangkan hati sendiri.

Apa pun yang perlu difikirkan sebelum bertindak menjadi seperti tin kosong ialah orang lain pun ada anak isteri yang perlu diberi makan. Maka bekerjalah mengikut job spec yang diberikan. Percayalah kepada kebolehan diri dengan memberikan hasil kerja yang terbaik. Tidak perlu jadi ‘tukang kipas’. Dalam pejabat pun sana sini sudah ada pendingin hawa. Bekerjalah macam biasa. Bukan susah sangat pun. - Fauziah Arof Utusan Malaysia Rencana 25 November 2015 6:00 PM

Tradisi ilmu negara maju

MASIH belum terlambat untuk saya mengucapkan tahniah kepada calon-calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2015 yang memperoleh keputusan cemerlang. Yang menariknya pada tahun ini, sekolah-sekolah luar bandar mencatatkan keputusan yang memberangsangkan. Apa yang menakjubkan ada di antara sekolah cemerlang ini baharu sahaja beroperasi misalnya, Sekolah Kebangsaan Darulaman Heights (SKDH), Jitra, Kedah yang dibuka pada 2011. Meskipun baharu sahaja beroperasi, namun sekolah ini berupaya mencatatkan keputusan kedua terbaik di daerah Kubang Pasu, dengan mengalahkan banyak sekolah ternama yang telah lama ditubuhkan. Bahkan, sekolah ini hanya ketinggalan sedikit berbanding sebuah sekolah berprestasi tinggi (SBT).

Apakah ramuannya sehinggakan sekolah ini berjaya mencatatkan keputusan luar biasa meskipun baharu setahun jagung usianya? Tidak lain tidak bukan ketokohan kepimpinan guru besarnya yang cukup berdedikasi untuk melihat anak-anak muridnya cemerlang dalam semua segi. Beliau yang bersara dua hari selepas pengumuman keputusan UPSR 2015 telah berjaya meninggalkan legasi tradisi ilmu di sekolah tersebut. Selain guru besar, guru-guru SKDH juga tidak jemu-jemu mendidik anak-anak murid. Tidak terkecuali penglibatan ibu bapa yang sentiasa menyokong pihak sekolah.

Sistem pendidikan Malaysia memerlukan ramai pemimpin pendidikan terbaik tidak kira di peringkat rendah mahupun menengah. Ini bagi membolehkan murid dan pelajar sentiasa cemerlang bukan setakat dalam peperiksaan tetapi juga dalam aspek sahsiah dan kokurikulum. Malangnya kita boleh lihat masih ada kes buli yang berlaku di sana sini memperlihatkan ada yang tidak kena dengan tingkah laku murid dan pelajar pada masa sekarang. Meskipun kes-kes buli ini agak terpencil, namun jika tidak ditangani segera kesannya cukup besar sama sekali pada masa hadapan.

Adakah kita mahukan generasi kaki pembuli dan samseng pada masa hadapan? Sedangkan apa yang negara dan masyarakat perlukan ialah pemimpin terbaik untuk masa hadapan terutamanya dari segi sahsiah. Inilah yang perlu difikirkan oleh pihak-pihak berkenaan dan tidak hanya sekadar mengubah sesuatu dasar dan polisi dengan begitu kerap tanpa melihat keberkesanan sesuatu dasar dan polisi tersebut. Perlu diingatkan bahawa murid dan pelajar bukanlah sekadar bahan uji kaji untuk menunjukkan kehebatan seseorang pemimpin. Misalnya, sampai sekarang kita masih membicarakan isu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, yang mana satu yang perlu diutamakan.

Ya, memang benar, seseorang yang mahir dalam pelbagai bahasa memiliki kelebihan berbanding hanya mahir dalam satu bahasa sahaja. Namun, ini bukanlah boleh dijadikan hujah untuk kita kerap mengubah sesuatu polisi mengenai bahasa. Hal ini berlaku demikian kerana negara majmuk seperti Malaysia memerlukan bahasa penyatuan. Mana-mana negara di dunia pastinya akan memiliki satu bahasa penyatuan. Dalam hal ini, bahasa Melayu adalah bahasa yang menyatukan semua kaum di Malaysia di bawah satu bumbung bangsa Malaysia.

Inilah yang perlu diamati oleh pemimpin-pemimpin politik dan penggubal dasar dan polisi agar negara kita selepas tahun 2020 benar-benar memiliki acuan tersendiri dan tidak lagi membicarakan isu yang sama selepas bertahun-tahun lamanya mencapai kemerdekaan. Inilah juga yang perlu diterapkan kepada anak-anak kecil kita agar mereka memiliki jati diri sebagai bangsa Malaysia dan bukannya terikut-ikut dengan acuan bangsa negara lain sehingga tidak mengetahui identiti sebenar mereka.

Selain menerapkan kepentingan identiti bangsa Malaysia dalam kalangan anak kecil menerusi sistem pendidikan, satu perkara yang tidak boleh dinafikan tentang kepentingan berfikir secara kritis dalam kalangan generasi muda. Dalam konteks ini, tahun 2015 adalah tahun terakhir bagi UPSR di bawah sistem yang lama yang mana pada tahun hadapan, calon-calon UPSR diuji dengan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Kemahiran ini sangat diperlukan bagi membolehkan generasi masa hadapan tidak mudah mempercayai sesuatu maklumat sebelum menyelidik dan memahami kebenarannya. Berkeupayaan berfikir secara kritis pada tahap tinggi supaya akhirnya keputusan terbaik dapat dibuat oleh mereka.

Lebih-lebih lagi ketika era ledakan maklumat memerlukan seseorang mencanai setiap maklumat dengan tepat. Tidak hanya menerima sesuatu maklumat secara semberono. Hal ini berlaku sedemikian kerana bukan semua maklumat itu tepat dan benar. Ini jelas kelihatan apabila ramai yang mudah terpedaya dengan sesuatu sebaran maklumat terutamanya yang bersifat gosip, fitnah dan hasutan. Malang sekali jika maklumat palsu yang berniat jahat dipercayai oleh ramai pihak sehingga mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat.

Jadi, timbul persoalan adakah ini yang kita mahukan tatkala kita berbangga menghuni sebuah negara yang bergelar maju berpendapatan tinggi? Masyarakat sesebuah negara maju tidak hanya maju dari sudut ekonomi tetapi juga maju dari sudut pemikiran dan tingkah laku. Malangnya, kini, ramai yang bukan sahaja menerima dan mempercayai sesuatu maklumat dengan mudah tanpa usul periksa, tetapi juga begitu cepat menyebarkan maklumat tersebut kononnya berkongsi maklumat itu tanda prihatin mereka terhadap orang lain. Ini sama sekali jauh menyimpang daripada tradisi ilmu sejak dahulu lagi yang mengutamakan kebenaran ilmu untuk dimanfaatkan oleh manusia.

Seandainya tradisi ilmu ini tidak dipegang dan diamalkan maka rosaklah kehidupan manusia itu. Kesannya lebih teruk lagi jika tradisi ilmu ini dirosakkan dengan penyebaran maklumat palsu berunsurkan fitnah dan hasutan dalam kalangan mereka yang berpengaruh dalam masyarakat itu sendiri. Sedangkan mereka inilah yang wajib menjadi contoh menegakkan kebenaran dan menolak kebatilan.

Natijahnya, masyarakat menjadi celaru dan keliru angkara penyebaran sesuatu perkara yang tidak benar. Ini bakal mengundang perbalahan dan perseteruan yang memecahbelahkan masyarakat. Inilah yang paling dibimbangkan kerana apa yang dibina selama ini punah dengan sekelip mata. Jika ini berlaku, pastinya sukar untuk diperbaiki dalam jangka masa pendek. Justeru, dalam hal ini, sistem pendidikan negara yang berasaskan kehebatan tradisi ilmu sebenar membantu membentuk sebuah masyarakat maju yang diidamkan. - Rohami Shafie Utusan Malaysia Rencana 25 November 2015 6:00 PM