December 26th, 2015

TM rumus formula baharu kukuhkan korporat Malaysia

SIRI kejayaan transformasi Telekom Malaysia Bhd (TM) menjadi testimoni utama melayakkannya menyumbangkan kepakaran membantu program transformasi entiti korporat Malaysia. Berbeza transformasinya yang dipacu semangat pasukan

TM sebelum ini, gergasi telekomunikasi itu kini berhadapan cabaran mencari formula rahsia baharu sebagai penyatu kekuatan entiti korporat di Malaysia.

Ikuti bahagian akhir temu bual wartawan BH, Kamarulzaidi Kamis dan Che Wan Badrul Alias bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa merungkai visi 'Accidental CEO' itu merencana transformasi entiti korporat tempatan demi masa depan Malaysia.


S: Apakah pencapaian terbesar sepanjang tempoh Tan Sri memacu TM ?

J: TM bermula sebagai sebuah jabatan. Kami dikorporatkan pada 1987 dan 1990 di senarai di Bursa Malaysia. Jadi benar kami sudah melalui satu transformasi yang berkembang dari jabatan sehingga kepada syarikat swasta dan syarikat senaraian awam.


Pada awal 1990 sehingga akhir 1990-an untuk kali pertama TM mengalami persekitaran persaingan. Iaitu apabila terdapat lesen baharu diberikan kepada syarikat lain.

Jadi, sekali lagi ia sebahagian daripada perjalanan transformasi untuk TM dari Jabatan ke swasta, ke senaraian awam dan kepada syarikat berdaya saing.

Kami perlu mentransformasi syarikat pada setiap masa sejak kami mula diswastakan. Ini adalah pencapaian utama TM.

Pencapaian utama TM adalah proses pengasingan pada 2008 apabila kami transformasi daripada sebuah syarikat integrasi yang ketika itu ada dua cabang iaitu perkhidmatan talian tetap, khusus untuk pasaran Malaysia di peringkat nasional, manakala kita juga ada cabang mudah alih seperti Celcom di Malaysia, XCell di Indonesia, Halo in Kemboja, dan sebagainya.

Ketika itu semua cabang ini di bawah TM International. Itu adalah dua perniagaan terbesar yang kami miliki ketika itu.

Apabila pengasingan berlaku, bahagian mudah alih yang juga penyumbang besar operasi kami dikeluarkan dan menjadi satu entiti yang kini dikenali Axiata Bhd.

Yang kekal di TM adalah perniagaan talian tetap dan tumpuan hanya kepada pasaran Malaysia. Cabaran yang kita lihat dalam pengasingan ini tidak seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

Apabila cabang mudah alih dikeluarkan, separuh daripada pendapatan kumpulan TM dibawa keluar daripada kami untuk bergabung dengan Axiata.

Tapi, 90 peratus daripada kos kekal pada kami. Perkara pertama yang saya lakukan adalah dengan memecahkan cabaran supaya lebih kecil untuk diuruskan.

Maka, kami laksanakan konsep COOL iaitu singkatan kepada Pelanggan (C), Kecemerlangan Operasi (O), Set Minda Bersama Dalam Satu Syarikat (O) dan Kepimpinan Komersial Menerusi Innovasi (L). COOL memudahkan kami berhubung dengan kakitangan TM.

Kami melihat ini sebagai teras utama TM, untuk menguatkan semangat kakitangan TM. Sebagai GLC kita kena pastikan orang ramai faham kami ada tanggung jawab penting iaitu pembangunan negara.

Memang kami perlu tingkatkan keuntungan, tapi tanggung jawab kedua kami lebih besar iaitu untuk pembangunan negara.

Sejak 2008 dan sekarang 2015, sudah tujuh tahun berlalu, Alhamdulillah kita berjaya melonjak kembali dengan mengubah kebergantungan sumbangan kami kepada 70 peratus disumbangkan dari pendapatan bukan suara atau berkaitan data.

Kami berjaya memberi lebih nilai kepada pemegang saham lebih 300 peratus sejak tempoh pengasingan. Memacu ke hadapan, kumpulan TM kini memasuki titik kebangkitan kedua dan bergerak untuk membuat satu lagi pencapaian.

Dulu kami ingin menjadi peneraju jalur lebar dan ia tercapai hari ini, maka kita melihat apa lagi yang boleh dicapai pada masa depan.

Justeru, kami melihat satu lagi sasaran iaitu bergerak kepada peneraju konvergen di Malaysia. Kami perlu menyusunkan kembali kedudukan syarikat dalam perspektif untuk berhadapan cabaran akan datang.

Kami sudah mentakrifkan semula visi kumpulan iaitu "Memudahkan Kehidupan dan Perniagaan untuk Malaysia Yang Lebih Baik". Ia visi yang sangat mudah tapi penting dalam memartabatkan agenda pembangunan negara.

Kemudiannya kami perkukuhkan dengan memperkenalkan nilai jenama baharu iaitu Mudah, Dipercayai, dan Innovatif. TM kini memiliki 28,000 pekerja.

Jadi, saya berpendapat jumlah yang besar tidak semestinya perkara buruk dengan syarat produktiviti perlu meningkat.

Kalau kita besar dan produktiviti kita meningkat hasilnya akan lebih besar. Jadi produktiviti adalah tunjang utama untuk kami.

Untuk tingkatkan produktiviti, kita perlu jadi inovatif. Satu daripadanya adalah menerusi digital. Maka, sekarang kita menggunakan peranti digital seperti sistem pengurusan tenaga kerja yang akan menugaskan kakitangan di lapangan untuk baik pulih perkhidmatan.

S: Bagaimana Tan Sri membayangkan TM menjelang 2020.

J: Pada 2020 TM akan cukup berbeza dengan yang sebelum ini. Kami bergerak ke arah digital dan menyokong gaya hidup masa kini pengguna.

Kami akan berdepan pelbagai dugaan. Kami melihat perubahan gaya hidup pengguna yang mana apabila mereka membeli peranti mudah alih, keutamaannya adalah untuk menikmati perkhidmatan terbaik. Mereka mahukan pengalaman merasai perkhidmatan terbabit sebelum memilikinya.

Seperti mana ketika kita berada di kedai Apple, maka kami melihat untuk menggunakan sistem yang sama menerusi pembangunan perkhidmatan dalam talian menyelaraskan kandungan sama seperti di cawangan TM.

Cawangan TM akan berfungsi sebagai pusat mengenali produk kami.

Bahagian kandungan juga berbeza. Ini berdasarkan corak perubahan pengguna menggunakan kandungan.

Sebelum ini pengguna hanya menonton televisyen dengan siaran yang sudah ditetapkan, kemudian industri bergerak maju dan muncul perkhidmatan seperti HyppTV memberikan kebebasan kepada pengguna untok menonton.

Pada masa depan mungkin ia terserah sepenuhnya kepada penonton, sama ada bila dan di mana mereka ingin menontonnya, kandungan yang ingin ditonton dan peranti apa yang mereka ingin gunakan. Baru-baru ini kami memeterai perjanjian dengan IFLIX sejajar perubahan gaya hidup pelanggan kami. Ia akan memainkan peranan besar dalam kehidupan pengguna, seperti dalam industri media.

S: Berdasarkan pandangan Tan Sri, bagaimana corak pertumbuhan pendapatan TM menjelang 2020 dan apakah penyumbangnya.

J: Pertama sekali menjelang 2020 semuanya akan dipacu internet protokol (IP) bagi menyediakan perkhidmatan menyeluruh menggunakan teknologi IP.

Maka, semuanya akan berasaskan kepada penggunaan aplikasi. Aplikasi akan menguasai segenap kehidupan pengguna sama ada untuk perniagaan, menggunakan kandungan, berhubung dan sebagainya.

S: Bagaimana TM menilai persaingan sengit dalam industri masa kini.

J: Persaingan ini biasa dalam industri. Bagus kita meningkatkan daya saing. Kerana akhirnya pasaran yang akan menentukannya.

Tambahan pula TM turut terbabit dalam menyediakan jualan borong untuk perkhidmatan kepada pesaing industri, supaya mereka turut dapat menyediakan perkhidmatan yang sama.

Mereka ada kekuatan mereka dan kami yakin kumpulan ada kekuatan tersendiri.

Cuma TM memiliki tanggung jawab lebih besar berbanding mereka. Kami berpandukan kepada tanggung jawab pembangunan nasional, mereka mungkin hanya berpandukan kepada perniagaan. Namun jika terdapat ruang untuk kami bersaing, maka kami akan memberikan saingan habis-habisan. Antaranya HyppTV seperti kandungan sukan.

S: Bagaimana sumbangan TM dalam sukan negara.

J: Kami memang menyokong bola sepak. Lebih memfokuskan kepada bola sepak berbanding sukan lain. Bagaimanapun kami ada Team Malaysia. Ia mewakili peminat sukan secara menyeluruh yang menyokong semua acara sukan. Kami percaya Team Malaysia ini mempunyai makna yang lebih mendalam berbanding sokongan hanya kepada satu sukan sahaja.

S: Ramai orang awam menganggap penyedia perkhidmatan mudah alih menggunakan perkhidmatan TM dan menyumbang kepada pendapatan TM kerana TM mendominasi penyediaan infrastruktur.

J: Betul tapi perlu diingatkan TM mempunyai tanggung jawab membayar kos pembangunan infrastrukturnya. Oleh itu, ia memerlukan pelaburan mega. Tanggung jawab ini semuanya akan kembali kepada kami. Walaupun sebenarnya peserta telekomunikasi lain mempunyai lebih banyak lesen untuk mudah alih, tapi masih terpulang kepada mereka untuk menawarkan perkhidmatan menggunakan talian tetap. Tugas kami hanya menyediakan perkhidmatan kepada mereka kerana untuk membangunkan infrastruktur seluruh negara memerlukan pelaburan besar dan masa panjang. Kami sudah memiliki infrastruktur dan kabel, maka ia lebih ekonomi untuk mereka menggunakan perkhidmatan TM.

S: Komuniti Ekonomi AASEAN (AEC) akan bermula tidak lama lagi, justeru bagaimana kedudukan TM dalam cabaran serantau.

J: Saya melihatnya daripada perspektif yang berbeza. Hari ini kami menyediakan perkhidmatan sambungan ke negara Asean. Kita ada rakan niaga seperti kami di negara masing-masing. Kerjasama ini akan terus menggalakkan lagi kerjasama antara pasaran Asia. Kami ingin bergerak lebih laju ke depan. Menerusi ACASIA, sebuah syarikat yang ditubuhkan hasil pakatan peserta telekomunikasi ASEAN membolehkan pelaksanaan kerjasama antara negara terbabit. Sehingga ini ACASIA sudah disertai oleh tujuh rakan niaga termasuk iaitu Kemboja, Vietnam, dan Brunei. ACASIA berpangkalan di bangunan TM ini. Syarikat ini ditubuhkan pada 1995, dan ketika itu saya masih bekerja sebagai pengurus muda. Kini ACASIA berada dalam kedudukan yang sangat tepat, disebabkan pelaksanaan AEC dan pasaran terbuka. Tujuannya adalah untuk mewujudkan infrastruktur cekap kos kepada pelanggan di negara yang menyertainya bagi melaksanakan perniagaan.

S: Adakah TM akan mengekalkan kekuatan pekerja sedia ada atau merancang menambah atau mengurangkannya.

J: Kami tidak menjadikan cabaran semasa sebagai alasan ini untuk mengurang atau menambah jumlah pekerja kami, tapi kami melihat keperluan untuk melonjakkan produktiviti. Menerusi permintaan supaya had bersara dinaikkan kepada 60 berbanding 55 tahun memang memberi kesan kepada operasi keseluruhan TM. Dulu kita ada proses semula jadi untuk menggantikan pekerja menjelang tempoh tamat perkhidmatan apabila jumlah pekerja bersara sekitar 800 sehingga 1,000 pekerja. Maka, kita laksanakan program MESRA, bergantung kepada jumlah tahun yang masih tinggal. Bagi yang kekal kita minta mereka tingkatkan produktiviti. Pusingan pertama membabitkan 900 pekerja dan kini kita akan laksanakan pusingan kedua. Kumpulan akan terus mendengar permintaan mereka. Kami dapati proses ini sangat selari dengan peralihan kumpulan kepada proses pendigitalan yang bakal selesai dalam tempoh setahun dua lagi. Menjelang tempoh itu kami yakin generasi baharu akan dapat menggantikan kedudukan yang (kakitangan) yang pencen. TM mungkin akan ambil pekerja tapi bukan jumlah yang sama dan mereka yang akan diambil adalah individu memiliki set kemahiran diperlukan dalam teknologi pada masa depan.

S: Apa yang menyebabkan Tan Sri terus bekerja keras dan berada di TM sepanjang masa ini selepas hampir 10 tahun.

J: Kerana tujuan yang lebih besar. Saya berada di TM selama lapan tahun sebelum menyertai syarikat multinasional. Saya membesar di sini dan 1997 saya tinggalkan syarikat ini ke peringkat antarabangsa. Pada 2005 saya kembali, 2008 saya ambil alih jawatan ini dan ia memulakan pusingan kedua di sini sehingga kini selama 10 tahun. Perkara yang buatkan saya terus bekerja keras adalah dengan melihat bagaimana kita bangunkan diri kita sendiri dalam keadaan syarikat. Bagaimana, satu ketika dulu kita bekerja di syarikat ini dan mengubahnya sehingga memberikan manfaat kepada pekerjanya yang bekerja keras untuk syarikat. Paling penting adalah membangunkan syarikat yang memberikan impak kepada seluruh rakyat Malaysia. Memang saya faham ada pengguna yang masih tidak berpuas hati dengan perkhidmatan kami, tapi secara keseluruhannya ia menunjukkan bagaimana kehadiran TM memberi kesan kepada kehidupan pengguna dan mengubah kehidupan rakyat Malaysia. Saya mengkaji kenapa TM sering mendapatkan tumpuan lebih syarikat telekomunikasi lain, kalau silap sikit terus kena teguran besar-besaran. Kami menyimpulkan, ia berlaku kerana kedudukan kami yang sangat penting dalam kehidupan rakyat Malaysia. Kami berfikiran kalau kami berjaya membuat yang lebih baik, ia akan membawa perubahan besar dalam kehidupan rakyat di Malaysia. Ini memberikan semangat kepada kakitangan. Harapan mereka (rakyat) terhadap kami terlalu tinggi.

S: Tan Sri dikenali dengan jolokan pakar transformasi berdasarkan kejayaan dalam syarikat ini. Apa komen Tan Sri. A: Fokus tidak harus diberikan kepada transformasi itu sendiri. Transformasi adalah produk sampingan yang terhasil daripada tujuan yang lebih besar. S: Adakah Tan Sri gembira dengan kedudukan TM sekarang.

J: Saya sangat bersyukur, ia lebih daripada apa yang saya impikan dan minta selama ini. Saya dikurniakan pasukan yang hebat di TM. Saya membesar di TM, maka saya dapat melihat perbezaannya. Saya percaya kepada pembangunan kepimpinan. Ia bukan sekadar keupayaan teknikal. Ia adalah hasil 25,600 pekerja yang menjayakan program transformasi TM. Sebelum pengasingan kakitangan TM lebih 30,000. Ia antara isu besar ketika itu.

S: Dari segi hartanah, adakah TM masih ada jumlah kawasan yang besar.

J: Pemilikan kawasan tanah kami ada dua jenis satu dimiliki bawah TM, dan satu lagi FLC. FLC yang kita tak guna kita pulangkan balik untuk kurangkan sewaan. Yang kami miliki sendiri pula akan dibangunkan secara bersama atau kita jual semula. Maka kami menstruktur aset dengan ketat supaya kumpulan memiliki aset yang berguna dan menjana sumbangan pendapatan sahaja.

S: Bagaimana sumbangan TM kepada agenda Bumiputera.

J: TM memang terkenal dalam agenda Bumiputera. Kita ada program pembangunan vendor yang menyeluruh. Tujuan kami adalah untuk membangunkan rakan niaga strategik bukannya hanya pengedaran. Untuk mencapainya memerlukan satu lagi transformasi bagi mewujudkan penyatupaduan. Perkara pertama kami lakukan dengan menukar panggilan kontraktor kepada rakan niaga. Masukkan mereka dalam ekosistem TM. Apabila kita anjurkan program 'teaming with passion' mereka akan diletakkan sebahagian daripada TM. Jadi bila mereka jumpa pelanggan, mereka akan bawa bendera TM bukan sekadar berharap kepada transaksi. Masalahnya dengan program vendor ini, apabila hampir semua enggan graduasi dan keluar daripada kepompong ke pasaran luar. Kita seharusnya membantu sehingga dia boleh bersaing dalam pasaran terbuka. Hanya sebilangan mereka yang berjaya dan tak memerlukan kami lagi. Mereka dapat bersaing di pasaran terbuka dan global.

S: Sebagai Pengerusi Program Transformation GLC (GLCT), boleh TM kongsi perancangan TM kepada program ini kelak.

J: Sebelum ini GLCT adalah program berstruktur dilaksanakan di bawah PCG dan ia meletakkan TM pada kedudukan memantau. Namun kini untuk bergerak ke depan, kita perlu menjadikannya lebih bebas dan tidak berstruktur, seperti sebuah kelab macam yang diumumkan tempoh hari. Mungkin model perolehan, kepimpinan dan model berkaitan lain akan tetap dilaksanakan. Kita juga mahu tengok persamaan dalam kecenderungan semua peserta dan bagaimana kita boleh pertingkatkan ia kepada sebuah program. Struktur kelab juga akan lebih kepada terbuka bukan hanya kepada GLC sahaja, tetapi juga bukan GLC dan syarikat swsata kalau mereka ingin sertainya. Mungkin kita boleh jemput Petronas masuk. Mereka juga ada program yang mungkin boleh diterapkan dalam program ini. PROTON juga bukan GLC, namun menerusi kelab ini mereka pun boleh menyertainya, malah kalau syarikat swasta yang berminat turut dibenarkan. Kami masih belum merangka struktur kerana sebolehnya saya cuba mengurangkan kepentingan struktur ini. Menerusi program 10 tahun yang lalu dan struktur GLCT sebelum ini, kita sudah dapat idea bernas apa yang boleh kita lakukan kalau bergabung kekuatan.

S: Adakah dari dulu Tan Sri memang berminat untuk menjadi jurutera.

J: Masa dulu biasiswa bukan kita pilih pun, kalau masa sekolah rendah, mana nak tahu cabang mana yang minat sama ada doktor, peguam dan jurutera. Ia ditentukan berdasarkan keperluan negara untuk memiliki lebih ramai jurutera membangunkan agenda nasional kini.

S: Jika diimbau kembali, apakah saat paling mencabar Tan Sri dalam TM.

J: Rasanya paling mencabar ketika saya ambil alih jawatan Ketua Pegawai Eksekutif pada 2008. Kerana seperti yang selalu cakap saya adalah 'Accidental CEO' (Bidan Terjun). Saya rasa saya dipilih sebab tiada orang lain yang boleh dilantik dan mereka letak saya di sini. Keadaan masa itu pendapatan kami 70 peratus disumbangkan panggilan tetap, yang mana ia mencatatkan penurunan 20 peratus. Era jalur lebar belum bermula sepenuhnya, ditambah lagi HSBB yang diamanahkan kepada saya untuk dilaksanakan. Saya kena bertemu menteri dan perniagaan waktu itu saya tiada sesiapa yang boleh saya kongsi. Maka, saya kena tunjukkan muka berani. Kalau saya panik apa akan terjadi dengan 25,600 kakitangan TM ketika itu. Secara peribadi ia waktu yang paling sukar untuk saya. Saya perlu ubah keadaan syarikat. Budaya TM juga memerlukan perubahan. Semua berlaku serentak. Kerana itu ia sangat mencabar. Takkan lah, kita dah bidan terjun, takkan kita nak tinggalkan syarikat ini. Kita kena cari jalan bangkitkan kembali syarikat. Saya hampir tak rasa pun masa berlalu dengan cabaran kerana setiap hari kita berdepan cabaran baharu. Sedar tak sedar sudah tujuh tahun saya berjaya harungi tempoh transformasi syarikat dan kini semuanya akan bermula kembali kerana kita sampai pada titik transformasi kedua TM.

S: Pengalaman Tan Sri sangat bermakna bagi bagi usahawan yang sedang berhadapan dengan cabaran. Adakah Tan Sri menganggapnya sebagai sesuatu yang boleh dibanggakan dan diteladani.

J: Negara kita masih ramai usahawan yang berjaya. Pastinya media pernah menemui mereka. Bagi TM kami masih bermula dan masih jauh perjalanan untuk menjayakan lantunan transformasi kedua.

Melayu 
tolehlah sejarah, Isu-Isu Akhbar Cina

2016 TAHUN 
KEPAHITAN RAKYAT?

SITUASI ekonomi Malaysia yang dikatakan genting ketika ini telah memaksa ramai rakyat tempatan memilih untuk berhijrah mencari rezeki di Singapura antara isu yang dikupas dalam artikel di akhbar Sinchew Daily News bertarikh 19 Disember 2015.

Artikel bertajuk ‘Langkah selamatkan ekonomi tahun 2016’ ditulis Lim Sue Guan dalam ruangan Sudut Pendapat halaman 33 akhbar itu menyebut ketidakstabilan politik, pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan penyusutan nilai mata wang ringgit antara punca ekonomi genting.


KERATAN akhbar Sinchew Daily News bertarikh 19 Disember 2015.

Buat pertama kali dalam sejarah, kesesakan teruk di laluan Tambak Johor menghala ke Singapura melalui Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar minggu lepas adalah terjemahan kepada apa yang diperkatakan penulis.

Malah, kesesakan luar biasa membabitkan laluan masuk dan keluar Singapura telah memaksa rakyat tempatan yang bekerja di republik itu berjalan sejauh kira-kira tiga kilometer dari Tambak Johor ke CIQ Woodlands demi mencari rezeki lebih.

Difahamkan, kesesakan itu berlaku berikutan tindakan pihak berkuasa Singapura memperketatkan kawalan keselamatan dengan menjalankan pemeriksaan rapi ke atas setiap kenderaan yang memasuki republik berkenaan berikutan serangan yang berlaku di Paris, Perancis bulan lepas.

Kemajuan ekonomi Singapura dengan nilai mata wangnya melepasi tiga kali ganda ringgit Malaysia kini menarik lebih ramai rakyat tempatan beralih arah mencari rezeki di republik berkenaan.

Biarpun gaji tinggi dua kali ganda, kepahitan hidup tetap berlaku apabila pendapatan masih tidak mencukupi ekoran kos sara hidup meningkat disebabkan GST, pemansuhan subsidi serta kejatuhan ringgit Malaysia. Seolah-olahnya gaji yang dapat tidak berbaloi dengan kepayahan dilalui.

Pada hemat penulis, perubahan politik yang tidak tercapai, sikap penting diri pemimpin politik mahu memperkukuhkan kedudukan serta kegagalan membendung rasuah dan penyelewengan kuasa, menyumbang kepada ketegangan ekonomi sehingga menjejaskan kehidupan rakyat.

Dijangka tekanan kepahitan ekonomi tahun depan lebih dahsyat apabila harga minyak dunia jatuh selain kenaikan faedah dikenakan kerajaan Amerika Syarikat. Hal ini berkemungkinan akan mendorong kerajaan untuk merombak semula bajet kewangan 2016.

PULIHKAN IMEJ POLIS

Akhbar Nanyang Siangpau bertarikh 19 Disember 2015 menyiarkan artikel yang menekankan kepentingan kerajaan meningkatkan tahap keselamatan bagi memastikan ekonomi negara tidak terjejas.

Artikel bertajuk ‘Imej polis memberi kesan yang mendalam’ itu disiarkan dalam ruangan Pendapat halaman B11 akhbar berkenaan.

Isu keselamatan dan ekonomi saling berkaitan, dan contoh dapat dilihat banyak kes kecurian dan rompakan melibatkan kematian berlaku selepas ekonomi dunia meleset pada 2008. Dalam konteks sekarang, pelaksanaan GST juga telah memberi kesan kepada kehidupan rakyat.

Kes-kes jenayah yang semakin meningkat dikaitkan dengan desakan hidup, justeru keperluan masyarakat mengutamakan keselamatan, dan tentunya melibatkan peranan polis, maka penting bagi pihak berkuasa itu untuk memberi imej yang lebih berkesan.

Rasuah yang seringkali dikaitkan dengan polis sepatutnya ditangani bagi memulihkan imej pihak berkuasa itu untuk meningkatkan keyakinan rakyat mahupun para pelabur asing.

Laporan audit 2012 yang didedahkan Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang menyatakan rasuah kalangan pihak berkuasa di negara ini bukan lagi satu andaian apabila peralatan dan kelengkapan polis bernilai RM1.3 juta telah hilang, dan ini termasuk 156 gari, 44 senjata api dan 29 buah kenderaan.

Data tersebut secara tidak langsung mencalar imej pasukan keselamatan, dan disebabkan stigma ‘polis itu rasuah’, maka ramai orang Cina tidak berminat menyertai polis sedangkan negara masih kekurangan anggota polis iaitu dengan hanya memiliki kekuatan 12,000 orang.

Dalam perkembangan lain, tindakan kerajaan membekukan pengambilan anggota polis baharu memburukkan lagi keadaan, justeru bagaimana rakyat boleh tenteram hati jika mengetahui tahap keselamatan mereka pada masa depan tergugat, lebih-lebih lagi dengan lambakan pekerja dan pendatang asing ke negara ini. - Utusan Malaysia Rencana 24 Disember 2015 6:00 PM


Melayu 
tolehlah sejarah

SESEKALI kena toleh sejarah. Tidak ada ruginya. Untungnya lagi besar untuk pengajaran masa depan.

Orang Melayu harus ambil iktibar kejatuhan Empayar Uthmaniyyah yang dianggap sebuah kerajaan hebat yang tidak mungkin ditewaskan suatu ketika dahulu.

Kekalahan kerajaan Uthmaniyyah dalam Perang Lepanto pada 7 Oktober 1571 telah menaikkan moral tentera Kristian sehingga kerajaan Islam itu terus mengalami kekalahan sebelum runtuh pada 1919.

Kesedaran adalah suatu perkara yang lazimnya tidak akan berlaku. Melainkan setelah berlaku suatu peristiwa yang mencengkam perasaan dan jiwa seseorang. Apabila berlaku kematian atau musibah yang amat mengejutkan, maka kebiasaannya akan wujud kesedaran yang akhirnya membawa perubahan.

Demikianlah lumrah hidup ini yang mempunyai cara semula jadi dalam memperbetulkan sesuatu keadaan, bangsa mahupun individu.

Selepas pilihan raya umum 2013, sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan sokongan rakyat negara ini terhadap politik perkauman semakin luntur.

Akhbar berkenaan melaporkan dapatan satu forum yang memetik beberapa orang pensyarah dari sebuah universiti menyatakan ketuanan Melayu sudah mulai ditolak khalayak. Pada masa sama, kumpulan pensyarah itu turut mendakwa berlaku ‘tsunami Cina’. Akhbar itu memetik satu kertas kerja ‘Multiracial Tsunami’ yang mengatakan ‘Ketuanan Melayu’ yang nyawa-nyawa ikan hanya dilanjutkan kerana orang Melayu takut hilang kuasa politik.

Menurut kertas kerja itu, hanya tinggal puak konservatif dalam parti pemerintah yang masih cuba mempertahankan ‘Ketuanan Melayu’.

Kita tidak boleh menolak fakta. Memang benar ‘tsunami Cina’ pada pilihan raya umum lalu berjaya mengukuhkan kedudukan pakatan pembangkang di negeri-negeri masyarakat majmuk yang diperintah mereka. Di Selangor dan Pulau Pinang, Barisan Nasional menyusut prestasinya pada 2013 berbanding 2008.

Tsunami Cina sebenarnya berjaya memenangkan beberapa orang calon Melayu baharu Pas dan PKR di kerusi campur serta membantu calon-calon Melayu yang lain mempertahankan kerusi mereka.

Misalnya Rafizi Ramli (PKR) menang di kawasan 48.2% pemilih Cina di Pandan, Selangor; Mohd. Idris Jusi (PKR) di kawasan 45.7% pemilih Cina di Batu Pahat, Johor; dan Shamsul Iskandar Akin (PKR) di kawasan 40.8% pemilih Cina di Bukit Katil, Melaka.

Calon PKR, Mansor Othman pula menang kerusi Nibong Tebal (37.3% Cina) di Pulau Pinang, dan calon-calon Pas Che Rosli Che Mat dan Mohd. Hanipa Maidin masing-masing menang di Hulu Langat (34.3% Cina) dan Sepang (34.0% Cina), Selangor.

Calon-calon PKR yang memenangi kerusi yang mempunyai lebih satu pertiga pemilih Cina, Mohd. Imran Hamid di Lumut, Kamarul Baharin Abbas di Telok Kemang, Zuraida Kamaruddin di Ampang dan Fuziah Salleh di Kuantan.

Calon Pas Dr. Siti Mariah Mahmud menang di kerusi Kota Raja, Selangor yang mempunyai 45.4% calon bukan Melayu.

Mahu tidak mahu, orang Pas kena akui parti itu lebih berjaya di kawasan yang mempunyai sejumlah besar pemilih Cina di kerusi-kerusi campur. Cuma, mereka tidak mampu menang di kawasan Melayu pekat di negeri-negeri Pantai Barat.

Impak tsunami Cina menyerlahkan rekod DAP yang mencipta kesempurnaan di negeri-negeri ‘Chinese belt’.

Di kerusi-kerusi DUN Pulau Pinang, DAP bertanding 19 kerusi, menang 19. Di Perak, mereka bertanding 18 kerusi, menang 18.

Di Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang, DAP sapu bersih kesemua kerusi DUN yang ditandingi. Di Selangor (15/15), Negeri Sembilan (11/11) dan Pahang (7/7).

Di kerusi-kerusi DUN Johor, DAP bertanding 14 kerusi, menang 13. Kesemua 13 calonnya tidak ada seorang pun Melayu menang di Johor. Yang kalah hanya seorang calon DAP keturunan India.

Dalam kalangan 19 ADUN DAP di Pulau Pinang, tidak ada seorang yang Melayu. Perak, Selangor dan Negeri Sembilan begitu juga, tiada Melayu.

Cuma dalam kalangan tujuh ADUN DAP di Pahang, barulah ada seorang Melayu dari kerabat diraja. Tsunami Cina telah menambahkan jumlah bilangan perwakilan pakatan di DUN daripada 196 kerusi kesemuanya pada 2008 kepada 229 kerusi pada 2013.

DAP terbukti parti pembangkang paling berkuasa sekali.

Bertitik-tolak daripada sepotong ayat daripada Surah Ar-Raad (Q13:11), bahawasanya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum hingga kaum tersebut mengubah apa yang ada di dalam mereka.

Bangsa Melayu sekarang tidak sama dengan bangsa Melayu 50 tahun yang dulu. Jika disandarkan kepada ayat al-Quran tadi, maka dapat dirumuskan, pencapaian bangsa Melayu hari ini adalah hasil daripada iltizam generasi bangsa Melayu terdahulu yang telah sanggup berkorban, bekerja keras dan mengubah apa yang ada dalam diri mereka.

Ini sehinggakan Melayu hari ini mampu berdiri sama tinggi dengan bangsa Cina dan India dengan bangganya seraya berkata, hidup anak-anak bangsa ini telah berubah.

Tetapi adakah kita akan alpa dengan segala pencapaian hari ini atau perlukah Melayu sedar bahawasanya apa saja yang dicapai hari ini, boleh lenyap dengan sekelip mata? Jika bangsa Melayu leka dan tidak kenal mana satu kawan dan mana satu lawan maka akhirnya bangsa Melayu akan memusnahkan nasib bangsa hasil perbuatan tangan-tangan mereka sendiri.

Politik bangsa Melayu kini berada di persimpangan. Lipatan sejarah berulang-ulang kali cuba memberi pelajaran kepada bangsa Melayu bahawa jika mereka tidak bangun, sedar dan berubah maka sentiasa nasib bangsa ini akan menjadi seperti mana tercatat dalam sejarah bangsa Melayu. Dan lipatan sejarah ini tidak pernah sekalipun tersilap.

Orang-orang Melayu mesti ambil iktibar daripada sejarah bahawa persengketaan di antara bangsa Melayu yang menyebabkan Portugis, Belanda dan British menjajah Tanah Melayu.

Jangan kerana idealisme politik romantika yang berasaskan fitnah dan kebencian dijadikan asas, maka segala bakti dan budi parti sedia ada yang telah banyak membantu ramai orang-orang Melayu untuk bangun dan berjaya dalam hidup - dipersiakan sebegitu sahaja. - Zulkifli Jalil Utusan Malaysia Rencana 24 Disember 2015 6:06 PM

Kemasyuhran Mersing, Daerah penuh sejarah

Daerah penuh sejarah

TIDAK
keterlaluan jika dikatakan Mersing, sebuah daerah yang masyhur kerana kisah Sri Mersing. Filem yang masih lagi segar dimainkan di kaca televsiyen sehingga sekarang. Kisah percintaan terhalang antara dua insan yang bernama Sri Mersing dan Damak.

Namun, bukan itu sahaja yang menjadikan Mersing, sebuah tempat yang terkenal. Banyak kisah-kisah menarik yang perlu dibongkar dengan lebih mendalam kerana daerah ini menyimpan seribu satu rahsia.

Kunjungan penulis ke Mersing baru-baru ini untuk menyingkap rahsia di sebalik kemasyhuran Mersing mendapati daerah ini sememangnya unik. Dari sejarah namanya, pulau-pulau indah dan pantai Air Papan, pencerobohan tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua serta kisah-kisah mistik membuatkan penulis mahu sahaja tinggal lebih lama di daerah ini.


SUASANA di tepi pantai Mersing pada 1923 yang sibuk dengan aktiviti nelayan menggunakan perahu payang. MAJLIS DAERAH MERSING

Kehidupan penduduk tempatan di sini agak tenang. Industri pelancongan dan perusahaan memproses makanan laut serta restoran makanan laut menjadi aktiviti yang menjana pendapatan penduduk.

Menurut Penghulu Kanan Mersing, Hafnee Md. Noor, nama Mersing dipercayai berasal dari nama seorang lelaki berketurunan Punjabi bernama Amir Singh atau Men Singh. Lelaki ini merupakan banduan dari Pahang.

“Ketika pengawal terleka, Amir Singh berjaya meloloskan diri dengan terjun ke dalam sungai di suatu kawasan yang dipercayai Mersing pada hari ini. Ketika operasi memburu, pengawal telah menemui cebisan baju lelaki itu di dalam sungai.

“Sehingga hari ini, sungai itu diberi nama Sungai Lengan Baju ekoran peristiwa itu. Ketika diburu, seorang rakan Amir Singh pula ditembak sehingga menyebabkan darah masuk ke dalam sebuah sungai lain pula. Oleh itu, dapatlah nama sungai itu, Sungai Air Merah,” katanya.

Sementara nama Mersing pula katanya, dipercayai diambil sempena nama Amir Singh berikutan peristiwa besar itu.

Beliau berkata, pelbagai peristiwa berlaku di Mersing suatu ketika dahulu sehingga menyebabkan nama kawasan di sekitarnya diberi nama bersempena dengan kejadian-kejadian yang berlaku.

Sebagai contoh, kawasan Mukim Tenglu mendapat namanya hasil kisah persahabatan yang erat antara pemuda Melayu dan Cina yang masing-masing bernama Abul dan Lam Seng yang mengusahakan tanaman getah di situ.

“Apabila Abul sudah tidak mampu lagi mengusahakan tanaman itu, dia mengambil keputusan untuk meninggalkan kawasan itu lalu berkata kepada Lam Seng, ‘tinggallah lu’. Maka dari situ kawasan itu dinamakan Tenglu,” katanya.

Katanya, Mersing merupakan sebuah daerah yang padat dengan kisah-kisah sejarah termasuklah kisah dari filem Sri Mersing yang sering menjadi sebutan ramai. Malah, daerah ini juga menjadi lirik lagu Sri Mersing dendangan Biduanita Negara, Allahyarhamah Datuk Sharifah Aini.

Menyentuh mengenai penduduk pula, Hafnee berkata, kebanyakan masyarakat Melayu di Mersing berasal dari Terengganu dan Kelantan apabila nenek moyang mereka berhijrah ke situ suatu ketika dahulu.

Beliau berkata, dahulu sebahagian besar mereka merupakan nelayan yang menjalankan aktiviti menangkap ikan sehingga ke pesisir pantai Johor dan menetap di Mersing, selain berkahwin dan membina keluarga di situ.

Oleh kerana itu, tidak hairan apabila masyarakat Melayu di Mersing sehingga kini masih bertutur seakan-akan loghat Terengganu, malah makanan tradisi dari negeri Pantai Timur seperti nasi dagang, keropok lekor, sata dan kuih bakar boleh ditemui secara meluas di Mersing.

Sementara perusahaan makanan laut terutama keropok lekor menjadi perniagaan utama bagi penduduk di sekitar bandar Mersing sehingga ramai pelancong merasakan wajib bagi mendapatkan produk-produk itu apabila berkunjung ke situ.

Selain orang Terengganu, Mersing juga suatu masa dahulu menjadi tumpuan pedagang permata dari Timur Tengah yang datang ke situ untuk berniaga. Akhirnya mereka tidak lagi mahu pulang ke negara asal dan berkahwin dengan orang tempatan di Mersing.

Kedatangan pedagang Arab itu boleh dikaitkan dengan kisah seorang wanita berketurunan Arab bernama Sharifah Manik yang dikenali kerana kecantikannya. Sharifah Manik yang tinggal bersama suaminya di Kampung Makam, Mersing dianggap seperti orang ternama di kampung itu.

Apabila dia meninggal dunia, orang kampung telah memakamkannya di sebuah kawasan yang pada hari ini terletak di tepi jalan raya di kampung itu.


Kemasyuhran Mersing

LANTUNAN lagu Melayu nyanyian Biduanita Negara Allahyarhamah Datuk Sharifah Aini bertajuk Sri Mersing membuai fikiran tentang daerah yang terletak di Timur Laut negeri Johor ini.


PULAU Batu Cawan yang menjadi mercu semulajadi Mersing.

Bukan sahaja lagu, Sri Mersing juga merupakan sebuah filem yang menampilkan pelakon legenda Nordin Ahmad, Roseyatimah, Mustafa Maarof dan Rosnani Jamil berlatarbelakangkan suasana perkampungan Melayu dahulu kala di Mersing.

Malah, Sri Mersing juga seringkali menjadi tajuk yang digarapkan di pentas teater sehingga ke hari ini.

Tidak hairanlah Mersing menjadi tempat yang tersohor dengan keindahan pantai dan kehidupan berlatarbelakangkan nelayan itu sejak berdekad lamanya.

Mersing menyimpan seribu satu kisah sejarah dan khazanah alam yang tidak ternilai harganya. Selain memiliki antara hutan simpan tertua di dunia, Mersing juga menjadi destinasi pelancongan yang terkenal dengan gugusan pulau-pulau unik yang mempunyai cerita tersendiri.

Sudah pasti yang paling terkenal adalah Pulau Tioman. Walaupun pulau itu terletak di dalam negeri Pahang, tetapi Mersing menjadi pusat persinggahan bagi pelancong dari dalam dan luar negara yang mahu ke pulau yang pernah diiktiraf sebagai pulau tercantik di dunia itu.

Pulau-pulau lain seperti Pulau Sibu, Pulau Tinggi, Pulau Aur dan Pulau Rawa juga tidak kurang tarikannya kerana sering mendapat perhatian pelancong. Namun ada juga pulau-pulau yang tidak pernah diketahui tetapi wujud di sekitar gugusan pulau-pulau di perairan Mersing.

Yang paling unik dan menarik tentu sahaja Pulau Batu Cawan. Terletak hanya beberapa ratus meter dari pantai peranginan di bandar Mersing, pulau batuan kecil itu boleh dianggap sebagai mercu tanda semula jadi Mersing.

Di sebalik kemasyhuran pulau-pulaunya, nama Mersing turut terpahat di dalam sejarah Perang Dunia Kedua apabila menjadi kawasan kemaraan ketumbukan tentera Jepun ke Singapura pada 1941.

Sejarah hitam turut terpalit apabila tentera Jepun bertindak membakar bandar Mersing selain memusnahkan jalan raya dan jambatan yang dibina pihak British. Pusat pentadbiran Jepun ketika itu pula kini dijadikan bangunan Majlis Daerah Mersing.

Ikuti perjalanan wartawan S2, FAIZAH IZZANI ZAKARIA yang mengunjungi Mersing baru-baru ini bagi menyingkap sejarah kewujudan kawasan itu dan kisah-kisah di sebalik kemasyhurannya.

Sri Mersing lagulah Melayu

Dikaranglah oleh biduan dahulu

Hatiku runsing bertambahlah pilu

Mengenangkan nasib yatimlah piatu

Pantai Mersing kualalah Johor

Pantainya bersih sangatlah masyhur

Pohonkan doa kitalah bersyukur

Negaralah kita hai aman dan makmur

Pinjam pinggan mangkuk bunian, Bunian dan misteri 
hantu gigi jarang

Bunian dan misteri 
hantu gigi jarang

PELBAGAI kisah yang penulis dengar mengenai kawasan sekitar Gunung Arong dan hutan simpan di sekitar jalan Mersing-Endau ketika berkunjung ke Mersing baru-baru ini. Antaranya cerita-cerita mistik dan menyeramkan tatkala melalui jalan raya.

Kisah yang sering didengar apabila ada yang menceritakan terserempak kelibat sekumpulan manusia berpakaian serba putih berjalan di tepi jalan, sementara suasana ketika itu diterangi cahaya dari arah hadapan ketika memandu. Malah ada yang mendakwa pernah ternampak sekumpulan orang sedang mengusung keranda di tepi jalan raya pada waktu malam.

Ada juga cerita di mana penduduk tempatan mengalami kejadian seram apabila terlihat bola api melalui di atas kepala ketika dalam perjalanan pulang dari Endau ke Mersing pada waktu tengah malam.

Jadi, penulis mengambil kesempatan bertanya kepada penduduk tempatan Mersing, Jamil Abu Bakar atau Pak Jamil mengenai kebenaran kisah mistik di kawasan itu.

Kata Pak Jamil, memang kawasan itu dihuni oleh orang bunian. Katanya, terdapat perkampungan bunian di situ maka tidak hairan ada pemandu terserempak dengan orang bunian ketika melalui kawasan itu terutama pada waktu malam.

“Itu memang kawasan ‘dia’. Bukan di situ sahaja, di sekitar Gunung Arong juga diketahui memang kawasan ‘mereka’,” katanya.

Lain pula kisahnya dengan big foot atau hantu gigi jarang yang dikatakan dilihat di hutan sekitar Johor. Ini kerana tidak lama dahulu, satu negara kecoh apabila ada individu mendakwa ternampak kelibat ‘big foot’ di kawasan hutan simpan itu.


PEMANDANGAN sebahagian bandar Mersing kini.

Lantas, penulis bertanyakan kisah yang pernah menggemparkan Malaysia ketika itu. Kata Jamil, memang big foot atau dipanggil ‘hantu gigi jarang’ oleh orang tempatan wujud di situ.

Katanya, arwah datuknya pernah menceritakan, hantu gigi jarang itu dikatakan merupakan manusia yang menjelma menjadi lembaga tinggi dan besar serta menghuni kawasan hutan di sekitar hutan simpan Mersing-Endau.

Menurut Jamil, sehingga sekarang manusia jelmaan itu dikatakan masih lagi wujud dan menurut cerita datuknya lagi, jika seseorang mengetahui nama manusia jelmaan itu lalu memanggilnya di kawasan itu, dia akan memperlihatkan dirinya.

Bagaimanapun, kesahihan wujudnya big foot masih lagi diperdebatkan oleh pelbagai pihak di seluruh dunia. Ada yang tampil dengan pelbagai teori mengenai kewujudan makhluk itu.


Pinjam pinggan mangkuk bunian

PULAU Batu Cawan sememangnya sinonim dengan Mersing. Pulau kecil ini seolah-olah telah menjadi mercu tanda semula jadi bagi bandar itu sejak sekian lama kerana ia berbentuk sama seperti cawan yang mempunyai tangkai dan terletak di atas piring.



PULAU Batu Cawan menjadi mercu semula jadi bagi daerah Mersing.

Pulau yang hanya terdiri daripada batu-batuan itu terletak kira-kira 500 meter dari pantai Mersing. Menariknya, pulau yang luasnya lebih kurang sehektar itu menjadi tumpuan para kaki pancing kerana ia merupakan lubuk pelbagai jenis ikan.

Menurut anak jati Mersing, Jamil Abu Bakar, 63, kewujudan Pulau Batu Cawan di Mersing mempunyai kisah mistik. Kisah hampir sama dengan tradisi masyarakat Melayu dahulu kala yang sering meminjam peralatan kenduri-kendara daripada orang bunian.

Menurut cerita orang terdahulu, pulau tersebut menjadi tumpuan penduduk Mersing suatu masa dahulu untuk meminjam peralatan pinggan mangkuk daripada orang bunian yang menghuni pulau itu. Terdapat sebuah gua yang dijadikan tempat untuk menyimpan peralatan pinggan mangkuk di pulau itu.

Katanya yang mesra di panggil Pak Jamil, penduduk kampung yang mahu mengadakan kenduri-kendara akan meminjam peralatan itu dan kemudian akan memulangkannya dengan jumlah yang betul seperti yang dijanjikan walaupun ada yang pecah atau rosak.

“Namun suatu hari, pinggan mangkuk yang dipinjam tidak dipulangkan semula mengikut perjanjian. Akibat daripada penipuan manusia terbabit, pintu gua itu terus tertutup sehingga ke hari ini,” katanya.

Menceritakan mengenai kisah kawasan peranginan pantai Air Papan yang terkenal di Mersing pula, Jamil berkata, kawasan itu dinamakan sedemikian kerana terdapatnya sebuah air terjun kecil yang digunakan penduduk di situ untuk membasuh kain.

Katanya, kaum wanita kemudian mengambil sekeping papan untuk dijadikan pelapik ketika mahu membasuh baju di air terjun itu. Lama-kelamaan, tempat itu dipanggil sebagai Air Papan.

Jamil yang merupakan pesara kerajaan berkata, dia banyak mengetahui kisah-kisah lama di Mersing apabila sering bertanya kepada generasi terdahulu seperti datuk dan neneknya ketika dia masih kecil.

“Saya ini suka mengkaji sejarah di Mersing. Banyak perkara yang saya ketahui selepas bertanya kepada orang-orang tua ketika saya muda dulu,” katanya.

Penyabong, tempat persinggahan lanun, Kisah Pak Malau, Pulau Setindan Dibom tentera Jepun

Dibom tentera Jepun

MERSING turut tercatat di dalam sejarah Perang Dunia Kedua apabila ia menjadi tempat berlakunya pertempuran antara tentera Jepun dan tentera Australia pada Januari 1942.

Ekoran pertempuran itu, bandar Mersing dibom pada skala agak besar. Semasa kemaraan ketumbukan tentera Jepun, pihak British dengan bantuan Batalion Ke-20 Tentera Australia telah bersiap sedia di sekitar Mersing untuk mempertahankan kawasan itu.

Keadaan di Mersing ketika itu dilaporkan hujan lebat, menyebabkan air di Sungai Endau naik beberapa meter sehingga menghanyutkan baraj muatan yang ada di situ.



JAMBATAN besi sementara di Mersing dibina bagi menggantikan jambatan yang diletupkan tentera Jepun suatu ketika dahulu. MAJLIS DAERAH MERSING

Batalion Ke-20 dilengkapi dengan kereta perisai dan periuk api, selain meneruskan kawalan.

Menurut Diari Perang dan Arahan Rutin Batalion Ke-20 Tentera Australia, pada 22 Januari 1942 berlaku pengeboman besar-besaran di Mersing oleh pihak tentera Jepun. Kira-kira 200 tentera Jepun dilaporkan terbunuh.

Batalion Ke-18 Tentera Australia pula ketika itu bergerak ke Estet Nittsdale yang terletak di Jalan Mersing-Jemaluang. Namun pada 23 Januari 1942, dilaporkan jalan tersebut juga teruk dibom pihak Jepun.

Jambatan di bandar Mersing pula musnah akibat dibom sehingga jalan perhubungan terputus.

Pada 25 Januari, tentera Jepun meneruskan usaha untuk menawan sebahagian Mersing sementara Batalion 20 pula diarahkan untuk meninggalkan Mersing pada waktu malam dan berkubu di Jemaluang.

Pihak Jepun ketika itu turut menjadikan sebuah bangunan di bandar Mersing sebagai markas pertahanan mereka. Bangunan itu yang masih wujud hari ini dijadikan bangunan Majlis Daerah Mersing.



Kisah Pak Malau, Pulau Setindan

“Kajang Pak Malau, kajang berlipat, kajang hamba mengkuang layu, dagang Pak Malau dagang bertempat, dagang hamba musafir lalu”.

Sesiapa yang pernah menonton filem atau teater Sri Mersing pasti teringat akan ungkapan yang dilafazkan oleh Damak. Kisah Damak, seorang anak muda yang singgah di sebuah perkampungan lalu bertemu dengan anak gadis Pak Malau yang bernama Sri menjadi filem yang masih diingati sehingga ke hari ini.



PULAU Setindan yang terletak kira-kira satu kilometer dari Mersing boleh dilawati dengan hanya berjalan kaki ketika air laut surut.

Menurut penduduk tempatan, Jamil Abu Bakar, cerita percintaan terhalang antara Damak dan Sri itu sebenarnya diadaptasi dari kisah yang benar-benar terjadi di Mersing. Namun sehingga kini tiada bukti fizikal iaitu kubur mereka ditemui di sekitar Mersing.

“Betul wujud orang bernama Pak Malau. Menurut cerita orang-orang tua yang saya sendiri ‘jejaki’, Pak Malau telah lari daripada buruan British lalu menukar namanya. Dari kisah inilah telah dijadikan sebuah filem yang meruntun hati, Sri Mersing itu,” katanya.

Bercerita mengenai pengalamannya ketika kecil, Jamil berkata, dahulu, dia dan keluarga tinggal di sebuah kampung di Pulau Setindan yang terletak kira-kira satu kilometer dari bandar Mersing.

Katanya, sewaktu kecil, dia sering berjalan kaki berulang-alik dari Mersing ke pulau itu untuk ke sekolah. Bukan sesuatu yang menghairankan apabila menyebut orang Mersing berjalan kaki ke Pulau Setindan. Ini kerana air laut yang surut membolehkan sesiapa sahaja berjalan kaki untuk sampai ke situ.

“Itu kenangan saya ketika kecil. Sungguh seronok ketika itu kerana saya bermain bersama rakan-rakan lain sewaktu berjalan untuk pulang ke pulau itu. Tetapi kini sudah tiada rumah lagi di pulau itu kerana mereka telah berpindah ke Mersing,” katanya.

Kenangan sama turut diceritakan Mariam Arim, 60, yang pernah berjalan kaki ke pulau itu sewaktu zaman persekolahannya. Katanya, dia dan rakan-rakan sering berjalan sewaktu air laut surut dan sebelum air pasang semula, mereka akan berjalan semula pulang ke Mersing.

“Kami ke pulau itu untuk menikmati pemandangan pantai dan pulau. Di situ, ada sebuah perkampungan yang mengandungi 50 buah rumah,” katanya.

Sehingga hari ini, pulau itu masih boleh dilawati dengan hanya berjalan kaki apabila air laut surut.


Penyabong, tempat persinggahan lanun

KISAH
di Mersing juga berkait rapat dengan kewujudan sebuah perkampungan nelayan yang dinamakan Penyabong. Perkampungan ini terletak kira-kira 20 kilometer dari bandar Mersing dan lima kilometer dari pekan Endau.

Penyabong terkenal dengan pantai Pasir Lanun yang mempunyai kisah di sebalik namanya. Menurut cerita orang kampung, asal nama Penyabong timbul ketika kumpulan lanun di Laut China Selatan pada kurun ke-19 menjadikan kawasan di situ sebagai tempat persinggahan mereka.



PANTAI Pasir Lanun di Penyabong, Mersing pernah menjadi tumpuan lanun di Laut China Selatan suatu ketika dahulu.

Laut China Selatan ketika itu merupakan laluan yang sibuk dengan aktiviti perdagangan dari Pantai Timur ke Singapura serta dari China.

Maka lanun-lanun yang berada di sekitar laluan itu sering menjadikan pantai di sekitar Mersing sebagai tempat perlindungan dan mengatur strategi serangan ke atas kapal-kapal pedagang. Bagi mengisi masa lapang, kumpulan lanun itu sering mengadakan aktiviti sabung ayam.

Kerana itu, pantai itu akhirnya diberi nama Penyabong. Malah, terdapat sebuah batu besar di tepi pantai Penyabong yang dikatakan menjadi tempat lanun-lanun itu bermain sabung ayam. Batu itu masih wujud sehingga ke hari ini.

Menurut Ketua Kampung Mukim Penyabong, Wan Azman Wan Jusoh, pantai Pasir Lanun yang terletak di Kampung Penyabong itu pula mendapat nama apabila kawasan itu sering menjadi tumpuan lanun-lanun dari sekitar Laut China Selatan untuk berehat.

DI atas batu besar inilah kumpulan lanun gemar menyabung ayam sehingga timbulnya nama Penyabong.

“Pernah terjadi pergaduhan antara kumpulan-kumpulan lanun yang singgah di Penyabong. Mereka berebut untuk mengambil bekalan air sehingga menyebabkan pergaduhan berlaku. Malah, peperangan antara lanun dan kapal-kapal pedagang juga pernah berlaku di sini,” katanya kepada S2.

Wan Azman berkata, Penyabong asalnya dihuni oleh beberapa nelayan yang menjadikan tempat itu sebagai pangkalan untuk menangkap ikan sejak dahulu lagi. Sehingga ke hari ini, aktiviti nelayan dan menangkap merupakan hasil pendapatan utama bagi penduduk di situ.

“Ketika Penyabong mula dihuni, terdapat beberapa lagi kampung yang wujud berdekatan seperti Tanjung Resang, Teluk Sari dan Kampung Sisik. Kesemuanya mempunyai kisah tersendiri bagaimana ia mula diduduki,” katanya.

Katanya, menurut cerita orang-orang tua, Tanjung Resang dibuka oleh seorang individu yang berasal dari Terengganu dikenali sebagai Pak Lah. Ketika itu katanya, Pak Lah yang melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan perahu payang singgah di suatu kawasan untuk berlindung daripada ribut.

“Pada masa itu, dia berteduh di bawah pokok Resam. Kebetulan, kawasan itu merupakan sebuah tanjung. Jadi, mengikut loghat Terengganu, dia memanggil tempat itu Tanjung Resang,” katanya.

Kemudian, tempat itu mula didatangi orang-orang berasal dari Terengganu yang terus menetap di situ. Manakala, asal kewujudan Kampung Sisik pula diambil sempena seekor Penyu Sisik yang mendarat di pantai dekat situ untuk bertelur.

Menurut cerita juga, kewujudan Teluk Sari pula ekoran kisah bagaimana seseorang perlu mengambil masa sehari suntuk dan bermalam di situ sebelum sampai ke destinasi sama ada ke Mersing atau Endau.

Katanya, kini, aktiviti pelancongan menjadi tarikan utama di Penyabong apabila semakin banyak chalet-chalet dan resort yang menarik dibuka dan ditawar pada harga berpatutan, selain wujudnya perusahaan kecil dan sederhana memproses makanan laut dan juga gerai-gerai makanan tradisi masyarakat setempat seperti nasi dagang, keropok lekor, sata, kuih-muih dan banyak lagi.

Selain itu, kata Wan Azman, ada juga penduduk tempatan mengusahakan kelong di pesisir pantai Penyabong. Terdapat beberapa pulau berdekatan Penyabong antaranya Pulau Acheh, Pelandok dan Pulau Tengah.

-

FIFA dan IAAF dilanda tsunami kepemimpinan

SEJAK dari awal tahun 1960-an hingga ke hari ini dunia sukan tidak serik dihimpit dengan pelbagai masalah. Isu dadah bukanlah perkara baharu dan masih berte­rusan. Ini telah menghantui dunia sukan sejak tahun 60-an apabila terdapat atlet Jerman Timur mengambilnya bagi meningkatkan prestasi mereka dalam pertandingan.

Baru-baru ini dunia sukan dikejutkan dengan kekalutan yang ber­laku dalam FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) dan IAAF (Persekutuan Olahraga Antarabangsa). Siapa sangka kedua-dua pertubuhan dunia ini dilanda masalah kepimpinan yang serius. Kita nampak FIFA dan IAAF seolah-olah tiada masalah, rupa-rupanya ‘siapa sangka air tenang tiada buaya!’. Beberapa pegawai kanan FIFA dituduh terlibat dengan skandal penyelewengan yang melibatkan ra­suah berjuta-juta ringgit.


Presiden FIFA, Sepp Blatter (atas) selepas memberi kenyataan di ibu pejabat FIFA di Zurich, Switzerland pada 2 Jun lalu dan Presiden UEFA, Michel Platini (bawah) menghadiri sidang akhbar di Monte Carlo, Monaco pada Ogos lalu. Blatter dan Platini kedua-duanya digantung lapan tahun baru-baru ini oleh Jawatankuasa Etika FIFA atas tuduhan rasuah. REUTERS

Lebih mengejutkan Presiden FIFA, Sepp Blatter dan Michel Pa­tini, Presiden UEFA turut dikaitkan dengan isu rasuah. Kedua-duanya menafikan akan tuduhan yang dikaitkan. Terkini Blatter dan Platini dikenakan hukuman gantung dari terlibat dengan bola sepak selama lapan tahun oleh Mahkamah Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa. Mereka digantung serta-merta daripada sebarang aktiviti bola sepak.

Sebelum itu, pendakwa Amerika Syarikat menahan ramai pegawai bola sepak Amerika Selatan. Antaranya, Juan Angel Napour, Presiden CONMEBOL; Manuel Burga - Jawatankuasa Pembangunan FIFA; Carlos Chavez -Bendahari CONMEBOL; Marco Polo - Presiden Konfederasi Bolasepak Brazil dan beberapa individu lain.

Isu ini dilihat akan berterusan di mana pihak berkuasa Switzerland dan FBI sedang mengendalikan kes berbangkit. Difahamkan Blatter dan Platini akan melawan habis-habisan isu yang membabitkan mereka berdua bagi membersihkan namanya dengan menggunakan saluran kuasa Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS).

Sekarang dunia bola sepak betul-betul dalam keadaan bercelaru dan diharapkan suasana akan kembali seperti biasa selepas diadakan Kongres FIFA pada Februari 2016 nanti. Isu pokok di sini berkait rapat de­ngan isu kepimpinan yang melibatkan tang­gungjawab, akauntabiliti dan in­­tegriti. Itulah masalahnya apabila tiada peraturan khusus dalam FIFA dan IAAF mengenai tempoh yang dibenarkan untuk seseorang indivi­du memegang jawatan badan induk berkenaan. Apabila sudah terlalu lama memegang jawatan maka ada kemungkinan timbul masalah sepertimana yang sedang dihadapi sekarang - ‘power corrupt power!’

Kalau FIFA sebagai ‘bapa’ kepa­da badan induk bola sepak dunia menghadapi masalah serius, maka tidak hairanlah sekiranya masalah bola sepak boleh berlaku di negara-negara di bawah naungannya! ‘bapa’ tidak boleh salahkan ‘anak’ jika anak menimbulkan masalah kerana bapa itu mempunyai ma­sa­lahnya sendiri. Itu tidak adil na­manya. Ini sinonim dengan pepa­tah, ‘Bapa borek, anak rintik’ atau ‘Bapa ken­cing berdiri, anak kencing berlari!’ Kedua-duanya membawa maksud dan konotasi yang sama.

Akibat kecelaruan yang timbul dalam FIFA, terbaru badan induk tersebut bersetuju untuk melakukan beberapa transformasi, antaranya (i) mengurangkan kuasa jawatan eksekutif, (ii) mengehadkan tem­poh memegang jawatan pegawai utama FIFA kepada tiga hingga empat penggal sahaja, dan (iii) pegawai dilantik tertakluk kepada semakan integriti berpusat sebelum individu memegang jawatan.

Penaja utama FIFA seperti Adidas, Coca-Cola, Mc Donald Corp dan Visa Inc. turut mendesak agar proses transformasi ini dapat dila­kukan secara telus dan adil.

Kita berharap isu yang timbul dalam badan induk FIFA ini dapat diselesaikan secepat mungkin bagi memastikan sukan bola sepak tidak terjejas teruk dan dapat berjalan se­perti sediakala.

Yang penting sukan bola sepak itu sendiri, pegawai boleh datang dan pergi. Integriti dan kepenti­ng­an bola sepak perlu dipertahankan setiap masa.

FIFA tidak mampu hendak menyelesaikan masalah isu individu yang korup mengatur perlawanan jika mereka sendiri bergelut dengan masalah yang harus diselesaikan terlebih dahulu. Secara mudah, FIFA perlu cermin diri terlebih dahulu dan membuat transformasi mantap bagi mengembalikan semula imejnya yang sudah tercalar. Sesuatu tindakan drastik perlu dilakukan segera bagi memastikan imej FIFA dapat dipulihkan.

Dalam pada FIFA bermasalah da­lam kalangan pegawai-pegawai­nya, IAAF turut dilanda masalah yang dikaitkan dengan isu dadah dan ke­pimpinan Presiden IAAF itu sendiri. Isu kepimpinan IAAF timbul apabila bekas Presiden IAAF, Lamine Diack mengaku kepada pihak polis Pe­rancis bahawa beliau ada meminta wang dari Rusia sebanyak €1.5 juta untuk kegunaan kempen politiknya di tanah airnya, Senegal.

Pihak polis Perancis mencurigai beliau mengambil wang itu sebagai rasuah bagi menutup kes atlet Rusia yang gagal ujian dadah. Beberapa hari lepas, Suruhanjaya Etika IAAF telah mengendalikan pembi­caraan terhadap Balakhnichev, Papa Massata Diack - anak Diack, Gabriel Dolle - bekas Pengarah anti doping IAAF dan Alexie Melnikov - bekas ketua jurulatih Konfederasi Rusia untuk atlet jarak jauh. Kesemua pegawai ini dituduh cuba menyem­bunyikan kesalahan mengambil da­dah oleh atlet Rusia. Mereka dituduh dengan pelbagai salahlaku kod etika IAAF dan berkemungkin­an menghadapi larangan seumur hidup apabila keputusan dibuat pada awal Januari 2016 nanti.

WADA (Agensi Anti-Dadah Dunia) sedang menyediakan laporan mengenai tuduhan rasuah dalam IAAF di mana Sebastian Coe pernah memegang jawatan sebagai Naib Presiden selama lapan tahun sebelum menjadi Presiden IAAF pada Ogos 2015. Pada Kejohanan Ragbi Dunia di London baru-baru ini tiada pemain terlibat dengan pengambilan dadah setelah ujian dibuat sebelum dan ketika kejohanan berlangsung. Bagi negara kita pula, untuk tempoh 16 tahun, Malaysia masih lagi mematuhi indeks WADA.

“Dua kes terbaru atlet Malaysia yang dilaporkan mengambil dadah tidak langsung menggambarkan ke­seriusan kes dadah terhadap persatuan sukan di negara ini dan dikatakan masih lagi terkawal”, menurut Dr. Jegathesan, penasihat perubatan Sukan Komanwel.

Walaupun kita lihat FIFA dan IAAF sedang bergelut dengan masalah besar yang timbul dalam badan dunia itu, kita penuh percaya masa depan sukan bola sepak dunia dan olahraga masih lagi mampu dipulihkan dalam masa terdekat. Isu kepimpinan menjadi isu pokok yang perlu diatasi dengan seberapa segera oleh kedua badan induk sukan tersebut.

-

Budaya integriti, kod etika elak FIFA dicemari skandal rasuah

PRESIDEN Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Sepp Blatter, yang kini digantung, melangkah ke ibu pejabat badan dunia itu pada 17 Disember lalu, untuk menjawab dakwaan rasuah sementara pihak berkuasa Switzerland membekukan akaun lebih AS$50 juta (RM200 juta).

Blatter dan timbalannya, Michel Platini, menghadapi penggantungan yang panjang. FIFA terjunam ke dalam skandal rasuah tahun ini, yang menyumbang kepada pengumuman Blatter pada Jun lalu, akan meletak jawatan apabila pemilihan baharu diadakan Februari 2016. Skandal menghimpit FIFA amat memalukan.

Peranan Blatter dalam skandal rasuah kini disiasat Biro Siasatan Persekutuan (FBI). Syarikat pemasaran sukan ISL dilapor membuat pembayaran STG66.2 juta (RM424.7 juta) kepada pegawai, termasuk bekas Presiden FIFA, Joao Havelange, dan bekas Eksekutif FIFA, Ricardo Teixeira. Mei lalu, AS menahan 14 pegawai FIFA dan bekas dan sekutu atas tuduhan 'berleluasa, sistemik, dan mendalam' rasuah berikutan siasatan FBI.

Bulan ini, 16 lagi pegawai ditangkap termasuk dua naib presiden FIFA di hotel sama di Zurich. Dunia terkejut apabila FIFA diselubungi tuduhan rasuah, terutama selepas menganugerahkan tiket penganjuran Piala Dunia 2022 kepada Qatar - negara Teluk kecil tetapi kaya dan berpengaruh.



Pada Disember 2014, FIFA memilih untuk tidak mendedahkan siasatan sendiri berkaitan skandal rasuah.

Penyedia bebas laporan, Michael Garcia, yang juga peguam Amerika Syarikat, meletak jawatan sebagai tanda protes.

Sukan paling popular

Bola sepak adalah sukan paling popular di dunia dengan peminat berbilion orang. Piala Dunia pula kejohanan paling mendapat tarikan peminat, lebih besar dari segi nilai kewangan berbanding Sukan Olimpik.

Ia menjana berbilion dolar dalam pendapatan daripada penaja korporat, hak siaran dan barangan. Maka, tidak sangsi apabila penangkapan dan penyiasatan skandal membabitkan FIFA dan pemimpin tertingginya menimbulkan keraguan berkaitan ketelusan dan integriti proses memperuntuk hak menganjurkan Piala Dunia, memilih Presiden dan pentadbiran dana.

FIFA sepatutnya menjadi model peranan kepada belia dan platform penting bagi menyampaikan mesej yang adil, integriti dan menghormati peraturan dan undang-undang.

Jika FIFA mahu menunjukkan ia serius menangani tuduhan yang muncul, memerangi rasuah dan mengembalikan kepercayaan peminat, siasatan yang sedang dijalankan sepatutnya dikendalikan dengan telus dan profesional oleh pihak bebas di luar FIFA.

Pendirian FIFA yang komited untuk menjadi lebih telus dan mengambil pendekatan toleransi sifar rasuah amat dialu-alukan.

Untuk melaksanakan usaha ini, FIFA perlu ubah struktur dan budaya.

Perubahan asas seperti ini hanya boleh membawa pembaharuan dari atas lagi holistik. Sepanjang sejarahnya, cara kerja badan induk bola sepak seolah-olah legap dan kebal daripada penelitian pihak luaran.

Jika FIFA mahu membina semula amanah yang harus menerima ketelusan, ia perlu laksana pembaharuan menyeluruh.

Perbetul reputasi FIFA

Tindakan asas adalah budaya berintegriti. FIFA perlu ambil pendekatan untuk membawa perubahan dan perbetul reputasi.

Pertama dan yang amat mustahak adalah barisan kepemimpinan yang baharu. FIFA berhadapan dengan cabaran ini di mana ia perlu ada pendekatan 'kepemimpinan berintegriti melalui teladan.'

Tanpanya, ia tidak mungkin dapat menyebarkan komitmen untuk bertindak dengan integriti, sekali gus menjadi ikutan pihak lain.

Kedua, menggubal peraturan jelas tentang cara menangani dakwaan rasuah, dan juga laporan yang telus dan peraturan perakaunan.

Sebagai badan sukan induk bola sepak, FIFA dari semasa ke semasa menguatkuasa pelbagai peraturan tetapi perkembangan semasa kelihatan ia seolah-olah longgar dari segi undang-undang kawalan, yang boleh menyumbang kepada penyelewengan, salah guna kedudukan dan rasuah.

Ketiga, bertolak dari dua pendekatan di atas, tiba masanya FIFA melancarkan kajian semula kod etika sedia ada termasuk kecekapan jawatankuasa etika.

Seterusnya, FIFA juga wajar memperkenal klausa pematuhan bagi setiap kontrak yang ditawarkan termasuk sokongan kewangan FIFA untuk anggotanya.

Kelima, sistem tender dan prosedur pemberian acara serta hak siaran TV dan kontrak penajaan perlu dikaji semula untuk perkenal yang baharu.

Skandal terbesar ini memperlihatkan pemimpin sukan juga boleh menyalahgunakan kedudukan dan menggadaikan prinsip jika tidak ada integriti dan gagal mematuhi kod etika atau piagam yang diputuskan.

Apabila kepentingan diri diutamakan, maka kebajikan ahli dan masa depan organisasi hancur. Ini yang berlaku di FIFA.

Tiba masanya FIFA mengutamakan budaya berintegriti sebagai langkah awal mengelak jenayah rasuah dan salah guna kedudukan atau kuasa.

Graduan mesti sedia teroka kerjaya alternatif

DALAM ilmu penerokaan masa hadapan, ada satu instrumen pengurusan istimewa untuk membuat perancangan strategik yang dikenali sebagai backcasting. Ia diperkenalkan oleh John B Robinson dari University of Waterloo pada tahun 1990.

Instrumen ini dibuat dengan cara mengundur ke belakang. Maknanya, kita merancang masa hadapan dengan cara kita menjejaki semula perjalanan sejarah terdahulu dan mempedomaninya sehingga kita bertemu matlamat yang ingin disasarkan.

Dalam konteks hala tuju belia kita pasca tahun 2020, begitu banyak persoalan dan keresahan yang diluah hamburkan oleh orang muda.

Generasi bersekolah pada tahun 1990-an antara yang merasai impak pelaksanaan dasar dan polisi ketika itu, pada masa kini.

Mari kita lihat bagaimana unjuran ke belakang boleh dibuat dalam menentukan hala tuju kerjaya belia pasca negara maju. Malaysia pada tahun 2020, bakal menjadi negara maju.

Dengan pendapatan bulanan purata isi rumah rakyatnya daripada RM6,141 pada tahun 2014 kepada sebanyak RM10,540 pada tahun 2020, ia akan bakal mengurangkan kadar pengangguran sehingga 2.8 peratus pada masa tersebut.

Imbas kedudukan 2000

Jika diimbas kembali pada tahun 2000, kedudukan kita tidak seperti apa yang dinikmati hari ini. Kewangan negara baru sahaja kembali stabil setelah terjejas teruk pasca kegawatan 1998 dan 1999.

Dari segi tenaga kerja, hanya 186,000 peluang pekerjaan baharu berjaya diwujudkan sementara bilangan pekerja yang diberhentikan masih banyak berbanding tahun 1999 iaitu 24,036 orang.

Dalam konteks sektor pekerjaan bagi orang muda, agak menarik untuk melihat bagaimana kita boleh mengambil pengajaran daripada kelemahan pada awal tahun 2000, dalam usaha menyediakan strategi terbaik untuk mencapai sasaran 1.5 juta peluang pekerjaan pada tahun 2020 dan seterusnya mampan menjelang dekad baharu 2030.

Saya masih ingat pada 1997, orang muda, rata-rata di sekolah rendah dan menengah berlumba-lumba memasuki aliran sains. Mata pelajaran Alam dan Manusia digantikan dengan subjek Sains.

Di sekolah menengah, kelas aliran sains dianggap sebagai aliran budak pandai. Pada peringkat matrikulasi pula, pelajar aliran sains hayat dan sains fizikal, dianggap bakal memiliki peluang kerjaya yang lebih cerah.

Di universiti juga begitu, rata-rata mat buku dan ulat perpustakaan adalah daripada pelajar aliran sains. Kenyataan ini seakan satu tanggapan umum berdasarkan perspektif masa itu.

Malangnya, negara tidak benar-benar bersedia pada ketika itu. Industri semasa tidak mampu untuk menampung ledakan graduan sains yang terlahar keluar.

Bukan sedikit rakan dari aliran sains bertukar bidang kepada sosial. Ada yang berniaga sendiri, menjadi pengamal budaya dan seni, perniagaan insurans serta menceburi bidang jualan dan perkhidmatan - dan mereka sekarang ada yang sudah benar-benar berjaya, ada pula yang masih kekal dengan status quo.

Sebenarnya, dalam Rancangan Malaysia Ketujuh (RMK-7) dan RMK-8, negara telah cuba mengunjurkan keperluan pasaran graduan kepada industri.

Namun, oleh sebab tertentu, limpahan penawaran tetap melebihi permintaan. Menjelang tahun 2020 dan selepas, kita menjangka pasaran kerja akan dimonopoli industri teknologi tinggi.

Oleh itu, kita berusaha memperbanyakkan graduan TVET (Teknikal dan Vokasional) serta menggalakkan pelajar menguasai bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik).

Harap permintaan atasi penawaran tak berulang

Jika diunjur, sasaran kita dalam RMKe-11, adalah 225,000 pelajar dapat menceburkan diri dalam bidang pengajian TVET saban tahun sehingga 2020 sebagai persediaan ke arah ini.

Di sinilah, kita harus berhati-hati. Menerusi backcasting yang kita unjur belakangkan tadi, masalah permintaan melebihi penawaran, diharapkan tidak berulang.

Malah, apa yang penting juga, saluran alternatif sebagai persediaan untuk menampung lebihan juga mesti dipersiapkan, agar ia tidak mengganggu kadar pengangguran negara yang sedang menguncup dengan baik sekarang.

Pasca 2020 juga bakal menjadikan unjuran ini semakin tidak tepat. Bidang baharu seperti industri kreatif, perniagaan rentas talian serta pengiktirafan terhadap penyampaian perkhidmatan alternatif melalui pertubuhan bukan kerajaan juga, menjadi cabaran baharu kepada kita.

Jangan terkejut jika seorang graduan kejuruteraan boleh menjadi pengurus sebuah yayasan orang kurang upaya.

Seorang graduan bioteknologi menjadi tauke gedung pakaian yang dijual rentasi talian atau seorang guru yang baharu berkhidmat lima tahun, meletak jawatan dan menjadi jurujual hartanah sepenuh masa. Sudah pasti, semua ini ada risiko tersendiri.

Semoga generasi muda pada masa hadapan lebih bersedia dan berani berhadapan cabaran ini. Mudah-mudahan.

Wan Mohd Hasif Wan Muhamat Ali Berita Harian Kolumnis 24 Disember 2015 @ 6:59 AM

Pengaruh akhbar, media baharu perlu seimbang

Di kebanyakan institusi pengajian tinggi hari ini, khasnya di universiti awam, pelajar didapati kurang berminat membaca akhbar.

Kebanyakan mereka lebih selesa mendapat maklumat atau mengikuti perkembangan semasa melalui media baharu.

Mereka mengiktiraf media baharu sebagai gaya hidup moden. Mereka akui lebih mudah dapat maklumat melalui internet sama ada menerusi komputer atau telefon pintar.

Mereka tidak perlu keluar membeli akhbar yang dianggap ketinggalan zaman. Bagi golongan ini akhbar tidak memenuhi cita rasa mereka.

Pelajar menjadikan media baharu cara membantu mereka dalam pelajaran. Di luar waktu kuliah, mereka menghadap komputer sama ada membaca jurnal, tesis, buku elektronik dan sebagainya.

Ia memudahkan proses pembelajaran mereka yang bukan sahaja kurang membaca akhbar, malah jika tidak dikawal boleh melarat kepada buku. Mereka lebih berpandukan kepada maklumat dalam 'pustaka' di alam maya.

Walaupun itu bukan suatu kesalahan, meninggalkan amalan membaca buku dan akhbar, bukanlah ciri pelajar yang progresif.




PENGARUH akhbar dan media baharu. - Foto ihsan www.flickr.com/streetmatt
Pelajar sewajarnya menjadikan buku sebagai gedung ilmu manakala maklumat dan berita di akhbar sebagai wadah mengikuti perkembangan semasa, walaupun zaman mereka adalah era media baharu.

Malangnya, akhbar bukanlah sumber maklumat penting bagi pelajar hari ini.

Pelajar hanya baca akhbar secara kebetulan jika berada di sesuatu tempat yang surat khabar ada atas meja.

Mereka jarang membeli akhbar, melainkan ada sesuatu maklumat mereka perlukan yang tidak ada di media sosial.

Mereka juga menjadikan akhbar atau media arus perdana termasuk radio dan televisyen untuk mendapatkan pengesahan mengenai sesuatu berita atau maklumat.

Pengaruh media baharu

Bila ditanya adakah mereka membaca akhbar cetak, tanpa rasa bersalah mereka kata 'tidak' atau 'kadang-kadang'. Ia adalah realiti hari ini dan mereka tidak segan silu mengakuinya.

Ditanya bagaimana mereka dapat berita atau maklumat, dengan tangkas menjawab mereka mengikuti setiap perkembangan semasa melalui media baharu sama ada portal berita, blog, Facebook dan sebagainya. Mereka juga membaca berita atas talian dari syarikat media arus perdana.

Oleh itu, tidak ada sebab mereka perlu baca akhbar. Apa juga alasannya, setiap pelajar tanpa mengira jurusan sama ada sains atau sastera, sains sosial, ekonomi, sains politik, pengajian antarabangsa, sejarah dan sebagainya, sepatutnya diwajib menjadikan akhbar sebagai sumber maklumat utama sama ada untuk tujuan pelajaran atau menambah ilmu.

Mereka perlu diberitahu maklumat atas talian sepatutnya maklumat tambahan, bukan mutlak. Maklumat dan berita dalam portal tidak boleh disamakan dengan berita akhbar. Pengendali berita atas talian memilih menyiarkan berita sensasi untuk menarik pembaca.

Paling penting, maklumat daripada akhbar mempunyai ciri-ciri kewibawaan berbanding berita yang disiarkan sewenang-wenangnya di portal berita atau laman berita dikendalikan oleh mereka yang tidak dikenali.

Di pusat pengajian media atau komunikasi pun, semakin kurang pelajar membuat kajian mengenai akhbar. Dari segi peratusan, ramai memilih untuk mengkaji berita atau maklumat di alam maya, memberi gambaran pelajar mengasingkan diri daripada akhbar dan bahan bercetak.

Keadaan seperti ini perlu dilihat dengan serius walaupun kerajaan mengiktiraf kebebasan mendapatkan maklumat, kebebasan akhbar dan sebagainya.

Pelajar perlu faham, membaca akhbar membolehkan mereka mendapatkan suatu perspektif berhubung sesuatu isu. Perspektif di media baharu berbeza dengan perspektif yang dipaparkan di akhbar.

Keadaan seperti ini boleh membentuk persepsi yang salah. Persembahan dan penyampaian berita antara akhbar dan media atas talian juga berbeza.

Berita yang dianggap penting bagi akhbar tidak semestinya menjadi berita pilihan di media atas talian dan begitu juga sebaliknya.

Fenomena ini adalah satu perkembangan tidak sihat bagi sebuah negara muda seperti Malaysia.

Sikap pelajar yang lebih gemar membaca berita di atas talian berpunca daripada pelbagai sebab.

Mereka mungkin didedahkan kepada media baharu berasaskan kepada kemajuan sekeliling.

Masing-masing ada komputer riba atau telefon pintar yang membolehkan mereka mengakses setiap maklumat dalam internet. Untuk memudahkan pelajar mendapat maklumat, universiti pula menyediakan kemudahan WiFi atau unify.

Pengamal media tidak boleh biarkan perkembangan seperti ini berterusan tanpa melakukan sesuatu tindakan untuk menggalakkan pelajar membaca akhbar.

Pelajar seharusnya diberitahu mereka perlu baca akhbar atas alasan konkrit.

Pengamal media seharusnya masuk ke setiap universiti dan 'berkempen' supaya pelajar membaca akhbar. Jika tidak, akhbar akan kehilangan sengat dan pembacanya kian berkurangan.

Bahasa Melayu sebagai identiti bangsa tak boleh disisih

PANGGILAN pelampau bahasa yang dikenakan kepada pencinta bahasa Melayu, yang didakwa cuba menggagalkan usaha peningkatan penguasaan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan negara, bukan sahaja tidak wajar, tetapi juga tidak tepat.

Pencinta bahasa Melayu yang dianggap kelompok yang pemikirannya tersasar jauh sehingga boleh disifatkan tidak normal dan rasional, selain berbahaya, sesungguhnya adalah mereka yang amat prihatin dan cakna kepada bahasa Melayu sebagai bahasa negara ini.

Selain bangga, sayang dan setia kepadanya, kelompok ini amat mengetahui, lalu menyedari untuk diinsafi nilai bahasa Melayu kepada negara ini.

Oleh itu, mereka tidak akan sesekali membenarkan bahasa Melayu dikesampingkan di tanah watannya oleh rakyatnya sendiri.

Oleh itu, sebarang usaha peningkatan penguasaan bahasa Inggeris yang didapati akan menggugat kedudukan dan peranan bahasa Melayu, akan ditentang habis-habisan.

Mereka bukan fanatik terhadap bahasa Melayu dan membabi buta dalam memperjuangkannya.

Sebaliknya mereka amat rasional, misalnya semasa menentang Program Dwibahasa yang ingin mengajar mata pelajaran Sains dan Teknologi dalam bahasa Inggeris, walaupun secara bersekali dengan bahasa Melayu.

Ini dilakukan mereka kerana persaingan yang diwujudkan antara dua bahasa ini oleh kita sendiri, pasti akan meminggirkan bahasa Melayu pada akhirnya.

Ini didasarkan banyak kes persaingan bahasa lain dengan bahasa Inggeris sebelum ini di serata dunia, yang memperlihat bahasa lain itu tidak diminati lagi oleh komunitinya sendiri, lalu menjadi tidak penting langsung.

Identiti rakyat Malaysia

Hal ini tidak boleh dibiarkan berlaku kepada bahasa Melayu. Bahasa Melayu terlalu bernilai kepada kita semua untuk dihancurkan bahasa Inggeris.

Nilai itu terletak pada beberapa perkara. Pertama, bahasa Melayu satu-satunya bahasa yang mampu mengungkapkan identiti rakyat Malaysia dengan baik.

Identiti kita sebagai rakyat Malaysia bukan sahaja penting kerana bahasa Melayu jiwa bangsa Malaysia. Ia juga penting untuk rakyat Malaysia dikenali, dicam dan diingati di dalam dan luar negara sebagai satu komuniti yang berbeza dengan yang lain.

Dengan ini, bahasa Melayu akan memberikan rakyat Malaysia ciri dan watak kebahasaan yang tidak sama dengan kelompok lain, walaupun di Nusantara ini.

Hanya bahasa Melayu mampu bertindak sebagai penanda utama untuk mempamer identiti bangsa dan negara Malaysia.

Berkait rapat dengan identiti Malaysia ialah sejarah yang merupakan perkara kedua. Dalam konteks ini, bahasa Melayu khazanah sejarah Malaysia, iaitu ia arkib sejarah bangsa Malaysia dalam pengertian bahasa Melayu adalah himpunan sejarah kesemua penuturnya.

Tiada pengganti

Sehubungan ini, bahasa Melayu tidak boleh dibiarkan hilang, apatah lagi mati lalu pupus, walaupun dalam bentuk peranjakan, iaitu peranan pentingnya digantikan bahasa Inggeris dan ia dikhususkan untuk memperkata hal remeh sahaja.

Apabila ini berlaku, bahasa Melayu akan terputus hubungannya dengan peristiwa lampau yang penting.

Gabungan identiti dan sejarah membawa kepada cerminan bahasa Melayu dalam mengungkap dan menginterpretasi kewujudan bangsa Malaysia.

Ini adalah perkara ketiga mengenai bahasa Melayu yang besar sumbangannya dalam membina tapak pengetahuan bangsa Malaysia.

Dalam hal ini, bahasa Melayu adalah pengungkapan keseluruhan bangsa Malaysia dan sejarahnya.

Ini dapat dilihat dari segi peranan bahasa Melayu dalam menyampaikan peristiwa penting negara, yang dilakukan melalui nahu dan kosa katanya.

Perkara empat adalah bahasa Melayu terlalu indah untuk dikesampingkan.

Sehubungan ini, bahasa Melayu dengan bunyi, kata, ayat dan maknanya bukan sahaja mampu membina sistem komunikasi yang berkesan.

Ia juga berjaya membentuk kecanggihan yang indah untuk digunakan bagi mencantikkan sastera dan seni negara.

Oleh sebab empat perkara inilah dan bersama-sama yang lain, antaranya taraf linguistiknya sebagai bahasa saintifik moden dan kedudukan sosialnya selaku bahasa kelima terbesar di dunia, pencinta bahasa Melayu berasa bukan sahaja kita berdosa besar kepada leluhur kita yang telah berjaya membinanya sehingga memperlihat sistem perlambangan yang mampu memahami alam semesta dengan baik sekali, jika ia dikesampingkan.

Yang lebih penting dari itu ialah mereka juga merasakan kesampingan bahasa Melayu satu tragedi intelektual.

Oleh itu, ia tidak boleh dibenarkan berlaku. Pemikiran begini sederhana sekali dan langsung tidak pun bersifat melampau.
Teo Kok Seong Berita Harian Kolumnis 24 Disember2015 @ 7:01 AM

Nilai watan, jati diri bangsa teras demokrasi kita

Banyak kekeliruan tafsiran Perlembagaan dan polemik berkenaan perundangan Islam telah ditimbulkan oleh kumpulan G25 menerusi perbahasan mereka di bawah tajuk 'Islam dalam sistem demokrasi berperlembagaan' (Islam in Constitutional Democracy).

Tafsiran Perlembagaan yang dikemukakan itu berkisar persoalan kebebasan asasi yang dikaitkan dengan prinsip demokrasi.

Dirangkaikan juga kedudukan Islam dan seterusnya mempersoalkan kedudukan perundangan Islam.

Tafsiran Perlembagaan yang dibuat oleh G25 mengenai kebebasan asasi dan kedudukan Islam serta perundangan Syariah adalah tidak bertepatan dengan peruntukan dan amalan perundangan di Malaysia serta norma dan nilai masyarakat. Ia juga tidak selaras dengan keputusan mahkamah.

Dalam proses menggubal Perlembagaan Persekutuan, Suruhanjaya Reid ada menyebut pada perenggan 14 laporannya bahawa mereka akan membentuk kerangka bagi sebuah negara yang united, free and democratic.

Hasilnya, walaupun perkataan 'demokrasi' tidak disebut, ciri-ciri demokrasi dapat dilihat dalam Perlembagaan, seperti sistem pilihan raya dan kebebasan asasi.

Tidak disangkal, tujuan demokrasi ialah untuk memberikan hak kepada rakyat untuk memperaku kerajaan serta menjamin kebebasan.

Kenapa demokrasi mahu rakyat memperaku kerajaan? Kenapa demokrasi menjamin kebebasan?

Asalnya tidak ada salah dengan demokrasi. Tidak juga salah dengan kebebasan. Tetapi ia menjadi salah apabila kedua-dua istilah itu tidak dinilai dari perspektif tujuan luhurnya.

Dalam analisis yang lebih mendalam, tujuan luhur demokrasi bukan semata-mata kebebasan, tetapi demokrasi mahu membina masyarakat teratur; rakyat dan pemerintah bersemuka dan bekerjasama; saling hormat menghormati; kumpulan majoriti dan minoriti juga bertoleransi dengan rasa muhibah.

Tiada penindasan.

Keluhuran demokrasi diutama

Hidup bernegara seperti diniatkan Perlembagaan ialah menegakkan tujuan luhur demokrasi itu. Perlembagaan menjadi mekanisme dan rujukan utama untuk mencipta masyarakat dan negara yang sejahtera serta teratur.

Untuk berlaku adil kepada demokrasi, tujuan luhurnya hendaklah direalisasikan.

Tujuan bernegara dalam sebuah demokrasi seperti kehendak Perlembagaan Persekutuan tidak boleh disalah erti untuk menjadi hamba kepada kebebasan semata-mata.

Serata dunia, demokrasi mempunyai kerencaman rupa paras. Prinsip asas demokrasi seperti pilihan raya mungkin serupa, tetapi tidak juga sama di serata dunia.

Oleh itu, perincian kepada demokrasi dalam negara berbeza juga pelbagai dan mengikut ketentuan diri negara terbabit.

Kita harus jelas tujuan bernegara. Perlembagaan Persekutuan mahu membentuk negara yang sejahtera fizikal dan bahagia dari segi rohaninya.

Kita harus lebih berhati-hati dalam mengungkap perkataan 'demokrasi' dan 'kebebasan' dalam konteks Perlembagaan Persekutuan. Demokrasi dan kebebasan dalam Perlembagaan Persekutuan diwarnai ciri-ciri watan warisan masyarakat, identiti dan maruah negara.

Malaysia mengamalkan sistem demokrasi beraja; Malaysia menganut agama Islam; mempunyai warga yang ada nilai jati diri bangsanya, beradat dan mempunyai resam.

Malaysia bukan semata-mata mengamalkan demokrasi berparlimen.

Pertahan nilai watan, jati diri

Dengan adanya nilai watan dan jati diri bangsanya, demokrasi di Malaysia harus disesuaikan dengan nilai berkenaan. Jika tidak, tidak akan ada keteraturan dalam masyarakat dan kesejahteraan tidak akan dicapai.

Demokrasi dan kebebasan hendaklah diterima dan diamal hanya dalam kerangka ciri-ciri watan itu. Sekiranya demokrasi hanya dibaca dengan maksud kebebasan, nescaya ia akan melenyapkan ciri-ciri watan.

Prinsip agama, moral dan nilai tempatan nescaya akan terhapus. Sekiranya ini berlaku, akan hilanglah maruah dan identiti negara.

Kita tidak akan dapat menikmati keteraturan dan kesejahteraan dalam bernegara.

Keteraturan dan kesejahteraan negara amat berkait rapat dengan nilai dan peraturan moral masyarakatnya.

Keteraturan sosial akan tercipta dalam masyarakat apabila ada sistem nilai dan norma sosial yang jelas serta ideologi yang benar.

Jika nilai dan norma dalam masyarakat tidak jelas dan ideologi kucar kacir, maka akan timbullah keadaan yang dinamakan anomie, iaitu kekacauan norma yang tidak lagi mempunyai istilah 'yang baik' dan 'yang buruk.' Akan celarulah seluruh masyarakat dan negara.

Akhir sekali, sebagai peringatan untuk kita, mengambil ilmu hendaklah dari sumber yang benar. Belajar ilmu daripada alimnya.

Berpendapat dan bercakap hendaklah daripada ilmunya. Bukan diambil ilmu agama itu dari sisi akal, logik dan rasional manusia semata-mata.

Maka, berwaspadalah dan berhati-hatilah, moga tiada fitnah ilmu, tiada fitnah kepada agama.
Dr Shamrahayu A Aziz Berita Harian Kolumnis 23 Disember2015 @ 6:58 AM

Masalah ekonomi tanggungan bersama

Di mana-mana negara dan dalam apa-apa pun keadaan, kerajaanlah pihak yang paling akhir kena pikul tanggungjawab dan cari jalan keluar kepada apa saja masalah.

Lagi-lagilah kalau negara itu kerajaannya dipilih secara demokrasi oleh rakyat jelata melalui pilihan raya dan dibiayai oleh orang yang bayar cukai.

Kerajaan tak boleh kata ia tak bertanggungjawab atau rakyat jelata tak boleh salahkan kerajaan.

Banyak orang boleh jadi tak tahu secara mendalam masalah ekonomi yang landa dunia sekarang dan kesannya kepada ekonomi negara kita, tapi semua orang sudah mula rasa kesan buruknya.

Walaupun struktur ekonomi kita telah banyak berubah, daripada negara pertanian kepada negara perindustrian dan perkhidmatan, bahan-bahan mentah masih penting kepada ekonomi kita.

Petroleum, kelapa sawit dan getah masih main peranan penting kepada ekonomi negara dan hasil kerajaan.


Setiausaha Agung, Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon berucap di Forum Ekonomi Dunia 2015 di Davos, Switzerland.


Apa yang sedang terjadi kepada ekonomi dunia sekarang adalah kesan perang politik, ekonomi dan ideologi, tapi banyak orang tak sedar.

Minyak jadi alasan lancar perang

Kalau kita baca sejarah, kita akan tahu yang dari dulu lagi minyak jadi alasan untuk lancar perang dan takluk wilayah.

Perlanggaran ke atas Iraq oleh tentera bersekutu Barat dan sokongan Barat kepada revolusi Arab Spring adalah kerana minyak.

Alasan nak hapuskan pemerintahan kejam dan ganti dengan kerajaan demokrasi adalah alasan saja.

Tujuan tersirat adalah penguasaan ke atas sumber minyak negara-negara Arab.

Tapi Barat silap kira. Pada mula perang Iraq memang harga petroleum naik pasal pengeluaran jatuh dan dunia bimbang kekurangan minyak mentah.

Dalam perkiraan mereka, bila bekalan kurang dan harga naik, bolehlah mereka majukan sumber alternatif yang ada di negara mereka. Amerika Syarikat, Kanada dan sesetengah negara Eropah, misalnya, kaya dengan minyak dari batu syal iaitu sejenis batu enapan.

Tapi kos pengeluaran minyak syal lebih tinggi daripada petroleum, dalam AS$100 (RM428) satu tong walaupun ada tempat di Amerika yang kosnya serendah AS$25 (RM107) satu tong.

Dengan memaksa harga minyak mentah naik barulah minyak syal boleh dimajukan secara ekonomik.

Apa yang Barat tak jangka adalah ekonomi dunia menurun dan anggota Pertubuhan Negara-Negara Pengeluar Petroleum (OPEC), khususnya negara-negara Arab, berjaya tampung kekurangan yang disebabkan oleh Perang Iraq, malah mereka hasilkan lebih banyak.

Negara-negara OPEC sengaja keluarkan lebih banyak minyak supaya harga kekal rendah dan dengan itu usaha perluas pengeluaran minyak syal gagal.

Tidak layak jadi ahli OPEC

Masalahnya kepada kita ialah walaupun kita hasilkan minyak dan gas, tapi kita adalah negara pengeluar kecil. Kita tak layak pun nak jadi ahli OPEC.

Tapi sumbangan minyak kepada ekonomi negara, lagi-lagi kepada hasil kerajaan, sangat besar daripada aspek nisbah.

Masa bentang Belanjawan 2016 Oktober lepas, kerajaan anggar harga minyak mentah AS$48 (RM205.68) satu tong. Tapi sekarang dah jatuh kepada AS$35 (RM150).

Tak ong, kata orang Cina.

Nasihat Kunta Kinte, kita pandai-pandailah jaga diri.

Atur perbelanjaan dengan cermat. Yang boleh jimat kita jimat. Yang tak betul-betul perlu kita jangan guna.

Nak bergantung kepada orang lain atau pihak lain dah susah.

Nampak-nampaknya mereka pun buntu. Kunta Kinte tak jangka masalah ekonomi sekarang akan selesai atau tamat dalam masa yang singkat. Wallahuaklam.