December 27th, 2015

Inovasi perubatan moden jadi kebanggaan dunia

DUNIA perubatan termasuk pengamal perubatan tanah air mencatat sejarah dan kejayaan tersendiri sepanjang tahun ini.

Pada peringkat antarabangsa, vaksin mencegah denggi pertama di dunia berjaya dihasilkan pengeluar ubat, Sanofi Pasteur.

Sanofi mencadangkan penggunaan vaksin itu digunakan dalam kalangan mereka yang berusia sembilan hingga 60 tahun. Vaksin yang dijangkakan digunakan di negara ini, sudah diuji berkesan dalam 25 kajian klinikal di Amerika Syarikat, Australia, Asia dan Amerika Latin.

Kecemerlangan dunia perubatan terus mencatat sejarah dengan pemindahan wajah pertama pernah dijalankan di dunia dengan kos RM4 juta.

Sukarelawan Bomba, Richard Hardison, 41, dari Mississippi, Amerika Syarikat, yang mengalami kebakaran hampir keseluruhan wajahnya termasuk telinga sejak 14 tahun lalu, menerima wajah baharu.

Wajah baharu itu sebenarnya milik pelumba basikal dari New York, David P Rodebaugh, 26, yang meninggal dunia akibat kemalangan basikal di Brooklyn Street pada Julai 2015. Pembedahan itu dijalankan di Pusat Perubatan NYU Langone yang berjalan selama 26 jam.


DOKTOR dari Pusat Perubatan NYU Langone, Amerika Syarikat memberi penerangan mengenai proses pemindahan wajah ke atas Hardison.

Pembedahan paling hebat

Pemindahan wajah yang dianggap paling hebat itu merangkumi kepala dan hampir keseluruhan bahagian lehernya.

Prosedur itu juga memberi laluan kepada Hardison untuk mengembalikan penglihatan normal termasuk menggabungkan empat segmen tulang kepada kepala Hardison.

Ini sebagai sokongan bagi mencegah wajahnya daripada jatuh. Ini bermakna, sebarang kecacatan pada anggota kini mampu dipulihkan menerusi prosedur pemindahan.

Bidang perubatan tempatan turut diiktiraf kehebatannya pada peringkat dunia apabila Pakar Bedah Jantung Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM, PPUKM), Prof Dr Hanafiah Harunarashid, muncul rakyat Malaysia pertama menerima Pingat Antarabangsa daripada Royal College of Surgeons, Edinburgh (RCSed).

Dr Hanafiah yang juga Pengarah Pusat Kemahiran Pembedahan Lanjutan (ASSC), PPUKM, adalah penerima termuda dalam sejarah 500 tahun RCSed.

Beliau menerima pingat berkenaan daripada Presiden RCSed, Ian Ritchie, pada majlis penyampaian diploma di kolej itu pada 9 Oktober lalu.

Dr Hanafiah diiktiraf kerana peranan yang dimainkan dalam menubuhkan pusat latihan kemahiran pembedahan ASSC di tanah air selain aktif dalam mempromosikan penilaian berkualiti untuk peperiksaan Keahlian Royal College of Surgeons (MRCS).

Beliau juga adalah Felo Pemeriksa Kolej Pembedahan Sendi (JSCFE) dan pelbagai aktiviti RCSed di rantau Asia khususnya di Malaysia.

Penawar baharu bagi beberapa penyakit kronik turut ditemui pada tahun ini sekali gus melegakan penghidapnya. Antaranya Hepatitis C (HCV) kronik kini boleh sembuh sepenuhnya dan mangsa bebas daripada virus berkenaan dengan pengambilan dua ubat menggantikan rawatan suntikan.

Rawatan secara oral yang pertama di negara ini mengandungi ombitasvir/paritaprevir/ritonavir (viekirax) dan dasabuvir (exviera).

Tempoh pengambilan ubat baharu ini juga lebih pendek iaitu hanya sekitar 12 atau 24 minggu saja.

Penemuan ini berupaya merawat HCV seratus peratus dan pada masa sama, mengurangkan kesan buruk sirosis (parut pada hati) dan barah hati.

Ubat cegah serangan asma

Sebuah syarikat farmeseutikal, Mundipharma Malaysia mengambil inisiatif memperkenalkan satu kombinasi baharu bagi penyakit asma menerusi kaedah Flutiform.

Ubat itu menggabungkan fluticasone, ubat sedut kortikosteroid (ICS) dan formoterol.

Gabungan ubat itu membolehkan pesakit mengawal serangan asma untuk jangka waktu yang lama. Buat kali pertama, dua ubat asma yang berkesan ini digabungkan dalam satu alat sedut (inhaler) aerosol inovatif.

Dalam menguruskan penyakit asma, penyaluran ubat terus ke paru-paru adalah penting. Untuk tujuan itu, Flutiform dicipta untuk menambah baik alat sedut yang selama ini digunakan oleh kebanyakan pesakit.

Alat penghantaran Flutiform mampu menyalurkan pecahan zarah ubat yang sangat halus bagi membolehkan lebih banyak ubat masuk ke dalam paru-paru, termasuk saluran udara kecil.

Alat itu juga menyediakan pembilang dos yang diletakkan menghadap pesakit dengan kod warna untuk mengesan pengambilan ubat.

Flutiform boleh didapati dalam tiga kekuatan dos dan memberi fleksibiliti kepada doktor untuk memilih dan menyesuaikan dos sewajarnya untuk pesakit mereka.

Pengambilan bergantung kepada tahap penyakit dan tahap kawalan.

Dos ini sesuai digunakan bagi rawatan asma kepada pesakit yang berusia 12 tahun dan ke atas, mempunyai gejala yang tidak dikawal sepenuhnya oleh penggunaan ICS.

Flutiform juga menunjukkan profil keselamatan dan toleransi yang baik dalam tempoh percubaan klinikal.