January 7th, 2016

Kita sendiri tentukan baik buruk media sosial, Yang mengutuk itu, bahagia sangatkah?

Yang mengutuk itu, bahagia sangatkah?

BUDAK itu, sudah besar. Dia tentu tahu mana baik, mana buruk. Baru 14 tahun dah pandai tipu satu Malaysia. Tak guna punya budak.” Itu komen seorang wanita dalam media sosial. Daripada gambar profil akaun Facebook­nya, dia nampak sudah berumur. Mungkin sudah mempunyai anak. Mungkin juga anaknya sebaya budak pe­rempuan yang dia kutuk itu.

Dia mengulas tentang penipuan seorang remaja berusia 14 tahun, Nur Amirah Athirah Abdul Majid yang mendakwa dirinya diculik tetapi akhirnya polis berjaya mengesannya bersama teman lelakinya yang berusia 19 tahun. Dalam media sosial kecoh dengan berita penipuan itu, pada hari pertama kita melangkah ke tahun baharu 2016.

Ekoran itu, macam-macam komen orang ramai yang memaki hamun budak itu. Ada yang kata, mereka mahu masuk ke tahun baharu dengan tenang dan tidak mahu marah-marah tetapi penipuan budak itu sudah membuat mereka ‘naik angin’ kononnya. Macamlah sebelum ini, kalau tidak masuk tahun baharu pun, mereka tidak pernah memaki-hamun orang lain dalam media sosial.

Begitulah sikap kebanyakan kita, apabila ada isu-isu se­perti ini, ramai yang hanya tahu mengutuk dan memaki hamun. Ada yang terlebih rajin, membongkar segala akaun laman sosial budak perempuan itu. Mereka viralkan gambar Nur Amirah dan me­ngutuk lagi.

Ada pula laman page dalam Facebook yang pada hari itu tidak habis-habis mengemaskini status mengutuk budak tersebut. Laman berkenaan membuka ruang kepada ramai orang untuk mengutuk dan memaki budak itu. Mungkin bertujuan untuk mendapat komen dan like yang banyak.

Sedar atau tidak, kesilapan budak itu telah pun dijadikan bagai satu ‘pesta’ untuk mereka mengutuk dan mengata. Cuba tanya pada diri sendiri, apa yang kita dapat dengan berbuat begitu? Adakah dengan berbuat demikian, kehidupan kita sendiri akan menjadi lebih gembira dan tambah bahagia? Adakah kita ini lebih baik daripada semua orang?

Memang betul, budak itu sudah melakukan kesilapan. Benar, dia sudah besar. Tetapi dalam usia seperti itu kita tidak boleh kata dia sudah pandai berfikir sepenuhnya. Sedangkan, orang dewasa dan orang tua pun ramai yang tidak dapat berfikir dengan betul dan selalu melakukan tindakan dan perbuatan yang tidak betul. Inikan pula budak yang dalam usia itu.

Sepatutnya, Nur Amirah diberi ruang untuk memperbaiki kesilapannya. Memang, sesiapa pun pasti marah de­ngan peni­puan dilakukannya yang menyusahkan hati semua orang, lebih-lebih lagi ibu bapanya. Tapi setakat kita rasa marah sudahlah. Janganlah menghentam budak itu secara berlebih-lebihan dalam media sosial. Tidak perlulah viralkan gambar-gambar budak itu. Ibu bapanya sudah cukup menanggung malu. Cuba letakkan diri kita di tempat mereka, adakah kutukan, umpatan dan keji-kejian boleh membantu mereka untuk mengharungi cabaran membesarkan anak seperti itu?

Apabila kita melakukan kesilapan, tidak kira besar atau kecil, kita mengharapkan orang di sekeliling kita, seperti keluarga dan rakan-rakan memberi kita peluang untuk memperbaikinya. Kita mahu mereka faham dan sama-sama memberikan kita semangat untuk berubah.

Begitu juga dengan budak itu. Dia sebenarnya punya masa yang begitu panjang untuk memperbaiki kesilapannya. Manalah tahu, jika diberikan bimbingan yang betul dan semangatnya tidak dijatuhkan dengan gambar-gambar yang diviralkan dengan tujuan memberi aib kepadanya itu, dia boleh berubah. Manalah tahu mungkin hidupnya nanti akan lebih baik, berjaya dan bahagia daripada orang yang hanya tahu mengutuknya.

Dan kejadian ini, juga boleh dijadikan pengajaran kepada semua terutamanya ibu bapa. Betapa dalam kesibukan mencari rezeki untuk keluarga, sepatutnya pemerhatian terhadap anak-anak tidak diabaikan. Betul, hidup ini perlu wang, kita semua bekerja untuk mendapatkan wang. Ada yang membuat kerja sampai dua atau tiga kerja dalam sehari.

Tetapi jika anak-anak terbiar kerana kita tidak punya masa untuk bersama mereka, sekuat mana pun kita bekerja, tidak memberi apa-apa makna kepada anak-anak. Biarlah ibu bapa menjadi orang yang paling rapat dengan anak-anak, bukan kawan-kawan, teman lelaki atau teman wanita mereka.

Fauziah Arof Utusan Malaysia Rencana 06 Januari 2016 6:15 PM

Kita sendiri tentukan baik buruk media sosial

PELBAGAI isu dibincangkan apabila media sosial dipilih sebagai tajuk program Advokasi Ilmuan anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) bersama Utusan Malaysia dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang diadakan di Dewan Besar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) kampus induk Durian Tunggal, Melaka baru-baru ini.

Seperti mana kata Ketua Pegawai Eksekutif MPN, Prof. Datuk Dr. Ra­duan Che Rose, pihaknya sentiasa mengutarakan tajuk-tajuk perbincangan yang hangat dan kontroversi untuk dikupas setiap kali program itu yang kini memasuki kali kelapan diadakan di institusi pengajian tinggi (IPT) terpilih di negara ini.

Bagi beliau, pemilihan isu sangat penting kerana menerusi tajuk tersebut ia akan memberi kupasan dan kesan perbincangan yang menarik untuk diulas oleh ahli-ahli panel yang mempunyai autoriti dalam bidang tersebut.

“Sasaran MPN adalah 50 peratus golongan belia khususnya yang menuntut di pusat pengajian tinggi dapat menyelami setiap isu yang dibincangkan dalam program ini dan mereka akan sama-sama mengetahui baik buruk sesuatu isu tersebut untuk dinilai.

“Saya bagi contoh media sosial adalah isu paling hangat yang MPN pilih kali ini kerana medium ini boleh diakses di seluruh dunia dan kesannya dihadapi oleh semua pihak dari kanak-kanak hingga ke orang dewasa,” katanya ketika ditemui sebelum bermula program itu yang menampilkan tiga ahli panel iaitu Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Dr.

Shahrin Sahib; Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Roslan Hassan dan Ketua Pegawai Operasi Cyber Security Malaysia, Dr. Zahri Yunos.

Sebaik sahaja bermula pentas program advokasi tersebut yang dikendalikan oleh pengacara televisyen RTM, Sayed Munawar Sayed Mohd. Mustar sebagai moderator, audiens dimaklumkan bahawa undang-undang sedia ada bagi mengawal peranan media sosial di negara ini sudah memadai dan menyeluruh bagi menyekat ia daripada disalahgunakan oleh rakyat di negara ini.

Shahrin yang juga Timbalan Pengerusi Kluster Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di MPN berkata, sebaliknya banyak akta yang boleh digunakan bagi mengawal salah guna media sosial di negara ini termasuk Akta Hasutan dan Akta Percetakan selain undang-undang berkaitan teknologi maklumat seperti Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk mendakwa pihak yang menyalahgunakan kemudahan itu.

Bagi beliau juga, tidak perlu penggubalan undang-undang baharu untuk mengawal penggunaan laman sosial atau menyekat seperti mana yang dilaksanakan di China kerana apa yang penting adalah bagaimana ia digunakan oleh rakyat sama ada untuk tujuan positif atau negatif.

Sebagai pegawai penguat kuasa membanteras penyalahgunaan media sosial pula, Roslan mengambil tempat dengan memberikan hujah bahawa satu kajian khusus perlu dilaksanakan bagi mengenal pasti kesan baik atau buruk peranan media sosial terhadap masyarakat di negara ini.

Pegawai polis itu berkata, ini kerana pengaruh media sosial di negara ini dilihat semakin sukar untuk dibendung malah ia juga telah mengubah cara badan penguat kuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan tugas termasuk cara pihaknya melaksanakan penguatkuasaan undang-undang termasuk menjalankan risikan dan siasatan.

Malah apa yang mengejutkan apabila Roslan mendedahkan bahawa penjenayah kini boleh mengakses akaun peribadi seseorang mangsa hanya menggunakan media sosial dan tipu helah hasil kepintaran mereka menguasai alam maya itu.

“Modus operandi yang digunakan penjenayah siber ini adalah mereka tidak meminta mangsa memasukkan wang ke dalam akaun peribadi sebaliknya mereka merekrut ahli untuk memindahkan wang tersebut ke dalam akaun berkecuali,” katanya yang turut meminta supaya orang ramai berhati-hati dengan taktik terbaharu penipuan itu.

Apa yang menarik, program Advokasi Ilmuan yang bakal dita­yangkan di TV1 tidak lama lagi turut meminta supaya masyarakat kini lebih bersikap bertanggungjawab terhadap apa yang mereka lakukan di alam maya.

Sebagaimana kata Zahri, pengguna media sosial di Malaysia perlu mempunyai sikap bertanggungjawab iaitu perlu menerima kesannya terhadap apa sahaja posting atau luahan mereka dalam media sosial sekiranya ia memberi kesan terhadap perpaduan kaum di negara ini untuk dikenakan tindakan undang-undang.

“Saya ingin menekankan sikap bertanggungjawab pengguna terhadap apa yang dipostkan oleh mereka dalam media sosial. Kita perlu mengambil contoh pengamal media sosial di negara luar yang tidak menggunakan akaun palsu sebaliknya menggunakan nama serta identiti sebenar dan mereka bertanggungjawab terhadap apa yang disiarkan,” katanya.

Sebagai kesimpulan, isu media sosial mempunyai banyak kesan positif dan juga negatif namun ia­ bergantung kepada sejauh mana kebijaksanaan kita menggunakan medium itu sendiri. Sebagai pengguna kita yang sebenarnya membentuk kesan media sosial itu sama ada ia dapat membantu dalam kehidupan seharian atau jika terkhilaf, kita juga yang akan hanyut dengan pengaruh negatif media sosial.

- Suffian Abu Bakar Utusan Malaysia Rencana 06 Januari 2016 6:10 PM

Orang muda tak faham sejarah, tokoh mahu lebih peruntukan untuk kajian

KUALA LUMPUR, 5 Jan — Tokoh sejarawan Prof. Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim berharap lebih banyak peruntukan disediakan kepada sarjana yang ingin melakukan penyelidikan dan penerbitan berunsurkan sejarah.

Penerima Anugerah Perdana 2015 bagi Tokoh Sejarawan sempena Majlis Anugerah Buku Negara 2015 itu berkata kajian aspek sejarah akan memberi faedah kepada negara memandangkan golongan muda ketika ini kurang memahami dan menghayati sejarah Malaysia.

“Saya dapati golongan muda sekarang tak faham negara sendiri dan itu juga bererti mereka tidak faham Perlembagaan. Perlembagaan ini tidak dapat dijelaskan tanpa sejarah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Apresiasi Tokoh Sarjana: Penerima Anugerah Buku Negara 2015 yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini, semalam.

Majlis itu diadakan bagi menghargai tokoh sarjana dan penulis buku yang menerima pelbagai anugerah pada Majlis Anugerah Buku Negara pada 26 Nov tahun lepas.

Khoo berkata pada masa ini, negara lebih memberi tumpuan kepada kajian dalam bidang sains dan teknologi dengan menyediakan peruntukan yang besar.

Justeru, beliau meminta pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan serta universiti untuk membantu menaja sarjana sejarah yang dianggapnya “miskin peluang” dalam menerbitkan karya mereka.

Dalam pada itu, Khoo berkata beliau kini menjalankan penyelidikan mengenai sejarah sukan negara dan menunggu syarikat penerbitan yang sesuai untuk menerbitkan karya tersebut.

“Manuskrip itu sudah siap, nak terbitkan mesti kena ada wang, yang penting pihak yang menerbitkan buku itu tahu bagaimana nak terbitkan buku. Kalau tidak buat apa nak terbitkan buku kemudian hanya disimpan dalam stor saja... tak guna.

“Kita mahu negara asing membaca tulisan kita dan kenal tulisan kita kerana sejarah Malaysia bukan negara sederhana tetapi luar biasa, sentiasa dipuji, bukan dalam sukan sahaja, banyak lagi,” katanya.

Pada 26 Nov tahun lepas, seramai 41 pihak industri buku tanah air termasuk pengarang, editor dan penerbit menerima pelbagai pengiktirafan sempena Anugerah Buku Negara 2015 yang disampaikan Timbalan Perdana Menteri.

Anugerah Buku Negara bertujuan menghargai dan mengiktiraf sumbangan tenaga di sebalik tabir industri buku dan memberi suntikan semangat untuk menggalakkan penghasilan karya berkualiti. — Bernama - Projekmmo Berita Tuesday January 5, 2016 07:57 AM GMT+8